Pages

Wednesday, August 10, 2011

Kes pembunuhan warga Perancis: Polis tunggu laporan DNA

ANTARA barang kes milik mangsa.
ANTARA barang kes milik mangsa.

KUANTAN: Polis percaya penemuan rangka manusia di Kampung Tekek, Pulau Tioman pada Isnin lepas adalah warga Perancis yang dilaporkan hilang sejak Mei lalu, kata Ketua Polis Pahang, Datuk Saifuddin Ab Ghani.

Bagi mengesahkannya, beliau berkata, polis meminta ujian asid deoksiribonukleik (DNA) keluarga Stefanie Foray di Perancis untuk dipadankan dengan penemuan mayat berkenaan.
"Pada 8 Ogos lepas sepasukan polis yang diketuai Senior Asisten Komisioner T Narenasagaran, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang bersama Dr Sri Marni Zainal Abidin daripada Jabatan Pathologist HTAA pergi ke lokasi mayat mangsa ditanam.
"Polis menjumpai satu rangka manusia "mummified" (dibungkus seperti mumia) dipercayai mayat Stefanie Foray berserta sebuah beg kanvas dipercayai milik mangsa," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, mangsa dijumpai ditanam kira-kira tiga meter di dalam gua di kawasan Kampung Tekek, Pulau Tioman.

Sebelum ini, media melaporkan kehilangan seorang wanita warganegara Perancis Stefanie Foray, 30, yang berasal dari Bourg En Bresse sejak 8 Mei lalu.

Saifuddin berkata, maklumat yang diterima oleh polis Melaka, mangsa pernah menginap di Sayang Sayang Guest House, Melaka mulai 7 hingga 9 Mei.
Hasil pemeriksaan lanjut, katanya, mangsa dilaporkan pergi ke Pulau Tioman menaiki feri dari Mersing melalui Blue Water Express pada 10 Mei dan tiada pendaftaran keluar.

Saifuddin berkata, hasil siasatan lanjut, polis menangkap seorang lelaki, 36, yang bekerja sebagai sewa peralatan menyelam di Kampung Tekek, Pulau Tioman.

Katanya, suspek mendedahkan maklumat bahawa mangsa ditanam di dalam sebuah gua di Kampung Tekek.

Katanya, polis turut merampas sebuah telefon bimbit dan sejumlah mata wang Sri Lanka daripada suspek manakala satu kad "Carte Dassurance Maladie" di atas nama mangsa, satu kad Visa, tiga rantai perak, dua gelang tangan warna kuning dan sebentuk cincin perak dalam rumah suspek.

Saifuddin berkata, polis turut menahan seorang lagi suspek berusia 44 tahun bagi membantu siasatan dan kedua-duanya ditahan reman di Melaka.

Selain itu, polis turut menjumpai bantal, tilam, beg haversack jenama X-Zone di tempat mayat dijumpai.

Setakat ini, katanya, motif pembunuhan dan sebab kematian masih disiasat. - BERNAMA -bharian

Murid mati makan juadah berbuka

Enam turut alami muntah, cirit birit 
MERU: Seorang murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai dekat sini, meninggal dunia pagi kelmarin, selepas mengalami muntah dan cirit birit kira-kira setengah jam selepas menikmati juadah berbuka puasa yang dibelikan bapanya di sebuah bazar Ramadan berdekatan rumahnya di Taman Seri Mewah di sini, petang Ahad lalu. Selain Nurdini Mohamad Ali, 11, hampir seluruh ahli keluarganya turut mengalami simptom sama sehingga terpaksa dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, selepas memakan juadah sama. Mereka ialah ibunya, Noraliti Ramli, 37, yang kini hamil lima bulan, dan empat abangnya, Mohammad Syafiq, 14; Mohammad Irfan, 13; Mohammad Fitri, lapan dan Mohammad Hazimi, tiga tahun serta pembantu rumah dikenali sebagai Pati.
Mohammad Irfan dan Mohammad Fitri turut disyaki dijangkiti penyakit taun, manakala Mohammad Hazimi menghidap demam denggi.-bharian

Rusuhan di Manchester tidak pernah berlaku dalam 30 tahun

LONDON: Rusuhan dan kecurian yang melanda Manchester disifatkan sebagai "kelakuan ganas dan jenayah tidak masuk akal" yang tidak pernah berlaku dalam tempoh 30 tahun. Penolong Ketua Konstabel, Garry Shewan, berkata keganasan itu dilakukan oleh pihak yang "tiada sebab untuk membantah" sehingga menyebabkan "rasa malu di jalan-jalan" bandar raya berkenaan. "Ini adalah jenayah tulen dan ringkas berlaku secara liar malam ini. Tiada apa yang perlu dibantah kerana memang tiada puncanya dan ini adalah keganasan dan jenayah tidak masuk akal yang tidak pernah saya lihat sebelum ini,” katanya. - AFP
-bharian

Tujuh pejuang Haqqani terbunuh dalam serangan AS di Pakistan

MIRANSHAH: Sekurang-kurangnya tujuh pejuang rangkaian Haqqani terbunuh dalam serangan tentera Amerika Syarikat terahdap puak penentang di barat laut Pakistan berdekatan sempadan Afghanistan, hari ini. Pegawai keselamatan tempatan, berkata tentera Amerika Syarikat melepaskan dua peluru berpandu yang memusnahkan sebuah kenderaan dan kawasan berdekatan Miranshah, bandar utama wilayah puak penentang di Waziristan Utara. Tiga orang anggota militan mengalami kecederaan dalam serangan berkenaan. - AFP
-bharian

Gempa bumi 5.7 magnitud gegar Pakistan

ISLAMABAD: Gempa bumi berukuran 5.7 magnitud mengeggarkan barat daya Pakistan pagi tadi.Gempa bumi itu berlaku pada kira-kira jam 5.53 pagi waktu tempatan kira-kira 330 kilometer di barat daya Quetta, bandar utama wilayah Baluchistan dan kedalaman kira-kira lapan kilometer. Gempa bumi kuat berukuran 7.2 magnitud pernah melanda barat daya Pakistan Januari lalu yang menyebabkan orang ramai cemas meninggalkan rumah masing-masing tetapi tidak menyebabkan jumlah kematian besar. - AFP-bharian

Pelantar ikan LKIM di Kangar musnah dalam kebakaran

ANGGOTA bomba memadam kebakaran di pelantar dekat Sungai Baru, hari ini.
ANGGOTA bomba memadam kebakaran di pelantar dekat Sungai Baru, hari ini.
KANGAR: Sebuah pelantar ikan milik Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kuala Sungai Baru, dekat sini, musnah dalam kebakaran hari ini.

Penguasa Bomba Perlis, Khairul Ariffin Che Ariffin, berkata kejadian disedari berlaku jam 8.11 pagi dan sebaik menerima panggilan, pihaknya bergegas ke tempat kejadian dan berjaya mengawal kebakaran kira-kira jam 9.30 pagi.
Katanya, punca kebakaran di pelantar ikan yang terletak dalam kawasan perkampungan nelayan tradisional itu sedang disiasat dan anggaran awal kerugian adalah lebih RM400,000.
Selain pelantar ikan, turut musnah dalam kejadian itu ialah bilik sejuk milik Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Perlis Selatan, pukat dan alat tangkapan ikan lain serta empat unit kedai menjual hasil laut, sayuran dan kedai makan yang turut terdapat di pelantar itu.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu turut melawat tempat kejadian bersama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri, Sabry Ahmad.

Pengurus Persatuan Nelayan Kawasan Perlis Selatan, Mohd Noor Ibrahim mendakwa kebakaran bermula di sebuah kedai makan dan merebak ke kedai lain di atas pelantar ikan berkenaan.

Bagaimanapun, tidak ada kemalangan jiwa dan kecederaan dialami berikutan kejadian itu.
Sementara itu, Sabry yang ditemui di tempat kejadian berkata, kerajaan negeri sebelum ini memohon peruntukan RM10 juta untuk membina jeti baru di tapak yang terletak tidak jauh dari tempat kejadian.

Sekiranya diluluskan, jeti baru yang dicadangkan itu akan berkeupayaan menampung sehingga 200 bot nelayan dalam satu masa. - BERNAMA -bharian

Turki 'hilang sabar' dengan Syria, menteri luar buat kunjungan

DAMSYIK: Tekanan semakin meningkat ke atas Syria semalam, apabila seorang menteri luar Turkey berkunjung ke negara jirannya itu dengan mesej bahawa Ankara 'hilang sabar' dengan tindakan keras Syria terhadap para pembantah antirejim negara itu.Lawatan beliau dibuat sehari selepas negara-negara Teluk seperti Kuwait dan Bahrain memanggil pulang duta besar masing-masing dari Damsyik, mengikut tindakan Arab Saudi, yang disifatkan oleh Amerika Syarikat sebagai langkah 'menggalakkan'.Presiden Bashar al-Assad telah menamakan menteri pertahanan barunya, kelmarin, sedang beliau semakin terasing daripada pakatan serantau selepas tiga negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) itu memanggil pulang duta besar masing-masing dan langkah Arab Saudi menggesa Syria menamatkan pertumpahan darah.Lawatan Menteri Luar Turkey, Encik Ahmet Davutoglu, ke Damsyik adalah bagi menyampaikan mesej Ankara, khususnya Perdana Menteri Turkey, Encik Recep Tayyip Erdogan, bahawa ia 'hilang sabar' terhadap keganasan yang sedang berlaku di Syria.Para aktivis kelmarin berkata pasukan keselamatan telah menembak mati sekurang-kurangnya empat orang - termasuk seorang ibu dan dua anaknya - di Deir Ezzor, sebuah bandar di timur Syria, tempat 42 orang dilaporkan terbunuh pada Ahad lalu dalam satu serangan tentera.Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, telah meminta Encik Davutoglu supaya menggesa Syria 'menghantar pulang tenterannya ke berek masing-masing'.Penindasan rejim Syria itu terhadap pemberontakan prodemokrasi telah mengorbankan nyawa sekurang-kurang 2,059 orang termasuk 400 anggota pasukan keselamatannya, menurut kumpulan hak asasi Syrian Observatory for Human Rights, yang berpangkalan di Britain. -- AFP.cyberita

Kembalikan Khilafah! Hapuskan Larangan Puasa dan Solat Muslim Uighur




ARRAYAH.INFO, Xinjiang, 10 Ogos 2011 - Tanpa Khilafah, kaum Muslim terus menderita. Hanya untuk menaati perintah agamanya saja, para penguasa diktator mengarahkan untuk membatasinya.

