Pages

Friday, January 4, 2013

Hadiah kahwin RM500 juta

pix_middle
BEIJING: Seorang jutawan China menghadiahkan pelbagai barangan berharga bernilai RM500 juta, termasuk empat kotak barang kemas, dua kereta mewah, saham dan beberapa rumah sempena perkahwinan anak perempuannya.
Media melaporkan, Pengerusi Kumpulan Fujian Wanli, Wu Duanbiao, juga bermurah hati memberikan anaknya akaun bank dengan simpanan bernilai RM10 juta serta pelbagai rumah mewah. Gambar hadiah perkahwinan itu dimuat naik di Internet mulai kelmarin selepas majlis penuh meriah selama lapan hari itu berakhir.

Majlis itu diadakan di bandar Cizao, Jinjiang, Fujian. Wu - pemilik syarikat pengeluar seramik - turut menganugerahkan menantunya pemilikan sebuah rangkaian kedai runcit di Quanzhou, vila mewah serta rumah agam Wanda. Tidak cukup dengan itu, menantu Wu memperoleh 500 juta saham dalam syarikat Fujian Wanli dengan nilai lebih RM50 juta dan masing-masing sebuah kereta Porsche serta Mercedes yang dihiasi reben merah. Kegembiraan perkahwinan itu turut dikongsi dua pertubuhan kebajikan tempatan yang menerima derma bernilai RM7.5 juta.

Nilai kekayaan sebenar Wu, 54, tidak diketahui dan rekod syarikatnya menunjukkan dia hanya menerima gaji sebanyak RM60,000 tahun lalu. Sementara itu, isteri Wu menggambarkan menantu mereka sebagai ‘pemuda yang hebat’.

Sebagai ibu bapa, kata isteri Wu, dia dan suaminya mahukan anak mereka hidup dengan stabil berbanding diri mereka sebagai ahli perniagaan. Ketika ini, menurut laporan media tempatan, pasangan pengantin baru itu mempunyai jawatan dalam lembaga pengarah syarikat Wu.

Mereka juga dilaporkan merancang penyenaraian saham syarikat itu di bursa Korea Selatan. Menantu Wu - hanya dikenali sebagai Xu - adalah kakitangan kerajaan dan mengenali kekasihnya sejak zaman kanak-kanak. Jurucakap Wu mengesahkan pemberian hadiah berkenaan, tetapi menafikan pesta meraikannya berlangsung selama lapan hari.


“Wu suka melakukan sesuatu secara sederhana,” katanya. Berdasarkan maklumat di Internet, jamuan perkahwinan anak Wu itu bermula pada 28 Disember dan berlangsung selama lapan hari bagi meraikan tetamu yang ramai. Memberi hadiah mahal memang menjadi tradisi perkahwinan di Fujian, terutama di kawasan Jinjiang dan Shishi. - DM

Lemak beri tenaga ketika sakit



GEMUK sedikit tidak mengapa tetapi jika berlebihan, ia akan bawa masalah. – Gambar hiasan


