Pages

Sunday, June 5, 2011

100 jemaah Terkejut buku Yasin ada terselit gambar lucah

Kepala Batas - Hampir 100 jemaah Masjid At-Takwa, Taman Bertam Indah di sini yang bersiap memulakan majlis bacaan surah Yasin malam semalam terkejut apabila mendapati 21 naskhah surah berkenaan mengandungi gambar lucah.

Gambar itu dilekatkan sekeping di halaman berlainan 21 naskhah surah berkenaan.

Setiausaha qariah masjid berkenaan, Abdul Rahman Abdullah berkata, gambar lucah dilekatkan dengan kemas.

“Selain ukuran sama besar, gambar itu dilekatkan menggunakan pelekat dua hala.

“Ini menunjukkan pelakunya mempunyai perancangan rapi dari segi masa untuk melekatkannya di dalam naskhah surah berkenaan,” katanya.

Menurutnya, gambar lucah bersaiz 4 sentimeter lebar dan 5 sentimeter panjang setiap satu itu, mempamerkan pelbagai aksi ranjang membabitkan pasangan luar negara, dipercayai dimuat turun dari laman sesawang dari Internet.

“Gambar itu dipercayai dicetak mengikut saiz sebelum di-gunting dan dilekatkan di dalam surah berkenaan.

“Kami tidak tahu motifnya dan kenapa Yasin di masjid ini dijadikan pilihan,” katanya.

Pihaknya telah membuat laporan polis dan kesemua 21 naskhah terbabit diambil polis untuk disiasat.

Imam 1 masjid berkenaan, Ahmad Zawawi Ali berkata, majlis bacaan surah Yasin itu diadakan malam semalam untuk menggantikan kuliah agama dan dihadiri 75 lelaki dan 25 wanita.

“Selesai solat Isyak, naskhah surah Yasin itu diambil dan diedarkan kepada jemaah. Seorang daripada jemaah lelaki menyedarinya dan memberitahu Abdul Rahman.

“Suasana majlis bertukar menjadi riuh apabila lebih ramai jemaah menemui gambar itu di dalam naskhah masing-masing,” katanya.

Gambar lucah itu tidak ditemui di dalam naskhah yang dikhaskan untuk jemaah perempuan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Zulkifli Alias mengesahkan laporan polis yang dibuat.

“Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan, mendatangkan bencana atau mencemar tempat solat dengan niat hendak mengaibkan agama mana-mana golongan. Sehingga kini belum ada tangkapan.

“Kita ingin menasihati jemaah dan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi sehingga siasatan selesai dijalankan bagi mengelak kejadian tidak diingini,” katanya.

Beliau meminta pentadbir masjid lebih berhati-hati.
indah.com: 100 jemaah Terkejut buku Yasin ada terselit gambar lucah

Ketaqwaan Sayidina Umar Ibnu Aziz


1. Sebaik sahaja beliau diangkat menjadi khalifah, beliau pulang ke rumahnya dengan wajah cemas dan menemui isterinya lantas berkata: " Aku kini seperti memikul gunung. Segala beban umat sudah tertanggung ke atas aku. Aku sudah tiada masa lagi untuk bersama denganmu. Sekiranya kamu tidak sanggup demikian, nyatakanlah agar aku melepaskanmu secara baik. Andainya engkau ingin terus bersamaku, maka engkau adalah sebahagian dari diriku yang turut memikul beban umat."

Menurut pengakuan isteri beliau, semenjak hari itu hingga wafatnya, tidak pernah tidur bersama dengannya.

2. Khadam (pembantu) kepada Sayidina Umar Ibnu Abdul Aziz merasa hairan kerana di malam hari titisan air mata khalifah itu sering jatuh menimpanya yang tidur di pangkin bawah.

Apabila khadam itu bertanya kepada Sayidina Umar Ibnu Abdul Aziz beliau menjawab, "Amanah Allah SWT yang dikurniakan kepada diriku seperti anggota tubuh, anak isteri dan sedikit harta benda. Aku cemas kalau-kalau aku tidak dapat menjawabnya di hadapan Allah SWT. Betapalah kini aku sedang memikul beban dan tanggungjawab umat Muhammad, seluruh urusan umat ini Allah SWT akan tanya kepada aku satu persatu, bolehkah aku melelapkan mata, lantaran aku menanggung segala beban umat ini."

3. Sayidina Umar Ibnu Abdul Aziz setiap minggu akan duduk berkumpul bersama para ulama untuk mendengar nasihat dan tarbiyah terutamanya dari kalangan ulama sufi. Kerana ulama sufi sering sahaja bercerita mengenai kehidupan akhirat. Di sini juga memperlihatkan betapa di zaman beliau para ulama sangat jujur dan berperanan mendidik masyarakat termasuk kepada pemimpin.

Suatu hari seorang ulama sufi bercerita mengenai nasib tiap-tiap khalifah sebelumnya yang diperolehi melalui mimpi. Kata ulama tersebut: "Aku melihat dalam mimpi betapa Khalifah Abu Bakar melalui Siratal Mustaqim dan beliau melepasinya. Begitu juga aku melihat giliran Khalifah Umar r.a melalui Siratal Mustaqim dan beliau melepasinya dengan selamat. Diikuti pula oleh KhalifahUthman dan beliau juga selamat. Khalifah Ali r.a juga aku lihat selamat melepasi Siratal Mustaqim."

Sambungnya lagi: "Selepas itu aku lihat tiba pula giliran tuan untuk melalui Siratal Mustaqim..."
Tiba-tiba saja Khalifah Umar Ibnu Abdul Aziz berkata, "Aku bagaimana yang engkau lihat?"
Ulama sufi itu dengan tenang bercerita, "Aku lihat tuan..."

