Pages

Wednesday, August 26, 2015

Mesej dalam botol tertua di dunia ditemui di Jerman

SELASA, 25 OGOS 2015 @ 8:38 AM

POSKAD dalam botol yang terdampar dekat pantai di Jerman. - Foto AP


PULAU AMRUM: Saintis berkata mesej dalam botol yang terdampar dekat pantai di Jerman berkemungkinan mesej tertua seumpamanya di dunia. Botol itu ditemui seorang wanita ketika dia sedang berjalan di tepi pantai di Pulau Amrum dekat Laut Utara, Jerman, April lalu. Poskad dalam botol itu antara lain meminta sesiapa saja yang menemuinya untuk memulangkannya semula kepada Persatuan Biologi Marin United Kingdom (UK). Ditulis dalam bahasa Jerman, Belanda dan Inggeris, nota itu turut menjanjikan ganjaran sebanyak satu syiling kepada sesiapa saja yang memulangkannya. Mengikut persatuan itu, botol berkenaan dihanyutkan oleh pengkaji terkemuka, George Parker Bidder pada awal tahun 1900 sebagai sebahagian daripada kajian marin mengenai arus lautan. Bidder menghanyutkan lebih 1,000 botol antara tahun 1904 dan 1906. Botol itu direka untuk terapung supaya ia boleh dibawa arus laut dalam. Persatuan Biologi Marin sudah mengemukakan mesej dalam botol itu untuk diiktiraf Guinness Book of World Records sebagai yang tertua di dunia. Rekod dunia sedia ada milik mesej yang ditemui di barat Kepulauan Shetland pada Julai 2013. Mesej itu berusia 99 tahun dan 43 hari. -AGENSI

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77125

Remaja Hamil Disahkan Mati, Didakwa Hidup Semula


Diterbitkan: Rabu, 26 Ogos 2015 7:15 AM

SEORANG remaja yang telah disahkan meninggal dunia, hidup semula selepas dia dikebumikan selama sehari di Honduras.
Neysi Perez, 16, dikebumikan dalam keranda dan simen konkrit sebelum bapanya, Rudy Gonzales terdengar jeritan dari kubur anak wanita itu ketika menziarahi pusara berkenaan.
Bagaimanapun apabila kuburnya digali semula, ahli keluarga mangsa mendapati Neysi tidak lagi bernyawa manakala kaca pada kerandanya telah pecah.
Selain itu, ahli keluarga remaja itu mendapati tangan mangsa berdarah dipercayai akibat mengetuk keranda berkenaan.
Gonzales memberitahu, anak perempuannya yang sedang hamil terjatuh di rumah ketika ingin ke tandas.
Jelasnya, apabila dibawa ke hospital, doktor mengesahkan remaja berkenaan telah meninggal dunia sebelum mereka mengkebumikan wanita berkenaan.

Senapang terbang

Riyadh: Dalam filem Harry Potter anda boleh melihat aksi ahli sihir terbang dengan menggunakan penyapu ajaib, tetapi lain pula ceritanya dengan sekumpulan individu di negara ini.
Kumpulan berkenaan mempunyai satu hobi yang pelik iaitu ‘terbang’ dengan menggunakan senapang.
Hobi ekstrem itu mula popular sejak beberapa bulan lalu dan sekumpulan pemuda berkumpul hampir setiap minggu untuk melakukan aktiviti berkenaan.
Jurugambar, Mohamed Al Hwaity merakam aktiviti kumpulan berkenaan.
Mohamed berkata, hobi itu sangat bahaya kerana mereka menggunakan senapang dan peluru hidup.
Menurutnya, kumpulan itu biasanya berkumpul di satu kawasan lapang yang luas dan meletakkan permaidani di atas tanah.
“Mereka akan memegang senapang secara terbalik dan menghalakan muncung senjata itu ke tanah.
“Selepas memegang senapang dengan erat, mereka akan melompat sambil menarik picu.
“Daya tujah akibat letupan senapang itu menolak mereka lebih tinggi ke udara seperti sedang terbang,” katanya.
Menurutnya, aktiviti itu sangat bahaya kerana peluru boleh mengenai kaki atau mereka yang berada berhampiran kawasan berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 8:00 AM


AKSI seorang lelaki yang ‘terbang’ dengan menggunakan senapang.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/72989#sthash.0jZHTvfN.dpuf

