Pages

Saturday, March 12, 2011

Gempa bumi terburuk dalam sejarah Jepun


myMetro
TOKYO: Gempa bumi 8.9 magnitud yang melanda Jepun semalam adalah yang terburuk dalam sejarah negara itu, dan ketujuh secara keseluruhan.
Data Pusat Kajian Geologikal Amerika Syarikat (USGS) menunjukkan, gempa terkuat - 9.5 magnitud - berlaku pada 5 Mei 1960 di Chile.

Bencana itu mengorbankan lebih 1,600 orang dan dua juta lagi kehilangan tempat tinggal.

Berikut adalah data USGS:

> 9.2 magnitud: Alaska, AS pada 29 Mac 1967 - Gempa dan tsunami membunuh 128 orang dan memusnahkan bandar terbesar Alaska, Anchorage.

> 9.1 magnitud: Indonesia, pada 26 Disember 2004 - gempa di dalam laut menyebabkan tsunami yang melanda bandar pinggir pantai di sekitar Lautan Hindi, membunuh lebih 220,000 orang.

> 9.0 magnitud: Russia, pada 4 November 1952 - gempa bumi di luar pantai Semenanjung Kamchatka menyebabkan tsunami di Lautan Pasifik.

> 9.0 magnitud: Peru, pada 13 Ogos 1868 - Pelabuhan Arica (kini menjadi sebahagian daripada Chile) dilanda gempa yang dapat dirasakan sehingga 1,400 kilometer dari situ.

> 9.0 magnitud: Amerika Utara, pada 26 Januari 1700 - Gegaran memberi kesan kepada 1,000 kilometer kawasan pantai dan mencetuskan tsunami di sekitar Lautan Pasifik dan memusnahkan perkampungan pinggir laut di Jepun.

> 8.9 magnitud: Jepun, pada 11 Mac 2011 - Gempa bumi di dasar laut menyebabkan tsunami setinggi 10 meter. - AFP

Kereta api penumpang ghaib


myMetro

ROSAK TERUK...kapal nelayan dan kereta terapung-apung di Pelabuhan Onamaha di Iwaki, Fukushima, selepas dihanyutkan ombak besar, semalam.
ROSAK TERUK...kapal nelayan dan kereta terapung-apung di Pelabuhan Onamaha di Iwaki, Fukushima, selepas dihanyutkan ombak besar, semalam.

TOKYO: Sebuah kereta api yang membawa penumpang masih gagal dikesan selepas hilang ketika gempa bumi melanda timur laut Jepun, semalam.
Menurut sumber, kereta api itu melalui kawasan pantai Jepun apabila ia gagal dikesan.

Memetik sumber polis, agensi berita Kyodo melaporkan, kereta api penumpang itu dikendalikan Syarikat East Japan Railway.

  • FotoJALANKAN PEMERIKSAAN...seorang petugas memeriksa kerosakan Lebuh Raya Joban berhampiran Mito, Ibaraki.
  • FotoRUGI BESAR...orang ramai melihat kerosakan kediaman mereka di Sukagawa, wilayah Fukushima, semalam.
Ketika kejadian, kereta api itu berada berhampiran stesen Nobiru di landasan menghubungkan Sendai dengan Ishinomaki.

Sementara itu, polis Jepun berkata, pihak berkuasa menemui 200 hingga 300 mayat di kawasan pantai timur laut negara itu selepas kawasan berkenaan dilanda tsunami, semalam.

Sumber berkata, kebanyakan mayat itu ditemui di Sendai, bandar utama paling hampir dengan pusat gempa bumi petang semalam.
Gempa sekuat 8.9 magnitud itu mencetuskan tsunami sehingga 10 meter, diikuti lebih 50 gegaran susulan selama beberapa jam.

Kebanyakan gegaran susulan itu sekuat lebih 6.0 magnitud.
Berpuluh-puluh bandar dan perkampungan di sepanjang 2,100 kilometer di timur negara itu turut merasai gegaran berkenaan.

Kesan gempa turut dirasai di Tokyo yang terletak beratus-ratus kilometer dari pusat gegaran.

Sebelum ini, polis mengesahkan sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh dan 56 lagi hilang.

