Pages

Saturday, January 14, 2012

7 Sunnah Hebat



Pertama:
Tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya. Pastinya doa mudah termakbul dan menjadikan kita semakin hampir dengan Allah.

Kedua:
Membaca Al-Qur’an sebelum terbit matahari, alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur’an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman. Paling tidak jika sesibuk manapun kita, bacalah ayat 3Qul, atau ayat qursi.

Ketiga:
Jangan tinggalkan masjid terutama di waktu subuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke mesjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.


Keempat:
Jaga sholat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha. Yakinlah, kesan solat dhuha sangat dasyat dalam mendatangkan rezeki.

Kelima:
Jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari. Percayalah, sedekah yang diberikan akan dibalas oleh Allah berlipat kali ganda.

Keenam:
Jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, “Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah”.

Ketujuh:
Amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.

Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.

Sebarkanlah ilmu ini, dan anda tidak akan rugi sedikitpun, sebarkan, semoga ianya memberi manfaat pada semua.
SKBI

Pengeluaran candu melonjak di Afghanistan

VIENNA: Pengeluaran candu dan harga hasil tanaman haram melambung 133 peratus di Afghanistan tahun lalu, menurut laporan agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.

Pejabat PBB mengenai Dadah dan Jenayah menyatakan, pendapatan petani daripada tanaman candu di Afghanistan pada 2011 mencecah AS$1.4 bilion (RM4.38 bilion), mewakili sembilan peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Oleh itu, candu menjadi sebahagian penting ekonomi Afghanistan yang menjadi sumber besar membiayai pemberontakan dan meningkatkan rasuah,” kata pengarah eksekutif pejabat PBB itu, Yury Fedotov, dalam satu kenyataan.
Afghanistan menanam kira-kira 90 peratus candu dunia.

PBB berkata, penanaman pokok popi meliputi lebih daripada 131,000 hektar pada 2011, hingga tujuh peratus dari tahun sebelum ini.

Secara keseluruhan, tanaman candu meningkat sehingga 61 peratus daripada 3,600 tan metrik pada 2010 ke 5,800 tan metrik pada 2011.

Nilai tuaian candu meningkat kepada 133 peratus pada 2010 apabila penyakit tanaman memusnahkan kebanyakan tanaman Afghan. Harga tinggi candu bermakna penanaman popi masih menjadi pilihan petani Afghan.
Menambahkan lagi masalah ialah kejatuhan harga gandum. Tahun lalu, candu menghasilkan 11 kali lebih pendapatan kepada petani Afghanistan berbanding gandum.

“Komitmen kukuh daripada rakan kongsi nasional dan antarabangsa amat diperlukan bagi mengurangkannya,” kata Fedetov.

Sebahagian besar candu dari Afghanistan diseludup menerusi Iran dan Pakistan.

Russia yang mempunyai dua juta penagih dadah dan heroin turut menjadi laluan utama narkotik ke rantau Eropah.

Moscow sering menggesa tentera Amerika Syarikat mengambil langkah lebih tegas terhadap makmal dadah di Afghanistan.

Selain itu, Russia juga melatih beratus-ratus ejen anti narkotik Afghanistan bagi menangani masalah penyeludupan itu.

“Kegiatan membanteras penyeludupan dadah bukan hanya ditangani unit khas tetapi menjadi tanggungjawab mereka yang gusar dengan keselamatan, kestabilan, pemerintahan dan pembangunan Afghanistan,” kata Fedotov lagi. – AFP/AP
Berita Harian Online | Pengeluaran candu melonjak di Afghanistan:

'via Blog this'

Ratu Belanda hentam pemimpin anti-Islam

RATU Beatrix melawat Masjid Besar Sultan Qaboos di Oman.
RATU Beatrix melawat Masjid Besar Sultan Qaboos di Oman.
AMSTERDAM: Ratu Belanda, Beatrix, menghentam pemimpin parti anti-Muslim negaranya, Geert Wilders, dengan menyifatkan kata-katanya sebagai ‘mengarut’ mengenai tindakan ketua diraja itu memakai tudung kepala ketika melakukan lawatan di sebuah masjid di sebuah negara Teluk.

Kenyataan beliau dianggap luar biasa kepada wartawan Belanda yang mengiringinya ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman, baru-baru ini.
Beatrix memberitahu wartawan, beliau memakai tudung kepala berkenaan ketika di UAE dan sekali lagi sewaktu mengunjungi Masjid Besar Sultan Qaboos, sebagai menghormati agama Islam.
Ratu Belanda berkenaan menjawab pertanyaan wartawan berhubung soalan yang dikemukakan di Parlimen yang dikemukakan oleh Wilders, pemimpin Parti Kebebasan (PVV) yang menuduh keputusan ketua diraja itu menutup kepala ketika mengunjungi masjid di Abu Dhabi, Ahad lalu, sebagai mengesahkan penindasan wanita.

Wartawan yang mengiringi ratu Belanda itu di Muscat pada Khamis lalu melaporkan Beatrix menarik nafas panjang sambil berkata beliau tidak terkejut dengan apa yang disuarakan oleh Wilders.

Puteri Maxima juga menolak tuduhan Wilders dengan menyatakan bahawa dua pertiga pelajar di Abu Dhabi adalah wanita, lapor media Belanda.

