Pages

Saturday, June 9, 2012

AS gesa Presiden Syria letak jawatan



ISTANBUL 8 Jun - Washington, semalam mendesak Presiden Syria, Bashar al-Assad supaya meletakkan jawatan dan meninggalkan negaranya ekoran pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di pekan Hama baru-baru ini.
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton dalam lawatannya ke Istanbul, Turki dan menegaskan AS bersedia untuk bekerjasama dengan anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) termasuk Rusia untuk membincangkan masa depan politik Syria.
Namun katanya, perbincangan tersebut hanya akan dimulakan jika Bashar dan kerajaan rejim itu ditukar kepada kerajaan demokratik. - AFP

Enam samseng dipenjara 136 tahun



LONDON 8 Jun - Enam anggota kumpulan samseng dijatuhi hukuman penjara berjumlah 136 tahun atas dakwaan menyerang polis, merusuh dan membakar bangunan di Birmingham ketika kejadian rusuhan di Britain pada Ogos lalu.
Mahkamah semalam mendapati tertuduh, Tyrone Laidley, 20. bersama Jermaine Lewis, 27, Nicholas Francis, 26, Wayne Collins, 25, dan Renardo Farrell, 20, bersalah atas tuduhan memiliki senjata api dengan niat mencederakan, membakar bangunan dan merusuh, selepas perbicaraan selama enam minggu.
Seorang lagi tertuduh, Amirul Rehman, 17, pula didapati bersalah kerana merusuh dan memiliki senjata api.
Setiap tertuduh dijatuhi hukuman penjara sehingga 30 tahun selepas mahkamah dimaklumkan mereka menggunakan senjata api untuk menyerang polis tidak bersenjata sebelum melepaskan tembakan ke arah sebuah helikopter polis.
Semua tertuduh yang dipercayai anggota kumpulan samseng tempatan, didakwa membakar sebuah kelab malam dengan pekerja terperangkap di tingkat atas bangunan itu, bertujuan untuk menarik perhatian polis.
Polis berkata, kira-kira 41 anggota samseng tersebut kemudian menyerang polis dan melancarkan roket sebelum melepaskan tembakan.
Rakaman litar tertutup (CCTV) yang didedahkan menunjukkan sekumpulan lelaki bertopeng dan bersenjatakan kayu bola lisut memecahkan tingkap kelab malam itu serta melemparkan objek ke arah jalan raya.
Mereka turut melepaskan tembakan ke arah helikopter polis yang memantau kejadian tersebut. - AGENSI

Penduduk Buenos Aires pukul periuk bantah Presiden



BUENOS AIRES 8 Jun - Beribu-ribu penduduk Buenos Aires mengadakan tunjuk perasaan membantah pentadbiran Presiden Cristina Fernandez sambil memukul periuk dan kuali di luar kediaman Presiden itu di ibu negara Argentina ini lewat malam tadi.
Kumpulan tersebut berhimpun di dataran bandar Plazo de Mayo, selepas menerima mesej melalui rangkaian sembang sosial mengenai kenaikan inflasi dan juga tindakan pemimpin itu untuk menyekat pembelian mata wang asing terutama dolar dengan beralih kepada peso tempatan.
"Kami bosan dengan rasuah dan jenayah. Sesetengah perkara yang mereka lakukan masih boleh diterima, namun banyak yang tidak betul," kata seorang penunjuk perasaan, Joaquin Cuneo, 21.
Tunjuk perasaan dengan cara mengetuk periuk sangat simbolik di Argentina, mengingatkan kepada tunjuk perasaan jalanan terbesar oleh penyimpan, suri rumah dan pelajar yang marah ketika krisis ekonomi serta politik meruncing di negara ini pada 2001 dan 2002.

