2010/11/22
Bencana, perubahan iklim jejas kehidupan jutaan orang pada 2050WASHINGTON: Sekurang-kurangnya 200 juta orang akan kehilangan tempat tinggal dan menjadi pelarian kerana bencana alam termasuk banjir disebabkan perubahan iklim di seluruh dunia menjelang 2050.
Senario itu berdasarkan laporan terbaru pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Washington DC, Refugees International, semalam.
Laporan itu menyatakan, negara miskin tegar dan selalu dilanda krisis akan paling teruk terjejas.Sehubungan itu, Amerika dan negara lain mesti mengakui ancaman akibat banjir besar yang melanda Pakistan awal tahun dan meningkatkan persediaan bagi menangani bencana alam yang semakin kerap berlaku berikutan perubahan iklim.
Banjir besar yang melanda Pakistan adalah satu peringatan yang mendedahkan ancaman sebenar bakal dihadapi akibat bencana alam berpunca dengan perubahan iklim, kata Presiden Refugees International, Michel Gabaudan.
Beliau berkata, perkara paling penting untuk dirancang kini ialah mencari jalan menangani masalah penduduk yang hilang kediaman dan sumber rezeki berpunca daripada bencana alam dan melindungi golongan berisiko tinggi, berikutan perbelanjaan diperlukan amat besar,
Banjir yang melanda Pakistan pada musim panas lalu menenggelamkan satu perlima negara itu, sama besar dengan wilayah Louisiana di Amerika dan menjejaskan lebih 20 juta penduduk.
Kesan bencana itu mengejutkan kerajaan Pakistan dan agensi bantuan kemanusiaan, berikutan skalanya yang terlalu besar dan kesulitan untuk menanganinya. AP