Pembatasan ibadah puasa dan solat di masjid-masjid, Muslim Uighur menderita di bawah episod terbaru dari tindakan kejam pemerintah China terhadap etnik minoriti di wilayah barat laut Xinjiang.

"Jika ada tokoh agama membahas Ramadhan selama kegiatan keagamaan, atau mendorong orang untuk ikut serta, maka mereka akan kehilangan lesen mereka untuk berceramah," kata Dilxat Raxit, juru bicara Kongres Uighur Dunia yang berpejabat di Munich, Eurasia Review pada Jumaat, 5 Ogos 2011.

"Kes-kes yang lebih serius akan menghasilkan penangkapan dengan tuduhan terlibat dalam aktiviti agama yang tidak sah," katanya.

Sehari sebelum dimulainya bulan suci puasa bagi umat Islam China, setidaknya 11 orang tewas dalam serangkaian serangan di wilayah barat laut Xinjiang.

Pihak berkuasa China mengutuk serangan terhadap etnik minoriti, setelah polis China menembak mati dua orang Muslim hari minggu lalu.

Serangan itu terjadi kurang dari dua minggu setelah 18 orang tewas dalam serangan di wilayah Xinjiang yang bergolak.

Setelah kerusuhan, lebih dari 100 orang Uighur ditahan oleh penguasa China.

Kebanyakan dari mereka yang ditahan sebagai tersangka itu merupakan warga muslim Islam yang menghadiri masjid dan isterinya yang mengenakan tudung, ungkap penduduk setempat.

Ibu kota Xinjiang, Urumqi, pernah terjadi kekerasan mematikan pada Julai 2009 ketika minoriti Muslim Uighur menentang atas pembatasan China di wilayah tersebut.

Pada hari-hari berikutnya, massa etnik Han marah turun ke jalan membalas dendam. Ini merupakan kekerasan etnik terburuk yang pernah terjadi di China dalam beberapa dekad terakhir.

Kerusuhan tersebut mengakibatkan hampir 200 orang tewas dan 1700 orang terluka, menurut angka pemerintah. Tapi Uighur, minoriti yang berbahasa Turki Muslim, mengatakan jumlah korban jauh lebih tinggi dan terutama dari komuniti mereka.

Pihak berkuasa China telah menghukum sekitar 200 orang, sebagian besar etnik Uighur didakwa terlibat kerusuhan dan dijatuhi hukuman 26 tahun hingga sebagian dari mereka dijatuhi hukuman mati.


Kejam, Tidak Boleh Berpuasa dan Bersolat

Beijing menerapkan pembatasan terhadap Muslim China seiring dimulainya bulan suci Ramadhan.

Adapun bagi pemerintah yang muslim di seluruh Xinjiang, pemerintah memaksa mereka untuk menandatangani "surat tanggung jawab" yang berisi perjanjian untuk tidak berpuasa, solat tarawih, atau kegiatan keagamaan lainnya.

"Puasa selama bulan Ramadhan adalah kebiasaan etnik tradisional, dan mereka diperbolehkan untuk melakukan itu," kata seorang karyawan yang menjawab telefon di pejabat daerah pemerintah di ibukota wilayah Urumqi mengesahkan larangan di bulan Ramadhan.

"Tapi mereka tidak diperbolehkan untuk mengadakan kegiatan keagamaan selama Ramadhan," tambahnya.

"Anggota Parti tidak diperbolehkan untuk berpuasa selama Ramadhan, dan dilarang juga bagi PNS."

Adapun perusahaan swasta, karyawan Muslim Uighur ditawarkan makan siang selama jam puasa.

Siapapun yang menolak untuk makan akan kehilangan bonus tahunan mereka, atau bahkan pekerjaan mereka, Raxit menambahkan.

Pemerintah juga menargetkan sekolah Islam, menyediakan mereka dengan makan siang selama bulan puasa.

Seorang warga Uighur Beijing mengatakan siswa di bawah 18 tahun dilarang puasa selama bulan Ramadhan.

Selain itu, pemerintah memaksa restoran di wilayah majoriti Muslim untuk tetap buka sepanjang hari.

Lebih banyak pembatasan juga dikenakan pada orang yang mencuba untuk menghadiri solat di masjid-masjid.

Setiap orang menghadiri solat jamaah harus mendaftar dengan kad identiti nasional mereka, ia menambahkan.

"Mereka harus mendaftar," katanya.

"[Setelah solat] mereka tidak diizinkan untuk [berkumpul dan] berbicara satu sama lain."

Di bulan Ramadhan, umat Islam dewasa menjauhkan diri dari makanan, merokok, minum, dan seks antara fajar dan matahari terbenam. Yang sakit dan mereka yang bermusafir dikecualikan dari puasa terutama jika menimbulkan risiko kesihatan.


Kembalikan Khilafah! Hapuskan Larangan Puasa dan Solat Muslim Uighur

Muslim mendedikasikan waktu mereka selama bulan suci untuk lebih dekat dengan Allah melalui doa, menahan diri dan perbuatan baik.

Namun, tanpa Khilafah, umat Muslim di China tersebut telah dirampas hak-haknya dalam menaati perintah agamanya.

Demikianlah, umat benar-benar memerlukan Khilafah yang akan membebaskan kaum Muslim dari cengkraman kaum kafir. Khilafah inilah yang akan membebaskan Muslim Uighur dan kaum Muslim lainnya dari para penjajah.

Tidak ada waktu lagi untuk bersenang-senang, kecuali mengerahkan segala kekuatan untuk mewujudkan tegaknya Khilafah. Insya Allah, semakin dekat. [m/onislam/syabab.com/edit/arrayah.info]arrayah

Tidak Dapat Buat Keputusan, LELAKI KAHWIN Kedua-Dua BERADIK KEMBAR



Seorang lelaki Thailand berusia 24 tahun telah berkahwin dengan pasangan beradik kembar semalam (8 Ogos) dan berjanji untuk menyayangi mereka berdua dengan 'adil'. Walaupun ramai yang mengatakan dia bertuah, ada juga yang berpendapat bahawa lelaki ini mengundang masalah kerana 'terlalu banyak dalam pinggannya'.

Wichai, yang hidup dengan pendapatan daripada berniaga barangan lama, telah berkahwin dalam satu majlis dengan pasangan gadis kembar berusia 22 tahun, Sirintara dan Thipawan, dalam masa yang sama.

Wichai berkata bahawa dia telah berkawan baik dengan kembar tersebut yang juga merupakan jirannya sejak mereka kanak-kanak.

Beliau turut menambah bahawa "Sudah tiga tahun berturut-turut ketiga-tiga kami akan pergi untuk temujanji bersama-sama, sehingga pada satu hari apabila saya tidak dapat menanggung kekecewaan lagi dan memberitahu mereka 'Saya cintakan anda dan mahu mengahwini anda BERDUA' "

Adik-beradik kembar itu kemudiannya bersetuju dan mengakui bahawa mereka ingin berkahwin dengan lelaki yang sama.

Untuk aturan tidur, Wichai berkata, "Bagi tiga malam pertama setiap minggu, saya akan tidur dengan Thipawan dan tiga hari seterusnya bersama dengan Sirintara. Bagi setiap hari Sabtu, kami bertiga akan tidur bersama." webmarhaen

Tentera Syria bunuh 17 orang awam di Dier Ezzor



NICOSIA 10 Ogos - Pihak keselamatan Syria membunuh 17 orang awam di kawasan demonstrasi di Dier Ezzor, timur Syria, semalam, serta empat yang lain terbunuh di tempat berasingan.
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria melaporkan 17 kematian di Deir Ezzor, tempat di mana serangan tentera yang membunuh 42 orang pada Ahad lalu, dan dua lagi orang awam terbunuh di wilayah Idlib.
Seorang peguam kumpulan hak asasi berkata, dua kematian turut dilaporkan di bandar Hama. - AFP, utusan

AS desak Ali Abdullah tidak kembali ke Yaman



10/08/2011 10:47am

DUBAI 10 Ogos - Amerika Syarikat (AS) semalam mendesak Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh supaya tidak pulang ke negaranya, tatkala beliau menerima rawatan di Arab Saudi ekoran mengalami kecederaan akibat percubaan untuk membunuhnya semasa pemberontakan memuncak di negaranya.
Menurut sumber diplomatik, mesej tersebut disampaikan kepada Saleh, yang muncul pada Ahad lalu di hospital Riyadh di mana beliau menerima rawatan sejak serangan bom dilancarkan ke istana kediamannya pada 3 Jun lalu, menyebabkan beliau mengalami beberapa kecederaan.
Namun, sumber tersebut tidak menyatakan sama ada Saleh menerima permintaan tersebut.
Perkembangan terbaru itu sebagai bantahan kepada Saleh, yang berhasrat untuk pulang ke negaranya secepat mungkin sebaik sahaja keadaan kesihatannya mengizinkan, setelah enam bulan tunjuk perasaan yang menuntut beliau berundur dari negara yang di ambang perang saudara itu. -Reuters

Kereta rempuh bilik tidur, warga emas hampir pengsan


TINGKAP rumah warga emas yang tertanggal akibat dirempuh kereta Proton Wira di Jalan Kamarudin, semalam. - UTUSAN/AZLAN BAHRUM

