Pages

Sunday, January 23, 2011

Pembukaan Masjid di Kutub Utara




افتتاح مسجد في القطب الشمالي

افتتاح مسجد في القطب الشمالي
تاريخ النشر : 2010-11-12
كبر الخط صغر الخط
Umat Islam di perkampungan Kutub Utara ini hanya berjumlah 80 orang, dulu mereka menunaikan solat di dalam bangunan berbentuk rumah, kini mereka telah berjaya membina sebuah masjid untuk mereka menunaikan solat secara berjamaah dan sebagai pusat aktivitiagama Islam. Allah Akhbar... Islam telah dapat bertapak di Kutub Utara, ini bererti seruan Rasulullah SAW telah sampai ke penghujung dunia.

4 Lelaki Yang Ditarik Wanita Ke Neraka






Seseorang wanita itu apabila di hari akhirat akan menarik empat golongan lelaki bersamanya ke dalam neraka?

Na'uzubillah.........artikel ini bukan untuk memperkecilkan wanita tetapi sebaliknya iaitu supaya kaum lelaki memainkan peranannya dengan hak & saksama serta berwaspada akan tanggung-jawab yang kita pikul!

Pertama: Ayahnya

Apabila seseorang yang bergelar ayah tidak mempedulikan anak-anak perempuannya di dunaia. Dia tidak memberikan segala keperluan agama seperti mengajar solat, mengaji & sebagainya. Dia memperbiarkan anak-anak perempuannya tidak menutup aurat.....tidak cukup kalau dengan hanya memberi kemewahan dunia sahaja maka dia akan ditarik oleh anaknya.

Kedua: Suaminya

Apabila sang suami tidak memperdulikan tindak tanduk isterinya. Bergaul bebas di pejabat, memperhiaskan diri bukan untuk suami tapi untuk pandangan kaum lelaki yg bukan mahram..apabila suami mendiam diri......walaupun dia seorang alim walau solat tidak tangguh, puasa tidak tinggal maka dia akan ditarik oleh isterinya.

Ketiga: Abang-abangnya

Apabila ayahnya sudah tiada, tanggungjawab menjaga maruah wanita jatuh ke pundak abang-abangnya.....jikalau mereka hanya mementing keluarganya sahaja dan adik perempuannya dibiar melencong dari ajaran ISLAM ....tunggulah tarikan adiknya di akhirat kelak.

Keempat: Anak lelakinya

Apabila seorang anak tidak menasihati seorang ibu perihal kelakuan yg haram dari islam, bila ibu membuat kemungkaran pengumpat, mengata & sebagainya maka anak itu akan disoal dan dipertangungjawabkan di akhirat kelak........ nantikan tarikan ibunya maka kita lihat betapa hebatnya tarikan wanita bukan sahaja di dunia malah di akhirat pun tarikannya begitu hebat.....maka kaum lelaki yang bergelar ayah/suami/abang atau anak harus memainkan peranan mereka yang sebenar tidak silap firman ALLAH SWT:-

"HAI ANAK ADAM PERIHARALAH DIRI KAMU SERTA AHLIMU DARI API NERAKA DI MANA BAHAN PEMBAKARNYA IALAH MANUSIA,JIN DAN BATU-BATU..."


~ Hai wanita, kasihlah ayah anda, suami anda,abang-abang anda serta anak-anak lelaki anda...kesiankanlah mereka dan diri kamu sendiri. Jalankan perintah ALLAH SWT bersungguh dan dengan ikhlas.. akhir kalam,marilah kita berdoa agar kita semua terselamat dari ditarik dan tertarik....oleh mana-mana pihak?????????

Harga seseorang muslim adalah sangat berharga. ALLAH SWT nilaikan seseorang muslim dengan SYURGA,semua kaum muslim dijamin masuk syurga (sesiapa yg mengucap kalimah tauhid) dengan itu janganlah kita membuang atau tidak mengendah janji dan peluang yg ALLAH SWT berikan pada kita.

Wassalam


"Wanita itu adalah fitnah, buat dirinya sendiri juga sesiapa yg di sekelilingnya. Apa jua yg dilakukan akan menimbulkan pelbagai fitnah sama ada dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara.. Hatta ketika ia baru dilahirkan, ia telah pun mendatangkan fitnah..... Justeru, adalah menjadikan kewajipan kita sebagai muslimat bagi menutup pintu-pintu fitnah ini dari terus berleluasa.. Kita takkan mampu utk menghalangnya, tetapi ini memerlukan persediaan yang rapi untuk menjaga diri kita daripada terus membiarkan diri terjebak ke arah kemungkaran dan tergolong di dalam ahli neraka, wal 'iyazubiLlah. Apabila seseorang wanita dapat menjauhi apa-apa fitnah, insya Allah kelak akan menjadi wanita yang dikasihi di sisi Allah, di samping terus mengamalkan perintah Allah dan menjauhi laranganNya...."

Ibnu Ar-Rumi pernah bermadah:
Tiada tempat selamat yang sebenar
Bagi makhluk bernama wanita
Selagi dia tinggal di samping lelaki
Meskipun lelaki yang Amin
Kerana sesaat lelaki terlupa diri
Pandangan sekali sahaja kepadanya
Boleh berubah menjadi bencana

Maksud hadith nabi S.A.W :
"Tidak aku tinggalkan selepasku fitnah yang lebih besar ke atas lelaki melainkan wanita......."

Wallahu'alam..

~ Wanita yang Menutup Aurat itu Indah seperti Emas Permata ~


Islam mewajibkan umatnya menutup aurat. Kewajipan ini sepertimana yang terakam dalam surah an-Nur ayat ke 31 yang bermaksud:

''Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya'' 

manakah yang lebih mulia?

Pernah terjadi suatu kisah yang menceritakan tentang seorang gadis bukan Islam yang sangat terpikat dan mengagumi Islam. Dia juga sudah boleh memahami dan menerima segala-galanya tentang Islam kecuali satu perkara.

Mengapa wanita Islam mesti menutup aurat terutama memakai tudung?

