Pages

Friday, April 6, 2012

AS hasut dunia benci Iran


TEHERAN: AS didakwa menghasut negara lain untuk bermusuh dengan Iran.
Presiden Mahmoud Ahmadinejad berkata, tiada negara dalam dunia mengambil sikap bermusuh dengan Iran jika Washington tidak mengenakan tekanan ke atas dasar luar mereka.

“Jika AS tidak mengenakan tekanan politik, tiada negara akan bermasalah dengan Iran kerana kami bukanlah ancaman kepada kepentingan mana-mana negara Eropah,” katanya.
Mahmoud membuat kenyataan itu ketika ditemubual stesen televisyen tempatan yang bersiaran menggunakan bahasa Jerman, ZDF. - Agensi

Calon Ikhwanul Muslimin mahu undang-undang Islam


KAHERAH: Calon presiden dari Ikhwanul Muslimin, Khairat al-Shater, mengumumkan objektif pertama dan terakhirnya jika memenangi pilihan raya akan datang adalah memperkenalkan undang-undang Islam di Mesir.
Khairat juga menjanjikan perubahan ke atas Kementerian Dalam Negeri yang selama ini menekan pihak pembangkang.

Beliau turut menafikan membuat perjanjian dengan tentera berhubung pencalonannya dalam pilihan raya Mei dan Jun akan datang.
“Undang-undang syariah menjadi matlamat saya sejak dulu dan ia akan diteruskan pada masa depan,” katanya ketika bertemu dengan Persatuan Keagamaan Untuk Hak Asasi Dan Reformasi, semalam.

Pertubuhan itu turut dianggotai Khairat dan golongan konservatif Islam.

Menurut Khairat, dia akan menubuhkan unit khas bagi membantu parlimen mencapai matlamat itu. - Reuters

Damsyik mula undur tentera


GENEVA: Pihak berkuasa Syria memberitahu perunding antarabangsa, Kofi Annan, mereka mula mengundurkan tentera dari tiga kawasan pemberontak sebagai sebahagian daripada pelan damai menamatkan konflik bermula lebih setahun lalu.
Jurucakap Annan, Ahmad Fawzi, berkata pengunduran rejim Bashar al-Assad itu membabitkan kawasan Deraa, Idlib dan Zabadani.

“Pada masa sama, negara anggota PBB diminta menyediakan tentera bagi menyertai misi memantau pelaksanaan gencatan senjata dan mereka akan dihantar ke Syria selepas 10 April,” katanya.
Media tempatan melaporkan, antara 200 hingga 250 pemantau tanpa senjata akan dihantar ke kawasan konflik secara berperingkat-peringkat.

Menurut Ahmad, pihaknya cuba mengesahkan laporan pengunduran berkenaan melalui pemantauan pasukan baru yang dijangka tiba di Syria hari ini.

Pelan damai itu dirangka Annan dan menetapkan tarikh akhir 10 April ini untuk pengunduran tentera dan senjata berat dari kawasan dikuasai pemberontak.
Ia akan diikuti dengan penggantungan serangan pemberontak dalam tempoh 48 jam.

Kata Ahmad, mereka berharap pada 10 April ini, Syria melengkapkan pengunduran itu dan menghentikan penghantaran tentera ke kawasan lain.
“Justeru, kita menunggu reaksi kedua-dua pihak untuk menamatkan keganasan pada 10 April ini,” katanya. Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, Annan akan berbincang dengan pegawai kanan Iran di Teheran pada 11 April.

Iran adalah sekutu utama Syria di Timur Tengah. - Reuters

Abu Sayyaf serang hendap pembantu polis di ladang getah


ZAMBOANGA: Tiga pembantu polis dan seorang anggota Abu Sayyaf terbunuh, manakala tujuh cedera dalam pertempuran di selatan Filipina, semalam.
Militan Abu Sayyaf menyerang sebuah trak membawa pembantu polis yang menjalankan rondaan di ladang getah di Pulau Basilan pada waktu tengah hari.

Komander pasukan antipengganas di situ, Ricardo Visaya, pasukan keselamatan membalas tembakan militan terbabit dan membunuh seorang daripada mereka.
“Abu Sayyaf aktif memeras ugut di kawasan itu dengan menuntut bayaran 50,000 pesos (RM3,600) sebulan daripada pemilik ladang berkenaan,” katanya.