KUALA TERENGGANU 9 Ogos - Seorang warga emas tidak dapat melupakan detik-detik cemas apabila sebuah kereta terbabas dan merempuh bilik tidurnya dalam kejadian di Jalan Kamaruddin dekat sini, semalam.
Kejadian pada pukul 10.30 malam itu berlaku ketika Jamillah Abdul Rahman, 63, menuju ke ruang dapur rumahnya untuk mendapatkan segelas minuman.
Katanya, hanya selepas beberapa saat meninggalkan bilik itu satu rempuhan kuat kedengaran hanya beberapa meter dari tempat dia berada.
"Saya hampir pengsan apabila melihat sebuah kereta Proton Wira berada di dalam bilik saya.
"Namun saya bersyukur kerana tiba-tiba sahaja saya mahu ke dapur beberapa saat sebelum kejadian. Jika tidak pasti saya menjadi mangsa," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Menurut mangsa yang masih trauma, dia juga bersyukur kerana suaminya, Wan Harun Awang, 64, tidak berada di dalam bilik berkenaan kerana baru sahaja pulang dari menunaikan sembahyang terawih.
Jamilah berkata, pada kebiasaannya, setelah pulang dari masjid suaminya akan terus masuk ke bilik, namun pada hari tersebut dia terus menuju ke ruang tamu untuk menonton televisyen.
Dalam pada itu, Wan Harun yang bekerja sebagai penjual akhbar bersyukur kerana isterinya juga selamat dan membuat laporan polis mengenai kejadian itu hari ini.
Sementara itu pemandu kereta berkenaan, Mohd. Shah Isniza Ismail, 20, mendakwa dia tergesa-gesa untuk menuju ke suatu tempat sebelum hilang kawalan dan terbabas ke rumah tersebut.-utusan

Tinggal sehelai sepinggang


Norlia Mohd. Zain bersama salah seorang anak perempuanya melihat sisa runtuhan rumah yang disewanya musnah dalam kebakaran di Kampung Lundang, Kota Bharu, semalam. – utusan/YATIMIN ABDULLAH

KOTA BHARU 9 Ogos – Seorang ibu tunggal beranak empat di Kampung Lundang dekat sini, tinggal sehelai sepinggang apabila rumah yang disewanya musnah dalam kebakaran hari ini.
Semasa kejadian pukul 6.30 pagi, mangsa, Norlia Mohd. Zain, 43, (gambar) dan seorang anak perempuannya berada di gerai mereka berhampiran Pasar Siti Khadijah untuk menjual kuih raya.
Ketika insiden itu, hanya tinggal dua anak dan ibunya berusia 70 tahun di rumah.
“Kira-kira pukul 4 pagi anak saya, Wan Nor Kashidah Wan Kamaruddin menghubungi saya memaklumkan ada orang di bawah rumah.
“Saya beritahu dia agar jangan tidur, takut ada orang cuba pecah masuk rumah. Tidak lama selepas itu, dia maklumkan rumah terbakar,” katanya dalam nada sebak kerana kehilangan semua harta benda, termasuk bekalan kuih raya untuk dijual berharga kira-kira RM10,000.
Norlia berkata, dia telah menyewa rumah tersebut sejak tujuh tahun lalu dengan bayaran RM150 sebulan.
“Kini saya tak tahu nak duduk mana, baju raya anak-anak pun belum beli lagi. Bekalan kuih raya semua habis, tak sempat balik modal kerana baru semalam mula niaga. Nak niaga lain duit dah tak ada,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Wan Hassan Wan Idris memberitahu, pihaknya menghantar empat jentera termasuk sebuah dari Balai Bomba dan Penyelamat Kota Darulnaim bersama 19 anggota.
“Sejurus tiba di tempat kejadian, rumah kayu terbabit musnah sepenuhnya. Pihak kami mengambil masa kira-kira 15 untuk mengawal kebakaran daripada merebak.
“Kerugian dianggarkan kira-kira RM150,000 dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Wan Hassan turut menasihatkan orang ramai terutama suri rumah supaya berhati-hati dengan aktiviti memasak sepanjang Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri ini bagi mengelak musibah.
“Sebelum keluar rumah, sila pastikan semua punca elektrik ditutup sepenuhnya, begitu juga dengan dapur gas untuk mencegah kebakaran,” katanya.-utusan

Wanita pertama dilantik komander kapal perang





LONDON 9 Ogos - Tentera Laut Diraja British buat pertama kalinya melantik seorang wanita memegang jawatan sebagai pegawai pemerintah sebuah kapal perang mereka.
Leftenan Komander Sarah West, 39, ditugaskan mengetuai KD Portland mulai April tahun depan. Sebelum ini, dia pernah mengetuai kapal pencarian periuk api sebanyak empat kali.
Jurucakap Kementerian Pertahanan berkata, West perlu menghabiskan kursus untuk bakal pegawai pemerintah sebelum memegang jawatan tersebut.
Wanita dibenarkan berkhidmat di dalam Tentera Laut Diraja sejak tahun 1994 dan kini mengisi 10 peratus jawatan dalam pasukan itu.
Namun, wanita masih tidak dibenarkan memasuki beberapa bidang di dalam perkhidmatan tersebut seperti Komando Marin Diraja.
Antara pengalaman West dalam angkatan tentera laut sebelum ini termasuk berkhidmat di rantau Negara-negara Teluk.
Dia dibesarkan di Lincolnshire dan mengambil bidang Matematik di Universiti Hertfordshire sebelum menyertai Kolej Tentera Laut Diraja Britannia pada tahun 1995. - Agensi, utusan

Syria terus terima tekanan


Imej yang diambil daripada video amatur yang disiarkan olehUgarit News dan diakses melalui Associated Press Television News, kelmarin merakamkan anggota tentera Syria berkawal di sebatang jalan di wilayah Idlib, utara Libya sambil memerhati mayat seorang lelaki yang berada di situ. - AP

DAMSYIK 9 Ogos - Tekanan terus dikenakan ke atas Syria, hari ini ketika lawatan Menteri Luar Turki untuk menyampaikan mesej bahawa Ankara 'sudah hilang sabar' dengan tindakan kekerasan negara itu, yang menyebabkan kematian terhadap penunjuk perasaan anti kerajaan.
Lawatan Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu diadakan sehari selepas negara-negara Teluk yang lain, Kuwait dan Bahrain memanggil pulang duta masing-masing dari Damsyik, mengikut jejak langkah Arab Saudi, yang 'menggalakkan' dan 'menggembirakan' Amerika Syarikat (AS).
Presiden Syria, Bashar al-Assad, semalam menamakan Menteri Pertahanan yang baru, ketika beliau berhadapan pemulauan serantau selepas tiga daripada enam negara Majlis Kerjasama Teluk memanggil pulang duta masing-masing dan pemimpin tertinggi Sunah mendesak Syria menghentikan pertumpahan darah.
Lawatan Davutoglu ke Damsyik bertujuan menyampaikan mesej daripada Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan yang 'sudah hilang sabar' dengan keganasan yang berlaku di Syria.
Kumpulan aktivis, semalam mendakwa, pihak keselamatan menembak mati sekurang-kurangnya lapan orang 'termasuk seorang ibu dan dua anaknya' di timur bandar Deir Ezzor, di mana 42 orang dilaporkan terbunuh dalam serangan tentera pada Ahad lalu.
Setiausaha AS, Hillary Clinton telah meminta Davutoglu memberi tekanan kepada Syria supaya 'memanggil semua tenteranya balik ke berek.'
Menurut Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria berpangkalan di Britain, tindakan kekerasan rejim terhadap kebangkitan kumpulan pro-demokrasi telah mengakibatkan sekurang-kurangnya 2,059 orang terbunuh, termasuk hampir 400 anggota keselamatan.
Raja Abdullah dari Arab Saudi, yang memanggil pulang dutanya dari Syria, mendesak Damsyik 'menghentikan pembunuhan dan pertumpahan darah sebelum terlambat' dan menyeru ke arah 'pembaharuan segera dan menyeluruh'.
"Masa depan Syria bergantung kepada dua pilihan, sama ada Syria memilih untuk menghentikan krisis yang berlaku, atau berhadapan dengan keadaan huru-hara yang lebih dahsyat, Tuhan melarangnya," tegasnya.
Negara anggota Majlis Kerjasama Teluk yang lain, Bahrain dan Kuwait turut memanggil pulang duta masing-masing dan Menteri Luar Kuwait, Sheikh Mohammed al-Sabah menggesa tentera Syria menghentikan tindakan kekerasan. - AFP
-utusan

' Selamatkan akidah anak saya’


AMIR Alang (dua, kiri) bersama penduduk kampung menunjukkan gambar Idayu yang dilarikan pemuda Indonesia ke Pulau Bali lebih dua tahun yang lalu di Kampung Kenang, Sungai Siput, semalam.

SUNGAI SIPUT 9 Ogos – Seorang bapa Orang Asli merayu kerajaan menyelamatkan anaknya yang dilarikan pemuda Indonesia ke Pulau Sumbawa, Daerah Rhe sejak lebih dua tahun lalu kerana dibimbangi sudah bertukar agama.
Kebimbangan itu timbul apabila melihat gambar-gambar yang dikirimkan oleh anaknya baru-baru ini yang jelas menunjukkan suaminya, Waryan Barta yang berusia lingkungan 20-an ialah penganut Hindu.
Amir Alang, 44, berharap kerajaan dapat membantu membawa pulang anaknya, Idayu, 19, ke pangkuan keluarga sekali gus menyelamatkan akidahnya sebagai penganut agama Islam.
Katanya, dia mendapat tahu Idayu berkahwin dengan lelaki itu sejak setahun lalu dan kini dikurniakan seorang anak.
“Sejak menghilangkan diri lebih dua tahun lalu, Idayu ada menghubungi keluarga sejak akhir-akhir ini dan pernah memberitahu ibunya yang dia sudah tidak tahan lagi dengan sikap suami yang selalu memukulnya.
“Ekoran perubahan sikap suaminya itu, dia selalu menelefon emaknya supaya mencari jalan agar dapat kembali ke tanah air dengan segera. Jika boleh dia mahu pulang sebelum Aidilfitri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kenang, kira-kira 15 kilometer dari sini, hari ini.
Idayu keluar dari rumah pada 5 September 2009 ketika masih belajar di sebuah sekolah menengah di sini dan sejak itu keluarganya tidak memperoleh sebarang berita daripadanya.
Menurut Amir, dia pernah membuat laporan mengenai kehilangan anaknya di Balai Polis Jalong.
Katanya, dia tidak tahu hubungan anaknya dengan lelaki tersebut, namun diberitahu pemuda itu pernah bekerja di Ladang Kamuning tidak jauh dari sini.
Sesiapa yang ingin membantu keluarga Amir boleh menghubunginya di No. 5, Kampung Kenang, Sungai Siput (Utara) atau menghubungi Jawatankuasa Biro Kebajikan Ketua-ketua Kampung Parlimen Sungai Siput di talian 014-6039908.
-utusan