Sudah banyak orang yang ditanya oleh gadis itu termasuk ustaz-ustaz dan orang Islam lainnya. Namun dia masih belum dapat berpuas hati dengan jawapan-jawapan mereka semua.

Pada suatu hari, kawan gadis itu telah membawanya berjumpa dengan seorang ustaz pula. Pada mulaya dia agak keberatan.

“Rasanya, sama sahaja jawapan daripada ustaz-ustaz itu. Tidak payahlah kita pergi membuang masa kita dengan menemui mereka.”

Kawannya yang sudah Islam itu terus memujuk, “Cubalah dahulu sahabat, bukan salah kita mencuba. Thomas Edison dan Kapten Fried juga hanya berjaya setelah ribuan kali percubaannya.”

“Tapi ini soal agama? Aku yakin Tuhan punyai sebab mengapa hanya wanita Islam sahaja yang diperlukan menutup keseluruhan badan kecuali wajah dan kedua tapak tangan. Manakala aurat lelaki hanya dari pusat ke lutut. Pasti ada sebabnya, tapi nampaknya orang Islam sendiri pun kurang mengerti.”

“Engkau perli aku ya?” Kawannya itu mencebik. Dia buat tidak endah. Kawannya mengalah, terus memujuk.

“Baiklah, ini yang terakhir. Kalau jawapannya kurang memuaskan hatimu, kita berhenti.” Tiada cara lain untuk memujuk sahabatnya itu melainkan melafazkan janji sebegitu.

Mereka berdua pergi berjumpa dengan ustaz tersebut.

“Maaf ustaz, inilah sahabat yang saya maksudkan tempoh hari. Alhamdulillah dia sudah mempercayai tentang Islam dan isinya. Cuma yang menyekat dirinya daripada melafazkan syahadah ialah kerana dia tidak dapat menerima alasan mengapa Islam menyuruh penganut wanitanya menutup aurat.”

Ustaz muda yang berjanggut sejemput itu tersenyum. Seakan faham dia pada masalah yang menjadi halangan kepada gadis itu.

Sejurus kemudian dia bersuara kepada gadis itu.

“Boleh saya bertanyakan beberapa persoalan dan awak jawap dengan sejujur mungkin?”

“Boleh, tidak ada masalah.” Tingkah si gadis.

“Baiklah, kamu pernah ke pasaraya?”

“Pernah.”

“Pernah masuk ke kedai emas?”

“Pernah.”

“Pernah ke pasar malam?”

“Pernah.”

Ustaz muda itu terdiam sejenak. Lantas menyambung kembali persoalannya.

“Baik, antara tempat-tempat yang saya nyatakan tadi di manakah dipamerkan atau dijual batu permata, intan berlian, emas perak yang mahal-mahal harganya?”

“Tentu sahaja di kedai emas.”

“Bagaimana keadaannya?”

“Diletakkan di para yang cantik untuk pameran, dilindungi cermin yang kukuh dan kalis peluru untuk mengelak dari dikhianati. Bahkan mungkin tersimpan di dalam peti besi bagi tujuan keselamatannya dan hanya boleh dilihat oleh orang-orang tertentu sahaja.”

“Bagaimana pula dengan barangan kemas dari jenis yang sama namun barangan tiruan. Di manakah tempat mereka?”

“Jika yang sebegitu, mudah sahaja dijumpai di tepi-tepi jalan, malah sentiasa terdedah dan tidak ada yang sudi mencurinya kerana kemurahannya itu.”

Mata sahabat gadis itu bersinar, “Ada harapan,” katanya di dalam hati.

Ustaz tersebut segera menerangkan maksud analogi itu.

“Begitulah juga Islam yang sentiasa meletakkan wanita di tempat yang tinggi dan perlu sentiasa terjaga. Kewajipan menutup aurat adalah kerana tubuh badan seorang wanita itu adalah sangat berharga dan suci, mana mungkin kemuliaan dan kesucian seorang wanita itu dipamerkan kepada manusia yang tidak sepatutnya? Ibarat emas permata, intan berlian yang sentiasa terjaga dan dilindungi malah diletakkan di dalam bekas yang cantik dan selamat.”

Gadis berdua itu terpana. Jelas, terang lagi bersuluh. Sahabatnya tidak putus mengucapkan syukur.

Dia berkata, “Jika begitu ustaz, mereka yang tidak menutup aurat ibarat barangan murahan yang dapat dijumpai di tepian jalan, boleh dipegang sesuka hati malah harga sangat murah? Jika begitu, benarlah suruhan Allah untuk wanita menutup aurat sepertimana yang termaktub dalam surah an-Nur ayat ke-31.”

Ustaz itu hanya tersenyum sambil mengangguk.

Dan si gadis itu berkata dengan lancar dan tenang, “Tiada Tuhan melainkan Allah, nabi Muhammad pesuruh Allah.”

Semua melafazkan syukur~

Cuma 3 tahun hafaz 30 juzuk



KUANTAN - Kesungguhan Muhammad Ismail Hassanuddin, 15, menghafaz 30 juzuk al-Quran dalam tempoh tiga tahun akhirnya memberi tuah apabila dia dinobatkan sebagai johan pada majlis Menghafaz al-Quran peringkat negeri Pahang.

Memperoleh markah 96.90, dia berjaya mengalahkan tujuh peserta lain bagi kategori hafaz satu hingga 30 juzuk al-Quran dan membawa pulang wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan.

Kejayaan pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat Tengku Am-puan Afzan, Pekan, itu sekali gus mengulangi kejayaan tahun lalu buat anak ketiga daripada tujuh adik-beradik itu mula menghafaz sejak tiga tahun lalu apabila memasuki Maahad tersebut.

Menurutnya, dia memperuntukkan masa empat jam sehari untuk menghafaz al-Quran selain mengamalkan pantang dari segi pemakanan iaitu mengelak memakan makanan yang masam.

“Selain amalan tersebut, sokongan ibu bapa dan guru di sekolah banyak membakar semangat saya untuk menghafaz al-Quran.

“Bagaimana pun, jika tidak bersungguh-sungguh, sukar untuk kita menghafaz sebuah al-Quran dalam tempoh yang singkat,” katanya ketika ditemui selepas majlis itu, di sini.

