Pages

Showing posts with label aceh. Show all posts
Showing posts with label aceh. Show all posts

Thursday, January 3, 2013

Wanita dilarang duduk seperti lelaki




AFP
SEORANG wanita membonceng sebuah motosikal di Banda Aceh semalam.


BANDA ACEH, Indonesia - Sebuah bandar di sini akan melarang wanita daripada duduk seperti lelaki ketika membonceng motosikal bersama kaum Adam, kata datuk bandarnya semalam kerana beliau menganggap posisi tersebut tidak sopan.
Langkah itu diambil selepas pemimpin-pemimpin wilayah berkenaan mendraf beberapa rang undang-undang baharu termasuk melarang wanita berseluar ketat, merejam suami atau isteri yang berzina dan merotan pesalah homoseks.
Aceh merupakan satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan undang-undang syariah.
Di bawah undang-undang baharu itu, wanita di bandar Lhokseumawe, utara, Pulau Sumatera perlu membonceng dengan kedua-dua kaki mereka terjuntai di sisi motosikal.
"Wanita yang membonceng motosikal tidak boleh duduk seperti menunggang kerana ia akan membangkitkan nafsu penunggang lelaki. Peraturan itu juga bagi melindungi wanita daripada sebarang perkara yang tidak diingini," kata Datuk Bandar, Suaidi Yahya.
"Tidak sopan untuk wanita duduk seperti lelaki. Kami melaksanakan undang-undang Islam di Lhokseumawe," tambahnya.
Namun, kata Suaidi, wanita-wanita dibenarkan duduk seperti lelaki jika motosikal berkenaan dikendalikan mereka. Bagaimanapun, katanya, mereka mereka perlu berpakaian sopan menurut cara Islam.
Beliau merancang menghebahkan larangan itu dalam tempoh beberapa minggu lagi dan membincangkannya dengan ulama-ulama sebelum peraturan tersebut dikuatkuasakan.
Aceh mula melaksanakan undang-undang syariah selepas wilayah tersebut diberikan kuasa autonomi khas pada 2001.
Pihak berkuasa wilayah berkenaan kerap melaksanakan hukuman rotan ke atas mereka yang didapati meminum arak dan berjudi. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0103&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2GrgYIRvz 
Hakcipta terpelihara 

Wednesday, September 26, 2012

Aceh ada 27 pulau baru selepas dilanda tsunami

BANDA ACEH; Sebanyak 27 pulau baru muncul di perairan laut Simeulue, Aceh, selepas wilayah itu dilanda gempa bumi dan tsunami pada Disember 2004.

Selepas hampir lapan tahun, kini ada tanda wujud hidupan di pulau berkenaan.


Pegawai daerah Simeulue, Hasrul Edyar, mengesahkan penemuan itu.

Katanya, kemunculan pulau baru itu dikesan hasil kajian bersama tentera laut, jabatan perikanan serta beberapa agensi lain pada 2008.


“Sebelum ini jumlah pulau kecil di perairan itu cuma 41 tetapi kini meningkat kepada 68 pulau,” katanya. Antara kesan kehidupan ditemui di situ, kata Hasrul, ialah rumput dan pokok liar. “Sebahagian besar kawasan itu masih tandus,” katanya. - Republika

Wednesday, April 11, 2012

Bekas pejuang gabenor Aceh

BANDA ACEH: Aceh akan mendapat gabenor baru selepas bekas pemimpin pejuang pemisah, Dr Zaini Abdullah, 71, memperoleh 56 peratus undi, mengalahkan Irwandi Yusuf, yang hanya meraih 29 peratus undi, mengikut keputusan kiraan awal.
Zaini, doktor perubatan, melarikan diri dari Indonesia pada 1981, memasuki Singapura dengan menaiki bot nelayan sebelum berlepas ke Sweden menggunakan pasport Palang Merah dan menetap di negara itu selama 20 tahun serta menjadi Menteri Luar Gerakan Aceh Merdeka (GAM).

Beliau kembali ke Aceh selepas perjanjian damai 2005 yang ditandatangani setelah 130,000 penduduk wilayah itu terbunuh akibat tsunami, sekali gus menamatkan perang saudara.

