Pages

Wednesday, July 9, 2014

Kejutan di surau MRSM

Mohamad menunjukkan muka surat al-Quran yang didapati kehilangan beberapa ayat suci ketika ditemui di rumahnya di Kampung Neting.
Mohamad menunjukkan muka surat al-Quran yang didapati kehilangan beberapa ayat suci ketika ditemui di rumahnya di Kampung Neting.
TUMPAT - Warga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tumpat, di sini, menerima kejutan apabila mendapati beberapa ayat suci hilang daripada al-Quran milik surau di institusi pengajian peringkat menengah itu.

Imam solat terawih di surau MRSM Tumpat, Mohamad Deraman berkata, dua muka surat al-Quran terbabit yang didapati hilang adalah surah Al-Fatihah dan surah Al-Baqarah.

Menurutnya, ketika meneliti al-Quran bersaiz 4x8 inci itu, dia mendapati ayat 1 hingga 7 surah Al-Fatihah hilang manakala pada surah Al-Baqarah pula, ayat 1 hingga 4 didapati hilang.

"Pada surah Al-Fatihah, yang tinggal hanya kalimah ALLAH dan bunga-bunga akhir ayat. Pada surah Al-Baqarah pula, tinggal hanya perkataan ALLAH dan Robbihin, iaitu nama-nama ALLAH.

"Saya harap perkara ini tidak disalah tafsir, sebaliknya diambil sebagai peringatan oleh seluruh umat Islam agar memperbanyakkan amalan membaca al-Quran," katanya.

Kejadian itu turut disedari oleh salah seorang pelajar MRSM Tumpat ketika ingin membaca al-Quran itu pada hari ketiga Ramadan.

Al-Quran berusia lebih 10 tahun itu diserahkan kepada Mohamad yang merupakan bekas imam Masjid As-Somadi, Geting, dekat sini dan disimpan di rumahnya di Kampung Neting.

Kata Mohamad, ini kali kedua dia melihat kejadian ayat al-Quran hilang kerana kejadian sama pernah dilalui ketika belajar di Pondok Pasir Tumboh pada 1998.

Kenangan terindah untukmu...

Kenangan terindah untukmu...
USAHA seorang bapa yang sedang melawan penyakit kanser pasti menyentuh perasaan sesiapa sahaja apabila beliau sentiasa merakamkan detik indah bersama anaknya yang berusia lapan bulan.

Darren Mullery penghidap kanser pankreas sedaya upaya sedang melawan penyakitnya apabila beliau dinasihatkan supaya berhenti mengambil sebarang ubat.

“Saya merakam semua detik indah bersama Noelle supaya dia boleh melihat bagaimana saya melawan penyakit ini selepas kematian saya. Hanya rakaman video ini yang saya tinggalkan untuk diwarisi,” katanya.

Di sebalik kecekalan itu, beliau juga sedaya upaya berjuang untuk meneruskan kehidupan dam memaksimumkan masa mereka bersama-sama.

Darren disahkan menghidap kanser pankreas pada malam ulang tahun perkahwinan mereka yang ke-39 pada Ogos lalu.

Ketika itu, isterinya Danielle sedang sarat mengandung empat bulan dan merupakan cahaya mata mereka yang pertama.

“Ketika mengetahui berita itu, saya hampir putus asa. Ketika itu doktor mengesahkan kanser saya berada pada tahap kritikal dan tidak boleh diubati. Saya juga dinasihatkan supaya tidak mengambil sebarang ubat kerana platelet yang begitu rendah,” katanya.

Pada 12 Disember tahun lalu, Danielle selamat melahirkan anak kami dan ia menjadi penyuntik semangat untuk saya teruskan kehidupan.

Kini, Mullery banyak menghabiskan masa di hospital bersama isteri dan anaknya kerana keadaan beliau semakin parah.

“Saya tidak tahu berapa lama saya boleh bertahan tetapi jangkaan doktor meleset apabila sehingga kini saya masih bernyawa,” katanya menurut DailyMail.

Kisah perjuangan kanser beliau terus mendapat liputan media dan dijadikan drama muzikal oleh pengarah Oliver Hurley berjudul ‘Eye of the Tiger’ dan ditayangkan ketika pementasan di Siamsa Tire National Folk Theatre (SUN).

Kisah hidup beliau juga menjadi viral di laman YouTube berjudul ‘Fighting Cancer Darren’s Way’ dan mendapat pujian ramai.

Iftar percuma: Saudi hidupkan semula Siqaya

Iftar percuma: Saudi hidupkan semula Siqaya
SEBUAH pertubuhan di Arab Saudi berhasrat menghidupkan kembali Siqaya, iaitu tradisi lama di mana jemaah, tetamu dan pengunjung Masjidil Haram di Makkah serta Masjid Nabawi di Madinah diberi minuman percuma ketika waktu berbuka.