Bagaimanapun, jumlah sebenar korban dijangka terus meningkat dari semasa ke semasa apabila kerja-kerja mengesan dan menyelamat dilaksanakan sepenuhnya. - AP

Pemberontak minta senjata

myMetro

AJDABIYA, (Libya): Pejuang revolusi di Libya memohon bantuan senjata, semalam ketika mereka bertempur dengan tentera Muammar Gaddafi, sementara Perancis dan Britain mengancam untuk mensasarkan serangan di sasaran tertentu di negara yang kaya dengan minyak itu.
Pemberontak bertempur di Ras Lanuf, pusat minyak di timur negara itu yang kini menjadi medan pertempuran menentang Gadaffi yang tercetus lagi selepas kejadian sama berlaku sehari sebelumnya.

Sekumpulan wartawan disekat daripada menuju ke medan pertempuran itu dari bandar Ajdabiya dan tidak dapat dipastikan sejauh mana kemaraan tentera Gaddafi ke wilayah timur itu. “Kami tidak tahu apa sebenarnya berlaku di Ras Lanuf tetapi kami dengar masih ada pertempuran berlaku di sana,” kata seorang pejuang revolusi, Salem Abdulrahman yang memandu trak pikap sambil membawa senjata antipesawat.
“Jadi, kami ingin ke sana. Kami akan berperang dan kami akan menang,” ikrarnya sebaik kenderaan dan trak pikap yang membawa kumpulan pemberontak ke medan berkenaan bagi menghalang Gaddafi menguasai bandar itu dan pusat minyaknya.

Kira-kira puluhan trak dilihat menuju ke Ras Lanuf selepas kumpulan pemberontak membenarkan wartawan meninggalkan Ajdabiya yang sebelum ini dilarang memasuki kawasan itu atas sebab keselamatan. “Kami tidak mendapat arahan supaya datang ke sana tetapi kami tetap mahu pergi. Terdapat tentera Gaddafi di Ras Lanuf dan kami berharap dapat mengusir mereka,” kata seorang lagi pejuang, Saleh Massoud.

Seorang komander kumpulan pemberontak mendakwa pasukannya sudah menghalau keluar tentera dari Ras Lanuf tetapi petugas perubatan yang berhubungan dengan kumpulan itu memberitahu anggota mereka sudah ditewaskan dan pertahanan mereka juga semakin goyah. - AFP

Polis Arab Saudi tembak penunjuk perasaan

     myMetro


QATIF: Kerajaan Arab Saudi mengesahkan pasukan polis melepaskan tembakan terhadap penunjuk perasaan antikerajaan semalam, sehari sebelum perhimpunan Hari Kemarahan diadakan.

Jurucakap Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi, Mansur al-Turki mendakwa tembakan dilepaskan di kepala penunjuk perasaan selepas mereka menyerang seorang pegawai polis, lapor stesen televisyen Al-Jazeera, semalam.


Beratus-ratus penunjuk perasaan termasuk wanita berhimpun di jalanan di bandar raya Qatif di timur negara itu, kelmarin.

Saksi memberitahu, sebaik perhimpunan itu hendak berakhir, pasukan polis melepaskan tembakan ke arah kumpulan penunjuk perasaan dan menyebabkan sekurang-kurangnya tiga orang tercedera. Insiden itu mendapat kecaman keras Persatuan Hak Asasi Kemanusiaan Arab Saudi. - Press TV"

Rakyat Malaysia selamat

Berita Harian

2011/03/12


  • Foto
    RUMAH, kenderaan dan pelbagai barang musnah dihanyutkan tsunami selepas gempa kuat in Miyagi Jepun, semalam.
  • Foto
    PEKERJA memeriksa keadaan jalan yang merekah akibat gempa kuat di Mito, Ibaraki Jepun, semalam.
  • Foto
    KENDERAAN musnah akibat dihempap runtuhan bangunan bandar Mito, Ibaraki Jepun semalam.
Kedutaan pantau situasi kawasan dilanda gempa, tsunami
Foto
PEKERJA memeriksa keadaan jalan yang merekah akibat gempa kuat di Mito, Ibaraki Jepun, semalam.
PUTRAJAYA: Wisma Putra mengesahkan sehingga petang semalam pihaknya tidak menerima sebarang laporan kecederaan atau kematian membabitkan rakyat Malaysia berikutan kejadian tsunami yang melanda Jepun.
Jurucakap Wisma Putra memaklumkan bahawa Kedutaan Malaysia di Tokyo sedang memantau situasi di negara itu dan berusaha menghubungi rakyat serta pelajar Malaysia yang berada di kawasan dilanda tsunami.
“Malah, semua pegawai kedutaan dan keluarga mereka juga dilaporkan selamat.
Pada masa sama, Kedutaan Malaysia di Tokyo juga sentiasa berhubung dengan pihak berkuasa Jepun untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung keadaan di negara itu,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan di sini, semalam.

