Pages

Thursday, August 11, 2011

16,000 polis Britain dikerah




ASAP tebal memenuhi ruang udara sebuah gudang Sony Centre di Enfield, London, semalam selepas dibakar oleh perusuh. – Reuter



LONDON 10 Ogos – Rusuhan terburuk di Britain dalam tempoh puluhan tahun berlarutan ke hari keempat hari ini apabila gerombolan pemuda mengganas di Manchester dan kawasan perindustrian tengah England tetapi keadaan di London agak tenang selepas 16,000 anggota polis dikerahkan untuk membendung keganasan. Di Manchester, perusuh memecah masuk dan mencuri barang kedai serta menghalau jurugambar dari tempat kejadian dalam keganasan terburuk di bandar raya ketiga terbesar di Britain itu dalam tempoh 30 tahun. Kejadian mencuri juga berleluasa di Birmingham buat malam kedua dan dalam insiden paling serius malam tadi, tiga lelaki yang baru keluar dari sebuah masjid terbunuh apabila mereka dirempuh sebuah kereta dalam kes langgar lari di bandar raya tersebut. Di tempat lain, perusuh membakar bangunan di West Bromwich dan Wolverhampton di tengah England dan sebuah balai polis di Nottingham diserang dengan bom petrol, walaupun tiada kecederaan dilaporkan, sementara kira-kira 200 perusuh membaling objek ke arah polis di Liverpool. Bagaimanapun di London, tiada lagi gelombang keganasan yang menyebabkan beberapa bahagian ibu kota ini terbakar malam semalam, selepas polis dikerahkan beramai-ramai dan kumpulan penduduk membanjiri jalan untuk mempertahankan komuniti mereka. Scotland Yard awal hari ini berkata, 768 orang ditangkap di London kerana disyaki melakukan keganasan, mencetuskan kekacauan dan mencuri. Sebanyak 109 lagi ditangkap di wilayah West Midlands, 108 di Manchester dan Salford, dan 44 di Liverpool dan sekitarnya, manakala di Bristol 19 tangkapan dilakukan kerana pelbagai kesalahan termasuk memiliki topeng ski. Fokus keganasan malam tadi ialah Manchester, barat laut England, di mana polis terpaksa berundur akibat kemaraan ratusan pemuda yang menutup muka dengan skarf dan topeng ski. Dua perusuh memecahkan pintu kaca pusat membeli-belah Arndale, gedung membeli-belah utama di Manchester, membolehkan ratusan pemuda masuk dan melarikan pelbagai barangan termasuk pakaian dan kasut. Polis hanya mampu menjadi pemerhati apabila pencuri mengosongkan sebuah kedai barangan elektrik manakala kumpulan lain bersemuka dan memaki-hamun anggota polis. Dalam perkembangan yang tidak akan membantu meredakan ketegangan, badan pemantau polis Britain berkata, pihaknya tidak menemui bukti Mark Duggan, lelaki yang ditembak mati oleh polis minggu lepas dalam insiden yang mencetuskan protes dan seterusnya rusuhan di London, telah melepaskan tembakan ke arah polis. Dalam operasi terancang, anggota polis bersenjata menahan teksi yang dinaiki oleh Duggan, 29, di daerah berbilang etnik Tottenham, utara London, tembakan dilepaskan dan Duggan mati di tempat kejadian. Keluarga Duggan berkata, hasil siasatan itu menyebabkan mereka berasa amat kesal dan mereka menuntut ‘jawapan’ daripada polis. – AFP, utusan

Penyamun bermotosikal langgar kepala mangsa diragut

KUALA LUMPUR: Kepala seorang lelaki bukan sahaja dilanggar tiga kali dengan motosikal selepas terjatuh sebaik ditolak dua lelaki yang cuba menyamunnya berdekatan Jalan Selesa Ria, di sini, malah turut nyaris ditikam dengan pisau, kelmarin. Difahamkan, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Ng, 39, dalam perjalanan menghantar anaknya untuk latihan sukan di Seri Petaling apabila keretanya mengalami kerosakan dan terpaksa berhenti di tepi jalan. Menurutnya, ketika memeriksa enjin, dua lelaki tidak dikenali dan menunggang motosikal menghampirinya. “Tiba-tiba seorang daripada mereka menghunuskan pisau sebelum menolak saya hingga terjatuh. “Lelaki itu cuba menikam saya di dada, tetapi saya mengelak dan pada masa sama, lelaki terbabit cuba merampas beg silang saya, tetapi tidak berjaya,” katanya. Beliau berkata, seorang lagi lelaki melanggar kepalanya tiga kali menyebabkan dia pengsan. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan dan siasatan lanjut dijalankan.hmetro

