Pages

Sunday, March 20, 2011

Akad nikah di masjid menyimpang dari amalan Rasulullah?



20/03/2011 7:25pm

KANGAR 20 Mac – Menjadikan masjid sebagai lokasi akad nikah adalah menyimpang dari amalan Rasulullah, kata seorang anggota Majlis Fatwa Perlis, Datuk Ahmad Jusoh.
Beliau berkata, Rasulullah pernah mengingatkan umat Islam supaya tidak melakukan akad nikah dalam masjid kerana ia meniru penganut Kristian yang menikah dalam gereja dan Yahudi di rumah ibadat mereka.
Ahmad yang juga ahli Majlis Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berkata, walaupun pernah berlaku peristiwa akad nikah dalam masjid pada zaman Rasulullah, namun ia berpunca dari kehadiran seorang wanita ke dalam masjid yang mahu dirinya dikahwini.
Kesanggupan seorang lelaki yang turut berada dalam masjid untuk mengahwini wanita itu menyebabkan Rasulullah melakukan akad nikah dalam masjid.
Ahmad berkata, adalah lebih baik akad nikah dilakukan di rumah pengantin. – Bernama
-UTUSAN

Terperangkap 9 hari


TOKYO: Seorang nenek berusia 80 tahun dan cucu perempuannya berusia 16 tahun diselamatkan hari ini, selepas sembilan hari terperangkap di bawah runtuhan kediaman yang dilanda gempa bumi dan tsunami di bandar raya Ishinomaki.
TV NHK yang memetik polis wilayah Miyagi berkata, kedua-dua mangsa lemah ketika ditemui tapi masih sedar. Mereka dihantar ke sebuah hospital menggunakan helikopter.

Pemberita NHK yang memetik seorang doktor berkata, kedua-dua mangsa terperangkap di bahagian dapur dan mereka meneruskan hidup dengan memakan yogurt serta makanan lain dalam peti ais.

Mangsa ditemui selepas cucu perempuan terbabit menjumpai jalan keluar ke bumbung sebelum melambai ke arah helikopter penyelamat, kata pemberita NHK.

Remaja terbabit, Jin Abe, mengalami suhu badan rendah, menggeletar dan hilang deria rasa pada buku lali kirinya, kata pemberita itu.

Menurut jurucakap Hospital Palang Merah Ishinomaki, kedua-dua mangsa sedang dirawat.

"Saya hanya sempat melihat sekilas pandang pada warga emas itu yang tertutup matanya. Kelihatannya dia masih hidup," kata jurucakap itu ketika ditanya sama ada nenek itu masih sedar atau sebaliknya. - Reuters

Tentera AS, Britain dan Perancis mula bedil Libya


SEBUAH trak dikesan membawa senjata di pangkalan udara Aviano, Amerika Syarikat (AS). AS, Britain dan Perancis menyerang Libya menerusi peluru berpandu Tomahawk dan serangan udara awal hari ini, sehingga menyebabkan Mediterranean di panggil padang tempur. - Foto AFP

20/03/2011 12:38pm

TRIPOLI 20 Mac – Tentera Amerika Syarikat (AS), Britain dan Perancis membedil Libya dengan peluru berpandu Tomahawk dan serangan udara sehingga ke awal pagi ini, mencetuskan kemarahan Muammar Gaddafi yang mengisytiharkan kawasan Mediterranean sebagai ‘medan pertempuran’.
Kapal-kapal perang AS dan sebuah kapal selam Britain melancarkan sekurang-kurangnya 110 peluru berpandu Tomahawk ke atas pangkalan udara dan sistem pertahanan udara rejim Gaddafi, lapor tentera AS.
Pegawai Libya berkata, sekurang-kurangnya 48 orang terbunuh dalam bedilan yang bermula pada 1645 GMT semalam (12.45 malam tadi waktu Malaysia) dengan satu serangan jet pejuang Perancis ke atas sebuah kenderaan tentera pro-Gaddafi. – AFP

Kesatuan Afrika tuntut serangan ke atas Libya dihentikan segera





2011/03/20

NOUAKCHOTT: Kesatuan Negara-Negara Afrika hari ini menuntut agar serangan yang dilakukan tentera bersekutu membabitkan Amerika Syarikat (AS), Britain dan Peranchis ke atas Libya, awal pagi ini dihentikan serta merta. 

Selepas lebih empat jam mesyuarat diadakan kesatuan itu di ibu negara Mauritania, di sini, mereka juga menuntut agar pihak berkuasa Libya memastikan orang awam diberi perlindungan dan bantuan.
Kesatuan itu juga mahu agar rakyat asing dilindungi dan usaha mengeluarkan mereka dari Libya juga perlu dilakukan segera. - AFP

Russia, China kecewa serangan ke atas Libya





2011/03/20

BEIJING: China melahirkan kekecewaannya terhadap serangan udara yang dilancarkan tentera Bersekutu ke atas Libya. 