Katanya, Wisma Putra juga sudah membuka bilik Operasi bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini mengenai kejadian gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun.

Orang ramai yang ingin berbuat demikian boleh menghubungi Bilik Operasi Wisma Putra di talian 03-88874570/03-88874770/03-88892746 dan 03-88892830.
Selain itu, orang ramai juga boleh menghubungi Kaunselor Kedutaan Malaysia, Wan Aznainizam Yusri Wan Abdul Rashid di talian +8190 9975 3122 atau e-mel: wayusri@kln.gov.my atau Setiausaha Pertama kedutaan, Rina Hanis Rodzli di talian +8180 3506 7636 atau e-mel rina0377@kln.gov.my.

Semalam, Jepun dilanda gempa bumi berukuran 8.9 magnitud di timur laut negara itu dan menyebabkan tsunami hingga menghanyutkan kereta dan meruntuhkan bangunan di sepanjang perairan dekat pusat gempa.

Puak Sunnah, Syiah bertempur di Bahrain

MANAMA: Pasukan polis menyuraikan kumpulan pemuda Sunnah dan Syiah yang bergaduh lewat kelmarin di sebuah bandar di sini, semalam.


Insiden meletus di bandar Hamad, selatan Manama, adalah yang terbaru sejak protes anti monarki meledak.
Keluarga diraja Sunnah memerintah negara kecil majoriti Syiah itu di rantau Teluk.
Akhbar Al-Ayam berkata, satu serangan terhadap seorang gadis yang keluar sekolah menjadi punca pergaduhan.


Kedua-dua kumpulan menggunakan kayu untuk bergaduh sebelum disuraikan polis yang menggunakan gas pemedih mata menyebabkan dua cedera.


Penduduk berkata, pemuda Sunnah itu berasal dari Syria. Tunjuk perasaan pro dan anti kerajaan berlaku di Bahrain sejak pertengahan Februari lalu tetapi tidak membabitkan pergaduhan kedua-dua pihak.


Kementerian Dalam Negeri dalam kenyataannya memberitahu, anggota polis mengambil masa dua jam untuk mengawal keadaan dibantu oleh ahli politik tempatan dan pegawai kanan yang meminta penduduk bertenang.
“Puncanya remeh dan sekumpulan kecil yang bergaduh tetapi kami campur tangan kerana maklumat yang sampai kepada penduduk begitu pantas hingga menyebabkan ramai berbual mengenainya,” menurut kenyataan menteri berkenaan, Sheikh Rashed bin Abdullah al-Khalifa.


Media prokerajaan pula memberitahu bahawa pergaduhan meletus kerana satu kemalangan jalan raya. Dua kumpulan meminta bantuan keluarga masing-masing hingga menyaksikan pergaduhan meletus. – AgensiBerita Harian

Penentang ikrar menang atau mati




PENENTANG Gaddafi melepaskan tembakan ke udara selepas pengebumian rakan mereka.
PENENTANG Gaddafi melepaskan tembakan ke udara selepas pengebumian rakan mereka.

Tolak runding dengan Gaddafi, rancang lakukan rampasan kuasa di Tripoli


AL BAYDA: ‘Menang atau mati’, itulah slogan pemimpin pergerakan penentang pemerintahan Muammar Gaddafi di Libya semalam.


“Kami adalah bangsa yang melawan, kami tidak akan mengaku kalah. Kami akan teruskan hingga semua kawasan di negara ini merdeka,” kata bekas Menteri Kehakiman, Mustafa Abdel.
Mustafa juga berkata: “Libya sudah bebas tetapi Gaddafi mesti letak jawatan,” katanya yang disambut tepukan gemuruh.
Mereka juga menjerit akan terus ke Tripoli untuk menjatuhkan pemerintah. “Mungkin ada anggota bekas rejim di sini. Musuh masih boleh meletakkan pengintip di kalangan anda. Jangan hirau mereka hingga memusnahkan revolusi kita. Rejim lama sudah tiada lagi. Berhenti musnahkan bangunan yang kini milik kita,” kata Abdel Jalil.


Mustafa membuat ucapan ringkas itu di tengah bandar Al Bayda yang dikuasai penentang, berhampiran sebuah pejabat keselamatan yang sudah hangus.
Tentera menyokong Gaddafi mengebom kubu penentang di beberapa kawasan timur negara itu sejak Rabu lalu, terbaru di Ajdabiya.