Tuhan kena tukar nama

Surabaya: Majlis Ulama Indonesia (MUI) mahu seorang lelaki yang bernama Tuhan menukar namanya kerana nama itu tidak layak diberi kepada manusia.
Ketua MUI Jawa Timur, Abdussomad Bukhori berkata, mengikut agama Islam penggunaan nama Tuhan pada manusia adalah tidak tepat.
“Tuhan disembah oleh manusia dan sebab itu nama itu tidak sesuai diberi kepada manusia kerana boleh menyebabkan syirik.
“Nama Tuhan hanya boleh digunakan sekiranya ada penambah nama di awal seperti Abdullah yang bermakna hamba Allah,” katanya.
Abdussomad mendesak lelaki itu menukar namanya dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas sekiranya dia masih berdegil.
“Sekiranya dia masih enggan menukar nama saya menggesa pihak berkuasa tidak mengeluarkan kad pengenalan kepadanya,” tegasnya.
Sementara itu, Tuhan berkata, dia tetap bertegas enggan menukar namanya kerana yakin ibu bapanya memberi nama itu atas sebab yang baik.
“Sekiranya nama saya ditukar, semua dokumen seperti kad pengenalan, surat nikah dan dokumen lain perlu juga ditukar,” katanya.
Bapa kepada dua anak ini juga melihat tiada keperluan untuk menukar namanya kerana nama itu tidak pernah mendatangkan masalah kepadanya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 7:48 AM

KAD pengenalan diri milik Tuhan.

Tangan bayi pramatang sebesar cincin


AGENSI - tangan Mollie (dalam bulatan) muat untuk disarung cincin perkahwinan ibu bapanya.


HULL, Britain – Seorang bayi perempuan yang dilahirkan pramatang memiliki saiz badan sangat kecil sehingga tangannya muat dengan cincin perkahwinan bapanya.
Mollie Perrin yang dilahirkan pada 27 April lalu iaitu 13 minggu lebih awal telah disahkan menghadapi masalah pada plasenta ketika dalam kandungan.
Doktor memberitahu kedua-dua ibu bapanya, Stephanie, 34, dan James, 38, bahawa bayi mereka mungkin tidak akan hidup melebihi tiga minggu.
Sejurus dilahirkan, Mollie dengan berat hanya 482 gram dan lebih kecil daripada satu pek gula telah dikejarkan ke pusat rawatan neonatal.
Dia bagaimanapun berjaya mencabar jangkaan doktor apabila pada usia tiga minggu, ibu bapanya sudah boleh memegangnya untuk kali pertama. Kini, pada usia 17 minggu, Mollie sudah boleh dibawa pulang ke rumah.
“Saya tidak percaya Mollie akhirnya kembali kepada kami untuk dibawa pulang,” ujar James. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0826&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz3jsNpkCou 
Hakcipta terpelihara 

Karavan klasik jadi rumah mewah bergerak



AGENSI - KARAVAN klasik ini telah diubah suai menjadi rumah mudah alih mewah untuk ke pelbagai destinasi.


COLORADO, Amerika Syarikat – Sebuah syarikat di sini telah mengubah suai sebuah karavan klasik menjadi rumah mudah alih yang mewah dengan reka bentuk hiasan terkini.
Kenderaan pada tahun 1965, Whale Tail atau turut dikenali sebagai Orvis Airstream itu dahulunya digunakan sebagai rumah tumpangan untuk memburu dan memancing di Tasik Goose, Oregon.
Bagaimanapun, selepas diubah suai, karavan berkilat dan klasik itu sedia untuk apa juga perjalanan.
Pokok Hickory semula jadi telah digunakan sebagai perabot dalam kenderaan itu, manakala lantai daripada pokok oak tua melengkapkan kepingan tembaga vintaj pada ruang udara untuk memasak.
Ruang makan pula dilengkapi dengan kerusi daripada kulit asli dan menawarkan pemandangan menarik melalui tingkap yang besar.
Dengan ruang yang terhad, bilik tidur utama pula direka lengkap dengan kemudahan simpanan tambahan di bawah tilam.
“Kenderaan klasik dengan kemasan mewah sebesar ini dijual pada harga sekitar AS$250,000 (RM1.05 juta) ” ujar Eksekutif Akaun syarikat Timeless Travel Trailers, Chris Gartenmann. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0826&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3jrtmlXcp 
Hakcipta terpelihara