Media Eropah menyifatkan kata-kata yang diluahkan secara terus terang oleh Beatrix itu sebagai luar biasa kerana ia jarang disuarakan terhadap parti politik Belanda sendiri.
Wilders berpendirian menentang pemakaian tudung termasuk burqa bagi wanita. Malah, kerajaan Belanda sendiri sudah mengumumkan rancangan mengharamkan burqa.
Di Belanda, orang Islam meliputi satu juta daripada 16.7 juta penduduk negara berkenaan, kebanyakannya imigran dari Turki dan Maghribi.

Sementara itu, Perdana Menteri Belanda, Mark Rutte pula mempertahankan tindakan Beatrix.

“Apabila beliau mengunjungi rumah ibadat, sudah semetinya beliau menghormati adab berpakaian,” kata Rutte dalam jawapan bertulis kepada soalan Wilders di Parlimen. – Agensi
Berita Harian Online | Ratu Belanda hentam pemimpin anti-Islam:

'via Blog this'

Zardari tenang, Gilani bimbang

ISLAMABAD: Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari tidak bimbang mengenai masa depan politiknya sekalipun menghadapi persoalan baru sekembalinya daripada lawatan ke Dubai semalam, sama ada beliau dipaksa melepaskan jawatan, kata jurucakapnya.

Laporan lain pula mengatakan, Perdana Menteri, Yousuf Reza Gilani menelefon Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Pakistan, Adam Thomson bagi menyatakan kebimbangannya bahawa tentera akan melakukan rampasan kuasa serta meminta sokongan London kepada pentadbirannya.
Zardari menghadapi tekanan semakin kuat daripada pihak tentera selain Mahkamah Agung untuk menamatkan pemerintahan kerajaan pimpinannya sebelum penggal berakhir pada 2013.
Di tengah-tengah krisis, Zardari menaiki pesawat ke Dubai pada Khamis lalu selama sehari untuk lawatan peribadi menghadiri perkahwinan, kata jurucakapnya lagi.

Bulan lalu, pemimpin itu ke Dubai untuk menjalani rawatan perubatan yang mencetuskan khabar angin yang beliau di ambang mahu melepaskan jawatannya. Pemergiannya ke Dubai di tengah-tengah krisis meningkatkan persoalan walaupun pada masa ini spekulasi lebih sederhana.

Beliau pulang awal semalam, kata jurucakap Farhatullah Babar. Sama ada Zardari bimbang dengan masa depan politiknya, Babar berkata, “Tentunya tidak. Mengapa beliau perlu gusar? Beliau selesa dan berada dalam keadaan baik sepanjang masa.”

Parlimen Pakistan bersidang semalam untuk mengundi usul menyuarakan sokongan kepada kerajaan.
Tentera yang sudah empat kali merampas kuasa dalam sejarah Pakistan dan masih dipercayai sebagai penjaga sebenar kepentingan negara itu, tidak pernah menyukai Zardari.

Kemudian ketegangan meningkat selepas satu skandal tercetus akhir tahun lalu, membabitkan sekeping nota tanpa tandatangan dihantar ke Washington meminta bantuan menghalang rampasan kuasa tentera berikutan serbuan komando Amerika yang membunuh Osama bin Laden, menyebabkan tentera dan kerajaan bertelingkah.

Suruhanjaya Mahkamah Agung masih menyiasat hal itu yang secara teori boleh menjatuhkan Zardari.

Mahkamah turut mengarahkan kerajaan membuka penyiasatan rasuah Zardari sejak bertahun dulu. Kerajaan enggan. Awal minggu ini, mahkamah berkata pihaknya akan memecat Zardari dan Gilani berikutan kes itu. Sesi penghakiman oleh hakim diadakan Isnin depan.

Perkembangan dalaman Pakistan ini menyusuli berita mengatakan bekas pemimpin Pervez Musharraf bakal pulang lewat bulan ini.

Sejarah Pakistan menunjukkan tentera berjaya merampas kuasa dan campur tangan proses demokrasi oleh mahkamah dan tentera adalah sebab utama masalah negara ketika ini.

Negara senjata nuklear berdepan dengan masalah utama antaranya berdepan dengan kejatuhan ekonomi, ancaman al-Qaeda dan pemberontakan Taliban. – AP/Agensi
Berita Harian Online | Zardari tenang, Gilani bimbang:

'via Blog this'

5,000 lagi kad kredit digodam

JEDDAH: Maklumat mengenai lebih 5,000 kad kredit rakyat Arab Saudi dan bukan warga Saudi didedahkan dalam insiden penggodaman terbaru, semalam.

Dua bank utama negara itu mengesahkan perkara berkenaan kepada Saudi Gazette. Pegawai kanan bank terbabit berkata, institusi kewangan itu sudah menghantar mesej pesanan ringkas kepada pelanggan mereka supaya melaporkan kepada pihak bank sekiranya berlaku sebarang transaksi tidak sah membabitkan kad kredit dan kad ATM mereka.


