Pages

Monday, February 14, 2011

Guru Indonesia dipecat majikan pro-Mubarak

Berita Harian Online | Macam-macam: Guru Indonesia dipecat majikan pro-Mubarak: "



2011/02/14

KAHERAH: Seorang wanita warga Indonesia yang bekerja sebagai guru tuisyen bahasa Inggeris di bandar ini, dipecat selepas majikannya menyaksikan siaran televisyen menyiarkan penunjuk perasaan di Jakarta memijak gambar Presiden Hosni Mubarak.

“Saya dipecat dan diarah pulang oleh majikan selepas dia menyaksikan tunjuk perasaan di Jakarta di televisyen. Majikan saya sangat menghormati Mubarak,” kata Tri Mulyati dari Lampung, Sumatera.
Majikan Tri adalah seorang ahli perniagaan yang juga bekas gabenor sebuah wilayah di Mesir. – Agensi."

Bahrain, Yaman, Algeria pula hadapi masalah


2011/02/14

DUBAI: Anggota keselamatan Bahrain meningkatkan kawalan dengan menambah pos sekatan jalan raya dan membuat rondaan selepas beberapa kumpulan antikerajaan membuat gesaan menerusi web media sosial supaya melakukan protes umpama di Mesir.

Dalam surat terbuka kepada pemimpin negara itu, Pusat Hak Asasi Manusia Bahrain menggesa pembaharuan meluas dilaksanakan termasuk membubarkan anggota keselamatan, menghukum pegawai kerajaan yang menyalah guna kuasa dan membebaskan 450 aktivis, pemimpin agama dan tokoh lain.
Bantahan antikerajaan juga dilaporkan berterusan di Yaman dan Algeria semalam meskipun pihak berkuasa cuba menyekatnya.
Kawalan keselamatan di Bahrain dianggap menyasarkan majoriti penduduk Syiah selepas pemimpinnya mengetuai perarakan antikerajaan Isnin lalu.

Ia juga dianggap bukti pemimpin Sunnah bimbang perkembangan itu sekalipun menawarkan insentif ekonomi dan menjanjikan kebebasan media lebih luas bagi menamatkan protes.

Minggu lalu, Raja Bahrain, Hamad bin Isa Al Khalifa, meluluskan pemberian hampir AS$2,700 (RM8,100) kepada setiap keluarga.

Di SANAA, polis Yaman menggunakan rotan dan pisau bagi menghalang penunjuk perasaan berarak di ibu negara buat hari ketiga untuk menggesa pembaharuan politik dan pengunduran Presiden Ali Abdullah Saleh.
Awal semalam, polis menggunakan belantan untuk menghalang perarakan penunjuk perasaan, kebanyakannya pelajar universiti di Dataran Hada.

Penunjuk perasaan menuntut presiden meletak jawatan atas tuduhan terbabit rasuah dan salah guna kuasa lain.

Parti pembangkang turut menggesa Saleh menyingkirkan anak lelakinya dan anggota keluarganya yang lain daripada jawatan dalam tentera, agensi keselamatan dan jabatan kerajaan.

Di ALGIERS, pergerakan pembangkang Algeria dilaporkan merancang tindakan seterusnya selepas kerajaan mengharamkan perarakan di ibu negara dan kota lain.

Pihak berkuasa menempatkan 30,000 anggota pencegah rusuhan di seluruh ibu negara bagi menghalang bantahan 2,000 orang kerana tidak mahu satu lagi kempen bantahan mendapat sokongan seperti di Mesir dan Tunisia. – AP/AFP
Berita Harian Online | Bahrain, Yaman, Algeria pula hadapi masalah

Polis, penunjuk perasaan bertempur di Algeria

Berita Harian Online | Polis, penunjuk perasaan bertempur di Algeria:


2011/02/14

ALGIERS: Ratusan penunjuk perasaan membaling batu ke arah polis di Bandaraya Annaba di timur Algeria dengan pembangkang mengumumkan untuk mengadakan satu lagi tunjuk perasaan besar-besaran minggu depan.

Sementara itu, Washington meminta pihak keselamatan Algeria supaya bertindak lebih berhati-hari selepas sehari protes seluruh negara terhadap kerajaan pimpinan Presiden Abdelaziz Bouteflika yang menyaksikan puluhan orang awam dan wartawan ditangkap.
“Kami ingin menegaskan sokongan kami kepada hak setiap rakyat Algeria termasuk mengadakan perhimpunan dan menyuarakan pendapat,' kata jurucakap Jabatan Negara Amerika, Philip Crowley dalam satu kenyataan.