Pembantu polis adalah orang awam yang dilatih dan diberi senjata untuk mengawal kawasan masing-masing. - AFP

Ulama suspek bom Hat Yai


NARATHIWAT: Polis Thailand menahan empat suspek berhubung siri serangan bom di selatan negara itu, kata pihak berkuasa semalam.
Menurut polis, tiga lelaki Muslim diberkas petang kelmarin di sebuah rumah di daerah Rueso, Narathiwat, dalam operasi membabitkan 50 polis dan anggota separa tentera.

Ketua Polis Daerah Rueso, Satarnfa Wamasing, berkata sebuah trak pikap yang dicuri dan digunakan dalam serangan di Yala dilihat diletakkan di depan rumah seorang daripada suspek.
“Nombor pendaftaran trak itu diletakkan pada sebuah kereta curi yang diletupkan berhampiran hotel di Hat Yat pada Sabtu lalu,” katanya.

Menurut Satarnfa, suspek masih menafikan pembabitan dalam serangan yang mengorbankan 15 orang itu, tetapi polis mempunyai bukti mereka bertemu untuk merancangnya.

Untuk mengukuhkan lagi bukti, kata Satarnfa, polis turut menyiasat rekod panggilan telefon suspek terbabit.
“Ada individu lain terbabit dalam serangan ini tetapi saya tak dapat nyatakan jumlahnya,” katanya.

Menurut Satarnfa, seorang daripada suspek adalah ulama yang mempunyai sembilan waran tangkap.
Suspek keempat, kata Satarnfa, ditahan di rumahnya di Yala - juga kelmarin - selepas dia dirakam kamera keselamatan menunggang motosikal mengambil pemandu satu daripada kenderaan yang diletupkan.

“Dia juga menafikan terbabit dalam serangan itu,” katanya. Serangan pada Sabtu lalu menandakan serangan balas ketara pemberontak yang setakat ini mengorbankan ribuan nyawa sejak 2004.

Kawasan selatan Thailand memang sering bergolak dengan serangan bom berlaku hampir setiap hari.

Ketika ini, selatan Thailand yang ramai penduduk beragama Islam itu diletakkan di bawah undang-undang darurat. - AFP

Murid, 9, tertembak rakan tulis surat minta maaf


WASHINGTON: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 9 tahun dari Bremerton di sini menulis surat meminta maaf kepada rakan sekelasnya yang cedera parah selepas pistol yang dikeluarkan dari beg galasnya meletup ke arah tulang belakangnya.
Surat tulisan tangan itu dialamatkan kepada Amina Bowman, 8, yang keluar dari hospital Selasa lalu. “Saya minta maaf saya cederakan kamu kerana saya bawa pistol ke sekolah. Saya tidak bermaksud mencederakan sesiapa. “Saya harap semua orang baik-baik saja. Saya buat pilihan yang buruk,” tulisnya.

Enam minggu selepas diterbangkan ke Pusat Perubatan Harborview, Amina menunjukkan tanda beransur pulih.
“Mahu makan sup, berjalan setapak dua dan meminum milk shake selepas keluar dari hospital adalah perkembangan yang ditulis ibunya di laman Facebook. Pada 22 Februari lalu, Amina ditembak dalam kelas di Sekolah Rendah Armin Jahr di Bremerton. Sekolah itu ditutup serta-merta selepas kejadian itu.

Pendakwaan ke atas kanak-kanak akan ditangguhkan. Ibunya, Jamie Lee Chaffin dan teman lelakinya, Douglas L Bauer tidak mengaku bersalah atas tuduhan serangan tahap ketiga dan memiliki senjata api secara haram. Ibu bapa Amina berkata, anak mereka akan kembali ke sekolah pada musim luruh kelak. - AP

Ular paksa juruterbang mendarat cemas


DARWIN: Seorang juruterbang Australia berkata, dia terpaksa membuat pendaratan cemas seperti adegan filem Hollywood selepas seekor ular keluar dari bawah papan pemuka dan menyelinap di kakinya ketika menerbangkan pesawat kargo secara bersendirian.
Braden Blennerhassett yang tidak pasti sama ada ular itu berbisa atau sebaliknya semalam berkata, jantungnya berdegup kencang ketika dia cuba memandu pesawat itu kembali ke Darwin di utara negara berkenaan.