“Kami bercadang mengeluarkan kad kredit baru kepada pemilik akaun terbabit di mana maklumat kad mereka didedahkan di Internet,” kata pegawai bank itu yang enggan dikenali. Sementara itu, dua pemilik kad kredit di Saudi memberitahu agensi berita, maklumat peribadi mereka digodam penggodam Yahudi yang mendakwa telah mendedahkan lebih 200 kad kredit milik rakyat Saudi. Dua individu itu yang nama mereka tersenarai dalam senarai penggodam Yahudi terbabit berkata, bank mereka mengesahkan terdapat kegiatan yang tidak sekata pada kad kredit mereka.

Rabu lalu penggodam Yahudi menghantar mesej bertajuk ‘Kad Kredit Warga Saudi Percuma’ di Internet. Penggodam itu menyenaraikan nama, alamat e-mel, nombor telefon dan nomobor 217 kad kredit dengan 160 daripadanya mempunyai tempoh lupus yang masih sah digunakan. Penggodam itu menggunakan nama gelaran 0xOmer dan memperkenalkan dirinya sebagai Omer Cohen dari Israel.


Bagaimanapun, dalam mesej di Twitter, dia enggan mendedahkan kod keselamatan atau nombor CVC kad berkenaan sambil berkata, tujuannya hanya untuk memberi amaran.


Minggu lalu, seorang penggodam yang mendakwa dari Arab Saudi mendedahkan maklumat beribu-ribu kad kredit Yahudi di Internet dalam dua insiden berasingan. Sementara itu, laman web berita Israel, Ynet berkata, ia telah menghubungi penggodam Yahudi yang mendakwa memperoleh maklumat ribuan kad kredit melalui laman web beli-belah Saudi tetapi masih menunggu masa yang sesuai untuk mendedahkannya. - SG

myMetro | 5,000 lagi kad kredit digodam:

'via Blog this'

Degil Katie berbaloi


KATIE (kiri) bersama Vanessa menceritakan pengalaman mereka dalam program This Morning terbitan stesen televisyen ITV di Britain, semalam.
KATIE (kiri) bersama Vanessa menceritakan pengalaman mereka dalam program This Morning terbitan stesen televisyen ITV di Britain, semalam.


LONDON: Ketika Katie Newell berusia 15 bulan, dia didapati menghidap penyakit berpunca daripada ketumbuhan di bahagian atas tubuhnya.
Keadaan itu menyebabkan Katie tidak mampu makan atau minum dengan sempurna, manakala ibu bapanya diberitahu, kanak-kanak itu mungkin tidak dapat hidup lebih daripada lima tahun.

Bagaimanapun, keberanian Katie membolehkan dirinya mengatasi masalah itu dan selepas menjalani beberapa pembedahan di Amerika Syarikat, dia baru saja meraikan ulang tahun kelahiran ke-18.
Bercakap dalam rancangan This Morning terbitan ITV semalam, remaja dari Chelmsford itu berkata, zaman kanak-kanaknya sangat sukar kerana menghidap neurofibromatosis yang menyebabkan tumbesarannya terganggu.

“Sukar bagi saya kerana semua kanak-kanak akan berbisik-bisik mengenai saya di jalanan,” katanya.

Menurut Katie, ketumbuhan berhampiran paru-paru paling menyulitkannya, sehingga dia akan kepenatan hanya selepas berjalan atau menaiki tangga.
Kadang-kadang, katanya, keadaan dirinya menimbulkan ketakutan kepadanya.

“Seperti ketika berusia 14 tahun, saya diberitahu mungkin akan mati akibat pembedahan membuang ketumbuhan itu,” katanya.
Neurofibromatosis adalah kecacatan genetik yang menyebabkan ketumbuhan dan menjejaskan sistem saraf. Biasanya ia tidak berbentuk kanser tetapi boleh menekan organ seperti paru-paru serta menjadikan penghidapnya pekak.

Doktor lazimnya hanya akan membuang ketumbuhan itu jika ia mengancam nyawa pesakit.

Bagaimanapun, kadang-kadang ketumbuhan itu boleh berulang selepas dibuang.

Ibu Katie, Vanessa, berkata selepas anaknya melepasi usia lima tahun, dia memutuskan untuk melakukan sesuatu.

Mengaku turut mengalami neurofibromatosis ringan, Vanessa berkata, dia tidak mahu sekadar berdiam diri dan membiarkan Katie meninggal dunia akibat penyakit itu.

“Justeru, kami mengumpul wang dan pergi ke AS untuk menjalani pembedahan di sana.

“Walaupun mereka memberitahu ada risiko untuk mati, pakar di situ juga memberi kami pilihan,” katanya.

Menurut Vanessa, mereka “bernasib baik” kerana Katie remaja yang “degil.” Menurut Vanessa, Katie sedar dia perlukan bantuan berbanding kanak-kanak sebayanya yang lain.

“Ketika kanak-kanak lain ke kedai, Katie menunggu teksi untuk membawanya pulang,” katanya.

Bagaimanapun, penerima dua anugerah kepujian kanak-kanak itu bertekad mahu meneruskan pembelajarannya dan menjadi penulis.

Kata Vanessa, bagi Katie, penyakit itu tidak pernah melemahkan semangatnya.