‘Saya bertuah’

TABAH...Muhamad Hairuman kini menggunakan kerusi roda.
TABAH...Muhamad Hairuman kini menggunakan kerusi roda.
SLIM RIVER: Biarpun dugaan dihadapinya maha hebat apabila kedua-dua tangan dan kaki kiri dipotong akibat terkena renjatan elektrik November tahun lalu, Muhamad Hairuman Miskon ternyata anak muda berjiwa kental apabila tetap berkeyakinan tinggi untuk meneruskan kehidupannya.
“Saya tidak menganggap dunia sudah berakhir, sebaliknya berasa diri bertuah kerana masih ‘dipinjamkan’ Allah sebelah kaki lagi untuk meneruskan kehidupan.

“Saya juga tidak rasa bernasib malang kerana sedar ramai lagi insan di dunia ini nasib mereka lebih malang,” katanya.

Mengimbas tragedi yang menimpanya, anak muda berusia 23 tahun itu terkena renjatan elektrik bervoltan tinggi ketika mengambil upah mengait kelapa sawit di Jalan Masjid Baru, Tanjung Karang, Selangor untuk mencari wang bagi membiayai persekolahan adiknya.

Akibat tragedi yang berlaku pada 20 November tahun lalu itu, doktor mengesahkan kedua-dua tangan serta kaki kirinya terpaksa dipotong bagi mengelak jangkitan kuman ke anggota badan lain dan anak yatim piatu itu juga terlantar hampir tiga bulan di Hospital Kuala Lumpur.

Muhamad Hairuman, anak kesembilan daripada 10 beradik kini tinggal bersama kakaknya, Maryuni, 32, di Klant Halt 2 di sini dan seperti umat Islam lain, dia memanfaatkan sepenuhnya kehadiran Ramadan untuk menambah amal ibadah serta mendekatkan diri dengan Allah.


“Walaupun sukar, Alhamdulillah saya mampu bersolat Tarawih dan terima kasih saya kepada jemaah masjid di sini yang menyediakan ruang khas.

“Selain itu, saya banyak menghabiskan masa dengan membaca al-Quran dan yang pasti, tidak meninggalkan rawatan fisioterapi pada setiap hari sambil dibantu kakak,” katanya.
Muhamad Hairuman berkata, ketika ini pergerakannya banyak bergantung kepada kerusi roda, namun dia tetap memasang azam dan keyakinan tinggi untuk berjalan seperti biasa pada masa depan.

“Sekarang mungkin saya berjalan terhincut-hincut dengan sebelah kaki, tapi doktor kata, saya boleh pasang kaki palsu pada masa depan dan jika itu dilakukan, saya yakin saya boleh berjalan seperti biasa semula,” katanya.

Malah, bekas pelajar sebuah kolej swasta di Kuala Selangor itu berkata, dia kini giat melakukan rawatan fisioterapi di rumah bagi mengimbangkan tubuhnya berdiri dengan kaki kanan supaya dapat menyesuaikan diri dengan kaki palsu yang bakal digunakan kelak.

Muhamad Hairuman berkata, dia juga bersyukur kerana dikurniakan kakak dan abang ipar yang bekerja keras untuk memastikan dirinya mendapat rawatan dan pulih seperti sedia kala.

“Selepas ibu dan ayah meninggal, kakak dan abang banyak membantu saya untuk menguruskan diri. Saya tahu mereka ada tanggungjawab untuk keluarga, tapi saya tidak pernah rasa terpinggir apabila duduk serumah dengan mereka.

“Saya gembira apabila kakak tidak pernah lupa sediakan saya susu kacang soya ketika sahur sebab dia tahu minuman itu baik untuk proses pemulihan saya. Walaupun saya tak dapat berbakti kepada kakak dan abang, saya sentiasa doakan hidup mereka diberkati,” katanya.

