Pages

Sunday, August 28, 2011

4 Cara Mengubah Takdir


http://www.motivasi-islami.com/wp-content/uploads/2010/03/berdoa.jpg
Banyak orang malas yang menjadikan takdir sebagai dalih atas kemalasannya. Padahal, takdir itu boleh diubah. Memang, tidak semua takdir boleh diubah. Misalnya, jika kita ditakdirkan sebagai seorang laki-laki, tidak boleh diubah menjadi seorang perempuan. Kita memang tidak boleh mengubah takdir yang sudah terjadi sebab waktu memang diciptakan tidak boleh ke belakang. Yang dimaksud mengubah takdirdisini ialah mengubah takdir dimasa mendatang.
Lalu bagaimana cara kita mengubah takdir? Cara yang benar dan tepat, tentu saja harus bersumber dari Pembuat takdir yang tiada lain Allah SWT melalui Al Quran dan Hadits Nabi saw.
Bagi Anda yang belum tahu, bahawa takdir boleh diubah, silahkan semak hadis berikut:
Hadis dari Imam Turmudzi dan Hakim, diriwayatkan dari Abdullah bin Umar, bahawa Nabi SAW Bersabda : “Barangsiapa hatinya terbuka untuk berdoa, maka pintu-pintu rahmat akan dibukakan untuknya. Tidak ada permohonan yang lebih disenangi oleh Allah daripada permohonan orang yang meminta keselamatan. Sesungguhnya doa bermanfaat bagi sesuatu yang sedang terjadi dan yang belum terjadi. Dan tidak ada yang boleh menolak taqdir kecuali doa, maka berpeganglah wahai hamba Allah pada doa”. (HR Turmudzi dan Hakim)

Cara Mengubah Takdir

Mengubah Takdir Dengan Berdoa.

Allah yang menetapkan takdir kita, maka Allah memiliki kuasa untuk mengubahnya, ertinya takdir baru bagi kita. Mengubah takdir ertinya Allah menggantinya dengan takdir baru. Tetap, Allah yang menetapkan takdir. Cara pertama ialah dengan berdoa seperti yang dijelaskan pada hadis diatas.
Cara Kedua adalah bersedekah. Rasulullah SAW pernah bersabda : “Silaturrahmi dapat memperpanjang umur dan sedekah dapat merubah taqdir yang mubram” (HR. Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, Imam Ahmad)
Cara Ketiga adalah bertasbih. Ada hadis yang diriwayatkan dari Saad Ibnu Abi Waqosh, Rasulullah bersabda :
Mahukah kalian Aku beritahu sesuatu doa, yang jika kalian memanfaatkan itu ketika ditimpa kesedihan atau bencana, maka Allah akan menghilangkan kesedihan itu?  Para sahabat menjawab : “Ya, wahai Rasululullah, Rasul bersabda “Iaitu doa “Dzun-Nun : “LA ILAHA ILLA ANTA SUBHANAKA INNI KUNTU MINADH-DHOLIMIN” (Tidak ada Tuhan selain Engkau, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk diantara orang-orang yang zalim”). (H.R. Imam Ahmad, At-Turmudzi dan Al-Hakim).
Cara keempat ialah dengan berselawat ada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ubay Ibnu Kaab, bahawa ada seorang lelaki telah mendedikasikan semua pahala selawatnya untuk Rasulullah SAW, maka Rasul berkata kepada orang tersebut : “Jika begitu lenyaplah kesedihanmu, dan dosamu akan diampuni” (H.R Imam Ahmad At-Tabroni)
Jadi, jangan berhenti berdoa dan berusaha. Seburuk mana pun kedudukan masa ini, semuanya masih boleh berubah. Bagaimana pun pahitnya pengalaman kita dimasa lalu, masih boleh berubah. Optimis selalu Anda boleh mengubah takdir Anda menjadi lebih baik.
Rujukan :
http://www.motivasi-islami.com/rahasia-mengubah-takdir/
SUMBER: PERIBADIRASULULLAH

Nasihat Sayidina Ali Tentang Dunia



Sayidina Ali karramallahu-wajhah pernah berpidato suatu masa, katanya:

Ketahuilah, bahawa kamu semua akan mati, dan dibangkitkan sesudah mati. Kamu akan ditanya dai hal amalan-amalan kamu dan akan dibalas terhadap kesemuanya, maka jangan sampai kamu diperdayakan oleh kehidupan dunia kerana yang demikian itu diserikan dengan berbagai-bagai bala bencana yang tetap akan menarik kamu kepada kebinasaan.

Semua yang ada pada dunia itu adalah tipudaya semata dan dia akhirnya akan hilang lenyap, bila dia berada denganmu dia adalah penuh tipu muslihat, kesenangannya tidak kekal, dan tiada seorang pun akan selamat dari kejahatannya. Sementara penghuninya dalam keadaan gembira dan sukacita tiba-tiba ditimpa bahaya dan bencana, hal-ehwalnya berubah-ubah tidak tetap, kehidupannya tercela dan kemewahan di dalamnya mempunyai cita-cita yang tak menentu maka dunia akan melemparnya dengan anak panah lalu membinasakannya. Semua orang akan mati mengikut takdir dan ketentuan, tidak lebih dan tidak kurang.

Ketahuilah, wahai hamba-hamba Allah, bahawasanya kamu dan apa yang kamu rasakan dari dunia ini adalah sama sahaja dengan apa yang dirasakan oleh orang-orang yang terdahulu dari kamu, malah umur mereka lebih panjang dari kamu, kekuatan mereka lebih teguh dibandingkan dengan kamu, rumah mereka lebih kukuh, bekas yang ditinggalkan mereka masih kelihatan sampai sekarang, namun suara-suara mereka tidak kedengaran lagi sesudah laungannya bergema begitu lama, tubuh-tubuh mereka hancur luluh, rumah-rumah mereka yang berupa pondok-pondok sudak tidak kelihatan lagi sedang bekas-bekasnya masih tinggal dan terlihat.

Mereka kini telah berubah dari tempat tinggal yang berupa istana-istana yang terindah dengan katil-katil yang terseri dengan bantal-bantalnya yang empuk, bangunan-bangunannya yang tersusun dengan batu-bata yang kilau-kemilau, sekarang berganti kubur-kubur yang berselerak dengan tulang-belulang yang hancur-luluh sebagai tempat tinggalnya orang-orang terbuang yang sangat ditakuti untuk didekatinya, mereka tidak merasa senang lagi dengan perubahan pembangunan yang ada di sisinya, dan tidak berhubung mesra dengan jiran tetangga yang sibuk memakmurkan sekitarannya dengan bangunan dan perubahan di antara teman dengan teman padahal mereka hanya sejengkal sahaja dari tempatnya.

Bagaimana dapat mereka berhubung mesra lagi? Padahal tubuh badan mereka telah dimakan masa, tulang belulang mereka berselerak merata-rata, mereka dahulu hidup gagah sekarang bangkai tidak bernyawa, hidup mereka dahulu mewah sekarang hampa belaka, orang yang rapat menjauhkan diri setelah mereka tinggal di bawah tanah sendiri, mereka tidak akan kembali lagi, jauh panggang dari api.

"Bahkan itulah satu perintah yang telah ditetapkan Tuhan Perkasa, dan di belakang mereka Barzakh, mereka kekal di situ hingga hari mereka dibangkitkan." (Al-Mu'minun: 100)

Mudah-mudahan Allah menggolongkan kami dan kamu dalam kumpulan orang-orang yang beramal dengan isi kitabNya serta menurut jejak langkah para Auliya'Nya sehingga Dia menempatkan kami dan kamu sekalian di dalam syurga yang kekal abadi dengan kurniaNya, sesungguhnya Dia Maha Terpuji Maha Mulia.

