Pages

Saturday, November 28, 2015

Robot 'seksi' tarikan utama

Beijing: ‘Robot paling seksi di dunia’ digelar Geminoid F menjadi tarikan utama pengunjung ke Pameran Robot Dunia di sini, minggu ini.
Geminoid F mempunyai ratusan peminat yang memberi jolokan itu kepada robot yang nampak tak ubah seperti manusia, malah pernah berlakon dalam filem Jepun, ‘Sayonara.’
Android dengan ketinggian 1.7 meter itu mampu menggerakkan matanya seterusnya bertindak balas terhadap pandangan mata serta memahami pergerakan bahasa badan.
Perlakuannya juga seperti manusia dengan ‘kulit’ diperbuat daripada getah dengan wajah seorang gadis. Malangnya dia tidak boleh berjalan sebaliknya terpaksa disorong menggunakan kerusi roda.
Robot itu dicipta Makmal Hiroshi Ishiguro, Universiti Osaka yang merancang membina model lebih baik pada masa depan.
Pembantu profesor, Kohei Ogawa berkata: “Matlamat kami adalah untuk mencipta kecerdasan buatan (AI) menggunakan robot ini.
“Buat masa ini sistem pengenalan suara tidak berkesan terutama dalam keadaan bingit. Pada masa depan, kami mahu mewujudkan sistem AI sempurna menggunakan robot ini.”
Robot itu juga mampu senyum, mengerutkan dahi dan menggerakkan mulut, selain menyanyi serta bercakap dengan memainkan rakaman atau menggerakkan mulutnya mengikut bunyi percakapan.
Ia juga mampu ‘meniru’ riak wajah manusia. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 6:20 AM


Geminoid F ‘diserbu’ peminat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96355#sthash.na9iqwAy.dpuf

Kahwin RM35 juta

Thiruvananthapuram (India): Ahli perniagaan India terkemuka dari Kerala, Ravi Pillai, dilaporkan membelanjakan Rs550 juta (RM35.1 juta) untuk majlis perkahwinan anak perempuannya yang diadakan sehingga lewat kelmarin.
Majlis perkahwinan gilang-gemilang itu diadakan untuk anaknya, Dr Arathi dengan Dr Adithya Vishnu.
Pillai, 62, dan isterinya Geetha juga mempunyai seorang anak lelaki.
Antara selebriti dan golongan VVIP yang menghadiri majlis berkenaan, termasuk anggota keluarga diraja dari negara Teluk, serta beberapa bintang Mollywood (perfileman Malayali) dan ahli perniagaan.
Seorang pengurus acara berkata, beberapa ahli perniagaan terkenal Kerala turut menghadiri majlis berkenaan kerana ia dilihat sebagai peluang untuk memperluas jaringan dan berkongsi pendapat mengenai peluang pelaburan di Kerala.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2015 @ 6:31 AM


PASANGAN pengantin Arathi (kanan) dan suaminya.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/96361#sthash.g1YCJNIU.dpuf

Abadikan semula foto kahwin selepas 70 tahun


Cao Yuehua dan isteri Wang Deyi memgabadikan semula foto perkahwinan mereka.

CHONGQING - CHINA. Sepasang suami isteri warga tua mengabadikan semula foto perkahwinan mereka sempena ulangtahun perkahwinan yang ke-70.
Cao Yuehua, 97 dan isteri Wang Deyi, 98, kembali semula ke lokasi yang sama ketika mereka merakamkan foto perkahwinan pada tahun 1945, lapor Chongqing Evening News.
Malah pasangan itu juga turut mengenakan pakaian pengantin.
Ini adalah saat yang penuh emosi kepada keluarga apabila Yuehua mendeklamasi puisi yang ditulis kepada isterinya 7 dekad lalu.
Menurut Yuehue, dia menulis puisi tersebut ketika bertugas sebagai penterjemah ketika mengikuti ekspedisi Tentera China  ke Myanmar semasa perang dengan tentera Jepun.
"Saya yakin dengan percintaan antara ibu bapa saya bahawa cinta boleh mengatasi segala-galanya," kata salah seorang anak pasangan itu.
Foto-foto tersebut mendapat perhatian netizen dan China yang rata-rata kagum dengan kisah percintaan pasangan itu.
"Tempat yang sama, berpegangan tangan, menghabiskan kehidupan bersama tidak kira pahit dan manis. Ini adalah rahmat yang paling besar dalam hidup," tulis pelayar di laman sosial Sina Weibo.
Sementara itu, Yuehua turut berharap dapat kembali semula ke tempat tersebut bersama isterinya semasa berumur 100 tahun.

