Pages

Monday, April 22, 2013

Wanita terkaya Brazil mati pada usia 100

Wanita terkaya Brazil mati pada usia 100SAO PAULO: Wanita terkaya Brazil, Dirce Navarro de Camargo meninggal dunia pada usia 100 tahun, lapor akhbar tempatan semalam.

Akhbar harian The Folha berkata, mendiang yang juga balu kepada pengasas konglomerat swasta Camargo Correa, mati di rumahnya kelmarin. Menurut majalah Forbes, beliau adalah orang keempat terkaya di Brazil dan wanita terkaya di negara itu dengan nilai pendapatan berjumlah AS$11.5 bilion. 

Korban gempa China meningkat

Korban gempa China meningkatSeorang kanak-kanak lelaki menangis dalam dakapan ibunya selepas melihat kemusnahan rumah mereka di perkampungan Longmen di Lushan. - Foto REUTERS

Lushan: Angka korban dan hilang akibat gempa bumi di Sichuan meningkat semalam kepada 203 dengan lebih 11,500 lagi cedera, 960 daripadanya tenat.

Pada masa sama, anggota penyelamat dilaporkan bertungkus-lumus ke tempat kejadian bagi mencari mangsa termasuk yang hilang.
Doktor dan jururawat terpaksa memberi rawatan di tempat terbuka di sini atau di bawah khemah dekat hospital yang penuh dengan kaca pecah dan runtuhan konkrit. Bekalan air dan elektrik juga terputus selepas gempa magnitud 6.6 melanda Lushan di bandar Ya'an, wilayah Sichuan, barat daya China.



Usaha bantuan sukar kerana jalan raya agak sempit dan tanah runtuh berlaku selain tindakan menyekat akses bagi mengelak kesesakan.

Bekalan sukar dihantar kerana kesesakan yang berlaku untuk ke sana. Kebanyakan bekalan masih dalam perjalanan.

Keperluan utama ialah tempat perlindungan dan bahan keperluan asas, kata jurucakap Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit.
Anggota penyelamat di Lushan menarik keluar 91 mangsa yang terselamat daripada bawah runtuhan, lapor Xinhua.

Di perkampungan paling dekat dengan pusat gegaran, hampir semua kediaman musnah.

Runtuhan berulang

Persatuan Meteorologi China memberi amaran kemungkinan tanah runtuh akan berulang di Lushan selepas 1,097 gegaran susulan berlaku.

Yaan mempunyai 1.5 juta penduduk dan salah satu lokasi kelahiran budaya teh China selain antara pusat utama melindungi beruang panda.

Sichuan juga adalah antara empat wilayah pengeluar gas di China dengan menghasilkan 14 peratus daripada keseluruhan pengeluaran negara itu.

Sinopec Group, antara pemilik loji penapis minyak terbesar Asia, berkata telaga gas besarnya di Puguang tidak terjejas. - REUTERS 

Pesawat berkuasa suria jalani ujian




PESAWAT Solar Impulse berada di Moffett Field di Mountain View, California pada Jumaat lalu.


MOUNTAIN VIEW, California - Sebuah pesawat berkuasa suria menjalani ujian pada Jumaat lalu di Teluk San Francisco selepas berlepas dari Moffett Field di sini.
Pesawat itu yang bernama Solar Impulse menjalani ujian penerbangan selama dua jam.
Menurut salah seorang pencipta dan juruterbang pesawat itu, André Borschberg, Solar Impulse akan terbang mengelilingi dunia dalam tempoh dua tahun lagi.
Pesawat satu tempat duduk itu boleh bergerak selaju 64.37 kilometer sejam dan menembusi awan.
Seorang lagi pencipta pesawat itu, Bertrand Piccard berkata, pesawat berkenaan bersedia untuk melakukan penerbangan merentasi negeri-negeri di Amerika Syarikat pada 1 Mei depan. - AP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2R8coZaSd 
Hakcipta terpelihara 

Pemetik api seperti bom tangan




GAMBAR menunjukkan pemetik api yang kelihatan seperti bom tangan.


MIAMI, Florida - Sebuah pemetik api yang berbentuk seperti bom tangan yang dibawa oleh seorang penumpang telah mencetuskan kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Miami di sini pada 18 April lalu.
Sebahagian daripada kawasan di lapangan terbang itu terpaksa ditutup selepas beberapa pengawal keselamatan menyangka pemetik api yang dibawa penumpang itu bom tangan.
Jurucakap lapangan terbang itu, Greg Chin berkata, siasatan selama dua jam dibuat berhubung kes pemetik api tersebut.
Bagaimanapun, seorang pegawai polis kemudian mengesahkan bahawa pemetik api itu bukannya bom tangan selepas pemeriksaan dibuat dengan teliti. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_10.htm#ixzz2R8cDkhn0 
Hakcipta terpelihara 

Pengamal perubatan tradisional popular di Switzerland




VIPRET menggunakan kedua-dua tangannya untuk merawat seorang pesakit di dalam sebuah bilik hotel di Geneva pada 6 Februari lalu.


