Pages

Monday, October 15, 2012

Berlian 400 tahun bakal dilelong

Berlian 400 tahun bakal dilelong:



NEW YORK 14 Okt. - Sebutir berlian berusia 400 tahun sebesar ibu jari orang dewasa yang dianggarkan bernilai lebih AS$15 juta (RM45 juta) bakal dilelong di Switzerland pada 13 November ini.
Berlian Archduke Joseph yang diberi nama sempena nama Putera Hungary, Archduke Joseph August itu dianggarkan 10 kali lebih berat berbanding cincin berlian yang dipakai aktres terkenal Hollywood, Jennifer Aniston.
Berlian milik Aniston itu dipercayai seberat 1.6 gram, manakala berlian Archduke Joseph pula seberat 15.2 gram.
Program stesen televisyen NMCToday yang memetik kenyataan Pengarah Bahagian Berlian firma lelongan Christie, Rahul Kadakia berkata, sukar untuk membayangkan saiz sebenar berlian Archduke Joseph itu.
"Berlian berkenaan dianggarkan sebesar telur burung puyuh dan benar-benar asli serta mempunyai warna yang terang," katanya.
Berlian tersebut dipamerkan di New York, hari ini sebelum dilelong pada jualan lelong Magnificent Jewel di Geneva, Switzerland, awal bulan depan.
Meskipun harganya dianggarkan bernilai AS$15 juta (RM45 juta), pakar berlian percaya harga barang kemas itu lebih mahal daripada itu.
Malah, beberapa pembeli dari Asia Barat, Asia dan Rusia telah menyatakan minat untuk membida berlian terbabit.
Menurut Kadakia, RM45 juta merupakan harga yang berpatutan dan pihaknya mengharapkan jualan berlian itu akan mencatat rekod baharu.
Firma Christie pernah menjual berlian tersebut pada harga AS$6.5 juta (RM13.5 juta) di Geneva pada 1993.
Berlian itu dilombong dari lombong Golconda di India dan tergolong sebagai antara berlian termahal di dunia termasuklah berlian Kohinoor milik koleksi kerabat Diraja Britain dan berlian Regent yang dipasang pada Mahkota Perancis. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121015/lu_07/Berlian-400-tahun-bakal-dilelong#ixzz29RUfdcfr
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Derita hidup peniaga daging

Kosmo! Online - Negara:


MUTUKRISHNAN menunjukkan ibu jari tangan kanan yang didakwa dikerat ah long di Selayang, Selangor semalam.


SELAYANG – Seorang peniaga daging kambing tidak menyangka kehidupannya tidak pernah sunyi daripada penderitaan setelah membuat pinjaman sebanyak RM50,000 dengan sebuah syarikat kewangan berlesen pada tahun 2006 untuk tujuan menjalankan perniagaan.
Deritanya bermula apabila dia gagal menjelaskan baki pinjaman berkenaan sebanyak RM13,000 tahun lalu.
Akibatnya kepala dia ditetak dengan senjata tajam, telinga kanannya dihiris manakala dan ibu jari tangan kanannya dipotong tahun lalu.
Bagaimanapun mangsa, A. Mutukrishnan menerima satu lagi kejutan apabila dia dihalau dari rumahnya di Selayang di sini oleh pekerja syarikat kewangan berlesen itu baru-baru ini.
Alasan yang diberikan ialah rumah tersebut sudah digadai kepada bank.
“Disebabkan rasa tidak puas hati dengan tindakan itu, saya telah merujuk perkara tersebut ke bank berkenaan.
“Saya cukup terkejut apabila bank mengakui kelalaian mereka meluluskan proses tukar hak milik rumah tersebut kepada syarikat terbabit tanpa pengetahuan saya,” dakwanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Perlumbaan lembu di sawah padi

Kosmo! Online - Dunia:




SEJUMLAH penonton menyaksikan pertandingan perlumbaan Pacu Jawi. - Agensi



PADANG PANJANG, Sumatera Barat – Satu perlumbaan lembu di kawasan sawah padi diadakan di sini kelmarin.
Sukan itu dikenali sebagai Pacu Jawi dalam kalangan penduduk Minangkabau.
Ia diadakan selepas musim menuai padi berakhir. Pada perlumbaan itu, seorang lelaki akan berdiri di atas sekeping papan yang ditarik dua ekor lembu.
Lelaki itu turut memukul ekor haiwan itu supaya berlari dengan lebih pantas untuk menewaskan pesaingnya. – Agensi

Syria didakwa guna bom berangkai

Kosmo! Online - Dunia:

SEORANG kanak-kanak yang cedera selepas terkena bedilan tentera Syria mendapat rawatan di sebuah hospital di Homs kelmarin. - Reuters


AMMAN - Sebuah kumpulan hak asasi antarabangsa semalam menyatakan ia mempunyai bukti baharu bahawa tentera Syria menggunakan bom berangkai.
Bom itu diharamkan secara meluas kerana penggunaannya memberi risiko yang besar terhadap manusia.
Ia boleh digunakan di sebuah kawasan yang besar dan hanya akan meletup jika disentuh penduduk.
Seorang pegawai pertubuhan Human Right Watch (HRW) Steve Goose menyatakan, bom tersebut telah diharamkan di kebanyakan negara.
Menurutnya, Syria sepatutnya menghentikan penggunaan bom tersebut yang boleh menyebabkan ramai orang terbunuh.
"Sebelum ini, HRW melaporkan tinggalan bom berangkai ditemui di Homs dan kawasan berdekatan Hama pada musim panas," katanya.
Sementara itu, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu mengumumkan bahawa pihaknya melarang penerbangan awam Syria memasuki ruang udara negaranya.
Tindakan itu dilakukan sehari selepas Syria melarang pesawat awam Turki memasuki negaranya.
Davutoglu berkata, larangan itu dilaksanakan selepas sebuah pesawat awam Syria membawa peralatan ketenteraan ketika menggunakan ruang udara Turki.
Pada minggu lalu, Turki memaksa sebuah pesawat penumpang Syria yang berlepas dari Moscow mendarat di sebuah lapangan terbang negara tersebut.
Anggota-anggota pihak berkuasa kemudian merampas peralatan ketenteraan dari pesawat tersebut yang dalam penerbangan ke Damsyik.
Bagaimanapun, Rusia menyatakan pesawat berkenaan membawa peralatan ketenteraan.
Insiden itu berlaku selepas tentera Turki dan Syria saling berbalas bedilan meriam di kawasan sempadan.
Sebuah akhbar melaporkan, Turki menambah bilangan kapal tentera laut di sepanjang pantai negaranya di utara Syria.
Menurut akhbar Hurriyet, kapal-kapal itu dilengkapi meriam dan sistem pertahanan antipeluru berpandu serta antikapal.
Pergolakan di Syria masih belum berakhir apabila kumpulan pemberontak masih berjuang menentang tentera Presiden Bashar Al-Assad.
Para pemberontak itu mahu Bashar meletakkan jawatan kerana gagal melakukan pembaharuan politik dan kebebasan bersuara.
Kebangkitan rakyat di Syria bermula pada Mac lalu dan lebih 30,000 orang dilaporkan terbunuh sejak para pemberontak bertempur menentang tentera Syria. - Agensi