Aceh haram kedai jual pakaian ketat



Gambar fail, seorang anggota polis penguatkuasa Syariah Aceh (kiri) memberi nasihat kepada beberapa orang gadis Aceh semasa membuat pemeriksaan cara berpakaian bagi wanita Islam di sebatang jalan di Banda Aceh pada 1 Disember 2009. - REUTERS
BANDA ACEH 8 Jun - Premis-premis perniagaan di wilayah Aceh, tidak lama lagi akan diharamkan menjual pakaian yang ketat.
Pengumuman itu dibuat selepas polis Syariah di Banda Aceh menahan dan menegur lebih 50 wanita dan tiga lelaki kerana melanggar kod berpakaian secara Islam, termasuk memakai pakaian ketat dan pendek.
Ketua penguatkuasa agensi yang memantau pelaksanaan undang- undang Syariah di Aceh, Samsuddin berkata, pejabatnya akan mengeluarkan satu pekeliling yang akan mengharamkan premis-premis perniagaan menjual pakaian ketat.
''Gabenor Aceh yang baru dipilih juga menyokong pelaksanaan undang-undang Islam itu," kata Samsuddin.
Polis Syariah di Aceh sering melakukan rondaan untuk menguatkuasakan undang-undang Islam dan mengharamkan kelakuan tidak wajar antara pasangan yang belum berkahwin.
Pegawai akan merekodkan butiran peribadi mereka yang ditahan melakukan kesalahan, menasihati mereka dan memaklumkan bahawa mereka mungkin akan dipenjara atau dirotan jika ditahan sekali lagi.
Menurut Samsuddin, agensinya telah menahan kira-kira 300 wanita yang melanggar kod berpakaian secara Islam dalam tempoh dua bulan lalu. - DPA

Zulkifli dipercayai sembunyi di pulau kecil di Kepulauan Jolo



Zulkifli Abdul Hir
KUALA LUMPUR 8 Jun - Pengganas Jemaah Islamiah (JI) kelahiran Johor, Zulkifli Abdul Hir atau Marwan yang pernah didakwa terbunuh dalam serangan udara tentera Filipina, kini dipercayai bersembunyi di salah sebuah pulau kecil berhampiran Pulau Jolo, selatan negara jiran itu.
Pengganas paling dikehendaki oleh Amerika Syarikat (AS) itu sebelum ini dikatakan cedera parah dan bersembunyi di Pulau Jolo.
Bagaimanapun, menurut sumber pasukan keselamatan, maklumat terbaru menunjukkan Zulkifli sudah dipindahkan ke sebuah pulau kecil berhampiran Pulau Jolo, baru-baru ini.
"Perpindahan itu merupakan perkara biasa bagi mengelakkan dirinya dikesan tentera Filipina.
"Zulkifli turut dilindungi rangkaian kumpulan militan di pulau berkenaan selain dibekalkan senjata api dan makanan," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

20 banduan Taliban letupkan penjara untuk larikan diri



MAZAR-E-SHARIF, Afghanistan 9 Jun - Sekurang-kurangnya 20 banduan yang kebanyakannya merupakan anggota Taliban melarikan diri dari penjara selepas meletupkan bangunan penjara menggunakan bahan letupan di utara negara ini, lapor gabenor wilayah semalam.
Abdul Jabar Haqbeen berkata, kejadian itu berlaku pada malam kelmarin di wilayah Sar-e dan menyebabkan empat banduan terbunuh manakala 28 yang lain cedera apabila warden penjara melepaskan tembakan selepas letupan berlaku.
"Kami akan menjalankan siasatan bagaimana bahan letupan tersebut boleh dibawa masuk ke dalam penjara," katanya. - REUTERS

Tentera Zionis siap lancar serangan siber

BAITULMAQDIS: Tentera Israel semalam berkata, ia mengenalpasti ruang siber sebagai medan tempur strategik dan sudah bersedia untuk melancarkan serangan.
Laman web tentera rejim Zionis itu melaporkan minggu ini, ia sudah menentukan kaedah operasi dalam ruang siber. Menurutnya, pihak tentera tidak pernah berhenti daripada mempertahankan ruang sibernya.

“Jika perlu, ruang siber akan digunakan untuk melancarkan serangan dan operasi perisikan,” menurut artikel dalam laman web berkenaan.

Israel terkenal sebagai ‘pemimpin’ dalam perang elektronik. Menurut artikel itu lagi, tentera Israel menggabungkan aktiviti perang siber untuk melengkapkan objektif di semua barisan hadapan.’ Ia juga membincangkan aktiviti sulit masa depan.

Artikel itu disiarkan beberapa hari selepas pakar mengenal pasti virus komputer yang dipercayai mensasarkan program nuklear Iran.

