Pages

Monday, September 12, 2011

Polis serbu perhambaan




Tapak karavan perhambaan Green Acres di Leighton Buzzard, utara London diserbu polis, semalam. - AFP


LONDON 12 Sept. - Polis Britain menyerbu sebuah kawasan penempatan pengembara, semalam bagi menyelamatkan 24 orang yang dikatakan dijadikan hamba dan dipaksa tinggal dalam keadaan kotor dan ada sehingga 15 tahun.
Lebih daripada 200 orang pegawai polis Bedfordshire memasuki kawasan karavan Green Acres di Leighton Buzzard, barat laut London, dan menahan empat lelaki serta seorang wanita, kesemua penghuni kawasan tersebut, kerana disyaki melakukan kesalahan perhambaan.
Menurut polis, kebanyakan mereka yang dibebaskan itu merupakan orang Inggeris dan ada yang berasal dari timur Eropah. - AFP

Kaji semula hubungan Mesir, Israel: Ikhwan


KAHERAH: Ikhwanul Muslimin semalam menggesa supaya pihak berkuasa Mesir mengkaji semula hubungan dengan Israel yang terikat dengan perjanjian damai sejak 1979.
Kumpulan itu turut mengecam tindakan meningkatkan keselamatan yang dikuatkuasakan selepas penunjuk perasaan menyerang kedutaan rejim Zionis itu.

“Israel sudah pasti menerima mesej dan faham bahawa Mesir sudah berubah, seluruh rantau ini akan berubah dan tidak ada ruang baginya untuk terus berdegil dan bersikap menindas,” kata kumpulan itu dalam kenyataannya.

Ikhwan diharamkan selama 30 trahun sepanjang pemerintahan Hosni Mubarak.

Selepas revolusi Februari lalu yang menggulingkan Presiden Mesir itu, ia membentuk Parti Pembebasan dan Keadilan.

Parti itu bagaimanapun tidak mendesak supaya perjanjian damai, yang pertama oleh sebuah negara Arab dengan Israel, dibatalkan.


Kerajaan Mesir memberi amaran Sabtu lalu, ia akan bertindak keras selepas penunjuk perasaan menyerang kedutaan Israel di Kaherah hingga memaksa duta rejim Zionis itu melarikan diri dan mendorong Washington menyuarakan kebimbangan. - AFP

Wanita dituduh rogol anak lelakiWanita dituduh rogol anak lelaki

COLOMBUS: Seorang wanita Ohio dituduh memperkosa anak lelakinya yang berusia 10 bulan dengan merakam aksi itu dan kemudian menghantarnya kepada teman lelakinya di Michigan.
Ashley N Jessup, 24, didakwa di Columbus, Khamis lalu atas dua tuduhan memperkosa, satu tuduhan membahayakan nyawa kanak-kanak dan satu tuduhan memuaskan nafsu seksual membabitkan golongan yang lemah. Pendakwa raya daerah Franklin, Ron O'Brien berkata, Ashley menghantar rakaman video itu melalui e-mel kepada teman lelakinya di Battle Creek, Michigan dan ditemui bekas teman wanita lelaki itu yang kemudian menghubungi polis. - AP

77 askar AS cedera kena bom

KABUL (Afghanistan): Seramai 77 tentera Amerika cedera dan lima rakyat Afghanistan terbunuh apabila bom trak Taliban meletup di pangkalan tentera Amerika Syarikat di timur negara itu pada malam ulang tahun ke-10 serangan 11 September ke atas AS, kata Nato semalam.
Letupan itu memusnahkan bangunan kedai di luar pangkalan tentera AS di Sayed Abad di wilayah Wardak dan turut memecahkan tingkap bangunan kerajaan berdekatan, kata seorang bekas ahli Parlimen yang mempunyai klinik di bandar berhampiran, Roshana Wardak. Kumpulan Taliban mengaku bertanggungjawab atas serangan itu. Lapan orang awam yang cedera dibawa ke kilinik di Wardak dengan dua daripadanya parah dan dikejarkan ke hospital di Kabul. Menurutnya, seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun yang cedera mati ketika dalam perjalanan ke klinik.

