Pages

Thursday, August 23, 2012

Gadis tikam bapa saudara kerana Internet


TAIPEI 22 Ogos - Seorang remaja perempuan didakwa menikam bapa saudaranya sehingga mati setelah bapa saudaranya itu menegurnya supaya berhenti melayari Internet pada lewat malam.
Menurut laporan berita tempatan, gadis tersebut yang berusia 19 tahun dan dikenali dengan nama keluarga Lin, ditahan di bandar Miaoli di barat laut negara ini selepas dia disyaki menikam bapa saudaranya di perut menggunakan sebilah pisau sepanjang 29 sentimeter.
Berdasarkan siasatan awal, polis berkata, gadis tersebut dikatakan sedang melayari Internet pada kira-kira pukul 2 pagi dan bapa saudaranya meminta dia berhenti melayari Internet, menyebabkan berlaku pergaduhan kecil sebelum gadis tersebut mengeluarkan pisau.
Bapa saudaranya yang berusia 37 tahun itu meninggal dunia di hospital tempatan.
Menurut nenek suspek yang turut tinggal di rumah tersebut, mangsa yang merupakan seorang yang panas baran bertindak memutuskan bekalan elektrik di rumah itu ketika Lin sedang melayari Internet kerana berang dengan tindakan anak saudaranya itu tidak mengendahkan arahannya.
Gadis itu berdepan hukuman penjara sekurang-kurangnya 10 tahun atau hukuman mati jika didapati bersalah. - DPA

Israel serang nuklear Iran November ini?


TEL AVIV 22 Ogos - Satu sumber keselamatan Israel mendedahkan bahawa rejim Zionis itu merancang untuk menyerang loji nuklear Iran sebelum November ini.
Pegawai-pegawai Britain berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu telah memulakan proses ‘melobi’ untuk mendapatkan sokongan ke atas tindakan ketenteraan itu.
Seorang koresponden tentera terkenal bagi Channel 10 News, Israel, mendakwa rejim Zionis itu ‘semakin hampir’ untuk menyerang Iran.
Menurutnya, Netanyahu ‘memutuskan’ untuk menyerang Iran sebelum pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS) pada 6 November ini.
Pemimpin Israel percaya Presiden Barack Obama yang menerima tentangan hebat daripada calon Parti Republikan, Mitt Romney, akan terpaksa menyokong Israel walaupun ketua tentera AS menentang cadangan itu.
Menurut sumber itu, Obama takut pengundi Yahudi di negeri-negeri utama seperti Florida tidak mengundi menyokongnya pada pilihan raya Presiden AS itu jika Obama tidak menyokong cadangan Israel itu.
Sementara itu, ketegangan meningkat, semalam apabila pemimpin Iran memperkenalkan senjata baru mereka iaitu peluru berpandu jarak dekat Fateh-110 yang direka untuk memusnahkan sasaran dalam jarak 290 kilometer, termasuk kapal-kapal perang AS yang berada di Teluk Parsi.
Semalam, Presiden Iran, Mahmoud Ahmadinejad turut menegaskan bahawa republik Islam itu tidak meragui keupayaan Teheran berdepan tindakan buli dan serangan dari negara asing. - AGENSI

Mesir pohon pinjaman AS$4.8b daripada IMF


KAHERAH 23 Ogos - Mesir telah memohon pinjaman berjumlah AS$4.8 bilion (RM15 bilion) daripada Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan berharap perjanjian dapat dimeterai menjelang hujung tahun ini.
Bercakap dalam sidang media bersama Ketua IMF, Christine Lagarde yang dalam lawatannya ke Mesir, Perdana Menteri, Hisham Kandil berkata, dia menjangkakan pinjaman selama lima tahun itu membabitkan faedah sebanyak 1.1 peratus.
``Akan terdapat satu perjanjian ke atas satu pelan pada November atau permulaan Disember yang mana pinjaman akan ditandatangan bersama IMF,’’ katanya. - REUTERS

11kanak-kanak dibunuh dalam serangan di Kenya


MOMBASA, Kenya 23 Ogos - Seramai 11 kanak-kanak dilaporkan telah dibunuh dalam satu pertempuran dipercayai serangan balas dendam ke atas sebuah perkampungan di sini semalam.
Kumpulan penyerang yang bersenjatakan parang, panah dan lembing berkenaan turut dilaporkan membunuh 37 penduduk dewasa kampung tersebut serta .
Selain membunuh, para penyerang turut membakar rumah-rumah penduduk kampung berkenaan.
Menurut Timbalan Ketua Polis Coast, Robert Kitur berkata, serangan itu dipercayai berpunca akibat pertikaian mengenai tanah dan air.
“Mereka bersenjatakan parang, panah dan lembing malah ada di antaranya turut mempunyai senjata api.
“Akibat serangan itu, 31 wanita, 11 kanak-kanak dan enam lelaki serta 60 ekor lembu dibunuh,’’ katanya. - REUTERS

