Pages

Tuesday, October 4, 2016

Wanita AS kecewa dapat tahu suami adalah datuknya

SELASA, 4 OKTOBER 2016 @ 1:20 PM



WASHINGTON: Seorang wanita Amerika Syarikat (AS) berusia 24 tahun menerima 'kejutan dahsyat' apabila menyedari lelaki berusia 68 tahun yang baru dikahwininya ialah datuknya sendiri.

Pasangan itu, yang baru berkahwin tiga bulan lalu, menyedari hubungan itu ketika meneliti album lama milik lelaki berkenaan di rumah mereka di Golden Beach di Florida.

Dalam album berkenaan, ada gambar anak lelaki berkenaan hasil perkahwinan pertamanya, dan salah seorang daripada mereka ialah bapa kandung wanita terbabit, lapor Florida Sun Post.

Menurut lelaki itu, beliau berpisah dengan anaknya selepas ditinggalkan isteri pertamanya, yang membawa bersama anak mereka dan berpindah ke lokasi tidak diketahui.

"Selama bertahun-tahun saya gagal menemuinya," kata lelaki itu, mendakwa beliau mengupah penyiasat persendirian yang juga gagal mengesan bekas isteri dan anak-anaknya.

Beliau berkahwin semula dan memiliki beberapa anak dengan isteri kedua yang berakhir dengan perceraian dan memberikan kesan teruk kepada kewangannya. Lelaki itu menang hadiah loteri jutaan dolar dua tahun kemudian. Pada 2015, beliau memutuskan untuk beristeri lagi dan menyertai satu agensi temujanji bagi tujuan itu.

 "Mereka ada laman web dengan profil ramai wanita muda yang menarik. Saya rasa sesuatu yang pelik apabila melihat gambar isteri saya.

"Ia seolah-olah deja vu tetapi tidak tahu apa yang membuatkan saya rasa dia seperti pernah dilihat. Kami tertarik antara satu sama lain sebaik dia berjalan memasuki restoran," katanya. Pasangan itu membincangkan hal keluarga, dengan wanita terbabit dihalau oleh bapanya kerana hamil dan bersetuju berpindah ke rumah jutawan berkenaan.

 "Saya sudah mengalami dua kegagalan perkahwinan dan berazam tidak mahu bercerai kali ketiga," katanya. Sementara itu, isterinya berkata: "Apabila melihat bapa saya dalam album, saya amat kecewa.

 "Saya rasa hubungan antara kami amat kuat dan sesuatu seperti ini tidak cukup membuatkan kami berputus asa." Pasangan itu juga berikrar untuk terus bersama walaupun selepas menyedari hubungan darah antara mereka. - Agensi

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/198764