Serangan itu dilakukan pengebom berani mati Taliban yang meletupkan sejumlah besar bom di dalam trak mengangkut kayu api. Insiden pengeboman trak itu berlaku beberapa jam selepas Taliban berikrar untuk memerangi tentera AS di Afghanistan hingga mereka meninggalkan negara itu. - AP

Doktor cuai silap cabut gigi

SOMERSET: Seorang doktor gigi yang mencabut gigi yang salah milik seorang pesakit, mengambilnya semula daripada tong sampah dan ‘menanamnya’ semula pada gusinya dua jam kemudian.
Kim Green yang kesakitan tidak sedar bahawa giginya yang sihat adalah antara yang yang berada dalam tong sampah itu bersama-sama tisu penuh dengan darah, kesan air ludah dan jarum yang digunakan terhadap pesakit lain.

Doktor gigi, Justin George ‘menanam’ semula gigi itu, membiarkan gigi yang sakit begitu saja dan mencadangkan dia memakan ubat tahan sakit sehingga temu janji lain diadakan.

Tetapi, malam itu, Kim, 44, tidak dapat lagi menahan kesakitan dan dimasukkan ke hospital untuk pembedahan kecemasan.

Seorang pakar bedah yang terkejut, mencabut kedua-dua gigi berkenaan dan membuat laporan mengenai George kepada pihak berkuasa tempatan dan Majlis Doktor Gigi.

Dia kini digantung tugas sementara menanti untuk dibicarakan.


Menurut Kim, ibu dua anak, berikutan kejadian itu dia terpaksa menjalani ujian darah dan suntikan antihepatitis.

Masalahnya bermula 28 Mei lalu apabila dia mengunjungi klinik gigi berhampiran kediamannya.
Kim mendakwa, George menjalankan imbasan-X pada mulutnya tetapi tidak melihat imejnya.

Dia hanya bergantung kepada Kim untuk menunjukkan gigi yang sakit.

Doktor itu hanya menyedari kesilapan itu selepas diberitahu dan melihat imej imbasan itu. - AP

Guinea Bissau sedia terima Gaddafi





2011/09/12

Bekas pemimpin Libya jalin hubungan baik, bawa pelaburan ke negara berkenaan

BISSAU: Perdana Menteri Guinea Bissau, Carlos Gomes Junior berkata negaranya bersedia menerima dan memberi perlindungan kepada pemimpin Libya yang disingkirkan Muammar Gaddafi jika beliau mempunyai hasrat berbuat demikian. 

Jika Gaddafi meminta untuk datang ke Guinea Bissau kami akan menerima beliau dengan tangan terbuka dan kami akan memastikan keselamatan beliau, katanya yang dipetik stesen Radio Diffusion Portuguese.
Negara di Afrika Barat itu mempunyai hubungan baik dengan rejim Gaddafi yang membuat pelaburan dalam pelbagai bidang perniagaan termasuk hotel, pertanian dan penanaman jambu gajus, eksport utama negara itu.
Gaddafi melawat negara itu pada 2009 dan menyediakan sokongan kepada Presiden Malam Bacai Sanha dalam kempennya. Beliau juga menyumbang pakaian seragam kepada tentera Guinea Bissau dan membaik pulih beberapa kediaman tentera negara itu. 

Sementara itu pemerintah baru Libya bersedia semalam untuk melancarkan serangan terakhir di pekan yang masih dikuasai penyokong setia Muammar Gaddafi sehari selepas tempoh akhir supaya mereka menyerah diri secara aman. 

Pemimpin sementara, Mustafa Abdel Jalil melawat Tripoli kali pertama sejak pasukan itu merampas bandar itu bulan lalu, kenderaan perisai yang dilengkapi dengan senjata anti pesawat berkumpul di luar Bani Walid, kata wartawan AFP. 