Pakar luar negara yakin Israel terbabit dalam serangan itu, tuduhan yang tidak disah atau dinafikan rejim Zionis berkenaan. - AFP

Peranan wanita dalam revolusi dipuji

SANAA: Isteri ketua al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri mengucapkan tahniah kepada wanita Islam kerana peranan yang mereka mainkan dalam Kebangkitan Arab.
Umaima Hassan Ahmed Mohammed Hassan juga menggesa wanita Islam membesarkan anak masing-masing untuk berjihad.

“Saya mengucapkan tahniah kepada semua muslimah kerana peranan mereka dalam revolusi ini,” kata Umaima dalam sepucuk surat yang disiarkan dalam laman web Al-Fajr, semalam.

“Saya menasihatkan anda supaya membesarkan anak anda untuk berjihad dan mati syahid dan menanamkan pada diri mereka perasaan cinta terhadap agama dan kematian,” tulis Umaima.

Menurutnya, dalam berbuat demikian, setiap wanita perlu membesarkan anak mereka untuk menjadi Salahuddin Al-Ayubi yang baru dengan memberitahu kanak-kanak itu: ‘Andalah orang yang akan mengembalikan kehebatan negara Islam dan anda yang akan membebaskan Baitulmaqdis.’ Salahuddin Al-Ayubi ialah panglima Islam dari keturunan Kurdis yang menjadi Sultan Mesir pertama. Tenteranya mengalahkan tentera salib dalam satu pertempuran hingga menjatuhkan Kerajaan Kristian di Baitulmaqdis.

Umaima, dalam suratnya juga mengajak wanita terus berpurdah dan menggalakkan suami dan anak masing-masing membebaskan tahanan, tidak kira di mana, seperti ‘syuhada kita, Osama bin Laden, yang anak dan isterinya ditahan di Pakistan.’ Perenggan terakhir itu menunjukkan mesej itu ditulis sebelum balu dan anak Osama diusir dari Pakistan pada akhir April lalu. - AFP

Sekolah rendah dibakar kumpulan pemisah

PATTANI: Sebuah sekolah terbakar, dipercayai perbuatan kumpulan pemisah Islam, kelmarin.
Pakar forensik menganggap kejadian itu sebagai kebakaran disengajakan selepas menemui surat ugutan di kawasan sekolah semalam dan menemubual saksi.
Polis berkata, bangunan mengandungi tujuh bilik darjah untuk murid Prathom (Darjah) empat hingga enam di Sekolah Ban Buanae Peenae di Kampung Moo 7, tambon Prajan, musnah dalam kebakaran itu.

Ketua Unit Forensik Polis, Leftenan Kolonel Manit Panthong berkata, pihak berkuasa menemui sehelai kertas di belakang bangunan yang musnah itu dengan mesej bertulis tangan berkata, “Jika pilih nombor 1, sekolah musnah. Jika pilih nombor 2, sekolah tidak musnah.”


Beberapa sarung peluru 9mm ditemui dekat dengan surat ugutan itu.

Serangan itu dipercayai berlaku kira-kira jam 8 malam apabila sukarelawan pertahanan kampung dan pekerja pencuci meninggalkan sekolah untuk menunaikan solat. - Bangkok Post

4 pegawai polis, wartawan dituduh rogol dua beradik

JAKARTA: Polis Palu di tengah Sulawesi, menahan empat pegawai Agensi Ketenteraman Awam dan seorang wartawan kerana disyaki merogol dua beradik remaja perempuan berusia 19 dan 14 tahun.
Ketua Polis Palu, Adjutan Komander Kanan, Ahmad Ramadhan berkata, empat pegawai yang dikenali sebagai Ar, 39, Ef, 31, Ard, 29 dan Sr, 30, sementara wartawan yang bekerja dengan Potret Sulawesi, dikenali sebagai RD, 33.
Ahmad berkata, keempat-empat pegawai dan wartawan itu menemui dua adik beradik itu ketika mereka berada di pantai Talise, Rabu lalu pada 1.30 pagi waktu tempatan dan menyoal siasat mereka.

Katanya, mereka membawa kedua-dua remaja perempuan itu dengan kereta peronda ke pejabat Agensi Ketenteraman Awam di Palu untuk soal siasat lanjutan.


Tetapi, dalam perjalanan ke sana, mereka berhenti di tempat sunyi di bukit Nur, Palu, di mana mereka dikatakan merogol dua remaja itu secara bergilir-gilir.

Mangsa melaporkan kejadian itu kepada polis selepas itu.