Kementerian Luar China dalam satu kenyataannya sebentar tadi berkata, kerajaan negara itu menentang penggunaan ketenteraan dalam menangani masalah perhubungan antarabangsa.
“China pritahin dengan berkembangan terbaru di Libya dan melahirkan rasa kecewa dengan serangan terhadap Libya," kata kenyataan itu.
Sementara itu, Russia turut mengeluarkan kenyataan yang sama dengan menuntut agar satu gencatan senjata dilaksanakan seberapa segera di Libya. 

China bagaimanapun tidak menyebut mengenai gencatan senjata tetapi menekankan negara itu amat menghormati kedaulatan, kemerdekaan dan keamanan di negara rantau Afrika itu. - AFP 

Libya kutuk serangan 'tidak bertamadun' Barat





2011/03/20

TRIPOLI: Ketua Perlimen Libya, Abbul Qasim al-Zuai mengutuk serangan udara yang dilancarkan Barat ke atas Libya dengan menyifatkannya sebagai tindakan 'tidak bertamadun'. 

“Negara Barat kini melancarkan serangan udara di beberapa kawasan di Tripoli dan Misrata, menyebabkan kemunsahan yang besar ke atas orang awam dan kemudahan asas," katanya dalam sidang media.
“Tindakan biadap ini adalah bertenterangan dengan kehendakan rakyat Libya yang mahu gencatan senjata," katanya.
“Tindakan yang kononnnya untuk melindungi orang awam di Libya adalah bertentangan dengan apa yang berlaku di tempat sasaran malam ini," katanya. 


Al-Zuai mendakwa ramai orang awam diaporkan cedera dan kini memenuhi hospital dengan pihak perubatan sedang bertungkus-lumus memberikan rawatan di tempat pengeboman. - AFP 

Kampung halaman Gaddafi di Sirte turut dibom


SEBAHAGIAN penyokong Presiden Muammar Gaddafi mengibarkan bendera hijau di luar markas kawalan tentera di Bab al-Azizia, di Tripoli, ketika tentera Perancis melancarkan serangan udara ke arah Libya, awal pagi ini. - Foto AFP



2011/03/20

TRIPOLI: Serangan udara yang dilancarkan tentera bersekutu dari Barat awal pagi tadi, turut mengebom kampung kelahiran Presiden, Muammar Gaddafi di
Sirte, lapor agensi berita Jana.
“Serangan udara dan tembakan misil (roket) disasarkan di beberapa kawasan penduduk awam di Zuwarah, Tripoli, Sirte dan Benghazi,” kata jurucakap tentera Libya yang dipetik Jana. Kuasa Barat, awal pagi tadi (waktu malam di Libya) melancarkan serangan udara dan laut terhadap tentera rejim Gaddafi selepas resolusi gencatan senjata diluluskan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), semalam.

Mediterranean kini jadi 'medan perang': Gaddafi





2011/03/20

TRIPOLI: Presiden Libya, Muammar Gaddafi hari ini mengisytiharkan negara Mediterranean itu kini menjadi 'medan peperangan sebenar' berikutan serangan udara yang dilancarkan tentera Barat, awal pagi tadi.

Serentak itu, beliau membuka depot simpanan senjata api untuk digunakan rakyatnya untuk mempertahankan negara itu.
Dalam satu ucapan pendek yang disiarkan stesen televisyen tempatan, sebentar tadi, Gaddafi mengutuk keras serangan tentera Bersekutu ke atas Libya yang disifatkannya sebagai 'tidak bertamadun'.
"Rantau Mediterranean kini menjadi medan perang sebenar," katanya.


“Depot senjata api kini dibuka dan semua rakyat Libya kini dilengkapi senjata untuk mempertahankan negara kita daripada tentera Barat," katanya. - AFP 

Britain sahkan jet pejuangnya serang Libya





2011/03/20

LONDON: Britain mengesahkan pesawat pejuangnya, Tornado melancarkan serangan roket pertama ke atas Libya sebagai sebahagian daripada tindakan yang diluluskan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke atas negara bergolak itu. 

“Saya kini boleh mengesahkan Tentera Udara Diraja (RAF) juga melancarkan roket Stormshadow dari beberapa pesawat pejuang jenis Tornado GR4 ke atas Libya," kata jurucakap tentera Britain, Maj Jen John Lorimer. - AFP

Spesifikasi, latar belakang roket Tomahawk





2011/03/20

BERIKUT latar belakang dan spesifikasi ringkas roket Tomahawk yang digunakan tentera Amerika Syarikat dan yang terbaru digunakan dalam serangan udara dan laut tentera Bersekutu ke atas Libya, awal pagi tadi. 

Fungsi asas: Misil atau roket jarak jauh yang boleh dilancarkan dari udara dan laut untuk sasaran di darat
Kontraktor Pengeluar: Hughes Missile Systems Co., Tucson, Arizona, Amerika Syarikat.