Sementara itu, Maryuni berkata, dia dan suami, Ahmad Faidz Hafidz, 38, kagum dengan ketabahan dan kegigihan adiknya dan semangat itu yang membuatkan dia semakin tabah untuk menjaga Muhamad Hairuman. “Untuk kulitnya yang terbakar pulih sepenuhnya mengambil masa agak lama, tapi saya lihat dia bersabar dengan keadaannya dan itu yang buat saya terharu serta bersemangat,” katanya. Menurutnya, keadaan kulit Muhamad Hairuman belum pulih dan sentiasa berair kerana sistem badannya agak lambat untuk memberi tindak balas positif.

“Kulit yang diambil di paha kiri untuk ditampal di bahagian yang tiada kulit belum sembuh sepenuhnya. Kadang-kadang saya lihat dia menahan gatal di bahagian badan yang ditampal, tapi dia tak pernah merungut apatah lagi meminta yang bukan-bukan,” katanya.

Pada masa sama, Maryuni mengucapkan terima kasih dia atas keprihatinan pelbagai pihak yang sentiasa memberi bantuan serta sokongan kepada Muhamad Hairuman.

“Alhamdulillah, bantuan yang kami terima tak pernah putus, malah kami baru saja terima sumbangan baju dan duit raya daripada seorang insan prihatin dari Johor,” katanya.hmetro

Kekacauan kian merebak

AMBIL KESEMPATAN...penjarah bertopeng melarikan kotak berisi barangan elektrik mahal dari sebuah kedai di tengah Birmingham.
AMBIL KESEMPATAN...penjarah bertopeng melarikan kotak berisi barangan elektrik mahal dari sebuah kedai di tengah Birmingham.





DIMAKAN API...butik Miss Selfridge yang terletak di Jalan Pasar musnah terbakar.
DIMAKAN API...butik Miss Selfridge yang terletak di Jalan Pasar musnah terbakar.


LONDON: Rusuhan terburuk dalam sejarah Britain sejak beberapa generasi, kini merebak ke bandar lain semalam, sementara tiga lagi terbunuh ketika mempertahankan komuniti mereka. Walaupun London kini tenang ekoran penempatan lebih ramai polis di jalan bandar raya itu, perusuh menyerbu tengah Manchester dengan membakar serta merompak kedai di situ. Polis menganggap insiden terbaru ini sebagai “keganasan paling ekstrem melanda Britain dalam tempoh 30 tahun.” Penjarah turut menyebabkan kekacauan di beberapa bandar di sekitar Midlands, termasuk Birmingham yang menjadi lokasi tiga pemuda Islam Asia terbunuh selepas dirempuh sebuah kereta. Laporan mendakwa, mangsa baru saja meninggalkan masjid dan melindungi komuniti mereka ketika kejadian berlaku. Kira-kira 200 orang keturunan Asia dari Birmingham berkumpul di luar hospital yang menempatkan mayat berkenaan. Namun, di London, tiada keganasan terbaru dilaporkan selepas bandar raya itu kacau-bilau pada malam Isnin lalu. Polis menahan lebih 1,100 orang di seluruh negara kerana terbabit dalam keganasan, kekacauan dan mencuri sejak rusuhan tercetus pada Sabtu di Tottenham, utara London. Perdana Menteri, David Cameron, berikrar untuk “melakukan apa saja yang perlu bagi memulihkan keadaan di jalanan” tetapi kebanyakan kedai di London masih ditutup awal atas nasihat polis. Datuk Bandar London, Boris Johnson, menggesa kerajaan mempertimbangkan semula cadangan mengurangkan jumlah polis sebagai sebahagian daripada langkah berjimat-cermat dan mengurangkan defisit bajet negara. Ketika Kerajaan menyalahkan penjenayah mengambil kesempatan atas kekacauan itu, pembangkang berkata, pemotongan belanjawan untuk perkhidmatan sosial dan kegagalan pihak berkuasa menangani masalah sosial menyumbang kepada rusuhan berkenaan. Sesetengah daripada kawasan paling mundur di Britain menjadi lokasi rusuhan dengan kira-kira 200 orang menyerang polis dengan pelbagai objek di Toxteth, barat laut Liverpool. Daerah itu pernah berlaku rusuhan besar-besaran pada 1981. Di lokasi lain, perusuh membakar bangunan di West Bromwich dan Wolverhampton, manakala sebuah balai polis berhampiran Nottingham dilontar bom api. Kekacauan turut dilaporkan berlaku di bandar Gloucester. - AFP

Noraniza kahwin terbuka




SIDANG MEDIA...Noraniza dan Jeffri ketika mengumumkan tarikh perkahwinan mereka.
SIDANG MEDIA...Noraniza dan Jeffri ketika mengumumkan tarikh perkahwinan mereka.


