Tarikh : December 30, 2011
ABUJA - Sebutir bom buatan sendiri dilempar ke dalam sebuah sekolah pondok Islam di utara Nigeria, Selasa lalu, menyebabkan tujuh orang cedera.
'via Blog this'
ABUJA - Sebutir bom buatan sendiri dilempar ke dalam sebuah sekolah pondok Islam di utara Nigeria, Selasa lalu, menyebabkan tujuh orang cedera.
BOSTON 31 Dis. - Penggodam terdiri daripada anggota kumpulan gabungan Anonymous baru-baru ini, menyiarkan beratus-ratus ribu alamat e-mel dan beribu-ibu nombor kad kredit milik pelanggan syarikat analisis perisikan swasta, Strategic Forecasting Inc.
Senarai yang disiarkan di Internet pada Khamis lalu itu termasuk membabitkan individu terkemuka seperti bekas Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) Dan Quayle, bekas Setiausaha Negara, Henry Kissinger dan bekas Pengarah Agensi Siasatan Pusat (CIA), Jim Woolsey.
Senarai itu juga termasuk maklumat sejumlah besar mereka yang bekerja dengan syarikat-syarikat besar AS, ketenteraan AS dan kontraktor-kontraktor pertahanan besar.
Penggodam dilaporkan menggunakan taktik pengedaran e-mel bervirus dikenali sebagaispear phishing untuk memperdayakan mangsa.
Pada minggu lalu, penggodam yang dikenali sebagai Antisec itu mendedahkan telah menggodam firma yang dikenali sebagai Stratfor dan menyatakan pendedahan data yang diperolehi mereka itu nanti akan mencetuskan huru-hara.
Antisec, bagaimanapun tidak mendedahkan bila ia akan melakukannya tetapi penganalisis politik menyatakannya ia mungkin mengandungi maklumat yang akan memalukan kerajaan AS.
Stratfor, semalam dalam satu kenyataan mengesahkan e-mel yang disiarkan itu telah dicuri daripada pangkalan data mereka dan mereka sedang membantu penguat kuasa undang-undang untuk menyiasat perkara itu. - REUTERS
BEIRUT 31 Dis. - Harapan untuk melihat pemberontakan berdarah di Syria selama sembilan bulan berakhir dengan kehadiran pasukan pemerhati daripada Liga Arab, berkecai setelah 35 lagi penduduk awam terbunuh apabila tentera melepaskan tembakan ke arah beratus ribu penunjuk perasaan antikerajaan di Damsyik dan bandar-bandar lain, semalam.
Menurut Jawatankuasa Koordinator Tempatan, rangkaian aktivis yang menganjurkan protes melaporkan sekurang-kurangnya 35 orang terbunuh dalam protes di seluruh Syria, semalam.
Mereka termasuk sembilan orang yang terbunuh di pusat bandar Hama dan lima di selatan bandar Dara, tempat di mana pasukan pemerhati Liga Arab ditempatkan.
Aktivis pembangkang sebelum ini telah menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap misi pemerhati Liga Arab yang dihantar untuk memantau keadaan di Syria serta memastikan Damsyik mematuhi pelan damai serantau yang menggesa tentera keluar dari kawasan bandar, tahanan politik dibebaskan dan akses bebas kepada media.
Menurut aktivis, misi itu terlalu kecil dan senang diperdaya oleh kerajaan.
Sementara itu, pegawai-pegawai Syria menegaskan bahawa mereka melaksanakan pelan damai itu.
Tunjuk perasaan, semalam merupakan antara yang terbesar dan paling banyak sepanjang minggu ini apabila kumpulan pemberontak menggesa penyokong mereka menunjukkan kekuatan dengan menawan semula dataran-dataran bandar.
Beratus-ratus ribu orang dilaporkan berhimpun di jalan-jalan raya selepas solat Jumaat, semalam. - REUTERS/ AGENSI
CARACAS, Venezuela - Kira-kira 100 orang wanita berkeras memfailkan saman ke atas pengeluar implan payudara dari Perancis dan para pengedarnya di Venezuela untuk menuntut pampasan.
Pengeluar terbabit, Poly Implant Prothese (PIP) dilaporkan telah menjual ratusan ribu implan yang diperbuat daripada silikon berkualiti rendah di seluruh dunia.
Pihak berkuasa Perancis menasihatkan 30,000 orang wanita yang memiliki implan PIP agar mengeluarkannya. Ini kerana mereka berdepan risiko implan tersebut bocor dan silikon tersebut masuk ke dalam tubuh.