Satu kumpulan pejuang Majlis Peralihan Nasional berkumpul di pangkalan tentera tujuh kilometer di luar Bani Walid yang menjadi pangkalan awal bagi pasukan NTC dalam bersiap sedia untuk menyerang pekan, satu daripada kubu pasukan Gaddafi. 
Seorang lagi wartawan berkata pejuang berkumpul sejak subuh di gurun di Hisha, kira-kira 90 kilometer dari Misrata, menunggu arahan untuk bergerak ke Bani Walid atau kampung halaman Gaddafi di Sirte. 

Pejuang dari pasukan Misrata dan dibantu 200 kereta termasuk trak pikap yang dilengkapi senjata ringan dan raifal Kalashnikov, roket Grad dan senapang anti pesawat, kata wartawan. 

Pejuang sukarela menghabiskan masa malam Sabtu menguji kelengkapan, membersihkan senjata dan membungkus beg semasa menunggu arahan untuk bergerak, kata wartawan AFP. 

Abdel Jalil tiba kelmarin dengan sambutan permaidani merah di kem tentera Tripoli Metiga di mana beliau diserbu ratusan penyokong dan terpaksa dihalang oleh rantaian manusia. AFP 

Dapur dihempap pokok kelapa




MOHD. HAZMI (dua dari kiri) bertanya sesuatu kepada penduduk yang turut terlibat dalam kejadian ribut di Kampung Seberang, Sungai Ular, Kuantan semalam.


KUANTAN - Satu keluarga melalui detik cemas apabila bahagian dapur rumah mereka dihempap sebatang pokok kelapa dalam kejadian ribut di Kampung Seberang, Sungai Ular di sini kelmarin.
Turut rosak dalam kejadian berkenaan ialah 17 buah rumah lagi di sekitar kawasan tersebut iaitu di Kampung Darat Jering dan Kampung Bujuk.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.25 malam itu, seorang suri rumah, Aminah Abdul Rashid, 28, dan dua anaknya, Nor Fateha Hasliah, 6, dan Mohamad Hafiz yang baru berusia enam bulan berada di rumah, manakala suaminya Omar Ismail, 31, keluar bekerja.
Omar ketika ditemui berkata, dia tersentak apabila dihubungi isterinya yang menangis teresak-esak memberitahu rumah mereka telah dihempap pokok.
"Dalam hati, saya hanya terfikir isteri dan anak-anak terhimpit dan sepantas kilat memecut kenderaan untuk pulang ke rumah.
"Apabila sampai, saya hanya mampu bersyukur apabila melihat mereka anak-beranak selamat walaupun sedih apabila melihat dapur rumah kami ranap ekoran kejadian ini," katanya semasa kunjungan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mohd. Hazmi Yusoff di sini semalam.
Omar menambah, dia dan keluarganya kini terpaksa menumpang buat sementara waktu di rumah ibunya, Hasliah Mat Noor, 64, di kawasan berhampiran.

Tiga maut pokok hempap van




ORANG ramai melihat keadaan van yang remuk akibat dihempap sebatang pokok berdekatan Kilang Gula Chuping di Padang Besar semalam.


PADANG BESAR - Dua pelajar Sekolah Menengah Agama Ma'had Attarbiyah Al-Islamiyah (MATRI), Beseri maut setelah van yang dinaiki bersama-sama enam pelajar lain dihempap pokok berdekatan Kilang Gula, Chuping di sini semalam.
Mangsa ialah Hazman Bakhtiar Sharizan, 14, dari Taman Kenanga, Kulim, Kedah dan Ahmad Izzat Ismail, 17, yang berasal dari Tanjong Tokong, Pulau Pinang.
Dalam kejadian pada pukul 9.15 pagi itu turut meragut nyawa pemandu van, Shahidan Ali, 67, dari Beseri.
Seorang pelajar lain, Muhammad Ahnaf Anissofian, 14, dari Kuala Lumpur cedera parah dan kini mendapat rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar manakala lima lagi penumpang van tersebut mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supritendan Che Man Md. Deros berkata, ketika kejadian van itu dalam perjalanan membawa mangsa untuk menyiapkan projek sekolah bagi subjek Kajian Tempatan.