Belum habis ulama sufi itu bercerita, tiba-tiba Sayidina Umar Ibnu Abdul Aziz menjerit, "Allahu Akbar" lalu beliau jatuh pengsan.
Beberapa ketika selepas itu beliau kembali membuka matanya dan bertanya, " Terus ceritakan apa yang kamu lihat mengenai aku."
Ulama sufi itu mengulangi lagi cerita mimpinya, "Apabila sampai giliran tuan, aku lihat..."
Sekali lagi Sayidina Umar Ibnu Abdul Aziz jatuh pengsan.

Setelah beliau kembali membuka mata dan bertanya mengenai nasib dirinya ketika melalui Siratal Mustaqim, ulama sufi itu tidak mengulangi ceritanya seperti sebelum ini. Sebaliknya ulama sufi itu menjawab dengan ringkas sahaja, "Tuan selamat."
http://cahayamukmin.blogspot.com/

Guru terima 4 menantu serentak




NORIAH Abdul Aziz (kanan) gembira menyaksikan empat anaknya bersanding serentak di Kampung Bukit Palong, Baling, Kedah, semalam. -MINGGUAN/AZMAN MD.NOOR


BALING 4 Jun - Seorang ibu melalui detik paling istimewa apabila empat anaknya melangsungkan perkahwinan serentak, sekali gus membolehkannya menerima empat menantu hari ini.
Tiga anak lelaki dan seorang anak perempuan Noriah Abdul Aziz, 54, memilih hari ini iaitu tarikh kematian bapa mereka, Azizan Abdul Aziz kira-kira 15 tahun lalu untuk memulakan kehidupan berumah tangga.
Pasangan mempelai itu ialah Mohd. Aizuddin Azizan, 29, dan pilihan hatinya, Noorazizah Mohd. Noor, 25; adiknya, Mohd. Afendi, 27, dan Norfadilah Abdul Halim, 21; dan Mohd. Afami, 24, yang memilih Norashikin Abd. Razak, 22.
Anak perempuan Noriah, Noradila, 22, pula menjadikan Amzani Kamaruzaman, 25, sebagai teman hidup.
Dua lagi anaknya, Norliana, 18, dan Norshamila, 15, masih belajar.
Menurut Noriah yang juga seorang guru di Sekolah Menengah Tunku Putera di sini, selain gembira dan terharu, dia turut berasa lega apabila empat anaknya itu bersetuju mengadakan majlis perkahwinan serentak.
Ini kerana, dia dapat menjimatkan belanja perkahwinan anak-anaknya sekitar RM6,000 hingga RM8,000 seorang.
"Saya sangat bersyukur kerana mendapat empat menantu serentak hari ini," katanya ketika ditemui pada majlis perkahwinan yang dihadiri kira-kira 1,500 tetamu di rumahnya di Kampung Bukit Palong, Bongor dekat sini hari ini.
Selain menumbangkan seekor lembu untuk menjamu para jemputan, majlis turut diserikan pertunjukan pencak silat.

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri

Presiden Yaman mahu bertindak balas




Beribu-ribu penunjuk perasaan anti Presiden Ali Abbullah Saleh mengadakan tunjuk perasaan di Sanaa selepas solat Jumaat kelmarin menggesa Presiden Yemen itu meletakkan jawatan. – AFP


SANAA 4 Jun – Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh hari ini memberi amaran akan bertindak balas, selepas beliau cedera dalam serangan yang dilancarkan pemberontak ke atas Istana Presiden, semalam.
Yemen kini berada di ambang perang saudara dengan Kesatuan Eropah (EU) semalam menggerakan mekanisme untuk memindahkan rakyatnya dari Yemen dan menggesa ‘gencatan senjata segera’ dikuatkuasakan, menurut Ketua Hal Ehwal Luarnya, Catherine Ashton.
Ali yang mengetuai parti pemerintah, Kongres Agung Rakyat (GPC) mengalami cedera ringan apabila pemberontak melancarkan serangan roket ke arah Istana Presiden ketika pegawai-pegawai menunaikan solat Jumaat di masjid dalam kawasan istana itu, semalam.
Ali mengalami cedera ringan di bahagian belakang kepalanya.
Rejim Ali menuduh kabilah pemberontak, Sheikh Sadiq al-Ahmar bertanggungjawab melakukan serangan itu setelah anggota kabilah itu terlibat dalam pertempuran dengan tentera kerajaan di Sanaa, ibu negara Yemen sejak usaha damai gagal Selasa lalu.
“Kabilah Ahmar telah melampaui batas,’’ kata Jurucakap GPC, Tariq al-Shami.
Ali turut mengeluarkan kenyataan audio lewat semalam menyatakan beliau berada dalam keadaan selamat.
“Jika anda sihat, saya juga sihat. Semoga rakyat kita terselamat daripada krisis ini,” katanya dalam kenyataan audio itu yang disiarkan di televisyen kerajaan Yemen.
Ali turut mengesahkan tujuh pengawal peribadinya terbunuh dalam serangan itu.
Pemimpin lain yang cedera termasuk Perdana Menteri Ali Mohammed Mujawar yang terbakar di bahagian muka dan Timbalan Perdana Menteri, Jeneral Rashad al-Alimi yang kini berada dalam keadaan kritikal. – AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara

Tentera Yaman lancar serang balas, 10 terbunuh, 35 cedera


SANAA 5 Jun - Seramai 10 orang terbunuh manakala 35 yang lain cedera selepas tentera Yemen melancarkan serangan meriam ke atas rumah tokoh kabilah yang berpengaruh, Sheikh Hamid al-Ahmar di selatan Sanaa, kata pegawai perubatan hari ini.
Sheikh Hamid, seorang ahli perniagaan terkenal, merupakan ketua kepada parti pembangkang terbesar di negara ini, Parti Islam al-Islah (pembaharuan).
Serangan yang dilancar menggunakan senjata berat dan peluru berpandu mensasarkan rumah pemimpin pembangkang itu, yang merupakan abang kepada ketua kabilah berpengaruh, Sheikh Sadiq al-Ahmar, yang ditahan dalam pertembungan dengan tentera setia Presiden Yemen di utara Sanaa.
Serangan meriam turut dilancarkan ke kawasan berjiran, Hada yang terletak di selatan Sanaa, menyerang rumah dua adik-beradik Sheikh Hamid yang lain, Hemyar dan Mizhij. - AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini

Bekas Menteri Kewangan Mesir dipenjara 30 tahun


KAHERAH 5 Jun - Bekas Menteri Kewangan Mesir, Yussef Boustros Ghali dijatuhkan hukuman penjara sehingga 30 tahun atas kesalahan rasuah, walaupun menteri tersebut tidak menghadiri perbicaraan, kata wartawan AFP hari ini.
Hakim mahkamah jenayah di Kaherah, Magdi Ghoneim menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun terhadap Ghali atas kesalahan membazir duit rakyat dengan menggunakan kereta yang diubahsuai.
Manakala 15 tahun lagi atas kesalahan menyalahguna kedudukannya sebagai Menteri Kewangan untuk kepentingan peribadi.
Ghali, yang melarikan diri dari Mesir, merupakan seorang daripada menteri di bawah pimpinan rejim bekas Presiden Hosni yang dibawa ke muka pengadilan sebagai usaha kerajaan tentera yang baru untuk membawa mereka yang melakukan penipuan untuk dibicarakan. - AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini

Dewan AS selar Obama


WASHINGTON: Dewan Perwakilan Amerika Syarikat semalam meluskan ketetapan menyelar Presiden Barack Obama kerana membabitkan negara itu dalam misi serangan Nato ke atas Libya tanpa mendapatkan kebenaran Kongres.
Ketetapan berasingan yang boleh memaksa pengunduran serta-merta tentera Amerika dari misi itu bagaimanapun ditolak.

Keputusan itu menggambarkan rasa kurang selesa berhubung perang ketiga membabitkan tentera Amerika Syarikat selepas Iraq dan Afghanistan dan tanggapan bahawa Obama tidak berunding dengan Kongres sebelum operasi Nato dilancarkan pada Mac. Dewan mengundi 268 menyokong dan 145 menentang untuk meluluskan ketetapan yang diusulkan oleh Speaker Dewan, John Boehner, mendesak Obama memaklumkan kepada anggota Kongres dalam masa dua minggu mengenai skop, tempoh dan kos misi Libya itu. - AP

myMetroDewan AS selar Obama

Pihak asing campur tangan di selatan Thai


BANGKOK: Panglima tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha semalam mendakwa gerakan pemisah di selatan negara itu diarah oleh pihak asing dari seberang laut.
Prayuth berkata demikian sebelum berlepas ke selatan untuk melihat sendiri usaha tentera mengawal keganasan yang melanda wilayah itu sejak awal 2004.

Prayuth turut memberitahu, masalah di selatan negara itu kini menjadi semakin rumit selepas beberapa kumpulan baru juga terbabit.

Beliau yang enggan menamakan kumpulan itu berkata, ia adalah rahsia.

Namun, menurutnya, pertubuhan asing berusaha menguasai pertubuhan politik atau kumpulan perniagaan haram dengan mempengaruhi mereka untuk memburukkan lagi kekacauan,.


“Kami berusaha mengawal keadaan seperti yang anda lihat dari segi penangkapan suspek,” katanya.

Menurut Prayuth, pihaknya hanya akan mengundurkan tentera dari wilayah Selatan, khususnya Narathiwat, Yala dan Pattani sekiranya keadaan semakin pulih.

Sementara itu, tentera Thai mengesahkan, tiga militan yang terbunuh dalam pertempuran di Narathiwaat kelmarin ialah anggota Runda Kumpulan Kecil (RKK), sebuah pertubuhan pemisah. - Agensi

myMetroPihak asing campur tangan di selatan Thai

Jutawan tak tahu baca


LONDON: Seorang jutawan yang tersenarai selaku antara orang paling kaya di Britain semalam membuat pengakuan mengejut - dia tidak tahu membaca.
Andreas Panayiotou, 45, tidak boleh mengisi sendiri borang pasport paling mudah.

Dia juga terpaksa memberi tumpuan untuk mentafsirkan tanda jalan apabila memandu.

Bapa lima anak itu yang mempunyai kekayaan mencecah £400 juta (RM2 bilion) dan menduduki tangga ke-200 orang paling kaya di Britain mengaku: “Ketika kanak-kanak, saya berusaha sedaya upaya untuk membaca.


“Tetapi otak saya tidak dapat mentafsirkan huruf yang membentuk perkataan itu.”


Selepas meninggalkan sekolah pada usia 14 tahun tanpa sijil, dia belajar mengatasi masalah disleksia yang dihadapinya itu dengan menghafal bentuk perkataan penting.

Bekas peninju itu yang dilahirkan di London dari keluarga keturunan Greek Cyprot bagaimanapun berkata: “Saya menghadapi masalah besar apabila menemui perkataan yang saya tidak pernah jumpa.

“Di jalan raya, saya tyerpaksa menumpukan perhatian sepenuhnya untuk membaca tanda jalan. Ia sentiasa merisaukan saya.

“Mengisi borang seperti kawalan kastam juga menjadi masalah.”

Meskipun buta huruf, Panayiotou kini memiliki tiga pesawat, satu daripadanya jet Gulfstream berharga £40 juta (RM200 juta), dan sebuah kapal layar berharga £12 juta (RM60 juta).

Dia tinggal di rumah di Epping Forest, Essex, yang kawasan tanahnya seluas 20 ekar.

Panayiotou yang menyuarakan hasrat untuk membantu mereka yang mengalami disleksia sepertinya berkata: “Ketika kanak-kanak, saya tidak suka membaca. Apabila dewasa, saya mengatur kehidupan seharian saya supaya dapat mengelak daripada membaca.” - Agensi

myMetroJutawan tak tahu baca

Pegawai Yaman dirawat di Saudi


SANAA: Beberapa pegawai kanan Yaman yang cedera dalam serangan terhadap istana presiden kelmarin dihantar ke negara jiran, Arab Saudi, untuk dirawat, semalam.
Speaker kedua-dua Dewan Parlimen, timbalan perdana menteri dan beberapa pegawai lain diterbangkan ke negara jiran itu.