Kuiz Islam ditemui dalam gereja

SHAH ALAM 9 Ogos – Gabungan 45 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam mempersoalkan niat sebenar pihak Gereja Methodist Damansara Utama, Petaling Jaya sekali gus menimbulkan keraguan apabila mengedarkan kuiz mengenai agama Islam kepada hadirin pada majlis makan malam di gereja berkenaan, 3 Ogos lalu.
Wakil NGO tersebut, Dr. Dzulkhaini Husain percaya gereja itu mempunyai agenda tersendiri apabila mengedarkan kertas soalan kuiz itu kerana ketika Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) membuat pemeriksaan, hampir 80 peratus hadirin adalah bukan Islam.
Malah katanya, paling meragukan ialah pihaknya difahamkan JAIS menemui kertas soalan kuiz tersebut yang dikoyakkan dan dibuang di dalam tong sampah ketika pemeriksaan dilakukan.
“Ini yang kita persoalkan. Apa rasional pihak penganjur majlis itu mengadakan kuiz yang menjurus mengenai soalan yang berkaitan hal-hal agama Islam sedangkan majoriti hadirin bukan Islam manakala lokasi penganjuran dibuat di gereja.
“Jadi, apa sebenarnya niat pihak penganjur mengadakan kuiz itu yang merupakan salah satu program dalam majlis tersebut,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Dzulkhaini, 12 soalan yang dikemukakan dalam kuiz itu antaranya ‘apakah maksud perkataan Islam’, ‘apakah maksud perkataan muslim’, ‘apakah maksud perkataan Quran’, ‘apakah 5 rukun Islam’ dan ‘apakah 6 perkara iman muslim’ tidak signifikan untuk ditanya kepada orang bukan Islam.
“Kenapa soalan-soalan ini yang menjadi keutamaan pihak penganjur. Adakah orang bukan Islam yang berada di gereja itu menyertai kuiz itu?” soalnya.
Dzulkhaini yang juga Pengerusi Persatuan Sahabat Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, berdasarkan atur cara majlis itu, antara acara yang diadakan ialah tarian, ucapan, makan malam dan persembahan muzik.
“Dalam majlis itu turut diselitkan nyanyian ‘Allahuakbar dan Alhamdulillah’ yang dicatatkan di antara pukul 8.50 malam hingga 9.25 malam,” katanya.-hmetro

Jari tersepit tombol pintu

SANDAKAN: Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun terpaksa menahan kesakitan lebih sejam apabila jari telunjuknya tersepit di tombol pintu ketika cuba membuka pintu biliknya untuk bersahur bersama keluarga di Taman Rimba, Jalan Batu 7, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 1.41 pagi, mangsa Danial Hanif, 7, dipercayai bangun bersahur bersama ahli keluarganya.

Bagaimanapun, ketika cuba membuka pintu bilik, tiba-tiba jari telunjuknya termasuk ke dalam tombol pintu yang dipercayai sudah rosak.

Ahli keluarga mangsa yang terkejut dengan kejadian itu cuba membantu namun gagal membuka tombol besi itu.

Mangsa terpaksa dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent dengan jarinya yang masih tersangkut di tombol besi itu.

Pihak hospital juga gagal mengeluarkan jari kanak-kanak itu dan terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sandakan. Selepas lebih sejam, akhirnya jari mangsa yang tersepit pada tombol besi berkenaan berjaya dikeluarkan dengan menggunakan pemotong hidraulik.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sandakan, Jemi Shin Ujin berkata, bomba menerima maklumat daripada hospital mengenai kejadian itu.
“jbpm sANDAKAN MENERIMA PANGGILAN JAM 1.41 PAGI DAN Sepasukan anggota bergegas ke hospital dan mendapati tangan mangsa masih tersepit pada tombol besi pintu berkenaan.

“Pihak bomba terpaksa mengambil masa sejam untuk mengeluarkan jari mangsa dengan berhati-hati kerana bimbang akan mendatangkan kecederaan lebih teruk lagi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, pemotong hidraulik terpaksa digunakan untuk memotong besi tombol berkenaan sebelum berjaya mengeluarkan jari mangsa pada jam 2.49 pagi.

“Jari kanan mangsa cuma mengalami bengkak dan tiada kecederaan serius dilaporkan oleh hospital,” katanya.
-hmetro

Sepak muka isteri tegur pulang lewat

GOMBAK: Hanya ditegur pulang lewat, seorang suami sanggup menampar, menghantuk kepala, memijak perut dan menyepak muka isterinya dalam kejadian di rumah mereka di Taman Selayang Pandang, di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 pagi, wanita terbabit yang berusia 29 tahun bertanyakan suaminya berusia 30-an ke mana lelaki itu pergi hingga pulang awal pagi.

Bagaimanapun, suaminya yang kepenatan dan mengantuk menyuruh isterinya jangan banyak bertanya kerana dia ingin tidur.

Mangsa yang masih tidak berpuas hati menghalang suaminya masuk bilik kerana mahu meminta penjelasan lanjut.

Menurut sumber, berang dengan tindakan isterinya, lelaki itu naik angin dan menampar pipi mangsa.

“Lelaki terbabit turut menolak kepala isteri ke dinding sebelum menghantuknya beberapa kali dan menendang mangsa hingga terjatuh.
“Lelaki itu turut memijak perut isterinya menyebabkan wanita itu meraung kesakitan.

“Mangsa yang dalam kesakitan mendapatkan rawatan di klinik berhampiran sebelum membuat laporan di Balai Polis Selayang kerana bimbang kejadian sama berulang,” katanya.-hmetro

Tak mahu terima lagi

SEREMBAN: “Saya berjanji tidak akan menerima bantuan gereja lagi dan berharap ia memberi pengajaran kepada semua pihak terutama diri ini yang pernah menunaikan umrah,” kata wanita mahu dikenali sebagai Nur, 40, yang mendakwa mendapat bantuan daripada gereja untuk menyara kehidupannya sekeluarga.
Menurut ibu kepada empat anak itu, selepas perkara berkenaan didedahkan oleh media, pelbagai pihak dan badan kebajikan tampil untuk membantunya.

“Saya menyesal dan insaf kerana tidak berfikir panjang hingga sanggup meminta bantuan daripada gereja. Niat saya ketika itu hanya satu iaitu mahu menyara anak,” katanya.

Nur berkata, Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains) sebelum ini sudah menasihatinya supaya tidak menerima bantuan daripada gereja dan dia menerima nasihat itu.

“Kini, saya tidak mahu menerima sebarang bantuan daripada gereja kerana sedar perbuatan itu salah di sisi agama.

“Malah, semalam (kelmarin), Yayasan Murad turut datang ke rumah menghulurkan bantuan makanan dan kewangan,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam. Ahad lalu, akhbar ini melaporkan seorang wanita menerima bantuan daripada gereja kerana gagal mendapatkan bantuan daripada pihak berkaitan.

Wanita yang mempunyai empat anak berusia lima hingga 12 tahun terpaksa menerima bantuan daripada gereja selepas berhenti kerja kerana mengalami masalah kesihatan teruk.
Sementara itu, Setiausaha Mains, Kamal Amran Kamaruddin dalam kenyataannya berkata, pihaknya sudah memberikan pelbagai bantuan wang tunai dan makanan kepada wanita berkenaan sejak 2006.-hmetro

Sindiket curi telefon awam tumpas

SHAH ALAM: Polis menumpaskan sindiket curi pondok telefon awam membabitkan kerugian hampir RM1 juta dalam satu serbuan di sebuah premis kedai barangan lusuh di Bandar Baru Bukit Beruntung, Rawang, baru-baru ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata dalam serbuan pada jam 6.05 petang pada 26 Julai lalu, pihaknya menahan lima suspek berumur lingkungan 20 hingga 40 tahun.

“Dalam serbuan di premis itu polis merampas 14 unit pondok telefon awam, 112 unit penutup peti telefon awam, 14 penutup peti hadapan telefon awam, 50 gagang telefon awam berwarna merah, sebuah lori diesel dan sebuah Proton Satria.

“Siasatan mendapati taktik sindiket dipercayai mencuri pondok telefon awam, kemudian mengambil duit di dalam peti telefon sebelum bahagian pondok telefon awam dan peti berkenaan dileraikan untuk dijual.

“Kes kecurian yang dilaporkan di sekitar Selangor ialah di Bangi, Serdang, Balakong dan Rawang manakala negeri lain yang terbabit Pulau Pinang, Perak dan Kuala Lumpur.

“Nilai kerugian dicatatkan RM960,000. Lima suspek direman sehingga 10 Ogos ini (hari ini),” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Media Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam. Dalam kes berasingan, katanya, pada 2 Ogos lalu, polis menerima laporan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berhubung kebakaran pencawang milik syarikat utiliti itu di tiga lokasi iaitu Bukit Sentosa, Sungai Choh dan Bukit Beruntung di Rawang.

“Sebanyak 12 pencawang milik TNB dibakar pihak tertentu yang mahu mengambil tembaga pada pencawang terbabit. “Pada 4 Ogos lalu, kita berjaya menahan dua lelaki yang kedua-duanya berusia 22 tahun kerana dipercayai ada kaitan dengan kes itu,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mengetahui sebarang kejadian berkaitan kecurian pencawang TNB diminta menghubungi balai polis berdekatan.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.-hmetro

Gaji minimum tidak cukup

JEDDAH: Penjaga Dua Masjid Suci, Raja Abdullah baru-baru ini, mengumumkan kenaikan bayaran gaji minimum pekerja Arab Saudi di sektor awam ialah 3,000 riyal (RM2,420) sebulan.
Bagaimanapun, dengan harga sewa kediaman yang melambung dan kos sara hidup meningkat 50 peratus, kebanyakan rakyat Saudi bimbang kenaikan minimum itu tidak mencukupi. Sesetengah, malah meminta kenaikan sebanyak 5,000 riyal (RM4,033). Pekerja di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah dan bapa tiga anak, Fahd Al-Dosary mengadu gajinya selalu habis sebelum akhir bulan. Dia berkata, gajinya tidak mencukupi untuk menyara keluarganya dan membeli keperluan asas. “Sukar untuk menyara empat beranak dengan RM2,420 sebulan,” katanya.

