PENNSYLVANIA 1 Okt. - Seorang peminat kereta, menghasilkan sebuah troli gergasi beli-belah terpantas di dunia dengan menggunakan enjin 290 kuasa kuda.
Cal VanSant, 49, menghabiskan masa selama dua tahun dan memperuntukkan sebanyak 10,000 pound (RM50,000) bagi membina 'Shopper Chopper' yang mempunyai ketinggian 2.7 meter.
Peralatan itu mampu memuatkan enam orang dan bergerak menggunakan kuasa enjin Chevrolet V8 5.8 liter, yang biasa digunakan untuk kereta lasak.
VanSant membina troli tersebut selepas diminta menantu lelakinya, Brent Musser, namun kini alat tersebut sering disewa untuk tujuan promosi.
Menurutnya, keluarga menantunya memiliki kedai runcit dan setiap tahun mereka akan menggunakan kenderaan yang pelik ketika terlibat dengan perarakan yang dianjurkan di kawasan tersebut.
"Pernah sekali mereka menunggang motosikal mini, tahun berikutnya motosikal mini empat roda dan dua tahun lalu, mereka mahukan sesuatu yang baru.
"Akhirnya mereka datang dengan idea troli gergasi ini dan meminta saya menghasilkannya," kata VanSant, yang memiliki kemahiran dalam bidang kejuruteraan.
Kelajuan paling tinggi yang mampu dicapai oleh troli tersebut belum diuji, namun kenderaan yang mempunyai kuasa yang sama mampu memecut hingga kelajuan sekitar 209 kilometer sejam.
Dia yang tinggal di Lancaster, di sini, berharap untuk mencipta rekod baru troli beli-belah paling laju di dunia.
"Saya mendapat inspirasi daripada rancangan Top Gear. Saya selalu kagum dengan peralatan aneh yang direka dalam rancangan tersebut," katanya. - AGENSI
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121002/lu_05/Troli-gergasi-290-kuasa-kuda-dihasilkan#ixzz289YpogXC
© Utusan Melayu (M) Bhd