Mangsa yang berada di ibu pejabat polis di Palu berkata, “Kami dirogol oleh lima lelaki. Empat daripadanya adalah pegawai Agensi Ketenteraman Awam dan seorang lagi wartawan.” - Jakarta Post

Anggota tentera mengamuk: 8 mati

JAKARTA: Kumpulan Hak Asasi bebas, West Papua Media, menuduh Tentera Nasional Indonesia dan polis sebagai bertanggungjawab atas kematian lapan orang awam, tiga daripada mereka mati serta-merta, dalam satu kejadian amuk di Wamena, Papua, kelmarin.
Kumpulan itu bagaimanapun, mengatakan, laporan yang boleh didapati di laman westpapuamedia.info itu hanyalah laporan awal saja; penilaian lebih lanjut perlu dilakukan oleh pekerja Hak Asasi tempatan.
Selain daripada mangsa, 19 lagi dilaporkan mengalami kecederaan, 100 rumah dibakar dengan sengaja dan 22 ekor babi milik orang persendirian, dibunuh.

Kumpulan itu turut menerbitkan tayangan slaid menunjukkan kerosakan yang berlaku dan video seorang budak lelaki di Wamena yang dikatakan ditembak oleh anggota tentera ketika kejadian amuk itu.


Laporan itu turut mendakwa kakitangan dari unit Briged Polis Bergerak (Brimob) dan unit antikeganasan, Densus 88, turut berada di situ menyokong keganasan itu.

Anggota tentera mengamuk dan memeriksa orang awam setelah seorang rakan mereka dibunuh selepas terlanggar dan menyebabkan kematian budak lelaki Wamena, kelmarin.

Ketua Bahagian Informasi, Pemerintah Tentera Cendrawasih XVII, Kolonel Hamdan Ali Bogra, menafikan anggota tentera mengamuk kerana membalas dendam dan berkata, dua kedai yang terbakar disebabkan oleh orang ramai dan bukan anggota tentera. - Jakarta Post

Lelaki Pakistan menyamar jadi FBI ditangkap

ISLAMABAD: Seorang lelaki Pakistan ditangkap kerana menyamar sebagai agen FBI dan menipu orang ramai sebanyak AS$21,000 (RM66,933) di Islamabad, kata polis semalam.
Pegawai polis, Suhail Akram berkata, Hayat Khan, 48, ditahan dalam satu operasi kelmarin, selepas menerima aduan orang ramai.
Katanya, lelaki yang menyamar sebagai pegawai FBI melarikan berjuta-juta rupee.
Dia kini ditahan.

Khan juga dikenali sebagai Riaz Khan, mengaku bekerja dengan FBI dan memerangkap mangsa dengan menawar untuk menjual matawang AS dengan harga rendah berbanding harga pasaran. - AFP

Ibu diikat macam anjing ketika dibawa jalan

TAIPEI: Pihak berkuasa Taiwan berkata, mereka menyiasat seorang lelaki yang dikatakan mengikat ibunya dengan tali sebelum dibawa ‘berjalan,’ menyebabkan kemarahan orang ramai apabila kelakuannya dirakam dan dimuat naik dalam Internet.
Video itu banyak ditonton di Taiwan dan China, menunjukkan seorang wanita tua mencangkung di kaki lima dengan tali diikat di pinggang.
Dalam video itu wanita yang tidak boleh mengimbang badan, sering terjatuh dan lelaki itu dipercayai anaknya tidak langsung membantu ibunya.

Jabatan Kebajikan Masyarakat dalam kenyataan berkata, mereka akan melawat wanita tua walaupun anak lelakinya menafikan mendera beliau - AFP

Kereta boleh komunikasi

WASHINGTON: Kecanggihan sistem keselamatan automotif akan dapat disaksikan diAmerika Syarikat pada musim panas ini. Kereta yang boleh berkomunikasi sesama sendiri serta memberi amaran kepada pemandu mengenai nahas yang mungkin berlaku.
Kerajaan Amerika Syarikat melancarkan ujian keselamatan selama satu tahun yang melibatkan 3,000 kereta, trak dan bas menggunakan pemandu sukarelawan di Ann Arbor, Michigan.
Kenderaan itu mampu berkomunikasi secara berterusan, bertukar informasi mengenai lokasi, arah tuju dan kelajuan 10 kali sesaat dengan kenderaan lain yang dilengkapi sistem yang sama dengan jarak kira-kira 300 meter.