Tunjuk perasaan yang akan datang dijadual diadakan 19 Februari ini, kata
Mustepha Bouchahi dari Penyelaras Kebangsaan Bagi Demokrasi dan Perubahan (CNCD), iaitu kumpulan yang bergabung dalam perti pembangkang.

Semalam, dianggarkan 2,000 penunjuk perasaan bertembung dengan lebih 30,000 anggota polis yang bertindak menghalang mereka mengadakan demonstrasi jalanan di ibu negara itu.

Tunjuk perasaan juga diadakan di seluruh bandar di Algeria bagi menyatakan hasrat sama seperti berlaku di Mesir dan negara jiran, Tunisia. - AFP"

Kerajaan Palestin dijangka dibubar hari ini

Berita Harian Online | Kerajaan Palestin dijangka dibubar hari ini: "


2011/02/14

RAMALLAH: Perdana Menteri Palestin, Salam Fayyad dijadual menghantar sularat peletakan jawatannya kepada Presiden, Mahmud Abbas hari ini bagi membolehkan kerajaan baru dibentuk.

Pegawai Palestin berkata, Abbas akan meminta Fayyad segera membentuk Kabinet barunya dan perbincangan mengenainya sudah dilakukan sebelum ini.
Abbas beberapa kali menjelaskan hasratnya untuk merombak kerajaan yang diketuai Fayyad.
Beliau berkata, Fayyad yang kini berusia 58 tahun itu juga akan diminta kekal dalam jawatannya sejak memegangnya pada 2007.

Pegawai itu berkata, perbincangan untuk mengadakan kerajaan baru itu ditangguhkan berikutan perkembangan terbaru yang melanda kerajaan Mesir dan Tunisia, yang turut menjadi rakan sekutu Pihak Berkusa Palestin. - AFP"

Tentera Mesir diingatkan tunai janji

Berita Harian Online | Tentera Mesir diingatkan tunai janji: "


2011/02/14

KAHERAH: Penunjuk perasaan di dataran Tahrir akan terus mengenakan tekanan ke atas pentadbiran sementara kerajaan Mesir, sehingga mereka yakin demokrasi ditegakkan semula di negara itu.

Mereka juga mahukan maklumat jelas daripada pentadbiran tentera mengenai tempoh diambil bagi peralihan kerajaan.
Pada masa sama, pasukan tentera negara itu mula meruntuhkan khemah sementara didirikan penunjuk perasaan bagi membolehkan aliran lalu lintas kenderaan berjalan lancar.
Tentera menggesa penunjuk perasaan kembali ke rumah masing-masing tetapi ada yang enggan berbuat demikian.

Seorang penunjuk perasaan Ashraf Ahmed berkata, tentera boleh meruntuhkan khemahnyatetapi beliau tidak akan pergi kerana ‘terlalu banyak perkara perlu dilakukan. Mereka belum laksanakan apa-apa’.

Beberapa pertengkaran kecil dan perang mulut berlaku antara anggota tentera dan penunjuk perasaan, bagaimanapun keadaan secara keseluruhannya tenang. – AFP"

Mubarak sorok harta ketika protes 18 hari


Foto
LALU lintas mula kelihatan lancar di Dataran Tahrir selepas tentera mengarahkan khemah diruntuhkan.


Bekas Presiden Mesir pindah aset ke akaun tak dapat dikesan

LONDON: Bekas pemimpin Mesir, Hosni Mubarak, menggunakan masa menghadapi protes 18 hari bantahan ke atasnya untuk memindahkan kekayaannya ke akaun luar negara yang tidak dapat dikesan dan ada pihak menggesa masyarakat antarabangsa bekerjasama membekukan aset berkenaan.
“Kami tahu anggota keluarga Mubarak berbual mengenai cara menyelamatkan aset mereka. Penasihat kewangan mereka sudah memindahkannya. Jika beliau ada wang di Zurich, ia mungkin sudah tiada sekarang,” kata sumber perisikan Barat.
Bekas Presiden Mesir itu dituduh memiliki kekayaan lebih £3 bilion (RM15 bilion) tetapi ada yang memberi angka sehingga £40 bilion (RM200 bilion) dan £70 bilion (RM350 bilion) selepas memerintah 30 tahun.

Antara aset itu termasuk wang di bank asing, pelaburan, jongkong emas dan hartanah di London, New York, Paris dan Beverly Hills.

Malah, anak lelaki Mubarak, Gamal, dilaporkan sempat berparti di sebuah kelab malam di Tramp di sini hujung minggu lalu dengan satu bil ‘champagne’ mencecah £16,000 (RM78,115).