Di TRIPOLI, pihak berkuasa Libya menuduh al-Qaeda kelmarin cuba menyeludup 37 juta pil penahan sakit ke dalam negara itu untuk mengubah minda golongan muda supaya menyertai pemberontakan menentang Gaddafi.
Mahmoud Ali, yang berkata beliau adalah ketua jabatan anti-dadah Libya, berkata pihak berkuasa memintas penghantaran Tramadol dari Dubai dan dibeli oleh sekumpulan pengedar dadah Libya yang mempunyai hubungan dengan al-Qaeda.


Pihak berkuasa Libya menunjukkan wartawan kotak dadah yang dirampas termasuk satu dengan imej ular Raja Tedung.


“Sasarannya ialah pengagihan dadah di kalangan golongan muda menerusi penyeludup dadah,” kata Abdel Haqim Giniwa, seorang lagi pegawai anti-dadah, kepada sidang media.


“Terima kasih kepada kerja keras pasukan keselamatan, kuantiti dadah ini dipintas. Ia mungkin menyebabkan gangguan sosial dan ekonomi.”


Katanya, dadah itu disembunyikan dalam kontena yang dikenal pasti untuk perabot, peralatan sukan dan jubin.


Gaddafi mendakwa, penunjuk perasaan yang menentang pemerintahannya dirasuk oleh al-Qaeda manakala susu dalam minuman Nescafe mereka diletakkan dadah mengkhayalkan.


Di VIENNA, Austria melebarkan senarai pembekuan aset semalam untuk memasukkan pegawai atasan di Pihak Berkuasa Pelaburan Libya (LIA) yang mungkin kerana kemungkinan ada kaitan dengan lingkungan dalaman Gaddafi.


Tindakan ke atas timbalan ketua LIA, Mustafa Zarti, yang memiliki pasport Austria mengikuti sekatan antarabangsa ke atas keluarga dan sekutu Gaddafi.
Satu perintah bank pusat diterbitkan dalam warta rasmi menggambarkan Zarti sebagai pembantu rapat rejim di Libya.


Dia juga eksekutif atasan dalam National Oil Corp Libya, ketua kumpulan minyak dan stesen minyak Tamoil, dan timbalan pengerusi First Energy Bank di Bahrain.


Zarti, 40, dipanggil untuk disoal oleh pihak berkuasa Vienna kelmarin dan kemudian dibebaskan, penyiar ORF melaporkan, memetik Menteri Dalam Negeri, Maria Fekter sebagai berkata.


Austria sudah mengambil langkah membekukan aset dikaitkan dengan kepemimpinan Libya itu, namun Zarti bukan berada dalam senarai asal Bank Nasional Austria didedahkan selepas sekatan diguna pakai Kesatuan Eropah (EU) minggu ini. – AgensiBerita Harian

'Pemberontakan Libya hampir tamat'

Berita Harian
2011/03/12

TRIPOLI: Anak lelaki Muammar Gaddafi Seif al-Islam, mendakwa rejim bapanya semakin hampir menamatkan pemberontakan di negara itu, ketika kuasa Barat terus berbelah bagi manakala Kesatuan Afrika menolak campur tangan tentera.

“Kami sedang mara,” kata Seif pada satu mesyuarat penyokong golongan muda, merujuk kepada pergerakan tentera kerajaan yang semakin menghampiri kubu kuat pemberontak di timur Benghazi, bandar kedua terbesar Libya.
Wartawan melaporkan pemberontak melarikan diri dari Ras Lanuf, bandar minyak tepi pantai strategik di timur Libya yang ditawan mereka Jumaat lalu, selepas menghadapi serangan hebat daripada tentera rejim.

Kenderaan pemberontak membanjiri kawasan timur selepas beberapa jam serangan roket dan meriam.

Anggota perubatan berkata kira-kira 400 orang terbunuh manakala 2,000 lagi cedera di timur Libya sejak 17 Februari lalu.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) merekodkan lebih 250,000 orang kini melarikan diri daripada pertempuran di Libya sejak pemberontakan ke atas Gaddafi bermula. – AFP"

Amaran tsunami bergema di Pasifik

Berita Harian

Amaran tsunami bergema di Pasifik


2011/03/12


  • Foto
    SEBUAH kilang di utara Jepun berdekatan bandar Sukagawa musnah ekoran gempa bumi 8.9 skala Richter, semalam.
  • Foto
    KENDERAAN dihanyut tsunami di bandar Kesennuma.
Tanah besar Amerika Syarikat, Kanada terkecuali

Foto
KENDERAAN dihanyut tsunami di bandar Kesennuma.

