MARLISSA MOHAMMAD KAMAL
18 OGOS 2015
PADA 1949, ahli geologi, Vadim Kolpakov telah menemui bukit batu kapur di utara wilayah Irkutsk di tenggara Siberia, kira-kira 360 kilometer dari daerah tengah Bodaibo.
Permukaan atasnya berbentuk seperti kawah dan bukit kecil setinggi kira-kira 12 meter (m) terbentuk di bahagian tengahnya.
Bukit setinggi kira-kira 40 m dan 100 m lebar itu dinamakan Patomskiy sempena nama sungai berhampiran kawasan tersebut, namun ia turut digelar the Fiery Eagle's Nest oleh penduduk tempatan.
Sejak penemuan kawah itu, terdapat pelbagai teori cuba untuk menjelaskan bagaimana ia terbentuk dan ada yang percaya ia akibat kesan hentaman meteorit.
Kewujudannya terus menjadi misteri kerana tiada bukti menunjukkan ia ada kaitan dengan meteorit atau pembentukan gunung berapi baharu.
Saintis tempatan yang melakukan kajian di kawasan sekitar menganggarkan usia kawah tersebut adalah kira-kira 250 tahun.
Sehinga kini, tiada objek seperti serpihan asteroid atau sebarang logam ditemui di kawah terbabit.
Penyelidikan terbaharu yang dilakukan ke atas kawah itu mendapati ia mungkin adalah gunung berapi gas dan bukit yang terbentuk itu dipercayai hasil pembebasan beberapa cecair bawah tanah seperti hidrogen.
Doktor geologi dan sains mineralogi, Alexander Pospeev memberitahu Siberian Times, mereka masih belum dapat membongkar asal usul kewujudan kawah tersebut. - amusingplanet