140 lagi korban pertempuran di Syria


Seorang penduduk Syria dibantu rakannya mengangkat seorang kanak-kanak yang cedera dalam serangan udara tentera kerajaan ke atas bandar Azaz di pinggir Aleppo pada 15 Ogos lalu yang memusnahkan kira-kira 10 buah rumah penduduk. - AP
BEIRUT 21 Ogos - Pertempuran antara tentera kerajaan dan pemberontak di seluruh Syria terus berlarutan pada Hari Raya kedua semalam, menyebabkan lebih 140 orang lagi terkorban.
Kebanyakan yang terkorban ialah di selatan wilayah Daraa, pusat kebangkitan rakyat Syria terhadap kepimpinan Presiden Bashar al-Assad, menurut pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Pertubuhan yang beribu pejabat di London itu berkata, seorang wartawan wanita Jepun yang membuat liputan di bandar Aleppo turut terkorban semalam, manakala tiga lagi wartawan dari Turki, Lebanon dan negara Arab dilaporkan hilang.
Menurut aktivis, bedilan kuat berlaku di Daraa kerana tentera kerajaan percaya beberapa pembelot yang berjawatan tinggi, termasuk Naib Presiden Farouk al-Sharaa, dipercayai bersembunyi di situ.
Pejabat Naib Presiden, bagaimanapun menafikan laporan yang menyatakan Sharaa telah belot dan agensi berita kerajaan turut menafikan Menteri Luar Walid al-Moallem telah dilantik untuk mengisi kekosongan itu.
Bekas Perdana Menteri Riad Hijab, seorang lagi pemimpin kerajaan berprofil tinggi yang belot, sebelum ini dipercayai berada di Dara sebelum melarikan diri ke Jordan.
Pertempuran terbaru ini tercetus ketika pemantau antarabangsa terakhir bersiap-sedia untuk keluar dari Syria selepas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada minggu lalu menolak untuk melanjutkan mandat mereka yang tamat kelmarin.
Wakil khas baru PBB dan Liga Arab ke Syria, Lakhdar Brahimi dalam kenyataan pertamanya pula menyuarakan rasa marah terhadap pembangkang dan kerajaan Syria.
Sementara itu di Washington, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama mengeluarkan amaran 'tahap merah' di Syria berhubung penggunaan senjata kimia.
"Akibat yang sangat besar akan diterima Syria jika AS mengesan sebarang penggunaan senjata kimia oleh tentera kerajaan," tegas Obama.
Dalam satu kejadian berasingan semalam, sebuah kereta meletup berhampiran balai polis di tenggara Turki, kawasan yang bersempadan dengan Syria, menyebabkan lapan orang terbunuh dan 50 lagi cedera, lapor media Turki.
Setakat ini belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas letupan di Gaziantep itu, tempat kira-kira 70,000 pelarian Syria mendapat pwerlindungan di dalam khemah-khemah di situ. - dpa

PENJARA JADI HOTEL


GAMBAR yang diambil pada 7 Ogos lalu merakamkan pemandangan pelabuhan Pulau Pianosa yang sebelum ini merupakan sebuah tempat seksaan bagi mereka yang melakukan jenayah sejak 1858 dan menempatkan sebuah penjara bagi banduan berprofil tinggi ketika era 1970-an. - AFP
SUATU ketika terkenal sebagai penjara berprofil tinggi di Itali, namun Pulau Pianosa kini berubah wajah menjadi destinasi baru pelancongan di negara itu selepas ia ditutup, baru-baru ini.
Kerajaan Itali telah mewujudkan satu program unik untuk menjadikan kumpulan terakhir banduan di penjara itu sebagai kumpulan contoh untuk dilatih dan bekerja di hotel itu apabila mereka selesai menjalani hukuman.
Mereka akan menjaga kemudahan untuk para pelancong bermula dari perkhidmatan bilik di hotel sehingga memasak dan diambil bekerja oleh koperasi San Giacomo.
Di bawah program itu, banduan perlu berkelakuan baik di penjara dan telah menjalani dua pertiga daripada tempoh hukuman mereka.