Panjang: 18 kaki 3 inci (5.56 meter); Dengan pelancar kuasa (booster): 20 kaki 6 inci (6.25 meter) 

Berat: 2,650 pound (1192.5 kg); 3,200 pound (1440 kg) dengan pelancar kuasa. 

Ukur lilit: 20.4 inci (51.81 cm) 
Saiz sayap: 8 kaki 9 inci (2.67 meter) 

Jarak tembakan: Serangan darat 600 batu nautika (1,104 km) 

Kelajuan: Tahap 'subsonic' 880 km sejam 

Sistem Panduan: Inertial dan TERCOM 

Tarikh pembuatan: 1983 

Kos: AS$500,000 seunit 

Jumlah keseluruhan pengeluaran: 4,170 unit 

Lebih 110 roket Tomahawk AS, Britain dibedil ke Libya


GAMBAR yang disiarkan Tentera Laut Amerika Syarikat menunjukkan roket Tomahawk dilancarkan dari kapal pemusnah USS Barry (DDG 52) bagi membedil Libya, awal pagi ini. Ia sebahagian daripada 110 roket Tomahawk ditembak ke wilayah bergolak Libya dalam Operasi Odyssey yang membabitkan AS, Britain dan Peranchis. - Foto AFP/Tentera Laut AS 



2011/03/20

WASHINGTON: Tentera Amerika Syarikat dan Britain menembak sekurang-kurangnya 110 roket jenis Tomahawk ke arah Libya bagi melumpuhkan pertahanan udara rejim Presiden Muammar Gaddafi.

Naib Panglima Angkatan Tentera Amerika, William Gortney memberitahu pemberita roket Tomahawk itu dilancarkan oleh kedua-dua kapal perang dan kapal selam milik Amerika dan Britain ke arah 20 sistem penyelarasan pertahanan udara bersama dan kemudahan pertahanan pesisir Libya.
"Roket pertama ditembak jam 1900 GMT diikuti serangan udara yang dilancarkan pesawat pejuang tentera Peranchis," kata Gortney, yang juga pengarah staf bersama tentera Amerika Syarikat.
"Ia adalah fasa pertama daripada pelbagai peringkat operasi serangan," katanya.

"Oleh kerana ketika itu waktu malam di sana (Libya), ia mengambil masa untuk kita mengetahui lebih lengkap kejayaan serangan ini," katanya. - AFP 

48 maut, 15 cedera serangan roket di Libya



SEBAHAGIAN penunjuk perasaan anti-peperangan membawa sepanduk di sekitar Bandaraya Los Los Angeles, California, hari ini sempena memperingati ulang tahun kelapan peperangan Iraq serta mendesak bebaskan Libya daripada peperangan. - AFP 


2011/03/20

TRIPOLI: Stesen televisyen Libya memetik tentera negara itu yang mengesahkan setakat ini 48 maut manakala 15 lagi cedera dalam serangan udara pertama tentera Bersekutu, awal pagi tadi.

Serangan itu membabitkan sepanjang pesisir pantai barat dan timur terutama di
di bandar Zuwarah, Tripoli, Sirte dan Benghazi. - AFP

Satu lagi reaktor nuklear di Jepun bermasalah





2011/03/20

TOKYO: Agensi Keselamatan Nuklear Jepun berkata tekanan di satu lagi rektor nuklear yang rosak kerana tsunami dan gempa bumi minggu lalu kini meningkat yang boleh menyebabkan kebocoran gas radioaktif. 

Pegawai agensi berkenaan, Hidehiko Nishiyama, berkata usaha untuk memasukkan air di Unit 3 reaktor Fukushima Dai-ichi mungkin tidak lagi berkesan.
Beliau berkata pengendali loji berkenaan akan membebaskan sebahagian gas radioaktif dari reaktor berkenaan di udara.
"Ini mungkin akan memperlahankan kerja untuk membaik pulih tenaga dan sistem penyejukan di unit berkenaan," katanya. 

Nishiyama berkata, langkah itu bermakna paras radiasi di sekitar loji berkenaan akan meningkat semula. - AFP 

AS, Britain serang Libya



AS dan Britain telah melancarkan serangan yang disasarkan kepada sistem pertahanan udara Libya, yang mengakibatkan kerosakan yang agak serius.
112 peluru berpandu telah dilancarkan daripada kapal perang dan selam ke 20 lokasi strategik bagi melumpuhkan kekuatan tentera udara Libya.
Sementara itu, pegawai pertahanan AS berkata masih terlalu awal untuk mengulas kesan daripada serangan itu, tetapi menjangkakan ianya telah menjejaskan kekuatan barisan pertahanan tentera udara Libya.