Hadir merasmikan majlis, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang, Datuk Muhamad Ubaidullah dan Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah, Perpaduan dan Badan Bukan Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Sahfri Abdul Aziz.

Sementara itu, Adnan berkata, amalan menghafaz al-Quran perlu dihidupkan dalam masyarakat bagi melahirkan golongan yang celik al-Quran.

Katanya, menerusi al-Quran, pelbagai bidang diperkatakan antaranya kepimpinan, ilmu fizik dan kejadian alam semesta.

“Sekiranya kita berjaya menghafaz al-Quran, kita akan lebih menghayati mesej yang disampaikan melalui kitab suci tersebut,” katanya.

Pada majlis itu, selain Muhammad Ismail, rakannya, Ahmad Roiyan Mohd Shaikhudin di pilih sebagai johan bagi kategori lelaki satu hingga 20 juzuk manakala Amzanil Shah Arnizam Shah untuk kategori lelaki satu hingga 10 juzuk.

Bagi kategori perempuan satu hingga 20 juzuk dimenangi Siti Hajar Wan Ibrahim manakala kategori satu hingga 10 juzuk diberikan kepada Farah Faqihah Mohd Iqbal masing-masing dari Maahad Tahfiz Negeri Pahang.

Ikan tapah 80kg berjaya ditangkap



KUALA TAHAN – Tapah atau Giant Cat Fish seberat hampir 80 kilogram berjaya dinaikkan penduduk di Lubuk Kelembai Taman Negara Kuala Tahan semalam sekali gus menarik perhatian pelancong yang datang ke lokasi pelancongan dunia itu.

Pemilik ikan itu, Mohd Nazri Ahmad Zaharudin berkata, dia keluar memancing di Lubuk Kelembai seawal pagi dengan hanya menggunakan joran serta umpan ikan keli.

Menurutnya, ikan tapah itu diperoleh sekitar jam 11 pagi dan mengambil masa lebih sejam untuk menaikkannya dengan bantuan rakan-rakan.

“Tangkapan tapah kali ini seberat hampir 80 kilogram. Ia antara yang terbesar dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini. Agak sukar untuk mendapatkan ikan air tawar sebesar itu, namun ia adalah rezeki besar untuk pembukaan tahun baru.

“Disebabkan saiznya besar, ikan ini agak agresif. Tempoh untuk menaikkannya agak lama menggunakan teknik tertentu supaya tali joran tidak terputus dan ikan tidak terlepas. Saya gembira berikutan ia mendapat perhatian pasaran setempat,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Pengarah Pelancongan Malaysia Pahang, Edros Yahaya berkata, ikan air itu membuktikan Taman Negara Kuala Tahan mempunyai produk pelancongan yang boleh diperkenalkan kepada pelancong menerusi pelbagai aktiviti menarik.

Menurutnya, selain keindahan alam semula jadi dan pelbagai aktiviti yang ditawarkan dalam pakej pelancongan di Taman Negara, pengusaha pelancongan juga boleh memperkembangkan aktiviti di sungai.

“Bagi tahun ini, kita menyasarkan untuk menaikkan semula kemudahan di Santuari Kelah dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Perlindungan Hidupan liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Aktiviti di kawasan santuari itu perlu diperbanyakkan lagi supaya ia dapat memberi nilai tambah kepada lokasi itu sendiri untuk terus dikunjungi pelancong,” katanya ketika merasmikan dan melancarkan Program Rainforest Green Race Taman Negara, semalam.

Beliau berkata, penambahan secara tidak langsung dapat meningkatkan kunjungan pelancong tanpa mengira musim seterusnya memberikan limpahan ekonomi kepada penduduk setempat.

Raja Poligami





2011/01/23

pix_gal0
BERANI beristeri ramai? Pasti ramai, khususnya lelaki yang termenung seketika dan tidak kurang juga yang memberi senyuman sinis saat diajukan persoalan itu. Ini disebabkan, poligami bukan sekadar perkataan tetapi turut terselit madu serta racunnya. Ia juga satu tabu yang boleh mengundang kerlingan tajam wanita kerana amalannya.

Jika Islam sudah menekankan konsep keadilan apabila lelaki berhasrat berkahwin empat sekali gus serta syarat-syarat asas mewajarkannya, bagi kaum dan negara lain pula, beristeri ramai itu sudah menjadi tradisi atau pesta tahunan.
Di Swaziland misalnya, sebuah negara di benua Afrika yang mana pemerintahnya, Raja Mswati III sememangnya layak dinobatkan Raja Poligami kerana memiliki 14 isteri sekali gus setakat ini!Lebih menarik, semuanya dipilih menerusi adat unik yang mana mereka adalah kalangan anak dara Swaziland - negara di selatan Afrika itu yang datang menyerah diri sebagai bakal isteri.

Bukan sekali, malah setiap tahun dengan yang terbaru, November lalu, si dara Swaziland ini berarak separuh bogel di depan pemerintah berusia 43 tahun itu.
Mereka diarak dengan penuh tradisi dengan harapan dapat terpilih sebagai isteri baru dan berpeluang mengecap sedikit nikmat kekayaan biarpun terpaksa berkongsi dengan berbelas wanita lain.

Acara dua hari itu bermula dengan makan tengah hari di Istana Ludzidzini dan pesta itu berlarutan ke luar apabila ratusan wanita dengan pakaian skirt Swazi dan hanya rantai manik menutupi dada, menari sambil menghunus pisau dan perisai bagi menarik perhatian si Raja.

Pada hari kedua pula, gadis pilihan atau Permaisuri baru itu menghadiahkan pelbagai hantaran termasuk tikar rumput, peralatan memasak, selimut, perabot serta cenderahati lain.
Kehebatan Raja Mswati III itu bagaimanapun, belum dapat menandingi bapanya, Raja Sobhuza II yang sewaktu kematiannya pada 1986, mempunyai 70 isteri dan 1,000 cucu! Malang sungguh apabila negara itu yang sepatutnya menumpukan soal pembangunan, sebaliknya sarat dengan masalah ramai rakyatnya menderita HIV dan kemiskinan. Tumpuan utama Raja Mswati ini sebaliknya, selain menambah isteri adalah boros berbelanja dengan memiliki deretan kereta mewah.

