Pages

Friday, September 23, 2011

2,000 rakyat Kuwait berhimpun bantah kerajaan amal rasuah

KUWAIT:Kira-kira 2,000 rakyat Kuwait berhimpun di sebuah dataran di luar Parlimen, semalam bagi membantah amalan rasuah dalam kerajaan di negara pengeluar minyak di Teluk Arab itu.
Bantahan diadakan selepas akhbar harian negara itu, al-Qabas melaporkan bulan lalu, beberapa bank tempatan cuba menguruskan sejumlah besar wang deposit milik beberapa anggota Parlimen dan ahli keluarga mereka.

Al-Qabas melaporkan bank berkenaan yang mempersoalkan jumlah wang itu tidak berpuas hati dengan jawapan diterima daripada ahli Parlimen terbabit dan beranggapan mungkin ia membabitkan rasuah politik. “Rakyat mahu rasuah diakhiri,” laung kumpulan itu yang turut disertai wanita dan kanak-kanak. “Berundur, berundur Nasser,” laung mereka merujuk kepada Perdana Menteri Sheikh Nasser al-Mohammad al-Sabah. - Reuters

2 wanita pakai niqab didenda

MEAUX (Perancis): Mahkamah polis di negara ini semalam mengenakan denda pertama terhadap dua wanita yang didakwa kerana memakai niqab (purdah) atau menutup seluruh mukanya.
Polis sudah mengenakan beberapa denda serta-merta sejak pengharaman itu berkuatkuasa April lalu tetapi kes semalam adalah yang pertama dikeluarkan mahkamah. Bagaimanapun, wanita berkenaan berikrar akan membuat rayuan hingga ke Mahkamah Has Asasi Manusia Eropah.

Hind Ahmas, 32, diarahkan membayar denda 120 euro (RM504), manakala Najate Ali, 36, didenda 80 euro (RM336). Mahkamah bagaimanapun tidak mengarahkan mereka menduduki kursus kewarganegaraan seperti disarankan pendakwa raya.

Dua wanita terbabit tiba lewat di mahkamah dan tidak sempat menghadiri sesi perbincangan. Seorang daripadanya tidak dibenarkan hadir ke mahkamah Mei lalu kerana dia enggan membuka purdah menunjukkan wajahnya.

Yann Gre daripada persatuan ‘Usah Sentuh Perlembagaan Saya’ yang membela dua wanita terbabit yang ditangkap Mei lalu di hadapan Dewan Bandaraya Meaux kira-kira 50 kilometer di timur Paris berkata, mereka akan mengemukakan rayuan.

Menurutnya, sekiranya denda itu disahkan mahkamah tinggi, mereka akan membawa kes itu ke Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah di Strasbourg.


“Undang-undang ini melarang wanita memakai purdah keluar rumah. Ia seperti hukuman penjara seumur hidup,” katanya. - AFP

Misi tamat 90 hari lagi

BRUSSELS: Nato yakin dapat menamatkan misi di Libya dalam tempoh 90 hari seperti yang dipersetujui sebelum ini.
“Saya yakin kami akan menamatkan misi itu dalam tempoh yang ditetapkan,” kata pemerintah Nato untuk operasi Libya, Leftenan Jeneral Charles Bouchard pada sidang media, semalam.

Negara anggota Nato kelmarin bersetuju melanjutkan tempoh misi itu yang sapatutnya tamat pada 27 September kepada 90 hari lagi. - AP

Tentera NTC tangguh serang Sirte

SULTANA: Tentera Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) yang mara ke Sirte, bandar kelahiran Muammar Gaddafi dari arah timur menangguhkan serangan mereka selama seminggu sementara menanti ketibaan bekalan senjata.
“Pertempuran dihentikan seminggu. Kami berdepan dengan kekurangan senjata,” kata Komander Mustafa bin Dardef dari Briged Zintan. Tenteranya kini berada kira-kira 25 kilometer ke timur bandar berkenaan.

Mustafa berkata, dia bersama beberapa anggotanya akan berlepas ke Benghazi untuk mendapatkan bekalan baru.

Dalam pada itu, tentera yang setia kepada rejim baru akan mewujudkan ‘barisan pertahanan kukuh’ di sekitar Sultana, bandar yang mereka tawan awal Isnin lalu dan terletak kira-kira lima kilometer di belakang barisan depan.

Pertempuran di luar Sultana sengit sejak beberapa hari lalu apabila penyokong Gaddafi memberi tentangan hebat. - Reuters

Sarkozy tentang keanggotan penuh Palestin dalam PBB

PBB: Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy semalam menentang usaha Palestin untuk menjadi anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Beliau sebaliknya menggesa Palestin menjadi negara bukan anggota, meningkatkan statusnya daripada pemerhati dalam badan dunia itu.

Dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung PBB, pemimpin Perancis itu juga menggesa diberikan tempoh setahun untuk membolehkan perjanjian muktamad dicapai antara Israel dengan Palestin.

Beliau turut berkata, usaha damai yang diketuai Amerika Syarikat tidak boleh mengenepikan negara Eropah, Arab atau negara lain.

