Pages

Friday, January 18, 2013

Bilik lepas marah

Novi Sad (Serbia): Savo Duvnjak memerhatikan sekeliling bilik, mengangkat pemukul besbol dan memukul apa saja dilihatnya dari katil, meja, laci, kerusi sehingga tidak ada lagi yang tinggal untuk dimusnahkan.

Ia bukanlah perbuatan jenayah, sebaliknya Bilik Melepaskan Kemarahan.


“Sungguh lega,” kata Duvnjak yang berpeluh dan tercungap-cungap sambil melihat kemusnahan dilakukannya.

“Saya sudah melepaskan segala tenaga negatif saya. Tahun lalu sungguh mencabar dan saya mahu mengakhirinya dengan melepaskan geram,” kata pemuda berusia 18 tahun itu.


Sejak dibuka di bandar Novi Sad, utara Serbia pada Oktober lalu, bilik itu menarik banyak perhatian di negara Balkan berkenaan. Peperangan selama dua dekad, krisis politik, kesukaran ekonomi menyebabkan ramai penduduknya berdepan dengan tekanan.


Didorong oleh ‘Bilik Melepaskan Kemarahan’ yang serupa seperti di Dallas, Texas, bilik versi Serbia itu diasaskan dua remaja belasan tahun yang melihat bilik asal di Amerika Syarikat itu di Internet dan berpendapat ia boleh dijadikan sumber kewangan.

“Secara purata, kami mempunyai seorang pelanggan sehari, cukup untuk kami meneruskan perniagaan ini,” kata Nikola Pausic, pemuda berusia 18 tahun yang menguruskan bilik berkenaan dengan seorang rakan.


Versi Dallas mengenakan bayaran RM225 bagi setiap sesi dan mempunyai pelbagai objek untuk dimusnahkan, termasuk komputer dan perabot pejabat. Bilik versi Serbia itu menggunakan garaj yang sudah diubah suai dan hanya menempatkan barang asas untuk dimusnahkan dan lebih murah.

Dengan mengenakan bayaran kira-kira RM18, pelanggan boleh memecahkan kerusi, meja, rak baju dan rak buku bersama-sama dengan barangan lain seperti bingkai gambar, tin kosong serta kontena plastik. Pelanggan disyaratkan memakai topi keledar, pelindung mata dan sarung tangan.


Selepas itu, mereka akan dihiburkan dengan muzik sebelum meninggalkan tempat itu untuk dibersihkan oleh pekerja sebelum menerima pelanggan lain.


“Puluhan pelanggan sudah datang ke sini terdiri daripada pelbagai peringkat umur.


“Ia juga popular di kalangan wanita,” kata Pausic.


Menurutnya, pelanggan kebiasaannya memerlukan masa lima minit untuk memusnahkan segala-galanya di dalam bilik itu.


Meskipun ia cara mudah untuk melepaskan geram, pakar memberi amaran yang projek seperti ini tidak boleh menggantikan terapi menguruskan kemarahan yang sebenarnya. - AP

Terseliuh 10 kali sehari

pix_topright
London: Menghidap sindrom Ehlers-Danlos, seorang wanita mengalami kesakitan dari semasa ke semasa pada bahunya hanya kerana pergerakan tubuh yang mudah.
Menurut Lauren Harry, pada hari tertentu sendinya boleh terseliuh sehingga 10 kali.

Antara lain, kata Lauren, 20, ia berlaku akibat bersin atau terhenjut di dalam kenderaan akibat brek mengejut.
Minggu lalu saja, katanya, dia pergi mendapatkan rawatan kecemasan di hospital sebanyak empat kali. Doktor percaya, Lauren menghidap sindrom Ehlers-Danlos yang menyebabkan kolagen wanita itu terlalu lemah memastikan anggota badannya berada di tempat yang betul. Lauren - dari Wrexham, Wales - berkata, dia sakit pada kakinya ketika berusia 11 tahun tetapi menyangka ia masalah biasa akibat proses tumbesaran.

“Ketika berusia 15 tahun, saya terjatuh menyebabkan bahu cedera. “Sejak itu, bahu dan sendi saya yang lain, termasuk lutut dan jari, sering terseliuh,” katanya. Keadaan itu menyebabkan dia gagal menamatkan pendidikan peringkat AS.

Kata Lauren, setakat ini dia menjalani lima pembedahan berasingan di Hospital Wrightington Lancashire, untuk memberi kestabilan pada bahunya.
Bagaimanapun, katanya, masalah itu masih berterusan. “Bahu saya terseliuh 10 kali sehari kerana saya terbatuk, bersin atau tersepak sesuatu,” katanya.