Sumber perisikan itu berpendapat, Mubarak, 82, mungkin belajar daripada kesilapan diktator Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali, yang lari ke Arab Saudi diikuti dengan tindakan Switzerland membekukan akaun bank Ben Ali dan juga bekas pemimpin Mesir itu.
Duta Mesir ke London, Hatem Seif el Nasr, berkata beliau tidak ada maklumat mengenai aset Mubarak.

“Secara jujur, saya tidak tahu menahu langsung mengenai wang (milik Mubarak),” katanya kepada BBC TV.

Terbaru, Pejabat Jenayah Serius (SFO) Britain melancarkan operasi mengesan aset dan wang tunai Mubarak di Britain, lapor akhbar Sunday Times tanpa memberitahu sumber langkah itu.

Ketua SFO, Richard Alderman, berkata: “Masyarakat menjangka kami mencari wang itu jika tahu di mana dan cuba memulangkannya untuk kebaikan penduduk negara itu.”

Perdana Menteri Britain, David Cameron dilaporkan menerima tekanan hebat untuk segera membekukan aset berjumlah £5 bilion (RM24.11 bilion) yang disimpan di United Kingdom oleh Mubarak.

Britain boleh membekukan sebarang aset yang ada kaitan dengan Mubarak jika diminta Kesatuan Eropah atau Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu serta kerajaan Mesir.

Ketika jutaan rakyat Mesir hidup dalam kemiskinan tegar, kaum keluarga Mubarak disyaki melarikan aset berbilion dolar dari negara itu, dikumpul daripada perjanjian perniagaan dilingkari rasuah dan rampasan aset bekas presiden dan monarki. – AgensiBerita Harian Online | Mubarak sorok harta ketika protes 18 hari

Bekas Presiden belum keluar dari Mesir


Foto
SEKUMPULAN penunjuk perasaan anti-Mubarak bertengkar dengan askar selepas tidak setuju untuk bersurai di Dataran Tahrir.


2011/02/14

KAHERAH: Bekas presiden Mesir Hosni Mubarak, belum meninggalkan di Mesir dan kini berada di pusat peranginan di Sharm el-Sheikh, walaupun khabar angin tersebar menyatakan beliau sudah melarikan diri dari negara itu.

Media negara itu melaporkan, Perdana Menteri, Ahmed Shafiq mengumumkan Mubarak masih berada di Sharm el-Sheikh ketika mengadakan sidang akhbar pertama sejak bekas presiden itu meninggalkan Kaherah.
Khabar angin sebelum ini menyatakan Mubarak kemungkinan besar akan berhijrah dan tinggal dalam buangan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).
Sementara itu, pentadbiran tentera Mesir mengumumkan pihaknya sudah membubarkan Parlimen, menggantung Perlembagaan dan akan memerintah negara itu hanya untuk tempoh enam bulan atau sehingga pilihan raya diadakan.

Sementara itu dalam satu kenyataan, Majlis Tertinggi Tentera memberi jaminan satu pungutan suara bagi meminda Perlembagaan akan dilaksanakan. – AFP/Reuters
Reaksi balas daripada tokoh pembangkang dan pemimpin tunjuk perasaan setakat ini amat positif.

“Ia adalah satu kemenangan untuk revolusi,” kata tokoh politik pembangkang, Ayman Nour yang mencabar Mubarak untuk jawatan presiden pada 2005. Beliau kemudian dipenjarakan atas dakwaan pemalsuan yang didakwanya bermotif politik.
Pemimpin gerakan belia, Mahmoud Nassar berkata: “Pihak tentera setakat ini mengotakan janjinya untuk memenuhi tuntutan rakyat dan kami menggesa agar tahanan politik yang ditangkap sebelum atau selepas tunjuk perasaan 25 Januari, dibebaskan. Jika ini dapat dilakukan kami akan mengakhiri tunjuk perasaan”.

Penunjuk perasaan yang berhimpun di Dataran Tahrir sebelum itu bertelagah dengan pasukan tentera selepas mereka enggan meninggalkan kawasan itu, sebaliknya mendesak kerajaan sementara membuat pengumuman langkah lanjut yang akan diambil bagi menegakkan prinsip demokrasi di Mesir. – AFP/Reuters

Bekas Presiden belum keluar dari Mesir

Banyak artifak berharga dilarikan dari Muzium Mesir

myMetro | Banyak artifak berharga dilarikan dari Muzium Mesir: "


KAHERAH: Beberapa artifak penting dilarikan dari Muzium Mesir, termasuk arca Raja Tutankhamun, kata Menteri Antikuiti Mesir, Zahi Hawas, semalam.