Penoreh bunuh gadis dihukum mati




MOHD. HARIS dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam selepas dijatuhi hukuman gantung.


ALOR SETAR - Seorang penoreh getah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini semalam setelah didapati bersalah membunuh seorang gadis di Baling dekat sini dua tahun lalu.
Mohd. Haris Abdul Talib, 28, kelihatan tenang selepas mendengar hukuman yang dijatuhkan terhadapnya selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan bahawa dia telah membunuh Farhanim Ahmad Ibrahim, 17.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zakiah Kassim dalam prosiding menyebut tertuduh dalam pembelaannya tidak dapat menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes ini sebaliknya ia bersifat penafian semata-mata.
"Mahkamah tiada budi bicara menjatuhkan hukuman gantung sampai mati mengikut peruntukan undang-undang namun tertuduh masih ada peluang untuk merayu," kata beliau.
Zakiah kemudian menasihatkan tertuduh supaya membaiki diri sementara menunggu keputusan rayuannya.

Ira disihir guna gambar dalam FB



IRA (tengah) ditemu bual oleh wartawan Kosmo!, Suhana Md. Yusop sambil diperhatikan oleh Shamsuri Shafie di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan kelmarin.


NILAI - Disihir menggunakan gambar yang terdapat dalam laman sosial Facebook (FB).
Itu yang didakwa berlaku kepada seorang pelajar institusi pengajian tinggi, dikenali sebagai Ira apabila gambar dari laman sosialnya dijadikan sebagai senjata pemujaan sihir.
Ira, 22, mendakwa, dia telah disihir oleh seorang wanita yang dikenali sebagai Maria kerana cemburu akan hubungan bersama teman lelakinya serta mahu memutuskan hubungan mereka.
"Maria adalah bekas teman wanita kekasih saya tetapi hubungan mereka telah lama putus. Sebab itu dia menyihir saya kerana ingin melihat hubungan kami hancur.
"Kami tidak mengenali antara satu sama lain.
"Dia hadir menghulurkan tangan sebagai rakan dan saya sambut kerana ingat dia jujur namun sebaliknya," dakwanya ketika ditemui baru-baru ini.
Jelas Ira lagi, dia mengetahui disihir oleh Maria melalui sekeping gambar setelah menerima rawatan daripada penaung Pusat Rawatan Islam At Tobibi di Bandar Baru Nilai, Shamsuri Safie pada Jun lalu.
Menurutnya, semasa rawatan, dia mendapati gambar mata Maria seolah-olah bersinar setiap kali dia merenungnya.
Ketika itu, dia merasakan Maria terlalu baik dan dia menurut segala kemahuannya termasuk berhenti kerja.
"Bagaimanapun setelah berubat, baru saya tahu bahawa saya bukan sahaja terkena sihir tetapi disantau oleh Maria,'' ceritanya.
Menurutnya, Shamsuri memberitahunya bahawa Maria telah meletakkan abu mayat di dalam makanannya.

Lelaki tatu tukar nama King of Ink Land



GAMBAR menunjukkan Matthew Wheeler duduk di rumahnya di Birmingham, Britain.


BIRMINGHAM, Britain - Seorang lelaki yang memenuhi hampir keseluruhan badannya dengan lukisan tatu mengejutkan rakan-rakannya selepas dia secara rasmi menukar namanya kepada King of Ink Land atau raja tatu, lapor sebuah akhbar semalam.
Lelaki berusia 31 tahun itu, Matthew Wheeler, yang berasal dari sini, menghabiskan masa hampir 300 jam serta membelanjakan £20,000 (RM95,438) selama tiga tahun untuk mengubah badannya menjadi sebuah kanvas lukisan tatu berwarna warni.
Kini Wheeler turut mengejutkan keluarga dan rakan-rakannya apabila dia meminta mereka memanggilnya dengan nama baharu tersebut.
"Seni lukisan pada tubuh saya bukan sekadar tatu. Ia adalah cara hidup saya," kata Wheeler.
"Saya mahu tubuh saya unik, justeru apa salahnya jika saya turut menukar nama saya," tambahnya. - Agensi

Kamera Google rakam wanita bogel




SEBUAH kamera Google Street View merakamkan gambar seorang wanita (dalam bulatan) berada dalam keadaan bogel di luar rumahnya di Florida.