Seorang lagi Raja Poligami adalah Ancentus Akuku yang berasal dari Kenya, juga di Afrika. Sama seperti Raja Mswati III, hobi Akuku adalah mengumpul isteri.
Bak pepatah Melayu, harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan nama, kematian Akuku akhir tahun lalu pada usia 92 tahun, menyaksikannya mencatat nama sebagai poligamis terkenal dalam sejarah negara itu dengan meninggalkan 100 balu biarpun sudah berkahwin lebih 130 kali. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan turut melakar sejarah benua Afrika.

Dia turut dikenali jolokan nama 'Bahaya' kerana ramai wanita mendapati dirinya sukar ditolak. Akuku memiliki lima isteri ketika berusia 22 tahun. Dalam tempoh beberapa dekad antara 1939 dan 1992, Akuku yang berkahwin lebih 130 kali memiliki lebih 200 anak dan menceraikan lebih 80 wanita.
"Saya digelar 'Bahaya' kerana dapat menonjolkan diri ini di kalangan wanita. Saya kacak, bijak memilih pakaian dan tahu memikat hati wanita dengan kata-kata manis. Tiada wanita dapat menolak godaan saya," katanya kepada media, suatu ketika dulu.

Rahsia pemakanannya adalah menolak menu makanan berlemak dan garam yang membantunya mengelak penyakit kronik. Dia juga menghafal dan kenal semua anak-anaknya selain membuat jadual rumah mana yang perlu dikunjunginya mengikuti giliran.

Akuku, bagaimanapun bukan sekadar bijak menghasilkan anak tetapi pandai menguruskan keluarga serta amat mementingkan pendidikan dan ada anak-anaknya menjadi doktor, guru dan jurutera. Dalam tradisi Afrika, anak masih menjadi simbol kemakmuran. Jika kekayaan seseorang lelaki diukur melalui bilangan anak yang dimiliki, Akuku jelas berada dalam kelasnya tersendiri.

Di benua Arab juga tidak kalah dengan Raja Poligami dan Salem Juma'a, 75, yang juga warga Emiriah Arab Bersatu (UAE), layak diberi gelaran itu apabila mengahwini berbelas wanita yang kini cuma tinggal tiga. Dia yang mempunyai 52 anak, 10 daripadanya sudah meninggal dunia.

Salem juga pernah kahwin cerai dengan 12 wanita pelbagai negara - tiga dari Mesir, enam dari India dan tiga wanita tempatan.
"Ini pemberian Allah SWT.

Malah saya sudah ditakdirkan untuk beristeri ramai...rezeki tidak harus ditolak," katanya kepada media tempatan, baru-baru ini, merujuk kemampuannya beristeri ramai.

Namun, kehebatannya tidak setara Daad Abdulrahman, 64, juga warga UAE. Dia bukan sembarangan lelaki dan biarpun hanya berkaki satu, pesara tentera ini tetap ligat untuk meneruskan misi menghasilkan anak mencecah 100 orang menjelang 2015.

Ketika ini, dia mempunyai seramai 88 orang anak, termasuk 50 lelaki. Anak-anaknya paling sulung berusia 39 tahun dengan yang terbaru beberapa bulan. Malah, ada beberapa jandanya masih tinggal bersamanya.

Setakat ini, proses kahwin cerai yang dihadapinya menyaksikan Daad memiliki 16 isteri, namun hanya tiga kekal. Isteri paling muda, Majida, berusia 19 tahun yang dikahwini empat tahun lalu di Pakistan manakala dua lagi, Maryam, 45 tahun manakala Anifa, 22 tahun.

Dia menceraikan tujuh isteri, tiga lagi meninggal manakala tiga yang lain 'melarikan diri' dan tidak pernah kembali lagi.

Hebat atau tidak, rumahnya ibarat liga antarabangsa apabila dia mengahwini wanita Oman, India, Bangladesh, Maghribi dan rakyat tempatan.

Kini, dia memasang impian mahu mengahwini isteri keempat dari Sudan yang 40 tahun lebih muda daripadanya dan berharap memperoleh anak empat orang setahun sehingga matlamatnya tercapai.

Dia menyara keluarganya hasil pencen tentera selain sumbangan dermawan UAE yang sanggup membantunya merealisasikan impian memiliki 100 anak.

Ditanya apa rahsia kehebatannya, Daad berkata: "Saya mementingkan pengambilan makanan berkhasiat. Saya ada 40 biri-biri dan kambing.

Setiap minggu saya sembelih seekor dan menikmatinya bersama-sama isteri dan anak-anak. Mungkin inilah rahsia saya..." 
-bharian

Zabidi 'saudagar sampah'



ANTARA pelanggan yang menghantar barangan terbuang di premis Zabidi Mohamed.



PAKAIAN lusuh dan berbau, menyelongkar tong sampah dan berjalan kaki membawa troli atau karung guni menjadi identiti pengutip sampah di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.Namun di sebalik senario yang mengundang simpati tersebut, ada segelintir masyarakat menjadikan kerja itu sebagai kerjaya mereka.
Sampah sisa pepejal yang dianggap tidak berharga oleh kebanyakan kita sebenarnya memberi pulangan lumayan kepada sesetengah pihak yang rajin berusaha untuk mencari rezeki halal.
Tambahan pula, ia mampu mengurangkan masalah timbunan sampah yang semakin hari semakin membebankan negara.
Hakikatnya, golongan ini yang banyak membantu menjaga kebersihan alam sekitar lebih-lebih lagi dalam menjayakan aktiviti kitar semula.
Wartawan Unit Khas, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR dan jurugambar, ABDUL NAZIR MOHAMED cuba mendampingi pengutip sampah dalam memahami kehidupan sebenar golongan yang sering dipandang ‘hina’ oleh masyarakat ini.