 KUALA LUMPUR: Penyanyi etnik kreatif yang pernah popular dengan lagu Awallah Dondang, Noraniza Idirs, 43, memilih tarikh 29 September depan sebagai tarikh perkahwinan dengan bilal dari Singapura, Jeffri Hudi, 52.Menurut Noraniza, majlis perkahwinannya diadakan secara besar-besaran di Sanggar Utama, Padang A, Plaza Angsana, Johor Bahru jam 12 tengah hari, malah persandingannya itu boleh disaksikan orang ramai yang hadir. Sebenarnya, perkahwinan ini diadakan serentak dengan ‘Festival Kahwin-Kahwin Masyhur 1Malaysia Negeri Johor 2011’,” katanya pada satu sidang media di Menara Yayasan Tun Razak, di sini, kelmarin.Walaupun saya pernah berkahwin sebelum ini, tetapi majlis ini tetap akan diraikan secara besar-besaran dan bagi saya ia tidak salah kerana bertujuan meraikan perkahwinan saya bersama bakal suami,” katanya.Menurut Noraniza, pintu hatinya masih terbuka untuk mendirikan rumahtangga biarpun pernah kecewadengan dua perkahwinannya yang lalu dan memberitahu kesediaannya mendirikan rumah tangga kerana dia benar-benar mengenali hati budi bakal suaminya.Saya yakin Jeffri jodoh saya kerana dia suka berterus terang dan menyokong setiap perkara yang saya lakukan,” katanya.Kata Noraniza, hubungan yang dibina mereka bermula sejak tahun lalu ketika bertemu pada satu urusan jualan amal anak yatim di bazar Ramadan.Selepas setahun berkenalan kami mengikat tali pertunangan pada 22 April lalu dan seterusnya hari ini (kelmarin) menetapkan tarikh perkahwinan kami,” katanya.Sementara itu, Jefri berkata, antara sebab dia memilih Noraniza sebagai isterinya adalah kerana melihat pada kewibawaannya.Saya senang dengan sikap ditunjukkan Noraniza dan perkara paling saya tidak dapat lupakan adalah memakan tat nanasnya. Saya bersyukur kerana semua merestui dan gembira dengan perkahwinan kami,” katanya.

Kota London bagaikan medan perang

PEMILIK kedai menyewa peralatan dapur di utara London,  Azim Mohamed (kiri) dan pembantunya, Riaz Mohamed hanya mampu melihat kedai mereka musnah dibakar perusuh.
PEMILIK kedai menyewa peralatan dapur di utara London, Azim Mohamed (kiri) dan pembantunya, Riaz Mohamed hanya mampu melihat kedai mereka musnah dibakar perusuh.
KEGANASAN dan kekacauan dicetuskan perusuh sejak malam Sabtu lalu menjadikan beberapa kawasan di bandar raya ini bagaikan medan perang dengan banyak kesan kemusnahan.

Beberapa kawasan dilihat seperti pelantar minyak apabila api marak membakar bangunan akibat perusuh melontar bom petrol serta mercun.
Paling teruk ialah deretan premis dan bangunan di London Road, Croydon yang hangus dibakar perusuh, malam kelmarin hingga sesetengahnya dilihat bagaikan dibom apabila hanya tinggal rangka.
Perusuh yang majoritinya belia turut membakar dan merosakkan kenderaan di bahu jalan. Tidak cukup dengan itu, mereka membaling batu kedai dan pusat beli-belah sehingga menyebabkan cermin dan tingkap permis itu pecah.

Mereka juga menceroboh premis berkenaan dan mencuri pelbagai barangan mengakibatkan pemiliknya rugi besar. Ramai peniaga menutup premis lebih awal dan mengetatkan keselamatan bagi mengelak jadi sasaran dan menanggung kerugian.