Berkata Sayidina Ali karramallahu-wajhah dalam pidatonya:

Aku berpesan kepada kamu supaya banyak bertaqwa kepada Allah dengan membelakangi dunia yang akan meninggalkan kamu meskipun kamu tidak mudah untuk meninggalkannya. Dunia akan menghancur-luluhkan tubuh kamu sedang kamu terus ingin memperbaharuinya. Hanyasanya perumpamaan kamu dengan dunia itu adalah ibarat sekumpulan manusia yang dalam pelayaran, mereka telah melalui satu jalan dan mereka menyangka telah melewatinya, mereka bergantung kepada satu pengetahuan yang mereka ingat telah sampai kepadanya. Betapa ramai orang yang berlari yang sampai ke kemuncaknya, dan betapa ramai orang yang mengharap panjang pada dunia tiba-tiba terpaksa berpisah dengannya. Oleh itu jangan sekali-kali kamu merungut kerana keburukan dunia dan kesusahannya, dan jangan sekali-kali kamu merasa sukaria kerana harta-benda dunia dan kenikmatannya, semua itu akan hilang lenyap daripadamu. Aku rasa hairan melihat orang yang mengejar dunia sedang maut mengikutinya dari belakang. Dia sentiasa lalai yang dirinya akan mati, tidak pernah ingat yang mati itu akan menimpanya.

Isi surat dari Sayidina Ali kpd Salman Al-Farisi:
"Dunia itu adalah seumpama ular, lembut sentuhannya, tetapi bisanya mematikan, maka berpalinglah anda dengan menjauhkan diri dari semua sesuatu yang menimbulkan kekaguman anda padanya (dunia) kerana (akan menjadi) sedikit sesuatu yang menyertai anda dari (bahaya) dunia itu."

Kalimat Saiyidina Ali ini merupakan peringatan kpd Salman Farisi pada khususnya dan ummat Islam pada umumnya ttg hakikat pangkat keduniaan. Bukan tidak boleh kita menduduki pangkat keduniaan itu, tetapi beliau memperingatkan supaya pada kita ada ketahanan mental atau ketahanan bathin, sehingga kita dapat mengendalikan pangkat keduniaan itu demi utk keselamatan kita di dunia dan akhirat. Apabila ketahanan mental atau bathin kita tidak ada dalam diri kita, maka kita akan terpengaruh dari kekaguman kita terhadap dunia yang sedang kita pegang.

Oleh sbb itu maka keimanan kpd Allah subhanahu wa ta`ala yang kuat dan mantap adalah sangat diperlukan, sehingga kesusahan dunia dengan segala kepahitannya dapat diatasi, kerana pangkat dunia yang sedang kita hadapi ini adalah berjalan atas niat yang baik, yakni mencari keredhannya dalam erti yang luas.

Pertanyaan sebahagian sahabat kpd Rasulullah aollallahu `alaihi wasallam dalam Hadis Nabi sebagai berikut:
"Siapakah wali-wali Allah yang tidak takut dan gundah? Nabi sollallahu `alaihi wasallam menjawab: Ialah orang-orang yang selalu memperhatikan bathin dunia pada ketika manusia memperhatikan lahiriah dunia. Dan mereka itu pula mementingkan lahiriah dunia pada ketika ummat manusia mementingkan dunia di waktu sekarang."

Dari Hadis ini, bahawa wali-wali Allah meskipun mereka memegang dunia, apakah mereka merupakan sebagai raja atau seorang yang kaya, mereka itu tidak melihat kepada lahiriah dunia, tetapi mereka melihat kpd bathin dunia itu dan hakikatnya. Sebab mereka mengetahui, bahawa dunia itu tidak abadi, tetapi hanya sebentar sahaja. Sedangkan yang abadi adalah faedah yang mereka dapatkan daripada menempatkan dunia itu pada tempatnya dalam erti 'sebagai alat utk mencari keredhaan Allah subhanahu wa ta`ala'

Berlainan dgn manusia biasa, mereka berlumba-lumba mencari keuntungan dunia sekarang juga tanpa memikirkan keridhaan Allah pada pekerjaannya itu. Sedangkan wali-wali Allah melihat kpd penglihatan yang jauh, yakni masa-masa setelah kita berpisah dengan dunia yang fana', mulai dari alam barzakh hingga sampai ke alam akhirat yang kekal lagi baqa.
SUMBER:cahayamukmin

Isteri Disimbah Asid, Suami Dicampak Tepi Jalan Selepas Disamun

ALOR SETAR, 28 Ogos (Bernama) -- Seorang wanita melecur kira-kira 20 peratus pada bahagian muka, leher, mata dan dada akibat disimbah asid oleh dua lelaki dalam kejadian samun di Guar Chempedak dekat Yan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Setar ACP Adzaman Mohd Jan berkata kejadian itu berlaku kira-kira pukul 11 malam apabila kereta Proton Waja yang dinaiki Rosnani Husin, 53, bersama suaminya dipercayai ditahan oleh dua lelaki yang tidak dikenali di sebuah stesen minyak di Kota Sarang Semut dekat sini.

Katanya dua lelaki terbabit berpura-pura mahu menumpang kereta mangsa disebabkan kereta mereka kehabisan minyak dan suami mangsa bersetuju menumpangkan kedua-dua suspek menuju ke Jalan Baru melalui Jalan Permatang Buluh, Kota Sarang Semut.

"Ketika dalam perjalanan suspek, dikatakan mengacu pisau kepada kedua-dua mangsa dan mengikat kaki dan tangan suami mangsa sebelum mencampakkannya di tepi jalan di Jalan Baru, Bukit Besar. "Kira-kira 50 kilometer dari tempat suami mangsa dicampak, suspek memberhentikan kereta (berdekatan Guar Chempedak) lalu menyimbah asid ke muka mangsa sebelum beredar dari tempat kejadian," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

 Suami mangsa dijumpai oleh orang awam dalam keadaan kaki dan tangan berikat manakala mangsa dan kereta yang ditinggalkan ditemui Polis Guar Chempedak. Jumlah kerugian yang dialami pasangan suami isteri tersebut belum dikenal pasti. Adzaman berkata kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan dengan mendatangkan kecederaan.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk menerima rawatan. Pengarah HSB Dr Juita Ghazali ketika dihubungi berkata mangsa dirawat di Unit Rawatan Kebakaran dan dalam keadaan stabil. Mangsa terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan kerana menghadapi masalah paru-paru disebabkan terhidu asid yang terkena padanya. Suami mangsa ketika ditemui pemberita di HSB enggan ditemuramah kerana masih trauma dengan kejadian yang menimpa isterinya itu. -- BERNAMA

Pemberontak Libya buntu kesan lokasi Gaddafi

Keadaan rumah desa pemimpin Libya Muammar Gaddafi, terletak 15km ke selatan Tripoli, selepas digeledah ketika pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak sejak seminggu lalu. - Foto Reuters 
BENGHAZI, 28 Ogos ─ Kumpulan pemberontak Libya masih belum ada maklumat yang konkrit mengenai keuddukan pemimpin negara itu atau anak lelakinya, kata ketua Majlis Peralihan Kebangsaan Mustafa Abdel Jalil semalam.
Pemberontak memperluaskan serangan mereka ke atas ibu negara Libya, Tripoli sejak seminggu lalu tetapi sehingga kini tidak dapat kesan di mana Muammar berada sekarang.
Bercakap pada sidang media di sini, beliau berkata, majlis tersebut kemungkinan mempelawa pegawai-pegawai polis dari negara Arab atau Islam untuk membantu Libya dari segi menyediakan keselamatan.
Bagaimanapun beliau tidak mahu kehadiran polis dari mana-mana negara-negara lain.
Katanya, pemberontak sedang berunding dengan pelobi-pelobi Muammar untuk memujuk beliau menyerahkan penguasaan ke atas bandar Sirte, kampung halaman Muammar. ─ Reuters

Planet berlian ditemui



LONDON - Ini benar-benar boleh dianggap sebagai penemuan sebutir permata, kerana ahli astronomi percaya mereka telah menemui planet diperbuat sepenuhnya daripada batu berlian.

Penyelidik di Universiti Manchester, Britain mendakwa planet kecil diperbuat daripada batu berharga itu terhasil daripada proses perubahan bentuk sebutir bintang lebih besar di galaksi Bima Sakti.