“Katie selalu berkata: Saya ada neurofibromatosis tetapi neurobiromatosis tidak akan menewaskan saya,” katanya. - DM
myMetro | Degil Katie berbaloi:

'via Blog this'

Wardina: Keselamatan saya dirompak


wardina saffiyah

Selimut saya terbuka! Dibuka! Ya ALLAH, seorang lelaki bertopeng menyuruh saya diam, “SHHHHHH” katanya. “Barang kemas mana?” “Barang kemas mana?” dia bertanya. Tersedar saya, ini bukan mimpi lagi, rumah saya dimasuki pencuri! Saya cuba tenangkan hati dan menyorok muka dan tubuh saya.

Kemudian saya cuba jawab dengan yakin, “Saya tak pakai barang kemas, saya tak ada barang kemas.” Yang ada pada saya hanya cincin arwah tinggalan nenek saya. Dengan berat hati saya membukanya, “Ini saja yang ada, cincin nenek saya, nah ambil” balas saya.

“Saya memang tak suka barang kemas, tak pakai barang kemas” kata saya lagi, cuba meyakinkan manusia ini bahawa rumah ini sememangnya tiada apa yang dicarinya. Seribu satu perasaan dan sejuta lagi penyataan memecut laju di dalam minda. Kenapa? Bagaimana? Apa akan terjadi? Mana anak-anak saya? Siapa mereka? Mahu apa? Adakah saya akan diapa-apakan?

Cincin belah rotan dengan tiga butir berlian kecil, mungkin tiada nilai yang tinggi, namun itulah peringatan asal usul dan ‘memori’ jati diri ini.

Separuh daripada diri saya. Tidak tinggi dengan nilai harga tetapi tinggi dengan nilai jiwa. Cincin arwah Dorris Irene Wilmot yang dipakai ketika perkahwinannya dulu.

Namun sebagaimana memori indah itu akan kekal de­ngan izinNya, memori ngeri ini juga akan terus tersemat dalam diri. Seperti pita video buruk yang rosak, gambaran kejadian berputar dan berputar kembali dalam ingatan saya.
Adakala bulu roma saya naik kembali, tangan dan tubuh bergetar sendiri. Wajah mereka kini sering mengganggu dan menghantui saya. Saya pasti, ia mengambil masa untuk dilupakan.

Bukan lupa sepenuhnya, namun lupakan ketakutan dan mencari kekuatan kembali. Takut, resah, gelisah dan beribu perasaan lain, bercampur seperti dicampurinya rencah di dalam kuali. Akhirnya, saya mengucap syukur Alhamdulillah. ALLAH mahu membersihkan kami.

“Syukur Ya ALLAH” “Alhamdulillah” dan “Innalillah” bermain di bibir sejak pagi.

Saya terfikir, siapakah dia insan ini, sehingga sanggup berbuat begini? Mencuri demi wang ringgit semata-mata.

Ketika dipukul Ikhwan di kaki dan kepala, mereka berkata, “Saya tak kacau orang, saya tak kacau orang” dalam loghat Indonesianya. Ikhwan memberi amaran kepada mereka, “Jangan sentuh isteri saya”, “Jangan kacau anak saya”.

Ikhwan dikejutkan ketika sedang menemani Imran yang demam di kamar birunya. Diikatnya tangan suami tercinta. Setelah Ikhwan menjerit, mengharapkan ada yang mendengar, saya kemudian tergamam ketika perompak itu berkata, “Sini, sini” cuba membuka selimut saya.

Di saat itu, saya berjanji pada diri, sekiranya orang ini cuba mengapa-apakan saya, saya akan bermati-matian hingga nafas terakhir, mempertahankan maruah saya. Saya juga wanita Aceh, darah pejuang mengalir dalam badan saya.

Anak-anak saya? Di mana mereka? Saya tertanya-tanya. Saya beri dan letakkan keselamatan diri mereka kepada ALLAH sepenuhnya. Saya yakin mereka selamat. Doa saya setiap lepas solat adalah supaya ALLAH memelihara mereka.

“Imran!!!” jerit saya, tanpa membuka cadar. Ikhwan masuk bersama Imran ke kamar saya. Saya pegang badan panas Imran, dia masih demam, dan Imran terus teresak-esak dalam pelukan saya.

“Naughty man, Ummi” kata Imran pada saya. “Dia hit ayah Imran” katanya. “Imran tak de sword, Imran” katanya. ALLAH, sucinya anak ini. Belum mengerti apa-apa pun. Ini bukan filem atau kartun anakku. ‘Sword’ Imran tak akan mungkin membantu. Saya tiba-tiba merasakan Ikhwan duduk di kaki saya. Alhamdulillah, kami semua ada bersama.

Sekali lagi selimut saya ditarik, seorang lagi lelaki bertopeng bertanya, “barang kemas mana?” Ikhwan berkata, “Jangan sentuh dia, dia tak ada tudung” MasyaALLAH, begitulah suami saya menjaga kehormatan saya. Dalam saat ini pun dia tidak mahu sesiapa pun melihat ‘hak’nya. Saya amat berbesar hati ketika itu.

Kasihanilah saya dan dia. Janganlah buat begitu lagi ya? Peliharalah aib orang lain supaya aib anda dan keluarga juga dijaga. Percayalah janji ALLAH itu benar, ini bukan janji manusia.

Sekali lagi saya menjawab, membalas pertanyaan perompak ini, “Saya tak pakai barang kemas, saya tak suka barang kemas” Ikhwan mengalih perhatiannya kepada laci di hadapan.