“Harga barang naik setiap hari di Arab Saudi, tetapi gaji kami tetap sama. Saya akan membuat kira-kira setiap kali gaji diterima. Saya ketepikan 1,500 riyal (RM1,210) untuk sewa apartmen dengan jumlah 18,000 riyal (RM14,521) setahun. Selebihnya dibahagikan kepada beras, daging, susu, roti, air, keperluan anak, petrol dan bil. Pakar ekonomi dan Ketua Pusat Penyelidikan dan Media Saudi, Jamal Banoon berkata, gaji minimum sepatutnya adalah RM4,033.

17 warga Filipina selamat daripada diseludup

MANILA: Seramai 17 orang lelaki dan perempuan berjaya diselamatkan di Bandar Zamboanga atas usaha kerajaan membanteras penyeludupan pekerja dan perdagangan manusia.
“Polis telah menerima maklumat orang ramai yang mengesyaki sebuah rumah telah dijadikan tempat perdagangan manusia di bandar Zamboanga.
Pasukan penyiasat telah menyelamatkan 12 lelaki dan 5 wanita, kesemua mereka keturunan peribumi Barangay Sapang Dalaga di Masimis Filipina Barat. Senior Polis Inspektor Gemma Luna, Ketua Bahagian Wanita dan Kanak-Kanak Zamboanga berkata, 17 yang ditahan itu juga mangsa perdagangan manusia.

Dia berkata, suspek yang ditahan juga mempunyai seorang anak perempuan, di Pulau Penyu di Tawi-tawi dan suaminya dikatakan seorang ahli majlis yang membantu menghantar kesemua mangsa ke Malaysia.

Suspek telah berjanji, mereka akan bekerja di ladang kelapa sawit di Malaysia.

“Mereka hanya bayar tambang bas dari Misamis ke Zamboanga dan semua kos lain akan ditanggung oleh agen pencari pekerjaan haram itu,” katanya. -hmetro

Kepala bayi putus: Doktor mungkin kena saman

MANILA: Seorang doktor mungkin akan disaman kerana menyebabkan bayi yang disambutnya ketika dilahirkan, terputus kepala.
Dr Marie Antonette Pasion adalah doktor yang bertanggung jawab menyambut kelahiran anak Emilo Veleroso di Hospital Ablan di Bandar Laoag.
Tetapi, Dr Marie mendakwa bayi itu sudah mati di dalam kandungan ibunya.

Katanya, ketika dia menarik kaki bayi itu, kepalanya sudah tertanggal di dalam perut Valeroso.
Katanya lagi, Emily sepatutnya menjalani pembedahan Caesarian kerana kedudukan bayinya yang songsang, tetapi kaki bayi itu sudah keluar menyebabkan doktor terpaksa meneruskan kelahiran secara normal.

Emily tidak dapat menerima penjelasan doktor dan bertegas yang dia telah menjaga dirinya dengan baik semasa mengandung.-hmetro

BBM pilihan perusuh

LONDON: Kekacauan yang melanda sebahagian besar bandar raya ini selama tiga hari sejak malam Ahad lalu sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai peranan yang boleh dimainkan teknologi dalam menganjur dan mengumpulkan orang ramai.
Ketika revolusi Arab awal tahun ini, tumpuan ialah terhadap Facebook dan Twitter.

Bagaimanapun, bagi perusuh di Tottenham, Enfield dan Brixton, peralatan komunikasi utama mereka ialah BlackBerry Messenger (BBM). Ia seolah-olah menjadi rangkaian kod sosial persendirian sepanjang keganasan itu.

Telefon bimbit pintar Blackberry begitu polular di kalangan remaja di kedua-dua belah Atlantik.

Ia juga lebih murah berbanding model Android dan iPhone.

Namun, perisian canggih yang dimiliki membolehkan Blackberry berjaya menguasai pasaran. BBM ialah aplikasi penghantaran mesej segera, membolehkan penggunaan berkomunikasi dengan cara yang sama untuk menghantar mesej serta percuma kerana penghantaran dan penerimaan dilakukan menerusi Internet, Menurut penganalisis, ia menggantikan penggunaan mesej pesanan ringkas (SMS) di kalangan golongan muda.

“Kami melihat kejatuhan dalam penggunaan SMS di kalangan golongan muda dan pemacu utama kini ialah BlackBerry,” kata Graham Brown dari Mobile Youth, April lalu. Setiap pengguna mempunyai nombor pengenalan diri (PIN) yang unik yang membolehkan pengguna BBM lain menghubungi mereka.

PIN BBM lebih tersedia untuk dikongsi bersama berbanding nombor telefon, membolehkan berita tersebar lebih cepat menerusi rangkaian itu berbanding SMS.

Bagi pihak berkuasa yang berhasrat mengesan kekacauan menerusi teknologi ini, ia berdepan dengan masalah, tidak seperti rangkain sosial Facebook dan Twitter. - Agensi, hmetro

Tiga ditahan atas tuduhan cuba membunuh

LONDON: Tiga orang ditahan kerana disyaki cuba membunuh selepas seorang anggota polis dilanggar oleh sebuah kereta ketika rusuhan di Brent, barat laut London, semalam.
Anggota berkenaan terpaksa dimasukkan ke hospital ekorang kejadian itu sementara seorang lagi cedera ringan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Scotland Yard, kejadian itu berlaku selepas polis menahan beberapa kereta kerana mengesyaki penumpangnya terbabit dalam kejadian menjarah sebuah kedai elektrik berhampiran. “Pemandu sebuah kereta memecutkan kenderaannya menyebabkan ia merempuh dua anggota polis.

“Tiga penumpang kemudian ditahan kerana disyaki cuba membunuh,” menurut kenyataan itu lagi.

Rusuhan melanda London untuk malam ketiga semalam dengan remaja menguasai jalan raya, menjarah kedai, membakar bangunan dan kereta. - AFP, hmetro

Pampasan puluhan juta paun

LONDON: Syarikat insurans dipercayai menanggung pampasan puluhan juta paun berikutan rusuhan selama tiga malam di London dan beberapa bandar utama Britain lain.
“Terlalu awal bagi kami untuk memberi gambaran tepat mengenai jumlah kos, khususnya kos gangguan perniagaan.

“Syarikat insurans kini bertungkus-lumus menguruskan tuntutan yang diterima,” kata jurucakap Persatuan Syarikat Insurans Britain (ABI), Nick Starling, semalam.

Sebahagian besar London rosak selepas rusuhan, penjarahan dan pembakaran yang dilakukan oleh kumpulan remaja. - AFP

16,000 polis dikerah

MARAK...gudang Sony di  utara London terbakar ekoran rusuhan malam semalam.
MARAK...gudang Sony di utara London terbakar ekoran rusuhan malam semalam.
LONDON: Perdana Menteri, David Cameron semalam mengarahkan Parlimen kembali bersidang serta meningkatkan jumlah anggota polis kepada tiga kali ganda bagi menangani rusuhan yang melanda sejak tiga hari lalu.
Cameron menyifatkan pemandangan bangunan terbakar di London dan beberapa bandar lain negara itu sebagai ‘menyakitkan’ tetapi mengelak daripada mengambil tindakan drastik seperti meminta bantuan tentera untuk membantu polis.

Sebaliknya, beliau berkata, 16,000 anggota polis akan dikerah meronda jalan raya di London, hampir tiga kali ganda berbanding jumlah malam kelmarin.

“Kami akan melakukan apa saja untuk mengembalikan keamanan di jalan raya Britain dan mewujudkan suasana aman bagi penduduk yang mematuhi undang-undang,” kata Cameron kepada wartawan selepas mengadakan mesyuarat dengan jawatan kuasa krisis kerajaan.

Menurutnya, Parlimen akan mula bersidang esok.

Rusuhan, penjarahan dan perbuatan membakar bangunan oleh kumpulan remaja bertopeng melanda sebahagian besar London serta merebak ke bandar lain sejak tiga hari lalu.


Rusuhan itu meragut nyawa mangsa pertama semalam apabila seorang lelaki ditembak dalam sebuah kereta.

Dia mati di hospital, kata polis.
Ahli politik dan polis menyalahkan penjenayah dan penjahat yang mengambil peluang bertanggungjawab terhadap rusuhan berkenaan, yang paling buruk sejak puluhan tahun di Britain.

Bagaimanapun, penduduk di kawasan terbabit dan beberapa pemerhati berkata, kekacauan itu berkait dengan ketegangan tempatan dan rasa marah terhadap masalah ekonomi di kawasan bandar yang jurang antara golongan berada dengan tidak berada semakin luas.

“Kami tidak mempunyai pekerjaan. Kami dengar orang lain memperoleh sesuatu secara percuma. Mengapa tidak kami,” tanya E Nan, pemuda yang berasal dari Hackney, kawasan kediaman pelbagai etnik.

Rusuhan itu mendedahkan keburukan London kepada dunia, kurang setahun sebelum ia menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2012, acara yang penganjur berharap dapat mempamerkannya sebagai bandar raya dinamik, makmur dan kosmopolitan.

“Ini bukan mengenai kaum, kepercayaan dan kelas semata-mata,” kata Pengarah Eksekutif Institut Kepaduan Masyarakat, Profesor Mike Hardy.

“Ia berkait dengan mereka yang dipinggirkan,” katanya. Polis berkata, mereka menahan 334 orang di London, 100 di Birmingham dan kawasan tengah Britain. - Reuters, bharian

Guru wanita rakam adegan seks dengan pelajar

LONG ISLAND: Seorang guru sekolah menengah menghadapi tuduhan merogol selepas didakwa merakam adegan dia mengadakan seks dengan seorang pelajar bawah umur.
Tara Driscoll, 33, dari Bayshore, Long Island, ditangkap selepas polis menerima salinan video berkenaan yang menunjukkan dia mengadakan seks dengan pelajar lelaki berusia 16 tahun.

