Pages

Thursday, June 2, 2011

Puluhan kampit beras bertaburan atas jalan


PEKERJA sebuah syarikat pengedar beras memunggah kampit beras ke dalam sebuah lori lain selepas lori asal yang membawa beras itu terbalik di Sungai Buloh, semalam.

KUALA LUMPUR 1 Jun - Berpuluh-puluh kampit beras bertaburan di atas jalan apabila sebuah lori yang sarat membawa muatan barangan tersebut terbabas lalu terbalik di Kilometer 458.3 Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Sungai Buloh dekat sini hari ini.
Kejadian berlaku pukul 9 pagi dipercayai berlaku apabila salah sebuah tayar di hadapan sebelah kiri kenderaan itu yang dalam perjalanan dari sebuah gudang di Rawang ke Klang tiba-tiba pecah.
Menurut jurucakap polis, berikutan itu, lori tersebut terbabas ke kiri jalan dan melanggar penghadang jalan sebelum terbalik.
"Ia mengakibatkan sebahagian daripada 700 kampit beras seberat 10 kilogram setiap satu yang dibawa kenderaan itu bertaburan di atas jalan.
"Pihak Projek Penyelenggaraan Lebuh Raya Berhad (Propel) yang datang berjaya menyekat cubaan segelintir orang ramai untuk mengambil beras itu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Katanya, pihak syarikat itu kemudian datang dan mengambil masa lebih sejam untuk memindahkan beras-beras yang bertaburan ke kenderaan lain.
Tambahnya, kemalangan tersebut turut mengakibatkan kesesakan di laluan berkenaan sejauh kira-kira tiga kilometer.
Pegawai Turus Trafik Selangor, Deputi Supritendan Azmi Mansur ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu. Utusan Malaysia Online - Kota

Kapal angkasa Endeavour selamat mendarat




KAPAL angkasa Endeavour mendarat di Pusat Angkasa Lepas Kennedy di Cape Canaveral, Florida, semalam dalam misi terakhirnya ke angkasa lepas. - REUTERS


CAPE CANAVERAL 1 Jun - Kapal angkasa lepas Endeavour dan enam angkasawannya selamat kembali ke bumi awal hari ini, untuk menamatkan misi kedua terakhir bagi program kapal angkasa Amerika Syarikat (AS) yang berusia 30 tahun itu.
Endeavour mendarat buat kali terakhir di Pusat Angkasa Lepas Kennedy di sini pada 2.35 pagi (2.35 petang waktu Malaysia) dengan membawa pulang lima angkasawan AS dan seorang warga Itali, menurut Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
"Terasa sedih apabila pesawat ini mendarat untuk kali terakhir tetapi Endeavour meninggalkan warisan yang cukup hebat," kata komander Mark Kelly, sejurus lepas pesawat itu mengakhiri perjalanannya yang ke-25 ke angkasa lepas.
Angkasawan itu menamatkan misi 16 hari ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS), di mana mereka memasang peralatan eksperimen fizik bernilai AS$2 bilion (RM6 bilion) bagi mengkaji asal usul alam semesta. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

718 orang awam terbunuh

TRIPOLI: Libya semalam menuduh Nato membunuh 718 orang awam dan mencederakan 4,067 lagi dalam serangan udara sepanjang 10 minggu lalu. Jumlah itu dinyatakan oleh jurucakap kerajaan, Mussa Ibrahim.

“Sejak 19 Mac hingga 26 Mei, 718 orang awam terbunuh dan 4,067 cedera, 433 daripadanya parah,” kata Mussa, memetik jumlah yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan.

Menurut Mussa, jumlah itu tidak termasuk anggota tentera yang terbunuh.
Kementerian Pertahanan Libya enggan mendedahkan jumlah itu.

Sebaik beliau bercakap, empat letupan kuat menggegarkan pusat bandar Tripoli, sasaran serangan udara Nato sejak lebih seminggu lalu, lapor seorang wartawan AFP.

Dua letupan pertama berlaku sekitar jam 9.45 malam diikuti dengan dua lagi 10 minit kemudian.
Nato bagaimanpun meragui dakwaan itu.

