Pages

Thursday, July 31, 2014

Harimau semakin pupus di negara-negara Asia



GAMBAR fail menunjukkan empat lelaki ditahan pada Januari 2011 ketika cuba menjual kulit harimau dan beberapa organ haiwan tersebut di Chandrapur, India.


NEW DELHI - Secara purata hampir dua ekor harimau dibunuh dalam tempoh seminggu di negara-negara Asia disebabkan permintaan tinggi, lapor Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF).
Senario itu menjadi ancaman terbesar bagi harimau disebabkan kekurangan maklumat tepat mengenai spesies berkenaan di beberapa negara, lapor agensi media, Press Trust of India (PTI).
Statistik yang dibuat oleh pihak pengurusan hidupan liar menunjukkan hampir 1,590 ekor harimau telah dibunuh antara Januari tahun 2000 dan April 2014, namun jumlah tersebut dikatakan akan meningkat dari semasa ke semasa.
"Kami bimbang sekiranya negara berkenaan tidak menyimpan data mengenai haiwan ini, mereka akan lebih terdedah kepada pencerobohan tanpa mereka sedari," kata wakil WWF.
Negara seperti India, Nepal dan Rusia menjadi antara negara yang mengemas kini maklumat mengenai populasi haiwan liar tersebut.
Bagaimanapun, rekod populasi harimau di Malaysia, Indonesia, Thailand, Myanmar, Laos, Kemboja dan Vietnam tidak dikemas kini dengan betul, ujar wakil WWF.
Secara keseluruhan, jumlah populasi harimau di seluruh dunia dianggarkan cuma 3,200 ekor pada tahun 2010.
"Sekitar tahun 2010, banyak negara tidak membuat kaji selidik harimau secara sistematik.
"Kini kami cuba sedaya upaya untuk mendapatkan maklumat sehingga kami berjaya mengenal pasti jumlah sebenar haiwan liar ini termasuk habitat selain berusaha untuk memberi pelindungan kepada mereka," kata Ketua WWF Inisiatif Mengekalkan Harimau Liar, Michael Baltzer. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0731&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz392dLgYaG 
Hakcipta terpelihara 

Pepatung gergasi gemparkan penduduk



IMEJ seekor pepatung gergasi sebesar 20sm berjaya dirakamkan di tingkap dapur rumah Rowena Wilkinson di Weston Turville, Buckinghamshire, baru-baru ini.


BUCKINGHAMSHIRE - Penduduk di kawasan Buckinghamshire di sini gempar apabila menemui seekor pepatung gergasi di kawasan mereka, lapor portal Metro.co, kelmarin.
Imej seekor pepatung gergasi sebesar 20 sentimeter (sm) berjaya dirakamkan oleh seorang penduduk, Rowena Wilkinson, 53, ketika serangga itu hinggap di tingkap rumahnya di Weston Turville.
Serangga berwarna hitam kelabu itu ditemui oleh anaknya, Molly, 24, di bahagian dapur sebelum dia menjerit ketakutan.
"Saya terdengar suara anak saya menjerit sebelum mendapati seekor pepatung gergasi sedang terbang," kata Wlkinson yang turut sama ketakutan.
Menurutnya, serangga itu mengeluarkan bunyi yang sangat bising seperti helikopter mini dan kelihatan seperti raksaksa.
Pepatung gergasi itu akhirnya dihalau keluar menerusi tingkap dapur selepas imejnya berjaya dirakamkan.
"Situasinya sama seperti berhadapan dengan labah-labah dan kami seperti tidak percaya dengan saiznya yang begitu besar," kata Wilkinson. -Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0731&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz392YhNwbN 
Hakcipta terpelihara 

Lima beradik jalan merangkak


LIMA daripada 19 beradik keluarga Ulas perlu merangkak untuk bergerak. - AGENSI
ANKARA 30 Julai - 'Merangkak' dengan menggunakan kedua-dua belah tangan dan kaki mungkin agak lucu, namun perkara itu benar-benar berlaku dan dialami sebuah keluarga Turki yang menggunakan kaedah tersebut sebagai satu-satunya cara mereka untuk bergerak.
Lima daripada 19 beradik keluarga Ulas dari wilayah Hatay menderita penyakit misteri itu yang membuatkan mereka hilang keseimbangan dan kestabilan sekiranya berdiri tegak sekali gus memaksa mereka merangkak untuk bergerak.
Keluarga itu hanya menyedari keganjilan tersebut pada tahun 2005 selepas 14 daripada anggota keluarga tersebut didapati normal, manakala lima lagi berjalan dengan cara merangkak.
Portal Oddity Central melaporkan, keadaan itu membuatkan saintis bingung tentang penyakit yang dialami lima adik beradik tersebut.
Adik-beradik Ulas pernah muncul dalam dokumentari filem BBC, The Family That Walks On All Fours pada 2006.
Dokumentari itu mendedahkan, daripada lima beradik, dua perempuan dan seorang lelaki bergerak dengan cara merangkak sejak lahir, sementara masing-masing seorang lelaki dan perempuan boleh berjalan dengan tegak pada masa-masa tertentu.
"Keadaan mereka agak pelik berbanding perkembangan manusia normal. Namun, saya kagum kerana mereka boleh menyesuaikan diri dengan dunia moden," kata pensyarah Nicholas Humphrey yang melawat keluarga Ulas sebanyak dua kali sepanjang pembikinan dokumentari itu. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140731/lu_05/Lima-beradik-jalan-merangkak#ixzz38zbhvB9v
© Utusan Melayu (M) Bhd