Terdahulu, kumpulan penyelidik antarabangsa menemui sebuah bintang luar biasa digelar pulsar dengan menggunakan teleskop di balai cerap di Cheshire, Britain.

Kajian selanjutnya membawa kepada penemuan planet berlian itu yang mempunyai daya tarikan graviti dan bergerak mengelilingi pulsar.

Pulsar adalah sejenis bintang kecil dengan diameter purata 16 kilometer yang berputar dan mengeluarkan gelombang radio.

Saintis percaya planet berlian itu adalah sisa atau lapisan teras kepada bintang asal selepas lapisan permukaan bintang itu ditarik ke arah pulsar.-SH

Keluarga Norshahirah akan ke Kedutaan Nepal esok

PADANG SERAI: Keluarga Norshahirah Mohd Rasul, gadis yang lari mengikut kekasihnya warga Nepal ke Kathmandu akan ke Kedutaan Nepal di Kuala Lumpur esok bagi mendapatkan bantuan untuk menjejaki gadis itu.
Kakak Norshahira, Nillie Shakira, 23, berkata keluarganya berasa amat lega dengan jaminan Duta Nepal di Malaysia yang bersedia membantu menjejak lelaki tersebut dan Norshahira di Kathmandu.

Bapa gadis itu, Mohd Rasul Kassim, 50, pula berkata kesudian Duta Nepal untuk membantu mereka merupakan satu penawar bagi keluarga berkenaan.

"Rupanya harapan untuk bertemu semula dengan anak kami itu masih ada dan kami berdoa siang dan malam sejak kehilangannya tempoh hari semoga Allah makbulkan permohonan kami itu," katanya hari ini.
Semalam Duta Nepal ke Malaysia Dr Rishi Raj Adhikari dilaporkan sebagai berkata Kedutaan Nepal sedia membantu menjejaki Norshahirah jika laporan mengenainya dibuat di kedutaan berkenaan esok.
Norshahira, 21, dilaporkan keluar rumah mereka di Taman Kenangan, Sungai Karangan di sini pada 22 Ogos lalu.
Menurut maklumat polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Norshahirah dan seorang lelaki Nepal menaiki penerbangan ke Kathmandu di LTABPP pada 23 Ogos. - Bernama 

Rogol anak: Buruh dijel 20 tahun, 14 sebatan

TELUK INTAN: Seorang buruh dijatuhi hukuman 20 tahun penjara dan 14 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, kelmarin selepas dia mengaku salah atas tuduhan merogol anak kandungnya selepas mengikat mangsa, berusia 10 tahun, dengan tali rafia, bulan lalu.

Hakim Adli Abd Ghalib menjatuhi hukuman penjara maksimum terhadap tertuduh berusia 45 tahun dari Tanjung Malim, Perak, selepas mendengar hujah dan fakta kes dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Encik Mohammad Suffian Jaafar, serta rayuan tertuduh.

Dalam rayuannya, tertuduh berharap mahkamah meringankan hukuman ke atasnya dengan alasan dia perlu menjaga anaknya yang lain serta keluarga mereka juga miskin. Bagaimanapun, Encik Mohammad Suffian memohon mahkamah supaya tidak menimbang rayuan itu kerana perbuatan tertuduh disifatkan lebih buruk daripada haiwan.

Mahkamah harus menjatuhkan hukuman berat dan setimpal dengan apa yang dilakukan tertuduh terhadap mangsa yang juga anak kandung sendiri. Hukuman berat ini perlu dijadikan pengajaran bukan saja kepada tertuduh, malah kepada masyarakat pada umumnya.

Tertuduh sepatutnya menjadi pelindung kepada anaknya dan bukannya melakukan perkara yang terkutuk dan menjijikkan seperti ini,' katanya. Dia didakwa merogol anaknya itu di dalam sebuah bilik di rumahnya, sekitar 9 malam pada 20 Julai lalu.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian hanya tertuduh dan anaknya yang berada di dalam rumah dan tertuduh mengajak mangsa ke dalam bilik tidur. Tanpa syak mangsa mengikut arahan dan sebaik masuk ke dalam bilik, tertuduh terus menerkam mangsa sambil meraba-raba seluruh badan mangsa.

Mangsa yang terkejut dengan tindakan bapanya itu meronta dan cuba melepaskan diri. Selepas membogelkan mangsa, tertuduh kemudian bertindak mengikat tangan serta kaki anaknya itu dengan tali rafia sebelum merogolnya.

Mangsa kemudian menceritakan kejadian itu kepada ibunya selepas pulang daripada kerja sebelum membuat la-poran di Balai Polis Tanjung Malim. Tertuduh ditahan dua hari selepas kejadian itu. -- BHM.

Pemberontak Libya umum pindah ke Tripoli dari Benghazi

GOTONG ROYONG: Rakyat Libya kelmarin membersihkan sampah sarap yang bertimbun di ibu kota Tripoli. -- Foto REUTERS
TRIPOLI: Pemberontak Libya semalam mengumumkan pemindahan kepimpinan pemerintahan mereka ke bandar Tripoli dari pangkalan mereka yang sebelum ini terletak di Benghazi.Naib Pengerusi Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC), Encik Ali Tarhuni, berkata bahawa pemimpin majlis itu, Encik Mustafa Abdel Jalil, akan datang ke ibu kota itu sebaik saja keadaan keselamatan mengizinkan.


'Semoga demokrasi dan hak perlembagaan Libya berterusan dan kemenangan kepada pejuang yang gugur mati syahid,' kata Encik Tarhuni.Susulan perkembangan terbaru itu, Encik Tarhuni turut dinamakan Menteri Minyak dan Ekonomi Libya.Encik Tarhuni turut menggesa askar yang taat kepada pemimpin Libya, Encik Muammar Gaddafi agar melucutkan senjata mereka.'Lucutkan senjata anda dan pulang. 


Kami tidak akan membalas dendam. Di antara kami dengan anda ialah undang-undang. Saya berjanji yang anda akan selamat,' kata Encik Tarhuni.Pemimpin pemberontak, Encik Abdel Jalil, berkata pihaknya tidak mempunyai angka sebenar penduduk yang terkorban.'Saya tidak pasti dengan jumlah sebenar tetapi berdasarkan pada pergolakan yang berlaku, ia melebihi angka 20,000,' katanya.


Sementara itu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah membenarkan Amerika Syarikat membatalkan pembekuan aset Libya bernilai AS$1.5 bilion ($1.8 bilion) bagi digunakan sebagai bantuan kecemasan.'Wang itu akan disalurkan dalam tempoh beberapa hari mendatang,' kata seorang diplomat Amerika.


Dalam pada itu, di Washington, Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton, menggesa para pemberontak mengawal senjata mereka dan mengambil pendirian tegas menentang 'faham pelampau.''Keadaan masih tidak stabil tetapi apa yang jelas ialah era Gaddafi bakal berakhir dan membuka laluan bagi era baru di Libya - yang bebas, adil dan aman.'Tiada ruang bagi serangan balas di Libya yang baru.'Masa depan Libya akan aman hanya jika pemimpin dan rakyat saling bekerjasama demi keamanan itu,' kata Cik Clinton dalam satu kenyataannya. -- AP, AFP, Reuters.

Gaddafi lari ke Algeria?