“Kami tidak ada bukti menunjukkan dakwaan itu benar,” kata timbalan jurucakap Nato, Carmen Romero.
Menurutnya, pakatan itu tidak dapat mengesahkan dakwaan berkenaan kerana tidak mempunyai anggota tentera di darat.

Sementara itu, Nato melanjutkan misinya di Libya sehingga hujung September depan.

“Keputusan ini adalah satu mesej yang jelas kepada rejim Gaddafi. Kami berazam untuk meneruskan misi ini untuk melindungi rakyat Libya,” kata Setiausaha Agung Nato, Anders Fogh Rasmussen.

“Kami akan meneruskan usaha untuk memenuhi mandat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, melindungi orang awam daripada tentera Gaddafi,” katanya dalam satu kenyataan.

Operasi ketenteraan sekarang berakhir pada 27 Jun.

Keputusan itu membolehkan negara terbabit masa untuk menyiapkan sumbangan mereka bagi 90 hari akan datang, kata seorang diplomat Nato. - Agensi
myMetro | 718 orang awam terbunuh

Arab Saudi rancang bina 16 reaktor nuklear


JEDDAH: Arab Saudi merancang membina 16 reaktor nuklear dalam tempoh 20 tahun yang menelan belanja lebih AS$300 bilion (RM901 bilion).


Akhbar Arabnews melaporkan Penyelaras Kerjasama Saintifik di Bandar Raja Abdullah untuk Tenaga Yang Diperbaharui dan Atomik, Abdul Ghani Melaibari, berkata urusan dibuat untuk menawarkan projek itu bagi bidaan antarabangsa dan syarikat yang berjaya perlu memenuhi kehendak negara itu dalam menyediakan teknologi moden.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Forum Alam Sekitar Teluk, yang berakhir di Jeddah semalam.
Setiap reaktor menelan belanja AS$7 bilion (RM21 bilion), katanya.

Melaibari berkata negara itu merancang untuk membina projek nuklear itu secara berperingkat dan koordinasi dengan syarikat pakar masih dalam perbincangan.

Beliau berkata syarikat dari mana-mana negara boleh membida untuk projek itu.

“Kami akan menimbangkan kepakaran yang boleh diperoleh,” jelasnya. – Agensi
Berita Harian Online | Arab Saudi rancang bina 16 reaktor nuklear

Empat mati akibat puting beliung di Massachusetts


SPRINGFIELD: Pegawai berkata, empat terbunuh selepas sekurang-kurangnya dua puting beliung melanda kawasan barat dan tengah wilayah berkenaan.


Jurucakap agensi pengurusan bencana, Scott MacLeod mengesahkan kematian itu malam tadi tetapi berkata tiada butiran lanjut mengenai kejadian berkenaan.
Bencana alam itu turut menyebabkan ramai cedera dan kerosakan harta benda. - AP
Berita Harian Online | Empat mati akibat puting beliung di Massachusetts

Tripoli terus dihujani serangan NATO


TRIPOLI: Pesawat NATO awal pagi ini terus membedil ibu negara Libya di Tripoli yang menjadi sasaran utama tentera bersekutu yang dijangka berterusan minggu ini.


Siri letupan yang keenam hari ini berlaku jam 12.35 pagi waktu tempatan diikuti beberapa lagi serangan selepas itu.
Pesawat pejuang NATO melakukan serangan pada Isnin malam dan Selasa di Tripoli, dengan sasaran di pinggir Tajura dan Al-Jafra, 600 kilometer ke selatan.
Selasa lalu, jurucakap kerajaan, Mussa Ibrahim berkata, serangan udara NATO telah membunuh 718 orang awam dan mencederakan 4,067 dalam tempoh 19 Mac sehingga 26 Mei. - AFP
Berita Harian Online | Tripoli terus dihujani serangan NATO

Kepala pecah dicampak pembunuh



ANJING pengesan digunakan untuk menjejaki individu yang bertanggungjawab mencampak seorang bayi hingga mati di sebuah pangsapuri di Sentul semalam. Gambar kecil Zakaria.


