Pages

Monday, May 5, 2014

Wanita Peru diisytihar wanita kedua tertua di dunia


Filomena Taipe Mendoza (tengah) bergambar bersama anggota keluarganya di luar rumahnya di Huancavelica, 440 kilometer ke timur Lima pada 30 April lalu. - AFP
LIMA 3 Mei - Seorang wanita Peru berumur 116 tahun, Filomena Taipe Mendoza diisytiharkan sebagai wanita kedua tertua di dunia.
Filomena yang dilahirkan pada 20 Disember 1897 dan tinggal dalam keadaan serba kekurangan di Andes, hanya tiga bulan lebih muda daripada wanita Jepun, Misao Okawa yang diiktiraf sebagai wanita tertua di dunia oleh Guinness World Records dan Gerontology Research Group yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).
Jurucakap Kementerian Pembangunan dan Lima Sosial Peru berkata, kad pengenalan Mendoza mengesahkan tarikh lahirnya.
Wanita itu berkata, dia sangat tua kerana dia bukan berasal dari abad lepas tetapi kurun sebelum itu.
"Rahsia saya hidup lama adalah kerana saya mengamalkan pemakanan daripada sumber semula jadi. Saya sentiasa makan ibu kentang, daging dan susu kambing, keju dan kacang," katanya. Dia berkata, apa yang dimakannya adalah hasil tanamannya. "Saya tidak pernah minum minuman dalam tin," katanya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140504/lu_03/Wanita-Peru-diisytihar-wanita-kedua-tertua-di-dunia#ixzz30r1pNNgy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Trak tercanggih untuk anak kesayangan



APABILA sudah siap, KiraVan mampu mengembara sejauh 2,000 batu tanpa perlu mengisi semula minyak dan melalui curam sehingga 45 darjah.
BRAN Ferren, 61, ahli teknologi, jurutera, pereka kenderaan, arkitek dan usahawan terkenal menghabiskan berjuta-juta dolar untuk menghasilkan trak gergasi yang sangat istimewa.
Trak tersebut mampu untuk mengembara ke serata dunia dan ia dinamakan KiraVan, bersempena nama anak perempuannya yang berusia empat tahun.
Rekaan dalaman trak tersebut sungguh tidak masuk akal. Ia mempunyai hampir semua keperluan asas daripada pejabat, dapur lengkap dengan meja makan dan bilik tidur.
KiraVan turut mampu mengembara sehingga 2,000 batu tanpa perlu mengisi semula minyak dan tayarnya yang istimewa mampu membawa ia melalui jalan berselut di kawasan paya.
Malah, kenderaan gergasi beroda enam itu turut dilengkapi motosikal khas dan pesawat kecil tanpa pemandu bagi memeriksa keadaan lalu lintas.
Menariknya, trak tersebut direka khas oleh Bran untuk membawa anak kesayangannya itu bercuti dan berkhemah dengan selamat.
Ujar pengasas dan Ketua Pegawai Kreatif Applied Minds, firma teknologi dan rekaan yang antara kliennya ialah General Motors, Intel dan Tentera Udara Amerika Syarikat, dia menghabiskan masa selama empat tahun bertemu dengan pelbagai pakar sebelum memuktamadkan rekaan trak tersebut.
Sebelum mempunyai anak, Bran merupakan seorang yang aktif dalam aktiviti lasak dan berbahaya seperti berlumba motosikal dan memandu helikopter.
Namun, semua itu berubah apabila dia dianugerahi anak sendiri. Bran lebih memikirkan keselamatan diri demi anaknya tetapi pada masa yang sama masih mahu mengembara.
Dia memastikan KiraVan mencapai tahap keselamatan yang paling tinggi demi anaknya itu.
Bran juga kini sedang menyiapkan kerusi khas untuk Kira yang dapat menghilangkan hentakan supaya anaknya itu dapat menonton kartun dengan gembira tanpa gangguan.
Bahagian atas KiraVan turut memiliki khemah istimewa untuk Kira menikmati perkhemahan dengan selamat.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140504/lu_06/Trak-tercanggih-untuk-anak-kesayangan#ixzz30r1KpKMf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penangis profesional jadi kerjaya