Mereka juga sanggup berjaga sepanjang malam untuk berkawal dan mengelakkan premis dan bangunan menjadi sasaran kerana rusuhan hanya dicetuskan pada waktu malam.

Bagaimanapun, bandar raya ini mulai tenang sejak beberapa kejadian sejak malam Sabtu lalu, tetapi penduduk tetap bimbang ia berulang. Kumpulan perusuh dikatakan mengalihkan tumpuan dengan menjadikan bandar seperti Manchester dan Birmingham yang hanya tiga jam perjalanan dari bandar raya ini sebagai sasaran baru.
Rusuhan yang paling buruk sejak beberapa dekad lalu tercetus berikutan kemarahan orang ramai terhadap kematian Mark Duggan, 29, yang ditembak polis, pada Khamis lalu.bharian

Beras Jepun pula diperiksa

TOKYO: Pihak berkuasa tempatan di seluruh Jepun kini menguji beras negara itu bagi memastikan keselamatan penduduk kerana bimbang makanan ruji tempatan itu juga dicemari radiasi. 
Pengumuman mengenainya dibuat minggu ini ketika penduduk gusar dengan pencemaran radioaktif dalam makanan selepas menghadapi krisis nuklear terburuk dalam tempoh 25 tahun disebabkan kebocoran loji Fukushima di timur laut Jepun.

Tahap pencemaran radioaktif tinggi sudah dikesan dalam daging, sayur, teh, susu, makanan laut dan air. Tetapi, jika beras juga tercemar, ia dianggap bencana besar, kata pakar makanan.
“Selepas gempa bumi melanda, penduduk menganggap sesuatu masih dilakukan bagi menggantikan apa yang hilang. Jika mereka tidak dapat menikmati kari daging, mereka boleh buat kari ayam yang diimport. 

“Tetapi, tidak begitu dengan beras tempatan,” kata Pakar Keselamatan Makanan di Kajian Makanan, Pertanian dan Sains Alam Sekitar Universiti Miyagi, Shigenobu Ikedo. – Reuters bharian

Elak aktif sebelum berbuka

SEORANG remaja menyiapkan roti nan untuk hidangan berbuka di Hyderabad, India.
SEORANG remaja menyiapkan roti nan untuk hidangan berbuka di Hyderabad, India.

Bersenam ketika berpuasa boleh menyebabkan berat badan naik

JEDDAH: Ramai mungkin cuba membuang tabiat buruk ketika Ramadan termasuk mereka yang berusaha menjadi 'lebih sihat' dengan bersenam kerana mempunyai anggapan kurang makan ditambah senaman dapat membantu menguruskan badan.
Bagaimanapun, secara realitinya, anggapan seperti itu boleh menyebabkan kesan sebaliknya hingga menjejaskan kesihatan orang itu dengan serius.
Ada memilih melakukan senaman berat sejurus sebelum berbuka untuk mengurangkan berat badan.
Itu boleh membawa risiko kekurangan air sebelum berbuka terutama ketika bulan suci Ramadan tahun ini jatuh pada musim panas apabila suhu boleh mencecah 50 darjah Celsius.

Jadi, salah jika percaya kurang makan tetapi melakukan senaman berat membantu mengurangkan lemak walaupun mungkin kehilangan berat badan.

Jika kekurangan air berlaku dalam badan, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan sedia ada seperti batu karang lebih menyakitkan.
“Sebagai doktor di unit kecemasan (ER), saya melihat lebih ramai pesakit dengan masalah batu karang dalam buah pinggang ketika Ramadan berbanding tempoh lain setiap tahun kerana ramai orang tidak menggantikan air yang hilang sepanjang hari.

“Perpeluhan berlebihan hanya menambah kepada masalah ini,” kata Dr N Baho yang bekerja di sebuah hospital di sini.

Malah, bersenam ketika berpuasa boleh menyebabkan berat badan bertambah.
“Air dan gula diperlukan untuk metabolisme,” kata seorang lagi doktor yang enggan mendedahkan nama penuhnya.