KUALA LUMPUR – Sepasukan anggota polis yang menjalankan siasatan mengenai satu kes pembunuhan kelu seketika apabila dilanda perasaan pilu sebaik melihat mayat seorang bayi lelaki yang ditemui dalam keadaan kepala pecah hingga menampakkan otaknya semalam.
Pembunuhan kejam itu berlaku apabila pelakunya dikatakan hendak mencampak bayi tersebut dari tempat tinggi terus ke dalam tong sampah yang berada di bawah.
Tetapi malang, balingannya tidak cukup kuat lalu tersasar sejauh tiga meter menyebabkan mangsa terhempas di atas jalan.
Bagaimanapun, polis masih belum dapat memastikan sama ada bayi itu masih hidup atau sudah mati ketika dicampak pelaku durjana tersebut.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat pada pukul 12 tengah malam.
Katanya, mayat bayi itu ditemui dibungkus dengan beg plastik di tempat letak kereta pangsapuri tersebut oleh seorang lelaki yang baru pulang dari tempat kerjanya.
“Pemeriksaan awal mendapati bayi yang masih bertali pusat dan cukup sifat itu mengalami kecederaan parah di kepala.
“Kita percaya ia berlaku selepas pelakunya dikatakan hendak mencampak bayi tersebut dari tempat tinggi ke dalam tong sampah di bawah namun ia terjatuh di kawasan letak kereta kira-kira tiga meter dari tong berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Kosmo! Online - Negara

Bebas tuduhan sembelih anak







KOTA BHARU – Mahkamah Tinggi di sini semalam memerintahkan seorang pengawal keselamatan yang dituduh menyembelih anaknya hingga mati dihantar ke hospital sakit jiwa selepas mendapati tertuduh tidak waras ketika melakukan perbuatan itu tahun lalu.
Hakim Azman Abdullah mengarahkan Muhaimi Sautar, 34, dimasukkan ke Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru. Dengan keputusan itu, Muhaimi turut dilepaskan tanpa dibebaskan daripada tuduhan membunuh anaknya, Mohammad Adam Muzhaffar, 3, pada 24 Ogos lalu.

MUHAIMI diarah untuk dimasukkan ke hospital sakit jiwa oleh Mahkamah Tinggi Kota Bahru semalam.


Saksi pembelaan, Pakar Perunding Psikiatri (Forensik) Hospital Permai, Dr. Bahi’ah Yahya mengesahkan melalui laporannya bertarikh 29 Oktober 2010 bahawa Muhaimi menghidap skizofrenia.
Skizofrenia ialah penyakit kronik, teruk dan merupakan masalah kegagalan fungsi otak.
Muhaimi didakwa membunuh anaknya di Kampung Sungai Budor di sini lebih kurang pukul 11.45 pagi hingga 12 tengah hari.
Kosmo! Online - Negara

Badan dunia dakwa telefon bimbit penyebab kanser




SEORANG wanita menggunakan telefon bimbit di New York pada 31 Mei lalu.


PARIS – Pengguna-pengguna telefon bimbit berisiko menghidap kanser otak dan mereka dinasihatkan menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS) dan alat pendengaran telefon, kata beberapa pakar barah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Menurut WHO, penggunaan SMS dan alat pendengaran telefon itu akan mengurangkan si pengguna terdedah pada gelombang telefon bimbit.
Medan frekuensi elektromagnetik radio yang dibebaskan telefon bimbit berisiko menyebabkan kanser pada manusia,” kata kenyataan Agensi Antarabangsa untuk Penyelidikan Kanser (IARC) selepas persidangan lapan hari diadakan di Lyon Perancis kelmarin.
Pakar-pakar membuat rumusan itu berdasarkan penelitian ke atas kajian melibatkan manusia dan kajian epidemiologi yang menunjukkan peningkatan berlakunya glioma iaitu sejenis kanser otak,” kata Presiden IARC, Jonathan Samet.
Dua kajian utama menunjukkan mereka yang paling kerap menggunakan telefon bimbit lebih berisiko dijangkiti kanser otak, katanya dalam satu sidang akhbar melalui telefon.
Beberapa individu berisiko tinggi yang dipantau dalam kajian-kajian tersebut telah menggunakan telefon bimbit mereka pada kadar purata 30 minit sehari selama 10 tahun.
“Kami tidak dapat meramalkan apa yang akan berlaku sekiranya orang ramai menggunakan telefon bimbit untuk tempoh masa yang lebih lama dan sepanjang hayat mereka,” kata Samet.
Terdapat sekitar lima bilion telefon bimbit berdaftar di dunia dan jumlah itu serta masa penggunaannya semakin meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Jelas IARC, bukti saintifik menunjukkan telefon bimbit berpotensi menyebabkan kanser tetapi ia masih perlu dibuktikan. – AFP
Kosmo! Online - Dunia