Tradisi ini biasanya dilakukan pada Ramadan di mana setiap tetamu akan diberi air dari dalam periuk yang diikat di belakang individu yang memberi, dipanggil Saqqa.

Penyelaras dan Pengarah program Siqaya Abdullah Al-Marghani berkata, pihaknya membekalkan air zam zam, air minum sejuk, jus dan kopi kepada pengunjung yang mengunjungi dua masjid suci tersebut.

“Setiap air disimpan dalam bekas yang bersih dan sihat. Kemudian sukarelawan kami akan membawanya di sekitar dua masjid itu dan pengunjung boleh memilih jenis minuman yang disukai,” katanya.

Difahamkan, lebih 100 sukarelawan telah dipilih untuk memberikan perkhidmatan kepada tetamu ALLAH.

Kesemua sukarelawan akan memakai pakaian seragam berwarna hijau dan boleh dilihat dengan mudah di dalam masjid, di pintu masuk mahu pun di tapak perhimpunan.

Pakistan jamu iftar percuma

Selepas mengalami keadaan ekonomi perlahan dan inflasi ke atas barangan asas seperti makanan, pada Ramadan ini penduduk Pakistan mengambil peluang menikmati juadah iftar percuma ditaja badan kebajikan dan golongan hartawan.

Di sekitar kawasan kejiranan berpendapatan rendah di ibu negara itu, juadah percuma iftar disediakan bagi mereka yang sangat memerlukannya.

Penganjur Abdul Razak Bhatti berkata, peniaga tempatan dan orang kaya telah membiayai kerja amal ini sejak lima tahun lalu. Namun, kini ia dijadikan amalan harian sepanjang tahun setiap kali menyambut bulan puasa.

“Biasanya ada seorang bekerja yang perlu beri makan keluarga sehingga 10 orang. Jadi jelas keperluan asas mereka tidak mencukupi selain peningkatan bil elektrik, bil gas asli dan sebagainya menjadikan kehidupan mereka lebih susah,” katanya.

Program makanan percuma di Kano 

Kerajaan Negeri Kano di utara barat Nigeria menyediakan pelbagai makanan bernilai lebih 250 juta Naira (RM5 bilion) untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik menerusi Program Makanan Percuma Ramadan.

Program itu dijalankan di seluruh 176 pusat di 8 kawasan kerajaan tempatan negeri metropolitan. Timbalan Gabenor Negeri Dr. Abdullahi Ganduje berkata, lapan jawatankuasa telah ditubuhkan di setiap kerajaan tempatan metropolitan dan kerajaan juga membeli 720,000 beg gandum untuk diagihkan sepanjang program.

“Lima jawatankuasa dengan Imam sebagai pengerusi telah ditubuhkan bagi setiap 176 pusat untuk memantau dan mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang pengagihan makanan dilakukan,” katanya.

Gempa kuat gegar sempadan Mexico

Puluhan rumah di San Marcos musnah akibat gempa kuat di kawasan tersebut. - Foto oleh EPA
Puluhan rumah di San Marcos musnah akibat gempa kuat di kawasan tersebut. - Foto oleh EPA
MEXICO CITY - MEXICO. Sekurang-kurangnya empat orang termasuk seorang bayi maut manakala puluhan lagi cedera selepas gempa berkekuatan 6.9 skala Richter menggegar sempadan Mexico dan Guatemala, menurut pihak berkuasa, kelmarin.

Jurucakap pasukan bomba dan penyelamat memaklumkan lebih 40 kediaman di San Marcos turut musnah dalam insiden itu.

"Gegaran kuat tersebut juga telah menyebabkan bekalan elektrik terputus dan kejadian tanah runtuh di sekitar kawasan terbabit," menurutnya.

Sementara itu menurut laporan Press TV, Presiden Guatemala, Otto Perez memberitahu gempa tersebut hanya mengakibatkan kemusnahan infrastruktur sederhana.

Pusat Kaji Selidik Geologi Amerika Syarikat memaklumkan pusat gempa itu berada pada kedalaman 60 kilometer (km) dan terletak 22 km di barat daya bandar Tapachula di Chiapas.

Gesa henti ambil gambar di Masjidil Haram


Riyadh: Ulama terkemuka Sheikh Saleh Al-Fozan menegaskan mengambil gambar ketika berada di dalam Masjidil Haram adalah perbuatan yang tidak boleh diterima.

Beliau berkata, mereka yang berbuat demikian seharusnya berhenti daripada meneruskan perbuatan berkenaan.


