Pages

Sunday, March 9, 2014

Pakistan perkenal bas wanita pertama


Rawalpindi: Kira-kira jam 7.15 pagi di jalan berdebu di Rawalpindi, kelihatan sebuah bas baru berwarna merah jambu bersedia membawa penumpang.

Pada badannya tertera tulisan: Bas Wanita.


Ia adalah bas pertama di Pakistan yang disediakan khas untuk penumpang wanita yang sering menjadi mangsa gangguan lelaki miang - selain perhatian melampau - daripada pihak tidak berkenaan. Sesetengah pihak menyambut baik langkah kerajaan memperkenal bas khas itu tetapi pihak lain mengingatkan, ia mengukuhkan pengasingan jantina di negara berkenaan. Seorang daripada penumpang bas berkenaan, Azra Kamal berkata, dia menggunakan kenderaan terbabit setiap hari berulang alik dari rumah ke tempat kerjanya, sebuah kedai menjual barangan elektronik. “Sebelum ini biasanya apabila sampai ke tempat kerja, hanya saya seorang di dalam bas dan pemandu pernah mengambil kesempatan dengan memberi nombor telefonnya,” katanya ketika ditemui, semalam. Azra boleh dianggap bernasib baik kerana ada penumpang wanita lain mengadu pernah disentuh pemandu lelaki. Lebih memburukkan keadaan, bas mini yang sempit di Islamabad dan Rawalpindi cuma menyediakan tempat duduk terhad. - AFP



Artikel ini disiarkan pada : 2014/03/09

Rumah pertama David Beckham bakal dijual


Rumah pertama bintang bola sepak England, David Beckham di bandar Worsley dekat Manchester bakal dijual pada harga RM2.1 juta. - AGENSI
LONDON 8 Mac - Rumah pertama bintang bola sepak England, David Beckham di bandar Worsley dekat Manchester akan dijual bulan ini pada harga 400,000 pound (RM2.1 juta).
Rumah dengan empat bilik tidur itu pernah didiami Beckham pada sekitar 1990-an sebelum dia berpindah ke Beckingham Palace.
Seperti yang dilaporkan oleh Manchester Evening News, ejen hartanah, Edward Mellor yang menguruskan penjualan rumah itu menyifatkan rumah dengan empat bilik itu mempunyai sejarah istimewa.
Sewaktu berusia 20 tahun, bekas kapten pasukan England itu membeli rumah tersebut secara langsung daripada pemaju sebelum dia membeli rumah agamnya di Hertfordshire pada harga 2.5 juta pound (RM13.6 juta).
Difahamkan, Beckham membeli rumah itu kerana kedudukannya yang hampir dengan kediaman rakan yang juga bintang Manchester United, Ryan Giggs.
Pemilik rumah itu sekarang, Molly Prince yang membeli rumah itu pada 2005 berkata, ruang bilik tidur utama rumah tersebut amat istimewa bukan kerana Beckham pernah tidur di situ sebaliknya kamar tersebut memang sebuah bilik yang indah.
"Almari asal dengan nama Beckham masih ada di situ termasuk di bilik air,'' kata Prince sebagaimana lapor The Mirror.
Rumah yang terletak di Hazlehurst Road itu akan dilelong pada 19 Mac ini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140309/lu_08/Rumah-pertama-David-Beckham-bakal-dijual#ixzz2vPWpKFFO
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Memerang serang buaya


Aski seekor memerang menyerang seekor anak buaya dirakam di Florida, Amerika Syarikat, baru-baru ini. - AGENSI
FLORIDA 8 Mac - Memerang mungkin kelihatan seperti spesies haiwan yang baik dan comel, namun pada hakikatnya binatang itu merupakan antara pemangsa yang hebat dan sangat digeruni oleh mangsanya termasuklah buaya.
Dailymail Online memaparkan gambar yang diambil oleh seorang jurugambar baru-baru ini, yang berjaya merakam kelibat seekor memerang sedang menggigit seekor anak buaya untuk dijadikan sebagai makanannya di kawasan Perlindungan Hidupan Liar Lake Woodruff, di sini.
Memerang tersebut dilihat menggigit buaya berkenaan di bahagian lehernya, bagi memastikan mangsa tidak dapat berpusing ke belakang.
Selepas bergelut selama beberapa minit, memerang tersebut akhirnya berjaya mengheret buaya itu ke tebing sungai, sebelum bertindak memakannya.
Memerang merupakan antara pemangsa utama kepada kebanyakan hidupan air tawar.
Kebiasaannya memerang menjadikan ikan sebagai makanan utama, namun kadang kala mamalia itu turut menjadikan kerang, ketam dan haiwan kecil sebagai mangsanya.
Memerang yang menjadikan sungai di utara Amerika Syarikat (AS) sebagai habitat kebiasaannya boleh membesar antara 0.9 hingga ke 1.2 meter, dengan memiliki berat badan antara 4.5 hingga 13.6 kilogram.
Haiwan itu memerlukan makanan 15 peratus daripada berat badannya, penting bagi memastikan suhu badannya sentiasa berada dalam keadaan stabil.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140309/lu_07/Memerang-serang-buaya#ixzz2vPWc4Aa1
© Utusan Melayu (M) Bhd