Polis berkata, pelajar itu mengaku mengadakan seks dengan Tara selepas disoal ibunya.

Penyiasat berkata, Driscoll, yang mengajar undang-undang dan kerajaan, memilih pelajar itu dan membawanya ke sebuah Motel, tempat mereka mengadakan seks. - Agensi

Bunuh, kerat wanita kerana cinta

SHAH ALAM – Polis tidak menolak kemungkinan motif pembunuhan seorang wanita yang mayatnya ditemui dikerat 15 bahagian sebelum disumbat di dalam mangkuk tandas sebuah rumah di Blok Chryssa, Apartmen Astaria, Taman Kosas, Ampang Jaya minggu lalu berkaitan cinta dan cemburu. Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah (gambar) berkata, ia berdasarkan siasatan ke atas lebih 100 individu dan keterangan yang diambil daripada lebih 40 orang termasuk suami mangsa sejak kes itu disiasat pihaknya pada 3 Ogos lalu. Beliau bagaimanapun enggan mengulas sama ada mangsa mengenali suspek atau sebaliknya. “Suami mangsa didapati tidak terlibat kerana pada hari kejadian (29 Julai, Jumaat), dia yang tinggal di Ampang tidak bekerja dan menyedari kehilangan isterinya apabila wanita itu tidak pulang ke rumah pada hari yang sama. “Identiti mangsa dapat disahkan selepas kita menunjukkan gambar dan mengambil rakaman percakapan daripada suaminya,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.-kosmo

‘Saya nak ibu’

pix_gal0
Pelajar trauma, enggan pulang rumah

IPOH: “Saya nak ibu, saya tidak percaya ibu sudah meninggal dunia,” kata Serry Prisila Saari, 15, mangsa kejadian tanah runtuh di Perkampungan Orang Asli Sungai Ruil, Tanah Rata, di sini, petang Ahad lalu.

Pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ahmad Shah itu yang masih lemah selepas ditarik keluar dari timbunan tanah dalam tragedi itu sukar menerima hakikat pemergian orang tersayang, Sara Gunung, 37. “Memang ada orang bagi tahu ibu sudah meninggal tetapi saya tidak mahu percayakan,” katanya sambil menangis ketika ditemui di Hospital Besar Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini, semalam.
Dalam kejadian yang meragut tujuh nyawa, Serry Prisila bukan saja kehilangan ibunya malah nenek, Normadiah Lasik, 69, serta empat saudaranya iaitu Jaafar Balad, 48; isterinya, Normah Gunung, 51; anaknya, Mohd Iqbal, 15; menantu, Yusnizan Yusuf, 22.

Seorang lagi yang maut ialah adik Tok Batin Kampung Sungai Ruil yang dikenali sebagai Ali Asan, 50.

Serry Prisila antara dua yang parah selain Bah Anjang Besar Alang, 39.

Ketika kejadian, Serry Prisila sedang mandi dalam bilik air rumahnya sebelum terpelanting keluar dan ditimbus tanah, tetapi bernasib baik apabila diselamatkan penduduk yang melihat jarinya terjulur keluar dari timbunan tanah.
Serry Prisila yang patah kaki kanan dan bahu selain calar dan luka termasuk di kepala serta beberapa anggota badan berkata, dia tidak sedar apa yang berlaku selepas terpelanting keluar dari rumah.

“Apabila sedar saya sudah berada di hospital,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan kembali melihat kawasan rumahnya yang ranap apabila pulih nanti, dia menggelengkan kepala sambil berkata: “Saya tidak mahu kembali ke situ lagi.”

Sementara itu, Bah Anjang yang ditemui di hospital sama berkata, dia tidak akan kembali menetap di kawasan kejadian kerana bimbang kejadian sama berulang.
“Saya memang takut memikirkan kejadian itu dan merancang mencari tempat lain untuk keluarga saya tinggal,” katanya yang patah punggung dan bahu kanan. 

Remaja koma dibaling topi keledar

 MOHAMMAD Solehin   koma di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Bahiyah selepas didakwa terbabit dalam kemalangan Sabtu lalu.
MOHAMMAD Solehin koma di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultanah Bahiyah selepas didakwa terbabit dalam kemalangan Sabtu lalu.

ALOR SETAR: Seorang remaja lelaki berusia 14 tahun dari Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar, Perlis, koma sejak empat hari lalu selepas terjatuh daripada motosikal, didakwa berpunca akibat dibaling dengan topi keledar oleh anggota polis yang cuba menahannya pada malam minggu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam itu, Mohd Solihin Che Kassim sedang menunggang motosikal bersama rakannya di perkampungan itu apabila dua anggota polis yang melakukan rondaan cuba menahannya tetapi mangsa dikatakan tidak berhenti.
Tindakan remaja itu menyebabkan seorang daripada anggota polis terbabit membaling topi keledar ke arah motosikal mangsa yang menunggang tanpa memakai topi keledar, menyebabkan dia terjatuh.
Bapa mangsa, Che Kassim Darus, 47, berkata ketika kejadian dia sedang solat terawih di surau kampung itu apabila diberitahu anaknya cedera kerana terjatuh motosikal dan bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di situ, dia mendapati Mohd Solihin yang juga anak kedua daripada sembilan beradik dan tidak lagi bersekolah terbaring tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah serta belakang kepalanya bengkak.

Beliau berkata, rakan anaknya memberitahu dua anggota polis yang melakukan rondaan di situ membaling topi keledar ke arah motosikal Mohd Solihin, menyebabkan dia hilang kawalan lalu terbabas dan terjatuh.

“Saya kesal dengan kejadian ini dan jika anak saya melakukan kesalahan, polis boleh mengambil tindakan lain dan bukan membahayakan nyawanya.
“Kami sekeluarga sedih kerana dia masih koma, sedangkan tidak lama lagi Aidilfitri akan menjelma,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini, semalam.

Berikutan kejadian itu, Che Kassim membuat dua laporan di Balai Polis Kaki Bukit dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar.

Beliau turut menafikan anaknya berlumba haram atau lari daripada sekatan polis ketika kejadian itu. 
-bharian

Murid mati makan juadah berbuka

Enam turut alami muntah, cirit birit 

 MERU: Seorang murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Binjai dekat sini, meninggal dunia pagi kelmarin, selepas mengalami muntah dan cirit birit kira-kira setengah jam selepas menikmati juadah berbuka puasa yang dibelikan bapanya di sebuah bazar Ramadan berdekatan rumahnya di Taman Seri Mewah di sini, petang Ahad lalu.

Selain Nurdini Mohamad Ali, 11, hampir seluruh ahli keluarganya turut mengalami simptom sama sehingga terpaksa dimasukkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, selepas memakan juadah sama.
Mereka ialah ibunya, Noraliti Ramli, 37, yang kini hamil lima bulan, dan empat abangnya, Mohammad Syafiq, 14; Mohammad Irfan, 13; Mohammad Fitri, lapan dan Mohammad Hazimi, tiga tahun serta pembantu rumah dikenali sebagai Pati.
Mohammad Irfan dan Mohammad Fitri turut disyaki dijangkiti penyakit taun, manakala Mohammad Hazimi menghidap demam denggi.

Bapa mangsa, Mohamad Ali Khir, 37, yang ditemui di HTAR, berkata jam 6.10 pagi kelmarin, beliau ke bilik air dan terdengar bunyi dengusan seperti lembu disembelih dari bilik air.

“Sebaik membuka pintu bilik air, saya terkejut melihat Nurdini dalam keadaan terlentang dengan mata terbeliak dan mulutnya berbuih,” katanya.

Mohamad Ali yang tidak dapat menahan sebak, berkata Nurdini meminta air batu campur (ABC) dan otak-otak sejak awal Ramadan lagi, tetapi hanya Ahad lalu beliau berkesempatan membeli juadah berkenaan.
“Kira-kira setengah jam selepas berbuka dengan juadah itu, perut saya mula berasa tidak selesa dan kira-kira sejam kemudian kami sekeluarga dan pembantu rumah mula muntah serta cirit-birit sehingga tidak larat untuk bangun ke bilik air.

“Sebaik melihat keadaan Nurdini yang semakin teruk, saya membawanya ke HTAR tetapi sebaik tiba di hospital, doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia,” katanya.

Ahli keluarganya yang lain dibawa ke hospital sama dengan bantuan jiran.

Mohamad Ali berkata, biarpun beliau turut mengalami simptom sama, beliau menggagahkan diri dan tidak mahu dirawat di hospital kerana tiada siapa untuk menguruskan jenazah anaknya.

Jenazah Nurdini dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Meru, selepas Zuhur, petang kelmarin.

Ditanya sama ada beliau mahu mengambil tindakan terhadap peniaga yang menjual makanan yang disyaki tercemar, Mohammad Ali berkata beliau tidak mahu menyalahkan sesiapa, tetapi menasihati peniaga bazar Ramadan mengambil iktibar dan berhati-hati ketika mengendalikan makanan yang dijual supaya kejadian menimpa keluarganya tidak berulang. -bharian

Pelajar Malaysia cedera diserang

Pelajar Malaysia, Asyraf Haziq Rosli, 20 (gambar atas), patah gigi dan cedera rahang selepas dipukul dan disamun sekumpulan perusuh di London, semalam.
Gambar dirakam di Hospital Royal London. Turutan gambar di kanan dipetik dari YouTube menunjukkan:
1.Asyraf terduduk selepas dipukul perusuh.
2. Ketika Asyraf masih dalam keadaan kesakitan selepas diserang, seorang perusuh pura-pura cuba membantu Asyraf, manakala rakanya menyelongkar beg mangsa.
3. Lelaki itu merampas dompet dan telefon bimbit Asyraf yang disimpan dalam begnya.
Pelajar Malaysia, Asyraf Haziq Rosli, 20 (gambar atas), patah gigi dan cedera rahang selepas dipukul dan disamun sekumpulan perusuh di London, semalam. Gambar dirakam di Hospital Royal London. Turutan gambar di kanan dipetik dari YouTube menunjukkan: 1.Asyraf terduduk selepas dipukul perusuh. 2. Ketika Asyraf masih dalam keadaan kesakitan selepas diserang, seorang perusuh pura-pura cuba membantu Asyraf, manakala rakanya menyelongkar beg mangsa. 3. Lelaki itu merampas dompet dan telefon bimbit Asyraf yang disimpan dalam begnya.

