Seorang lelaki enggan menghampiri objek misteri itu yang terdampar di sebuah pantai di Jepun. AGENSI
TOKYO 13 Okt. – Kemunculan objek misteri yang terdampar di sebuah pantai di timur Jepun sejurus bencana tsunami yang melanda negara itu pada 2011 membuatkan pengguna dalam talian kini kebingungan sehingga tidak dapat menentukan apakah benda tersebut yang menyerupai makhluk ganjil.
Rakaman video yang diambil penduduk yang terselamat daripada kejadian berkenaan menunjukkan objek besar berwarna putih menyerupai seekor ikan paus terdampar bersama sisa sampah di tepi pantai negara matahari terbit berkenaan.
Video berdurasi 30 saat itu yang dimainkan dengan latar belakang muzik seram turut menunjukkan pelbagai sudut makhluk misteri tersebut dan kini mula tersebar meluas di internet.
Mail Online melaporkan, meskipun makhluk itu menyerupai bentuk seekor ikan paus kecil menerusi pemeriksaan pada jarak dekat, namun objek berkenaan lebih menyamai sebongkah batu besar jika dilihat dari jauh.
Bagaimanapun, penemuan objek ganjil di pantai Jepun selepas bencana yang meragut lebih 18,000 nyawa itu bukanlah yang pertama kali dilaporkan berlaku kerana objek ganjil juga pernah terdampar di sepanjang pantai Amerika.
Kira-kira lima tan serpihan merangkumi sisa rumah, bot, dan pelbagai objek lain terdampar di pantai timur Jepun susulan tsunami yang melanda empat tahun lalu.
Sebanyak 70 peratus daripada serpihan itu tenggelam, manakala 1.5 juta tan sisa berkenaan terapung dan pada 2013, sampah hanyut seluas negeri Texas tersebut bergerak menuju California selepas dibawa arus Lautan Pasifik.
Malah pada April tahun ini, sebahagian daripada bot gentian kaca dapat dikesan terapung di perairan Oregon.