Kebakaran hutan, 3,000 dipindahkan


Seorang anggota bomba cuba memadamkan kebakaran di kawasan Hutan Simpan Kebangsaan Boise dekat Featherville, Idaho, kelmarin. - REUTERS
SACRAMENTO, California 22 Ogos - Sebanyak 50 buah bangunan musnah dan kira-kira 3,000 penduduk yang tinggal berdekatan pekan kecil Manton terpaksa dipindahkan ekoran kebakaran hutan melibatkan kawasan seluas 8.5 hektar di utara California.
Memetik kenyataan Bomba Ponderosa, kebakaran itu berpunca daripada petir yang menyambar kawasan semak dan hutan di daerah Tehama dan Shasta, kira-kira 200 kilometer ke utara ibu negeri Sacramento, sejak Sabtu lalu.
Pasukan bomba berjaya mengesan kerosakan dari udara pada salah satu daripada kawasan yang teruk terjejas sehingga selatan Manton, semalam.
"Kerugian akibat kebakaran tersebut dijangka meningkat kerana pasukan bomba belum dapat sampai ke seluruh kawasan yang disambar api," kata jurucakap Jabatan Hutan dan Kawalan Api California, Mike Witesman.
Lebih 2,000 anggota bomba berjaya mengawal api yang marak akibat angin kencang sepanjang semalam, bagi menyelamatkan pekan kecil Shingletown daripada terbakar.
Bagaimanapun, kediaman 200 penduduk masih diancam kebakaran di sekitar cerun dan kawasan pedalaman.
Dua anggota bomba cedera ringan dan sumber rasmi berkata, sebanyak 40 peratus kebakaran telah berjaya dipadamkan setakat ini. - REUTERS

Bashar al-Assad sedia undur?


Beberapa orang ahli keluarga meratapi kematian seorang anggota Tentera Pembebasan Syria yang terbunuh dalam pertempuran dengan tentera kerajaan Syria di Salaheddine di tengah bandar Aleppo, kelmarin. - REUTERS
DAMSYIK 22 Ogos - Timbalan Perdana Menteri Syria, Qadri Jamil berkata, mereka bersedia untuk membincangkan mengenai peletakan jawatan Presiden Bashar al-Assad sebagai sebahagian daripada rundingan bagi menamatkan konflik berdarah yang semakin meruncing di negara ini.
Jamil mengeluarkan kenyataan mengejutkan itu, semalam ketika beliau menjadi wakil Syria ke Moscow dan selepas Rusia memberi amaran kepada Barat atas campur tangan mereka di negara ini ekoran tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama memberi amaran kepada Damsyik berhubung penggunaan senjata kimia.
Sementara itu di seluruh Syria semalam, sekurang-kurangnya 128 orang lagi terbunuh, termasuk 81 orang awam, menurut pertubuhan pemantau yang turut melaporkan mengenai berlaku bedilan dan pertempuran di Aleppo serta Damsyik.
“Selagi peletakan jawatan Assad dijadikan sebagai syarat untuk memulakan rundingan, sebarang dialog tidak akan tercapai.
“Namun, sebarang masalah dapat dibincangkan ketika sesi dialog (yang dicadangkan) itu, termasuk mengenai isu peletakan jawatan Assad sebagai Presiden Syria," kata Jamil selepas mengadakan rundingan di Moscow.
Menurut satu sumber politik di Damsyik, Jamil dihantar ke Rusia untuk membincangkan mengenai pelan pilihan raya Presiden di Syria, di mana semua calon akan dibenarkan bertanding, termasuk Assad.
Kumpulan pembangkang yang hidup dalam buangan, Majlis Kebangsaan Syria turut berkata, mereka sedang mengkaji pembentukan kerajaan peralihan, tetapi tidak menyatakan sama ada ia turut membabitkan tokoh-tokoh dalam kerajaan Assad.
Sementara itu, di bandar komersial Aleppo, bedilan kuat dilaporkan berlaku di kebanyakan bahagian di bandar tersebut, termasuk di kawasan seorang wartawan Jepun ditemui terbunuh akibat terkena tembakan, kelmarin.
Menurut aktivis, pesawat pejuang turut mengebom kawasan utara pekan Marea.
Tentera Pembebasan Syria (FSA), pula mendakwa mereka telah menguasai dua pertiga bandar Aleppo tetapi satu sumber keselamatan di Damsyik menafikan dakwaan itu.
- AFP

Pertempuran cemari Aidilfitri

SRINAGAR- Ketika umat Islam di Malaysia menyambut Aidilfitri dengan meriah dan penuh muhibah, keadaan amat berbeza di bandar raya yang menjadi ibu negeri Jammu dan Kashmir di India ini.
   