Asyraf Haziq dalam perjalanan berbuka puasa disamun sekumpulan perusuh

LONDON: Seorang pelajar Malaysia, Asyraf Haziq Rosli cedera diserang dan disamun sekumpulan belia lelaki yang terbabit dalam rusuhan di sini petang kelmarin.

Ketika kejadian, Asyraf, 20, pelajar tahun pertama pengajian perakaunan tajaan MARA di Kolej Kaplan sedang menunggang basikal dengan rakannya untuk berbuka puasa di rumah rakan mereka. Beliau yang patah gigi dan bengkak pipinya dihantar ke Hospital Royal London untuk dibedah. Kejadian berkenaan dirakam oleh orang awam dan video klip rakaman itu muncul dalam YouTube yang kemudian disiarkan oleh siaran berita Sky TV.
Rakaman itu menunjukkan Asyraf terduduk selepas diserang dengan mulutnya berdarah. Tidak lama selepas itu, sekumpulan pemuda datang membantunya sambil beberapa daripada mereka membuka beg yang dibawanya dan mencuri dompet serta telefon bimbitnya. Seorang pemuda kemudian dilihat meninggalkan tempat kejadian menunggang basikalnya.

Pengarah Mara di United Kingdom (UK), Dr Noorzaini Mohd Noor, berkata ibu bapa Asyraf sudah dimaklumkan kejadian itu dan pihaknya serta Jabatan Pelajar Malaysia di London sedang berusaha memindahkan pelajar yang tinggal di tempat dikenal pasti sebagai berbahaya diancam perusuh.

Sementara itu, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di UK, Datuk Zakaria Sulong, berkata setakat ini tidak ada pelajar atau rakyat Malaysia lain terbabit dalam rusuhan dan sudah menasihatkan mereka menjauhi tempat yang dianggap berbahaya bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Disebabkan rusuhan cepat merebak, kita akan mengeluarkan arahan dan nasihat dari semasa ke semasa,” katanya.
Seorang pegawai perhubungan polis di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London, Nik Aziz Nik Razak juga sudah meninjau keadaan.

Rusuhan bermula di London tiga hari lalu selepas seorang lelaki ditembak mati oleh polis di Tottenham, utara London dan merebak ke banyak bandar. Rusuhan turut berlaku di Bayswater yang menempatkan Malaysia Hall, tetapi hanya kejadian kecil berbanding di tempat lain.

Semalam, rusuhan menyaksikan kumpulan pemuda yang membakar dan mencuri, merebak ke bandar lain termasuk Birmingham, Liverpool. Bristol dan Manchester.

Dibunuh guna tukul besi: Polis

Pakar perlu analisis keadaan wanita dikerat 15 bersama budak lelaki 
SHAH ALAM: Polis Selangor semalam mendedahkan tukul besi digunakan sebagai senjata dalam kes pembunuhan seorang wanita dan kanak-kanak lelaki dengan mayat mereka dikerat 15 bahagian di sebuah pangsapuri tidak berpenghuni di Taman Kosas, Ampang, Rabu lalu.Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah, berkata kesan kecederaan pada badan mangsa wanita itu hampir sama dengan kesan penggunaan tukul besi. Beliau berkata, pakar perlu menganalisis keadaan mayat sebelum mengetahui punca kematian kedua-dua mangsa dan polis sedang mengenal pasti sama ada kanak-kanak lelaki itu anak wanita berkenaan.
Katanya, setakat ini lebih 100 orang sudah ditemubual dan keterangan 40 saksi diambil, termasuk seorang lelaki yang dikatakan suami wanita itu.Lelaki itu berkata isterinya hilang sejak 29 Julai lalu. Dia menyedari perkara ini selepas wanita berkenaan tidak balik ke rumah mereka,” katanya.Mayat wanita dan kanak-kanak itu ditemui dalam beberapa beg plastik di sebuah pangsapuri tidak berpenghuni dalam keadaan badan mereka dikerat-kerat. – BERNAMA 

‘Bas London’ tersadai

 SEBUAH bas dua tingkat kelihatan berada di bawah garaj dan masih belum dibaik pulih di Kompleks Logistik MBMB, Batu Berendam.
SEBUAH bas dua tingkat kelihatan berada di bawah garaj dan masih belum dibaik pulih di Kompleks Logistik MBMB, Batu Berendam.

Kenderaan usia 30 tahun sukar dapat alat ganti

MELAKA TENGAH: Bas dua tingkat berwarna merah atau lebih popular sebagai ‘Bas London’ yang menjadi kebanggaan penduduk negeri ini kerana berjaya menarik ramai pelancong, kini tersadai sejak hampir setahun lalu dipercayai akibat sukar mendapat alat ganti selepas mengalami kerosakan.

Kenderaan terbabit yang menyediakan perkhidmatan di sekitar kawasan pelancongan pusat Bandaraya Melaka Bersejarah sejak 14 Ogos 2007, terpaksa ditempatkan di Kompleks Logistik Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Batu Berendam, dekat sini.
Perkhidmatan pengangkutan pelancongan itu sebelum ini dikendalikan PM Cultural and Tourism (PMCT) Sdn Bhd, anak syarikat milik kerajaan negeri yang turut menyediakan perkhidmatan bas awam di sekitar Bandaraya Melaka Bersejarah.
Sumber memberitahu Berita Harian, kedua-dua enjin bas berusia 30 tahun yang dibeli dari London Bus Export Ltd di United Kingdom, mengalami kerosakan teruk dan tidak dapat diperbaiki segera kerana alat gantinya perlu diperoleh dari tempat asalnya.

Katanya, akibat kerosakan teruk itu, MBMB terpaksa mengambil alih pengurusan kedua-dua bas itu daripada PMCT, sebelum diletakkan di Kompleks Logistik MBMB di Batu Berendam bagi proses pembaikan.

“Perkhidmatan dua bas itu diberhentikan serta-merta sejak September lalu, selepas kerja membaikinya tidak dapat diteruskan kerana menanti alat ganti dari London,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Perkhidmatan Bas London diperkenalkan kerajaan negeri sebagai usaha menarik lebih ramai pelancong ke Melaka.
Produk pelancongan ini popular di kalangan pelancong domestik untuk bersiar-siar di tapak bersejarah di sekitar pusat bandar raya. -bharian

Polis nasihat waspada teman Facebook, Twitter

pix_gal0


ALOR SETAR: Polis menasihatkan pengguna internet supaya berhati-hati dengan perangkap cinta siber yang semakin aktif di negeri ini, terutama membabitkan hubungan perkenalan melalui laman sosial seperti Facebook dan Twitter yang akhirnya menyebabkan mangsa kerugian ribuan ringgit.

Perkara itu didedahkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kedah selepas mengesan 21 kes jenayah siber yang direkodkan sehingga Julai lalu dengan tujuh tangkapan dibuat, berbanding 20 kes tahun lalu. Ketua JSJK Kedah Superintendan Nasbah Jusoh, berkata pengguna internet perlu lebih peka dengan taktik jenayah siber kerana perbuatan mendedahkan butiran peribadi kepada orang asing selain mempercayai kekasih siber hanya akan menjerat diri sendiri.
"Kita mengesan kes jenayah siber termasuk hubungan cinta menerusi Facebook semakin serius di negeri ini, termasuk menggunakan gambar gadis cantik yang dipaparkan pada profil pemegang akaun untuk menjerat lelaki kemaruk cinta dengan tujuan untuk mendapatkan wang.

"Apa yang peliknya dalam kebanyakan kes, mangsa sanggup menghabiskan wang untuk menawan hati kekasih siber mereka walaupun percintaan mereka hanya di alam maya," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Nasbah berkata, polis turut mengesan 26 kes membabitkan sindiket penyamaran sebagai pegawai bank yang mensasarkan penjawat awam dan pekerja swasta sebagai mangsa dengan nilai kerugian mencecah RM324,000 dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini.

Katanya, modus operandi sindiket itu ialah menghubungi mangsa dengan menyamar sebagai wakil bank sebelum memaksa mereka membayar sejumlah wang kononnya baki kad kredit bagi mengelak tindakan undang-undang diambil.
Beliau berkata, jumlah jenayah itu meningkat berbanding 23 kes tahun lalu dengan nilai kerugian mencecah RM281,000 dengan dua tangkapan dilakukan.

"Justeru, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai mana-mana pihak yang mengaku wakil daripada institusi perbankan yang menuntut bayaran dibuat atas nombor akaun persendirian bagi mengelak menjadi mangsa," katanya. -bharian

Makanan Jepun tercemar

TOKYO: Menteri Luar Jepun, Takeaki Matsumoto mengarahkan kementeriannya supaya mengelak memberi pengesahan mengenai keselamatan makanan Jepun. 
Pendirian kementerian itu berubah selepas daging lembu yang dicemari radioaktif dijual kepada pengguna di seluruh negara berkenaan, kata sumber yang dipetik agensi berita Kyodo.

Pencemaran daging dipercayai disebabkan ternakan diberi makan batang padi tercemar dengan isotop cesium yang dikeluarkan loji nuklear Fukushima Daiichi.
Bagi menangani kebimbangan yang meluas mengenai bekalan makanan, Kementerian Luar memberitahu kedutaan dan pejabat diplomatik di luar negara supaya menerangkan perkara itu kepada pihak berkuasa tempatan, pengimport dan organisasi media mengenai pendekatan yang diambil kerajaan untuk menghalang makanan tercemar daripada masuk ke saluran pengedaran awam. 

Kementerian turut meminta pejabat diplomatik mengulangi pendirian mendedahkan maklumat keselamatan dengan tepat. 