Sebuah komputer akan menganalisis informasi dan mengeluarkan isyarat amaran bahaya kepada pemandu, biasanya sebelum mereka dapat melihat kenderaan lain.


Dikenali sebagai Komunikasi Antara Kenderaan atau V2V, versi lebih canggih sistem itu boleh mengawal kenderaan dan mengelak kemalangan dengan menekan brek apabila pemandu lambat bertindak selepas mendapat amaran.

Pentadbir Pentadbiran Keselamatan Lalu lintas Jalan Raya Negara, David Strickland berkata, “V2C adalah satu langkah evolusi, untuk memastikan kemalangan tidak berlaku iaitu satu senario keselamatan yang kami harapkan. - AP

Lelaki koma 10 bulan menangis dengar suara tunang

DERBYSHIRE: Seorang lelaki yang koma sejak 10 bulan lalu menunjukkan tanda-tanda awal untuk pulih apabila dia menangis selepas mendengar suara tunangnya menerusi telefon.
Keluarga Mathew Taylor mungkin melihat bagaimana air matanya mengalir apabila Anda Nurul bercakap dengannya dari Bali.

Keluarga itu sebelum ini diberitahu, Taylor tidak akan sedar dari koma selepas terbabit dalam kemalangan motosikal yang menyebabkan tengkoraknya retak, di pulau peranginan di Indonesia itu pada musim panas lalu.

Tetapi, dia menunjukkan tanda untuk pulih apabila ibu bapanya menelefon Anda dan meletakkan gagang telefon pada telinga Taylor di hospital.

Bapa tiri, Simon Moore, dari Overseal, Derbyshire berkata: “Anda bertanya kepada Taylor mengenai sesuatu dan dia kelihatan seperti berkata ‘Ya.’ Kemudian air matanya mengalir. Ia menakjubkan.” Taylor, 31, berkenalan dengan Anda, wanita kelahiran Bali, di pulau berkenaan, tempat dia mengajar bahasa Inggeris.

Anda, 27, berada di Britain apabila Taylor dipindahkan ke Hospital Royal Derby untuk rawatan. Dia terpaksa pulang selepas visanya tamat.


Luke Griggs, dari Badan Kebajikan Kecederaan Otak, Headway, berkata, Taylor yang berada dalam ‘koma kesedaran rendah,’ kemungkinan boleh pulih sepenuhnya. - DM

Sebuah sekolah 31 bahasa

LONDON: Untuk mengawal satu kelas di sekolah rendah bukan tugas mudah bagi seorang guru.
Cuba bayangkan keadaan di Sekolah Katolik English Martyrs di Birmingham yang 414 muridnya bercakap 31 bahasa berlainan di kalangan mereka.
Seperti yang ditunjukkan pada gambar ini, murid di sekolah itu yang bercakap dalam bahasa Inggeris sebagai bahasa utama adalah golongan minoriti.

Bahasa lain yang digunakan mereka, termasuk Lingala dan Yoruba, kedua-duanya digunakan di sebahagian benua Afrika, Mirpuri dan Hindko, dua bahasa yang berasal dari pakistan, dua loghat bahasa Benggali, Czech dan Sudan.


Meskipun pihak guru berdepan dengan cabaran, kepelbagaian bahasa itu berjaya meningkatkan pencapaian keputusan sekolah di Sparkhill itu.

Pengetua baru, Evelyn Harper berkata, pencapaian murid berkenaan adalah disebabkan budaya di rumah murid terbabit yang mementingkan pelajaran.

Tahun lalu, 91 peratus murid mencapai tanda aras empat atau lebih dalam bahasa Inggeris dan 89 peratus dalam matematik.

Majoriti murid mempunyai latar belakang Pakistan dan bahasa utama yang biasa digunakan ialah Urdu dan Mirpuri.

Dalam usaha untuk menangani kepelbagaian bahasa yang digunakan itu, guru dilatih untuk mengajar Inggeris sebagai bahasa tambahan.

Sekolah itu kadang kala menggunakan penterjemah serta sistem ‘teman’ yang meletakkan pelajar baru berpasangan dengan pelajar lama yang menggunakan bahasa ibunda yang sama dan boleh membantu mereka mula menggunakan perkataan Inggeris.