Dalam kegembiraan umat Islam di Malaysia menyambut kedatangan hari mulia itu dengan menunaikan solat Aidlfitri dan mengadakan rumah terbuka, umat Islam di sini pula dilanda suasana huru-hara ketika mereka menyambut 1 Syawal pada Isnin.
   
Ketika kaum muslimin dan muslimat daripada segenap lapisan usia dan latar belakang kehidupan dari seluruh Srinagar berpusu-pusu ke Eidgah untuk menunaikan solat Aidilfitri dan mengucapkan selamat tinggal kepada bulan Ramadan yang penuh
berkat, mereka dikejutkan dengan serangan puak pemisah terhadap polis.
   
Kejadian itu berlaku selepas pihak berkuasa mengenakan perintah tahanan di rumah terhadap beberapa pemimpin puak pemisah, termasuk Mirwaiz Umar Farooq, pengerusi All Parties Hurriyat (Freedom) Conference, yang sepatutnya menyampaikan khutbah pada solat sunat Aidilfitri. Pemimpin pemisah lain yang dikenakan perintah itu ialah Syed Ali Geelani, Shabir Shah dan Muhammad Yasin Malik.
   
Berikutan tindakan itu, rakaman ceramah Mirwaiz dipasang untuk didengari kira-kira 7,000 jemaah yang hadir.

Berikutan kejadian membaling batu terhadap polis dan anggota pasukan separa tentera serta tindakan pasukan berpakaian seragam terhadap pemberontak itu, tiga anggota polis cedera dan sebuah kenderaan berperisai yang dalam perjalanan ke Institut Sains Perubatan Sher-e-Kashmir, dibakar.
   
Greater Kashmir, sebuah akhbar tempatan, memetik seorang pegawai kanan polis yang tidak disebut namanya, sebagai berkata sekatan dikenakan terhadap pergerakan beberapa pemimpin puak pemisah untuk mencegah berlakunya kejadian tidak diingini pada hari sambutan Aidilfitri.
    
Penduduk tempatan memaklumkan kepada penulis bahawa walaupun pihak berkuasa India sering mengenakan perintah tahanan di rumah terhadap para pemimpin pergerakan itu untuk menghalang mereka daripada menghadiri perhimpunan besar, tetapi kali ini orang ramai marah kerana dikenakan pada Aidilfitri.
   
Seorang penduduk yang enggan dikenali dan pernah menyaksikan beberapa aksi anggota puak pemisah dan tentera di negeri ini sejak beberapa dekad lepas, berkata pertempuran pada Isnin itu boleh dianggap satu kejadian kecil.

Bagaimanapun, bagi mereka yang pertama kali melihatnya, termasuk penulis, insiden merupakan pengalaman yang menggerunkan.
   
Keadaan di Jammu dan Kashmir boleh dikatakan tenang kebelakangan ini setelah beberapa tahun dilanda ketegangan akibat tindakan puak pemisah. Namun demikian, ketegangan mudah tercetus apabila timbul isu sensitif.

Umat Islam meliputi 97 peratus daripada keseluruhan penduduk negeri ini, yang terletak berhampiran Azad Jammu dan Kashmir yang dikuasai Pakistan, serta Gilgit-Baltistan.
   
Kehadiran anggota polis dan pasukan separa tentera begitu ketara di Srinagar, dengan pusat pemeriksaan dan sekatan merupakan sesuatu yang tidak asing lagi di hampir semua jalan raya di sini.
   
Dianggarkan terdapat hampir 700,000 anggota polis dan tentera di Jammu dan Kashmir, yang bertugas di bawah perintah darurat yang dikuatkuasakan kerajaan pusat.
   
"Keadaan ini memang mengecewakan dan tidak terdapat tanda-tanda akan reda," kata Ahmed ketika memandu beca bermotornya melepasi satu sekatan polis.
   
"India mahukan Kashmir, Pakistan pun begitu juga. Kami tak mahu kedua-dua mereka. Serahkan saja Kashmir kepada penduduknya," kata lelaki itu yang mencerminkan pemikiran kebanyakan rakyat negeri ini.