Kesan radiasi dalam susu


SEBUAH gerabak kereta api yang dihanyutkan tsunami 11 Mac lalu masih terdampar di kawasan tanah perkuburan di Onagawa, Miyagi, semalam.
SEBUAH gerabak kereta api yang dihanyutkan tsunami 11 Mac lalu masih terdampar di kawasan tanah perkuburan di Onagawa, Miyagi, semalam.

OSAKA: Pihak berkuasa Jepun semalam mengesan paras luar biasa radioaktif dalam susu dan bayam di kawasan berhampiran loji nuklear yang rosak akibat gempa bumi dan tsunami.
Bagaimanapun, makanan itu tidak mengancam kesihatan manusia, kata Ketua Setiausaha Kabinet kerajaan, Yukio Edano.

Menurutnya, susu yang tercemar itu ditemui di wilayah Fukushima, tempat loji nuklear berkenaan terletak sementara bayam ditemui di Ibaku, wilayah berhampiran.

“Radiasi melebihi tahap yang dibenarkan oleh undang-undang Jepun dikesan,” katanya.

Beliau juga berkata, Kementerian Kesihatan mengarahkan pihak berkuasa di kedua-dua wilayah itu supaya menyiasat tempat produk berkenaan dikeluarkan dan bagaimana ia diedar.

Sementara menunggu hasil siasatan itu, penjualan kedua-dua produk berkenaan digantung.

Edano menggesa pengguna bertenang.

“Kami akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kesihatan rakyat kami terjamin,” katanya.
Beberapa negara Asia sudah mengumumkan langkah untuk memeriksa makanan yang diimport dari negara itu sementara Kesatuan Eropah juga menggesa pemeriksaan serupa dijalankan.

Reaktor nuklear di loji nuklear Dai-ichi di Fukushima mula mengalami kepanasan melampau dan kebocoran radiasi ke udara selepas gempa bumi dan tsunami pada 11 Mac lalu merosakkan sistem penyejukannya.

Pada masa sama, kerajaan mengaku bertindak lewat dalam menangani krisis nuklear itu yang merumitkan lagi keadaan selepas gempa bumi dan tsunami dipercayai menyebabkan lebih 10,000 orang mati dan lebih 400,000 hilang tempat tinggal.

Pekerja kecemasan bertungkus lumus semalam untuk menyejukkan reaktor dan kolam simpanan bahan api dengan menyimbah air dan cuba memulihkan bekalan elektrik.

Edano berkata, krisis itu, walaupun teruk, tetapi tidak bertambah buruk.

“Keadaan di kompleks nuklear itu masih belum dapat diramal. Tetapi sekurang-kurangnya kami menghalangnya daripada bertambah teruk,” kata Edano.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Jepun mengesyorkan rakyatnya yang meninggalkan kawasan berhampiran loji nuklear itu supaya memakan iodin.

Iodin boleh digunakan untuk membantu melindungi mangsa daripada barah kelenjar jika terdedah kepada radiasi. - Agensi
mymetro

Gunung Karangetang mula meletus



JAKARTA 19 Mac - Hampir 600 penduduk yang tinggal berhampiran gunung berapi Karangetang di utara pulau Sulawesi dipindahkan hari ini, selepas pihak berkuasa mengeluarkan amaran kecemasan berikutan letusannya Jumaat lalu.
Menurut ahli vulkanologi, Kristianto, penduduk tiga kampung terlibat tinggal kira-kira empat kilometer dari barat puncak gunung berapi itu, yang mula memuntahkan lahar serta membentuk awan panas.
"Proses memindahkan semua penduduk telah selesai. Gunung berapi itu juga masih dalam fasa letupan.
"Kami turut mengesan aliran lahar sejauh 1,800 meter," katanya. - AFP

Jet tempur ditembak, terhempas



BENGHAZI 19 Mac - Sebuah pesawat tempur jenis MIG-23 ditembak jatuh hari ini di kubu kuat pemberontak, Benghazi, menyebabkan ia terhempas.
Pesawat tersebut melayang-layang di udara selepas beberapa minit ditembak dan terbakar di bahagian sayap kanannya sebelum jatuh terhempas di kawasan kediaman di selatan bandar itu.
Juruterbangnya bagaimanapun berjaya keluar daripada pesawat sebelum ia terhempas.
Menurut Institut Pengajian Strategik Antarabangsa di London, pesawat jenis MIG-23 buatan Rusia itu digunakan dalam perkhidmatan tentera Libya.
Bagaimanapun, pemberontak Libya mengakui pesawat yang terhempas itu milik mereka dan ia terhempas selepas diserang tentera Libya. - AFP

Tentera Gaddafi cabul gencatan senjata



Sebuah jet pejuang Libya menjunam ke bumi (kiri) selepas ditembak di kubu kuat pemberontak, di Benghazi, Libya semalam sebelum terhempas (bawah) dan menghasilkan kepulan asap hitam. - AFP