Secara tiba-tiba, terdengar motor pak jaga di luar rumah saya. Perompak menyuruh kami diam. Tidak lama selepas itu, mereka beredar. Rupanya Farah anak gadis Pak Fauzi Marzuki, jiran belakang saya ternampak kelibat penyamun ini dari jendelanya. Dan siapakah yang menggerakkannya untuk nampak rasanya? Ya benar! ALLAH SWT.

Yang masih trauma,
WARDINA Wardina: Keselamatan saya dirompak - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

Sihir kulit babi kurap


Sihir kulit babi kurap

KOTA BHARU – Seorang tukang sapu kilang di Pengkalan Chepa di sini, terpaksa hidup dalam penderitaan apabila muka, dada, perut dan kedua-dua tangannya sering gatal-gatal serta berdenyut sejak lima tahun lalu.

Ibu kepada empat anak berusia 52 tahun yang enggan identitinya didedahkan itu mendakwa dia terkena buatan orang yang mengamalkan ilmu sihir dengan cara menanam kulit babi balar berkurap di depan pintu dapur rumahnya.

Katanya, menurut bomoh tempat dia mendapatkan rawatan, sihir itu ditujukan kepada orang lain, bagaimanapun, terkena padanya secara tidak sengaja.

“Dulu, depan dapur itu tempat laluan jiran-jiran di kawasan ini. Saya dan suami baru beberapa tahun membina dapur tersebut dan lokasi tempat kulit babi itu ditanam kini menjadi laluan saya keluar masuk dari dapur ke luar rumah serta sebaliknya,” katanya.

Menurutnya, gatal itu berlaku pada waktu senja dan subuh. Sepanjang terkena sihir tersebut, mukanya pernah menyerupai babi apabila timbul garis putih kiri dan kanan tepi hidungnya selain perut yang membuncit serta selera makan yang melampau.

“Sudah merata tempat saya berubat, penyakit ini tidak sembuh juga. Saya cuba dapatkan rawatan di klinik-klinik dan hospital tetapi mereka hanya beri ubat gatal. Saya pula terus sakit sehingga ada masa terpaksa membasahkan kain dengan air panas dan letakkan di tempat gatal tersebut.

“Sehinggalah saya berjumpa dengan bomoh yang dipanggil Maksu Na di Geting, Tumpat. Dia memberi air penawar dan tepung yang dicampurkan dengan kunyit untuk disapu ke seluruh badan,” katanya.

Menurutnya, kemuncaknya berlaku selepas tiga hari dia menggunakan air penawar itu apabila tangannya membengkak serta berdenyut kuat sehingga nampak gerakan daging kedua-dua tangannya itu.

“Malam itu saya tidak dapat tidur kerana kesakitan yang melampau. Air yang berbau hanyir dan terlalu busuk keluar dari kulit saya dengan banyak sekali. Pagi itu, saya kencing berdarah dan keluar ketulan putih ketika membuang air besar.

“Sekarang, alhamdulillah, saya rasa badan ringan sedikit daripada biasa dan perut pun tidak membuncit seperti dulu. Kulit tangan, muka dan dada tersebut kini bersisik dan kering kerana sedang dalam proses baik pulih,” katanya.
Sihir kulit babi kurap - Kelantan - Sinar Harian:

'via Blog this'

Laman web pasukan bomba Israel digodam Gaza Hackers

BAITULMAQDIS 14 Jan. - Sekumpulan penggodam yang dikenali sebagai Gaza Hackers Team mendakwa bertanggungjawab menggodam laman web pasukan Bomba dan Penyelamat Israel dengan meletakkan mesej 'Kematian untuk Israel', semalam.
Jurucakap pasukan bomba rejim Zionis, Yoram Levy berkata, kumpulan tersebut yang disyaki dari Semenanjung Gaza menceroboh masuk laman web itu lewat malam kelmarin dan meletakkan gambar muka Timbalan Menteri Luar Israel, Danny Ayalon yang ditutupi dengan tapak kaki.
"Terdapat juga beberapa tulisan Arab dan gambar Ayalon yang diconteng," katanya. – AFP
Utusan Malaysia Online - Terkini:

'via Blog this'

