Monalisa
FLORENCE, Itali 25 Sept. – Sekumpulan pakar sejarah tempatan mendakwa mereka berjaya merungkai misteri penemuan kubur seorang wanita yang menjadi model lukisan Mona Lisa, karya pelukis terkenal, Leonardo da Vinci, baru-baru ini.
Kubur tersebut ditemui di bawah simen di biara Sant’Orsola, Florence yang turut menemui tiga kubur wanita, dengan salah satu daripadanya adalah kubur Mona Lisa.
Sebelum ini beberapa rangka tulang manusia ditemui dalam misi mencari kubur model tersebut yang dipercayai merupakan isteri seorang pedagang sutera, Francesco del Giocondo iaitu Lisa Gherardini.
Portal Daily Mail melaporkan, kerja-kerja mencari rangka Gherardini diketuai seorang ahli arkeologi Itali, Silvano Vinceti di biara tersebut beberapa tahun lalu.
Menurut Vinceti, pihaknya mula menggali kubur tersebut selepas dokumen terbaharu yang ditemui mengesahkan Gherardini pernah tinggal di biara tersebut selepas kematian suaminya.
“Pihak kami sangat yakin kubur dan tulang itu adalah milik Mona Lisa, kajian akeologi dan antropologi telah dilakukan bagi mengesahkan perkara itu.
“Bagaimanapun, kami tidak menemui tengkorak, jika tidak, mungkin lebih senang untuk kami membina semula wajah asalnya. Kita juga akan melakukan kaedah baharu untuk mengenal pasti penemuan ini,” katanya.
Kebanyakan ahli sejarah bersetuju bahawa Gherardini merupakan model untuk lukisan Mona Lisa.
Lukisan itu yang dihasilkan antara 1503 dan 1506 kini dipamerkan di Muzium Louvre, Paris.
No comments:
Post a Comment