Sejurus selepas pertempuran itu, kehadiran pasukan keselamatan dipertingkatkan. Orang ramai cuba beredar dengan segera, terutama mereka yang datang bersama keluarga serta anak dan keadaan ini menyebabkan lalu lintas tidak bergerak.
   
Akhirnya, jalan raya menjadi lengang untuk seketika. Bagaimanapun, beberapa jam kemudian, jalan raya kembali dipenuhi orang ramai yang saling bertukar ucapan. Pelukan dan senyuman melenyapkan kebimbangan yang mereka alami sebelum itu.
   
Anak muda memasang lagu dengan sekuat-kuat hati di dalam kereta masing-masing, meniup vuvuzela dan menimbulkan suasana berpesta di jalan raya.
   
Kebanyakan warga Kashmir bersifat mesra dengan sesiapa saja dan mudah diajak berbual. Mereka dengan senang hati mempelawa orang yang mereka temui untuk menjamu selera, lebih-lebih lagi pada hari perayaan seperti Aidilfitri.
   
Kanak-kanak bersiar-siar dengan bebas di jalan raya, sama seperti pada hari-hari lain, tetapi sesuatu yang memeranjatkan penulis ialah kebanyakan kanak-kanak lelaki gemarkan alat mainan yang berupa senjata api.
   
Mereka yang memiliki senjata api paling besar selalunya berjalan dengan megah dan jarang menolak jika diajak bergambar. Televisyen tidak boleh dipersalahkan 100 peratus tentang perkara ini kerana persekitaran kehidupan, banyak mempengaruhi hidup mereka.
   
Apabila suasana bergembira kembali memenuhi kehidupan mereka, warga Srinagar melahirkan harapan agar keamanan dan keharmonian yang mereka kecapi sekarang akan berkekalan dan tidak diragut kembali daripada mereka. -Bernama

Gempa bumi sederhana di Papua New Guinea

KUALA LUMPUR- Gempa bumi sederhana berukuran 5.8 pada skala Richter melanda Papua New Guinea (PNG) pada pukul 7.38 malam ini.
   
Menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, gempa berlaku di wilayah New Guinea Timur, 70km timur laut Lae dan 3,394km tenggara Semporna, Sabah.
   
Ia tidak mendatangkan ancaman tsunami kepada Malaysia. -Bernama

Ulang tahun ke-43 peringati serangan Masjid al-Aqsa


Ulang tahun ke-43 peringati serangan Masjid al-Aqsa
Penduduk Palestin terpaksa melalui pemeriksaan pihak berkuasa Israel yang ketat untuk ke Masjid al-Aqsa.
BANDAR GAZA - Penduduk Palestin, kelmarin, memperingati ulang tahun ke-43 insiden serangan ke atas Masjid al-Aqsa yang dilakukan seorang pelampau Kristian dan turut dihadiri Presiden Mahmoud Abbas.

Dalam ucapan beliau, Abbas mengutuk tindakan pihak berkuasa Israel yang sebenarnya bertanggungjawab membenarkan insiden membakar masjid dilakukan sewenang-wenangnya dan Masjid al-Aqsa turut terkena tempias perbuatan biadab mereka.
"Matlamat utama rejim Zionis adalah untuk mencabul kesucian Masjid al-Aqsa bagi membina kuil Yahudi di kawasan itu," katanya.
Abbas turut menegaskan keamanan, keselamatan dan kestabilan tidak dapat dicapai jika Israel masih menawan bandar yang kekal menjadi ibu negara dan teras identiti Palestin.
Kenyataan tersebut dikeluarkan susulan daripada keputusan Majlis Perbandaran Baitulmaqdis pada bulan lalu, untuk mengubah kawasan masjid yang menjadi kiblat pertama orang Islam itu kepada taman awam.
Difahamkan, untuk pertama kali juga anggota polis Israel membenarkan orang Yahudi untuk menggempur masjid itu dan mengancam orang Islam yang sedang beribadat semasa Ramadan.

Serangan ke atas Masjid al-Aqsa pada tahun 1969 itu, dilancarkan  Michael Dennis Rohan yang bertindak biadab membakar kawasan dalam masjid sehingga menyebabkan beberapa tinggalan sejarah Islam termasuk mimbar Saladin berusia 800 tahun musnah.

