Robot untuk melipat pakaian dikenali sebagai FoldiMate telah menerima 11,000 tempahan awal. ­ Agensi
Robot ciptaan syarikat Amerika Syarikat yang turut dinamakan FoldiMate itu, berharga antara 490 pound (RM2,899) sehingga 600 pound (RM3,550) seunit.
Iklan tentang kehebatannya telah disiarkan sejak 2014, namun hanya viral baru-baru ini.
Firma FoldiMate mengeluarkan robot setinggi satu meter dan berbentuk segi empat itu mengambil kira kerja-kerja melipat kain yang memerlukan lebih masa terutama dalam kalangan suri rumah dan wanita bekerjaya.
Bukan sekadar mampu melihat kain, mesin tersebut juga boleh berfungsi sebagai seterika wap yang akan melicinkan kedutan pada pakaian.
Menurut laporan laman web mirror.co.uk, pengguna hanya perlu menggantung antara 10 hingga 20 helai pakaian dalam satu-satu masa pada penyepit di bahagian depan robot itu yang kemudian akan menarik pakaian ke dalam badan mesin berkenaan.
Beberapa panel dalam badan robot itu akan melakukan kerja-kerja melipat dan menggosok kedutan pada pakai­an dalam tempoh hanya 10 saat.
Pakaian yang telah berlipat kemas itu kemudian akan dikeluarkan daripada badan robot melalui ruang khas.
Namun FoldiMate tidak boleh melipat semua jenis kain antaranya pakaian dalam atau fabrik yang lebar seperti cadar.
Bagaimanapun FoldiMate bukanlah mesin melipat pakaian yang pertama di dunia kerana sebuah syarikat di Jepun telah pun mengeluarkan mesin seumpamanya dikenali sebagai The Laundroid pada Oktober tahun lalu.