Hashmot
Agensi
Dhaka: Seorang nelayan yang hanya tinggal sebahagian mukanya sahaja selepas dicakar seekor harimau berharap mendapatkan bantuan bagi membolehkannya melakukan pembedahan kerana bimbang wajahnya yang hodoh itu akan menyukarkan anaknya memperoleh suami.
Hashmot Ali, 40, diserang ketika menangkap ikan di hutan bakau di selatan Bangladesh dan sejak itu dia hidup merana.
Dia dipulau dan dimalukan oleh masyarakat yang mendiami kawasan berhampiran hutan Sundarbans, tidak boleh menghadiri majlis keramaian atau bergaul dengan penduduk kampung.
Kerana terdesak mencari suami yang baik untuk anak perempuannya, Hashmot cuba mendapatkan bantuan bagi menjalani pembedahan plastik.
Dia semakin bimbang kerana sudah menjadi tradisi penduduk kawasan berkenaan memulaukan ‘janda harimau’ - merujuk kepada wanita yang kehilangan suami akibat serangan haiwan liar.
Hashmot diserang harimau ketika keluar menangkap ikan di sungai di dalam hutan bersama sekumpulan nelayan ketika dia berusia 20 tahun. Kerana kepenatan pada satu malam, mereka tidur di dalam sampan dan keadaan begitu malang apabila haiwan itu menyerang mereka.
Ia mencakar muka Hashmot hingga menyebabkan sebahagiannya koyak dan dia kehilangan sebelah mata.
Mereka terpaksa mendayung selama enam jam untuk pulang ke kampung sebelum Hashmot di bawa ke hospital.
Bagaimanapun, keadaan sudah terlambat untuk dia mendapatkan rawatan sempurna dan doktor hanya mampu memberhentikan pendarahan pada mukanya.
Hoshmat yang sudah berkahwin dan mempunyai anak masih bergantung harap dengan hasil hutan kerana gagal mencari pekerjaan lain. Dia juga menjual ikan di kampungnya dengan menutup sebahagian mukanya dengan sapu tangan.
Lelaki itu merancang menjalani pembedahan plastik untuk memulihkan keadaan mukanya, tetapi degan pendapatannya ketika ini, dia tidak mampu dan terpaksa meminta bantuan dari luar.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Ogos 2016 @ 7:20 AM