CHICAGO – Manusia tertua di dunia meninggal dunia di kediamannya di Amerika Syarikat (AS) pada usia 116 tahun, menurut laporan media kelmarin.
Wanita itu, Jeralean Talley yang masih bermain boling sehingga berusia 104 tahun, menghembuskan nafas terakhir pada Rabu lepas di Inkster, dekat Detroit, lapor akbar Detroit Free Press.
Talley dilahirkan di negeri Georgia, selatan AS di penghujung kurun ke-19 pada 23 Mei, 1899.
“Dia seorang yang cantik dan pemaaf,” kata anak perempuannya, Thelma Holloway, 77, sambil menambah bahawa Talley telah dimasukkan ke hospital selama seminggu sebelum dibawa pulang pada Sabtu lalu.
Talley meninggalkan anak perempuannya di samping beberapa cucu dan cicit.
Suaminya yang dikahwini selama 52 tahun, Alfred Talley meninggal dunia pada 1988 semasa berusia 95 tahun.
Susulan kematian Talley, gelaran manusia tertua di dunia kini milik seorang lagi wanita, Susannah Mushatt Jones yang lahir pada 6 Julai, 1899.
Manusia paling tua setakat ini menurut Guinness World Records ialah Jeanne Louise Calment.
Dia meninggal dunia di tanah airnya Perancis pada 1997 semasa berusia 122 tahun dan 164 hari. – AFP
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0620&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3dYF3sxHG
Hakcipta terpelihara