“Apabila anda berpuasa, metabolisme menjadi perlahan untuk disesuaikan dengan kekurangan makanan. Seterusnya jika anda makan iaitu ketika berbuka, badan akan menyimpan lebih banyak lemak berbanding biasa untuk menyesuaikan diri.”

Selepas bersenam, orang berkenaan akan merasa lebih lapar menyebabkannya makan lebih berbanding biasa. – Agensi bharian

Khamis Gaddafi masih hidup

TELEVISYEN Libya menunjukkan anak lelaki Gaddafi, Khamis (dua dari kiri) melawat warga Libya yang cedera di sebuah hospital.
TELEVISYEN Libya menunjukkan anak lelaki Gaddafi, Khamis (dua dari kiri) melawat warga Libya yang cedera di sebuah hospital.

Anak bongsu pemimpin Libya tidak maut dalam serangan NATO 

BERLIN: Televisyen Libya menyiarkan klip rakaman menunjukkan anak lelaki Muammar Gaddafi, Khamis, yang dikatakan pemberontak minggu lalu terkorban, menziarahi rakyat Libya yang cedera dalam satu serangan udara di sebuah hospital di timur Tripoli.
Kerajaan Libya menafikan dakwaan pemberontak bahawa Khamis, panglima satu daripada unit tentera prokerajaan paling lengkap bersenjata, terbunuh dalam serangan udara Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) berhampiran kota Zlitan.
Televisyen Libya melaporkan, rakaman itu dibuat kelmarin. Jika asli, ia adalah bukti visual pertama kerajaan Gaddafi bahawa Khamis masih hidup.

Memakai pakaian seragam tentera dan beret berwarna oren serta mempunyai persamaan wajah ketara dengan Khamis, lelaki itu kedengaran berbual dengan penduduk yang dikatakan rangkaian itu cedera awal kelmarin dalam satu serangan udara NATO ke atas rumah ladang berhampiran Zlitan.

Kerajaan Libya berkata, berpuluh orang awam terbunuh dalam serangan. NATO pula menyifatkannya sebagai satu sasaran sah ketenteraan dan menyiasat insiden itu.

“Mereka mengebom rumah. Anda memang tidak menjangka menjadi sasaran bom,” kata Khamis kepada seorang wanita yang terbaring di atas katil hospital.
Rejim Gaddafi ketika menolak laporan kematian anak bongsu pemimpin itu, turut menyifatkan laporan kematiannya sebagai cubaan penentang untuk mengalihkan liputan berita mengenai pembunuhan pemimpin tentera pemberontak, Abdel Fattah Younes.

Mayat Younes ditemui dua minggu lalu di luar ibu kota Bengghazi, kubu pemberontak di timur Libya, bersama dua lagi mayat penasihat kanannya. Mereka didapati ditembak dan dibakar.

Ketegangan mengenai kematian Younes dianggap punca pemimpin penentang yang diiktiraf Barat sebagai kerajaan baru Libya, memecat anggota Kabinet lewat Isnin lalu sebelum mengarahkan semua unit bersenjata bersatu tenaga.

“Satu perkara yang mungkin membawa kebaikan selepas pembunuhan Younes ialah pemberontak akan cuba bersatu tenaga dan membangunkan angkatan tentera.

“Selepas itu baru mereka mungkin berpeluang menggulingkan Gaddafi,” kata pakar Libya, Ronald Bruce St John. – AP/Reuters bharian

Lelaki 78 isteri dipenjara seumur hidup





SAN ANGELO, Texas - Seorang pemimpin mazhab poligami, yang menjadi tajuk utama akhbar pada tahun 2008 yang ditahan polis dalam satu serbuan, dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup selepas dia didapati melakukan serangan seks ke atas dua gadis muda.
Pemimpin itu, Warren Jeffs berusia 55 tahun tidak menunjukkan sebarang reaksi ketika hukuman itu dibacakan oleh pihak juri yang mengambil masa kurang sejam untuk membuat keputusan di sebuah mahkamah kelmarin.
Mazhab yang dibawa Jeffs menjadi tumpuan umum apabila polis Texas menyerbu rumahnya yang berhampiran bandar kecil Eldorado pada 2008 dan membawa keluar lebih 468 budak lelaki dan perempuan ekoran terdapat dakwaan berlaku penderaan seksual dan fizikal yang sistematik.
Namun pihak mahkamah kemudian mengarahkan budak lelaki dan perempuan itu dipulangkan kepada ibu bapa mereka.
Menurut pihak pendakwa raya, Jeffs mempunyai 78 isteri. - Agensi, kosmo

Apple jadi syarikat terbesar dunia



SEORANG pelanggan melihat komputer iPad 2 keluaran Apple di syarikat telekomunikasi KT di Seoul semalam.