Turut dicuri, kata Zahi, adalah patung kayu dari abad ke-18 yang dianggap sebagai dewa.
Penyamun memecah masuk ke muzium berkenaan pada 28 Januari ketika rakyat Mesir bangkit mengadakan tunjuk perasaan bagi menyingkirkan Hosni Mubarak.

Kata Zahi, artifak lain yang hilang adalah patung batu kapur Akhenaten, Permaisuri Nefertiti dan kepala seorang puteri dari Amarna.



Kebanyakan artifak yang hilang itu adalah tinggalan kerajaan purba kira-kira 3,000 tahun lalu. - AFP"

Polis bergelut mahu pulih reputasi


KAHERAH: Tentera Mesir melepaskan tembakan amaran dan pergelutan berlaku ketika anggota polis cuba memulihkan reputasi mereka yang selama ini dianggap menyebelahi Hosni Mubarak.
Gigi seorang anggota polis turut patah ketika dia dan rakannya bergasak dengan tentera di luar Kementerian Luar.

Kira-kira 400 anggota polis menuntut kenaikan gaji dan menggesa Menteri Dalam Negeri, Habib al-Adly, diheret ke mahkamah.
Tentera pula terpaksa melepaskan tembakan ke udara apabila polis terbabit mula menjerit-jerit menuntut Habib dikenakan tindakan.

“Habib, anda tahu akan dihukum di depan orang ramai!” kata mereka.

Polis Mesir memang sentiasa dibenci dan dianggap pasukan kejam dan korup, manakala tentera disukai orang ramai selepas membantu menyingkirkan Hosni daripada jawatannya Jumaat lalu.
Bagaimanapun, protes polis semalam dilihat cubaan mereka mahu menunjukkan tindakan selama dibuat atas arahan rejim Hosni.

Malah, mereka merungut kerana dibayar gaji rendah oleh sebuah kerajaan pengamal rasuah.
Seorang daripada mereka berkata, anggota polis bukanlah pengkhianat kepada negara.

“Saudara kami ada bersama penunjuk perasaan,” katanya. - AFPmyMetro | Polis bergelut mahu pulih reputasi

Menteri Britain usul tindakan antarabangsa jejak aset Hosni


LONDON: Seorang menteri Britain semalam berkata, perlu ada tindakan di peringkat antarabangsa bagi menguruskan aset Hosni Mubarak di luar negara.
Setiausaha Bisnes, Inovasi dan Kemahiran Britain, Vince Cable, berkata pelbagai pihak perlu bekerjasama bagi mengesan aset Hosni yang dianggarkan bernilai berbilion ringgit di seluruh dunia.

“Tiada guna jika tindakan dibuat bersendirian,” katanya.
Semalam, akhbar Sunday Times melaporkan, Pejabat Penipuan Serius (SFO) Britain yang mengendalikan kes kewangan, melancarkan gerakan mengesan aset berkaitan Hosni.

Setakat ini, hanya Switzerland mengumumkan pembekuan semua aset diktator Mesir itu selepas dia digulingkan Jumaat lalu.

Kata Cable, dia tidak pasti berapa banyak aset Hosni di Britain.
“Tetapi adalah jelas bahawa ada keperluan tindakan konkrit dilakukan di peringkat antarabangsa.

“Britain boleh membekukan aset Hosni jika diminta Kesatuan Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau Mesir,” katanya. - ReutersmyMetro | Menteri Britain usul tindakan antarabangsa jejak aset Hosni

Senduk kayu ketuk kepala pak belang



PARAH...Tambun cedera parah di muka dan kepala diserang harimau.
PARAH...Tambun cedera parah di muka dan kepala diserang harimau.



BEGINI...Tambun menunjukkan ukuran harimau yang menyerangnya.
BEGINI...Tambun menunjukkan ukuran harimau yang menyerangnya.

IPOH: “Harimau itu cuba membaham kepala dan leher tetapi saya memberanikan diri menumbuk kepalanya dengan tangan kanan manakala tangan kiri mencekup mulutnya,” kata Tambun Gediu, 60, lelaki Orang Asli yang cedera diserang harimau di hutan berdekatan rumahnya, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 pagi di Perkampungan Orang Asli Sungai Tiang, Hutan Belum, Grik itu, mangsa yang diserang harimau belang seberat antara 80 dan 90 kilogram itu cedera di kepala, muka, leher, belakang badan dan kedua-dua lutut.