Dalam usahanya untuk mengelak pertikaman lidah, Sarkozy mencari jalan tengah antara rancangan Palestin untuk meminta Majlis Keselamatan membenarkan negara itu menjadi anggota penuh dengan hasrat Amerika menyekat usaha itu dengan kuasa vetonya, yang disifatkannya sebagai bahaya.

“Kita semua tahu Palestin tidak boleh serta-merta mendapat keanggotaan penuh. “Tetapi pengunaan kuasa veto di Majlis Keselamatan akan meningkatkan lagi keganasan di Asia Barat,” kata pemimpin Perancis itu.


“Mengapa kita tidak menawarkan Palestin status negara bukan anggota daripada negara pemerhati. Ini adalah langkah penting ke hadapan,” kata Sakozy.

Status seumpama itu juga akan membolehkan Palestin menganggotai pertubuhan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia dan mungkin Mahkamah Jenayah Antarabangsa. - AP

Penjajahan Zionis punca sengketa

PBB: Pegawai kanan Palestin semalam menegaskan satu-satunya cara untuk mewujudkan keamanan di Asia Barat ialah menamatkan penjajahan Israel terhadap Palestin.
Kenyataan itu dibuat selepas Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama berkata, tidak ada jalan singkat untuk mewujudkan keamanan itu.

Pegawai Palestin juga menuduh Obama bersikap bermuka-muka dalam memuji kebangkitan demokrasi Arab apabila dia menggesa rakyat Palestin kembali ke meja rundingan.

“Ada perbezaan luas antara memuji perjuangan rakyat Arab untuk mendapatkan kebebasan dan menggesa kami berunding dengan Israel tanpa sebarang asas yang jelas,” kata Setiausaha Agung Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO), Yasser Abed Rabbo.

“Kami masih menanti untuk mendengar kenyataan bahawa pembebasan rakyat Palestin adalah prinsip utama kepada ‘Kebangkitan Arab’ dan kebebasan, yang mesti termasuk rakyat Palestin,” katanya.

Dalam ucapannya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Obama berkata, tidak ada jalan pintas ke arah keamanan di Asia Barat ketika usaha diplomatik rancak dilaksanakan bagi menghadapi usaha Palestin untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai anggota penuh PBB. “Satu-satunya cara ke arah keamanan ialah mengakhiri penjajahan Israel dan mewujudan sebuah negara Palestin,” kata Nabil Abu Rudeina, jurucakap Presiden Palestin, sejurus selepas Obama berucap.


“Kami akan bersetuju untuk kembali ke meja rundingan sebaik Israel bersetuju menamatkan pembinaan penempatan Yahudi dan kembali ke sempadan 1967,” katanya.

Sebaik berucap, Obama terus berunding dengan Perdana Menteri rejim Zionis, Benjamin Netanyahu. Dia dijadual berunding dengan Mahmoud kemudian. - AFP

Budak bertarung dalam kandang

LONDON: Pertubuhan kebajikan dan ahli politik Britain berang semalam selepas muncul rakaman video memaparkan dua budak berusia lapan tahun dibiarkan bertarung dalam kandang sambil disaksikan ratusan orang dewasa.
Video itu - dirakam di Kelab Greenlands Labour di Preston, barat laut England pada awal bulan ini - menunjukkan dua budak terbabit bertarung tanpa sebarang alat perlindungan pada tubuh mereka.

Dianggarkan 250 orang menyaksikan pertarungan itu.

Ketika pertubuhan kebajikan kanak-kanak, NSPCC, menganggap video itu sangat keterlaluan, polis Lancashire berpendapat, kes itu disiasat dan tidak timbul isu ia perlu diperbesarkan mana-mana pihak.

Bapa seorang daripada budak terbabit, Nick Hartley, berkata anaknya tidak berdepan apa-apa risiko hasil pertarungan itu.

“Anak saya menggemari sukan berkenaan dan ia tidak berbahaya kerana dilakukan secara terkawal,” katanya. - AFP

3 sami Buddha berbalah kerana isu sedekah

BANGKOK: Kehidupan sami Buddha biasanya dikaitkan dengan suasana harmoni dan tenang, tetapi berlainan keadaannya di sebuah kuil di Thailand.
Seorang sami, Jirawat Pasanano, membuat laporan polis mendakwa dia dihalau dari kuil selepas dua sami lain memukul dan mengacu pistol kepadanya.

Jirawat juga mendakwa dia dipaksa menghentikan amalan memungut sedekah yang menguntungkannya setiap pagi.

Ekoran aduan itu, dua sami dituduh Jirawat - Pitch Prapasaro, 26, dan rakanya yang hanya dikenali sebagai Auan - membuat aduan balas.

Pitch dan Aun mendakwa, Jirawat, 44, sengaja mereka insiden pistol itu dan menyalahgunakan nama kuil untuk kepentingan peribadi. Auan, 50-an, berkata tiada motif untuknya mahu berebut sumbangan yang diterima Jirawat. - AFP

Lawat Filipina kerana seks

MANILA: Empat puluh peratus lelaki asing yang melawat Filipina ialah pelancong seks.
Kenyataan itu dibuat semalam oleh duta Amerika Syarikat di Manila, Harry Thomas, tetapi disangkal oleh kerajaan Filipina serta-merta.