NEW YORK, Amerika Syarikat (AS) - Gergasi komputer dan telefon bimbit AS, Apple memintas pengeluar minyak global, Exxon Mobil sebagai syarikat terbesar di dunia untuk seketika kelmarin.
Nilai syarikat Apple yang diasaskan oleh Steve Jobs pada 1976 yang mengeluarkan telefon pintar iPhone dan komputer tablet iPad itu ialah AS$341.5 bilion (RM1.027 trilion) kelmarin sekali gus berjaya mengatasi Exxon yang bernilai AS$340 bilion (RM1.023 trilion).
Namun, Exxon kemudian merampas kembali gelaran syarikat terbesar dunia apabila sahamnya mengukuh kepada AS$352.9 bilion (RM1.06 trilion) manakala Apple di tempat kedua dengan nilai saham AS$346.7 bilion (RM1.04 trilion).
"Kreativiti kini mengambil alih kekuatan dan kudrat manusia," kata pengasas laman web Lastminute.com, Brent Hoberman.
Exxon juga dikenali dengan jenama Esso, mendapat pujian aktivis mesra alam manakala Apple dipuji kerana berjaya mengubah kehidupan harian dengan pengenalan gajet seperti iPod, iPad dan iPhone.
Pakar-pakar bagaimanapun, percaya Apple akan menjadi perniagaan pertama melepasi nilai AS$1 trilion (RM3 trilion) pada masa akan datang susulan pertumbuhan pesat syarikat tersebut. - Agensi, kosmo

Rusuhan merebak di luar London




SEORANG perusuh berjalan meredah api di Liverpool kelmarin.


LONDON - Ribuan anggota polis tambahan yang berkawal di jalan-jalan raya berjaya menyebabkan London tenteram semalam selepas tiga hari berlaku rusuhan dan rompakan oleh sekumpulan golongan muda.
Bandar Manchester dan Liverpool di timur laut dan Birmingham di tengah England berdepan dengan rusuhan selepas London tenteram semalam.
Di Birmingham, polis melancarkan siasatan selepas tiga penganut Islam terbunuh kerana dilanggar sebuah kereta.
KEROSAKAN berlaku di sebuah kedai akibat rusuhan di Manchester semalam.


Seorang rakan tiga lelaki itu memberitahu stesen Perbadanan Penyiaran British (BBC) bahawa ketiga-tiga penganut Muslim itu merupakan sebahagian daripada kumpulan keturunan Asia yang melindungi kawasan kediaman mereka daripada menjadi sasaran golongan muda yang merompak.
Menurutnya, ketiga-tiga lelaki itu dilanggar selepas bersolat di sebuah masjid.
"Kereta itu melencong ke arah mereka dengan tiba-tiba," katanya.
Keadaan di London tenteram semalam selepas rusuhan bermula di Tottenham pada malam Sabtu lalu.
Kira-kira 16,000 anggota polis mengawal jalan-jalan raya di London semalam.
KESAN kerosakan akibat kebakaran dilihat pada sebuah bangunan di Manchester semalam.


Rusuhan itu berlaku akibat perasaan tidak puas hati golongan muda terhadap kematian seorang lelaki berusia 29 tahun yang ditembak polis pada minggu lalu.
Protes golongan muda itu bertukar menjadi ganas apabila mereka membakar beberapa bangunan, kereta polis dan merompak di Tottenham, utara London.
Perdana Menteri Britain, David Cameron terpaksa menyingkatkan percutiannya di Itali untuk pulang ke London bagi berdepan dengan krisis tersebut.
Cameron akan mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Krisis dan memanggil parlimen bersidang untuk membincangkan isu berkenaan.
Rusuhan itu merupakan situasi yang paling buruk pernah berlaku di London kurang setahun sebelum bandar raya ini menjadi tuan rumah Sukan Olimpik 2012. - Agensi, kosmo