Kemenangan Zaini di atas tiket Partai Aceh (PA) yang menguasai kebanyakan kerusi dewan wilayah dan dianggotai sebahagian besar bekas pejuang GAM, dijangka meningkatkan kestabilan di Aceh.

Kebanyakan bekas anggota pemisah tidak berpuas hati dengan pentadbiran sebelum ini.

Irwandi yang mempertahankan jawatan itu dan bertanding atas tiket bebas didakwa tidak banyak bertindak untuk membantu mereka.


Zaini akan dibantu oleh Muzakir Manaf, 49, bekas Panglima GAM yang menjadi pengerusi PA sejak 2007.

Aceh ialah satu-satunya wilayah di Indonesia yang melaksanakan hukum syariah. Bagaimanapun, isu itu hampir tidak timbul sepanjang kempen pilihan raya berkenaan.
Sementara itu, pemerhati tempatan berkata, kemenangan calon PA dalam pilihan raya kelmarin ialah kerana parti itu memiliki struktur ‘komando’ yang tersusun hingga ke peringkat desa.

“Mereka menang kerana struktur organisasi yang baik hingga ke seluruh pelusuk desa,” kata Teuku Ardiansyah, penganalisis politik keamanan Aceh dari Institut Katahati, semalam.

Berdasarkan keputusan awal, PA juga memenangi pilihan raya peringkat daerah di Pidie, Lhokseumawe, Aceh Utara, Kota Sabang, Aceh Jaya, Aceh Besar dan Aceh Barat Daya. - ANN

Tuesday, April 10, 2012

Pasukan peronda cegah maksiat di Aceh




SEORANG anggota polis peronda pencegah maksiat memeriksa kad pengenalan satu pasangan yang belum berkahwin di Banda Aceh kelmarin.


BANDA ACEH - Anggota-anggota polis pencegah maksiat di sini melakukan rondaan dengan menaiki trak dan kenderaan lain bagi memastikan penduduk beragama Islam tidak melakukan perbuatan yang menyalahi ajaran agama itu.
Mereka akan menghampiri pasangan yang dilihat berdua-duaan dan memberi nasihat kepada mereka supaya pulang ke rumah.
Aceh merupakan sebuah wilayah di Indonesia yang menguatkuasakan undang-undang syariah.
Terdapat 1,000 anggota polis itu yang dikenali sebagai Wilayatul Hisbah di sini.
Pada minggu lalu, seorang wanita memakai tudung dengan tergesa-gesa manakala satu pasangan kekasih yang menaiki motosikal beredar di sebuah kawasan di tepi pantai apabila melihat anggota-anggota peronda Wilayatul Hisbah menghampiri mereka.
Namun, satu pasangan kekasih lain yang bersembunyi di belakang sebuah batu besar ditahan oleh anggota-anggota polis itu.
"Adakah kamu sudah berkahwin?" soal seorang anggota polis tersebut yang bermisai tebal.
Pasangan kekasih itu kemudian menggelengkan kepala mereka.
"Perbuatan ini tidak dapat diterima di Aceh. Kita mempunyai undang-undang syariah di sini. Pergi pulang sekarang," kata anggota polis tersebut selepas memeriksa kad pengenalan pemuda dan gadis itu. - AFP

Thursday, January 26, 2012

Calon pilihan raya Gabenor Aceh jalani ujian bacaan Al-Quran


Pasangan calon pilihan raya Gabenor Aceh (dari kiri) Muzakir Manaf, Zaini Abdullah, Fakhrulsyah Mega, Zulfinal, Yuli Zuardi dan Hendra Fadli ketika menjalani ujian bacaan Al-Quran di Masjid Raya Baiturrahman, Banda Aceh, kelmarin. – AGENSI