BENGHAZI 19 Mac - Tentera yang setia kepada pemimpin Libya, Muammar Gaddafi hari ini melancarkan dua serangan udara ke atas bandar Benghazi, kawasan kubu kuat pemberontak.
Tentera kerajaan turut melepaskan tembakan meriam secara berterusan sehingga kelihatan asap tebal di ruang udara di selatan bandar ini.
Stesen al-Jazeera melaporkan, seramai 26 maut, sementara lebih 40 yang cedera kini dirawat di sebuah hospital di Jala, di sini.
Beberapa letupan kuat turut didengari dari tengah bandar Benghazi, ketika pesawat tentera terbang rendah dan ruang udara bandar ini diselubungi asap hitam.
Serangan balas tembakan mortar kedengaran dan trak-trak membawa mesingan dapat dilihat di jalan raya di Benghazi selepas bunyi tembakan dan letupan berterusan sepanjang malam tadi.
Serangan udara pertama berlaku pada pukul 7.20 pagi (1.20 petang waktu Malaysia) diikuti serangan kedua kira-kira 20 minit kemudian, tetapi identiti pesawat yang melancarkan serangan itu tidak diketahui.
Pada pukul 8.17 pagi waktu tempatan, siri letupan kecil dipercayai dari roket Katyusha mencetuskan sekurang-kurangnya tujuh lagi asap hitam kecil di selatan bandar ini.
Pada pukul 8.40 pagi waktu tempatan, pesawat tentera terbang rendah di tengah bandar ini dan beberapa letupan besar.
Serangan udara itu dilancarkan selepas kerajaan Libya mengumumkan gencatan senjata berikutan langkah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) membenarkan penggunaan tentera untuk menghalang operasi oleh Gaddafi ke atas pemberontak dan penduduk awam. - AFP

Serangan tentera Gaddafi di Zintan



20/03/2011 2:27am

KAHERAH 20 Mac – Penduduk di bandar Zintan yang dikuasai pemberontak melarikan diri apabila tentera setia Gaddafi memasuki bandar itu, 120 kilometer barat daya Tripoli, lapor seorang penduduk.
Seorang penduduk memberitahu kepada AFP menerusi telefon bahawa kereta kebal tentera yang setia kepada Gaddafi berada dua dan tiga kilometer di selatan bandar Zintan.
“Mereka melancarkan serangan pada waktu malam dengan melepaskan tembakan dari kereta kebal dan senapang secara berterusan sehingga awal pagi,” kata seorang penduduk. – AFP

Jet pejuang negara bersekutu halang Gaddafi



20/03/2011 2:27am

BENGHAZI, Libya 20 Mac – Jet pejuang negara bersekutu kini dalam perjalanan bagi menghentikan tindakan Muammar Gaddafi yang menyerang bandar Benghazi yang dikuasai pemberontak, kata Presiden Perancis, Nicola Sarkozy hari ini.
Pihak tentera Gaddafi memasuki pinggir bandar Benghazi yang mempunyai penduduk seramai 670,000 pada pagi ini dalam usaha untuk membantutkan serangan udara Barat selepas persidangan pemimpin Barat dan Arab di Paris.
Namun, sejurus persidangan itu selesai, Sarkozy mengumumkan pasukan tentera udara negara bersekutu telah memulakan misi menghalang tindakan Gaddafi. – Reuters

Radioaktif turut dikesan dalam air paip


SEBUAH bot ditemui terkandas dekat jalan utama di Natori selepas gempa bumi dan tsunami yang melanda sebahagian Jepun, minggu lalu. - Foto Sairien Nafis
BHARIAN

20/03/2011 2:27am

OSAKA 20 Mac – Sebaran iodin radioaktif telah dikesan di dalam air paip di Tokyo hari ini, kata pihak kerajaan.
Paras radioaktif yang tidak normal turut dikesan di dalam bekalan air di pusat wilayah Gunma, Tochigi, Saitama, Chiba dan Niigata, lapor seorang pegawai di kementerian sains yang mengawal paras radiasi.
Bagaimanapun, paras radiasi tersebut tidak melebihi tahap yang membimbangkan.
Sebelum ini, kerajaan telah mengesan sebaran radiasi yang melebihi daripada tahap yang sepatutnya pada sayur bayam dan susu namun ia tidak mengancam manusia. – AFP

Pemimpin negara Arab, AS, Barat bincang tindakan ketenteraan





2011/03/20

PARIS: Pemimpin negara Arab, Amerika Syarikat dan negara Barat lain mengadakan pertemuan di sini semalam bagi membincangkan kemungkinan melancarkan tindakan ketenteraan terhadap pasukan tentera pemimpin Libya, Muammar Gaddafi. 

Duta Perancis ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Gerard Araud, berkata beliau menjangka tindakan ketenteraan itu akan dilancar beberapa jam selepas mesyuarat membuat keputusan.
Mesyuarat berkenaan menyusuli resolusi Majlis Keselamatan PBB yang membenarkan masyarakat antarabangsa melancarkan tindakan untuk melindungi orang awam di Libya.
Sementara itu, Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) turut mengadakan mesyuarat tergempar untuk menyemak rancangan yang menguatkuasakan zon larangan terbang di ruang udara Libya. 

