Pages

Friday, April 29, 2011

Gempa bumi 6.2 magnitud landa Taiwan

TAIPEI: Gempa bumi berukuran 6.2 magnitud berlaku di Taiwan hari ini, kata biro cuaca negara itu tetapi tiada laporan berlaku kerosakan dan kematian.
Gempa bumi itu berlaku pada kira-kira jam 9.12 malam waktu tempatan, kira-kira 195 kilometer tenggara wilayah Taitung.
Pada September 1999, gempa bumi berukuran 7.6 magnitud mengorbankan kira-kira 2,400 orang dan dianggap paling buruk dalam sejarah pulau berkenaan. - AFP, bharian

Kereta kebal tentera Zionis lepaskan tembakan, cederakan Muslim Palestin

Zionis kembali menggempur daerah timur Kem Pelarian Al-bureij di Gaza tengah, mencederakan beberapa Muslim Palestin, ujar saksi mata.
Mereka setidaknya menggempur dengan menembakkan tiga misil ke arah Kem Al-bureij pada hari Khamis (28/4/2011) petang.
Juru bicara tentera Zionis membenarkan serangan tersebut.
Di bulan ini, dianggarkan 19 Muslim Palestin dilaporkan terbunuh oleh tembakan Israel.
Israel secara intensif menyerang Jalur Gaza sejak berakhirnya serangan ketenteraan besar-besaran di wilayah tersebut pada awal Januari 2009 silam.
Saat itu lebih dari 1.400 Muslim Palestin terbunuh dan puluhan ribu lainnya mengalami kecederaan. Kebanyakan korban adalah kaum perempuan dan kanak-kanak. (haninmazaya/arrahmah.com)
Tank tentara Zionis lepaskan tembakan, lukai Muslim Palestina - Arrahmah.com
Kereta kebal Israel

12 pejuang revolusi Libya dibunuh tentera NATO



MISURATA (Arrahmah.com) - Benarkah misi Amerika Syarikat dan NATO diLibya adalah untuk “melindungi rakyat” Libya dan membantu perlawanan pejuang revolusi menghadapi tentera kerajaan Gaddafi? Jika benar, mengapa selalu ada lapuran bahawa serangan udara salibis NATO menewaskan orang awam dan pejuang revolusi Libya.
Kali ini serangan udara salibis NATO mengorbankan sedikitnya 12 pejuang revolusi di kota Misurata, wilayah Libya timur, ujar sumber medis.
Menurut sumber medis, kematian terjadi ketika sejumlah misil NATO menghentam gedung yang berlokasi sekitar 5 Km dari timur kota pelabuhan Mediteranean di mana tentera revolusi berpengkalan, Rabu (27/4/2011), lapor Press TV pada Khamis (28/4).
NATO menolak laporan tersebut walaupun saksi mata mengatakan sebaliknya.
Dr. Hassan Malitan bahawa serangan terjadi sesaat setelah ia dan kumpulannya meninggalkan gedung.
“Kami baru saja meninggalkannya sekitar 200 meter dan kami mendengar ledakan bom besar yang mengguncang tanah,” ujar Malitan.
“Kami mulai menangis dan meneriakkan nama mereka,” katanya.  “Sangat jelas misi datang dari langit dan kami mendengar suara pesawat lalu.”
Di ibukota Libya, Tripoli, ledakan besar juga terdengar ketika pesawat NATO melintas di sana.
Sebelumnya, empat orang awam mengalami kecederaan setelah pesawat NATO menghentam kedudukan ketenteraan di Tripoli timur.
Sementara itu, Britain merancangkan akan menghantar tenteranya di perbatasan Libya-Tunisia.  London mendakwa bahwa tentera yang dihantar diperbatasan akan bertugas mengamankan penduduk dari serangan tentera Gaddafi.
Laporan mengatakan bahwa lebih dari 5000 perlarian warga Libya telah menyeberang ke Tunisia dalam tempoh 48 jam terakhir. (haninmazaya/arrahmah.com)
http://arrahmah.com/