KUALA LUMPUR 22 Jan. - Dengan hanya mengutip dan menjual sampah, siapa sangka mampu memperoleh pendapatan setanding pengurus kanan sebuah syarikat swasta!
Itu yang dibuktikan oleh Zabidi Mohamed, 47, seorang anak desa berasal dari Perak yang merantau ke kota raya kira-kira 30 tahun lalu.
Menurut ayah kepada enam anak ini, sebelum berjaya, dia juga seperti perantau-perantau lain yang sentiasa cuba memperbaiki kehidupan dengan melakukan pelbagai pekerjaan.
"Pertama kali menjejakkan kaki di Kuala Lumpur pada 1979, saya cuba memenuhi tuntutan duniawi dengan bekerja apa sahaja demi mencari peluang hidup yang lebih baik di bandar besar.
"Ketika itu, baru saya sedar, bukan mudah untuk berjaya di kota besar, tambahan pula saya tidak mempunyai kelayakan yang boleh dibanggakan,'' katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.
Daripada menjadi buruh binaan kepada pemandu lori 'hantu', berniaga apam balik hingga ke Yong Tau Foo di pasar malam dan menjual nasi lemak di tepi jalan - semua telah dilakukannya.
Namun, tiada siapa menyangka kerja sampingan yang dibuat selepas berniaga di pasar malam memberi pulangan yang lebih lumayan daripada pelbagai usaha yang dilakukannya sebelum ini.
Segala-galanya bermula enam tahun lalu apabila dia melihat seorang lelaki tua menyorong sebuah troli pasar raya sambil mengutip barangan terbuang atau lebih tepat dipanggil sampah oleh masyarakat untuk dijual.
Lantas, motosikal roda tiga yang digunakan untuk berniaga, digunakan pula sebagai kenderaan mencari sampah-sampah tersebut.
Alangkah terkejutnya Zabidi apabila usahanya mengutip sampah seperti botol, tin dan kotak terpakai yang dijual keesokannya berjaya memperoleh pendapatan bersih RM80.
"Saya berniaga di pasar malam belum tentu dapat sebanyak ini.
"Itu baru sedikit yang saya kumpul, jika banyak, mungkin lebih lagi pendapatan diterima," katanya yang kemudian mengambil keputusan berhenti berniaga di pasar malam dan menumpukan perhatian bagi mencari barangan terbuang.
Dalam sehari, dia dapat melakukan empat hingga lima perjalanan menggunakan motosikal roda tiga yang sarat dengan muatan dan dilonggokkan di halaman rumahnya sahaja.
Isterinya, Murniati Munir, 45, akan membantu mengasingkan barangan tersebut sebelum menjualnya di kedai barangan lusuh.
"Pendapatan mula bertambah kepada purata sehari RM150. Kadang-kadang lebih, kadang-kadang kurang, namun ia lebih lumayan daripada sebelum ini," katanya.
Setelah tiga bulan menjalankan aktiviti itu, dia didatangi seorang pemuda yang bertanya adakah dia membeli barangan terbuang melihatkan pada kawasan halaman rumahnya yang menjadi tempat longgokan barang-barang tersebut.
"Saya terfikir sejenak, akhirnya saya terima dan membeli barangan orang itu dan hinggalah hari ini, saya membeli daripada mereka yang mencari barangan terbuang atau lusuh," katanya lagi.
Bermula dengan motosikal roda tiga, dia kini boleh berbangga memiliki lima orang pekerja dan tiga buah lori untuk memudahkannya mengangkut barangan ke kilang kitar semula.
Menurutnya, barangan terbuang tidak boleh dibiarkan berlonggok kerana dalam masa sehari sahaja, ia akan menjadi banyak dan bertimbun-timbun.
"Setiap hari lebih 30 pengutip barangan ini akan datang menjual barangan kepada saya, jika tidak dihantar ke kilang, ia akan menjadi masalah.
"Maklumlah, pejabat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terletak di hadapan rumah saya," katanya menuding jari ke arah bangunan tersebut yang terletak kurang 300 meter dari rumahnya.
Ditanya mengenai pendapatan yang diterimanya kini, dia agak keberatan untuk memberitahu, namun mengakui, jumlahnya boleh mencecah pendapatan seorang pengurus kanan di sebuah syarikat swasta.
"Saya bersyukur dengan rezeki yang telah diberikan oleh Allah SWT, bukan mudah untuk saya capai tahap ini.
"Akhirnya rezeki saya terletak pada 'sampah' yang tidak lagi digunakan dan dianggap tidak bernilai itu," katanya merendah diri.
-utusan

Saya lebih kuat daripada Superman: Berlusconi





2011/01/23

ROME: Perdana Menteri Itali, Silvio Berlusconi mungkin tertekan kerana hanya memiliki majoriti kecil di Parlimen tetapi beliau tiada masalah ‘mendapat sahabat intim’, sindir media. 

Pemimpin berusia 74 tahun itu yang tiga kali menjadi Perdana Menteri, sudah lama diketahui suka dikelilingi wanita jelita sejak terbabit dalam kerjaya politik, kata akhbar Britain, The Sun, semalam.
Bezanya sekarang ialah pemimpin Parti Kebebasan Rakyat itu diselubungi skandal seks yang berkemungkinan menyebabkannya hilang kuasa.
Berlusconi dituduh menjalin hubungan seks dengan pelacur kelas atasan, seorang daripadanya di bawah umur, pada parti anjurannya yang digelar ‘bunga-bunga’. 

The Sun turut menyiarkan gambar wanita yang digelar ‘Babes of Berlusconi’ termasuk Roberta Guerra, Camilla Ferranti, Marysthell Garcia, Barbara Faggioli, kembar Imma dan Eleanora de Vivo, Karima el Mahroug, Iris Bernardi, Eleanora Gaggioli, Roberta Bonasia, Patrizia D’Addario dan Nicole Minetti. 

Seperti biasa, pemimpin itu menolak dakwaan terhadapnya sambil mengulas: “Saya lebih kuat daripada Superman jika dapat berparti dengan 24 wanita.” 