Majlis NATO dijangka mengeluarkan arahan untuk melancarkan operasi berkenaan dalam beberapa hari lagi. Pegawai badan itu berkata kakitangan tentera sedang menyempurnakan rancangan untuk mengerah berpuluh-luluh jet pejuang, jet pengebom, helikopter dan pesawat pemantauan di selatan Eropah. 

Mesyuarat majlis NATO itu dihentikan semalam untuk menanti keputusan mesyuarat di Paris berkenaan. 

Amerika Syarikat (AS) mempunyai beberapa pasukan tentera dan kapal tentera laut di kawasan berhampiran Libya, termasuk kapal selam, kapal perang, kapal tempur dan kapal mendarat. 
Pegawai AS belum mendedahkan peranan yang bakal dimainkan negara kuasa besar itu tetapi Presiden Barack Obama berkata ia tidak akan membabitkan tentera darat. 

Pesawat AWACS milik NATO sudah pun memantau sepanjang 24 jam sehari ruang udara di atas pesisir pantai Libya bagi memberi laporan perkembangan di ruang udara dan medan perang negara Afrika Utara itu. 

Penganalisis berkata pesawat yang akan menguat kuasa zon larangan terbang itu akan menggunakan pangkalan di Sigonella, Sicily, Aviano di utara Itali, Istres di selatan Perancis dan Ventiseri-Solenzara di Corsica. – AFP 

Timbus loji langkah terakhir





2011/03/20

 PEKERJA menyembur air untuk menyejukkan rod bahan bakar di loji nuklear  Fukushima, Daiichi.
PEKERJA menyembur air untuk menyejukkan rod bahan bakar di loji nuklear Fukushima, Daiichi.
300 jurutera berusaha pulihkan bekalan tenaga untuk elak malapetaka 

TOKYO: Jurutera yang kepenatan terus berusaha menyambungkan kabel tenaga di luar loji nuklear Jepun yang rosak teruk akibat gempa bumi sebagai cubaan untuk mengepam air bagi menyejukkan rod bahan bakar dan mencegah penyebaran radiasi, kelmarin dan semalam.
Pengkabelan di dalam loji itu masih berjalan dalam usaha menghidupkan pam air yang perlu bagi menyejukkan batang bahan bakar yang terlalu panas di enam rektor di loji Fukushima, Daiichi yang terletak 240 kilometer di utara Tokyo.
Di dalam zon pengosongan itu, seramai 300 jurutera bertungkus lumus cuba memberi tumpuan untuk mencari jalan bagi memulihkan bekalan tenaga bagi mengepam empat rektor. 

Mereka berjaya menghidupkan pam diesel yang digunakan untuk menyejukkan rektor Unit 5, kata pihak berkuasa. 

“TEPCO berjaya menghubungkan laluan transmisi luar dengan titik penerima di loji dan mengesahkan bekalan elektrik boleh disalurkan,” kata pengendali loji, Tokyo Electric Power Co (TEPCO) dalam satu kenyataan. 

Kabel sepanjang 1,480 meter terletak dalam kompleks itu sebelum jurutera cuba menghidupkan penyejuk di rektor Unit 2, diikuti Unit 1, 3 dan 4, hujung minggu ini, kata pegawai syarikat itu. 
“Jika mereka berjaya menyejukkan rektor itu dan menjalankannya, ini akan menjadi langkah ke arah penstabilan loji ini,” kata pakar nuklear Kumpulan Perunding FocalPoint yang berpangkalan di Amerika, Eric Moore. 

“Bekalan tenaga adalah keperluan utama. Ia mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk menstabilkan rektor itu dan penstabilan yang sebenarnya akan mengambil masa lebih lama,” kata bekas presiden Institut Teknologi Nuklear Jepun, Michio Ishikawa. 

Bagaimanapun jika cara itu gagal, satu lagi pilihan ialah menimbus rektor berusia 40 tahun itu dengan pasir dan konkrit bagi mengelakkan malapetaka pembebasan radiasi, cara yang digunakan dalam tragedi Chernobyl pada 1986.

Sehingga kini, krew masih menggunakan cara menyembur air dari jentera bomba, meriam air dan helikopter untuk cuba menghentikan kecairan. 

“Saya dengan rendah hati memohon maaf kerana kesukaran ini. Walau ia berlaku disebabkan malapetaka semula jadi saya tetap menyesal,” kata Ketua Eksekutif TEPCO, Masataka Shimizu dipetik akhbar Mainichi Shimbun. – Reuters/Agensi. 