Jennifer Lopez dituduh sokong program nuklear Iran

LOS ANGELES 13 Jan. - Penyanyi dan pelakon Jennifer Lopez tidak pernah menyangka penglibatannya dalam menjayakan sebuah iklan kereta Fiat menyebabkan dia dituduh menyokong program nuklear Iran.
Dalam satu surat yang dikemukakan oleh kumpulan Persatuan Menentang Nuklear Iran (UANI) kepada Lopez menyebut, 'dengan menyokong Fiat, anda secara tidak langsung menjadi jurucakap bagi syarikat tersebut yang menjalankan perniagaan bersama Iran yang membangunkan program senjata nuklear.
Menurut UANI, Fiat turut menyokong Iran dari segi kewangan dan membantu kumpulan pengganas termasuk al-Qaeda dalam melakukan serangan terhadap tentera Amerika Syarikat dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO).
Anak syarikat Fiat yang dikenali sebagai Iveco terlibat dalam penjualan trak di Iran dan ia dilaporkan menjadi medium penghantaran peluru-peluru berpandu bagi melakukan 'pembunuhan terhadap orang awam'.
UANI dalam pada itu memberi tempoh kepada penyanyi dan pelakon tersebut sehingga 18 Januari ini untuk memberi jawapan sama ada akan menyambung kontrak dengan Fiat atau sebaliknya.
"Kempen ini akan diteruskan dan kami mempunyai perancangan untuk membawa kes ini ke peringkat yang lebih tinggi jika perlu" kata jurucakap UANI, Nathan Carleton kepada laman webHuffpost Celebrity.
UANI turut menghantar surat yang serupa kepada Ketua Pegawai Eksekutif Fiat, Sergio Marchionne memohon agar syarikat tersebut memutuskan ikatan hubungan dengan Iran sambil menyatakan pembuat kereta seperti Kia dan Toyota telah melakukan perkara yang sama.
Dalam iklan yang dibintangi Lopez menunjukkan penyanyi itu memandu kereta Fiat melalui kawasan kejiranan Bronx, iaitu tempat di mana beliau membesar dan memberi inspirasi untuk menjadi seorang yang lebih kuat dalam menghadapi cabaran hidup.
Namun, lokasi penggambaran iklan tersebut yang sebenarnya dilakukan di Los Angeles telah menimbulkan kemarahan peminatnya malah kumpulan pelukis mural TATS Cru mendakwa lukisan 'I heart the Bronx' yang dihasilkannya digunakan tanpa kebenaran. - AGENSI
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Myanmar bebas 651 lagi tahanan

YANGON 13 Jan. - Kerajaan Myanmar hari ini membebaskan beberapa tahanan politik terkemuka di negara ini di bawah pengampunan kepada 651 tahanan.
Langkah itu bertujuan menyakinkan masyarakat antarabangsa untuk menarik balik sekatan yang dikenakan terhadap negara ini.
Menurut pihak berkuasa, beberapa pemimpin daripada Kumpulan Pelajar Generasi 88, gerakan pelajar yang mendalangi protes antikerajaan pada 1988 dan 2007 adalah antara tahanan yang dibebaskan.
Antara pemimpin pelajar Kumpulan Pelajar Generasi 88 yang dibebaskan ialah Min Ko Naing, Zaw That Htwe, Jimmy dan Nilar Thein, jelasnya.
Beberapa pemimpin terkenal lain yang turut dibebaskan ialah bekas Perdana Menteri Khin Nyunt, yang dijatuhkan pada 2004, pemimpin pemberontak Shan, Khun Tun Oo dan sami Buddha, Gambira, yang memimpin protes anti-kerajaan 2007.
Khin Nyunt merupakan bekas ketua Perisikan Tentera sebelum beliau dikenakan tahanan di dalam rumah atas dakwaan rasuah oleh pesaingnya ketika itu Jeneral Kanan Than Shwe.
Turut ditahan ialah berpuluh-puluh kakitangan perisik Khin Nyunt atas tuduhan rasuah.
"Saya menyokong usaha perdamaian yang disarankan oleh Presiden Thein Sein dan pemimpin prodemokrasi, Aung San Suu Kyi.
"Saya juga menyambut baik rundingan damai dengan etnik minoriti," kata Khin Nyunt selepas dibebaskan daripada tahanan di rumah.
Pembebasan semua tahanan politik dan gencatan senjata dengan kumpulan etnik minoriti merupakan dua syarat utama yang ditetapkan oleh Barat bagi memulihkan hubungan dengan Myanmar.
Myanmar telah dikenakan sekatan ekonomi sejak junta tentera melaksanakan tindakan kekerasan terhadap penunjuk perasaan yang terlibat dalam demonstrasi 1988, yang mengakibatkan kira-kira 3,000 orang terbunuh. - DPA
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Identiti askar Amerika kencing mayat Taliban dikenal pasti

WASHINGTON 13 Jan. - Tentera Marin Amerika Syarikat (AS) telah mengenal pasti identiti askar-askar yang dipercayai membuang air kecil ke atas mayat pejuang Taliban di Afghanistan.
Seorang pegawai kanan tentera yang enggan dikenali itu berkata, Pentagon telah mengenal pasti identiti askar-askar terbabit dan pangkalan mana mereka ditempatkan.
Jurucakap tentera marin, Leftenan Kolonel Joseph Plenzler berkata, bagaimanapun, pihaknya tidak boleh mendedahkan identiti unit berkenaan kerana ia masih dalam siasatan.
Saluran televisyen CNN yang memetik seorang pegawai marin berkata, tentera yakin askar-askar yang terlibat adalah dari Batalion Ketiga, Rejimen Marin Kedua yang berpangkalan di Kem Lejeune, North Carolina.
Unit berkenaan dikerahkan ke wilayah Helmand, Afghanistan pada awal 2011 dan pulang pada September atau Oktober lalu, lapor CNN.
Terdahulu, Setiausaha Pertahanan, Leon Panetta mengutuk kejadian itu dan menyatakan bahawa siasatan penuh akan dijalankan oleh tentera marin dan Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa yang berpangkalan di Kabul.
Jurucakap White House, Jay Carney berkata, Panetta turut menghubungi Presiden Afghanistan, Hamid Karzai yang mengutuk kejadiaan itu sebagai tidak boleh diterima akal dan amat dikesali.
''Saya tidak tahu sama ada Karzai telah melihat video berkenaan.
''Namun, dia sedar akan kewujudannya dan melahirkan pandangan sama dengan Panetta,'' ujarnya. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Keganasan agama di Nigeria, 2 maut masjid dibakar