Menurutnya, kepala ular itu tiba-tiba tersembul dari bawah papan pemuka beberapa kali dan keadaan semakin buruk apabila haiwan itu menjalar di kakinya ketika pesawat mendekati lapangan terbang. “Saya pernah melihatnya sekali dalam filem, tetapi tidak pernah dalam pesawat,’ katanya kepada stesen penyiaran Australia merujuk kepada filem ‘Ular dalam Kapal Terbang” di mana ular berbisa dilepaskan dalam pesawat sebagai sebahagian plot untuk membunuh. Juruterbang Air Frontier berusia 26 tahun itu memandu pesawat dua enjin Beechcraft Baron G58 bersendirian dan baru berlepas dari Lapangan Terbang Darwin untuk menghantar kargo ke kawasan penempatan terpencil Orang Asli ketika dia nampak ular itu.
Sementara itu, renjer perhilitan, Sally Heaton berkata, ular itu bukan spesies berbisa tetapi ia mampu membesar hingga 1.5 meter. - DM

Wanita simpan mayat bayi dalam peti dingin beku 5 tahun


MOSCOW: Seorang wanita Russia didapati bersalah membunuh anaknya yang baru lahir dan menyimpan mayat bayi terbabit dalam peti dingin beku selama lima tahun.
Mahkamah di Arkhangelsk di utara negara itu mengesahkan Lyudmila Smirnova, 37, melahirkan anak perempuan di kediamannya pada Januari 2007 dan menekap bayi itu dengan kain hingga mati.

Dia kemudian meletakkan mayat bayi berkenaan dalam peti dingin beku hingga 29 Disember tahun lalu sebelum dikeluarkan teman lelakinya yang menyangka ia daging lembu. - Agensi

Budak 10 tahun lahirkan anak


BOGOTA: Seorang kanak-kanak Colombia berusia 10 tahun mencetuskan kemarahan selepas dia menjadi antara ibu paling muda di dunia setelah melahirkan seorang anak perempuan.
Kanak-kanak itu, anggota suku kaum Wayuu di Semenanjung La Guajira, mengandung 39 minggu apabila menjalani pembedahan Caesarean.

Ia kali pertama kanak-kanak itu yang berasal dari bandar Manaure, mengunjungi doktor berhubung kehamilannya.
Dia dilapor tiba di hospital itu dalam keadaan berdarah sambil menangis kerana kesakitan disebabkan deria untuk bersalin.

Doktor mengambil keputusan untuk menjalankan pembedahan yang mengancam nyawa kanak-kanak itu kerana usianya. Bagaimanapun, kanak-kanak itu dan anaknya yang hanya seberat lima paun, sihat walaupun si ibu enggan menyusukan bayinya.

Mereka kini berada di hospital yang lokasinya tidak didedahkan.
Walaupun polis Colombia boleh mengenakan tindakan undang-undang terhadap si bapa atas tuduhan melakukan seks bawah umur, perlembagaan negara itu menjamin autonomi masyarakat Wayuu.

Ia membenarkan suku kaum itu mengekalkan kedaulatan mereka dan beberapa warisan budaya yang antaranya melahirkan anak ketika usia amat muda.
Namun, suku kaum itu enggan mendedahkan identiti si bapa. Beberapa akhbar Colombia meramalkan dia berusia 15 tahun. Ada yang percaya dia berusia 30 tahun.

Kes itu diselar oleh Pengarah Hospital tempat kanak-kanak itu bersalin.