Warga UK tewas kes 'dibenar mati' meninggal dunia

Tony Nicklinson
Tony Nicklinson
LONDON - Tony Nicklinson, warga British, yang mengalami sindrom 'locked-in' dan kalah dalam permohonan mendapatkan kebenaran mahkamah untuk mati, meninggal dunia di sini semalam.
Nicklinson, 58, mati enam hari selepas Mahkamah Tinggi London menolak permohonannya untuk mendapatkan seorang doktor bagi memenuhi niatnya dengan harapan boleh menamatkan kesengsaraan hidupnya.

Bekas pemain ragbi dan ahli sukan terjun ini meninggal dunia di rumahnya di Melksham, barat London, jam 10 pagi semalam.

Menerusi Twitter, keluarga Nicklinson berkata, dia meninggal dunia secara semula jadi.

Bagaimanapun pada sidang media, peguam keluarganya, Saimo Chahai berkata, Nicklinson enggan mengambil makanan sejak mahkamah menolak permohonan dia dan kesihatannya terjejas teruk sejak itu, selain dijangkiti radang paru-paru.

Minggu lalu, Nicklinson yang lumpuh dari leher hingga ke bahagian bawah ekoran strok sejak tujuh tahun lalu, kalah dalam permohonan untuk mendapatkan hak untuk mengakhiri hidupnya.

Mahkamah Tinggi London menolak permohonan dibuat Nicklinson untuk 'mati' mengikut masa dan tarikh pilihannya.

Dia memohon hak dari segi perundangan untuk mendapatkan seorang doktor yang boleh menamatkan nyawanya tanpa pegawai perubatan yang bakal dipilihnya itu dikenakan didakwa.

Sejak mengalami strok pada 2005, Nicklinson  berhadapan dengan sindrom 'locked-in'.
Sindrom 'locked-in' merujuk kepada satu keadaan di mana seorang pesakit sedar dan terjaga tetapi tidak boleh bergerak atau berinteraksi secara lisan ekoran keadaan lumpuh penuh yang dialaminya.

Mahkamah juga menolak kes yang serupa dibawa oleh seorang lagi lelaki yang berhadapan dengan sindrom 'locked-in'. Pemohon kedua itu hanya dikenali sebagai Martin, berusia 47 tahun.
Keputusan itu mengecewakan Nicklinson. Isterinya, Jane memberitahu media bahwa keluargarnya "sangat kecewa" dan akan memfailkan rayuan.

Dalam kenyataan dibuat menerusi komputernya sebaik mahkamah mengumumkan keputusan, Nicklinson berkata: "Itu bukan keputusan yang saya harapkan. Ia sama sekali (sesuatu yang) saya tidak menjangkakan."

"Hakim, seperti juga ahli politik, adalah pihak yang bergembira apabila mereka dapat mengelak daripada berhadapan dengan isu-isu yang sebenar. "Penghakiman ini bukan sesuatu yang terkecuali (daripada hakikat sebenar)," katanya.
Portal Telegraph melaporkan bahawa Nicklinson yang mendapati kematiannya sudah tidak dapat dielakkan telah meminta ahli keluarganya agar memuat naik satu mesej terakhir di Internet.
Mesejnya berbunyi: "Selamat Tinggal dunia, masanya sudah tiba. Saya sudah lalui sedikit keseronokan."
Jane, anak perempuan mereka Lauren dan Beth serta adiknya Ginny ada bersama Nicklinson ketika dia menghembuskan nafas terakhir.
Jane berkata: "Saya telah hilang orang dicintai, bagaimanapun dia sudah tidak lagi mengalami kesengsaraan hidup."

Muslim New York warga contoh AS


New York: Polis New York tidak mendapat sebarang petunjuk keganasan atau melancarkan siasatan mengenai komplot ganas selepas enam tahun mengintip penduduk Islam di negeri itu.

Pengintipan itu dilakukan oleh Unit Demografik Jabatan Polis New York membabitkan usaha mencuri dengar perbualan dan mengumpul maklumat mengenai masjid yang ada di ‘Big Apple,’ menurut keterangan mahkamah yang didedahkan kepada umum, lewat Isnin lalu.
Pengintipan itu turut dilakukan ke atas penduduk Islam yang mengubah nama, kumpulan pelajar Islam, menempatkan pemberi maklumat di masjid, mengawasi kandungan khutbah.



Beri amaran awal

Polis berharap, Unit Demografik dapat menjadi pemberi amaran awal keganasan.
Misalnya, jika polis mendapat maklumat kehadiran seorang pengganas dari Afghanistan di sini, mereka akan tahu di mana orang berkenaan menyewa bilik, membeli barangan dapur dan program sukan ditontonnya.