KANO, Nigeria 13 Jan. - Sekumpulan etnik Kristian membunuh dua orang penduduk Islam dan membakar beberapa masjid serta rumah dalam serangan di sebuah penempatan penduduk Islam di timur laut Nigeria, semalam.
Ia merupakan keganasan terbaru di negara ini ketika Nigeria dilanda mogok pekerja ekoran tindakan kerajaan menarik balik subsidi petrol untuk mengekalkan harga gasolin.
Seorang penduduk kampung terbabit, Abubakar Hussaini berkata, serangan berlaku pada kira-kira pukul 11.30 malam (6.30 pagi waktu Malaysia) apabila sekumpulan perusuh dari Imbur menyerang perkampungan Gwalam dengan membakar rumah-rumah dan masjid.
Katanya, penduduk kampung Imbur kebanyakannya beragama Kristian.
"Setakat ini, dua penduduk disahkan maut dan kami masih tidak mengetahui nasib penduduk yang melarikan diri ke dalam kawasan semak ketika serangan berlaku," katanya.
Keganasan itu berlaku di negeri Adamawa yang bakal mengadakan pilihan raya gabenor pada 21 Januari ini.
Insiden keganasan etnik dan agama sering berlaku di Nigeria menjelang pilihan raya, walaupun beberapa penduduk percaya serangan bermotifkan balas dendam ekoran pembunuhan penduduk Kristian oleh kumpulan militan Boko Haram, baru-baru ini. - AFP
Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Liga Arab bimbang perang saudara di Syria


Penunjuk perasaan antikerajaan mengusung mayat Sadeq Mudiaha, yang mereka dakwa terbunuh semasa berlaku pertempuran dengan askar kerajaan untuk dikebumikan di Deir Balaba dekat bandar Homs, kelmarin. - REUTERS


KAHERAH 13 Jan. - Ketua Liga Arab, Nabil Elaraby melahirkan kebimbangan akan berlaku perang saudara di Syria yang boleh memberi kesan kepada negara-negara jirannya, ketika kredibiliti misi pamantau badan tersebut dipersoalkan selepas anggotanya mula meninggalkan Syria.
Seorang bekas pemantau Algeria berkata, beberapa pemerhati telah meninggalkan Syria atau akan berbuat demikian dalam tempoh terdekat kerana misi itu gagal menghentikan tindakan kekerasan oleh Presiden Syria, Bashar al-Assad terhadap kebangkitan rakyat.
''Saya bimbang akan berlaku perang saudara kerana berdasarkan apa yang kita lihat dan dengar sekarang ia boleh menyebabkan ia berlaku.
''Sebarang masalah di Syria akan membawa kesan kepada negara-negara jirannya,'' kata Nabil dalam satu temubual dengan televisyen Mesir, Al-Hayat.
Pemantau Liga Arab dihantar ke Syria pada 26 Disember lalu bagi memantau sama ada kerajaan Syria melaksanakan rancangan damai yang dicadangkan oleh negara-negara Arab.
Nabil menyifatkan laporan misi pemantau itu sebagai membimbangkan.
Namun, katanya, tindakan pembunuhan rakyat oleh askar kerajaan telah menurun sejak kehadiran pemantau berkenaan.
Kumpulan pembangkang Syria berkata, keputusan pemantauan oleh misi pemantau tersebut yang akan dibentangkan kepada menteri-menteri luar Liga Arab pada 19 dan 20 Januari ini, hanya akan memberikan Assad masa untuk membanteras demonstrasi rakyat yang bermula sejak Mac lalu.
''Menteri-menteri luar berkenaan akan membuat keputusan sama ada terdapat faedah untuk meneruskan proses pemantauan tersebut,'' kata Nabil. - ReutersUtusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

Bahana suntikan uri kambing kerana mahu cantik

MANDY menunjukkan kesan bengkak dan nanah akibat suntikan
uri kambing biri-biri pada punggungnya di Pejabat 
Biro 
Pengaduan Awam (MCA), Jalan Ampang, Kuala Lumpur semalam.

KUALA LUMPUR - Impian seorang pengurus akaun sebuah syarikat yang mahu kulitnya sehalus kulit bayi bukan saja tidak menjadi malah wanita itu terpaksa menanggung sakit sehingga meninggalkan parut pada punggung kanannya.
Bukan sekadar itu, mangsa Mandy Chong, 35, juga merasa tertipu kerana dalam tempoh menerima rawatan kecantikan itu dia terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar lebih RM15,000.
Kos tersebut termasuk kos dua kali pembedahan bagi membuang ketulan kesan suntikan plasenta (uri) kambing biri-biri dan membeli ubat-ubatan bagi menghilangkan rasa sakit dan memulihkan jangkitan kuman dalam sel kulit punggung Mandy di sebuah hospital swasta.
Rawatan kosmetik menggunakan kaedah menyuntik formula uri kambing biri-biri dilakukan Mandy di sebuah pusat kecantikan di Kota Damansara di sini bermula 15 Mei 2011 sebelum menyedari kesan buruk akibat suntikan itu pada 5 Ogos 2011.
Mengimbas sebelum kejadian, Mandy berkata, dia yang mahu kulit halus mula terpengaruh untuk melakukan rawatan mencantikkan kulit dengan pakej suntikan uri kambing biri-biri ketika mengunjungi pameran di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara.
Produk uri kambing biri-biri itu didakwa dari New Zealand.
Selepas mengunjungi pusat kosmetik itu, Mandy yang berunding dengan seorang pakar kecantikan di situ ditawarkan supaya melakukan suntikan uri kambing biri-biri bagi mendapat kulit yang mulus.
Katanya, dia yang teruja kerana bakal mendapat kulit cantik bersetuju menandatangani satu dokumen sebagai tanda setuju dengan terma rawatan sebelum membayar RM8,180 bagi keseluruhan proses menyuntik uri kambing biri-biri.
-kosmo