Menurutnya, ada jemaah yang masuk ke dalam masjid dengan membawa kamera untuk merakamkan gambar mereka di masjid itu sedangkan tujuan utama mereka ke Tanah Suci itu adalah untuk beribadah.



Tambahnya, pihak berkuasa sepatutnya merampas dan memusnahkan kamera itu kerana ia mengganggu jemaah lain.


Sumber berkata, membawa kamera masuk ke masjid tidak dibenarkan kecuali dengan kebenaran rasmi. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/09

Cemas punggung lelaki ditanduk lembu


Lembu berkenaan menanduk lelaki itu ketika dia terjatuh.

Penonton yang berada di sekeliling mula bimbang dan ada yang memberanikan diri cuba membantu mangsa. Kejadian mengejutkan itu berlaku ketika festival Bous a la Mar diadakan di Denia, berhampiran Alicanta, timur Sepanyol.
Peserta, khususnya lelaki akan muncul dari penghadang keselamatan dan melakukan aksi untuk menggalakkan lembu mengejar mereka.

Festival itu diadakan ketika ribuan peserta berlari bersama-sama lembu laga menerusi jalan raya di bandar Pamlonna, utara Sepanyol.

Jurucakap Palang Merah Sepanyol, Jose Aldaba berkata empat orang cedera dan dikejarkan ke hospital dalam acara larian pagi pada hari pertama acara tahunan festival San Fermin.
Foto
SEORANG peserta cuba menyelamatkan mangsa.
Menurut kenyataan dari kerajaan tempatan Navarra, keempat-empat mangsa yang cedera warga Sepanyol namun tiada yang parah.

Seramai 15 mangsa mati akibat ditanduk sejak festival itu mula direkodkan pada 1924.
Festival itu berlangsung selama sembilan hari dan turut menarik pelancong asing. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/07/09

Susu lembu buatan manusia dihasilkan


Penyelidik dari Amerika Syarikat berjaya menghasilkan susu lembu buatan manusia yang tidak mempunyai laktosa dan kolesterol. - AGENSI
DUBLIN 8 Julai - Penyelidik dari Amerika Syarikat (AS) menemukan formula yang bakal merevolusikan industri tenusu dunia, apabila berjaya menghasilkan susu lembu buatan manusia yang tidak mempunyai laktosa dan kolesterol.
Mail Online melaporkan, produk yang dikenali sebagai Muufri itu dihasilkan oleh tiga orang jurutera biologi iaitu Ryan Pandya, Perumal Gandhi dan Isha Datar.
Muufri merupakan sebahagian daripada kajian biologi sintetik yang ditaja oleh syarikat pelaburan SOSVentures, di mana proses pembangunan produk berkenaan telah dijalankan di Kolej Univesiti Cork, di sini.
Komponen utama susu tersebut adalah yis yang terhasil melalui gabungan enam molekul protein dan lapan molekul lemak.
Produk terbabit dijangka akan mula dikeluarkan awal tahun depan.
Tujuan utama susu lembu buatan manusia tersebut dibangunkan adalah untuk menghasilkan minuman yang boleh dinikmati oleh 75 peratus penduduk dunia, selain mahu mengurangkan kebergantungan terhadap haiwan dalam penghasilan susu.
"Kami mendapat idea untuk menghasilkan susu ini selepas kecewa melihat situasi industri ternakan di Amerika Selatan yang membangun tanpa kawalan rapi sehingga berlakunya penggurangan kualiti susu dan pencemaran alam.
"Kami melakukan kajian komposisi susu dan terkejut kerana formula untuk menghasilkannya adalah sangat mudah," jelas mereka bertiga, sambil berharap dalam tempoh masa tiga tahun lagi produk terbabit akan dapat dipasarkan.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140709/lu_06/Susu-lembu-buatan-manusia-dihasilkan#ixzz36v487EGW
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kanak-kanak dirantai lapan jam sehari