Sumber perubatan yang melaporkan demikian bagaimanapun tidak memberi butir lanjut mengenai keadaan pegawai itu.

Laporan beberapa media Arab sebelum ini berkata, Timbalan Perdana Menteri Yaman cedera parah selepas pemberontak melancarkan serangan terhadap istana.


Presiden Ali Abdullah Salleh bagaimanapun cedera ringan dan tujuh orang terbunuh dalam kejadian itu. - AP

myMetroPegawai Yaman dirawat di Saudi

Jepun beku RM13.2 bilion aset Gaddafi


TOKYO: Jepun membekukan aset pemimpin Libya, Muammar Gaddafi dan konconya berjumlah AS$4.4 bilion (RM13.2 bilion) berdasarkan terma Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Akhbar Yomiuri Shimbun melaporkan, aset berkenaan termasuk simpanan dalam bank.

Jurucakap Kementerian Kewangan bagaimanapun tidak dapat dihubungi untuk mengesahkan laporan berkenaan.

Majlis Keselamatan dengan sokongan kuat daripada negara Arab dan Afrika, secara sebulat suara meluluskan sekatan terhadap Gaddafi pada 26 Februari lalu.


Kabinet Perdana Menteri Naoto Kan meluluskan sekatan itu, termasuk pembekuan aset dan larangan perjalanan terhadap beberapa pegawai kanan Libya Mac lalu. - AP

myMetroJepun beku RM13.2 bilion aset Gaddafi

'Layan macam pelacur'


Dr Rohaya Mohamed
Dr Rohaya Mohamed


Isteri ‘dingin’ di ranjang punca lelaki cari kepuasan di luar

KUALA LUMPUR: Seorang isteri mesti patuh dan melayan suami seperti ‘pelacur kelas pertama’ bagi memastikan pasangan mereka tidak terjebak dalam pelbagai gejala tidak sihat, termasuk mencari hiburan di luar, keganasan rumah tangga dan pembuangan bayi.
Malah, kegagalan isteri melayan kehendak seks suami adalah antara punca utama kegagalan rumah tangga apabila pasangan mereka sebaliknya beralih kepada teman wanita, perempuan simpanan serta pelacur bagi mendapatkan kepuasan itu. Peringatan itu disuarakan Naib Presiden Kelab Isteri Taat yang baru ditubuhkan di negara ini, Dr Rohaya Mohamed.

“Tanggungjawab isteri bukan saja untuk memasak, mengemas rumah dan menjadi ibu malah turut membabitkan aspek seksual. Lelaki berkahwin dengan wanita yang menyamai atau jauh lebih bagus daripada pelacur (di ranjang), sudah pasti tidak akan curang.

“Nafsu lelaki jauh lebih besar daripada wanita dan tidak boleh diketepikan. Daripada membiarkan mereka bergelumang dengan dosa, seorang isteri itu harus melakukan apa saja bagi memenuhi keinginan nafsu suami.

“Justeru, tanggungjawab kami adalah untuk membantu isteri menjadi lebih taat kepada suami. Seorang isteri hanya perlu memenuhi empat syarat untuk masuk syurga – menunaikan solat wajib, berpuasa ketika Ramadan, melindungi maruah dirinya serta taatkan suami,” katanya selepas majlis pelancaran kelab berkenaan di Kelab Golf Perangsang Templer dekat sini, semalam.
Kelab Isteri Taat mempunyai 1,000 ahli di seluruh dunia termasuk 800 orang di negara ini. Ia ditubuhkan Global Ikhwan Sdn Bhd yang sebelum ini dikaitkan dengan kumpulan al-Arqam. Kelab pertama dilancarkan di Jordan pada 1 Mei lalu, cawangan Malaysia semalam dan diikuti kelab di Jakarta, Indonesia pada 19 Jun depan.

Organisasi syarikat itu juga merancang untuk menubuhkan cawangan kelab sama di Eropah termasuk London dan Rome pada masa depan.

Rohaya berkata, penubuhan kelab itu terbuka kepada semua golongan isteri tanpa mengira kaum dan agama serta menawarkan latihan dan khidmat nasihat termasuk pendidikan seks supaya golongan isteri dapat memberi perkhidmatan terbaik kepada suami masing-masing. Berita Harian Online | 'Layan macam pelacur'

Tolak RM15j bukukan riwayat hidup Osama


HAMID menunjukkan poster ceramah yang dijalankan beliau untuk berkongsi pengalaman ketika menemuramah Osama.
HAMID menunjukkan poster ceramah yang dijalankan beliau untuk berkongsi pengalaman ketika menemuramah Osama.


Hamid tidak mahu bersekongkol sandiwara Barat

KUALA LUMPUR: RM15 juta! Itulah jumlah ganjaran tertinggi pernah ditawarkan kepada wartawan terkenal, Hamid Mir, 46, untuk membukukan pengalamannya menemubual pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden, termasuk menerbitkan biografi pengganas terbabit yang didakwa berjaya dibunuh komando Amerika Syarikat (AS) di Abbottabad, Pakistan, 2 Mei lalu.
Menjadi satu-satunya wartawan pernah menemubual Osama, tawaran itu diberikan sebuah akhbar berpengaruh di AS kepadanya tidak lama selepas berlakunya peristiwa 11 September (2001) di New York, yang turut direkodkan sebagai serangan pengganas terburuk dalam sejarah dunia moden.
Bagaimanapun, Hamid yang kini bertugas sebagai Pengarang Eksekutif Geo News TV Islamabad menolak mentah-mentah tawaran itu hingga dianggap ‘bodoh’ oleh beberapa rakannya.

“AS$5 juta (RM15 juta) cukup banyak, saya boleh jadi jutawan jika mahu. Malah, mereka memberikan saya hak cipta (penerbitan) jika bersetuju dengan syarat perjanjian yang ditetapkan. Yang mereka mahukan cuma hak meminda manuskrip (The Truth of Osama Bin Laden), termasuk menyelitkan kisah kehidupan seks Osama.