“Ini bukan kali pertama kami menerima kes seperti ini. Kanak-kanak itu sepatutnya bermain anak patung, tetapi sebaliknya, mereka menjaga anak mereka,” kata Efrain Pacheco. - DM

Sejuta hijab sokong Shaima


SHAIMA mati tiga hari selepas dibelasah.
SHAIMA mati tiga hari selepas dibelasah.
LOS ANGELES: Jean Younis tidak akan memakai topi Easter di gereja Ahad ini. Sebaliknya pengurus pejabat di Gereja Adventist Lembah Bonita di bandar raya National di California itu akan mengenakan tudung wanita Muslim untuk menyokong keluarga dan teman Shaima Alawadi, imigran Iraq serta ibu lima anak yang mati pada 24 Mac lalu, tiga hari selepas dibelasah di kediamannya di El Cajon, California.
“Saya jangka akan mendapat reaksi, tetapi memang itu tujuan saya. Ia perlu dibincangkan,” kata Jean, 59, yang meramalkan kebanyakan anggota gereja akan menyokong atau menghormati tindakannya.
Dia adalah antara ramai wanita bukan Islam yang memuat naik gambar mereka memakai tudung pada “Satu Juta Hijab untuk Shaima Alawadi”, laman Facebook yang baru direka dan mempunyai hampir 10,000 pengikut Isnin lalu dan ratusan foto.

Pengikut lain yang menghantar mesej di laman itu mengenalkan diri mereka sebagai penganut Katolik, Quaker, Mennonite, Yahudi, Pagan dan ateis.

Shaima, 32, melarikan diri dari Iraq pada 1993 dan menetap di Dearbon, Michigan sebelum berpindah ke California di mana dia dan suaminya bekerja untuk tentera AS menawarkan latihan kebudayaan.

Penyokongnya bimbang kerana sentimen anti-Muslim di AS, pembunuhan Shaima yang dipercayai ramai berpunca daripada kebencingan terhadap wanita Islam bertudung, tidak akan dihiraukan. - DM

Doktor gugur 49,000 janin

JAKARTA: Seorang doktor yang ditahan pada Mac lalu dipercayai pernah melakukan lebih 5,600 kes pengguguran, kata polis di Cilacap, Jawa Tengah. 

“Kami yakin jumlah itu mungkin meningkat. Beliau sudah menjalankan operasi itu lebih 30 tahun dan sudah menggugurkan lebih 49,000 janin sepanjang tempoh itu,” kata Ketua Polis Cilacap, Pesuruhjaya Kanan, Rudi Darmoko kepada wartawan di pejabatnya. Rudi yang dipetik akhbar The Jakarta Post berkata, penyiasatan terhadap doktor dan pakar sakit puan, Dr Rejani Djalal sudah selesai dan kes yang difailkan akan diserah kepada pendakwa.
Sembilan orang dinamakan sebagai suspek, termasuk pembantu Rejani dan beberapa pesakitnya. 

Rejani yang juga pakar di Hospital Pertamina Cilacap ditahan bulan lalu selepas polis menerima laporan bahawa beliau menjalankan perkhidmatan pengguguran di rumahnya. 

Polis berkata, pegawai menemui beberapa janin yang digugurkan di tangki septik di rumah Rejani. 

Seorang wanita berusia 22 tahun dari Purwokerto yang didakwa pesakit Rejani, memberitahu polis Rejani menggugurkan janinnya dalam prosedur mengambil masa sejam. 
Beliau menemui Rejani selepas mendapat saranan seorang rakan yang sebelum ini berjumpa doktor itu untuk gugurkan kandungan. 

“Saya ke sana bersendirian. Saya memberitahunya bahawa saya mahu menggugurkan kandungan berusia dua bulan. Dia meminta upah 2 juta rupiah (RM666),” kata wanita itu. – Agensi

Suami dakwa isteri seorang lelaki


A BAHROM yang curiga dengan status isteri, Sri Wani bawa kes ke mahkamah syariah.  dd caption