Tetapi, dalam keterangan pada 28 Jun lalu sebagai sebahagian kes hak sivil, Penolong Ketua Polis, Thomas Galati berkata tiada perbualan yang dicuri dengar oleh anggota keselamatan.
“Mengenai apa yang dilakukan anggota Demografik berkenaan, ia tidak pernah membawa kepada sebarang siasatan,” menurut keterangan Galati.

NYPD adalah jabatan polis terbesar di Amerika Syarikat. Datuk Bandarnya, Michael Bloomberg sering merujuk kepada taktik anti keganasan jabatan itu sebagai contoh kepada negeri lain. - AP

Bincang ganti Bashar


pix_gal0Damsyik: Syria sedia membincangkan peletakan jawatan Presiden Bashar al-Assad sebagai sebahagian penyelesaian menerusi rundingan bagi menamatkan konflik meskipun Amerika Syarikat menyuarakan keraguannya.


Timbalan Perdana Menteri Syria, Qadri Jamil, memberi ulasan itu ketika mengunjungi Moscow selepas Russia menyuruh negara Barat tidak campur tangan di Syria berikutan amaran Presiden Barack Obama mengenai penggunaan senjata kimia oleh Damsyik di medan perang.
“Mengenai peletakan jawatannya, anda tidak mungkin dapat mengadakan dialog ini jika perkara ini menjadi syarat berunding,” kata Jamil selepas berbincang di Moscow.

Tetapi, beliau juga berkata: “Sebarang masalah boleh dirundingkan apabila berbincang. Kami juga sedia membincangkan perkara itu.”

Sumber politik di sini berkata, Jamil dihantar ke Moscow bagi membincangkan kemungkinan mengadakan pilihan raya presiden di Syria yang membenarkan semua calon bertanding termasuk Bashar.

Kumpulan pembangkang utama dalam buangan, Majlis Kebangsaan Syria sedang mengkaji pembentukan kerajaan sementara tetapi tidak mengulas sama ada ia akan membabitkan anggota pentadbiran sekarang.



Amerika tidak yakin
Amerika pula tidak yakin dengan tawaran Damsyik mengenai langkah membincangkan peletakan jawatan Bashar.

“Kami sudah baca laporan sidang akhbar yang diberi Timbalan Perdana Menteri Syria. Secara jujur, kami tidak nampak ada perkara baru,” kata jurucakap Jabatan Negara, Victoria Nuland.

“Kami percaya, lebih cepat Bashar pergi, lebih pantas semuanya selesai.”

Meskipun tidak mengarahkan tindakan ketenteraan pada masa ini, Obama memberi amaran kepada Syria bahawa sebarang langkah menggunakan senjata kimia akan menyebabkan Washington mengambil langkah segera.



Mengaku miliki senjata kimia

Syria mengakui pada Julai lalu bahawa ia memiliki senjata kimia dan akan menggunakannya bagi menghadapi sebarang keganasan dari luar tetapi tidak ke atas penduduk sendiri.

Jamil menolak ulasan Osama sambil menyifatkannya propaganda yang ada kaitan dengan pilihan raya presiden November depan manakala Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov berkata: “Tidak patut ada campur tangan luar sama sekali.” - AFP

Pasukan lumba kereta wanita pertama Asia Barat




SAADEH memakai sut perlumbaan semasa dia berlatih di Ramallah, Palestin pada 16 Julai lalu.


RAMALLAH, Palestin - Seramai enam orang yang terdiri daripada wanita penganut Islam dan Kristian yang berusia 20-an dan pertengahan 30-an bergabung membentuk sebuah pasukan perlumbaan kereta.
Mereka merupakan pasukan lumba kereta wanita yang pertama di Asia Barat.
Pasukan itu diketuai oleh Maysoon Jayyusi, 36, dan antara anggotanya ialah Mona Ennab, 26, serta Betty Saadeh, 31.
Penubuhan pasukan itu ditaja oleh British Council.
Anggota-anggota pasukan itu dicari oleh Ketua Persekutuan Motosikal dan Sukan Bermotor Palestin, Khaled Qaddoura.
Jayyusi, Ennab dan Saadeh pada mulanya menyembunyikan daripada pengetahuan ibu bapa tentang kerjaya mereka itu.
Namun, laporan akhbar menyebabkan ibu bapa mereka mengetahui tentang kerjaya anak masing-masing sebelum memberi sokongan.
"Saya mahu bertanding pada pertandingan Formula Satu," kata Saadeh tentang cita-citanya. - AFP

Haiwan jilat ais untuk sejukkan badan



SEKETUL ais dijilat seekor lemur.