Pendiriannya dikecam pembangkang dengan seorang daripada mereka menyifatkan Berlusconi umpama maharaja purba Rome yang paling ‘miang’. 
Tetapi, Berlusconi menolak melakukan sebarang kesalahan selepas dituduh terbabit dalam pelacuran dan salah guna kuasa. 

Penasihat Berlusconi juga menolak tuduhan terhadap Berlusconi bahawa pemimpin itu memberi wang untuk seks kepada gadis bawah umur. 

Giuseppe Spinelli yang disyaki menguruskan wang untuk wanita yang berdamping dengan Berlusconi, menyifatkan isu terhadap Perdana Menteri itu sebagai sesuatu yang diperbesar-besarkan. 

Beliau, sebaliknya, berkata pembayaran dan pemberian pangsapuri kepada gadis terbabit adalah satu ‘kebajikan’ untuk golongan memerlukan. 

“Ia tidaklah serumit yang didakwa. Kami bantu orang yang ada masalah. Saya faham mengapa orang tidak tahu. Mereka tidak tahu berapa ramai yang kami sudah bantu,” katanya. 

Malah, aktres Sabina Began yang digelar ‘Queen Bee’ oleh media Itali kerana dianggap ketua gadis pendamping Berlusconi, berkata pemimpin itu sedia membantu siapa saja. 

“Sama ada yang muda, tua, hodoh mahupun yang sudah bongkok, beliau pemurah,” katanya kepada stesen berita Sky Italia. – Agensi 

Paderi cetus semula kontroversi





2011/01/23

FLORIDA: Paderi Terry Jones yang mencetuskan kemarahan antarabangsa apabila beliau mengumumkan untuk membakar al-Quran di Gereja Gainesville, kini mahu melancarkan ‘Hari Menghakimi al-Quran Sedunia’. 

“Ya, kami akan lakukannya,” kata Jones dalam rakaman yang disiarkan menerusi YouTube ketika mengumumkan rancangan terbarunya.
“Kami sudah buat keputusan untuk melakukannya pada 20 Mac mulai jam 6 petang. Jika anda berpeluang, anda yang menggelarkan diri orang Islam yang baik, pada hari berkenaan al-Quran akan dibicarakan.
“Kami tuduh al-Quran punca pembunuhan, perogolan dan penipuan. Ia juga bertanggungjawab atas semua kegiatan pengganas di seluruh dunia. 

“Secara dasarnya, adalah perbicaraan. Hari pengadilan itu akan diadakan di Pusat Dove World Outreach. Kami cabar dunia Islam untuk mempertahankan al-Quran. 

“Mereka kata al-Quran adalah buku keamanan dan agama yang memperjuangkan keamanan. Kami mahu mereka membawa orang yang boleh mempertahankan al-Quran. 

“Jika didapati bersalah, empat jenis hukuman diadakan iaitu pembakaran, merendam, mengoyak atau skuad penembak,” katanya dalam satu program radio. 
Beliau juga memberitahu, 30 juri akan hadir termasuk penganut Kristian dan Islam, akan membuat keputusan mengenai semua dakwaan ke atas al-Quran. 

Laman web Jones, ‘Stand Up America’ mengandungi soalan yang membenarkan pengunjung memilih hukuman. 

Jones dan gereja itu menggemparkan dunia tahun lalu apabila beliau mengumumkan akan membakar 200 naskhah al-Quran, pada ulang tahun ke sembilan peristiwa serangan 11 September. 

Pemimpin pelbagai agama mengutuk rancangannya. Malah, Setiausaha Pertahanan, Robert Gates mengarahkan gereja kecil di barat laut Gainesville untuk membatalkan acara itu kerana bimbang tindakan terbabit akan membahayakan pasukan keselamatan Amerika di Asia Barat. 

Jones membatalkan hasratnya dua hari sebelum acara itu dijadualkan berlangsung. Beliau dijangka mengadakan sidang media pada petang Khamis depan untuk mengumumkan maklumat lanjut mengenai hari perbicaraan al-Quran pula. 

Paderi Dan Johnson dari Gereja Trinity United Methodist di Gainesville menjelaskan, tindakan Jones tidak mendapat sambutan kerana dalam episod pembakaran al-Quran itu, penganut Kristian datang beramai-ramai membantahnya. 

Bagaimanapun, beliau masih belum mendengar mengenai rancangan perbicaraan itu. 

“Saya berdoa dan berharap...saya tidak tahu sejauh mana kebaikannya melakukan perkara itu. Apa yang boleh dirumuskan ialah lebih banyak kerja perlu dilakukan dari aspek persefahaman dan toleransi. 

“Ini adalah kerja gila. Ini adalah sesuatu yang asing daripada apa yang diajar Jesus,” katanya. – Agensi 

WikiLeaks jadi filem





2011/01/23

Julian Assange
Julian Assange
Produser Hollywood papar kisah Julian Assange

LOS ANGELES: Hollywood bakal menyiarkan filem mengenai pengasas WikiLeaks itu selepas produser Barry Josephson dan Michelle Krum berjaya mendapat hak terhadap biografi Julian Assange.

Buku yang diberi tajuk The Most Dangerous Man in the World, tulisan wartawan Australia, Andrew Fowler, mendedahkan kisah Assange dari zaman kanak-kanak sehingga kini.
Ia termasuk bagaimana WikiLeaks diasaskan pada 2006 dan kontroversi terbaru membabitkan pendedahan rahsia diplomatik dan dokumen tentera kerajaan Amerika Syarikat.
Josephson dan Krum berkata, mereka merancang sebuah drama paling mendebarkan seperti filem All the President’s Men serta memasukkan unsur aksi lasak seperti novel nukilan Tom Clancy.

“Sebaik saja saya bertemu Andrew dan membaca beberapa bab buku barunya, saya tahu bahawa dengan pengetahuan mendalamnya, ia akan membolehkan kami membawa cerita penuh aksi ke layar perak,” kata Krumm kepada majalah Variety.

Assange ketika ini dalam jaminan di Britain sebelum keputusan dibuat berhubung permintaan ekstradisi oleh Sweden berkaitan jenayah seks. Dia juga dilaporkan berusaha menerbitkan autobiografi sendiri untuk membayar bil perundangan.