Seorang kanak-kanak hidup menderita setelah kakinya dirantai selama lapan jam sehari oleh pemiutang. - AGENSI
PHNOM PENH 8 Julai - Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang dijadikan sebagai cagaran oleh ibu kandungnya untuk meminjam wang, hidup menderita hampir dua tahun setelah kakinya dirantai selama lapan jam sehari oleh si pemberi hutang yang bimbang dia melarikan diri.
Mail Online melaporkan, kes tersebut didedahkan selepas polis bersama anggota sukarelawan menemui mangsa di sebuah rumah di bandar Kemarak Pumin.
Menurut laporan Phnom Penh Post, kanak-kanak berkenaan memberitahu polis, kadang-kadang dia terpaksa meminum air kencingnya sendiri kerana terlalu dahaga.
Ketua Polis bahagian hak asasi manusia dan unit perlindungan juvenil, Srey Touch berkata, ibu kandungnya mencagar kanak-kanak terbabit kepada seorang lagi wanita selepas meminjam sejumlah wang.
"Mengikut pemiutang itu, budak tersebut sangat nakal dan dia merantainya kerana takut kanak-kanak tersebut melarikan diri dari rumah, sesat atau mati lemas.
"Pemiutang itu bekerja sebagai seorang petani dan dia merantai kanak-kanak tersebut dari pukul 7 pagi hingga 11 pagi dan 1 tengah hari hingga 5 petang," jelas Touch, sambil menambah mangsa kini berada dalam jagaan pihak polis.
Walaupun kanak-kanak berkenaan hidup menderita, ibu kandungnya tidak dapat berbuat apa-apa ekoran masalah kesempitan hidup yang dialami.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140709/lu_05/Kanak-kanak-dirantai-lapan-jam-sehari#ixzz36v3RfKln
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Penduduk Islam di Kiruna, Sweden berpuasa 20 jam sehari


Fatima Kaniz (kiri) bersama ibunya berbuka selepas menjalani ibadah puasa selama 20 jam di Kiruna, Sweden. - AGENSI
KIRUNA, Sweden 8 Julai - Kira-kira 700 orang penduduk Islam di sebuah bandar perlombongan di sini, terpaksa menjalani ibadah puasa selama 20 jam selepas kawasan berkenaan mengalami fenomena matahari terbit selama 23 jam.
Agensi berita Al-Jazeera melaporkan, fenomena tersebut berlaku setiap tahun antara 28 Mei hingga 16 Julai, iaitu dua pertiga tempoh Ramadan pada tahun ini.
"Saya bersahur pada pukul 3.30 pagi waktu tempatan (9.30 malam waktu Malaysia) ketika matahari terik. Saya meletakkan dua helai langsir di dalam bilik, namun cahaya matahari tetap masuk dan menganggu masa tidur saya," kata seorang penduduk yang dikenali sebagai Ghassan Alankar.
Oleh kerana tiada sebarang ketetapan dikeluarkan berhubung masa bersahur dan berbuka di kawasan berkenaan sebelum ini, penduduk di kawasan itu menggunakan empat jadual waktu dunia untuk berbuka puasa antaranya Mesir.
Namun, bagi mengelak sebarang kekeliruan, Majlis Fatwa dan Penyelidikan Eropah (ECFR) mengeluarkan nasihat supaya penduduk menggunakan waktu berbuka di ibu negara Stockholm yang terletak kira-kira 1,240 kilometer selatan Kiruna.
"Di Stockholm terdapat waktu siang dan malam," kata Setiausaha Agung (ECFR), Hussein Halawa berhubung keputusan fatwa berkenaan selepas beliau mengalami sendiri pengalaman berpuasa di Kiruna.
Seorang penduduk, Idris Abdulwhab berkata, berdasarkan kepada fatwa yang dikeluarkan oleh ECFR, penduduk akan berpuasa selama 20 jam sehari.
"Saya tidak kisah sama ada 15, 25, atau 45 jam sehari kami harus berpuasa, asalkan ibadah ini diterima oleh Allah," jelasnya sambil menambah sebagai manusia, berpuasa dalam jangka masa waktu yang panjang begitu menguji kesabaran.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140709/lu_03/Penduduk-Islam-di-Kiruna-Sweden-berpuasa-20-jam-sehari#ixzz36v2sRYsC
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Hartawan derma harta RM6.56 bilion


BEIJING 9 Julai - Seorang bilionair di China bertindak mendermakan kesemua hartanya bernilai 1.2 bilion pound (RM6.56 bilion) kepada sebuah badan kebajikan tanpa mewariskan sesen dari harta itu untuk isteri dan anak-anaknya.
Ketika muda, Yu Pengnian bekerja sebagai pemandu beca yang tidak berwang, namun hidupnya berubah menjadi orang paling kaya di China ketika usianya 88 tahun.
Tanpa pengetahuan keluarga, Yu mendedahkan mengenai harta yang didermakannya kepada sebuah badan kebajikan melalui satu sidang media.
Seluruh harta kekayaan itu diberikan kepada sebuah badan kebajikan miliknya yang diusahakannya lima tahun dulu. Dermawan yang menetap di Panglin, hotel lima bintang di Shenzhen itu bernasib baik kerana keputusannya mendapat sokongan keluarga. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140709/lu_08/Hartawan-derma-harta-RM656-bilion#ixzz36v2Jzn3b
© Utusan Melayu (M) Bhd