ROM, Itali - Haiwan-haiwan di Zoo Bioparco di sini diberikan ais pelbagai perisa untuk dijilat bagi menyejukkan badan semasa cuaca terlalu panas.
Beberapa ekor harimau dan singa diberikan ais pelbagai perisa itu manakala monyet mendapat buah-buahan dan tembikai sejuk.
Menurut seorang kakitangan zoo dalam satu kenyataan kelmarin, para pekerja berusaha untuk membantu 1,000 ekor haiwan untuk menghadapi cuaca panas kerana suhu meningkat hampir 40 darjah Celsius.
Harimau dan singa itu diberikan ketulan ais pelbagai perisa yang besar. - AFP

Pantau gunung berapi dari rumah pokok




BEBERAPA pelancong Amerika Syarikat berkunjung ke rumah pokok dekat bandar Banos pada Selasa lalu.


QUITO, Ecuador - Seorang warga emas, Carlos Sanchez membantu sekumpulan ahli volkanologi dengan memantau perkembangan gunung berapi Tungurahua dari sebuah rumah di atas pokok dekat bandar Banos.
Sanchez yang berusia 70 tahun menggelarkan dirinya pemantau gunung berapi.
Rumah pokok tersebut terletak sejauh 1.2 kilometer dari gunung tersebut.
Gunung tersebut aktif sejak Oktober 1999.
Rumah tersebut juga dikunjungi para pelancong dari Amerika Syarikat.
Pada Isnin dan Selasa lalu, gunung itu menghamburkan lahar menyebabkan pihak berkuasa meminta penduduk di sekitarnya berpindah. - Agensi

Pengasas PayPal beri AS$4.2j kepada bekas isteri



MUSK


LONDON - Pengasas perkhidmatan perpindahan wang di laman PayPal, Elon Musk memberikan wang sebanyak AS$4.2 juta (RM13.10 juta) kepada bekas isterinya, Talulah Riley selepas perkahwinan mereka musnah, lapor akhbar dalam talian MailOnline kelmarin.
Musk menceraikan Riley, 26, selepas dua tahun mereka hidup bersama.
Riley merupakan aktres Britain yang terkenal.
Bagaimanapun, Riley dibenarkan untuk menyimpan jam tangan Cartier dan Gucci, barang kemas dan kereta Tesla Roadster yang berharga AS$110,000 (RM343,327).
Musk merupakan warga Afrika Selatan yang pernah belajar di Universiti Pennsylvania, Amerika Syarikat.
Dia memperoleh kekayaan dengan melakukan perniagaan secara usahasama bermula dengan perisikan penerbitan Zip2.
Musk juga membantu mencipta PayPal.
PayPal kemudian dibeli e-bay pada harga AS$1.2 bilion (RM3.74 bilion) pada tahun 2002.
Musk turut mengasaskan Tesla Motors yang mengeluarkan kereta elektrik. - Agensi

Tentera Syria serang Damsyik



IMEJ yang disiarkan di laman YouTube menunjukkan sebuah kereta kebal tentera Syria di kawasan perumahan Nahr Aishe, Damsyik semalam.



AMMAN - Tentera Syria menyerang selatan ibu kota Damsyik dengan menggunakan helikopter dan mesingan semalam dalam pertempuran dengan para pemberontak.
Serangan itu dilakukan bagi meningkatkan penguasaan Presiden Syria, Bashar Al-Assad di bandar raya tersebut selepas 17 bulan kebangkitan rakyat berlaku.
Tentera Syria turut menggunakan kereta-kereta kebal dalam serangan tersebut.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyatakan 18,000 orang telah terbunuh sejak kebangkitan rakyat berlaku di negara tersebut pada Mac lalu.
Menurut para aktivis anti-Bashar, seramai 47 orang terbunuh di Damsyik.
Mereka menganggap ia merupakan serangan terbesar tentera Syria dalam bulan ini.
"Seluruh Damsyik bergegar dengan bunyi dentuman," kata seorang wanita di Kfar Souseh.
Menurut beberapa aktivis, seramai 22 orang terbunuh di Kfar Souseh dan 25 lagi di daerah berdekatan, Nahr Eisha.
Para pemberontak itu menuntut Bashar meletakkan jawatan ekoran kegagalan beliau melaksanakan pembaharuan politik dan hak-hak asasi manusia. - Reuters