Pages

Friday, April 18, 2014

Petua mudah cari isteri hilang


MUHAMAD MAT YAKIM
18 April 2014

SUATU hari saya tumpang kereta kawan untuk ke pejabat. Kami singgah di sebuah warung dan saya turun beli makanan bungkus sementara kawan tunggu dalam kereta. Selepas itu, saya pun kembali semula ke kereta, buka pintu, masuk tetapi alangkah terkejutnya apabila yang saya tengok duduk di tempat pemandu bukan kawan saya.

Rupa-rupanya kawan saya dengan keretanya sudah ke depan dan kereta lain pula yang datang ambil alih tempat itu. Selepas minta maaf, saya pun keluar dari kereta orang yang tak dikenali itu dengan muka tebal.

Kelmarin, stesen radio Pahang FM mainkan topik 'tersilap orang' dengan perkongsian cerita oleh penyiar dan pendengar. Macam-macam. Yang banyak jadi hal seperti itu, wanita. Jangan tanya saya mengapa!

Alkisahnya, dalam satu kes, seorang isteri yang pastinya kepenatan kerana lama menunggu suami datang menjemput, masuk dalam kereta sambil merungut-rungut memarahi 'suami' yang lewat.

Setelah agak lama dan mendapati kereta itu tidak juga bergerak, barulah dia mengalih pandang ke arah 'suaminya'. Alangkah terkejut apabila mendapati yang duduk di tempat pemandu bukanlah suami yang dinanti.

Lalu untuk tutup malu, dia pun bertanya, "awak ni siapa?", "mana suami saya?" Tidak tahulah apa yang dijawab oleh pemandu merangkap tuan punya kereta itu tetapi kalau saya, akan balas begini: "Saya, sayalah... yang awak tu naik kereta saya ni kenapa? Mana saya tahu suami awak!"

Yang diceritakan hanyalah si pemandu itu kemudian melihat menerusi cermin pandang belakang, ada sebuah kereta lain yang serupa dengan keretanya, di belakang dan pemandu kereta itu dilihat ketawa berdekah-dekah melihat isterinya tersalah masuk kereta orang lain.

Kes tersalah suami atau tersalah isteri ini banyak berlaku di pasar raya. Seorang kawan saya yang 'kehilangan' isteri di pasar raya, kemudian mendapati isterinya bersama-sama seorang lelaki lain berjalan seiringan menolak troli barang.

"Betulnya, isteri aku pergi ambik barang dan aku tunggu troli. Tiba-tiba aku nampak barang yang aku sedang cari kat rak tidak jauh dari situ. Aku pun alih troli ke tepi dan pergi ambik barang itu. Mungkin selepas itu datang orang lain, dan isteri aku tak pandang terus ikut orang tu yang disangkanya aku.

"Orang tu pulak mungkin tak perasan isteri aku ikut dia. Bila aku panggil, merah padam muka isteri aku dan pelan-pelan dia belah ke tepi. Bila aku tanya pasal barang, dia kata sudah masuk dalam troli orang tu. Aku kata, pergi ambik lainlah, yang sudah masuk troli biarlah orang tu bayar nanti..," katanya.

Dalam kes lain yang hampir serupa - isteri orang dengan suami orang - bersama-sama berjalan menolak troli dan mereka masing-masing tersedar salah pasangan hanya setelah sampai di kedai makan.

Apabila 'si isteri' bertanya kepada 'suami'nya: "Abang nak makan apa?" baharulah dia tersedar yang ditanya itu rupa-rupanya suami orang lain.

Masa itu, masing-masing kelam kabut dan malu sesama sendiri. Pada masa yang sama, kelam-kabut juga mana nak cari pasangan sejati yang sudah hilang entah ke mana!

Di sini, saya nak kongsi satu petua mudah yang mungkin boleh jadi pedoman bagi sesiapa yang mungkin terbabit kes kehilangan isteri seperti ini.

Caranya mudah sahaja, kalaulah isteri anda hilang, telefon pun tidak berjawab, caranya, anda carilah wanita paling cantik yang ada di tempat itu, atau di pasar raya itu. Sapalah wanita itu, tanya nama, di mana rumah dan kalau boleh mintalah nombor telefon dia sekali.

Percayalah, dalam masa beberapa minit sahaja, isteri anda pasti akan muncul di sebelah dan tidak perlu untuk anda bersusah payah mencarinya lagi.

Kalaulah si cantik itu isteri orang, suaminya juga tentu akan muncul dalam masa beberapa saat sahaja dan selepas itu, selesaikan dan tanggunglah sendiri isu-isu yang berbangkit.

