Baghlan (Afganistan):Sepasang suami isteri menghiris telinga dan hidung seorang ulama tempatan hingga putus sebagai membalas dendam terhadap serangan seksual ke atas anak perempuan mereka.
Abdul dan Sultana Qahar dari wilayah Baghlan, utara Afganistan mengumpan ulama berkenaan ke rumah mereka untuk makan malam.
Mereka kemudian mengikat dan menghiris muka mangsa.
“Saya memotong telinga dan hidungnya,” Qahar memberitahu Reuters di pejabat ketua polis wilayah, tempat dia ditahan.
“Saya tidak tahu jika kucing sudah memakan telinganya, tetapi hidungnya jatuh ke dalam longkang,” katanya.
Ketua Hal Ehwal Wanita wilayah itu, Khadija Yaqeen berkata, remaja berusia 14 tahun itu memberitahu ibu bapanya mengenai serangan berkenaan empat bulan lalu.
Sultana menjemput ulama itu ke rumah mereka untuk makan malam, kata polis.
Kedua-dua mereka ditahan polis keesokan harinya.
Jurucakap polis Bahglan, Ahmad Jawid Basharat berkata, si bapa mengikat tangan dan kaki ulama berkenaan sebelum melakukan perbuatan ganas untuk membalas dendam.
Ulama, berusia 32 tahun itu menafikan tuduhan dia menyerang anak pasangan berkenaan.
Polis memberitahu mereka sudah memulakan siasatan terhadap kes itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2014/05/02