Berucap pada forum hakim dan pegawai Filipina, Thomas berkata, pegawai negara itu yang rasuah terbabit dalam perdagangan seks.

Beliau mencabar profesyen guaman supaya menyingkirkan mereka.

“Kita tahu bahawa 40 peratus lelaki asing yang datang ke Filipina, termasuk dari Amerika Syarikat ialah untuk seks.

“Ia sesuatu yang bukan membanggakan saya. Ia bukan sesuatu yang anda boleh banggakan,” kata Thomas.


Beliau berkata ia dapat dibuktikan dengan kemunculan begitu banyak bar dan kelab karaoke di sepanjang Roxas-Boulevard, antara jalan utama di Manila dan lokasi kedutaan Amerika Syarikat.

“Rasuah membolehkan bar dan kelab seumpama itu terus beroperasi,” katanya.

Penolong Setiausaha Pelancongan, Domingo Enario bagaimanapun mempertikaikan kenyataan Thomas.

“Kami tidak pasti dari mana beliau memperoleh statistik itu,” katanya. - Reuters

George Soros antara 10 paling kaya

NEW YORK: Pelabur, George Soros, pada usia 81 tahun, buat kali pertama tersenarai antara 10 orang paling kaya di Amerika Syarikat.
Tidak mengejutkan, Bill Gates sekali lagi menduduki tangga teratas senarai berkenaan dengan harta berjumlah AS$59 bilion, meningkat AS$5 bilion, lapor Majalah Forbes semalam dalam edisi 2011 senarai tahunan orang paling kayanya.

Pengasas Microsoft itu menjadi orang paling kaya Amerika sejak 1994.

Setiap mereka yang berada dalam senarai 20 paling kaya menyaksikan kekayaan mereka meningkat, kecuali Warren Buffet yang hartanya merosot sebanyak AS$6 bilion kepada AS$39 bilion ekoran kejatuhan sahamnya dalam Berkshire Hathaway. Buffett sebelum ini menggesa Presiden Barack Obama supaya meningkatkan cukai terhadap jutawan dan berikrar akan mendermakan 99 peratus hartanya untuk kerja kebajikan.

Menduduki tangga ketujuh, Soros memiliki harta berjumlah AS$22 bilion selepas menggabungkan harta bersihnya bernilai AS$7.8 bilion dengan pelaburannya dalam emas dan sekuriti berkaitan.

Soros menukarkan sahamnya kepada tunai pada musim bunga lalu, membolehkannya mengekalkan keuntungan dan mengelak daripada kerugian ketika kegawatan pasaran ekoran krisis hutang di Eropah.


Sementara itu, Buffet menduduki tangga kedua dan kemerosotan hartanya berpunca daripada kejatuhan saham nya dalam Berkshire Hathaway sebanyak sembilan peratus antara 25 Ogos 2010 dan 26 Ogos 2011. “Beliau juga adalah bilionair paling dermawan,” kata Luisa Kroll, Pengarang Forbes. Menduduki tangga ketiga senarai itu ialah pengasas Oracle, Larry Ellison, yang nilai kekayaannya meningkat sebanyak AS$6 billion kepada AS$33 billion. - AP

Carla tak sabar nak minum arak, merokok semula


CARLA...dijangka bersalin enam minggu lagi.
CARLA...dijangka bersalin enam minggu lagi.
PARIS: Wanita pertama Perancis, Carla Bruni-Sarkozy, berkata dia tidak sabar untuk melahirkan anak supaya dapat minum arak dan merokok semula.
Bekas model dan ahli muzik berusia 43 tahun itu memberitahu akhbar Le Parisien, dia begitu bosan kerana tidak dapat minum arak dan merokok sepanjang lapan bulan hamil.
“Terus terang saya katakan saya tidak dapat sabar lagi. Saya menghabiskan banyak masa dengan duduk atau baring. Saya tidak boleh minum arak atau merokok. Saya tidak sabar untuk bersalin,” katanya.

Carla dijadual melahirkan kandungannya enam minggu lagi. Ia anak keduanya dan yang pertama dengan Presiden Nicolas Sarkozy.


Carla mempunyai anak, Aurelien yang dilahirkan pada 2001 hasil hubungan dengan bekas teman lelakinya, Raphael Enthoven.

Rakan Carla memberitahu akhbar itu, kerana dia hamil selepas usia 40 tahun, doktor menasihatinya supaya banyak berehat. — Agensi

Drama polis tiru kes Strauss-Kahn





2011/09/23

Plot cerita diplomat Itali cuba perkosa pekerja hotel keturunan Sudan 

WASHINGTON: Musim baru drama polis Law and Order: Special Victims Unit bermula kelmarin di saluran televisyen NBC memaparkan kisah yang mirip kes bekas Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) yang juga warga Perancis, Dominique Strauss-Kahn.
Ia mengisahkan seorang diplomat angkuh, watak dipegang oleh aktor Franco Nero yang ‘diramal bakal Perdana Menteri Itali seterusnya’ dan dituduh melakukan serangan seksual terhadap seorang pekerja hotel keturunan Sudan.
Selepas tuduhan itu dibuat, kewibawaan pekerja hotel berkenaan pula yang menjadi isu. 