Tambun yang ditemui di Wad 4A, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, semalam berkata, ketika kejadian, dia sedang merangkak sambil menyumpit seekor tupai di hutan berdekatan rumahnya sebelum menyedari harimau tiba-tiba muncul dari belakang dan cuba menerkamnya.

Terkejut dengan kemunculan harimau itu, dia lari menyelamatkan diri dan memanjat pokok berdekatan, namun haiwan berkenaan sempat menerkam kakinya menyebabkan dia terjatuh sebelum diserang dan dicakar.

Ketika itu, dia mampu melengahkan haiwan itu itu daripada mencederakannya dengan menumbuk dan menggenggam mulut harimau itu sambil menjerit meminta tolong.

“Nasib baik isteri saya (Han Besou, 50) mendengar jeritan saya kerana rumah kami tidak jauh dari situ. Isteri saya datang dan mengetuk kepala serta badan harimau itu dengan senduk kayu menyebabkan haiwan itu beredar,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Grik, Deputi Superintendan Wan Jamil Wan Chik berkata, Tambun dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Grik (HG) kira-kira jam 8.45 malam kelmarin, 12 jam selepas kejadian itu.

Beliau berkata, luka dalaman dialami mangsa di lutut kanan dan kiri menyebabkan dia dipindahkan ke HRPB semalam bagi rawatan lanjut.

“Kakitangan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) mengambil masa agak lama mengeluarkan mangsa bagi mendapatkan rawatan berikutan keadaan perkampungan itu jauh terpencil di pedalaman.

“Mangsa dibawa menggunakan bot dari perkampungan itu ke Jeti Awam Banding sebelum dikejarkan ke HG,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon ketika ditemui selepas melawat Tambun mangsa semalam berkata, lelaki itu dalam keadaan stabil dan baru selesai menjalani pembedahan di lutut.

“Mangsa juga akan menjalani proses rawatan lanjut bagi membersihkan luka dialami akibat diserang harimau itu sebelum dibenarkan pulang,” katanya.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Shabrina Shariff berkata, pihaknya menghantar kakitangan ke kampung berkenaan bagi membuat pemantauan dan mengesan jejak haiwan itu.

Menurutnya, perkampungan itu berdekatan dengan kawasan Hutan Belum dan tidak mustahil haiwan terbabit muncul di kawasan berdekatan kerana ia sebahagian habitatnya.

“Bagaimanapun, kami akan memantau keadaan itu dan menasihati penduduk setempat lebih berhati-hati terutama ketika memburu di hutan,” katanya.myMetro | Senduk kayu ketuk kepala pak belang

Anak muda Mesir enggan undur


SOKONG REVOLUSI...seorang wanita membawa anaknya menyertai rapat umum bagi meraikan kejatuhan Hosni di New York, Amerika Syarikat, semalam.
SOKONG REVOLUSI...seorang wanita membawa anaknya menyertai rapat umum bagi meraikan kejatuhan Hosni di New York, Amerika Syarikat, semalam.

KAHERAH: Kumpulan utama menggerakkan protes warga Mesir yang berjaya menggulingkan Hosni Mubarak sebagai presiden berikrar terus bertahan di Dataran Tahrir bagi mendesak perubahan dilakukan di negara itu.
Berjanji unntuk tidak menghalang aliran trafik, kumpulan anak muda Mesir itu menganggap revolusi mereka belum berakhir.

Aktivis Pemuda Revolusi 25 Januari, Mahmoud Nassar, berkata tuntutan mereka belum dipenuhi sehingga kini.
“Revolusi ini masih diteruskan.

“Kami akan terus berada di Dataran Tahrir sehingga tuntutan dipenuhi. Semua orang dijemput menyertai kami,” katanya.

Mahmoud membuat kenyataan itu selepas tentera bersenjata cota mengasak penunjuk perasaan bagi membolehkan aliran trafik kembali pulih selepas hampir tiga minggu tergendala akibat tunjuk perasaan.
Sesetengah penunjuk perasaan mendirikan khemah di dataran yang menjadi pusat gerakan menumbangkan Hosni selepas diktator itu berkuasa di Mesir selama 30 tahun.

Semalam, sebahagian daripada mereka menurunkan sendiri khemah berkenaan, manakala selebihnya dilakukan tentera.
Mahmoud berkata, kumpulannya menuntut semua tahanan politik dibebaskan serta-merta dan undang-undang darurat dimansuhkan.

Turut dituntut, Parlimen dibubarkan serta kerajaan baru menggantikan rejim Hosni dibentuk.