Pada 8 Julai lalu, Matsumoto berkata beliau mahumengurangkan kebimbangan mengenai keselamatan makanan dengan apa yang dibuat kerajaan untuk menghalang makanan tercemar daripada masuk ke rantaian makanan. – Agensi 
-bharian

PA arah henti taja buka puasa

PENDUDUK Palestin menunggu berbuka puasa dekat masjid al-Aqsa berdepan masjid Omar.
PENDUDUK Palestin menunggu berbuka puasa dekat masjid al-Aqsa berdepan masjid Omar.

Pihak Berkuasa Palestin tiada bajet untuk majlis iftar 
 RAMALLAH: Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, mengarahkan Pihak Berkuasa Palestin (PA) berhenti menganjurkan majlis berbuka puasa sebaliknya menyalurkan wang belanja itu untuk keperluan penduduk miskin di wilayah itu dan menggalakkan sektor swasta turut sama. Kementerian Hal-Ehwal Sosial Palestin berkata, Abbas mengambil keputusan itu berikutan krisis kewangan yang dihadapi PA dan hakikat tetamu yang dijemput ke majlis itu cuma di kalangan tokoh politik, akademik dan wartawan. Ia menambah, majlis berbuka puasa menelan belanja beratus ribu dolar setiap tahun. Menurut kementerian itu, institusi awam dan beberapa sektor swasta membatalkan tempahan berikutan arahan PA. Menteri Hal Ehwal Sosial, Majedah Al-Masri, berkata kementerian akan mengagihkan peruntukan untuk menganjurkan majlis itu kepada penduduk miskin Palestin di Tebing Barat. Katanya, negara Arab dan pertubuhan kebajikan turut menyokong usaha kementerian itu. PA kini kekurangan wang. Ia sudah membayar 150,000 pekerja awam untuk gaji mereka bulan ini tetapi hanya selepas mereka mengancam melancarkan mogok.
Pentadbir Palestin itu juga berhutang separuh gaji mereka bulan lalu. Seorang penjual daging, Tamer Marmash berkata ramai pelanggannya menderita.

Katanya, ramai di kalangan pekerja juga berhutang dan bayaran kepada mereka terlebih dulu diberi kepada bank.

Katanya, jika gaji seorang pekerja adalah AS$700 (RM2,100), dia tidak akan dapat membawa pulang lebih daripada AS$100 (RM300).

Justeru, pekerja berkenaan akan mencuri kerana tiada jalan lain untuk mendapat wang lebih, kata Marmarsh.

PA hanya mempunyai wang mencukupi untuk separuh pekerjanya kerana belum menerima bantuan negara Arab dan Barat lain.

Sementara itu, Hani al-Masri yang mengetuai Pusat Politik bagi Kajian Dasar Strategik dan di Ramallah, berkata ada beberapa penderma anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tidak suka usaha PA menjadi ahli badan dunia itu. – Agensi . bharian

Pencuri telefon dicekup polis


TUN HISAN (tengah) menunjukkan sebahagian komponen telefon awam yang dirampas daripada lima lelaki pada sidang akhbar di Shah Alam semalam.




SHAH ALAM – Kelakuan jahat lima lelaki yang menyamar sebagai kontraktor untuk mencuri dan mengangkat telefon awam sejak tiga bulan lalu bagi mendapatkan duit syiling terbongkar apabila kesemuanya ditahan dalam serbuan baru-baru ini.
Suspek-suspek berusia di antara 20 dan 40 tahun tersebut ditahan di sebuah kedai menjual barangan lusuh di Bandar Baru Bukit Beruntung, Hulu Selangor pada 26 Julai lalu ketika hendak menjual barangan tersebut buat kali ke-17 pada pukul 6.05 petang.
Dalam serbuan itu, polis merampas 112 tutup telefon awam bahagian depan, 50 gagang, sebuah lori dan sebuah kereta Proton Wira dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM960,000.
Selain itu, polis turut merampas topi kontraktor, baju keselamatan, beberapa peralatan untuk melonggarkan skru dan tukul besi. Difahamkan, suspek turut menggunakan dokumen palsu untuk melakukan kegiatan tersebut.
Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, siasatan mendapati, suspek akan meleraikan telefon yang dicuri untuk dijual di kedai besi buruk. Duit syilingnya turut diambil.-kosmo

Gerai bazar Ramadan dipukul ribut


KEADAAN gerai di bazar Ramadan Teluk Cempedak yang musnah dilanda ribut malam kelmarin.

KUANTAN - Sebanyak 11 buah gerai bazar Ramadan di Teluk Cempedak di sini kerugian kira-kira RM200,000 akibat dipukul ribut pukul 7.20 malam semalam.
Daripada 11 buah gerai itu, lima daripadanya mengalami kerosakan teruk apabila diterbangkan angin dan menghempap gerai lain.
Pengurus Tapak Gerai, Omar Noor Mohamad berkata, kejadian itu merupakan yang pertma berlaku di tapak niaga yang mempunyai 30 gerai jualan pelbagai itu.
"Buat sementara waktu, operasi di tapak ini akan ditutup selama seminggu untuk dibaik pulih.
"Saya menganggarkan kerugian yang dialami kesemua peniaga terbabit adalah sebanyak RM200,000," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Sementara itu, Arian Fazry Md. Zahari, 23, berkata, dia sempat melarikan diri ke kawasan yang selamat selepas gerai tersebut dilanda angin kencang.
"Kejadian berlaku sekelip mata dan ketika itu saya berada di bawah khemah. Saya berlari keluar selepas mendengar bunyi angin kuat selain melihat debu berterbangan.
"Ketika itu saya hanya melihat khemah jualan terangkat sebelum diterbangkan angin dan menghempap khemah jualan di sebelah," ceritanya.
Bagi peniaga barangan aksesori, Ismail Abdul Rahman, 40, berkata, sewaktu kejadian, dia berada di kedai makan berdekatan untuk berbuka puasa.
Menurutnya, sebaik masuk waktu berbuka puasa, dia melihat lima buah khemah di tapak ekspo itu diterbangkan angin kencang.
"Syukurlah kami semua selamat dan tiada sesiapa yang tercedera," katanya lagi.-kosmo

2 saksi bantah kehadiran Anwar



KUALA LUMPUR - Temu bual terhadap dua saksi bagi kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang dibicara, dibatalkan selepas kedua-dua mereka membantah kehadiran Anwar semasa temu bual itu.
Peguam S. N. Nair yang mewakili Anwar ketika dihubungi berkata, anak guamnya berhak untuk hadir semasa temu bual dengan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof yang diadakan di Kompleks Mahkamah di Jalan Duta di sini semalam.
Beliau berkata, memandangkan kedua-dua saksi membantah kehadiran Anwar semasa temu bual itu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah menetapkan hari ini untuk bertemu pasukan pendakwaan dan pembelaan.
Ditanya sama ada pihak pendakwaan telah mengatur untuk menemu bual saksi yang lain, Nair berkata, pendakwaan belum memberi maklumat mengenainya kepada pembelaan setakat ini.
Kepada soalan sama ada Musa dan Rodwan datang ke mahkamah bersama peguam mereka, Nair menjawab: 'Tidak'.
Semalam, Hakim Mohamad Zabidin membenarkan permohonan Anwar untuk menemu bual 15 saksi termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, Musa, Rodwan serta 11 orang lagi dan menetapkan 15 hingga 26 Ogos bagi kes pembelaan.
Mahkamah pada mulanya menetapkan 8 hingga 26 Ogos dengan Anwar dijadual sebagai saksi pertama memberi keterangan.
Pada akhir kes mereka, pendakwaan menawarkan 71 saksi, termasuk Najib dan Rosmah.
Pihak pembelaan pula memilih untuk menemu bual hanya 25 orang dan setakat ini, hanya lima orang yang telah pun ditemu bual iaitu bekas ratu pecut negara, Datuk Mumtaz Jaafar, Dr. Mohd. Osman Abd Hamid (sebelum ini bertugas di Pusat Rawatan Islam), Saidaiti Azlan (adik perempuan bongsu Mohd. Saiful Bukhari Azlan), seorang doktor dari Hospital Kuala Lumpur yang dikenali sebagai Dr. Daniel dan pembantu khas Najib ketika menjawat Timbalan Perdana Menteri, Khairil Anaz Yusof.
Pada 16 Mei lalu, Hakim Mohamad Zabidin memerintahkan Anwar membela diri selepas memutuskan bahawa bekas pembantu Anwar, Mohd. Saiful iaitu pengadu dalam kes itu adalah seorang saksi yang boleh dipercayai dan berwibawa.
Anwar, 63, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 7 Ogos 2008, atas tuduhan melakukan seks di luar tabii di Kondominium Desa Damansara di Bukit Damansara, antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun, tahun yang sama. - Bernama-kosmo

Sejuta pengguna Lebuh raya LATAR


PEMANDANGAN dari udara Lebuh raya Latar yang telah dibuka sejak 23 Jun lalu.

KUALA LUMPUR - Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Lebuh Raya LATAR) telah mencatatkan satu juta pengguna bagi laluan itu selepas pembukaannya pada 23 Jun lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kuala Lumpur-Kuala Selangor Expressway Bhd. (KLSEB), Amran Amir, sehingga 31 Julai lalu sebanyak satu juta pemandu telah melalui empat tol plazanya.
KLSEB merupakan pengendali lebuh raya berkenaan.
"Lebuh raya itu sudah pastinya telah membuktikan kewujudannya dalam menghubungkan banyak bandar baharu dan perkampungan seperti Rawang, Selayang, Petaling Jaya dan Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini semalam.
Tambah beliau, lebuh raya berkenaan telah mencergaskan senario ekonomi dalam membuka wadah bagi laluan yang lebih mudah, menjimatkan masa dan cekap daripada segi penggunaan bahan bakar.
"Kami yakin bahawa lebuh raya LATAR akan terus dimanfaatkan sepenuhnya," tambah beliau.
Lebuh Raya LATAR menghubungkan Kuala Lumpur menerusi Taman Templer dengan Ijok di Kuala Selangor menerusi laluan sepanjang 33 kilometer dalam hanya 18 minit.-kosmo