Plot cerita itu mirip kes Strauss-Kahn yang popular menerusi singkatan ‘DSK’, dengan seorang pekerja hotel keturunan Guinea yang menuduh menjadi menjadi rogolnya di sebuah bilik mewah di New York. 

Bagaimanapun, kes itu tidak membawa kepada pengadilan mahkamah selepas pendakwa raya pula menuduhnya berbohong. 

“Satu lagi kes seperti DSK,” kata seorang penyiasat drama berkenaan ketika watak Nero disoal siasat selepas dia ditahan dalam pesawat di New York, sama seperti Strauss-Kahn. 
Drama itu juga menunjukkan aksi ‘suspek berjalan’ di depan anggota media seperti Strauss-Kahn yang dianggap berpotensi mencabar Nicolas Sarkozy bagi jawatan Presiden Perancis. 

Bagaimanapun, sejak awal-awal lagi, produser drama berkenaan menegaskan kisah itu rekaan semata-mata. 

Siri polis itu terkenal dengan reputasi memaparkan kisah seperti yang sudah dilaporkan. Ia mulanya dikenali sebagai ‘Law and Order’ dan tamat pada tahun lalu selepas 20 tahun. 

Siri itu dianggap menceritakan kisah rogol Tawana Brawley pada awal tayangannya pada 1980-an. Brawley adalah seorang remaja Afrika-Amerika yang pada 1987 mendakwa diperkosa enam lelaki kulit putih, termasuk anggota polis. 

Tetapi, dakwaannya ditolak juri yang memutuskan dakwaannya palsu. 

Law and Order: Special Victims Unit menggunakan lokasi di New York dan memulakan penggambaran musim terbaru pada Julai lalu, dua bulan selepas kes Strauss-Kahn meledak, apabila DSK didakwa melakukan serangan seksual terhadap Nafissatou Diallo. – AFP 

Wanita purdah Perancis mahu jadi Presiden





2011/09/23

PARIS: Seorang Wanita Perancis yang memakai niqab walaupun berdepan dengan pengharaman oleh kerajaan, menyatakan kesediaan bertanding untuk pilihan raya presiden tahun depan bagi mempertahankan hak semua wanita negara itu. 

Kenza Drider adalah antara anggota kumpulan wanita yang melancarkan kecaman terhadap undang-udang yang melarang wanita Muslim daripada menutup muka di jalan negara itu sejak April lalu.
Mereka mahu membuktikan tindakan berkenaan bertentangan dengan hak asasi. Bagaimanapun, penggubal undang-undang termasuk Presiden Nicolas Sarkozy, menyifatkan penutupan muka dan tudung umpama ‘memenjarakan’ wanita.

Drider memberitahu, dia bercadang mengumumkan pencalonannya di Meaux, bandar timur Paris yang ditadbir penggubal undang-undang konservatif sekutu Sarkozy, Jean- Francois Cope yang turut menyokong langkah menguatkuasa larangan menutup muka. 

Dua lagi wanita yang memakai penutup muka dan ditahan turut berdepan dengan perbicaraan di Meaux, semalam. Ketika ditahan, mereka dalam perjalanan untuk menghantar kek hari jadi ke Cope. 

Seorang daripada mereka dikenakan denda 120 euro (RM540) manakala seorang lagi didenda 80 euro (RM360). Undang-undang melarang pemakaian pakaian menutup muka menetapkan denda tidak lebih 150 euro (RM675) selain menghadiri kelas kewarganegaraan terhadap pesalah. 
Dua wanita itu dilaporkan sedia didapati bersalah bagi membolehkan mereka membawa kes itu ke mahkamah tertinggi Perancis dan Majlis Hak Asasi Manusia Eropah. 

Ketika Islam adalah agama kedua di Perancis, ada pihak tertentu beranggapan wanita berpakaian seperti itu menjejaskan identiti sekular negara berkenaan selain menggugat persamaan taraf antara jantina serta maruah wanita. 

Ada juga yang bimbang pakaian menutup muka sepenuhnya membangkitkan unsur radikal dalam Islam. Pemakaian tudung dalam kelas sudah diharamkan pada 2004. 