FRIBOURG - Perniagaan para pengamal perubatan tradisional semakin berkembang selepas ia diamalkan secara meluas di Switzerland.
Menurut seorang ahli etnologi, Magali Jenny, semakin ramai penduduk di negara ini menemui pengamal perubatan tradisional.
Jenny berkata, lebih 500 orang pengamal perubatan tradisional yang aktif menyediakan perkhidmatan di wilayah yang menggunakan bahasa Perancis di Switzerland.
Salah seorang pengamal perubatan itu, Denis Vipret mengenakan bayaran sebanyak AS$53 (RM160.90) yang menggunakan kedua-dua tangannya sebagai usaha untuk menyembuhkan penyakit para pesakitnya.
"Tangan kiri saya boleh mengesan apa yang tidak kena (penyakit) dan saya menyembuhkan penyakit dengan tangan kanan," katanya yang memakai baju kemeja dan seluar jean semasa dia mempromosikan perkhidmatannya di sebuah hotel di Geneva baru-baru ini.
Semasa dikunjungi seorang wartawan agensi berita AFP, dia menghabiskan masa kurang seminit untuk memeriksa setiap pesakit.
Kedua-dua tangannya memegang bahu pesakit semasa mengenal pasti penyakit yang dihidapi pelanggannya.
"Saya melihat kanser, tumor, AIDS, leukemia dan kekurangan ion," katanya.
Dia menegaskan, dapat melindungi pesakit untuk tempoh 30 hari sahaja.
Beberapa pesakitnya dapat merasai tangannya yang panas semasa dia menyentuh badan mereka.
Seorang pesakit yang berusia 70 tahun, Claire yakin Vipret dapat menyembuhkan penyakitnya.
Bagaimanapun, terdapat kes penipuan dalam kalangan pengamal perubatan tradisional sebelum ini.
Pada bulan lalu, seorang pengamal perubatan tradisional di Bern dihukum penjara hampir 13 tahun kerana menyuntik 16 orang pesakitnya dengan darah dicemari virus HIV. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_07.htm#ixzz2R8bdjD4a 
Hakcipta terpelihara 

Hospital kos murah di India




SEBUAH wad yang terdapat di dalam hospital itu.


BANGALORE - Sebuah hospital di Mysore menawarkan kos pembedahan jantung pada kadar yang lebih murah kepada para pesakit.
Hospital Narayana Hrudayalaya itu terletak dua jam perjalanan dari sini, dibina dengan kos sebanyak AS$7.4 juta (RM22.45 juta) dalam tempoh 10 bulan dan dibuka baru-baru ini.
Pengasas hospital itu ialah salah seorang pakar jantung yang terkenal di dunia, Devi Shetty.
Di hospital itu, penyaman udara hanya disediakan di bilik-bilik pembedahan dan unit rawatan rapi.
Hospital itu dilengkapi dengan tingkap yang besar bagi mengurangkan penggunaan penyaman udara.
Saudara-mara atau rakan yang melawat pesakit diberikan latihan kejururawatan selama empat jam dan mereka boleh melakukan kerja-kerja yang mudah seperti menukar pembalut luka pesakit.
Kumpulan pengurusan hospital itu percaya ia mampu mengurangkan kos pembedahan jantung sehingga kepada AS$800 (RM2,427).
Sebahagian pesakit miskin dibenarkan untuk menerima rawatan secara percuma.
Menurut Shetty, terdapat hospital yang dibina dengan dilengkapi 200 hingga 300 katil dekat Stanford, Amerika Syarikat (AS).
Beliau berkata, kos pembinaan hospital di AS itu mungkin lebih AS$600 juta (RM1.82 bilion).
"Terdapat sebuah lagi hospital akan dibina di London. Kos hospital itu dipercayai lebih AS$1.52 bilion (RM4.61 bilion)," kata bapa kepada empat orang anak itu.
Menurutnya, pihaknya menyasarkan untuk membina sebuah hospital dan dilengkapi dengan peralatan pada kos hanya AS$6 juta (RM18.20 juta).
Kebanyakan pesakit tidak akan dikenakan bayaran melebihi AS$1,800 (RM5,462).
Kejayaan Shetty menyebabkan beliau menjadi seorang yang kaya dan dikenali di peringkat antarabangsa.
Baru-baru ini, stesen televisyen Al-Jazeera menyiarkan enam siri tentang hospital itu dengan wad-wad dipenuhi pesakit yang terdiri dalam kalangan petani dan buruh.
"Kami pernah melihatnya (Shetty) menerusi televisyen baru-baru ini dan kami dapat melihat komitmen beliau untuk membantu penduduk miskin dan kelas pertengahan," kata seorang kakitangan awam, Ranjan Bhattacharya.
Bhattacharya membawa isterinya yang sakit ke hospital itu dengan sanggup menempuh perjalanan sejauh 2,000 kilometer dengan menggunakan kereta api.
Doktor-doktor di hospital itu melakukan pembedahan pada awal pagi sehingga pada waktu malam selama enam hari seminggu.
Penubuhan hospital itu diilhamkan daripada syarikat penerbangan tambang murah yang mengggunakan pesawat-pesawat sedia ada dengan semaksimum mungkin. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0422&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2R8bUUYR3 
Hakcipta terpelihara