SINGAPURA: AMARAN tsunami dikeluarkan di seluruh Pasifik kecuali tanah besar Amerika Syarikat dan Kanada selepas gempa bumi dengan kekuatan 8.9 skala Richter melanda Jepun semalam, kata Pusat Amaran Tsunami Amerika.
Amaran itu termasuk di Hawaii dan menganjur dari Mexico sehingga negara Amerika Selatan di Pasifik, kata pusat itu.
Antara negara yang menerima amaran tsunami ialah: Russia, Taiwan, Filipina, Indonesia, Papua New Guinea, Fiji, Mexico, Guatemala, El Salvador, Costa Rica, Nicaragua, Panama, Honduras, Chile, Ecuador, Colombia dan Peru.

Australia dan New Zealand, yang berada dalam senarai awal amaran, kemudian dikeluarkan. Pusat Amaran Bersama Tsunami Australia mengesahkan tiada ancaman tsunami di negara itu.

Indonesia, yang pernah dilanda tsunami besar pada 2004 apabila 170,000 orang terkorban di wilayah Aceh, berkata ia menjangka ombak tsunami mungkin melanda kawasan timur di Sulawesi Utara, Papua dan Maluku sekitar jam 1135 waktu tempatan.

Pengawal pantai Taiwan memindahkan sejumlah kecil penduduk di bahagian timur awal semalam dan menjelang 1105 waktu tempatan, biro cuaca pusat menarik balik amaran tsunami mengatakan ia menjangka ombak setinggi 10 sentimeter menyerang, berbanding 50 sm yang diramalkan sebelumnya.
Agensi pertahanan awam Hawaii mengarahkan semua penduduk di kawasan pantai dipindahkan termasuk hub pelancong utama di Honolulu dipindahkan menjelang jam 2 pagi waktu tempatan. Ombak tsunami pertama dijangka menyerang Hawaii jam 3 pagi waktu tempatan.

Lori Untalan, seorang pegawai di Pejabat Pertahanan Awam Keselamatan Dalam Negeri Guam memberitahu Reuters, satu amaran tsunami berkuat kuasa di pulau itu.

Pantai dikosongkan dan hotel memindahkan tetamu ke bilik di tingkat tinggi, sementara di Pulau Mariana, semua penduduk diarah berpindah ke tempat tinggi.

Beratus penduduk di kawasan pantai di tiga wilayah utara Filipina mula berpindah ke tempat tinggi selepas kerajaan menaik taraf amaran tsunaminya, walaupun tiada arahan rasmi pengosongan.

Pulau Marshall, satu rangkaian kepulauan kecil Pasifik, sudah bersiap sedia dengan ancaman tsunami, dijangka melanda jam 11.30 malam waktu tempatan.

“Kami tidak pandang ringan perkara ini,” kata Bill Weza, Pengurus Besar Marshall Island Resort Hotel, berdekatan ibu kota Majuro.

“Jika ia cukup besar ia akan menghempas semua kepulauan ini, namun penduduk diberitahu supaya tidak panik dan bertenang.” – Reuters

Berjuta penduduk Tokyo terkandas

Berita Harian

Berjuta penduduk Tokyo terkandas


2011/03/12


  • Foto
    GEMPA bumi mengakibat gelombang tsunami ketika melanda pelabuhan Oarai Jepun, semalam.
  • Foto
    KEADAAN jalan raya di bandaraya Urayasu, Chiba ketika dilanda gempa bumi semalam.
Sistem kereta api bawah tanah lumpuh gempa kuat di Jepun

Foto
KEADAAN jalan raya di bandaraya Urayasu, Chiba ketika dilanda gempa bumi semalam.

TOKYO: Berjuta penduduk di bandaraya Tokyo terkandas jauh dari rumah mereka petang semalam berikutan gempa bumi kuat melanda Jepun sekali gus mencatatkan rekod melumpuhkan sistem keretapi bawah tanah di ibu negara berkenaan.
Siren kedengaran di Tokyo, helikopter rangkaian televisyen berlegar di ruang udara manakala penduduk kelihatan bergegas ke kedai runcit 24 jam di bandaraya itu untuk mendapatkan bekalan sandwich dan mi cawan segera.
Kebanyakan penduduk yang sebelum itu melarikan diri dari bangunan pejabat mendapati diri mereka terkandas jauh dari keluarga malah tidak dapat menghubungi mereka disebabkan sistem telefon bimbit tidak dapat menampung panggilan yang banyak.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk pulang ke rumah,” kata seorang wanita berusia 18 tahun di luar stesen keretapi bawah tanah Ginza.

Beliau menerangkan bagaimana tanah liat bertaburan di sekelilingnya di sebuah pusat beli belah apabila gempa bumi kuat melanda pada waktu tengah hari.