Kumpulan penangis profesional sedang membuat persiapan untuk menangis pada majlis berkabung. - AGENSI
KESIBUKAN ahli keluarga dengan urusan kerja membuatkan penduduk di sebuah daerah di China mengambil inisiatif baharu bagi meramaikan lagi majlis pengebumian ahli keluarga mereka yang meninggal dunia.
Untuk itu, mereka mengupah sebuah kumpulan penangis profesional bagi menangis dan meraung pada majlis pengebumian ahli keluarga mereka kerana amalan itu telah menjadi tradisi keagamaan sejak sekian lama.
Bagi mereka, ketiadaan tangisan pada sesuatu majlis pengebumian menunjukkan si mati merupakan seorang yang tidak disayangi dan memalukan keluarganya.
Pada masa sama, kehadiran kumpulan berkabung itu yang menangis dan meraung dapat menarik orang ramai yang berkabung turut sama menangis kerana sedih.
Bagi Chen Shuqiang, 35, yang mengetuai sebuah kumpulan penangis di daerah Feishan di wilayah Fujian, tenggara China, perniagaan mereka mula berkembang maju sejak kebelakangan ini.
Dengan upah kira-kira 300 pound (RM 1,623), kumpulan yang terdiri daripada tujuh orang itu akan meraung dengan kuat seperti diharapkan ahli keluarga si mati selain menarik orang lain yang menghadiri majlis pengebumian itu supaya turut sama bersedih.
"Setakat ini, ahli kumpulan berkabung profesional ini dianggotai kebanyakannya wanita muda kerana kurangnya permintaan untuk pelakon lelaki,'' katanya.
Shuqiang berkata, ahli keluarga si mati mahu kumpulannya membuat lebih banyak bunyi bising dan kelihatan terlalu sedih ekoran kematian ahli keluarga mereka.
"Antara cara yang paling mendapat perhatian adalah apabila ada di antara kami sengaja menjatuhkan diri di hadapan keranda selain cuba berebut-berebut kayu pemegang keranda,'' katanya.
Menurut Shuqiang, selain daripada ahli keluarga si mati, mereka turut menerima bayaran daripada rakan-rakan atau kenalan si mati yang terlalu sibuk hingga tidak dapat menghadiri sesuatu majlis pengebumian.
Menjelaskan lebih lanjut tentang kerjayanya itu, Shuqiang berkata, perkhidmatan pelakon itu hampir sama eksklusif dengan pelakon filem dan televisyen.
Orang ramai yang menggunakan perkhidmatan pelakon berkabung itu hampir sama tarafnya dengan mengupah pelakon biasa.
Shuqiang sendiri pernah menjadi seorang penyanyi opera di kawasan pedalaman, namun agak sukar baginya memperolehi wang pada ketika itu hinggalah dia menyedari menjadi seorang penangis profesional mempunyai potensi besar untuk mendapatkan wang.
"Sejak itu, saya tidak pernah mempunyai masalah dengan duit, ia merupakan pekerjaan yang lumayan dan saya masih dapat melakukan apa yang saya suka,'' katanya.
Tambahnya, dia suka untuk berfesyen, membuat lagu dan menari di hadapan orang ramai.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140504/lu_07/Penangis-profesional-jadi-kerjaya#ixzz30r0ZJreJ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Basikal boleh dilipat


Basikal ini boleh dilipat seperti saiz payung. - AGENSI
ROM 4 Mei - Seorang pereka dari Itali berjaya menghasilkan sebuah basikal yang boleh dilipat menjadi sebesar saiz payung, bagi memudahkan pengguna untuk membawanya ke mana-mana.
Laman web Mail Online melaporkan, pereka tersebut Gianluca Sada berkata, idea untuk menghasilkan basikal itu timbul selepas dia berasa kecewa dengan rekaan basikal lipat masa kini.
“Idea penghasilan basikal ini mengambil kira aspek menurunkan berat dan dimensi basikal. Bagaimanapun, rangka basikal yang kecil dan ringan akan memberi kesan kepada kestabilannya.
“Namun begitu, apa yang penting adalah produk ini mudah digunakan dalam pelbagai situasi," jelas Sada.
Kata Sada lagi, pada awalnya dia menetapkan matlamat untuk menghasilkan basikal yang mempunyai tayar bersaiz 66 sentimeter diameter beserta rangka dan komponen yang boleh dilipat.
Dia turut mencipta berpuluh-puluh prototaip bagi mencari rekaan yang benar-benar memenuhi cita rasanya.
“Akhirnya saya berjaya menghasilkan sebuah basikal yang mudah digunakan serta mesra alam," ujarnya lagi.
Tambahnya, ketika ini, dia sedang mencari pelabur yang berminat untuk menanam modal bagi menghasilkan basikal tersebut agar boleh dipasarkan secara besar-besaran.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140505/lu_08/Basikal-boleh-dilipat#ixzz30qwp7q7b
© Utusan Melayu (M) Bhd