Seorang pemberontak Libya bergambar sambil tangannya menunjukkan isyarat 'V' (kemenangan) di kerusi berbentuk ikan duyung diperbuat daripada emas milik anak perempuan Muammar Gaddafi, Aisha di rumahnya di Tripoli, kelmarin. - AFP


TRIPOLI 27 Ogos - Satu konvoi enam buah kereta Mercedes yang mungkin membawa pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dilihat menyeberangi Libya ke Algeria semalam, lapor agensi berita Mesir MENA yang memetik sumber pemberontak.
Laporan itu bagaimanapun masih belum disahkan Algeria atau Libya.
Menurut agensi berita MENA yang memetik sumber pemberontak, enam kereta Mercedes diiringi kereta perisai dan anggota tentera dilihat memasuki bandar Ghadames di Algeria semalam.
Sumber memberitahu, pemberontak tidak dapat mengejar konvoi tersebut kerana kekurangan senjata dan kelengkapan tempur.
"Kami rasa konvoi itu mungkin membawa pegawai tertinggi Libya iaitu Gaddafi serta anak-anaknya," lapor sumber terbabit.
Gaddafi terpaksa berundur dari kubu kuatnya, Bab al-Aziziya di Tripoli selepas ia ditawan pemberontak awal minggu ini.
Sehingga kini, lokasi sebenar pemimpin Libya itu bersama anak- anaknya masih menjadi tanda tanya dengan kumpulan pemberontak dilapor meneruskan pemburuannya dibantu kelengkapan serta perkhidmatan risikan Pakatan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Dalam perkembangan berkaitan, pemberontak Libya semalam menawan Ras Jdir di sempadan Tunisia selepas ia dipercayai merupakan satu daripada jalan alternatif kepada Gaddafi untuk melarikan diri, namun kini ia telah disekat.
Sementara itu, Kesatuan Afrika (AU) semalam menggesa pembentukan sebuah kerajaan menyeluruh di Libya dengan mengatakan ia tidak boleh mengiktiraf kumpulan pemberontak sebagai wakil sah negara tersebut ketika pertempuran terus berlaku.
Penolakan tersebut menunjukkan betapa kuatnya pengaruh Gaddafi kepada kesatuan tersebut memandangkan beliau merupakan antara pembiaya utama dan pernah memberi sejumlah besar wang kepada beberapa pemimpin Afrika. - AFP/Reuters, UTUSAN

‘Raya terakhir’

PASIR PUTEH: “Ma (mak)... ore tok se (saya tidak mahu) dah baju baru dan mungkin raya tahun ni yang terakhir buat diri ore,” kata Syafiq Samsudin, 12, pelajar Sekolah Kebangsaan Tasek Pauh kepada ibunya, Zaleha Mustapha, 36, beberapa hari lalu sebelum terbabit kemalangan di Kampung Tasek Pauh, dekat sini, petang kelmarin.
Lebih menyayat hati, murid tahun enam yang bakal menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) itu terbunuh bersama rakan karibnya, Mohamad Asyraf Che Mat Nuzim, 14, selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta, jam 5.30 petang.

Difahamkan, sebelum kejadian itu dua rakan terbabit dikatakan dalam perjalanan dari arah Pasir Puteh menuju ke Wakaf Bunut.

Sebaik tiba di Kampung Tasek Pauh, motosikal ditunggangi Mohamad Asyraf yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Jawa membelok ke kanan jalan tanpa menyedari sebuah kereta datang dari arah bertentangan.

Terkejut melihat motosikal dinaiki dua rakan itu masuk ke laluan kanan, pemandu kereta, Nurzulaidy Muhamad, 33, cuba mengelak daripada berlanggar namun gagal.

Kedua-dua rakan terbabit juga cuba mengelak namun gagal, menyebabkan berlaku perlanggaran dengan kereta Kancil dipandu Nurzulaidy.


Akibat perlanggaran itu, Syafiq dan Mohamad Asyraf meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala sebelum mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tengku Anis (HTA) untuk bedah siasat.

Zaleha berkata, beberapa hari sebelum kejadian, anak sulung daripada tujuh beradik itu berubah menjadi pendiam, padahal sebelum ini dia periang dan suka mengacau adiknya, terutama ketika berbuka puasa.

Namun, katanya, perubahan paling ketara dilihat ke atas Syafiq ialah ketika hendak membeli sepasang lagi baju baru untuk anaknya, beberapa hari sebelum nahas berlaku.

“Ketika itu kami sekeluarga baru selesai berbuka puasa. Sebaik diajukan pertanyaan itu, Syafiq secara spontan memaklumkan kepada saya, dia tidak mahu lagi baju baru memandangkan Aidilfitri tahun ini yang terakhir buatnya.

“Namun saya tidak mengesyaki apa-apa hinggalah kemalangan berlaku dan apa diperkatakan Syafiq rupa-rupanya petanda awal dia hendak pergi menghadap Ilahi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tasek Pauh, dekat sini, semalam.

Menurutnya, Syafiq anak harapan dalam keluarga, selain murid yang diramal guru sekolah berpotensi mendapat 5A dalam UPSR.

“Dia dan Mohamad Asyraf memang rapat seperti belangkas walaupun usia mereka berbeza dua tahun.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian Syafiq dan menganggapnya sebagai ketentuan Ilahi,” katanya hiba.

Jenazah Syafiq dan Mohamad Asyraf dikebumikan di Tanah Perkuburan Tasek Pauh, jam 10.30 pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal berkata, siasatan kemalangan itu dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Warga Bangladesh maut

SEREMBAN: Seorang pekerja ladang warga Bangladesh maut selepas traktor membawa muatan kelapa sawit dinaikinya dirempuh sebuah lori di Jalan Labu-Gadong, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.30 pagi, lori membawa muatan batu itu dikatakan dalam perjalanan menghala ke Kampung LBJ, Labu, dekat sini, sebelum terbabit dalam kemalangan.

Jurucakap polis berkata, Rashidul Islam, 26, yang duduk di bahagian belakang traktor, maut di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan.

“Pemandu lori berusia 54 tahun itu dipercayai gagal mengawal kenderaannya ketika menuruni bukit lalu merempuh bahagian belakang traktor.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa dipercayai tercampak beberapa meter dari tempat duduk di bahagian belakang traktor dan maut di tempat kejadian,” katanya di sini, semalam.

Menurut beliau, seorang rakan sekerja mangsa yang duduk di tempat sama sempat menyelamatkan diri ketika kemalangan berlaku.


Katanya, rempuhan kuat itu menyebabkan bahagian depan lori dan bahagian belakang traktor remuk teruk.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS), di sini, untuk bedah siasat sebelum dituntut pihak kedutaan.

“Bagaimanapun, pemandu traktor dan pemandu lori tidak cedera,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Turus Trafik negeri, Asisten Superintendan Abd Halil Hamzah ketika mengesahkan kejadian itu berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Lelaki disyaki dera anak tiri ditahan

HULU SELANGOR: Seorang lelaki ditahan selepas disyaki mendera anak tirinya berusia tiga tahun, menyebabkan mangsa kini terlantar di hospital akibat patah gigi dan lebam seluruh badan.
Sehingga kini, mangsa dilaporkan belum sedarkan diri selepas dihantar ke Hospital Sungai Buloh oleh ibunya, kelmarin.

Menurut sumber, doktor yang merawat mangsa mengesyaki dia didera berdasarkan kesan lebam baru dan lama di leher, telinga dan badannya, menyebabkan pengamal perubatan itu membuat laporan polis.

“Susulan laporan diterima, sepasukan anggota polis menyerbu rumah mangsa sebelum menahan seorang lelaki yang juga bapa tirinya di sebuah rumah di Bukit Sentosa bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai didera berulang kali sejak sebulan lalu selepas ibunya berkahwin dengan lelaki itu lebih setahun lalu.

Sumber itu berkata, ibu mangsa adalah warga Indonesia dan pernah berkahwin dengan seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh sebelum pasangan itu bercerai.


“Polis akan mendapatkan keterangan lanjut daripada ibu mangsa bagi membantu siasatan kes itu, namun sehingga kini dia belum berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Afendy ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Menurutnya, suspek kini direman empat hari mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 200.