Bahasa yang digunakan di sekolah itu ialah: Afrikaan, Arab loghat Iraq, Arab loghat Lingala, Arab Sudan, Arab Yaman, Benggali Bangladesh, Benggali Sylheti, Czech, Belanda, Inggeris, Gaelic, Gujarati, Gurmukhi, Hindko, Jamaica Patois, Kachi, Lingala, Mirpuri, Nepal, Pashto, Poland, Portugis, Punjabi, Romana, Somalia, Sepanyol, Sudan, Switzerland, Perancis, Tamil, Urdu dan Yoruba.

Angka yang diperoleh oleh akhbar Birmingham Mail menunjukkan lebih 120 bahasa digunakan di sekolah di seluruh bandar itu.

Meskipun ia sekolah Katolik, majoriti murid mempunyai latar belakang Pakistan dengan Urdu dan Miropri adalah dialek utama digunakan mereka di rumah.

Semua guru mahir dalam mengajar bahasa Inggeris sebagai bahasa tambahan dan sekolah itu juga menggunakan penterjemah. - DM

Seorang lagi budak Britain dibaham anjing


Jonathon Harwood
Jonathon Harwood
LONDON: Seorang lagi kanak-kanak dibaham dalam satu serangan oleh seekor anjing peliharaan, kejadian kedua di Britain dalam masa beberapa hari.
Jonathon Harwood, lapan, dikejarkan ke hospital selepas anjing jenis Staffordshire Bull Terrier membaham mukanya.

Kanak-kanak itu mengalami patah tulang muka dan kerosakan pada saraf. Dia akan berparut seumur hidup.
Ibu Jonathon, Lisa Patterson, 32, berkata: “Kami mengusap anjing itu tetapi ia secara tiba-tiba membahan muka Jonathon. Anak saya nyaris mati akibat serangan itu.” Lisa yang menarik anjing itu berkata, Jonathon kini takut untuk pulang.

Polis menembak mati anjing milik jiran Lisa di Marsden, Tyne and Wear. Haiwan itu diperoleh jirannya itu daripada sebuah pusat menyelamat bulan lalu.

Serangan semalam berlaku dua hari selepas Keiron Guess, dibaham oleh anjing baka yang sama di Swindon, Wilts.
Keiron koma ketika dimasukkan ke hospital tetapi kini boleh bernafas sendiri.- DM

Pekerja kilang tanggung hutang

Kosmo! Online - Negara:


NOOR LELA (duduk, kiri) bersama Mat Saad (kiri) berbincang sesuatu dengan Micheal (duduk, kanan) di Kuala Lumpur semalam.


KUALA LUMPUR - Seorang operator kilang kini bingung memikirkan nasibnya apabila diburu beberapa bank tempatan selepas kad pengenalannya yang hilang 18 tahun lalu, didakwa telah digunakan oleh individu lain untuk membuat empat pinjaman perumahan dan empat kad kredit berjumlah RM250,000.
Mangsa, Noor Lela Nazri, 40, berkata, kad pengenalan tersebut hilang selepas beg tangannya diragut pada tahun 1994 di Taman Melewar, Gombak.
Ceritanya, dia mula menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan selepas menerima surat mengenai tunggakan hutang kad kredit daripada sebuah bank berjumlah RM22,500 pada tahun 2004.
Menurut ibu kepada seorang anak itu, dia kemudian membuat laporan polis mengenai perkara itu.
"Pada awalnya, saya sangka masalah itu akan selesai tetapi sekali lagi saya mendapat surat daripada sebuah lagi bank menyatakan saya mempunyai satu pinjaman perumahan berjumlah RM80,705 pada 29 Jun 2006," katanya pada sidang akhbar di Biro Pengaduan Awam MCA di sini semalam.
Bimbang masalah tersebut semakin serius, Noor Lela lantas mengajak suaminya, Mat Saad Karim, 41, pergi ke Bank Negara Malaysia (BNM) untuk membuat aduan pada tahun 2009.

Lelaki Mexico terima dua implan tangan

Kosmo! Online - Dunia:



PESAKIT Gabriel Granados Vergara (tengah) bercakap pada satu sidang media di Bandar Raya Mexico kelmarin.