Julai lalu, Belgium meluluskan undang-undang mengharamkan pakaian menutup muka manakala Perancis pada Jumaat lalu merangka rang undang-undang melarang pemakaian pakaian menutup muka. – AP 

Libya hargai Malaysia



Oleh Mona Ahmad 
mona@bharian.com.my
2011/09/23

ABU BAKAR  menunjukkan bendera Libya selepas menerima  kepemimpinan  kerajaan baru     diterajui  NTC   pada  sidang media, di Kuala Lumpur, semalam.
ABU BAKAR menunjukkan bendera Libya selepas menerima kepemimpinan kerajaan baru diterajui NTC pada sidang media, di Kuala Lumpur, semalam.
Duta pelawa pelabur KL teroka peluang di Tripoli 

KUALA LUMPUR: Kedutaan Libya di Malaysia mengumumkan misi diplomatik itu kini di bawah kepemimpinan kerajaan baru Libya yang diterajui Majlis Peralihan Nasional (NTC) dan diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York sebagai pemerintah.
Sehubungan itu, Libya mempelawa pelabur dari Malaysia mengadakan jalinan kerjasama dan menghulurkan bantuan dalam pelbagai bidang menerusi draf perancangan pembangunan negara itu merangkumi pendidikan, industri perkhidmatan, latihan, pembinaan dan industri minyak.
“Kami jemput pelabur dari Malaysia dan negara Asia Tenggara lain untuk membantu Libya dalam pelbagai bidang yang memerlukan serta menyambung kembali kerjasama yang terhenti akibat perang selama enam bulan itu. 

“Kami amat berterima kasih atas sokongan pemimpin dan rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Libya,” kata Duta Libya ke Malaysia, Dr Abu Bakar Al-Mansori katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, semalam. 

Mengenai kedudukannya di Malaysia, Abu Bakar menegaskan, misi diplomatik negara itu setia kepada NTC yang mewakili rakyat Libya. 

“Kami di sini, mewakili NTC yang juga rakyat Libya,” katanya. Beliau memulakan khidmat sebagai duta ke negara ini sejak Januari lalu di bawah pemerintahan Muammar Gaddafi, sebelum pentadbiran diambil alih NTC selepas kejatuhan pemerintah kuku besi itu. 
Sebanyak 140 negara sudah mengiktiraf kepemimpinan NTC di Libya menerusi undian di PBB dan banyak lagi negara dijangka menyertai undian itu dalam tempoh beberapa hari lagi. 

Pengerusi NTC, Mustafa Abdel Jalil berucap pada PBB meyakinkan semua pihak yang Libya baru akan menjadi negara demokrasi, aman dan keselamatan terjamin dengan menghormati hak asasi manusia menerusi pilihan raya yang bakal diadakan dalam tempoh kurang lapan bulan dari sekarang. 

Berhubung maklumat terbaru mengenai negaranya, beliau berkata, hampir keseluruhan bahagian di Libya sudah jatuh ke tangan NTC, manakala masih ada beberapa kawasan kecil berada dalam tangan penyokong setia Gaddafi. 

“Kami (NTC) terpaksa berhati-hati menangani isu ini kerana mengutamakan keselamatan orang awam. Orang awam dipindahkan terlebih dulu sebelum serangan dilancarkan,” katanya. 

Abu Bakar berkata, sejak enam bulan lalu, PBB membekukan aset Libya di luar negara dan ini amat membebankan, terutama untuk pembayaran yuran pengajian bagi penuntut Libya di Malaysia. 

Masalah itu dapat diselesaikan kerana Kerajaan Malaysia membantu meringankan beban bayaran yuran dan sara hidup pelajar. Ketika ini, lebih 3,000 rakyat Libya menetap di negara ini yang kebanyakannya pelajar. 

Bantuan Malaysia, katanya, bukan itu saja, malah sebaik selepas pembebasan Libya, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia turut menghantar bantuan perubatan kepada rakyat Libya dan Malaysia mengiktiraf NTC sejak awal lagi dan pihaknya amat menghargai sokongan ini. 

“Malah, setiap hari kami hantar laporan kepada Kementerian Luar Negara mengenai perkembangan di Libya,” katanya.

Rakyat Palestin bantah ucapan, kecam Obama



RAMALLAH, Wilayah Palestin - Penduduk Palestin yang berang dengan ucapan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama keluar untuk menunjuk perasaan di jalan-jalan raya di sini dan bandar Gaza semalam.
Mereka berhimpun untuk membantah ucapan Obama yang dibuat di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York kelmarin yang disifatkan sebagai memihak kepada Israel.
Lebih 1,000 penduduk Palestin yang membawa sepanduk mengecam Obama berhimpun di luar ibu pejabat Presiden Pihak Berkuasa Palestin, Mahmoud Abbas di sini sebelum berarak ke pusat bandar dengan melaungkan ungkapan: "Amerika tidak tahu malu kerana menyokong penjajahan (Israel)."
Di Bandar Gaza, sekitar 300 wanita berhimpun di luar ibu pejabat PBB dengan melaungkan slogan anti-Obama dengan mereka diawasi oleh pasukan keselamatan Hamas.
Ucapan Obama pada Perhimpunan Agung PBB di bandar raya New York, AS kelmarin menerima kecaman hebat daripada seluruh penduduk Palestin.
Dalam ucapannya, Presiden AS berkenaan mengulangi bantahan Washington terhadap usaha Palestin untuk menjadi sebuah negara merdeka sebagai anggota penuh PBB.
Obama turut bersimpati dengan perjuangan Israel di rantau Asia Barat tanpa menyentuh sedikit pun tentang penjajahan Israel ke atas Palestin atau pembinaan penempatan-penempatan haram Yahudi oleh rejim Zionis. - AFP

Dibunuh sebab tolak ajakan seks




GAMBAR fail menunjukkan anggota polis menjalankan siasatan di tempat mayat Nurul Awatif dibakar di Jalan Bukit Belacan, Ampang Jaya pada 5 September lalu.