Mendakwa tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana parti politik, kumpulan itu mendakwa, tentera menahan 42 penunjuk perasaan sejak kelmarin, selain lima lagi semalam.

Aktivis lain, Yahya Saqr, berkata mereka mahu tahu nasib tahanan berkenaan.

Ketika sebahagian penunjuk perasaan mahu protes diteruskan, satu pihak lain pula menganggap Mesir perlu kembali ke keadaan normal bagi memberi peluang tentera memenuhi janji mengembalikan pemerintahan Mesir kepada pihak awam. - ReutersmyMetro | Anak muda Mesir enggan undur

Tamadun manusia tertua ditemui




MOKHTAR menunjukkan bengkel masyarakat paleolitik tertua yang ditemui di Bukit Bunuh, Lenggong, Perak semalam.


LENGGONG – Penemuan tapak sebuah bengkel masyarakat paleolitik tertua di dunia di Bukit Bunuh dekat sini bakal mengubah sejarah awal tamadun manusia sebagaimana tercatat dalam buku-buku sejarah.
Penemuan beberapa artifak dipercayai berusia 1.83 juta tahun di kawasan seluas empat kilometer persegi itu menunjukkan masyarakat berkenaan tidak mengamalkan kehidupan berpindah-randah sebagaimana difahami selama ini.
Lebih menakjubkan, penemuan ribuan batu jenis suevite yang berselerakan di kawasan itu menunjukkan kawasan tersebut pernah menerima hentaman tahi bintang jutaan tahun lalu.
Pengarah Pusat Arkeologi Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Mokhtar Saidin berkata, penemuan artifak kapak genggam diperbuat daripada batu yang berusia 1.83 juta tahun merupakan bukti kukuh bahawa manusia zaman tersebut sudah hidup menetap di satu kawasan.
Kosmo! Online - Negara

Mengamuk 28 jam kerana dilarang pandu kereta




MAKSIM GELMAN dikawal oleh beberapa anggota polis di sebuah stesen tren bawah tanah di New York kelmarin.


NEW YORK - Seorang artis grafiti, Maksim Gelman yang bersenjatakan lima bilah pisau mengamuk selama 28 jam di bandar raya ini sebelum dia ditangkap kelmarin.
Menurut polis, Gelman yang berusia 23 tahun membunuh bapa tiri dan bekas kekasihnya, Yelena Bulchenko pada Jumaat lalu.
Pemuda itu turut membunuh ibu bekas kekasihnya sebelum dia melanggar sehingga mati seorang pejalan kaki dengan menggunakan sebuah kereta.
Lelaki itu sempat menikam seorang lagi pejalan kaki sebelum dia ditangkap polis di Times Square di sini kelmarin.
Menurut sumber, Gelman melakukan pembunuhan itu hanya kerana bapa tirinya melarang dia memandu kereta Lexus milik keluarga mereka.
Pemuda itu kemudian bertindak menikam bapanya yang berusia 54 tahun pada pukul 5 pagi Jumaat di apartmen mereka sebelum melarikan diri dengan mencuri kereta Lexus itu.
Gelman kemudian pergi ke rumah bekas kekasihnya dan menikam dia dan ibunya sehingga mati.
Pemuda itu kemudian melanggar seorang pejalan kaki yang kemudian mati sebelum dia menikam tiga orang lagi namun mereka tidak mati cuma mengalami kecederaan.
Dia ditangkap selepas seorang penumpang memberitahu anggota polis bahawa seorang lelaki yang wajahnya disiarkan akhbar kerana menikam mati empat orang berada bersama mereka di dalam tren.
Penumpang itu memberitahu polis tersebut di platform tren.
Gelman kemudian keluar dari tren itu dan menaiki sebuah tren lain sebelum dia menikam seorang penumpang.
Dia kemudian menuju ke bilik pemandu dengan menyamar sebagai polis.
Namun, dia bernasib malang kerana salah seorang anggota polis yang sudah berada di dalam bilik pemandu tersebut bertindak menjatuhkan Gelman sebelum menangkapnya. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Pengasas Facebook makan bersila




MARK ZUCKERBERG makan bersila dekat pintu sebuah kedai di Palo Alto, California baru-baru ini.