Kate Middleton Milik Putera William




LONDON: Putera William dan Kate Middleton sah menjadi pasangan suami isteri melalui upacara perkahwinan di Wetminster Abbey, di sini Jumaat.
Pasangan diraja itu telah diraikan dengan acara yang penuh protokol dan dihadiri golongan bangsawan, diplomat dan para selebriti.
Kate hadir di Westminster Abbey dengan gaun rekaan Sarah Burton dari kediaman Alexander McQueen menyusuri jalan sementara Putera William yang menunggunya altar.
Selesai upacara tersebut, Kate dan William kelihatan ceria selepas masing-masing menyarungkan cincin di jari manis.
Selepas rasminya perkahwinan antara William dan Kate ini, Kate kini dikenali sebagai Duchess of Cambridge.
mStar Online : Kate Middleton Milik Putera William

Fatah, Hamas berdamai



Gambar bertarikh 17 Mac lalu merakamkan Mahmoud Abbas (kiri) mengangkat tangan Perdana Menteri Ismail Haniyeh daripada Parti Hamas semasa mereka berjalan keluar selepas menghadiri sesi khas Parlimen di Gaza City. – AP


KAHERAH 28 April – Parti Fatah pimpinan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas semalam memeterai perjanjian dengan musuh ketatnya, Hamas untuk menamatkan perseteruan berlarutan antara mereka.
Kedua-dua pihak juga bersetuju membentuk sebuah kerajaan interim menjelang pilihan raya dalam tempoh setahun.
Israel yang menganggap Hamas sebagai sebuah pertubuhan pengganas tidak menyenangi perjanjian tersebut yang dirundingkan secara rahsia di Mesir.
Rejim Zionis itu berkata, perjanjian Fatah-Hamas tidak akan menjamin keamanan di Asia Barat dan Abbas perlu terus memulaukan pergerakan berhaluan Islam yang memerintah Genting Gaza sejak 2007 selepas mengusir Fatah dalam satu perang saudara.
Mencapai perpaduan Palestin dianggap penting untuk memulihkan sebarang prospek penubuhan sebuah negara Palestin merdeka, tetapi kuasa Barat enggan berurusan dengan Hamas kerana pendiriannya untuk tidak mengiktiraf Israel dan menghentikan perjuangan bersenjata.
“Kami sudah bersetuju untuk menubuhkan sebuah kerajaan terdiri daripada tokoh-tokoh bebas yang akan mula membuat persiapan bagi menghadapi pilihan raya Presiden dan Parlimen,” kata ketua pasukan perunding Fatah di Kaherah, Azzam al-Ahmad.
Katanya, pilihan raya akan diadakan dalam tempoh lapan bulan dari sekarang, sementara Liga Arab akan menyelia pelaksanaan perjanjian itu.
Di bandar Ramallah, Tebing Barat, jurucakap Abbas, Nabil Abu Rdaineh berkata, perpaduan Palestin bukan urusan Israel.
“(Benjamin) Netanyahu mesti memilih sama ada perdamaian yang adil dengan bangsa Palestin yang bersatu atau pembinaan kawasan penempatan haram Yahudi,” kata Abu Rdaineh yang merujuk kepada Perdana Menteri Israel itu.
Pada sidang media di Kaherah yang dihadiri para pemimpin Fatah dan Hamas, Ahmad mengakui rakyat Palestin telah menanggung kerugian besar disebabkan perbalahan sesama sendiri.
“Kami berbangga kerana kami kini mempunyai kemahuan untuk menghentikan perbalahan sesama sendiri supaya kami boleh menamatkan pendudukan Palestin, pendudukan terakhir dalam sejarah,” katanya.
Timbalan pemimpin Hamas, Moussa Abu Marzouk pula berkata, perbalahan itu telah membuka peluang kepada rejim pendudukan dan ‘hari ini, kami membuka lembaran baru’. – Reuters

Pemberontak dibenar dagangkan minyak mentah



TRIPOLI: AS memberikan sokongan kewangan kepada pemberontak yang menguasai wilayah timur Libya ketika tentera Muammar Gaddafi terus menekan kubu musuh mereka di barat serta tenggara negara itu, semalam.
Washington menyatakan keyakinan terhadap majlis pentadbiran Benghazi apabila Perbendaharaan AS membenarkan dagangan minyak dilakukan dengan mereka.