SHAH ALAM – Polis semalam mendedahkan pembunuhan seorang remaja perempuan yang mayatnya ditemui dengan kesan terbakar hampir 80 peratus di dalam semak berhampiran loji kumbahan di Jalan Bukit Belacan 5 September lalu berikutan keengganannya untuk melakukan hubungan seks.
Menurut polis, akibat penolakan tersebut, teman lelaki mangsa yang juga suspek dalam kes itu disyaki cuba memperkosa remaja berkenaan. Suspek merupakan seorang pelajar institut pengajian tinggi awam berusia 19 tahun dari Ukay Perdana, Ampang.
Pelajar tahun dua Ijazah Sarjana Muda Ukur Bahan itu ditahan pada pukul 12 tengah hari, 12 September lalu di Seri Iskandar, Perak.
Ketika ditahan, polis merampas sebuah telefon bimbit milik mangsa dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil milik keluarga suspek yang didapati mempunyai keterangan-keterangan fizikal seperti rambut yang diyakini ada hubung kait dengan kes bunuh itu.
Siasatan awal ketika itu mendapati, suspek membeli petrol di dua buah stesen minyak di kawasan Ampang Jaya untuk membakar mangsa.
Mangsa dikenali sebagai Nurul Awatif Syakir, 19. Dia merupakan pelajar Maahad Tahfiz Al-Tijarah, Selayang, Gombak.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin berkata, siasatan pihaknya setakat ini mendapati suspek dikatakan mengambil tindakan drastik untuk membunuh mangsa selepas berang apabila permintaannya ditolak.
Katanya, polis juga telah mendapatkan laporan penuh bedah siasat ke atas mangsa tetapi enggan mendedahkannya sehingga siasatan selesai.
“Sehubungan itu, permohonan kita untuk melanjutkan tempoh reman ke atas suspek telah dibenarkan sehingga 27 September ini bagi membantu polis menjalankan siasatan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Aidilfitri Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini semalam.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan, mayat seorang remaja perempuan ditemui berhampiran loji itu pada 5 September lalu dengan kesan terbakar hampir 80 peratus badannya pukul 1.35 petang.
Sebelum itu, ahli keluarga mangsa membuat laporan mengatakan mangsa tidak pulang selepas keluar pada pukul 8.30 malam sehari sebelum itu dan pengecaman dibuat berdasarkan cebisan baju kurung serta sepasang anting-anting.

Keluarga ragui punca kematian Mohd. Helmi



MARIAM menunjukkan laporan polis berhubung kematian Wan Mohd. Helmi di HUSM, Kubang Kerian, Kota Bharu semalam.


KOTA BHARU - Seorang lelaki yang ditemui cedera teruk pada kepala selepas didakwa kemalangan akibat dihempap pokok ketika ribut berhampiran hentian rawat dan rehat (R&R) Gua Musang Selasa lalu, meninggal dunia pada pukul 5 pagi semalam di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian di sini.
Bagaimanapun, kematian lelaki itu, Wan Mohd. Helmi Wan Daud, 24, yang berasal dari Bandar Permaisuri, Setiu, menimbulkan tanda tanya di kalangan ahli keluarganya kerana dakwaan awal bahawa kecederaan itu disebabkan dihempap pokok dinafikan oleh rakan mangsa yang mendakwa mangsa telah dipukul.
Menurut bapa angkatnya yang tinggal bersama arwah di Gua Musang, Tuan Ismail Tuan Mat, 66, bertindak atas maklumat terbaharu itu, keluarga mangsa telah membuat laporan polis di Kubang Kerian di sini semalam.
"Pada malam Selasa lalu, seorang jiran memberitahu, Wan Mohd. Helmi cedera dan pengsan kerana dihempap pokok dalam kejadian ribut dan dia dibawa ke Hospital Gua Musang sebelum dikejarkan ke HUSM.
"Bagaimanapun, dia meninggal dunia pukul 5 pagi tadi (semalam) namun, dua rakannya yang ada bersama-sama di tempat kejadian pada masa itu ketika datang melawatnya di HUSM semalam (kelmarin) memberitahu, arwah cedera bukan disebabkan dihempap pokok tetapi dipukul orang," katanya.

Isteri rantai suami di India




KALYANI DAS (kiri) merantai tangan suaminya pada tingkap sebuah kereta api semasa dia dalam perjalanan ke Kolkata dari kampung Mallickpur, India baru-baru ini.