MIAMI - Perkhidmatan Google Street View merakamkan seorang wanita yang berbogel di luar rumahnya di Florida, Amerika Syarikat, lapor sebuah akhbar semalam.
Wanita itu memegang sebotol air minuman semasa kelibatnya dirakamkan menerusi kamera tersebut.
Kelibat wanita tersebut dirakamkan menerusi kamera Google yang dipasang pada sebuah kereta yang melalui kawasan dekat dengan rumahnya.
Google Street View merupakan perkhidmatan yang menyediakan kemudahan kepada para pengunjung Internet untuk mengetahui sesuatu lokasi. - Agensi

Budak yang pernah merokok usia dua tahun kini berbadan gempal




ARDI RIZAL kini berusia empat tahun dan tubuhnya kelihatan gempal dalam program 20/20 terbitan stesen televisyen ABC.


JAKARTA - Seorang budak lelaki di Sumatera, Indonesia, Ardi Rizal yang pernah mengejutkan dunia kerana menghisap rokok ketika berusia dua tahun telah berjaya berhenti tabiat buruk itu, lapor sebuah akhbar semalam.
Bagaimanapun, kanak-kanak itu memberitahu dia akan menghisap kembali rokok jika ibunya tidak membelikannya permainan.
Ardi menjadi terkenal setelah klip video dia sedang menghisap rokok tersebar luas di Internet.
Dia kini berusia empat tahun.
Budak itu menjadi terkenal selepas sebuah program televisyen Amerika Syarikat (AS), 20/20 terbitan stesen televisyen ABC menyiarkan kisahnya. - Agensi

TV silap umum Steve Jobs mati



STEVE JOBS


LOS ANGELES - Saluran berita CBS Newstersilap melaporkan bahawa bekas Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Steve Jobs telah meninggal dunia kelmarin, lapor sebuah akhbar semalam.
Pengumuman berhubung kematian Jobs itu dibuat di laman akaun Twitter saluran tersebut.
Akaun tersebut mempromosikan program What's Trending yang dihoskan Shira Lazar terbitan CBS.
Pengumuman itu mengatakan: "Laporan menyatakan Steve Jobs sudah meninggal dunia. Tunggu untuk mendapatkan perkembangan terkini."
Laporan itu kemudian ditarik balik dengan serta- merta tetapi pengumuman tersebut masih boleh dilihat di Twitter kerana ia dihantar berulang kali oleh para pengguna laman tersebut.
Bagaimanapun, Shira yang juga penerbit eksekutif program What's Trending meminta maaf berhubung pengumuman berkenaan.
Jobs, 56, mengumumkan peletakan jawatannya pada Ogos lalu tetapi dia kekal sebagai pengerusi syarikat Apple.
Sebelum ini, Jobs pernah menjalani pembedahan hati dua tahun lalu selain membuang tumor pada 2003.
Spekulasi mengenai kesihatan Jobs sering mendapat liputan media Barat selepas tubuhnya kelihatan kurus sejak akhir-akhir ini.
Jobs terkenal kerana syarikat Apple di bawah kendaliannya mengeluarkan gajet iPhone, komputer tablet iPad dan iPod. - Agensi

Buaya gergasi baham antelop




PAOLO TORCHIO berjaya merakamkan gambar seekor buaya sepanjang 6.4 meter membaham seekor antelop di sebatang sungai di Taman Negara Maasai Mara di Kenya.