“Ini yang membuatkan saya sangsi, bagaimana mereka boleh mengetahui lebih dari saya sedangkan hanya saya yang pernah menemubual Osama. Kononnya, mereka ada sumber maklumat lain yang saya ragui kesahihannya. Dari situ saya sedar motif sebenar mereka yang tidak lebih dari satu lagi plot pembohongan Barat mengenai Osama,” kata wartawan berpengalaman 25 tahun dengan pengkhususan dalam konflik Asia Barat ketika ditemui di Islamabad, baru-baru ini. Berita Harian Online | Tolak RM15j bukukan riwayat hidup Osama

3 sepupu mati serentak


pix_gal0
Bapa sedih gagal keluarkan anak daripada kereta remuk 


MACHANG: Seorang bapa tergamam menyaksikan sendiri nahas kereta yang meragut nyawa anaknya dan dua sepupu mereka di Kilometer 46.8 jalan Kota Bharu-Kuala Krai, pagi semalam.
Lebih menyayat hati, selepas menyaksikan kereta anak sulungnya bertembung kereta lain menerusi cermin pandang belakang, Halim Jusoh, 43, yang berada dalam kereta lain, berpatah balik dan cuba mengeluarkan anaknya daripada kereta yang remuk itu, tetapi gagal.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu Norhasmalinda Halim, 24; dari Gua Musang dan dua sepupunya Noor Azura Mohd Saari, 18; dan adiknya, Nur Aqilah Najiha, 14, dari Bachok yang menaiki kereta Proton Wira meninggal di tempat kejadian.

“Sebak saya melihat mereka...saya berusaha keluarkan anak dari kereta, manakala dua lagi penumpang tersepit,” katanya ditemui di Hospital Machang, di sini, semalam.

Noor Azura dan adiknya dari Kampung Pantai Melawi, Bachok, bermalam di rumah Norhasmalinda di Gua Musang sebelum ke Bachok untuk menghadiri majlis perkahwinan seorang saudara mereka.

Semua mangsa dikebumikan dalam satu liang lahad di tanah perkuburan Islam di Pantai Melawi, selepas Isyak, malam tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan Che Malik Bedot, mengesahkan menerima laporan nahas itu. Berita Harian Online | 3 sepupu mati serentak

Raja Kemboja bagai tahanan dalam istana



Raja Norodom Sihamoni
Raja Norodom Sihamoni

Hun Sen bolot kuasa selepas rampasan 1997

PHNOM PENH: Raja Norodom Sihamoni mungkin menjadi pewaris kepada susur galur kerajaan kira-kira 2,000 tahun lalu, namun beliau sentiasa kelihatan lebih sesuai dengan persekitaran seni di Eropah, di mana beliau pernah menjadi penari balet, berbanding pergolakan politik di tanah airnya.
Kini, pembantu rapat dan pakar berkata, beliau semakin ketara menjadi tahanan dalam istananya sendiri dengan Perdana Menteri, Hun Sen, mengukuhkan kuasa sejak rampasan 1997 ketika Kemboja secara perlahan keluar daripada kancah Perang Vietnam dan perang saudaranya selepas selepas beberapa lama.
Kumpulan hak asasi manusia pula menuduh beliau dan rakan perniagaannya menambah kekayaan mereka, sementara kebanyakan penduduk terus miskin.

Sihamoni dikelilingi pemerhati kerajaan dan diawasi Menteri Hal Ehwal Diraja, Kong Som Ol, pegawai rapat kepada Hun Sen.

Sihamoni diiringi secara rapat dalam beberapa kunjungannya ke luar dinding istana dengan media dijarakkan. Walaupun perlembagaan memberinya kuasa, ia tidak pernah digunakan.

“Saya fikir kita boleh guna perkataan ‘raja boneka’. Kuasanya dikurangkan hingga kosong,” kata Son Chhay, seorang Ahli Parlimen pembangkang yang lantang mengkritik kerajaan.
Tidak seperti bapanya, Raja Norodom Sihanouk, memiliki enam isteri dan ramai kekasih, Sihamoni masih bujang dan sudah pasti tidak meninggalkan seorang waris bagi meneruskan dinasti bapanya. – Agensi Berita Harian Online | Raja Kemboja bagai tahanan dalam istana

Pegawai EU belanja, hidup gaya mewah

LONDON: Pesuruhjaya Kesatuan Eropah (EU) menggunakan limosin, menginap di hotel lima bintang dan ditimbuni dengan hadiah mewah seperti perhiasan Tiffany ketika negara anggota EU itu berdepan dengan pemotongan bajet dan peningkatan cukai.

Akhbar Daily Telegraph melaporkan siasatan oleh Biro Penyiasatan Wartawan mendedahkan perbelanjaan eksekutif EU menunjukkan lebih RM32.4 juta dibelanjakan untuk jet peribadi bagi membawa pesuruhjaya di antara 2006 hingga 2010.

Menteri Luar Britain bagi EU, Baroness Catherine Ashton dikecam apabila beliau mendesak mendapatkan jet peribadi kurang 100 hari ketika memegang jawatan itu pada Mac tahun lalu.
Suruhanjaya itu turut menerima bil lebih RM1.29 juta bagi parti koktel mewah termasuk majlis di Amsterdam yang menelan belanja RM324,857, manakala ribuan euro turut dibelanjakan untuk persembahan orkestra terkemuka pada parti eksklusif. – Agensi
Berita Harian Online | Pegawai EU belanja, hidup gaya mewah

Strauss-Kahn upah bekas perisik


 STRAUSS-KAHN dirakam meninggalkan pejabat peguamnya Benjamin Brafman di New York, baru-baru ini.
STRAUSS-KAHN dirakam meninggalkan pejabat peguamnya Benjamin Brafman di New York, baru-baru ini.