Lauren yang kini bertugas sebagai kakitangan restoran makanan segera di Chester berkata, baru-baru ini semua jari tangannya terseliuh kerana membuka pintu tempatnya bekerja. Di rumah, kata Lauren, dia juga tidak boleh bergurau dengan adik-beradiknya tanpa mengalami kesakitan akibat terseliuh. - Daily Mail

'Bilik tidur angkasawan' berbentuk seperti belon

LAS VEGAS, Amerika Syarikat - Sebuah 'bilik tidur angkasawan' yang berbentuk seperti belon akan diuji di Stesen Angkasa Lepas Kebangsaan (ISS).
Bilik untuk para angkasawan itu dihasilkan sebuah syarikat swasta, Bigelow Aerospace.
Ia akan dilancarkan pada pertengahan tahun 2015.
Bilik tersebut sepanjang empat meter.
Syarikat itu telah melabur sebanyak AS$250 juta (RM753 juta) untuk menghasilkan bilik tersebut.
Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan menjalin kerjasama dengan syarikat itu untuk menghasilkan bilik tidur tersebut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0118&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2IIUajDoU 
Hakcipta terpelihara 

Bandar-bandar diselaputi permaidani putih

KEADAAN iklim di Asia Barat sememangnya mudah dijangka. Cuacanya terik pada musim panas dan dingin serta sesekali diselangi hujan lebat pada musim sejuk.
Bagaimanapun pada minggu lalu, iklim di rantau itu berubah mendadak. Hujan lebat berterusan selama beberapa hari disusuli salji tebal.
SALJI tebal tidak menghalang remaja ini untuk melakukan aktiviti di luar.
SALJI tebal menyelimuti Istanbul, Turki sekali gus menjejaskan 
15 juta orang penduduk, melumpuhkan rutin harian dan trafik udara serta di darat.
Fenomena yang disifatkan terburuk dalam tempoh dua dekad oleh pakar-pakar metereologi menyebabkan ribut salji dan banjir yang melumpuhkan beberapa bandar utama dari Semenanjung Gaza sehingga ke Istabul termasuk Syria yang terjejas teruk akibat konflik yang berlaku hampir dua tahun lalu.
Penduduk Syria tersepit dalam perang saudara antara puak pemberontak dan tentera yang setia dengan Presiden Bashar al-Assad, terpaksa membakar buku-buku dan perabot untuk memanaskan badan disebabkan
kekurangan bahan bakar seperti minyak dan elektrik.
Situasi itu bertambah meruncing bagi ribuan pelarian yang kini berlindung di negara-negara jiran seperti Lebanon dan Jordan serta lebih sejuta penduduknya yang terperangkap di negara itu.
Bagaimanapun, kejadian ribut salji disusuli banjir besar yang melanda tidak menghentikan pertempuran antara kedua-dua pihak. Kini lebih 60,000 nyawa terkorban.
Abu Othman, seorang aktivis puak penentang berkata, serangan darat masih berterusan biarpun cuaca buruk menyebabkan tentera Assad terpaksa menghentikan serangan udara buat sementara waktu.
"Keadaan semakin buruk sejak ribut melanda. Semua orang kesejukan, tiada apa yang boleh digunakan untuk memanaskan badan kami.
"Kekurangan bekalan makanan juga berlaku kerana hujan dan salji menyebabkan keadaan jalan raya sangat berbahaya," katanya sambil memberitahu suhu di Damsyik kini mencecah negatif enam darjah Celcius.
Di utara Syria, ribuan pelarian kini berlindung di dalam gua, kata Fadi Yasin, aktivis dari wilayah Idlib, kawasan tercetusnya protes aman sebelum bertukar kepada penentangan bersenjata.
Sebahagian daripada ribuan penduduk yang kehilangan rumah ekoran pertempuran itu telah berpindah ke Bandar Mati Syria iaitu kawasan penempatan lama era Byzantine, katanya.
Misi bantuan
"Mereka terpaksa menggunakan plastik dan surat khabar untuk menutup bahagian tingkap bangunan berkenaan serta tinggal di dalamnya biarpun menyedari ia sangat berbahaya terutama dalam keadaan ribut seperti sekarang ini.
"Ramai yang tidak mempunyai apa-apa untuk memanaskan badan, hanya segelintir yang bernasib baik," katanya.
Seorang aktivis dari Republik Chech, Michal Przedalcki daripada pertubuhan People In Need yang menjalankan misi bantuan di utara Syria, menjangkakan ramai pelarian tidak mampu bertahan dalam situasi berkenaan.