TAMAN NEGARA MAASAI MARA, Kenya - Seekor buaya gergasi sepanjang 6.4 meter membaham seekor antelop seberat 136 kilogram di sini, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Aksi buaya itu membaham haiwan tersebut sempat dirakamkan oleh jurugambar terkenal, Paolo Torchio dari Itali di sebatang sungai di sini.
Menurut Torchio, kejadian tersebut menyebabkan seseorang itu berfikir bahawa betapa kecilnya diri kita dalam dunia haiwan.
Sungai itu dipenuhi dengan bangkai haiwan yang mati semasa ia cuba untuk berhijrah dari Tanzania ke Kenya.
Dua minggu lalu, sekumpulan penduduk di bandar Bunawan, Filipina berjaya menangkap seekor buaya sepanjang 6.1 meter hidup-hidup.
Buaya itu kini ditempatkan di sebuah kurungan dan ia dipercayai buaya paling besar pernah ditangkap hidup-hidup di dunia. - Agensi

Tilam selamatkan mangsa feri karam




TIGA orang berbaring di atas tilam yang hanyut selepas sebuah feri karam dekat Pulau Pemba, Tanzania kelmarin.


ZANZIBAR - Tiga orang berbaring di atas tilam yang hanyut selepas sebuah feri yang membawa 800 penumpang karam dekat Pulau Pemba setelah belayar dari Unguja di Tanzania kelmarin.
Pemba terletak kira-kira 80 kilometer ke timur laut Unguja.
Bukan sahaja tilam tetapi pelbagai barang yang boleh terapung dipaut oleh mangsa-mangsa feri karam itu untuk menyelamatkan diri.
Dalam kejadian itu, 190 orang mati manakala lebih 600 lagi berjaya diselamatkan dalam satu operasi menyelamat.
Feri itu karam selepas ia dipercayai membawa 800 penumpang termasuk kargo yang berat.
Sementara itu, jurucakap polis, Mohamed Mhina berkata, operasi mencari mangsa feri itu dilakukan semalam tanpa mengharapkan menemui penumpang yang masih hidup.
"Kami akan terus mencari mayat tetapi tiada lagi harapan untuk menemui mangsa yang hidup," katanya.
Tanzania juga mula berkabung selama tiga hari bermula semalam bagi memperingati mangsa-mangsa tragedi feri karam itu. - Agensi

AS peringati 9/11



SAUDARA-mara mangsa serangan pengganas 11 September 2001 berkumpul di Memorial Peringatan 9/11 di New York semalam.


NEW YORK – Rakyat Amerika Syarikat (AS) semalam memperingati ulang tahun kesepuluh serangan pengganas yang berlaku pada 11 September 2001 di AS yang mengakibatkan hampir 3,000 orang terbunuh.
Presiden AS, Barack Obama dan bekas Presiden AS, George W. Bush berdiri di Ground Zero di New York yang merupakan bekas tapak bangunan World Trade Centre (WTC) yang runtuh akibat dirempuh dua pesawat komersial selepas ia dirampas pengganas pada 11 September 2001.
Serangan 11 September itu juga dikenali sebagai 9/11.

PRESIDEN Amerika Syarikat (AS), Barack Obama (kanan) dan isterinya, Michelle berjalan bersama bekas Presiden AS, George W. Bush bersama isterinya, Laura yang melawat Kolam Peringatan Utara untuk mangsa-mangsa serangan pengganas 11 September 2001 di New York semalam.


Dalam serangan itu juga, dua buah pesawat turut terhempas di Penssylvania dan di Jabatan Pertahanan Negara (Pentagon).
Majlis memperingati itu bermula dengan perarakan dan nyanyian lagu kebangsaan.
Sejumlah besar skuad polis dan anjing pengesan ditempat di seluruh kawasan di bandar raya ini.
Cuaca di bandar raya ini amat baik sama seperti ketika serangan pengganas itu berlaku sehingga mengakibatkan 2,977 orang maut selepas bangunan WTC runtuh. – Agensi