Habis jutaan dolar kawal keselamatan, lawan kes serangan seksual

WASHINGTON: Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), Dominique Strauss-Kahn mengumpulkan sekumpulan penyiasat termasuk bekas perisik dan penasihat media bagi menghadapi tuduhan serangan seksual terhadap pekerja hotel.
Mereka akan menggunakan pendekatan berlainan menguruskan masalah perundangannya di Amerika Syarikat sementara cuba untuk mengembalikan reputasinya di negara asalnya Perancis dan negara lain.
Tugas utama mereka ialah mengurangkan sebanyak mungkin kesan buruk terhadap reputasi Strauss-Kahn. Pakar yang diupah atau menjadi perunding setakat ini termasuk bekas perisik Agensi Perisikan Pusat (CIA), yang berpengalaman dalam penyiasatan jenayah dan pakar terbaik perhubungan awam di dunia berbahasa Perancis.

Pendakwa menganggarkan Strauss-Kahn mungkin perlu membayar AS$200,000 (RM600,678) sebulan kepada firma keselamatan bagi menyediakan kawalan 24 jam, manakala yuran guaman dan penyiasat mungkin mencecah lebih jutaan dolar.

Strauss-Kahn yang berada dalam tahanan rumah di New York, menafikan dakwaan jenayah tindakan seksual, cubaan merogol, penderaan seksual, tahanan tidak sah dan sentuhan paksaan.

Menurut sumber, Strauss-Kahn dan isterinya, Anne Sinclair kini menetap di TriBeCa di Manhattan di mana pasangan itu dan peguamnya akan mula menyusun strategi pembelaan.
Pasukan pembelaan pula diketuai Benjamin Brafman, peguam jenayah terkemuka New York. Selain peguam, pasukan pembela sama ada sudah atau sedang bersedia mengikat perjanjian dengan dua kuasa besar, firma berprofil rendah tetapi berpengaruh yang mempunyai operasi khusus dalam bidang perhubungan awam serta penyiasatan korporat dan jenayah.

Satu daripadanya yang kurang dikenali berpejabat di Washington iaitu firma penasihat strategik TD International yang mana kakitangan dan pejabat operasi dikendalikan bekas pegawai operasi CIA dan diplomat Amerika.

Fail mengenai TD International di Jabatan Kehakiman Amerika sedikit sebanyak mendedahkan aktivitinya.

Satu fail adalah kontrak antara TD International dengan Strauss-Kahn pada 2007 menunjukkan beliau mengupah firma itu untuk menjalankan kempen perhubungan awam yang khusus dan kerja bermula secepat mungkin sehingga beliau menjadi ketua IMF.

Pasukan Strauss-Kahn turut mengupah Guidepost Solutions, firma siasatan persendirian di New York yang turut berpengalaman dalam kes jenayah. – Reuters Berita Harian Online | Strauss-Kahn upah bekas perisik

Dua tentera AS dijangkiti virus E.coli


TIMUN diberi percuma di selatan Sepanyol semalam bagi membuktikan ia selamat dimakan.
TIMUN diberi percuma di selatan Sepanyol semalam bagi membuktikan ia selamat dimakan.


WASHINGTON: Dua anggota tentera Amerika Syarikat (AS) berpusat di Jerman disyaki dijangkiti bakteria E.coli jenis berbahaya yang setakat ini menyebabkan kematian 19 orang di Eropah.

Pentadbiran Ubatan dan Makanan AS (FDA) sudah mula memeriksa penghantaran sayuran dari Sepanyol dan Jerman namun seorang pegawai Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) berkata wabak itu tidak dijangka merebak ke AS.
“Dua anggota tentera Amerika yang berkhidmat di Jerman dinilai sebagai kes disyaki,” kata Chris Braden, pengarah unit penyakit bawaan makanan, air dan alam sekitar di CDC.
E.coli jenis amat berbahaya itu sudah menyebabkan kematian 18 orang di Jerman dan satu di Sweden serta menyebabkan lebih 1,700 jatuh sakit, dalam wabak maut E.coli paling teruk yang pernah direkodkan.

“Hasil pertanian Amerika kekal selamat dan tiada alasan untuk penduduk mengubah tabiat pemakanan mereka,” kata David Elder, Pengarah Operasi Serantau FDA.

Kira-kira 199 kes baru bakteria E.coli toksik itu dilaporkan sejak dua hari lalu.

Sumber wabak masih tidak diketahui, namun saintis berkata jenis E.coli itu mungkin berasal daripada sayuran tercemar di Jerman.
Sayuran mentah terkenal sebagai tempat pengumpulan E.coli apabila ia ditanam menggunakan baju tahi lembu.

Tiga golongan dewasa Amerika sudah dirawat di hospital dengan apa yang pihak berkuasa percaya jenis sama bakteria itu selepas mereka berkunjung ke utara Jerman Mei lalu, kata CDC lewat Khamis lalu.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata jenis E.coli dikenali sebagai 0104:H4, jarang ditemui, dilihat pada manusia sebelum ini, namun tidak pernah tersebar sebagai wabak. – Reuters Berita Harian Online | Dua tentera AS dijangkiti virus E.coli

Helikopter NATO bedil Libya


ANTARA model helikopter Apache yang digunakan ketika membedil Libya.
ANTARA model helikopter Apache yang digunakan ketika membedil Libya.

Kemudahan tentera, lokasi radar, pos pemeriksaan Brega jadi sasaran

BENGHAZI: Tentera udara Britain (RAF) dan Perancis untuk pertama kalinya semalam menggunakan helikopter tempur bagi membedil sasaran di Libya bagi menyokong serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) terhadap tentera yang setia kepada Kolonel Muammar Gaddafi.
Helikopter RAF menyerang dan menghapuskan dua kemudahan tentera, lokasi radar dan pos pemeriksaan berhampiran Brega, Perbadanan Penyiaran Britain melaporkan.
BBC berkata serangan helikopter di Brega itu dilancarkan menggunakan helikopter tempur Apache RAF, manakala tentera udara Perancis menggunakan helikopter tempur Gazelle dalam serangan terhadap sasaran lain di Libya hampir pada waktu sama.