BANDAR RAYA, Mexico - Selepas berulang kali melakukan prosedur berkenaan ke atas mayat, sepasukan doktor di Mexico berjaya melakukan pembedahan pemindahan dua tangan sekali gus yang merupakan implan pertama seumpamanya di rantau Amerika Latin.
Ketua Pakar Bedah Institut Kebangsaan Sains Perubatan dan Pemakanan Salvador Zubiran, Dr. Martin Iglesias berkata, pembedahan itu dilakukan bagi menyambung dua lengan seorang lelaki tempatan Gabriel Granados.
Kedua-dua lengan Granados terpaksa dipotong selepas terbakar akibat terkena renjatan elektrik pada 2011.
Menurutnya, pesakit itu menerima sepasang lengan baharu daripada seorang mangsa tembakan berusia 34 tahun.
"Ini merupakan detik terindah, setelah beberapa lama hidup tanpa tangan, saya kini dapat melihat sepasang tangan baharu," kata Granados yang bekerja di unit kewangan pejabat pendakwa raya di sini.
Dia menjalani pembedahan tersebut awal Mei lalu.
Namun, Granados, 52, hanya dibenarkan keluar dari hospital semalam selepas dia disahkan pulih.
"Ini adalah detik bersejarah untuk Mexico daripada sudut saintifik," kata pengarah institut berkenaan, Dr. Fernando Gabilondo.
Pembedahan sukar lagi rumit itu dilakukan di institut berkenaan di sini. - Agensi

Bom di madrasah ragut tujuh lagi nyawa

Kosmo! Online - Dunia:


SEORANG lelaki mengangkat mayat kanak-kanak yang terbunuh dalam serangan bom di sebuah madrasah di Quetta, Pakistan kelmarin.


QUETTA, Pakistan - Jumlah kematian akibat satu serangan bom di sebuah madrasah di sini meningkat kepada 15 orang semalam selepas tujuh lagi mangsa yang cedera parah meninggal dunia di hospital.
Mereka yang meninggal dunia ialah lima orang pelajar. Mangsa cedera apabila sebutir bom meletup ketika orang ramai berkumpul bagi menghadiri satu majlis tamat sekolah. Sepuluh lagi yang maut ialah guru, kakitangan madrasah dan saudara-mara pelajar.
"Tujuh lagi mangsa yang cedera parah meninggal dunia di hospital dalam tempoh semalaman. Seramai 30 orang termasuk pelajar cedera dalam letupan tersebut," jelas seorang pegawai polis, Abdur Rahim Khokhar.
Menurut polis, enam kilogram bahan letupan diletakkan pada sebuah basikal yang diparkir di luar kawasan madrasah dan ditutup oleh kalungan bunga. Setakat ini, belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan tersebut.
Quetta ialah ibu negeri wilayah Baluchistan yang juga merupakan sempadan di antara Afghanistan dan Iran.
Pemberontak Baluchistan mula bangkit pada tahun 2004. Mereka menuntut autonomi politik dan peratusan lebih besar daripada keuntungan penjualan minyak, gas serta sumber mineral di rantau itu. - AFP

Guru rogol murid dipenjara 28 bulan

Kosmo! Online - Dunia:




REAKSI Tone Pulou selepas dijatuhkan hukuman penjara di Samoa Amerika.



PAGO PAGO, Samoa Amerika - Seorang bekas guru di sini dijatuhkan hukuman penjara 28 bulan kerana merogol murid berumur 13 tahun sehingga menyebabkannya mengandung.
Tertuduh, Tone Pulou dijatuhi hukuman kelmarin oleh sebuah mahkamah tinggi di Samoa Amerika. Dia mengaku bersalah atas kesalahan merogol.
Hakim Lyle Richmond berkata, Pulou boleh memohon pelepasan untuk bekerja pada bila-bila masa dalam tempoh dia dipenjarakan.
Sebaik sahaja bekerja, Pulou diarah membayar AS$100 (RM318) sebulan sebagai nafkah kepada anaknya itu.
Dia juga diarah supaya tidak berhubung dengan mangsa dan keluarganya.
Pulou juga perlu mendaftar sebagai pesalah seks, mengambil ujian HIV dan membayar balik kepada kerajaan wilayah sebanyak AS$5,600 (RM17,861) sebagai kos ekstradisi.
Dia ditangkap di Honolulu pada Oktober tahun lalu selepas dikehendaki oleh pihak berkuasa sejak Ogos 2010. - Agensi

'via Blog this'