NEW DELHI - Seorang isteri, Kalyani Das bertindak untuk merantai tangan suaminya yang telah dikahwininya selama 50 tahun.
Das yang berusia 60 tahun akan merantai tangan suaminya yang sakit mental itu, Pachugopal yang berumur 65 tahun.
Menurut wanita itu, suaminya mengalami masalah sakit mental kerana masalah keluarga yang dihadapinya kira-kira tujuh tahun lalu.
Kalyani bekerja di sebuah warung tepi jalan dengan memperoleh pendapatan AS$1.05 (RM3.31) sehari.
Menurutnya, dia berharap suaminya akan meninggal dunia bagi membolehkan penderitaannya hidup bersamanya berakhir.
Dia berkahwin semasa umurnya 10 tahun.
Kalyani akan merantai tangan suaminya yang dibawa pergi ke tempat kerjanya bagi mengelak dia melarikan diri dan menderanya semasa dia sedang bekerja.
Kaki Pachugopal juga dirantai di tepi sebuah bangunan semasa isterinya sedang bekerja.
Dia merantai tangan suaminya pada tingkap semasa mereka menaiki sebuah kereta api dari kampung Mallickpur ke tempat kerjanya di Kolkata. - Reuters

Pantai burka di Albania




BEBERAPA wanita memakai burka mandi di sebuah pantai di Spille, Albania pada bulan lalu.


SPILLE - Sebuah kawasan di sebuah pantai di sini diberi jolokan pantai burka kerana ia dikhaskan untuk wanita Muslim yang tidak memakai bikini.
Ia terletak di barat daya Tirana di Albania dan beberapa meter dari kawasan pantai yang membenarkan wanita berjemur dan berenang dengan memakai bikini.
Pantai tersebut merupakan satu-satunya pantai yang dikhaskan untuk wanita Muslim berenang dan bermain air laut dengan memakai burka.
Kira-kira dua pertiga daripada penduduk Albania merupakan penduduk Muslim. - AFP

Bill Gates paling kaya di AS



LOS ANGELES, Amerika Syarikat (AS) - Status ekonomi AS yang tidak menentu sejak kebelakangan ini tidak menghalang pengasas gergasi perisian komputer Microsoft, Bill Gates mengungguli tempat teratas individu terkaya di AS selama 18 tahun berturut-turut.
Senarai tersebut yang di keluarkan oleh majalah Forbes kelmarin, turut menyenaraikan 400 orang terkaya di negara kuasa besar berkenaan.
Menurut majalah tersebut, nilai kekayaan pengasas bersama Microsft itu pada tahun ini ialah AS$59 bilion (RM185.82 bilion), bertambah sebanyak AS$5 bilion (RM15.74 bilion) sepanjang tahun ini berbanding setahun lalu.
Perkembangan itu meletakkan pelabur, Warren Buffet di tempat kedua dengan nilai kekayaan sebanyak AS$39 bilion (RM122.83 bilion).
Orang ketiga terkaya di AS ialah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Oracle, Larry Ellison dengan kekayaan berjumlah AS$33 bilion (RM103.93 bilion), bertambah AS$6 bilion (RM18.89 bilion) berbanding tahun lalu.
Spekulator mata wang George Soros pula berada di tempat ketujuh.
Beliau buat kali pertama berada dalam kedudukan 10 orang terkaya di negara tersebut.
Forbes menganggarkan kekayaan Soros bernilai AS$22 bilion (RM69.28 bilion).
Turut tersenarai dalam 10 orang paling kaya AS tahun ini ialah waris kepada pengasas rangkaian pasar raya Wal-Mart Stores Inc., Sam Walton.
Dalam senarai tersebut, Forbes menyatakan sebanyak 262 individu mengalami peningkatan nilai kekayaan, 72 pula menurun manakala 18 individu berada di dalam senarai 400 orang terkaya di AS buat pertama kali.
Terdapat 42 wanita yang turut tersenarai termasuk pengacara terkenal, Oprah Winfrey pada tangga ke-139, dengan anggaran kekayaan bernilai AS$2.7 billion (RM8.50 bilion). - AP

Gaddafi tinggalkan ribuan peluru berpandu




BEBERAPA pejuang anti-Muammar Gaddafi duduk 
di atas sebuah peluru berpandu Scud di luar sebuah kampung dekat Sirte, Libya kelmarin.


PARIS - Ribuan peluru berpandu darat ke udara yang ditinggalkan rejim Muammar Gaddafi yang tumbang di Libya tidak mendatangkan ancaman besar seperti yang dibimbangi kerana kebanyakan kumpulan militan di Afrika kurang ilmu pengetahuan dan peralatan untuk melancarkan senjata itu, kata beberapa pakar.
Peluru berpandu mudah alih SA-7 buatan bekas negara Kesatuan Soviet (USSR) yang dilengkapi peledak kuat dan alat pengesan infra merah itu boleh mencetuskan ancaman serius di Sahel yang merupakan lokasi tempat sekutu kumpulan Al-Qaeda aktif beroperasi.
Beberapa orang bimbang peluru berpandu itu akan digunakan untuk menyerang pesawat komersial jika ia jatuh ke tangan orang yang salah.
Namun, beberapa pihak lain menyatakan, ia sukar digunakan dan jika tidak dijaga dengan baik, ia akan menjadi besi sekerap.
beberapa sumber menyatakan, kebanyakan peluru berpandu itu ditemui dalam pasaran gelap di rantau Sahara Afrika yang mungkin ditawarkan kepada kumpulan-kumpulan seperti Al-Qaeda.
"Kami menerima maklumat mereka sedang mencari buku panduan (untuk menggunakannya) dalam bahasa Arab," kata seorang pakar antikeganasan Perancis kepada agensi berita AFP.
Peluru-peluru berpandu itu ditinggalkan oleh rejim Gaddafi yang tumbang menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lalu. - Agensi

Aset RM72.7b milik Gaddafi ditemui




Beberapa orang beratur di sebuah bank di Tripoli, Libya pada 29 Ogos lalu.