Kerajaan menggunakan pembesar suara dan siaran televisyen untuk menggesa penduduk supaya terus berada di tempat kerja mereka berbanding mengambil risiko untuk berjalan pulang berikutan lebuh raya menuju ke tengah bandaraya terputus manakala hotel mendapat tempahan penuh.
“Tolong jangan paksa diri anda untuk pulang ke rumah kerana tiada pengangkutan tetapi terus berada di pejabat atau tempat lain yang selamat,” kata satu nasihat kecemasan yang disiarkan penyiar awam, NHK.

“Hari sudah malam,” kata penyiar NHK berikutan suasana gelap yang sejuk melanda seluruh negara.

“Jika penduduk yang tinggal jauh cuba untuk melintasi sempadan wilayah dengan berjalan kaki pada waktu malam, mereka mungkin menjadi mangsa kepada kemalangan kedua.”

Wilayah Tokyo yang membabitkan Yokohama dan kawasan sekitar Kanto adalah kawasan kediaman bandar terbesar di dunia dengan lebih 30 juta penduduk, kebanyakan mereka berulang alik beberapa jam setiap hari.

Landasan keretapi Sistem Metro Tokyo dan Japan Railway masih lagi ditutup selepas beberapa jam gempa bumi kuat menggegarkan bangunan di seluruh bandar raya terbabit.

Jepun berada dalam Lingkaran Api Pasifik manakala Tokyo terletak dalam satu daripada kawasan yang amat berbahaya.

Bandar raya itu berada di antara persimpangan tiga pentas benua Eurasian, Pasifik dan Laut Filipina yang bertentangan antara satu sama lain, mewujudkan tekanan seismik paling besar.

Jawatankuasa Penyelidikan Gempa Bumi kerajaan memberi amaran bahawa peluang sebanyak 70 peratus bagi gempa bumi dengan kekuatan 8 pada skala Richter akan melanda dalam masa 30 tahun di Kanto. – AFP

Jepun ranap





2011/03/12


  • Foto
    OMBAK tsunami menghempas Natori di wilayah Miyagi, semalam.
  • Foto
    ANTARA kemusnahan angkara tsunami yang melanda Jepun semalam.
  • Foto
  • Foto
Foto
ANTARA kemusnahan angkara tsunami yang melanda Jepun semalam.
Gempa bumi akibatkan gelombang tsunami 10m jejas ekonomi Tokyo


TOKYO: Gempa bumi paling kuat dalam tempoh 140 tahun dengan ukuran 8.9 pada skala Richter, melanda timur laut Jepun semalam, mencetuskan gelombang tsunami sehingga setinggi 10 meter dan menyebabkan lebih 1,000 orang terbunuh.
Agensi berita Kyodo melaporkan, gempa bumi menyebabkan kerosakan besar kawasan di utara Jepun, manakala gelombang tsunami memusnahkan hampir apa saja di laluannya termasuk ladang pertanian, bangunan, rumah, kapal, kenderaan dan menyebabkan kebakaran.
“Gempa menyebabkan banyak kecederaan, kebakaran dan gelombang besar memaksa beribu-ribu penduduk melarikan diri ke kawasan lebih tinggi untuk menyelamatkan diri,” lapor Kyodo.

Beberapa loji jana kuasa nuklear dan pusat penyulingan minyak ditutup manakala sebuah firma pengeluar besi utama terbakar. Kira-kira 4.4 juta rumah di bahagian utara Jepun terputus bekalan elektrik.

Kyodo melaporkan, sebuah hotel di bandaraya Sendai runtuh, menimbulkan kebimbangan ramai penghuni mungkin terperangkap.

“Keadaan sungguh teruk dan saya ketakutan. Saya tidak pernah mengalami gempa bumi sekuat ini sejak 20 tahun lalu,” kata seorang pengurus sebuah restoran di Akasaka, Hidekatsu Hata, 36.
Pengalaman beliau dikongsi koresponden Reuters di Tokyo Linda Sieg yang turut merasai gegaran kuat di pejabatnya.

“Bangunan pejabat kami bergegar kuat dan lama, menyebabkan ramai kakitangan mengambil topi keledar untuk melindungi kepala mereka, manakala yang lain bersembunyi di bawah meja,” katanya.

Stesen televisyen NHK menyiarkan imej gelombang tsunami menghanyutkan sisa bangunan, kenderaan di kawasan pantai Sendai yang mempunyai sejuta penduduk manakala kapal yang biasanya berada di pantai, dilihat terdampar di pelabuhan.