Kebenaran itu bakal memberi kesan besar kepada pemberontak yang kini menghadapi kekurangan dana bagi membiayai perang mereka ke atas rejim Gaddafi.


Arahan Pejabat Kawalan Aset Luar di Jabatan Perbendaharaan AS mungkin melegakan bakal pembeli minyak dari Benghazi daripada berdepan implikasi undang-undang serta sekatan antarabangsa.


Kapal pertama membawa petroleum mentah dari Bengzahi - dikatakan sebanyak 80,000 tan - dijangka tiba di Singapura pada Khamis untuk pengisian minyak.


Bagaimanapun, pedagang petroleum berkata, mendapatkan pembeli bukan usaha yang mudah kerana pedagang masih bimbang terhadap kesan perundangan daripada tindakan itu.




Sebuah kapal tangki ditempah untuk syarikat minyak Itali bagi membawa petroleum mentah dari wilayah dikuasai Gaddafi gagal sampai ke pelabuhan dan berlayar tanpa kargo ekoran sekatan dikenakan ke atas Libya.


Sumber berkata, Libya enggan membenarkan petroleum mentahnya dieksport kerana ia tidak akan mendapat bayaran. - Reuters, mymetro

Tentera Syria bunuh 500 orang awam


AMMAN: Tentera Syria dilaporkan membunuh sekurang-kurangnya 500 orang awam dalam usaha mereka mengekang kebangkitan rakyat, kata sebuah pertubuhan hak asasi manusia, semalam.
Menurut Sawasiah, beribu-ribu warga Syria turut ditahan dan sebahagian daripadanya gagal dikesan selepas demonstrasi mendesak reformasi diadakan di negara itu dilancarkan hampir enam minggu lalu.

Sawasiah ditubuhkan peguam hak asasi manusia yang kini dipenjara, Mohannad al-Hassani.

Dalam kenyataan semalam, pertubuhan itu menuntut kerajaan menghentikan pembunuhan, penyeksaan dan penahanan warga Syria.

“Kami memiliki 500 nama orang yang dibunuh tentera kerajaan,” kata pertubuhan itu. - Reuters

2 maut pulang dari kerja


PACUAN empat roda  dinaiki Mohamad Azarul (kiri) dan Mohamad Nazri  remuk   dalam kemalangan  di Batu 14, Jalan Bakri-Yong Peng, dekat Muar petang kelmarin.
PACUAN empat roda dinaiki Mohamad Azarul (kiri) dan Mohamad Nazri remuk dalam kemalangan di Batu 14, Jalan Bakri-Yong Peng, dekat Muar petang kelmarin.


Kenderaan dinaiki pekerja ladang bertembung lori sawit 


MUAR: Dua sahabat maut selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki bertembung lori membawa muatan sawit dalam kejadian di Batu 14, Jalan Bakri-Yong Peng, dekat sini petang kelmarin.
Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, pemandu Mitsubishi Pajero, Mohamad Azarul Akmal Md Ramlan, 21, dari Parit Jepun, Batu 16, dan rakannya, Mohd Nazri Md Asan, 25, dari Parit Haji Anuar, Batu 17, mati di tempat kejadian.
Kejadian dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa yang bekerja sebagai pemandu dan pembantu jentera jengkaut itu dalam perjalanan pulang ke rumah masing-masing dari tempat kerja di ladang kelapa sawit di Parit Ulu dekat Bakri. 


Rakan mangsa, Mohd Fahad Yagi, 26, tidak menyangka kedua-dua sahabatnya itu terbunuh dalam kemalangan jalan raya kerana mereka baru saja keluar minum bersama pada malam sebelum kejadian. 


“Ketika pertemuan, Mohamad Azarul tidak menunjukkan perubahan kecuali memberitahu hasratnya untuk berjalan bersama rakan lain sempena cuti Hari Pekerja pada Isnin depan,” katanya ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini semalam. 