Tentera Gaddafi tembak jatuh pesawat penentang





2011/03/20


  • Foto
    PENYOKONG Gaddafi melaungkan slogan memprotes di luar hotel di mana wartawan asing menginap di Tripoli, semalam.
  • Foto
    GAMBAR menunjukkan sebuah pesawat terbakar dan jatuh setelah ditembak di Benghazi, menyebabkan api dan asap tebal menjulang naik ke udara, setelah pasukan tentera Gaddafi melancarkan serangan ke atas pemberontak.
Serangan udara muncul ketika kerajaan Libya timbang laksana gencatan senjata

BENGHAZI: Pesawat tentera setia kepada Muammar Gaddafi melakukan dua serangan udara ke atas kubu pemberontak di barat daya bandar ini awal pagi semalam dan asap tebal dilihat menjulang dari kawasan yang disasarkan, walaupun pemimpin Libya itu ditekan negara Barat agar mengadakan gencatan senjata.
Sementara itu, kumpulan pemberontak mengesahkan pesawatnya ditembak jatuh di sini oleh pasukan Gaddafi dalam insiden dramatik yang dirakam kamera di tengah-tengah bandar dikuasai pemberontak ini.
“Ya, ia adalah salah satu daripada pesawat kami. Ia ditembak jatuh oleh tentera Gaddafi,” kata seorang pegawai kanan pemberontak.

Sementara itu, pesawat dapat didengar awal pagi semalam terbang di atas pusat bandar, di mana letupan dan tembakan meriam antipesawat kedengaran sepanjang malam.

Serangan udara pertama muncul pada jam 5.20 pagi waktu tempatan, diikuti serangan kedua 20 minit kemudian, menghasilkan asap hitam tinggi menjulang yang terus berada di langit hampir setengah jam kemudian.

Pada jam 8.17 pagi, satu siri letupan kecil, kemungkinan dari roket Katyusha, menghasilkan sekurang-kurangnya tujuh letusan kecil asap hitam di selatan bandar ini. 
Serangan udara itu muncul ketika kerajaan Libya berkata ia sedang menimbangkan untuk mengadakan gencatan senjata yang diumumkan sejurus selepas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meluluskan resolusi untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di ruang udara Libya.

Namun tentera pemberontak yang cuba menggulingkan pemimpin Libya berkata tentera Gaddafi terus mengebom bandar, ketika mencadangkan gencatan senjata.

Di TRIPOLI, Timbalan Menteri Luar Libya menafikan melancarkan serangan ke atas Benghazi dan berkata tentera kerajaan tidak akan melanggar gencatan senjata.

“Pasukan bersenjata kini terletak di luar bandar Benghazi dan kami tiada hasrat memasuki Benghazi,” kata Khaled Kaaim kepada media.

Kaaim juga menggesa pengerahan segera pemantau asing, menyatakan jika tidak “tuduhan dan tuduhan balas tidak akan berhenti.” – AFP

Mimpi ngeri nuklear Jepun






PEMBUNUHAN Alexander Litvinenko, 44, pada penghujung tahun 2006 menjadi kisah sensasi dunia perisikan. Litvinenko, seorang ejen badan perisikan Rusia, KGB, jatuh sakit pada 1 November 2006 selepas makan di sebuah restoran sushi di London. Dia baru sahaja menerima bukti tentang satu kes pembunuhan lain semasa makan di situ.
Pada 3 November, kesihatan Litvinenko bertambah buruk dan dia terpaksa dikejarkan ke Hospital Barnet di London. Pihak berkuasa Britain mengenal pasti bahawa Litvinenko telah diracun menggunakan bahan radioaktif polonium-210.
Gambarnya di hospital menunjukkan dia berkepala botak dan kelihatan tenat. Dia meninggal dunia tiga minggu kemudian.
Pembunuhan Litvinenko dikatakan mirip kisah dalam filem Hollywood bahkan ia didakwa sengaja dirancang oleh pihak berkuasa Rusia sendiri.
Insiden yang dialami Litvinenko boleh dikatakan merupakan kes keracunan bahan radioaktif terbaru yang menarik perhatian dunia sebelum beberapa siri letupan loji nuklear berlaku di Jepun lebih seminggu lalu. Loji nuklear Fukushima Daiichi meletup selepas utara Pulau Honshu dilanda tsunami sekali gus mendedahkan penduduk Negara Matahari Terbit itu kepada radiasi yang dikhuatiri boleh mengancam nyawa.
Radiasi boleh ditemui secara semula jadi di persekitaran hidup manusia. Haba, cahaya dan ketuhar mikro semuanya menghasilkan radiasi tetapi tidak berbahaya kepada tubuh manusia.
Menurut Pusat Pencegahan dan Kawalan Penyakit Amerika Syarikat (AS), kira-kira 80 peratus radiasi datang daripada sumber semula jadi manakala selebihnya daripada sumber buatan manusia terutama mesin sinaran X di hospital.
Semasa letupan nuklear, manusia terdedah kepada jumlah radiasi yang tinggi dalam tempoh yang singkat dan boleh menyebabkan sindrom radiasi akut.
Bagaimanapun, insiden di Fukushima dikatakan tidak memberi kesan langsung kepada penduduk Tokyo apatah lagi Malaysia yang terletak sejauh 6,000 kilometer dari Jepun.