Asap hitam dilihat berkepul ke udara dari sebuah bangunan di Odaiba di pinggir Tokyo ketika perkhidmatan kereta api laju Jepun ke utara, terpaksa dihentikan.

Syarikat gergasi elektronik Jepun, Sony Corp, menghentikan operasi di enam kilangnya, ketika pesawat tentera udara dikejarkan ke pesisir pantai timur laut bagi meninjau tahap kerosakan yang berlaku.

Bank of Japan yang sedang berusaha meningkatkan ekonomi negara itu berkata pihaknya akan berusaha sedaya upaya memastikan pasaran kewangan terus stabil, ketika pasaran saham dan nilai yen jatuh.

Sementara itu, Pertubuhan Palang Merah di Geneva berkata paras air laut dilaporkan lebih tinggi di beberapa kepulauan Pasifik manakala amaran tsunami di seluruh wilayah itu kecuali Amerika dan Kanada. – Reuters

Bina replika kapal guna pencungkil gigi

Kosmo!



WAYNE KUSY berdiri di depan replika sebuah kapal yang diperbuat daripada pencungkil gigi.


ILLINOIS, Amerika Syarikat - Sebuah replika kapal Queen Mary yang berukuran 7.62 meter panjang, 0.9 meter lebar dan 1.8 meter tinggi berjaya dihasilkan dengan hanya menggunakan lebih 800,000 pencungkil gigi, lapor sebuah akhbar semalam.
Pengaturcara komputer, Wayne Kusy, 50, dianggarkan menghabiskan masa selama hampir 12 tahun untuk menyiapkan replika kapal tersebut.
"Saya hanya menggunakan playar, pisau cukur, penyepit kecil, gam dan kesabaran yang banyak untuk menyiapkan replika itu," katanya
Replika kapal Queen Mary itu akan dijual pada harga £6,000 (RM29,318).
Sebelum ini, Wayne pernah menghasilkan replika kapal Titanic dan Cutty Sark yang menggunakan bahan yang sama. - Agensi

Murid 11 tahun lebih bijak daripada Einstein

Kosmo!





CLAVERLEY - Seorang murid perempuan, Victoria Cowie (gambar) yang baru berusia 11 tahun dikatakan lebih bijak berbanding saintis terkenal seperti Albert Einstein dan Stephen Hawking kerana dia memiliki skor kecerdasan (IQ) mencecah 162, lapor sebuah akhbar semalam.
Kepintaran Cowie diakui selepas dia mendapat skor 162 dalam ujian IQ.
Pencapaian itu adalah lebih baik daripada skor yang diperoleh oleh saintis terkenal, Albert Einstein, Stephen Hawking dan pengasas perisian komputer, Bill Gates iaitu 160.
"Saya sangat sukakan teka-teki dan menyelesaikan masalah. Saya mahu belajar dalam jurusan sains, terutama biologi," katanya yang sudah mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di empat buah sekolah berprestij.
Selain meminati mata pelajaran sains dan membuat eksperimen, Cowie juga suka berlakon, menari dan bermain alat muzik.
Ibunya, Alison, memberitahu, anaknya itu mempunyai kemampuan membaca sejak kecil dan pernah memenangi anugerah sains di sekolah.
Ibu bapanya kurang pasti daripada mana Cowie mewarisi kepintarannya itu.
Purata IQ manusia ialah 100.
Ekoran keputusan tersebut, Cowie mengalahkan kepintaran Napoleon Bonaparte yang mendapat skor 145, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Hillary Clinton (140), penyanyi terkenal, Madonna (140) dan pengarah filem, Quentin Tarantino (160). - Agensi

10,000 penduduk berkeliaran di Tokyo

Kosmo!



RATUSAN orang menunggu untuk menggunakan perkhidmatan awam di Tokyo, Jepun selepas gempa bumi kuat melanda timur laut negara itu semalam.