TRIPOLI, Libya - Pemerintah sementara Libya, Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) menyatakan, pihaknya mendapat durian runtuh apabila menemui aset berjumlah AS$23 bilion (RM72.7 bilion) di bank pusat Libya yang tidak digunakan oleh bekas pemimpin negara berkenaan, Muammar Gaddafi, lapor akhbar Financial Times semalam.
Penemuan tersebut yang dilaporkan Financial Times dapat membantu usaha NTC dalam membangunkan semula negara berkenaan.
Seorang pegawai kewangan NTC, Wafik Shater memberitahu wartawan di Dubai, bank pusat itu menyimpan wang kertas dinar Libya berjumlah beberapa bilion.
Satu bilion dinar Libya bersamaan sekitar AS$820 juta (RM2.58 bilion).
"Wang berkenaan mencukupi untuk membolehkan NTC mentadbir negara ini selama enam bulan," kata Shater.
"Kami berada dalam kedudukan kewangan yang lebih baik daripada jangkaan kami sebelum ini," tambahnya.
NTC sebelum ini merayu masyarakat antarabangsa supaya memansuhkan sekatan ke atas Libya serta membebaskan aset berjumlah sekitar AS$170 bilion (RM536.1 bilion) yang disimpan di luar negara.
Gaddafi kini dalam buruan askar-askar NTC selepas rejimnya tumbang menjelang Hari Raya Aidilfitri yang lalu selepas bertempur sejak Februari lalu. - Agensi

Pengguna tidak berpuas hati dengan Facebook





SAN FRANCISCO, Amerika Syarikat (AS) - Para pengguna Facebook kelmarin memberi reaksi tidak puas hati tentang beberapa pembaharuan yang dilaksanakan di laman rangkaian sosial tersebut.
Di Facebook, orang ramai meluahkan ketidakpuasan hati mereka dengan mewujudkan laman bertajuk 'Petisyen untuk menentang tapak web baru Facebook' manakala laman serupa, #NewFacebook turut diwujudkan di Twitter.
Sebahagian mereka mengadu bahawa perubahan terbaharu Facebook dibuat untuk meniru pesaingnya, Google+ dan perkhidmatan mesej perkongsian berita di Twitter.
"Ramai yang berasa tidak berpuas hati tetapi tiada seorang pun yang akan berpindah (menggunakan laman jaringan sosial lain)," katanya.
Para pengguna Facebook sebelum ini banyak membuat aduan tentang perubahan dalam laman sosial berkenaan tetapi mereka kemudian berusaha untuk menyesuaikan diri dan masih menjadi pengguna setia laman web itu.
Komen negatif itu disuarakan sehari selepas Facebook mula melaksanakan beberapa siri penambahbaikan dalam apa yang dinamakan oleh pengasasnya Mark Zuckerberg sebagai 'musim pelancaran' untuk ciri-ciri terbaru.
Ciri News Feed di Facebook yang memaparkan kemas kini daripada rakan-rakan kini memberi fokus kepada penghantaran penting dengan paparan imej yang lebih besar berbanding sebelumnya manakala kolum sembang Ticker pula ditambah untuk perbualan dalam masa sebenar.

GAMBAR fail menunjukkan Mark Zuckerberg di ibu pejabat Facebook di Palo Alto, California pada 5 Februari 2007.


Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, Facebook banyak memberi tumpuan untuk mencipta kaedah-kaedah baharu supaya para pengguna dapat mengawal aspek penerimaan dan perkongsian maklumat dengan lebih baik.
Facebook pada minggu lalu membenarkan pengguna mengikuti perkembangan orang asing yang bukan rakan mereka melalui penambahan butang Subscribe seperti yang terdapat di Twitter.
Selain itu, Facebook juga membenarkan penggunanya membuat pilihan tentang jenis kemas kini daripada rakan-rakan yang dibenarkan dipaparkan di laman Facebook mereka.
Panel sembang Ticker di kolum kanan skrin Facebook pula membolehkan orang ramai bersembang melalui mesej teks jika terdapat paparan imej baharu atau penghantaran lain.
Facebook dijangkakan membuat lebih banyak pengumuman mengenai pembaharuan laman web itu pada persidangan tahunan pembina rangkaian laman sosial di sini hujung minggu ini.
Antara spekulasi yang tersebar termasuk pelancaran platform untuk perkhidmatan muzik dalam talian seperti Rdio dan Spotify selain paparan berita daripada agensi-agensi profesional.
Persidangan itu diadakan beberapa hari selepas enjin carian Internet Google melancarkan Google+ sebagai saingan terbaru Facebook. - AFP