Pejabat baharu Facebook


BANGUNAN baharu Facebook di Taman Menlo, California yang dirakamkan pada Rabu lalu.


TAMAN MENLO, Amerika Syarikat (AS) - Ibu pejabat baharu laman sosial popular Facebook telah dibuka di Taman Menlo, California.
Ia terletak di kawasan seluas 23.06 hektar yang merupakan bekas ibu pejabat syarikat Sun Microsystem.
Hampir 2,000 pekerja Facebook bekerja di ruang seluas satu juta meter persegi itu.
Ruang dalam ibu pejabat Facebook itu kelihatan santai dan dipenuhi dengan cita rasa golongan muda seperti dinding yang diconteng dengan grafiti.
Pelbagai bendera pelbagai negara juga dipamerkan di dalam pejabat tersebut.
Para pekerja juga boleh memilih untuk bekerja secara berdiri atau duduk.
Sementara itu, di New Delhi, India Mahkamah Tinggi Delhi mengancam menyekat beberapa laman web termasuk Facebook dan Google melainkan pihak berkenaan mengambil langkah untuk membuang kandungan yang menyinggung perasaan dan tidak menyenangkan.
"Kamu perlu melakukan pengawasan ketat. Jika tidak, kami akan meluluskan arahan untuk menyekat semua laman web seperti di China," kata seorang hakim semasa satu perbicaraan bersama beberapa perwakilan undang-undang Facebook dan Google India di sini kelmarin.
Hakim Suresh Kait menyatakan: "Facebook dan Google perlu membina mekanisme untuk memeriksa dan membuang bahan yang boleh menyinggung perasaan dan tidak menyenangkan."
Pada bulan lalu, Menteri Komunikasi, Kapil Sibal berikrar untuk membasmi kandungan Internet yang disifatkan pemerintah sebagai "tidak boleh diterima".
Kandungan seperti itu, katanya, termasuk gambar bogel palsu pemimpin-pemimpin politik India dan imej agama yang dianggap sensitif.
Facebook diasaskan bersama oleh Mark Zuckerberg yang dilancarkan pada Februari 2004. - Agensi
-kosmo

Mahmoud temui Fidel Castro

MAHMOUD AHMADINEJAD berdiri di sebelah Fidel Castro di
Havana pada Rabu lalu.

HAVANA, Cuba - Dua seteru utama Amerika Syarikat, Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad dan bekas pemimpin Cuba Fidel Castro berbincang tentang isu dunia selama dua jam dalam satu pertemuan di sini.
Pada pertemuan mereka, Mahmoud kelmarin menyifatkan bekas pemimpin Cuba yang berusia 85 tahun itu sebagai sihat.
Mahmoud turut mengisytiharkan Iran dan Cuba sebagai dua negara bersekutu yang berjuang di medan sama.
"Saya amat gembira melihat komandan Cuba (Castro) dalam keadaan sihat dan cergas," katanya.
Mahmoud yang dalam rangka lawatan ke empat buah negara Amerika Latin, singgah di Cuba Rabu lepas.
Beliau kemudian meneruskan perjalanan ke Ecuador sebelum pulang ke Iran. - Agensi
-kosmo

Iran tuduh Mossad, CIA


SEJUMLAH orang membawa keranda dan poster Mostafa Ahamadi Roshan
semasa perarakan jenazah saintis Iran itu di Teheran semalam.

TEHERAN - Iran semalam menuduh Israel dan Amerika Syarikat (AS) membunuh seorang saintis nuklearnya dalam komplot untuk menghalang program nuklear negara berkenaan.
Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei menyifatkan pembunuhan saintis terbabit, Mostafa Ahmadi Roshan sebagai keji dan perbuatan pengecut.
Menurutnya, ia dilakukan dengan perancangan dan bantuan daripada Agensi Perisikan Pusat (CIA) dan perkhidmatan risikan Israel, Mossad.
Mostafa yang juga timbalan pengarah loji pengayaan uranium utama Iran, dibunuh pada Rabu lepas apabila dua lelaki menaiki motosikal melekatkan bom magnet pada kereta yang dinaikinya semasa kenderaan tersebut terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di sini.
Jenayah saintis berkenaan dikebumikan selepas solat Jumaat di sini.
Beberapa media mendesak supaya satu tindak balas dilakukan ke atas beberapa pegawai Israel.
Pemerintah Iran menuntut Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengutuk pembunuhan tersebut. - AFP
-kosmo