Dia akan menulis autobiografi itu selepas bersetuju dengan perjanjian pembayaran AS$1 juta (RM3.06 juta) Disember lalu, sebahagiannya untuk membayar kos perundangannya yang semakin meningkat. 
Assange dilabel ‘seorang pengganas berteknologi tinggi’ oleh musuhnya dan ‘pejuang kebebasan internet’ oleh penyokongnya.

November lalu, WikiLeaks mendapat rampasan paling berprofil tinggi setakat ini apabila ia menjadi rakan kongsi dengan akhbar The Guardian untuk menerbitkan lebih 250,000 kabel diplomatik sulit Amerika.

Assange menaikkan kemarahan pihak berkuasa Amerika dengan mendedahkan kabel mengenai pembabitan Amerika dalam perang di Afghanistan dan Iraq.

Dia juga mendedahkan perincian prosedur pembuangan sisa toksik di Afrika dan Teluk Guantanamo, serta meletakkan kandungan manual Gereja Scientology secara online.

Wartawan dan penerbit itu kekal dalam jaminan sementara menunggu keputusan permohonan ekstradisi dari pihak berkuasa Sweden yang mahu menyoalnya berhubung dakwaan seksual oleh dua wanita.

Kisah penuh di sebalik skandal WikiLeaks ditulis dalam WikiLeaks: Inside Julian Assange's War on Secrecy, kisah di belakang tabir oleh editor penyiasatan The Guardian, David Leigh dan koresponden Moscow Luke Harding. Buku WikiLeaks akan diterbitkan oleh The Guardian pada 10 Februari ini. – Agensi

Bagai kain buruk


- Gambar hiasan
- Gambar hiasanAPALAH nasib seorang suami apabila isteri yang dikahwini atas dasar cinta bersikap ala samseng apabila sering mengungkapkan perkataan sumpah seranah seperti babi, bodoh, tolol, pergi jahanam dan pergi mampus terhadap suaminya. Bukan saja suami, keluarga suami turut menerima nasib sama.
Lebih 10 kali juga isterinya meminta cerai selepas memulakan pergaduhan dengan alasan si suami lambat mengangkat panggilan telefon dan membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) dihantarnya.
Atas alasan lambat mengangkat telefon dan membalas SMS itu juga, barangan peribadi termasuk hak milik syarikat tempat si suami bekerja, dirosakkan si isteri.

Paling memilukan si suami, pernah satu ketika isterinya mengejutkannya daripada tidur menggunakan kaki. Ikuti luahan Razman, 30, kepada wartawan Metro Ahad, ASMIZAN MOHD SAMIRAN mengenai kisah dukanya memperisterikan ‘wanita samseng’ sebagai pengajaran kepada masyarakat.


Bagi membuktikan dakwaannya, Razman menghubungi beberapa ahli keluarga, rakan dan jiran supaya wartawan mengetahui sendiri kebenaran kisahnya.

“Mahligai perkahwinan kami dibina atas dasar suka sama suka. Lima tahun berkenalan membuatkan saya mengimpikan hidup bahagia dengannya. Sepanjang berkenalan hinggalah bertunang dalam tempoh itu, memang ada pergaduhan dan beberapa kali saya dimakinya, namun dia (isteri) meminta maaf dan berjanji untuk berubah.

Saya terima dia dengan hati terbuka dengan harapan dia berubah. Namun selepas bergelar suami isteri, dugaan demi dugaan menimpa saya. Hari bersanding dia sudah buat hal.

Saya dan keluarga tiba lewat sedikitpun dia menengking. Rakan saya datang dari jauh mahu mengambil gambar bersama pun dia naik angin sambil berlalu dengan jelingan benci. Malu saya dengan rakan yang hadir.

Selepas sebulan hidup bersama, saya lihat perangainya semakin menjadi-jadi. Jika saya lambat mengangkat telefon atau membalas SMS, dia mengamuk. Bukan mengamuk biasa, tetapi sampai minta cerai.

Walhal, saya bukan tidak menjawab panggilan atau SMS dihantarnya, tetapi lambat jawab kerana ketika itu bermesyuarat atau berbincang dengan majikan.

Dia tuduh saya lambat jawab telefon atau SMS sebab ada perempuan lain. Atas sebab itu dia minta cerai. Ikutkan hati saya nak ceraikan saja, tetapi saya masih waras dan sayangkannya.

Saya buat tak tahu saja dan keluar rumah seketika bagi meredakan keadaan. Apabila pulang, saya pujuk dan sejukkan hatinya, OK lah dia sikit. Namun, perangai samsengnya tak berubah.

Kalau marah, habis disumpah seranahnya saya. Perkataan seperti babi, bodoh, tolol, pergi jahanam dan pergi mampus sentiasa diungkapkan kepada saya. Tak puas sumpah seranah menerusi mulut, dia SMS kepada saya.

Bukan saja kepada saya, tetapi juga adik-beradik dan beberapa rakan saya. Malu saya dibuatnya. Antara SMS mengatakan saya jantan tak guna, menyesal kahwin dengan saya, jangan ingat anak dalam kandungan akan menjadi milik saya dan pergi jahanam.

Saya cuba mengambil pendekatan tegas dengan menegur perbuatannya. Apabila ditegur, dia sesuka hati keluar rumah. Pernah sekali dia hilang empat hari, katanya pergi kerja, tetapi rupa-rupanya balik kampung tanpa pengetahuan saya.

Risaunya saya ketika itu hanya Allah SWT yang tahu. Saya risau sebab dia mengandung. Selepas itu baru saya sedar, ibu dan ayahnya kerap masuk campur dengan hal rumah tangganya. Saya menemui SMS daripada ibu mentua di dalam telefon bimbit isteri.

Mentua ‘mengajar’nya supaya meletakkan ‘air penawar’ di dalam makanan atau minuman saya supaya saya tunduk dengan isteri.

Lebih menyedihkan saya, satu lagi SMS ditulis ibunya menuduh saya mencuri barangan isteri untuk dibuat ‘guna-guna’ supaya isteri tunduk kepada saya.