KEROSAKAN teruk pada bangunan loji nuklear yang meletupkan reaktor akibat tsunami menjadi kebimbangan Jepun dan negara serantau.


Ini diakui oleh Ketua Program Sains Nuklear, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Redzuwan Yahaya.
Redzuwan yang lebih suka menggunakan perkataan sinaran berbanding radiasi memberitahu, sinaran nuklear tersebut tidak mendatangkan kesan terhadap manusia seperti kebarangkalian mendapat kanser dan menyebabkan kematian.
“Bagi rakyat di Jepun, sinaran tersebut tidak berbahaya kerana penyebarannya adalah kecil. Inikan pula kita yang berada jauh di Malaysia,” katanya kepada Jurnal.
Tahan 30 tahun
Menurutnya, sememangnya sinaran nuklear tersebut akan tersebar dan wujud di udara dalam tempoh masa yang lama tetapi ia tidak memberikan kesan. Sebagai contoh, bahan radioaktif paling berisiko daripada 250 bahan radioaktif lain seperti caesium dan strontium.
Dua bahan radioaktif ini dikatakan jika tersebar di ruang udara mampu bertahan selama 30 tahun.
Namun di Jepun, kesan sinaran nuklear yang tersebar hanya diibaratkan seperti rakyatnya menjalani satu rawatan sinaran X. Itu pun jika mereka duduk di luar sepanjang hari untuk beberapa hari tanpa perlindungan.
SEORANG petugas perubatan menggunakan alat pengukur radiasi Geiger di Niigata, Jepun pada 16 Mac lalu.


Bagaimanapun, Redzuwan yang berpengalaman selama hampir 20 tahun mengajar dalam bidang sains nuklear juga tidak menolak sinaran nuklear pada paras tertentu boleh membahayakan kesihatan dan nyawa manusia.
Antara yang mungkin terjadi, jika kesan sinaran berukuran 100 rems, ia akan merosakkan sistem peredaran darah dan menyebabkan sel limposit dalam darah berkurangan.
“Pendedahan kepada sinaran berukuran 200 rems pula akan mengakibatkan keguguran rambut dengan cepat, kerosakan saluran usus yang menyebabkan mual, muntah-muntah dan cirit birit,” katanya.
Mandul
Pada kekuatan ini juga ia boleh menjejaskan sistem peranakan wanita.
Ujarnya, sinaran nuklear yang berukuran 1,000 rems pula akan mengakibatkan kerosakan pada pembuluh darah.
Bagi mereka yang terdedah secara langsung terhadap sinaran berukuran lebih 5,000 rems pula akan menyebabkan sel otak rosak. Lebih teruk lagi, ia boleh menyebabkan perubahan pada asid deoksiribonukleik (DNA) sehingga menyebabkan kematian.
Ulasnya, disebabkan itu pekerja yang bekerja di kawasan teknologi nuklear untuk tempoh masa yang lama akan dipindahkan ke bahagian dalam pejabat bertujuan untuk menghilangkan atau mengurangkan kesan sinaran yang mungkin terkena semasa bekerja.
Redzuwan juga menolak kemungkinan kesan sinaran di Jepun akan meningkat dan menyamai kesan sinaran akibat letupan kuat loji nuklear Chernobyl di Ukraine pada 26 April 1986.
FUKUSHIMA merupakan wilayah paling aktif dengan industri nuklear di Jepun.


Tragedi Chernobyl menyebabkan 32 orang terbunuh akibat kesan langsung keracunan radiasi sementara 8,000 yang lain mengalami kesan pencemaran radioaktif akibat bahan radioaktif tersebar ke udara sehingga ke barat Eropah.
“Kebiasaannya kesan radioaktif hanya berlaku di kawasan lingkungan yang terlibat malah kesan tersebut tidak akan mencecah tahap yang lebih tinggi kerana Jepun telah pun melakukan tindakan bagi menyejukkan loji jana kuasa nuklear yang lebur dengan mencurahkan air laut ke dalam loji dengan menggunakan helikopter,” katanya.
Menerangkan lebih lanjut mengenai loji nuklear tersebut, Redzuwan memberitahu, apabila loji nuklear tersebut lebur ia akan mengeluarkan tiga jenis bahan radioaktif ke udara iaitu caesium, iodin dan strontium.
Ulasnya, selepas seminggu letupan itu berlaku, loji nuklear tersebut masih panas ibarat seperti memasak 620,000 biji telur dalam masa tiga minit sekali gus menyebabkan penyebaran sinaran nuklear. Namun begitu, Jepun sedang bertungkus-lumus berusaha untuk menyejukkan loji nuklear tersebut.