PALO ALTO, California – Pengasas laman sosial Facebook, Mark Zuckerberg makan bersila dekat pintu sebuah kedai di sini, lapor sebuah akhbar semalam.
Zuckerberg yang berusia 26 tahun dan bilionair termuda dunia dengan anggaran kekayaan AS$16 bilion (RM48.81 bilion) memakai baju T, kasut sukan dan seluar jean Levi’s semasa dia makan makanan Mexico yang dibeli dari sebuah gerai di tepi jalan baru-baru ini.
Seorang pejalan kaki berkata, pengasas Facebook itu tidak dikawal oleh seorang pengawal keselamatan.
“Dia (Zuckerberg) berjalan di gerai itu, menunggu dalam barisan seperti orang lain dan membeli ayam, nasi dan kerepek tortilla dengan harga AS$4 (RM12.20) untuk makan dengan seorang rakan di satu laluan ke sebuah kedai,” katanya.
Pengasas Facebook itu kelihatan seperti seorang pelajar yang tidak berduit semasa dia berdiri dan makan bersila.
Zuckerberg menyewa sebuah rumah yang mempunyai tiga buah bilik di sini dekat dengan pejabatnya.
Dia tinggal bersama kekasihnya, Priscilla Chan, 26, yang merupakan pelajar jurusan perubatan.
Zuckerberg turut memandu sebuah kereta Honda berusia lima tahun walaupun dia merupakan antara orang yang paling kaya di dunia.
Dia mencipta Facebook di dalam bilik asramanya di Universiti Harvard, Amerika Syarikat pada 2004.
Namun, Zuckerberg tidak menamatkan pengajiannya di universiti tersebut dengan alasan untuk menumpukan perhatian ke atas Facebook.
Pengasas Facebook itu menjadi bilionair termuda semasa dia berumur 23 tahun. – Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Ibu tumpang lahir cucu lelaki

Kosmo! Online - Dunia: "

KRISTINE CASEY yang menjadi ibu tumpang untuk anak perempuannya (kiri) melihat cucu lelaki yang dilahirkannya di sebuah hospital di Chicago pada Rabu lalu.

CHICAGO, Amerika Syarikat - Seorang wanita berusia 61 tahun, Kristine Casey yang menjadi ibu tumpang untuk anak perempuannya berjaya melahirkan seorang cucu lelaki, lapor sebuah akhbar semalam.

Kristine melahirkan anak untuk anak perempuannya itu menerusi pembedahan di sebuah hospital di sini pada Rabu lalu.

Dia bersetuju menjadi ibu tumpang selepas anak perempuannya yang kini berumur 35 tahun tidak dapat melahirkan anak selepas dia mengalami keguguran.

Menurut Dr. Susan Gerber, pembedahan untuk mengeluarkan bayi tersebut tidak rumit.

Kelahiran bayi itu disambut dengan gembira oleh semua anggota keluarga termasuk Kristine. - Agensi"

Memancing dari tebing tinggi

Kosmo! Online - Dunia: "

LELAKI ini tidak menghiraukan angin kuat semasa dia memancing.

DOWNPATRICK, Ireland Utara - Seorang nelayan menangkap ikan dari tebing setinggi 45.72 meter dekat Downpatrick dengan menggunakan pancing, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Walaupun angin bertiup selaju 112 kilometer sejam, lelaki itu berjaya memperoleh lima ekor ikan kembung selepas memancing selama 90 minit baru-baru ini.

Seorang lelaki yang melalui tebing tinggi itu berkata: 'Pemancing tersebut tidak mempedulikan bahaya yang dihadapinya (semasa memancing).' - Agensi"

Harimau jaguar bermata juling jadi tumpuan

Kosmo! Online - Dunia: "

SEEKOR harimau jaguar yang memiliki sepasang mata juling kini menjadi daya tarikan di Zoo Delitzscher di Jerman.

BERLIN - Seekor harimau jaguar yang mempunyai sepasang mata juling menjadi tumpuan para pengunjung Zoo Delitzscher di Jerman, lapor sebuah akhbar semalam.

Harimau jantan berusia 14 tahun itu tinggal dekat sebuah zoo di Leipzig yang turut menempatkan haiwan possum bermata juling bernama Heidi.

Jurucakap zoo tempat harimau jaguar itu dipelihara menyatakan, pihaknya tidak mengetahui kenapa ia memiliki sepasang mata juling.

'Ia amat gembira tetapi haiwan itu tidak akan dapat hidup lama dalam hutan kerana mata tersebut,' katanya.

Dia menjelaskan, kesan daripada mata juling itu, haiwan tersebut tidak suka memburu dan memanjat. - Agensi"

Kanak-kanak miliki 26 jari

Kosmo! Online - Dunia: "

LAI YADI MIN mempunyai tujuh jari pada setiap kakinya dan 12 jari tangan.