"Kekurangan makanan sejak beberapa bulan lalu mendedahkan mereka terhadap penyakit, lebih-lebih lagi dalam cuaca sejuk yang ekstrem."
Di Lembah Bekaa, kem sementara yang menempatkan lebih 400 pelarian di Lebanon musnah selepas banjir dan ribut yang melanda kawasan itu.
"Ribut dan hujan sebelum ini menyebabkan banyak khemah rosak, kini salji tebal mula melanda Bekaa menyebabkan penduduk dan pelarian di sini sangat memerlukan bantuan," kata pegawai perhubungan luar Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR) Cecile Fradot.
Penempatan baharu
Menurut Fradot, agensi bantuan itu kini giat memindahkan pelarian ke penempatan baharu. "Kami akan memindahkan setiap keluarga yang terjejas selepas khemah mereka dilanda banjir di utara. Situasi semakin buruk, ia merupakan permulaan musim sejuk di rantau ini," katanya.
Keadaan sama turut berlaku di kem Zaatari di Jordan, yang menempatkan lebih 30,000 pelarian Syria apabila mereka terpaksa menjadikan bangunan sekolah karavan pasang siap sebagai penempatan sementara.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan terdapat lebih 600,000 pelarian memerlukan bantuan termasuk makanan, selimut dan pakaian.
Sekurang-kurangnya sebanyak AS$1.5 bilion dolar (RM4.5 bilion) diperlukan dalam tempoh enam bulan lagi bagi tujuan itu, menurut PBB.
Ribut salji turut menjejaskan seluruh Asia Barat. Beberapa bandar seperti Baitulmuqaddis, Ramallah, Amman dan Damsyik kini diselaputi salji tebal.
Ekoran itu, kebanyakan negara kini telah menghentikan sistem pengangkutan awam dan menutup sekolah-sekolah. Banyak perniagaan terpaksa ditutup kerana pekerja tidak boleh keluar bekerja.
"Kawasan pusat bandar kini kelihatan seperti hamparan permaidani putih," kata jurucakap bagi pihak berkuasa Baitulmuqaddis, Elisha Peleg kepada Jurusalem Post.
"Golongan warga emas di sini juga tidak mampu mengingati bila kali terakhir mereka berdepan dengan ribut salji," jelasnya.
Lebuh raya utama di Israel di luar Baitulmuqaddis telah ditutup, begitu juga kebanyakan laluan ke arah utara negara itu dan Bukit Golan.
Pihak berkuasa Palestin di Ramallah, Tebing Barat turut mengumumkan situasi darurat di seluruh negara.
Di Semenanjung Gaza, beberapa terowong yang menghubungkan wilayah itu dan Mesir ditutup akibat banjir.
Ketua pasukan bantuan di bandar Nablus, utara Tebing Barat, Ghassan Hamdan berkata, penduduk di wilayah itu bakal terjejas disebabkan kekurangan infrastruktur.
"Mereka tidak mampu berhadapan dengan cuaca ekstrem seperti ini. Banjir dan ribut menyebabkan banyak kemusnahan," katanya.
Dianggarkan sekurang-kurangnya 17 orang dilaporkan terbunuh akibat fenomena itu sehingga kini.
Di Lebanon, Pertubuhan Palang Merah melaporkan enam orang terbunuh akibat kemalangan jalan raya manakala beberapa orang lagi dipercayai lemas dihanyutkan banjir. Seorang lelaki berusia 30-an dilaporkan maut di Taalabaya, wilayah Bekaa, selepas kenderaanya terperangkap di dalam salji tebal. Sementara itu, di Ramallah pihak berkuasa Palestin melaporkan dua wanita mati lemas dihanyutkan arus deras. Mangsa dikenali sebagai Samah Kanan, 36, dan Hana Al Sarawi, 24, berasal dari Nablus.
Timbalan gabenor Ramallah, Annan Atirah berkata, air yang melimpah di atas jalan raya menyebabkan mangsa terperangkap di dalam kenderaan sebelum dihanyutkan air ketika cuba menyelamatkan diri. Seorang lagi mangsa, yang juga pemandu kenderaan berjaya diselamatkan, namun keadaannya kritikal. Di Mesir pula, usaha sedang dilakukan untuk mencari 10 nelayan yang dilaporkan hilang di Marsa Matruh selepas bot mereka dibadai ribut.





Agensi berita negara itu, Mena melaporkan jarak penglihatan yang terhad, angin kencang dan hujan lebat menyebabkan pihak berkuasa menutup beberapa pelabuhan termasuk di Alexandria dan Dakhila di mana ia turut menjejaskan operasi di Terusan Suez.
Sementara itu, di Turki, syarikat penerbangan Turki Arlines turut membatalkan ratusan penerbangan.
Banyak sekolah ditutup khususnya di bahagian utara negara itu termasuk Istanbul, selepas sebuah bas tergelincir di atas jalan raya licin yang mencederakan 30 penumpang.
Biarpun ia mengundang pelbagai bencana di sesetengah kawasan di Asia Barat, namun ada juga penduduk yang menganggap ribut salji sebagai satu peristiwa yang jarang berlaku dan kesempatan yang ada digunakan sepenuhnya untuk bermain bola salji dan membina orang salji.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0118&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm#ixzz2IIVwXPYs 
Hakcipta terpelihara