Bayar pembelian melalui imbasan saluran darah


Teknologi imbasan saluran darah dikatakan lebih mudah dan selamat berbanding penggunaan kad kredit - AGENSI
STOCKHOLM 17 April - Kira-kira 1,600 pengguna di Sweden menikmati perkhidmatan teknologi baharu yang menawarkan kaedah lebih mudah dan selamat berbanding kad kredit apabila membeli-belah hanya dengan mengimbas corak saluran darah mereka ketika membuat pembayaran.
Saintis yang terlibat dalam penciptaan teknologi itu, Fredrik Leifland dari Universiti Lund, selatan Sweden, berkata, setiap individu mempunyai corak saluran darah yang berbeza-beza dan kaedah berkenaan dapat mengelakkan berlakunya penipuan melalui sistem yang digunakan itu.
Jelasnya, teknologi yang belum diberi nama itu boleh diakses melalui terminal imbasan yang terdapat di restoran atau pusat membeli-belah terpilih dan pengguna hanya perlu memasukkan nombor keselamatan sosial (nombor kad pengenalan) dan nombor telefon ketika membuat pendaftaran.
"Selepas melakukan imbasan, satu mesej akan dihantar ke telefon bimbit pengguna berkenaan dengan pautan laman web untuk proses pengaktifan dan pembayaran akan dibuat sebanyak dua kali sebulan menerusi akaun pengguna.
"Teknologi ini melibatkan proses yang rumit bagi mengelakkan penipuan dengan menghubungkan terminal imbasan, bank, kedai dan pelanggan," katanya.
DailyMail Online melaporkan, setakat ini sebanyak 15 restoran dan kedai di Sweden menyediakan perkhidmatan tersebut dan hampir 2,000 orang telah mendaftar untuk mencubanya.
Bagaimanapun, teknologi tersebut masih pada peringkat percubaan dan sekiranya berjaya kaedah tersebut akan dikembangkan ke seluruh dunia dengan tahap keselamatan yang lebih baik.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140418/lu_09/Bayar-pembelian-melalui-imbasan-saluran-darah#ixzz2zCx45XWm
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Bangga anak ibu termuda

 London: Bapa seorang budak perempuan berusia 12 tahun yang menjadi ibu termuda di Britain berkata semalam dia bangga dengan anaknya.

Pelajar sekolah yang dihamilkan oleh teman lelakinya berusia 13, semasa masih di sekolah rendah ketika berumur 11 tahun, melahirkan bayi perempuan seberat 3.29kg Ahad lalu.
Pada usia 12 tahun dan tiga bulan, dia lima bulan lebih muda daripada ibu termuda Britain sebelum ini. 

Murid tahun 7 dan bapa bayi itu, dikatakan dilamun cinta dan menjalin hubungan selama setahun, kini dipercayai ibu bapa termuda Britain.
Foto
PASANGAN ibu bapa termuda Britain itu bersama anak mereka. Gambar mereka dikabur bagi melindungi identiti mereka.

Semalam, bapa budak perempuan itu berkata dia akan membantu anaknya mengharung kehidupan.

Bagaimanapun dia mengaku kecewa kerana hanya mengetahui mengenai anaknya akan melahirkan anak bulan lalu.

Lelaki itu berkata: “Anak saya langsung tidak memalukan saya. Saya bangga dengannya. Malu bukanlah masalah di sini.

“Kami tidak mengetahui ini akan terjadi. Kanak-kanak usia sebegini akan membesar dan mempunyai teman lelaki dan sebagainya. 

“Mereka melakukan sesuatu di belakang ibu bapa. Dan kami tidak tahu apa yang mereka lakukan.”

Lelaki itu berasal dari London Selatan sudah berpisah dengan ibu anaknya itu yang kini dalam usia 27 tahun menjadi antara nenek paling muda di Britain.

Dengan menganggap dirinya ‘datuk yang bangga’ dan menggunakan nama samaran untuk melindungi identiti anaknya, dia memberitahu radio LBSC bahawa kedua-dua keluarga akan memberi sokongan kepada pasangan muda itu.

Dia juga menggambarkan teman anaknya sebagai ‘remaja yang hebat.’

“Kami tidak tahu bagaimana ia terjadi. Anda mungkin beranggapan kami mengetahui mereka berasmara di dalam bilik tidur. Tidak.”

Dia berkata dia tidak akan membiarkan seorang lagi anak perempuannya yang berusia tiga tahun dan seorang lelaki berumur sembilan tahun melakukan kesalahan sama pada masa akan datang.

Pasangan kanak-kanak itu berkenalan bertemu pada musim Krismas 2012 di sebuah taman. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : 2014/04/18