Kementerian Pertahanan Britain berkata: “Helikopter Apache mengambil bahagian dalam operasi yang diselaraskan oleh NATO di bawah mandat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.”

“Semua helikopter yang digunakan kembali dengan selamat ke kapal HMS Ocean di luar pesisir Libya,” katanya.

Penggunaan helikopter terbabit bermakna NATO kini bersedia terbabit dengan pertempuran jarak dekat berbanding penggunaan pesawat tempur sebelum ini yang membedil dari jarak jauh.
Serangan helikopter itu yang juga menyasarkan kedudukan tentera Libya di dalam kawasan penduduk yang padat, berlaku sehari selepas pasukan pemberontak mengusir tentera Gaddafi dari tiga bandar di barat, menandakan penghakisan selanjutnya kuasa pemimpin yang sudah memerintah selama 42 tahun itu sejak bantahan rakyat bermula Februari lalu.

Helikopter Perancis berlepas dari kapal pengangkutan Tonnerre di laut Mediterranean.

Helikopter tempur itu memusnahkan 15 kenderaan tentera, lima bangunan markas pemerintahan sebelum pulang selepas ditembak senjata ringan. – AP/Agensi Berita Harian Online | Helikopter NATO bedil Libya

Bangkai kucing lebih berharga dari nyawa manusia


ANGGOTA polis memeriksa mayat salah seorang mangsa yang terbunuh dalam kemalangan di Seremban kelmarin.

Gara-gara elak bangkai kucing
SEREMBAN - Dua anggota Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) maut selepas motosikal yang ditunggang mereka dirempuh sebuah kenderaan pacuan empat roda yang cuba mengelak bangkai seekor kucing di atas jalan di Jalan Lenggeng-Mantin di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 11.40 malam itu, Amran Ahmad, 36, dan rakannya, Zainal Abidin Nordin, 46, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Difahamkan, ketika kejadian, kedua-dua mangsa yang masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha Ego dan Modenas Kriss dalam perjalanan pulang dari tempat kerja di Lenggeng menghala ke rumah mereka di Mantin.
Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Storm yang dipandu seorang lelaki terbabas dan merempuh kedua-dua mangsa yang menunggang di laluan bertentangan.
"Ekoran rempuhan itu, kedua-dua mangsa tercampak ke atas jalan manakala Mitsubishi Storm tersebut terbalik.
"Kita percaya ketika kejadian, Mitsubishi Storm tersebut terbabas apabila cuba menggelak bangkai seekor kucing di atas jalan," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Amran dan Zainal Abidin yang bertugas di Depot Tahanan Imigresen Lenggeng dekat sini meninggal dunia di tempat kejadian. Pemandu pacuan empat roda tersebut pula hanya mengalami cedera ringan.
Kosmo! Online - Negara

Bayi maut tersedak susu soya




ZULAZMI memangku mayat anaknya keluar dari bilik mayat di PPUM, Petaling Jaya semalam.


PETALING JAYA – Seorang bayi perempuan berusia enam bulan meninggal dunia dipercayai akibat tersedak susu soya pada saluran pernafasan ketika berada di rumah pengasuhnya di Kerinchi di sini kelmarin.
Rania Batrisya Zulazmi disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Menurut laporan bedah siasat yang dikeluarkan hospital berkenaan, kematian Rania adalah disebabkan oleh saluran pernafasannya tersekat dengan susu tersebut.
Rania dibawa ke PPUM oleh pengasuhnya, seorang wanita berusia 60 tahun kira-kira pukul 1.30 petang kelmarin selepas mendapati bayi itu berada dalam keadaan lemah dengan tangan dan kakinya sejuk.
Bayi malang itu bagaimanapun gagal diselamatkan dan disahkan meninggal dunia kira-kira tiga jam kemudian.
Difahamkan, anak tunggal kepada pasangan Radiana Rais, 37, dan Zulazmi Jamaludin, 41, itu diberi sejenis susu soya tetapi makanan itu tersekat pada saluran pernafasannya disyaki semasa bayi itu tidur.
Nenek mangsa, Ramlah Baba, 63, ketika ditemui di rumah mayat PPUM memberitahu, dia terkejut dengan kejadian menimpa cucunya yang sebelum ini disifatkan sebagai penyeri keluarga.
“Walaupun Rania (Batrisya) baru berusia enam bulan, dia nampak pintar dan pandai mengambil hati.

Kosmo! Online - Negara

Maut sebelum majlis perkahwinan


KERETA Proton Wira yang dinaiki Norhasmalinda, Nur Aqilah Najiha dan Nur Azura remuk selepas terlibat dalam kemalangan di Machang semalam.


MACHANG – Kegembiraan seorang ayah untuk pulang ke kampung menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya bersama ahli keluarga tersentak apabila anak sulungnya serta dua lagi anak saudaranya maut dalam satu kemalangan jalan raya di sini semalam.
Lebih menghibakan, dia menyaksikan sendiri kereta Proton Wira yang dipandu anaknya itu bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis SsangYong Rexton melalui cermin pandang belakang ketika dia ingin melihat kedudukan kereta anaknya itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi di Kilometer 46.8, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai di Kampung Kemuning itu, kereta yang dipandu Norhasmalinda Halim, 24, bersama dua sepupunya, Nor Aqilah Najiha Mohd. Saari, 14, dan kakaknya, Nor Azura, 18, dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan kenderaan tersebut.
Ketiga-tiga mereka maut dalam kemalangan itu manakala pemandu SUV itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
Bapa Norhasmalinda, Halim Jusoh, 47, memberitahu, ketika kejadian, dia yang memandu kereta lain bersama isterinya, Mariah Ismail, 45, dan tiga anaknya dalam perjalanan dari Gua Musang ke Kampung Aur, Telong, Bachok untuk menghadiri majlis perkahwinan anak saudaranya.
“Kami bertolak dari Gua Musang kira-kira pukul 7.30 pagi dan kereta yang dipandu arwah (Norhasmalinda) berada di belakang kereta saya.
“Sampai di tempat kejadian, kebetulan ketika itu saya melihat cermin pandang belakang dan nampak kereta anak saya terlibat dalam kemalangan. Saya terus memberhentikan kenderaan dan berlari ke tempat kejadian,” katanya ketika ditemui semalam.
Kosmo! Online - Negara

Sepanduk celupar cetus kemarahan




SEPANDUK kontroversi yang ditonjolkan oleh seorang penonton semasa satu perlawanan bola sepak di sebuah stadium di Gold Coast, Australia.