Dalam saman yang bakal diserahkan pada pertengahan Januari depan, wanita-wanita terbabit menuntut defendan menanggung kos implan itu dikeluarkan dan diganti dengan implan lain.
"Kami tahu bahawa kerajaan Perancis telah menuntut sokongan teknikal dan kewangan bagi pihak wanita yang terjejas dengan implan itu. Jadi kami mahu langkah sama turut melibatkan wanita Venezuela, bukan sekadar untuk wanita Perancis sahaja," kata peguam, Gilberto Andrea.
Perkhidmatan Kesihatan Awam Venezuela Selasa lalu menyatakan pihaknya akan membantu mengeluarkan implan itu secara percuma.
Dianggarkan seramai 300,000 hingga 400,000 orang wanita di 65 buah negara di Eropah dan Amerika Latin telah menggunakan implan buatan PIP yang kini diisytihar bankrap. - AFP
PYONGYANG - Korea Utara semalam secara rasminya mengumumkan Kim Jong-un (gambar) sebagai Komander Tertinggi negara komunis itu selepas kematian bapanya, Kim Jong-il.
Pengumuman itu sekali gus mengukuhkan lagi autoriti Jong-un ke atas negara nuklear yang memiliki lebih 1.2 juta anggota tentera.
Jawatan tersebut diberikan dalam mesyuarat Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja Korea Utara pada Jumaat lalu, lapor agensi berita Korea Tengah dalam satu kenyataan.
Pelantikan Jong-un sebagai komander tentera Korea Utara dikatakan dibuat berikutan wasiat daripada Jong-il pada 8 Oktober lalu. Jong-un turut menerima pelbagai gelaran lain daripada parti pimpinannya itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Korea Utara memberi amaran bahawa ia tidak akan berlembut terhadap Korea Selatan biarpun setelah kematian Jong-il. Suruhanjaya Keselamatan Kebangsaan Korea Utara menegaskan bahawa ia tidak akan berunding dengan Presiden Korea Selatan, Lee Myung-bak. Mesej keras itu juga menyatakan rakyat Korea Utara bersatu di bawah kepimpinan Jong-un.
Namun, berdasarkan kepada kekurangan pengalaman dan usia Jong-un yang muda, timbul persoalan berkaitan kemampuannya untuk menangani rundingan program nuklear, masalah ekonomi dan kekurangan makanan kronik yang melanda Korea Utara sejak sekian lama. - Agensi
CHENNAI, India - Sekurang-kurangnya 34 orang terbunuh apabila puting beliung Thane dengan kekuatan angin 140 kilometer sejam (km/j) melanda kawasan pantai Cuddalore, negeri Tamil Nadu di selatan India semalam.
"Dianggarkan 50,000 buah pondok musnah akibat angin kencang. Kami akan mendapatkan gambaran lebih jelas tidak lama lagi," kata pengurus daerah, V. Amuthavalli yang tidak menolak jumlah kematian mungkin meningkat.
Kebanyakan mangsa maut kerana terkena renjatan elektrik dan ditimpa dinding bangunan atau rumah. Para jurutera dilihat bekerja keras untuk memulihkan talian telefon dan bekalan elektrik yang terputus di beberapa lokasi terjejas.
Namun begitu, perkhidmatan kereta api dan kapal terbang dapat beroperasi seperti biasa tidak lama kemudian.
Angin kencang itu membuatkan sebuah kapal kargo terdampar di darat dan 70 buah bot menangkap ikan rosak. Beratus-ratus hektar padi yang sedia untuk dituai juga musnah. - AFP
APIA, Samoa - Samoa menjadi negara pertama di dunia meraikan sambutan tahun baharu 2012 kerana garis masa antarabangsa meletakkan negara yang terletak di kepulauan Pasifik itu 24 jam lebih awal berbanding masa di negara-negara lain.
Samoa dan negara jirannya, Takelau terletak hampir dengan Garisan Tarikh Antarabangsa yang merentasi Lautan Pasifik secara menegak.
Kedua-dua set gugusan pulau itu mengambil keputusan untuk menjajar semula diri mereka dari bahagian Amerika ke arah bahagian Asia pada tahun ini.
Langkah itu sekali gus membuatkan Samoa menjadi negara pertama yang menyambut tahun baharu. Rakyat Samoa mengadakan sambutan tahun baharu pada tengah malam Khamis, 29 Disember 2011.
Samoa juga melepasi hari Jumaat dan terus berada dalam zon waktu 12:01 tengah malam pada malam tahun baharu. Maka tidak hairanlah jika pantai-pantai di negara tersebut dipenuhi oleh pengunjung dan rakyat tempatan yang ingin berpesta. - Agens