Isteri saya bukan saja memusuhi saya tetapi keluarga saya. Sepanjang bergelar isteri kepada saya, dia tidak pernah berkunjung ke rumah mentuanya. Pernah satu ketika ketika abang saya datang ke rumah saya, isteri memaki abang saya, antaranya dengan perkataan ‘kepala mak kau aku pijak’.

Saya tidak tahu kenapa isteri membenci keluarga saya, padahal keluarga saya tidak mencampuri urusan kami. Memang abang ada beri nasihat, tetapi sekadar nasihat dan isteri tak boleh terima.

Dalam tempoh hampir setahun perkahwinan, lebih 10 kali isteri meminta cerai dengan alasan remeh, tetapi saya bersabar. Saya pernah membawanya berjumpa kaunselor, tetapi selepas tamat sesi kaunseling, saya dijadikan tempat meluahkan kemarahan.

Habis ustaz yang memberi kaunselor itu dimakinya. Dia kata ustaz bodoh dan tak layak beri kaunseling. Saya pelawanya bertemu kaunselor sekali lagi, tetapi dia dengan tegas tidak mahu lagi mendapatkan kaunseling.

Sikap samseng isteri bertambah buruk apabila pernah satu ketika dia menggunakan kaki untuk mengejutkan saya daripada tidur. Dua kali dia tolak badan saya dengan kaki saya diam, masuk kali ketiga saya tepis kakinya dan memarahinya.

Pernah juga kerana saya lewat menjawab panggilan telefon dan SMSnya, komputer riba syarikat yang saya gunakan dihempas sampai hancur. Dia SMS kepada saya: “Hahaha... aku dah pecahkan notebook (komputer riba) kau.”

Paling mengecewakan saya, isteri pulang ke kampungnya untuk bersalin dan saya hanya diberitahu ketika isteri hampir bersalin. Kelam kabut jadinya apabila saya terpaksa tergesa-gesa pulang ke kampung isteri.

Saya datang bersama abang kerana saya minta pertolongannya untuk bergilir-gilir memandu. Apabila isteri melahirkan anak kami, saya mahu mengazankannya, tetapi mentua seperti tidak membenarkannya.

Namun saya buat juga kerana bayi itu anak saya. Sedih saya dibuatnya apabila ibu mentua sengaja menunjukkan arah kiblat yang salah ketika saya mahu mengazankan anak saya.

Seperti menidakkan zuriat saya kepada bayi itu, selepas saya mengazankan anak saya, dengan segera ayah mentua mengazankannya dengan kedudukan kiblat yang betul.

Dalam keadaan selepas bersalin, isteri sekali lagi buat hal apabila menghantar SMS memaki hamun saya kerana membawa bersama abang saya, walhal abang saya tunggu di luar saja. Saya dan keluarga saya dikatakannya sial... ibu bapa saya dikatakannya bodoh dan keluarga saya lebih teruk daripada kafir.

Saya terus diketepikan isteri dan keluarganya. Saya tidak dialu-alukan bersama isteri. Ketika mendapat tahu anak saya ditempatkan di wad kerana demam kuning selepas pihak hospital menghubungi saya, cubaan saya untuk menghubungi isteri tidak berjaya.

Telefon tidak diangkat, SMS tidak dibalas selepas beberapa hari. Satu ketika isteri membalas SMS, tetapi bukan memberitahu mengenai keadaan anak saya tetapi meminta memasukkan sejumlah wang ke dalam akaunnya.

Bercerita mengenai wang, isteri kini menuntut wang daripada saya yang dikatakan sebagai hutang perkahwinan satu ketika dulu.

Walhal, ketika memberi wang berkenaan, kami berjanji ia adalah wang bersama, tetapi atas rasa tanggungjawab saya cuba juga membayarnya semula sedikit demi sedikit.

Soal saya terpaksa menggunakan wangnya adalah atas kehendaknya. Saya merancang dan menyediakan untuk membuat kenduri kecil-kecilan di sebelah keluarga saya, tetapi dia mahu buat kenduri besar.

Saya tidak mahu kerana tidak cukup wang, tetapi dia memberi wangnya untuk merealisasikan kenduri yang diimpikannya. Saya akur, tetapi sekarang dia mula mengungkitnya semula.

Hampir setahun berumah tangga, saya sudah memikirkan sedalam-dalamnya untuk berpisah dengan isteri. Apa guna saya terus bersabar kerana isteri terus membuat dan melayan saya seperti ‘kain buruk’.


KERANA kecewa, Razman berkesempatan menghasilkan coretan khas buat isterinya:

Abang sayangkan sayang
Walaupun sayang SMS kat member-member ofis abang cakap yang abang ni berpenyakit...
Abang sayangkan sayang
Walaupun lebih 10 kali sayang minta cerai
Abang masih sayangkan sayang
Walaupun sayang hina adik-beradik abang
Abang sayangkan sayang
Walaupun sayang hina abang ada SPM saja
Abang sayangkan sayang
Walaupun sayang gunakan kaki sayang untuk gerakkan badan abang
Abang sayang lagi
Walaupun sayang keluar rumah tanpa izin abang

Abang harapkan SMS ucapan kerinduan dari sayang
Ucapan kasih sayang dari sayang
Ucapan puitis cinta dari sayang
Bukan caci dan maki daripada sayang...

Sekarang hati abang dah tawar
Tawar sangat
Sayang faham maksud abang?
Takkan pasal tak angkat telefon sayang nak hantar macam tu?
Dah tu sayang kenapa hantar SMS kat adik- beradik abang?
Malu abang, malu sangat
Tapi abang sayang lagi... tapi bukan kepada sayang
Abang sayang kat anak abang yang comel itu
Bagi abang sayang sudah tak wujud di dalam hati abang

Tapi sayang jangan risau...
Allah SWT maha mengasihani...
Hari-hari lepas solat abang berdoa...
Berdoa kepada yang Esa supaya cinta abang berputik semula...
Supaya kasih abang kepada sayang bertaut kembali...
Walaupun hakikatnya abang sudah benci sayang...

Yang dikasihi,
Suamimu yang tercinta.