WASHINGTON – Berat badan berlebihan beberapa kilogram bukan sesuatu yang buruk, demikian menurut satu analisis baharu melibatkan hampir tiga juta orang. Analisis tersebut yang dibuat di Amerika Syarikat (AS) mendapati mereka yang memiliki berat badan berlebihan atau sedikit obes berkecenderungan hidup lebih lama. Namun, pakar-pakar kesihatan memberi amaran manfaat tersebut akan hilang sekiranya berat berlebihan beberapa kilogram itu bertambah dengan banyaknya.
Para penyelidik kajian berkenaan menggunakan data daripada hampir 100 kajian di seluruh dunia merangkumi maklumat kesihatan melibatkan lebih 2.8 juta orang dewasa. Antara sampel populasi tersebut, terdapat sekitar 270,000 kematian sepanjang tempoh kajian dijalankan. Selepas beberapa faktor lain seperti usia, jantina, tabiat merokok telah dikawal, kumpulan dengan ketinggian dan berat badan ‘berlebihan’ didapati kurang berisiko untuk mati sebanyak enam peratus berbanding mereka yang memiliki berat badan normal.
Kajian sama turut mendapati mereka yang ‘sedikit obes’ dengan ketinggian dan berat merangkumi indeks jisim badan (BMI) antara 30 hingga 35 didapati lima peratus kurang berisiko meninggal dunia sepanjang tempoh kajian. Namun, bagi mereka yang obes dengan BMI 35 dan ke atas, kadar kematian melonjak sebanyak 29 peratus berbanding subjek yang mempunyai berat badan normal. Penemuan terbaharu itu disiarkan Selasa lalu dalam jurnal saintifik, Journal of the American Medical Association (JAMA).
Pengarang-pengarang kajian itu memberikan beberapa sebab mengapa sedikit berat berlebihan baik untuk tubuh manakala berat ekstrem pula memudaratkan manusia. Mereka berkata, pertambahan lemak badan membekalkan manfaat metabolisme yang dapat melindungi jantung atau simpanan lemak berlebihan dapat membantu semasa ketiadaan selera makan ketika sakit. Ketua penyelidik berkenaan daripada Pusat AS Untuk Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) pernah menyiarkan satu kajian kontroversi pada 2005.
Kajian itu menunjukkan terdapat kaitan antara berat berlebihan dan jangka hayat lebih lama. Namun, kali ini, analisis kajian serupa dibuat berdasarkan sampel lebih besar yang diambil dari negara-negara berbeza di Amerika Utara, Eropah, Asia dan Amerika Selatan. Dua saintis bioperubatan, Steven Heymsfield dan William Cefalu dalam satu editorial yang turut disiarkan Selasa lalu dalam jurnal JAMA mengulas, kajian terbaharu itu dan beberapa penyelidikan lain menunjukkan sejumlah kecil lemak berlebihan memberikan simpanan tenaga yang diperlukan badan manusia ketika sakit atau membantu dalam cara lain.
Kata mereka, faktor-faktor tersebut masih memerlukan kajian lanjut. “Penemuan ini menunjukkan tidak semua pesakit yang diklasifikasi mempunyai berat berlebihan atau obesiti tahap satu terutamanya mereka yang menghidap sakit kronik memerlukan rawatan pengurangan berat badan,” jelas mereka. Pengarah CDC, Thomas Friedan ketika mengulas penemuan tersebut berkata: “Kita perlu lebih belajar tentang obesiti termasuk kaedah terbaik untuk mengiranya”. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0104&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz2GxUps2RV 
Hakcipta terpelihara 

Aktivis marah sirip jerung disembunyi




AFP
SEBAHAGIAN daripada ribuan sirip jerung disusun untuk dikeringkan.


HONG KONG - Aktivis-aktivis alam sekitar di sini meluahkan rasa marah semalam berikutan pendedahan beberapa keping gambar menunjukkan bumbung sebuah kilang dipenuhi beribu-ribu sirip ikan jerung yang baru dilapah.
Terletak di selatan China, pulau ini merupakan antara pasaran sirip jerung terbesar di dunia. Sirip jerung digunakan untuk membuat sup mewah yang disajikan pada majlis-majlis bankuet dan dianggap sajian istimewa oleh ramai penduduk Asia.
Seorang aktivis, Gary Stokes yang melawat lokasi berkenaan menganggarkan terdapat antara 15,000 hingga 20,000 sirip ikan jerung sedang dijemur di atas bumbung sebuah bangunan di kota metropolitan ini.
Sirip-sirip jerung itu dipercayai sebagai persediaan untuk memenuhi permintaan mendadak bahan makanan tersebut menjelang sambutan Tahun Baharu Cina pada Februari depan.
"Penemuan ini mengejutkan. Tindakan menyorok sirip jerung di kawasan tersembunyi seperti ini adalah pertama kali berlaku di pulau ini," kata koordinator kumpulan pemuliharaan alam sekitar tempatan, Sea Seherperd kepada agensi berita AFP.
Sekitar 73 juta ikan jerung dibunuh setiap tahun dengan pulau ini mengimport kira-kira 10,000 tan makanan tersebut sejak sedekad lalu.
Kebanyakan sirip ikan itu kemudian dieksport ke tanah besar China.
Sekilogram sirip jerung kering boleh dijual pada harga HK$10,000 (RM3,911) di sini, manakala semangkuk sup sirip jerung berharga HK$1,000 (RM391). - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0104&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2GxTdPEdz 
Hakcipta terpelihara