TOKYO - Lebih 10,000 penduduk kelihatan berkeliaran di jalan-jalan raya di Tokyo atau mengambil keputusan tinggal di pejabat atau stesen kereta api akibat gempa bumi terkuat yang melanda Jepun dalam sejarah moden negara itu semalam.
Gegaran pada ukuran 8.9 skala Richter itu menggegarkan pantai timur laut Jepun mengakibat berjuta-juta rumah di seluruh Jepun bergelap, rangkaian telekomunikasi ditutup dan sistem kereta api dihentikan serta-merta menyebabkan 10 juta rakyat Jepun terkandas. Seorang pekerja restoran, Akira Tanaka, 54 merupakan antara orang awam yang mengambil keputusan untuk berjalan kaki ke rumahnya yang terletak di pinggir bandar, Saitama, 20 kilometer ke utara Jepun.
Dia mengakui tidak pernah melakukan perkara tersebut (berjalan kaki pulang ke rumah) sebelum ini.
"Saya sudah berjalan selama sejam dan 10 minit dan masih memerlukan tiga jam lagi untuk sampai. Gempa bumi seperti ini akan berlaku setiap 100 tahun," katanya.
Talian telefon sesak sekali gus menghalang sebarang panggilan dibuat termasuk khidmat pesanan ringkas.
Kegagalan menggunakan telefon bimbit menyebabkan orang ramai berbaris panjang untuk menggunakan telefon awam yang pada kebiasaannya lenggang.
Syarikat telekomunikasi Jepun, Nippon Telegraph dan Telephone Corp. menyediakan talian telefon untuk kecemasan dan laman web Internet untuk pengguna memberi mesej kepada keluarga.
Menurut East Japan Railways Co., perkhidmatan kereta api komuter Tokyo, kereta api bawah tanah dan kereta api had laju tinggi dihentikan, kereta api bawah tanah kembali beroperasi selepas enam jam perkhidmatan ia dihentikan. - AP

Tsunami Jepun berlaku selepas saintis beri amaran

Kosmo!



OMBAK tsunami melanda pantai di Iwanuma, utara Jepun semalam.


LONDON - Tsunami yang melanda pantai timur Jepun berlaku dua hari selepas beberapa saintis memberi amaran mengenai pergerakan bulan yang boleh menyebabkan bencana alam di Bumi, lapor sebuah akhbar semalam.
Pergerakan bulan itu yang digelar adi bulan, diramalkan berlaku pada 19 Mac ini apabila bulan berada paling rapat dengan Bumi sejak tahun 1992.
Ketika itu, jarak bulan dan Bumi sekitar 354,507 kilometer berbanding 384,403 kilometer pada hari-hari biasa.
Pada kedudukan tersebut, daya graviti bulan adalah sangat kuat dan dikhuatiri boleh mencetuskan bencana alam seperti gempa bumi, tsunami dan letusan gunung berapi. Ahli astronomi Amerika Syarikat (AS) Richard Nolle percaya pergerakan bulan itu mencetuskan bencana di Bumi.
"Fenomena itu memiliki kaitan sejarah dengan ribut kencang, air pasang besar dan gempa bumi," katanya dalam satu wawancara dengan stesen ABC minggu ini.
Fenomena itu pernah berlaku pada 1955, 1974, 1992 dan 2005. Bencana tsunami yang menyebabkan 200,000 orang di Indonesia terbunuh itu melanda dua minggu sebelum fenomena bulan berada dekat dengan Bumi pada Januari 2005. - Agensi

Terkuat dalam tempoh 140 tahun

Kosmo!



GAMBAR dari udara menunjukkan gempa bumi di utara Jepun mengakibatkan tsunami berair kehitaman menyapu kawasan pertanian di Sendai semalam.


TOKYO - Gempa bumi paling kuat dalam tempoh 140 tahun berlaku di laut timur Jepun semalam sekali gus mencetuskan ombak tsunami setinggi 10 meter.

Pihak berkuasa Jepun berkata, gempa bumi dengan kekuatan 8.9 pada skala Richter itu menyebabkan beratus-ratus orang dilaporkan terbunuh (sehingga 11.30 malam waktu Malaysia) dan jumlahnya dilaporkan meningkat dalam tempoh enam jam akan datang.

Menurut Agensi Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa bumi yang berpusat 130 kilometer dari pantai timur Sendai, Honshu pada kedalaman 24 kilometer.

Kira-kira sejuta penduduk mendiami Sendai yang merupakan sebuah kawasan pertanian utama di Jepun.

Bencana alam itu berlaku pada pukul 11.45 pagi waktu tempatan.

Perdana Menteri Jepun, Naoto Khan dalam sidang akhbar semalam mengakui gempa bumi tersebut menyebabkan kerosakan besar di utara Jepun.

Ombak tsunami tersebut membawa tanah dan serpihan sebahagiannya dalam keadaan terbakar menenggelamkan kawasan tanah pertanian di bandar Sendai, timur Jepun yang mempunyai sejuta penduduk.

Sebuah hotel runtuh di bandar Sendai dan ramai orang dipercayai tertimbus di celah runtuhan.

Turut disapu tsunami ialah Iwate, Miyagi dan Aomori.