Penerbit cabul wanita diarah bayar RM9 juta

LOS ANGELES: Juri semalam mendapati penerbit filem, Jon Peters, 66, bersalah atas tuduhan mencabul dan mengarahkan lelaki itu yang terbabit dengan filem Batman supaya membayar lebih AS$3 juta (RM9 juta) kepada bekas pembantu peribadinya.
Keputusan panel juri terdiri daripada sembilan wanita dan tiga lelaki itu membolehkan Shelly Morita, 44, menuntut bayaran pampasan RM9 juta itu. Shelly mendakwa Peters merangkak ke arahnya di atas katil dan menyentuhnya ketika mereka berhenti rehat dalam penggambaran filem Superman Returns di Australia pada 2006. - Reuters

18 mangsa letupan bom

ALGIERS: Seramai 18 orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera, lewat petang semalam ekoran insiden letupan pengebom berani mati di akademi tentera Cherchell di barat bandar raya ini, kata sumber hospital.
Lapan daripada mangsa yang cedera dalam serangan itu yang pertama berlaku di akademi tentera sejak kempen keganasan bermula pada 1990-an di Algeria, dalam keadaan parah, lapor akhbar harian berbahasa Perancis, El Watan di laman webnya. Serangan yang dilakukan dua pengebom berani mati itu kira-kira 100 kilometer di barat Algiers, berlaku 10 minit selepas waktu berbuka puasa pada jam 6.30 GMT.

Dua pengebom itu dengan seorang daripadanya menunggang mostosikal meletupkan dirinya dalam jarak beberapa saat di hadapan laluan masuk ke dewan makan akademi itu. Sumber hospital berkata, mangsa yang terbunuh termasuk 16 tentera dan dua orang awam, manakala mangsa yang cedera dikejarkan ke hospital di bandar berdekatan Sidi Ghiles dan Tipaza, selain hospital tentera Ain-Naadja di Algiers.

Dalam laporan El Watan, pengebom berani mati itu dikatakan sengaja mensasarkan dewan makan pegawai tentera kerana mereka sedang berkumpul untuk berbuka puasa. - AFP

Dipukul tanpa sebab

KESAL... Muhammad Farzuan (kanan) dan Fendi menunjukkan laporan polis yang dibuat, semalam.
KESAL... Muhammad Farzuan (kanan) dan Fendi menunjukkan laporan polis yang dibuat, semalam.
GEORGETOWN: “Kami dipukul, dipijak dan ditendang seperti haiwan di depan orang ramai, sedangkan kami tidak melakukan apa-apa kesalahan,” dakwa dua sahabat apabila dipukul sekumpulan 15 anggota skim rondaan sukarela (SRS) di Batu Ferringhi, di sini, malam Khamis lalu.
Muhammad Farzuan Romzi, 20, dan Fendi Abdul Latif, 21, masing-masing dari Teluk Bahang berkata, kejadian berlaku jam 11.30 malam ketika mereka mengunjungi rumah seorang rakan di Mutiara Apartment, Batu Ferringhi.

Bagaimanapun, Muhammad Farzuan berkata, rakannya yang menetap di tingkat empat tiada di rumah dan mereka menunggu di tepi tangga sebelum didatangi sekumpulan lelaki yang mendakwa mereka anggota SRS sebelum memukul mereka menggunakan kayu, besi dan topi keledar.

Katanya, dia dan rakannya hampir pengsan selepas dibelasah tanpa belas kasihan dan mengalami lebam di seluruh anggota badan dan muka sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk rawatan lanjut.

“Saya terkejut dengan kejadian itu dan lebih menyedihkan apabila dituduh cuba melakukan jenayah pecah rumah dan menghidu gam selain dibelasah dan diseret dari tingkat tiga hingga tingkat bawah tanpa belas kasihan serta diperlakukan seperti binatang,” katanya.

Fendi berkata, dia kesal kerana kumpulan lelaki itu mengambil tindakan tanpa usul periksa, selain trauma dengan kejadian terbabit.


Berikutan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Batu Ferringghi, jam 11 pagi semalam bagi meminta polis melakukan siasatan.

Ke rumah mentua

BAHAGIA... Samihah bersama Salih.
BAHAGIA... Samihah bersama Salih.
KUALA LUMPUR: “Insya-Allah, tahun pertama bergelar isteri, saya akan mengikut abang pulang berhari raya di kampungnya di Sungai Besar (Selangor),” kata isteri muda pengacara dan penyampai radio popular, Salih Yaacob, Samihah Sheikh Ali, 25.
Samihah atau lebih mesra dengan panggilan Emi mengikat tali perkahwinan dengan Salih penghujung Mei lalu, mengakui ia adalah pengalaman baru baginya yang sebelum ini meraikan Aidilfitri bersama keluarga di Mersing, Johor.

“Sekarang saya berada di kampung (Mersing) dan akan pulang ke Kuala Lumpur, Ahad (hari ini) ini menaiki bas bagi menyediakan persiapan raya di keluarga mentua pula.

“Selama empat bulan bergelar isterinya, saya mula memahami sikapnya yang terlalu bersederhana malah persiapan hari raya kali ini pun ditentukan abang dan kakak (madu) yang lain,” katanya ketika dihubungi Metro Ahad.

Menurutnya, Salih sering mengingatkannya mengenai sambutan perayaan secara sederhana dan mengikut kemampuan mereka, selain membuang tanggapan hanya menziarahi kubur serta bermaafan di Aidilfitri. Menjawab persoalan mempunyai keistimewaan bergelar isteri muda, Emi menafikan tanggapan berkenaan malah menyifatkan suaminya bersikap adil terhadap keempat-empat isterinya.

Malah ia terbukti sepanjang Ramadan lalu, apabila mereka sekeluarga kerap berbuka puasa bersama-sama sekali gus mengeratkan lagi hubungan mesra yang sedia ada.


Emi juga tidak menolak kemungkinan mereka sekeluarga bakal menyambut hari raya bersama-sama, namun tarikhnya masih belum ditentukan Salih.

Lebih melegakan Emi yang juga pembantu peribadi Salih, adalah pengertian dan sokongan ibu bapanya yang sentiasa memahami kedudukannya mempunyai keluarga besar.

Sementara itu, Salih ketika dihubungi berkata, menyedari tanggungjawab besar yang dipikulnya apabila memiliki keluarga besar, dia mempraktikkan sistem giliran pulang ke kampung empat isterinya.

“Saya beruntung apabila dianugerahkan isteri yang memahami dan berdikari. Malah diakui keempat-empat isteri saya bijak memainkan peranan mereka sendiri sambil mendapatkan pandangan saya sebagai suami sebelum membuat keputusan.

“Saya tidak pernah menghalang isteri jika mereka ingin menyambut Aidilfitri bersama ibu bapa masing-masing biarpun lebih afdal mereka berada di sisi saya kerana memahami kerinduan mereka terhadap keluarga,” katanya.

Menurutnya, dia akan mencuri masa untuk menziarahi keluarga mentuanya di Kajang, Selangor (isteri pertama), Bagan Serai, Perak (isteri kedua), Alor Setar, Kedah (isteri ketiga) dan Mersing (isteri keempat).

Katanya, dia akan memanfaatkan sebarang jemputan pertunjukan pentas di tiga negeri berkenaan untuk beraya di kampung mentuanya. Selain itu, Salih berkata, dia bercadang mengadakan rumah terbuka untuk peminat namun enggan menetapkan sebarang tarikh kerana bimbang hajat itu tidak kesampaian.

Tambahan pula, dia kini bakal melancarkan produk berasaskan makanan jenamanya sendiri bulan depan.

8,000 penerbangan dibatal

NEW YORK/WASHINGTON: Syarikat penerbangan membatalkan hampir 8,000 penerbangan hujung minggu ekoran taufan Irene yang melanda pantai timur Amerika Syarikat, memaksa syarikat penerbangan memindahkan pesawat ke kawasan lebih selamat dan menghentikan perkhidmatan di hab penerbangan paling sibuk di AS itu.
Tindakan menutup rangkaian pengangkutan itu adalah sebahagian usaha kerajaan untuk mengelakkan masyarakat terdedah kepada taufan Irene. Sistem pengangkutan kereta api bawah tanah dan bas juga dikerah menghentikan operasi perkhidmatan. Pengguna jalan raya pula diminta tidak berada di lebuh raya dan jambatan utama akan ditutup sekiranya taufan itu mengatasi kelajuan dihadkan. - Reuters

Puluhan ribu berpindah


HABIS...rak barangan makanan di sebuah pasar raya di New York kosong selepas orang ramai berbelanja  mengumpul stok makanan.
HABIS...rak barangan makanan di sebuah pasar raya di New York kosong selepas orang ramai berbelanja mengumpul stok makanan.