JAKARTA 25 Jan. – Pasangan calon yang ingin bertanding kerusi Gabenor dan Timbalan Gabenor Aceh harus membuktikan kemampuan membaca Al-Quran dengan lancar yang merupakan sebahagian daripada ujian untuk menentukan pemahaman mereka mengenai Islam.
Kemahiran membaca kitab suci agama Islam itu bukan hanya diwajibkan kepada calon yang ingin bertanding kerusi Gabenor Aceh semata-mata.
Sebaliknya, ujian sama perlu dilalui oleh bakal calon datuk bandar atau timbalan kerusi berkenaan sejak pengenalan undang-undang syariah di wilayah berkenaan pada tahun 2003.
“Ini merupakan kali ketiga kami melaksanakan ujian membaca Al-Quran kepada bakal calon sejak kami membuka pendaftaran pilihan raya di Aceh,” kata jurucakap suruhanjaya pilihan raya Aceh, Akmal Abzal.
Kesemua pasangan calon Gabenor dan Timbalan Gabenor yang melalui ujian berkenaan di Banda Aceh pada Selasa lalu ialah Zaini Abdulah dan Muzakir Manaf, pasangan Fakhrulsyah Mega dan Zulfinal serta Hendra Fadli dan Yuli Zuardi Rais.
Ujian membaca Al-Quran itu dikendalikan oleh suruhanjaya pilihan raya wilayah berkenaan dengan kerjasama daripada Perhimpunan Ulama, Agensi Perhubungan Agama serta Yayasan Pembangunan Al-Quran.
Menurut Akmal, semua calon yang melalui ujian itu harus mencapai markah sebanyak 50 sebelum layak bertanding pada pilihan raya.
Pada ujian kelayakan itu yang turut dibuka kepada orang ramai untuk melihatnya, setiap calon diwajibkan membaca tiga daripada 114 surah yang terdapat dalam kita suci itu.
“Seandainya seorang calon itu seorang muslim sejati, membaca Al-Quran bukan masalah besar buat mereka,” kata Naimah, seorang penduduk dari Keutapang, Aceh Besar.
Menurut Naimah, kemahiran membaca Al-Quran merupakan satu kemestian bagi mana-mana individu yang mahu memimpin Aceh. – UTUSAN
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Wednesday, January 25, 2012

Calon pilihan raya Gabenor Aceh jalani ujian baca al-Quran

JAKARTA: Bagi melayakkan diri bertanding dalam pilihan raya Gabenor Aceh, tiga pasangan calon gabenor-timbalan gabenor menjalani ujian membaca al-Quran di Banda Aceh pada Selasa.

Dalam ujian yang dikendalikan Suruhanjaya Bebas Pilihan Raya (KIP) di Masjid Raya Baiturrahman itu yang dilakukan di khalayak umum dan disiarkan secara langsung menerusi siaran Radio Republik Indonesia (RRI) Banda Aceh, kesemua mereka lulus.
Ketiga-tiga pasangan calon itu ialah Zaini Abdullah-Muzakir Manaf dari Parti Aceh serta Fakhrulsyah Mega-Zulfinar dan Hendra Fadli-Yuli Zuardi Rais dari parti bebas.
Hakim dalam ujian bacaan al-Quran daripada Majlis Ulama Aceh dan Lembaga Pengembangan Tilawatil Quran (LPTQ) menilai peserta daripada segi cara membaca, adab membaca dan kefasihan bacaan.

Mereka harus mendapat sekurang-kurangnya 50 markah untuk lulus.

Kemahiran membaca al-Quran adalah syarat wajib bagi calon yang akan bertanding dalam pilihan raya gabenor dan timbalan gebenor serta calon pegawai daerah dan penolong pegawai daerah, sejak Aceh melaksanakan undang-undang syariah pada tahun 2003.

Ketiga-tiga pasangan calon yang menjalani ujian bacaan al-Quran semalam adalah calon yang baru mendaftarkan diri selepas KIP membuka semula pendaftaran sebagaimana perintah Mahkamah Perlembagaan Indonesia pada 17 Januari lalu.
Sebelum ini, KIP telah menerima pendaftaran empat pasangan calon untuk bertanding dalam pilihan raya itu, yang telah dijadualkan semula untuk diadakan pada 9 April.

Pasangan calon lain sudah pun lulus dalam ujian yang sama, selepas pendaftaran mereka. - BERNAMA Berita Harian Online | Calon pilihan raya Gabenor Aceh jalani ujian baca al-Quran:

'via Blog this'