 KUALA LUMPUR
 - Terkejut dan tertipu! Itulah reaksi seorang bekas dekan sebuah universiti awam selepas menyedari isteri ketiga yang dinikahinya selama setahun di Songkhla, Thailand pada 19 Ogos 2009 rupa-rupanya seorang lelaki yang menyerupai wanita.
Curiga dengan status perkahwinan tersebut, Profesor Dr. Bahrom Sanugi, 61, bekas dekan Fakulti Penyelidikan dan Inovasi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan membuat aduan ke Jabatan Agama Islam Gombak.
Semasa pernikahan ketiga berlangsung, Bahrom masih memegang jawatan dekan USIM.
Lanjutan aduan itu, pejabat agama pada 23 November 2010 mengarahkan Bahrom dan isterinya, Sri Wani Choo Abdullah, 37, seorang pengusaha butik kecantikan supaya berpisah sementara kerana berlaku keraguan mengenai pernikahan tersebut.
Pasangan itu juga difahamkan sempat mendapatkan sijil nikah palsu di Kedah sejurus mereka berkahwin di Songkhla untuk mengesahkan pernikahan tersebut.
Difahamkan, jabatan agama dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) masih menyiasat mengenai status jantina Sri Wani.
Bagi segera menyelesaikan kemelut itu, Bahrom yang diwakili peguam syarie Muhammad Hafiz Ab. Rashid kemudian memfailkan permohonan faraq (memisahkan perkahwinan) di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini terhadap Sri Wani pada 17 Januari 2011.
Susulan itu, Bahrom membuat permohonan pada 18 Januari lalu supaya mahkamah mengeluarkan perintah supaya Sri Wani menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk menentukan jantina sebenar Sri Wani.

Saintis Jepun cipta sut robot

SEORANG pekerja Cyberdyne mengangkat beg jerami yang mengandungi beras seberat 65 kilogram di sebuah pejabat di Niigata semalam.


NIIGATA - Seorang saintis Jepun telah mencipta sut robot yang boleh membantu pemakainya mengangkat beban berat.
Sut robot berkenaan yang dikenali sebagai Tangan Bantuan Hibrid (HAL) dihasilkan oleh seorang saintis Universiti Tsukuba, Profesor Yoshiyuki Sankai yang juga presiden syarikat Cyberdyne.
Keupayaan sut HAL terbukti apabila seorang pekerja Cyberdyne dapat mengangkat beg jerami yang mengandungi beras seberat 65 kilogram dengan mudah pada satu sesi demonstrasi di sini semalam.
Sut berkenaan yang bercantum dengan tangan robot akan diuji di beberapa buah hospital dan rumah orang tua di sini pada Jun depan. - AFP

Serbuk tanduk sumbu popular di Vietnam



TANGAN Giang menenyeh-nenyeh tanduk badak sumbu pada pinggang seramik.


HANOI, Vietnam - Seorang wanita, Nguyen Huong Giang gemar berparti tetapi dia benci kesan alkohol yang menyebabkan kepalanya berasa sakit.
Bagi menghilangkan kesakitannya, dia menenyeh-nenyeh tanduk badak sumbu di atas permukaan pinggan seramik sehingga menjadi serbuk dan meminum ramuan itu bersama air.
Giang memiliki tanduk berwarna coklat sepanjang 10 sentimeter itu yang diberikan oleh bapanya.
Ia dipercayai dapat menyembuhkan pelbagai penyakit termasuk sakit kepala dan kanser.
"Saya tidak tahu harga sebenar tanduk ini," kata Giang, 24, selepas menunjukkan tanduk badak sumbu itu di apartmennya di sini.
"Saya cuma tahu ia mahal," tambahnya.
Tanduk badak sumbu terdiri daripada keratin, bahan protein yang turut ditemui dalam rambut dan kuku manusia.
Beberapa pakar menyatakan sebahagian tanduk badak sumbu yang dijual di Vietnam didapati palsu.
Giang meminum serbuk tanduk badak sumbu bersama air apabila dia mengalami alahan atau selepas mengambil terlalu banyak minuman keras.
Serbuk berkenaan popular dalam kalangan penduduk di Vietnam.
Seorang penjual ubat tradisional memberitahu bahawa setiap paket serbuk tanduk badak sumbu dijual pada harga 200,000 dong (RM30.65) di Vietnam.
Beberapa pegawai Amerika Syarikat pula menyatakan serbuk itu berharga sekitar AS$55,000 (RM168,575) bagi setiap satu kilogram di Asia sekali gus menjadikan ia lebih mahal daripada kokain. - Agensi