106,000 Prius dipanggil balik




GAMBAR fail pada 19 Novermber 2003 menunjukkan sebuah kereta Prius keluaran Toyota di sebuah lokasi yang dirahsiakan.


TOKYO – Toyota semalam memanggil semula 106,000 unit kereta generasi pertama Prius hibrid yang dijual di seluruh dunia kerana masalah stereng yang disebabkan satu nat yang mungkin longgar.
Menurut syarikat pengeluar kereta itu, satu nahas kecil yang dipercayai melibatkan masalah tersebut dilaporkan berlaku di Amerika Syarikat (AS).
Pemanggilan semula itu melibatkan 48,000 model Prius di Jepun yang bermula dengan generasi pertama yang dijual pada 1997 dan dikeluarkan pada 2003.
Masalah itu juga menjejaskan 58,000 buah kereta tersebut yang dijual di seluruh dunia termasuk 52,000 unit yang dijual di AS antara tahun 2001 hingga 2003.
Menurut jurucakap syarikat berkenaan, Paul Nolasco, kira-kira 1,200 unit kereta itu dijual di Britain manakala 800 lagi di Jerman.
Masalah itu boleh dibaiki dengan meletakkan nat yang lebih ketat dan memerlukan hanya kira-kira empat jam untuk dibaiki.
Menurut syarikat Toyota, jika nat lama itu dibiarkan berfungsi bagi tempoh yang panjang ia akan menyebabkan berlaku belokan kuat di bahagian kiri. – Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Cipta rekod tubuh dikerumuni lebah


BADAN Zhang Wei dan kerangka khas pada tubuhnya dikerumumi lebah seberat 83.5 kilogram di daerah Zizhou, barat China baru-baru ini.


BEIJING – Seorang lelaki, Zhang Wei dari daerah Zizhou, barat China mencipta rekod dunia kerana tubuhnya dikerumuni sejumlah besar lebah yang berat keseluruhan haiwan itu ialah 83.5 kilogram (kg), lapor sebuah akhbar semalam.
Dia memakai gogal dan bernafas melalui tiub yang diletakkan di dalam mulutnya untuk bernafas semasa lebah-lebah tersebut mengerumuni sekitar tubuhnya di sini baru-baru ini.
Satu kerangka khas yang kelihatan seolah-olah seperti dahan pokok juga dilekatkan pada tubuhnya bagi membolehkan lebah-lebah tersebut mengerumuni tubuhnya.
Dia tidak memakai topeng dan sarung tangan tetapi memakai baju, kasut dan seluar panjang semasa haiwan berkenaan mengerumuninya.
Wei mencipta rekod dunia dua hari selepas tubuh seorang penternak lebah China, Shyen Zonghong dikerumuni lebah seberat 36kg. – Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Gara-gara bakteria, timun jadi makanan kambing



ALGARROBO (Sepanyol): Timun yang tidak mahu dimakan manusia kini menjadi santapan kambing-kambing di sebuah ladang di daerah Algarrobo, di selatan Sepanyol.
Ini semua gara-gara krisis keracunan bakteria E. Coli yang dikatakan dikesan dalam timun.Kesan bakteria itu ditemui pada timun organik dari Sepanyol minggu lalu.Namun, belum ada pihak yang dapat mengesannya.Isnin lalu, Sepanyol menafikan timun dari ladangnya mencetuskan krisis di Jerman, yang menyebabkan 14 rakyat negara itu meninggal dunia dan lebih 320 dalam keadaan tenat.Kematian ke-15 dilaporkan berlaku di Sweden.Krisis itu dilaporkan telah merebak ke beberapa negara di utara Eropah dan dijangka meruncing dalam beberapa minggu mendatang. -- Foto REUTERS
Cyberita Online Luar Negara