BEIJING - Seorang kanak-kanak berketurunan Cina berusia setahun yang tinggal di Okkalarpa Selatan di Yangon, Myanmar, Lei Yadi Min mempunyai 12 jari tangan dan 14 jari kaki, lapor sebuah akhbar kelmarin.

Kanak-kanak itu kini menunggu pengesahan rasmi daripada Guinness of World Records bagi kategori bilangan jari tangan dan kaki yang paling banyak.

Dia memiliki tujuh jari pada setiap kaki dan enam jari tangan.

Secara keseluruhannya, Min mempunyai 26 jari.

Dia bersaing dengan dua rakyat India masing-masing berusia lima tahun dan 15 tahun yang memiliki 12 jari tangan dan 13 jari kaki dengan jumlah keseluruhan 25 jari. - Agensi"

Ikan paus bengkok

Kosmo! Online - Dunia: "

SEEKOR ikan paus yang bengkok dekat bahagian ekor ditemui dekat perairan Pulau Kauai, Hawaii pada Isnin lalu.

HONOLULU - Seekor ikan paus yang gambarnya dirakamkan dari udara di Pulau Kauai, Hawaii didapati bengkok dekat bahagian ekornya, lapor sebuah akhbar semalam.

Gambar ikan paus humpback itu dirakamkan dari sebuah pesawat pada Isnin lalu.

Pada mulanya, terdapat tanggapan bahawa sebuah bot mungkin melanggar bahagian belakang ikan tersebut.

Namun, seorang penyelaras Pentadbiran Kelautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (AS), David Schofield berkata, ikan itu bengkok mungkin disebabkan penyakit scoliosis atau tulang melengkung.

Penyakit itu jarang dihidapi haiwan tetapi beberapa saintis menyatakan mereka pernah melihat ia turut berlaku ke atas ikan lumba-lumba. - Agensi"

Tentera bubar Parlimen Mesir




SEJUMLAH penunjuk perasaan membawa bendera Mesir di Dataran Tahrir, Kaherah semalam.


KAHERAH - Majlis Tertinggi Ketenteraan Mesir semalam membubarkan parlimen dan menggantung perlembagaan semalam.
Langkah pembubaran parlimen dan menggantung perlembagaan itu merupakan tuntutan para penunjuk perasaan yang sebelum ini berhimpun di Dataran Tahrir bagi mendesak Hosni Mubarak meletakkan jawatan.
Tentera mengambil alih kuasa memerintah Mesir selepas Hosni meletakkan jawatan pada Jumaat lalu selepas penunjuk perasaan mendesak beliau berundur sejak 25 Januari lalu.
Pengumuman mengenai pembubaran parlimen dan perlembagaan digantung itu dibuat menerusi siaran televisyen.
Dalam pengumuman itu, tempoh masa enam bulan ditetapkan untuk satu pilihan raya diadakan sekali gus mengembalikan semula pemerintahan kepada orang awam.
Pengumuman itu dibuat selepas sejumlah penunjuk perasaan masih berkumpul di dataran berkenaan tetapi dalam jumlah yang kecil bagi menuntut parlimen dibubarkan dan perlembagaan digantung.
Hosni dibenci oleh rakyatnya selepas pemerintahannya selama hampir 30 tahun gagal membawa kemakmuran ekonomi dalam kalangan penduduk miskin selain melakukan penindasan ke atas kebebasan bersuara. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Lagi Al-Quran terkecil ditemui.


Oleh ADHAM SHADAN
adham.shadan@kosmo.com.my

NASKHAH al-Quran kecil 24mm panjang dan 17mm lebar milik Abdullah di Kota Bharu semalam.
NASKHAH al-Quran kecil 24mm panjang dan 17mm lebar milik Abdullah di Kota Bharu semalam.

KOTA BHARU - Seorang pesara dari Jalan Tanah Merah, Pasir Mas dekat sini mendakwa memiliki senaskhah al-Quran yang dipercayai antara al-Quran terkecil di negara ini.

Hanya berukuran 24 milimeter (mm) panjang, 17mm lebar dan 10mm tebal, al-Quran milik Abdullah Hamzah, 57, itu lebih besar sedikit daripada al-Quran terkecil di dunia di China yang berukuran 19.6mm panjang, 13.2 mm lebar dan 6.1mm tebal.

Menurut Abdullah yang menyimpannya sejak 44 tahun lalu, al-Quran tersebut diberikan oleh arwah ayahnya, Allahyarham Hamzah Jaafar yang merupakan seorang Tok Guru Pondok yang mengajar al-Quran di madrasah dan masjid."