Jenazah dua sahabatnya itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 14, Air Hitam. 
Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Muar, Inspektor Mohd Redzuan Mohd Lin, telefon 06-952 6222. , bharian

Lelaki curi kabel TNB hampir hangus




PENAGIH dadah yang dipercayai cuba mencuri kabel elektrik milik TNB kelmarin kini dirawat di HOSHAH, Temerloh.
PENAGIH dadah yang dipercayai cuba mencuri kabel elektrik milik TNB kelmarin kini dirawat di HOSHAH, Temerloh.


Penagih melecur 40 peratus kena arus elektrik 


MARAN: Seorang penagih dadah melecur hampir 40 peratus badan selepas terkena renjatan elektrik berkuasa 11,000 watt ketika cuba mencuri kabel Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Pencawang ASPA di sebuah bekas tapak kilang lama, dekat sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 1.25 pagi, mangsa berusia 24 tahun itu melecur dari kepala hingga paras pinggang, namun dilaporkan stabil selepas menjalani rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAH), Temerloh.
Sebelum kejadian, lelaki terbabit dikatakan sudah mencuri kabel di tempat sama sebelum berhasrat mahu melakukannya kali kedua secara berseorangan dipercayai bagi mencari wang untuk membeli dadah. 


Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin, berkata polis yang menerima maklumat mengenai kejadian bergegas ke lokasi sebelum menemui pemutar skru, parang dan telefon bimbit milik lelaki terbabit. 


“Lelaki itu telah dihantar orang awam ke Klinik Kesihatan Maran untuk menerima rawatan lanjut selepas ditemui hangus separuh badan,” katanya ketika ditemui di sini semalam. 


Beliau berkata, pihaknya masih meneruskan siasatan lanjut berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana pencerobohan. 
Sementara itu, jurucakap TNB Maran, berkata akibat tindakan lelaki terbabit, bekalan elektrik di bandar ini terganggu 32 minit. 
-bharian

224 jadi korban 100 puting beliung


Tujuh negeri selatan AS ‘diserang’ angin kencang, Alabama paling teruk 



TUSCALOOSA: Sekurang-kurangnya 224 penduduk di tujuh negeri Amerika Syarikat terbunuh semalam berpunca daripada serangan puting beliung dan ribut yang memusnahkan kawasan perumahan, menyebabkan kereta bergolek, menumbang pokok dan memutuskan bekalan elektrik.
Bencana itu dikatakan yang terburuk dalam tempoh hampir empat dekad di Amerika dengan Alabama negeri paling teruk apabila 131 penduduknya maut dan mengalami kemusnahan besar hartanah, kata Gabenor Robert Bentley.
“Kami menjangka, angka korban itu akan meningkat,” kata Bentley dalam sidang akhbar dengan Craig Fugate, Pentadbir Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan (FEMA). 

Berdasarkan laporan awal, 32 lagi maut di Mississippi, 30 di Tennessee, 11 di Arkansas, 10 di Georgia, lapan di Virginia dan dua lagi di Louisiana. 
Lebih 100 puting beliung selain ribut membawa kemusnahan besar dari sebelah barat ke timur dalam masa beberapa hari. 

Loji nuklear Browns Ferry di Alabama dijangka ditutup selama beberapa minggu bagi membolehkan pekerja memperbaiki talian transmisi ketika sejuta orang di negeri itu terputus bekalan elektrik. 
Fugate pula berkata, masih terlalu awal bagi agensinya memberi angka kematian keseluruhan kerana pihak berkuasa masih menjalankan misi mencari dan menyelamat. 

Kemusnahan paling teruk berlaku di Alabama kelmarin apabila puting beliung selebar 1.6 kilometer melanda Tuscaloosa, lokasi Universiti Alabama menyebabkan 15 orang terbunuh, beberapa daripada mangsa adalah pelajar. 

“Ia kedengaran seperti bunyi gergaji. Anda boleh dengar bunyi pelanggaran. Hanya tinggal pakaian dan peralatan berat. Sukar dipercayai,” kata pelajar, Steve Niven, 24. 

Presiden Amerika, Barack Obama mengisytiharkan perintah darurat bagi negeri itu selain penghantaran bantuan kerajaan persekutuan. 