Whitney Houston mati ambil dadah berlebihan


LOS ANGELES - Legenda pop wanita Amerika Syarikat (AS), Whitney Houston (gambar) mati mungkin disebabkan pengambilan dadah, ubat-ubatan dan minuman keras yang berlebihan, menurut laporan koroner dalam dokumen setebal 42 muka surat.
Menurut dokumen tersebut, dia mengambil dadah dan ubat-ubatan itu sebelum lemas dengan mukanya menghadap ke dalam tab mandi, kata pegawai koroner dalam satu laporan terbaharu.
Ia memberikan butiran terperinci berbanding laporan awal yang dikeluarkan sebelum ini.
Pada bulan lalu, satu laporan siasatan menyimpulkan bahawa Houston maut kerana lemas secara tidak sengaja di dalam tab mandi selepas mengambil kokain yang mungkin menyebabkannya diserang sakit jantung.
"Dia mungkin mengambil sejenis dadah, ubat-ubatan preskripsi, ubat-ubatan yang diambil tidak menerusi kaunter perubatan sah dan alkohol dengan dos berlebihan," kata laporan penuh yang dikeluarkan kelmarin oleh Pejabat Koroner Los Angeles County.
Menurut laporan itu, tiada sebarang tanda-tanda perbuatan khianat terhadap penyanyi yang berusia 48 tahun itu.
Laporan tersebut menyatakan pembantu peribadi Houston menemui dia tidak bernyawa di dalam bilik Hotel Beverly Hilton pada 11 Februari lalu beberapa jam sebelum Anugerah Grammy berlangsung.
"Pembantu peribadi memasuki bilik mandi dan dia menemui Houston tertiarap dengan mukanya di dalam tab mandi, serta tidak sedarkan diri. Tab mandi dipenuhi air dan terdapat air di lantai bilik air," menurut laporan itu.
Butiran lanjut mengenai keadaan tubuh Houston menyatakan terdapat darah yang keluar dari hidungnya.
Laporan tersebut menyatakan, satu bahan yang kemudian dipastikan sebagai kokain turut ditemui dalam bilik tidurnya.
Pelbagai botol ubat juga ditemui dengan 12 ubat preskripsi yang diperoleh daripada lima doktor yang berlainan.
Para penyiasat turut menemui satu lubang pada septum dalam hidungnya yang mungkin disebabkan penggunaan kokain bagi tempoh yang lama. - AFP

Warga asing beri keterangan

MCCARTNEY menunjukkan bekas kecederaannya untuk dilihat oleh panel hakim di sebuah mahkamah di Jakarta semalam.


JAKARTA - Empat warganegara asing yang menjadi mangsa serangan bom di Bali pada 2002 telah memberi keterangan di sebuah mahkamah di sini semalam.
Mereka memberikan keterangan dalam perbicaraan seorang militan Indonesia, Umar Patek yang dituduh menghasilkan bom kereta untuk melakukan serangan tersebut.
Keempat-empat warga asing iatu ialah Jason McCartney, Peter Hughes dan Anstee Stuart dari Australia manakala seorang lagi warga Amerika Syarikat (AS), Steven William Cabler.
Mereka memberitahu mahkamah itu tentang bom kereta itu dan pengebom yang memusnahkan dua buah kelab malam.
Umar, 45, bakal menghadapi hukuman mati jika dia didapati bersalah berhubung pelbagai tuduhan berkaitan keganasan termasuk serangan bom di Bali.
Dalam kejadian itu, seramai 202 orang terbunuh, kebanyakannya warga asing. - Agensi

Drama cemas suami mahu kelar isteri


SAKDAWUT menghisap rokok sambil mengacukan pisau dekat leher isterinya di sebatang jalan raya di Bangkok semalam.



BANGKOK - Seorang lelaki, Sakdawut Hamsiri mengacukan pisau dekat leher isterinya dalam drama tebusan yang berlaku selama enam jam di Thailand.
Sakdawut yang bersenjatakan sebilah pisau menawan isterinya, Thawee Naiyanit di sebatang jalan raya di sini semalam.
Lelaki berusia 30 tahun itu nekad menjadikan wanita berkenaan sebagai tebusan dan berulang kali menolak permintaan polis supaya mangsa tersebut dibebaskan.
Insiden tersebut hanya berakhir apabila polis menggunakan pistol renjatan elektrik terhadapnya.
Dia ditangkap dan dibawa ke sebuah balai polis untuk disoal siasat selepas rebah terkena renjatan itu.
Polis kemudian memberitahu, Sakdawut berada di bawah pengaruh dadah ketika insiden tersebut berlaku. - Agensi