Ibu derma uterus kepada anak


Yang Hua (kanan) tidak memiliki rahim dan uterus sejak dilahirkan, keadaan tersebut telah menyebabkan dia tidak boleh mengandung. AGENSI
BEIJING 27 Nov. – Seorang wanita yang dilahirkan tanpa rahim dan organ pembiakan, kini menjalani ra­watan persediaan untuk me­ngandung selepas organ tersebut didermakan oleh ibunya sendiri.
Portal Mail Online melaporkan, Yang Hua, 22, tidak memiliki rahim dan uterus sejak dilahirkan, menyebabkan keinginannya untuk melahirkan anaknya sendiri tidak boleh dicapai.
Simpati akan nasib yang menimpa, ibu Hua mengambil keputusan untuk menderma uterus miliknya dan sanggup berdepan risiko tinggi menjalani pembedahan pemin­dahan yang sebelum ini belum pernah berjaya dilakukan di China.
Sebelum pemindahan uterus dijalankan, Hua terlebih dahulu menjalani pembedahan memasukkan vagina tiruan pada bulan April lalu bertujuan memudahkan proses pembenihan berlaku.
Pemindahan organ itu hanya dijalankan kelmarin selepas doktor mendapati keadaan vagina tiruan serta fizikal Hua berada dalam keadaan baik.
“Saya sangat mengimpikan untuk mempunyai seorang anak, saya rasa sedih kerana tahu saya tidak mungkin hamil sehinggalah seorang doktor memberitahu akan proses pemindahan rahim.
“Saya tiada pilihan, saya tahu sebelum ini belum ada lagi proses pemindahan rahim yang berjaya dilakukan di China. Saya perlu ambil risiko,” jelasnya.
Doktor berkata, Hua dan ibunya kini berada dalam keadaan baik selepas menjalani pembedahan dan rahimnya juga dilihat mampu berfungsi sempurna.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/ibu-derma-uterus-kepada-anak-1.163049#sthash.fZLlvUG8.dpuf

Lelaki bina pesawat selepas gagal menjadi juruterbang


Asmelash berhasrat untuk menggunakan pesawat ringannya jenis K-570
Asmelash berhasrat untuk menggunakan pesawat ringannya jenis K-570 itu dapat diterbangkan dalam majilis perkahwinannya kelak. Agensi
ADDIS ABABA 27 Nov. – Seorang lelaki Ethiopia yang kecewa ditolak menjadi juruterbang kerana terlalu pendek, nekad membina sebuah pesawat untuk digunakan semasa majlis perkahwinannya.
Portal berita Mail Online melaporkan Asmelash Zeferu yang ditolak untuk memasuki Akademi Penerbangan Pesawat Ethiopia Cawangan Dire Dawa pada 15 tahun lalu kerana ketinggiannya hanya 1.70 meter iaitu 1 sentimeter kurang daripada yang ditetapkan.
Oleh itu, pada hujung minggu ini, pemuda berusia 35 tahun, merancang untuk menerbangkan pesawat ringannya K-570 di Addis Ababa untuk menghadiri majlis perkahwinannya.
Zeferu berkata, dia akan me-ngahwini tunangnya, Seble Bekele sejurus mendarat.
“Saya memutuskan untuk membina sebuah pesawat saya sendiri jika saya gagal untuk menjadi seorang juruterbang. Melalui cara itu saya akan dapat terbang,” katanya kepada CNN.
Pemuda tersebut membina pesawat itu menggunakan sebuah enjin empat silinder dengan 40 kuasa kuda yang diambil dari sebuah kereta Volkswagen Beetle.
Zaferu belajar cara-cara membina dan menerbangkan pesawat tersebut menggunakan maklumat yang disiarkan di laman perkongsian video YouTube.
Zeferu akhirnya memilih sebuah pesawat dari model yang pernah digunakan oleh juruterbang pelatih di Amerika Syrikat pada 1920-an dan 1930-an.
Dia juga menerima nasihat untuk mengubahsuai pesawat tersebut daripada Persatuan Eksperiman Pesawat Belanda, Rene Bubberman.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/lelaki-bina-pesawat-selepas-gagal-menjadi-juruterbang-1.163058#sthash.IxmkhMcP.dpuf