GOLD COAST - Liga Bola Sepak Australia (AFL) meminta saluran televisyen tempatan, Ten Network memberi penjelasan mengapa ia menyiarkan sepanduk lucah seorang penonton yang mengundang seorang bintang bola sepak untuk berasmara dengan isterinya, lapor sebuah akhbar semalam.
Sepanduk tersebut dikibarkan seorang penyokong pasukan bola sepak tempatan, Cats semasa satu perlawanan bola sepak yang disiarkan secara langsung dari sebuah stadium di sini semalam.
"Paul Chapman saya rela anda meniduri isteri saya," kata tulisan pada sepanduk tersebut.
Chapman ialah bintang bola sepak yang bermain untuk pasukan Cats.
Kejadian itu menimbulkan kemarahan orang ramai terutamanya pertubuhan bukan kerajaan yang menganggap perbuatan lelaki itu telah menjatuhkan maruah wanita.
Ten Network dalam penjelasannya menyatakan, insiden tersebut tidak disengajakan dan memberi jaminan bahawa ia tidak akan berulang pada masa hadapan. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

Tikus gergasi baham kanak-kanak




SEEKOR tikus gergasi yang ditangkap polis Afrika Selatan di Cape Town baru-baru ini.


CAPE TOWN - Polis Afrika Selatan menangkap sejenis tikus gergasi yang dipercayai menggigit sehingga mati dua orang kanak-kanak di kawasan setinggan di negara itu, lapor sebuah akhbar semalam.
Tikus sebesar seekor kucing dan sepanjang satu meter itu memiliki gigi hadapan lebih dua sentimeter panjang.
Pada minggu ini, seorang budak perempuan berusia tiga tahun, Lunathi Dwadwa maut diserang mamalia tersebut ketika dia tidur di rumah ibu bapanya dekat sini.
Seorang bayi lain terkorban dalam serangan serupa pada hari yang sama di ibu negara Afrika Selatan, Johannesburg. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia

'Penyembelih Bosnia' tidak insaf




SEPASUKAN pakar forensik memerika puluhan mayat yang ditanam selepas pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica.


THE HAGUE, Belanda - Dia didakwa kerana membunuh 8,000 lelaki dan kanak-kanak Islam di bandar Srebrenica semasa Perang Bosnia pada 1992 hingga 1995 tetapi bekas jeneral Serb Bosnia, Ratko Mladic dengan tenang dan angkuh menjawab: "Saya hanya mempertahankan bangsa saya."
Malah, dia menyatakan tuduhan terhadapnya adalah menjelikkan dan tidak munasabah ketika dia dihadapkan ke Tribunal Jenayah Antarabangsa Untuk Bekas Yugoslavia (ICTY) di sini kelmarin.
Mladic, 69, yang dilabel 'Penyembelih Bosnia' kerana didakwa mendalangi pembunuhan 100,000 orang dalam jenayah paling kejam sejak Perang Dunia Kedua sebelum ini mendakwa dirinya sakit tenat.
Namun, bekas pemimpin tentera Serb-Bosnia itu nampak bersemangat semasa dia mengejek ibu-ibu yang kehilangan anak mereka dalam pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica.
Dia tampil di mahkamah ICTY dengan memakai sut gaya tentera yang dipadankan dengan tali leher hitam.
Seorang wanita yang berada di kamar mahkamah memandang ke arah Mladic dan membuat isyarat bahawa dia akan dihukum mati.
Mladic bagaimanapun tersenyum sinis kepada wanita tersebut yang kehilangan anak lelakinya ditangan tentera pemimpin Serb-Bosnia itu pada Julai 1995.
"Seluruh dunia kenal siapa saya. Saya ialah Ratko Mladic. Saya mempertahankan bangsa saya, negara saya kini mempertahankan diri saya. Saya mahu hidup untuk melihat diri saya bebas," katanya.
Tiada sebarang pengakuan dibuat oleh Mladic dan dia memberitahu hakim bahawa dia tidak mahu mendengar tuduhan terhadapnya dibacakan.
Selain pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica, Mladic turut didakwa melakukan jenayah kemanusiaan semasa kepungan 44 bulan ke atas bandar Sarajevo yang menyebabkan 12,000 orang mati dibunuh tentera Serb Bosnia.
Mladic kemudian berkata, dia memerlukan masa sekitar dua bulan untuk meneliti segala tuduhan terhadapnya
Ketika dia meninggalkan kamar perbicaraan ICTY, Mladic sempat berpaling kepada keluarga dan saudara-mara mangsa pembunuhannya dan memberikan tabik hormat kepada mereka sambil tersenyum.
Dia kemudian diiringi ke penjara.
"Dia (Mladic) langsung tidak menyesal malah, dia masih boleh mengejek mahkamah," kata Ramiza Gurdic yang kehilangan suami dan dua anak lelakinya di tangan tentera Mladic.
"Dia mengambil masa cuma tiga hari untuk membunuh beribu-ribu penduduk Bosnia tetapi kini dia menyatakan dia memerlukan dua bulan untuk membaca tuduhan terhadapnya," tambah wanita itu.
Hakim menetapkan perbicaraan kes tersebut disambung semula pada 4 Julai depan.
Mladic yang ditangkap di sebuah perkampungan di Serbia selepas diburu selama 16 tahun, diekstradisi ke ICTY pada Selasa lalu. - Agensi
Kosmo! Online - Dunia