NEW YORK: Berpuluh ribu penduduk di pantai timur Amerika Syarikat meninggalkan kediaman mereka dan pusat peranginan di kawasan itu, semalam ekoran taufan Irene yang menyebabkan lapangan terbang, sistem pengangkutan dan pusat perniagaan ditutup. Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg mengarahkan perpindahan penduduk secara besar-besaran yang tidak pernah berlaku sebelum ini dan penutupan sistem kereta api bawah tanah di bandar raya itu, manakala Presiden Barack Obama memendekkan percutian musim panasnya untuk kembali ke Washington. Taufan kategori kedua yang bertiup selaju 160 kilometer per jam itu melanda pantai Carolina Utara, semalam sebelum bergerak ke kawasan pantai menuju ke Washington, New York dan Boston. Bandar raya New York yang menjadi kediaman lebih 65 juta orang itu menghadapi ancaman banjir, ribut, bekalan tenaga terputus dan kemusnahan yang dikatakan pakar mungkin mencecah kerugian AS$12 bilion (RM36 bilion). Sementara itu, Bloomberg dalam sidang akhbar semalam mengarahkan perpindahan secara besar-besaran yang pertama penduduk dari kawasan rendah di bandar raya itu yang dihuni kira-kira 250,000 orang memberi amaran bahawa ia adalah perkara hidup dan mati. “Kita tidak pernah mewajibkan penduduk berpindah sebelum ini dan kita tidak akan melakukannya sekarang jika keadaan taufan itu tidak serius,” katanya. - AFP

8,000 penerbangan batal angkara Irene

Foto
TENTERA Marin Amerika yang berpangkalan di New London membuat benteng menggunakan guni berisi pasir bagi mengelakkan hakisan pantai.
Foto
TAUFAN Irene ketika melanda pantai Virgina, semalam.

Khidmat kereta api bawah tanah, pengangkutan awam turut terjejas

NEW YORK/WASHINGTON: Hampir 8,000 penerbangan dibatalkan hujung minggu ini ketika Taufan Irene menyerang pantai timur Amerika Syarikat ke arah New York, memaksa syarikat penerbangan memindahkan pesawat ke kawasan lebih selamat dan menghentikan perkhidmatan di hub paling sibuk negara itu.
Tindakan membatalkan penerbangan itu sebahagian usaha sektor perniagaan dan kerajaan untuk mengurangkan kesan serangan Taufan Irene terhadap orang awam.
Rangkaian kereta api bawah tanah dan sistem bas serta perkhidmatan rel penumpang turut merancang menghentikan perkhidmatan. Pemandu kenderaan digesa tidak berada di atas jalan raya manakala jambatan utama ditutup jika angin taufan melebihi kelajuan tertentu.

Ketika pihak berkuasa dari Washington sehingga ke Boston bersedia menghadapi angin kencang, hujan lebat dan banjir, syarikat penerbangan besar menasihatkan penumpang untuk mempertimbangkan semula rancangan perjalanan.

Tiga lapangan terbang utama di kawasan New York melaporkan lewat kelmarin mereka akan menghentikan ketibaan pesawat domestik dan luar negara pada tengah hari (1600 GMT) semalam. Pelepasan masih dirancang sehingga notis lanjut, menurut Pihak Berkuasa Pelabuhan di New York dan New Jersey.

Syarikat penerbangan besar sudah membatalkan banyak jadual perjalanan berjadual New York sehingga Isnin.
“Kami menyiapkan bekalan seperti kain tebal untuk menutup komputer dan peralatan elektronik jika kami menutup terminal dan papan nipis supaya jika ada sebarang kerosakan kaca kami boleh segera melindungi kawasan terbabit,” kata jurucakap bagi American Airlines, unit AMR Corp., Ed Martelle.

Kawasan timur laut dianggap paling padat dalam ruang udara Amerika dengan Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy dan LaGuardia di New York dan Newark di New Jersey menguruskan hampir 100 juta penumpang domestik dan antarabangsa setiap tahun.

Gangguan di wilayah itu berlanjutan di seluruh negara dan menjejaskan penerbangan antarabangsa.

Ribut terburuk dijangka menyerang kawasan tengah Atlantik lewat malam ini dan tengah hari, esok.

Kebanyakan syarikat penerbangan dijangka menutup operasi selama kira-kira 24 jam, kata pihak berkuasa syarikat penerbangan dan pengangkutan.

Perkhidmatan pengesanan syarikat penerbangan online Flightaware.com berkata syarikat penerbangan membatalkan 460 penerbangan kelmarin, 2,800 semalam dan lebih 4,700 hari ini.

Delta Air Lines membatalkan 1,300 penerbangan dari semalam sehingga Isnin. Ia termasuk semua operasi bermula hari ini di New York dan Newark.

American Airlines akan menghentikan operasi di New York bermula pertengahan pagi semalam sehingga hari ini. Ia juga membatalkan 265 penerbangan di tiga lapangan terbang di Washington semalam dan lebih banyak hari ini.

JetBlue Airways, berpusat di JFK, membatalkan hampir 900 penerbangan sepanjang Isnin.

United Airlines, syarikat penerbangan terbesar dunia yang mempunyai hub timur di Washington Dulles dan Newark, akan membatalkan 2,300 penerbangan. – Reuters

US Airways, yang mempunyai banyak operasi dari Pantai Timur ke Washington, Philadelphia dan LaGuardia, akan membatalkan 311 penerbangan semalam dan tambahan 1,000 lagi hari ini.

Seorang penganalisis dengan Dahlman Rose & Co, Helane Becker, menganggarkan kesan kerugian kepada syarikat penerbangan akibat ribut mungkin sekitar AS$5 juta (RM14.93 juta) jika Irene melepas kawasan pantai sehingga AS$30 juta dan AS$40 juta (RM89.55 juta hingga RM119.40 juta) jika diserang secara langsung.

Pentadbir Pihak berkuasa Penerbangan Persekutuan (FAA) Randy Babbitt, di jaringan penerbangan Boeing di Everett, Washington, untuk satu upacara menandakan persijilan komersial pesawat Dreamliner 787 Boeing Co, berkata agensi itu berpakat dengan US Airways dan “bertindak” segera jika menara kawalan ditutup.

FAA dalam satu kenyataan berkata ia sedang berusaha melindungi menara kawalan udara dan kemudahan lain serta peralatan daripada sebarang kerosakan akibat ribut. Membolehkan penerbangan diteruskan segera juga kritikal bagi menyokong sebarang usaha bantuan bencana. – Reuters 

Ahmadinejad desak PBB berhenti sokong Israel





2011/08/28

SEORANG penunjuk perasaan membawa sepanduk anti-Israel di London, 
baru-baru ini.
SEORANG penunjuk perasaan membawa sepanduk anti-Israel di London, baru-baru ini.
TEHRAN: Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad, berkata tiada ruang buat Israel di rantau ini selepas pembentukan sebuah negara Palestin dan sebaik saja negara itu diwujudkan, kebebasan semua tanah Palestin perlu dipatuhi.

Ulasan Mahmoud Ahmadinejad menggambarkan sikap anti-Israelnya, yang menarik kecaman antarabangsa sejak kali pertama berkata pada 2005 bahawa Israel perlu ‘dihapuskan daripada peta dunia.’
Ahmadinejad bercakap selepas perhimpunan besar-besaran pro-Palestin menandakan Hari Quds. Quds adalah bahasa Arab untuk Baitulmaqdis.
Demonstrasi tahunan itu adalah satu upacara oleh pihak berkuasa Iran untuk menunjukkan sokongan mereka kepada Palestin dan mengutuk seteru utama Israel.

Kenyataan itu dibuat ketika Palestin berusaha tahun ini untuk mencapai pengiktirafan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ketika mesyuarat Perhimpunan Agung September.