Puting beliung perkara biasa bagi penduduk di selatan dan Midwest tetapi jarang sekali membawa kemusnahan besar. 

Kedai, pasar raya, stesen minyak dan kedai cucu baju musnah di satu kawasan di Tuscaloosa yang mempunyai 95,000 penduduk. 

Puting beliung paling banyak mengorbankan nyawa di Amerika ialah pada April 1974 apabila 300 orang maut, menurut Pusat Ramalan Ribut Kebangsaan di Oklahoma. – Reuters , bharian

Warga emas 82 tahun dapat lesen memandu


ABDULLAH menunjukkan replika lesen memandu percubaan yang diperolehnya pada majlis penutup program SKSJ di SK Sri Neting, Pengkalan Kubor, Tumpat semalam.


TUMPAT – Seorang warga emas berusia 82 tahun dari Kampung Tujuh di sini merupakan antara 472 individu berusia lebih 50 tahun yang mendapat lesen memandu percubaan (P) motosikal B2 selepas mengikuti ujian memandu anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama tiga bulan menerusi program Satu Komuniti Satu JPJ (SKSJ).
Abdullah Che Ibrahi yang mempunyai 20 cucu ketika berkongsi kegembiraannya berkata, dia tidak menyangka akan mendapat lesen P selain menjadi peserta tertua pada program berkenaan yang dilaksanakan bermula Februari lalu.
“Bagi saya, ini adalah lesen paling besar pernah saya dapat sejak menunggang motosikal hampir 32 tahun lalu.
“Bukan saya sengaja tidak mahu ambil lesen tetapi disebabkan tidak tahu membaca, ia membataskan saya untuk cuba mendapatkan lesen memandu,” katanya selepas menerima lesen pada majlis penutup program SKSJ di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Neting, Pengkalan Kubor di sini semalam.-kosmo

Keluar saman dengan gambar


CCTV polis akan merakam kesalahan pengguna jalan raya sebagai bukti notis saman yang dikeluarkan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia akan menghantar notis saman berserta gambar mana-mana kenderaan yang didapati melanggar undang-undang jalan raya di kawasan yang mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mulai 1 Mei ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan menggunakan kaedah itu bagi mengemas kini cara saman dikeluarkan supaya lebih tepat dan berkesan.
"Kalau ada yang dakwa itu bukan kenderaan mereka (walaupun selepas notis saman berserta gambar dihantar), sila kemukakan bukti di mana-mana kaunter trafik," katanya kepada pemberita di Bukit Aman di sini semalam.
Menurut beliau, kaedah itu akan diguna pakai bagi semua kesalahan termasuk memandu melebihi had laju, tidak memakai tali pinggang keledar, membuat pusingan di kawasan yang tidak dibenarkan dan sebagainya.
"Kaedah itu digunakan sebagai bahan bukti bagi menunjukkan seseorang itu telah melanggar undang-undang jalan raya," kata beliau.
Khalid memberitahu, bagi kawasan yang tidak mempunyai CCTV, saman akan tetap dikeluarkan secara normal oleh anggota dan pegawai trafik., kosmo

Pegawai Imigresen disogok RM2,000 sehari


ABU KASSIM menyerahkan Laporan Tahunan SPRM 2010 kepada Mohd. Radzi (kanan) di Parlimen semalam


KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan bahawa amalan rasuah dan penyelewengan dalam kalangan pegawai penguat kuasa termasuk pegawai Jabatan Imigresen merupakan antara punca kebocoran di pintu masuk negara.
Menurut Laporan SPRM 2010, wujud segelintir pegawai Jabatan Imigresen hidup mewah dengan wang haram dan disyaki menerima sogokan antara RM2,000 sehari hingga RM60,000 sebulan.
"Apabila terdedahnya penglibatan mereka, didapati ada segelintir pegawai menerima sogokan sehingga RM60,000 sebulan di Jeti Penumpang Pulau Ketam di Pelabuhan Klang, Selangor.
"Terdapat juga penguat kuasa dipercayai dibayar sehingga RM2,000 sehari untuk memudahkan urusan keluar masuk pendatang haram tanpa izin (PATI)," demikian menurut laporan itu.
Laporan tersebut diserahkan oleh Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamad kepada Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, Datuk Seri Mohd. Radzi Sheikh Ahmad di Parlimen semalam.
Sogokan yang diterima termasuklah untuk melepaskan warga asing yang pasportnya mempunyai cap palsu atau tiada dokumen perjalanan.
Berdasarkan laporan itu, daripada risikan SPRM Selangor, dianggarkan 1,000 hingga 1,500 PATI masuk ke negara ini setiap hari dan kira-kira 35 peratus daripada jumlah PATI itu membayar wang sogokan antara RM70 hingga RM100 seorang bagi mengelak prosedur pemeriksaan Imigresen., kosmo
Kadar bayaran levi pekerja asing Jabatan Imigresen adalah antara RM360 hingga RM1,800 setahun mengikut sektor pekerjaan. Yuran pemprosesan pas lawatan (kerja sementara) adalah antara RM60 hingga RM110 seorang.

Penyelam temui harta karun jutaan dolar



SEBAHAGIAN duit syiling dan harta karun yang ditemui oleh kumpulan penyelam Deep Blue Marine.


SANTO DOMINGO - Kira-kira 700 duit syiling perak, batu cermin dan barang kemas penduduk Mayan pada era tahun 1500-an ditemui di dasar laut di luar pantai Republik Dominica, lapor sebuah akhbar semalam.
Ia ditemui oleh satu pasukan dari kumpulan pencari harta karun, Deep Blue Marine selepas mereka melakukan tinjauan 67.59 kilometer dari pantai dengan menggunakan peralatan berteknologi tinggi.
Semasa membuat tinjauan itu, seorang nelayan tempatan menjual kepada mereka satu syiling lama yang ditemuinya semasa menyelam.
Anggota-anggota pasukan pencari harta karun itu mendapati ia merupakan antara duit syiling yang paling lama pernah ditemui.
"Kami bercakap kepada lelaki itu jika dia menunjukkan lokasi duit syiling tersebut ditemui, anda boleh bekerja dengan saya," kata Naib Presiden Deep Blue Marin, Randy Champion.
Kebanyakan duit syiling itu tidak mempunyai tarikh menyebabkan anggota-anggota kumpulan tersebut membuat rujukan dengan mencari maklumat menerusi sejumlah buku untuk mengetahui tahun duit berkenaan.
Menurut Champion, pasukan itu menyelam pada musim luruh yang lalu dan akan pergi ke lokasi tersebut dalam tempoh dua minggu lagi.
Bangkai kapal itu kini dipenuhi pasir dan terumbu karang. - Agensi, kosmo

Puting beliung landa selatan AS


SEJUMLAH rumah semalam musnah akibat puting beliung di bandar Pratt, pinggir Birmingham kelmarin.


BIRMINGHAM, Amerika Syarikat (AS) - Sebanyak 161 angin puting beliung melanda selatan AS kelmarin dalam kejadian ribut paling buruk sejak 40 tahun lalu.
Cuaca buruk itu menyebabkan lebih 220 orang terbunuh setakat ini dengan 131 sahaja berlaku di negeri Alabama kelmarin.
Perintah darurat diisytiharkan di Alabama, Arkansas, Georgia, Kentucky, Mississippi, Missouri, Tennessee dan Oklahoma ekoran cuaca buruk itu.
Presiden AS, Barack Obama menyatakan bantuan akan dihantar ke negeri-negeri yang terjejas teruk akibat ribut tersebut.
Para penduduk terkejut apabila melihat kerosakan tersebut semalam di sini manakala sebahagian lagi menangis ekoran kehilangan orang tersayang dan rumah.
Sejumlah serpihan bangunan yang diranapkan oleh angin puting beliung ditemui sejauh 80 kilometer dari tempat asal.
Angin puting beliung dan ribut yang berlaku kelmarin dianggap melibatkan kematian paling ramai sejak ribut taufan Katrina pada 2005.
Menurut laman Accuweather.com, angin puting beliung itu merupakan yang terburuk pernah berlaku sejak 310 orang terbunuh pada 3 April 1974. – Agensi, kosmo