Cubaan mendapat pengiktirafan sebagai sebuah negara muncul di tengah rundingan damai terhenti Israel-Palestin dan walaupun pengundian PBB di New York sebahagian besarnya simbolik, Palestin percaya ia akan menghantar mesej berkuasa kepada Israel.

“Tiada ruang untuk anda di rantau ini. Pengiktirafan Palestin adalah langkah pertama pembebasan keseluruhan Palestin,” katanya. 
Ahmadinejad juga menggesa Barat berhenti menyokong Israel.

“Anda (Barat) dan rejim Zionis tidak akan mempunyai pangkalan di Asia Barat,” katanya ketika memberi amaran dan menolak sokongan Barat untuk penyelesaian dua negara sebagai satu taktik bermaksud ‘menyelamatkan’ Israel. 

Mengulangi retorik anti-Holocaust, Ahmadinejad berkata Israel dicetuskan atas penipuan dan menambah; “rejim Zionis paksi penyatuan semua perompak dan penjenayah di dunia.” – AP 

Tercampak 10m, leher hampir putus


Nur Aqilah Noor Ahmad (kiri) dan Azroy Nizam Ramli.
Nur Aqilah Noor Ahmad (kiri) dan Azroy Nizam Ramli.

Gadis balik beli baju raya jatuh jejambat

KUALA LUMPUR: Hasrat seorang gadis berusia 19 tahun memakai baju baru pada Aidilfitri berkecai apabila mangsa terbunuh selepas tercampak dari jejambat setinggi 10 meter berhampiran susur masuk Jalan Bellamy ke Jalan Istana, di sini, petang semalam.
Lebih mengerikan, selepas tercampak dari jejambat itu, kepala mangsa bergesel besi pembahagi jalan hingga lehernya hampir putus.
Mangsa yang dikenal pasti sebagai Nur Aqilah Noor Ahmad dari Kampung Tasik Tambahan, Ampang, kemudian terpelanting ke Jalan Istana yang sibuk hingga nyaris dirempuh kenderaan lain sebelum beberapa pengguna jalan raya berhenti memberi pertolongan.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa yang membonceng motosikal teman lelakinya, Darwish Ridhwan Lee Abdullah, 19, tercampak selepas motosikal terbabit gagal dikawal lalu merempuh penghadang jalan di jejambat berkenaan.

Lima minit selepas kejadian, Nur Aqilah disahkan meninggal dunia akibat kecederaan serius di kepala dan leher. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat manakala teman lelakinya yang cedera parah, dihantar ke hospital sama dan ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Kemalangan itu berlaku selepas kedua-dua mangsa dalam perjalanan ke rumah Nur Aqilah di Ampang selepas membeli baju raya di Bukit Bintang, di sini. Kejadian itu menyebabkan kesesakan hampir dua jam ketika warga kota sibuk menggunakan laluan itu untuk pergi ke pusat beli-belah serta menuju ke lebuh raya untuk balik kampung.
Berikutan kejadian itu, Polis Trafik Kuala Lumpur meminta saksi kemalangan itu menghubungi Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999 bagi membantu siasatan.

Di MELAKA TENGAH, seorang pemuda yang baru pulang dari membeli baju raya terbunuh manakala rakannya patah tangan selepas motosikal dinaiki mereka merempuh seekor lembu di Jalan Kampung Paya Rumput Jaya, Sungai Udang, di sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 1.15 pagi itu, Azroy Nizam Ramli, 25, dan rakannya yang membonceng motosikal dalam perjalanan ke rumah selepas membeli pakaian di Jonker Walk, di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehhudin Abd Rahman, berkata Azroy Nizam meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala sementara rakannya patah tangan.

“Siasatan awal mendapati mangsa dari arah Sungai Undang terlanggar lembu yang melintas di tengah jalan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya di sini, semalam.

Salehhudin berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di talian 06-2834139 bagi membantu siasatan.

Sementara itu, bapa saudara Azroy Nizam, Akmar Husin, 47, berkata arwah pernah terbabit dalam kemalangan kereta hingga koma selama sebulan, tahun lalu.

“Kami reda dengan pemergian arwah walaupun sedih dia tidak sempat memakai baju baru yang sudah dibeli untuk beraya,” katanya. 

24 terbunuh hari ke-4 Ops Sikap


Ketua Ketenteraman Awam Trafik Pahang, Supritendan Mohd. Fauzi Abd. Rahim (tiga dari kiri) mengagihkan beg berisi risalah keselamatan jalan raya dan kuih raya kepada pemandu kenderaan pada kempen Ops Sikap di Jalan Kuantan-Kemaman, Pahang semalam.


KUALA LUMPUR - Seramai 24 orang terbunuh dalam kemalangan jalan raya semalam iaitu hari keempat Ops Sikap ke-24 yang dilancarkan sempena Hari Raya Aidilfitri.
Menurut Polis Bukit Aman dalam laman webnya semalam, penunggang motosikal mencatat jumlah kematian tertinggi dengan 14 kematian diikuti enam pengguna kereta, dua pejalan kaki dan masing-masing satu kematian membabitkan lori dan lain-lain kenderaan.
Daripada jumlah itu, 10 kes dicatat di jalan persekutuan manakala lebuh raya dan jalan bandaran masing-masing merekodkan tiga kematian diikuti dengan dua kematian masing-masing di jalan negeri dan lain-lain jalan.
Menurut kenyataan itu, 9,556 saman dikeluarkan kepada pesalah trafik dalam operasi semalam.
Ops Sikap yang dilancarkan oleh Timbalan ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar pada Isnin lepas bertujuan menyedarkan orang ramai mengenai pemanduan berhemah dalam usaha mengurangkan kadar kematian akibat nahas jalan raya pada musim perayaan.
Ops Sikap ke-24 akan berakhir 6 September ini. - Bernama

Pelajar tipu bantuan bakal dihukum

KUALA TERENGGANU - Seramai lapan pelajar dari negeri ini bakal dihadapkan ke mahkamah bulan depan gara-gara menipu untuk mendapatkan bantuan persediaan pelajaran peringkat diploma sebanyak RM750 tahun lalu.
Perkara itu dinyatakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said (gambar) selepas nama kelapan-lapan pelajar terbabit dikesan tidak terdapat dalam senarai penerima bantuan pelajar layak yang sepatutnya.
Menurut Ahmad, tujuh daripada lapan pelajar itu akan didakwa kerana dengan sengaja melakukan penukaran empat angka terakhir dalam salinan kad pengenalan orang lain.
Jelasnya, seorang lagi pelajar akan didakwa kerana mencetak dan meminda surat tawaran seorang pelajar lain dengan niat untuk menipu bagi mendapatkan dana tersebut.
"Tindakan ini diharap dapat memberi peringatan kepada pelajar-pelajar lain agar kes seperti ini tidak berlaku lagi," katanya selepas menyampaikan bantuan persediaan Yayasan Terengganu (YT) kepada penuntut institut pengajian tinggi (IPT) peringkat ijazah 2011 di sini semalam.
Pada majlis itu, seramai 4,062 penuntut IPT peringkat ijazah di negeri ini menerima bantuan wang tunai berjumlah RM1,000 setiap seorang.
"Saya harap para pelajar akan memanfaatkan bantuan ini dengan sebaiknya dan tidak akan menghampakan harapan semua pihak terutamanya ibu bapa mereka," kata Ahmad.-kosmo

Dua sahabat mati nahas motosikal

PASIR PUTEH - Dua remaja yang merupakan rakan karib mati serta-merta apabila motosikal yang ditunggang mereka bertembung dengan sebuah kereta Perodua Kancil dari arah bertentangan di Kampung Tasek Pauh di sini pada pukul 5.30 petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Supritendan Mohd. Kamal Zainal berkata, mangsa, Mohamad Asyraf Che Mat, 14, dan Syafiq Samsudin, 12, disahkan mati di tempat kejadian.
Menurutnya, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang oleh dua remaja dari Pasir Puteh ke Wakaf Bunut itu dikatakan bertembung dengan sebuah kereta Perodua Kancil di satu selekoh.
"Sebaik tiba di satu selekoh, motosikal mereka bertembung dengan kereta tersebut lalu berlaku kemalangan," katanya semalam.
Bagaimanapun, pemandu kereta itu, Nurzulaidy Muhamad, 33, hanya mendapat cedera ringan.
Sementara itu, ibu Syafiq, Zaleha Mustafa, 36, ketika ditemui di Kampung Tasek Pauh reda dengan kejadian tersebut.
"Memang pedih hati saya untuk memikirkan sambutan hari raya tanpa arwah," katanya.
Menurut Zaleha, sebelum kejadian, Syafiq dan Mohamad Asraf keluar menunggang motosikal di kawasan kampung sementara menunggu waktu berbuka puasa.
Kedua-dua mangsa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tasek Pauh dekat sini semalam.

Laluan LPT2 sudah dibuka




BEGINILAH pemandangan LPT2 dari arah Bukit Besi ke Ajil yang dibuka sempena cuti Hari Raya Aidilfitri tahun ini.





KUALA TERENGGANU - Sempena musim cuti Hari Raya Aidilfitri, Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Dua (LPT2) bagi laluan Bukit Besi ke Bukit Payung telah dibuka untuk semua laluan sejak 22 Ogos lalu.
Pembukaan itu melibatkan tiga laluan iaitu dari Persimpangan Bukit Besi ke Persimpangan Ajil sejauh 42.4 kilometer (KM) dan Persimpangan Telemung ke Persimpangan Kuala Terengganu di Kampung Gemuroh sejauh 12.6KM.
Turut boleh digunakan oleh pengguna adalah laluan Jalan Penghubung Bukit Payong di Batu 9 dan Simpang Udang menghala ke Persimpangan Telemung sejauh kira-kira 16.3KM.
Pembukaan itu sekali gus memberi kemudahan kepada pengguna dari arah Dungun dan Kuantan, Pahang ke Ajil dan Kuala Berang tanpa menggunakan jalan persekutuan.
Ia juga menjimatkan masa perjalanan dari 40 minit ke 25 minit sahaja.
Bagi pengguna jalan raya yang ingin ke Kota Bharu, Kelantan pula, mereka boleh menggunakan jalan dari Persimpangan Bertingkat Ajil melalui Jalan Ajil-Kuala Berang dan masuk ke jalan besar yang menghubungkan semula Jalan Persekutuan 3 melalui Sungai Tong menghala ke Kelantan atau utara Pantai Timur.
Laporan awal sebelum ini menyebut LPT2 dijangka siap dan boleh digunakan sepenuhnya pada Jun 2012.
LPT2 melibatkan 12 pakej dari Jabor ke Kampung Gemuroh sejauh 182.60KM.
Antara laluan yang terlibat ialah Cenih, Cukai, Kijal Kertih, Paka, Dungun dan Kuala Terengganu.

Pemberontak Libya kepung bandar kelahiran Gaddafi


BEBERAPA pejuang pemberontak menangkap seorang askar Gaddafi ketika operasi mencari pemimpin Libya itu di Tripoli kelmarin.




TRIPOLI - Pemberontak Libya menawan pos kawalan Ras Jdir di kawasan sempadan dengan Tunisia dalam usaha menutup laluan keluar yang boleh digunakan Muammar Gaddafi untuk meninggalkan negara ini.
Lokasi persembunyian Gaddafi masih menjadi misteri tetapi pemberontak percaya pemimpin berusia 69 tahun itu masih berada di Libya.
Beliau sebelum ini bersumpah akan "berjuang sehingga syahid" dan tidak akan sekali-kali meninggalkan tanah airnya.
Namun, pemberontak yang tidak mahu menanggung risiko Gaddafi meloloskan dirinya dari negara ini bertindak menawan pos sempadan Ras Jdir lewat kelmarin.
Seorang pegawai Tunisia berkata, beberapa askar yang menyokong Gaddafi cabut lari selepas melihat lebih 100 pejuang pemberontak menuju ke pos kawalan itu.
"Tiada pertempuran dalam erti kata sebenar berlaku, askar-askar Gaddafi melarikan diri dan pemberontak menaikkan bendera mereka di pos kawalan tersebut," katanya.
Ketika pemberontak menutup laluan yang berpotensi digunakan oleh Gaddafi, agensi berita rasmi Mesir, MENA pula memetik sumber pemberontak memberitahu satu konvoi mengandungi enam kereta berperisai yang mungkin membawa pemimpin berusia 69 tahun itu telah melintasi sempadan Libya dan memasuki Algeria.
Sumber berkenaan menyatakan, deretan yang terdiri daripada enam kereta Mercedes itu diiringi askar-askar pro-Gaddafi sehingga kenderaan-kenderaan tersebut memasuki bandar Ghadames di Algeria.
Pihak pemberontak tidak dapat mengejar konvoi berkenaan kerana kekurangan peluru dan peralatan.
"Kami fikir kenderaan-kenderaan itu membawa pegawai kanan Libya, mungkin Gaddafi dan anak-anak lelakinya," kata sumber sama.
Algeria kelmarin menegaskan bahawa negara itu tetap tidak mengiktiraf kepimpinan pemberontak iaitu Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) Libya.
Algeria sebaliknya akan terus mengekalkan dasar neutral yang menjadi pegangan negara itu sejak konflik di Libya tercetus pada pertengahan Februari lalu.
Pendirian tersebut senada dengan polisi Kesatuan Afrika (AU) yang turut enggan mengiktiraf NTC.
Sementara itu, tiada tanda-tanda perang di Libya akan tamat dalam masa terdekat.
Menolak rundingan damai dengan Gaddafi, NTC menegaskan bahawa perang di Libya tidak akan berakhir sehingga Gaddafi ditangkap sama ada hidup atau mati.
Pada lewat kelmarin, NTC menghantar pejuang-pejuangnya untuk menggempur bandar kelahiran Gaddafi, Sirte yang terletak sekitar 450 kilometer ke timur ibu kota Libya.
Beberapa pemimpin NTC berkata, Sirte perlu ditawan kerana mereka percaya Gaddafi kini bersembunyi di bandar itu dengan dilindungi oleh ketua-ketua puak bersenjata.
"Namun, kami tidak pasti seratus peratus," kata seorang pegawai pemberontak.
Menjelang kepungan pemberontak ke atas Sirte, jet-jet Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) meningkatkan tekanan terhadap tentera Gaddafi di bandar berkenaan dengan mengebom 15 kenderaan tentera dan empat sasaran darat sejak kelmarin termasuk sebuah kubu bawah tanah.
Pejuang-pejuang pemberontak kini mara ke barat Libya dan bertempur di beberapa buah bandar termasuk Rass Al Jadeer, Regdalen, Aljamil dan Alagelat dalam usaha membebaskan seluruh negara itu daripada cengkaman tentera Gaddafi.
Pada masa yang sama, NTC sedang berusaha untuk mewujudkan sebuah pemerintahan pusat di sini bagi menyeragamkan operasi memburu Gaddafi.
Kepimpinan NTC menyatakan Tripoli kini bebas daripada tentera Gaddafi.
Seorang pegawai NTC, Ali Tarhuni berkata, ketua mereka, Mustafa Abdel Jalil akan tiba di sini selepas keadaan keselamatan bandar raya ini benar-benar terjamin.
Setakat ini sebanyak 57 negara, kebanyakannya negara Barat, telah mengiktiraf NTC sebagai pemerintah Libya yang sah.
Rakyat Libya bangkit menentang kepimpinan Gaddafi pada pertengahan Februari lalu kerana menuntut pembaharuan demokrasi dan ekonomi.
Pada Apri lalu, NATO mula melancarkan serangan udara di Libya bagi menguatkuasakan zon larangan terbang untuk menghalang rakyat biasa daripada menjadi mangsa keganasan tentera Gaddafi. - Agensi, kosmo