Pages

Saturday, November 3, 2012

Kerajaan arah penduduk Rakhine serah senjata



Seorang askar Myanmar berkawal di hadapan sebuah rumah yang hangus terbakar di bandar Ramee, negeri Rakhine, barat Myanmar, kelmarin. - AFP
YANGON 2 Nov. - Pihak berkuasa Myanmar semalam mengarahkan penduduk di Rakhine menyerahkan senjata api, pedang dan senjata lain kepada polis dalam tempoh tiga hari atau bakal menghadapi tindakan undang-undang.
Menurut pengumuman oleh akhbar rasmi Myanmar, Myanma Ahlin itu, beberapa kumpulan di Rakhine menggunakan pisau dan senjata api dalam pertempuran terbaru antara etnik Rakhine Buddha dan Rohingya beragama Islam baru-baru ini.
Pejabat Presiden Thein Sein kelmarin menjelaskan, sebanyak 180 senjata api buatan sendiri telah dirampas dan pembuat senjata berkenaan ditahan.
“Dalam usaha untuk menyelesaikan konflik secara aman, pihak berkuasa mengarahkan orang ramai menyerahkan senjata api, pedang dan semua jenis senjata ke balai polis berdekatan antara 31 Oktober hingga 3 November ini,’’ jelas pejabat tersebut dalam pengumuman itu.
Kerajaan Myanmar kelmarin memberitahu, pihaknya mempunyai bukti individu dan pertubuhan tertentu yang mencetuskan keganasan tersebut. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121103/lu_04/Kerajaan-arah-penduduk-Rakhine-serah-senjata#ixzz2B7qVda9e
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Taufan Sandy: Penduduk Staten Island dakwa diabai



Seorang anggota bomba New York City, memantau kerosakan akibat Taufan Sandy yang turut menghanyutkan bot-bot dari tepi pantai ke kawasan perumahan di Tennyson Drive, Staten Island di New York City, kelmarin. - AGENSI
NEW YORK 2 Nov. - Penduduk di kawasan Staten Island yang terjejas teruk akibat Taufan Sandy, berang dengan pihak berkuasa yang didakwa mengabaikan mangsa dan lambat menghantar bantuan ke kawasan mereka.
Semalam sahaja, angka kematian di seluruh Amerika Syarikat (AS) meningkat tiga kali ganda iaitu sebanyak 102 orang, dengan New York mencatatkan 40 kematian dan separuh daripadanya merupakan penduduk Staten Island.
Presiden Majlis Perbandaran Staten Island, James Molinaro melahirkan rasa marahnya terhadap Palang Merah AS kerana mendakwa pasukan itu tidak menghulurkan bantuan di kawasan tersebut.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121103/lu_02/Taufan-Sandy-Penduduk-Staten-Island-dakwa-diabai#ixzz2B7rNnO99
© Utusan Melayu (M) Bhd 

KLIA 2 dijangka beroperasi Mei 2013



KLIA 2
KLIA 2 sedia menerima 50 peratus syarikat penerbangan tambang rendah dunia yang dijangka akan memulakan operasinya Mei 2013.
TERMINAL baru penerbangan tambang rendah (LCCT), KLIA 2 sudah bersedia menarik lebih daripada 50 peratus syarikat penerbangan tambang rendah dunia apabila memulakan operasinya kelak pada Mei 2013.

Pada masa ini, terdapat sejumlah 30 hingga 40 syarikat penerbangan tambang rendah dunia berbanding hanya lima syarikat penerbangan sejak lima tahun lalu.

Pengurus Besar Pembinaan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Mohd Zaifuddin Idris berkata, pada masa ini sejumlah 12 syarikat penerbangan tambang rendah terbang dari KLIA 2 dan dua lagi syarikat penerbangan akan masuk apabila kemudahan baru itu siap sepenuhnya kelak.

“Kedua-dua syarikat penerbangan tambang rendah itu ialah Malindo Airways dan Firefly,” katanya sempena pemasangan akhir struktur jambatan udara KLIA 2, semalam.

Israel mengaku bunuh timbalan Yasser Arafat




3 November 2012
Abu Jihad - Yasser Arafat
Abu Jihad (kiri) juga adalah sahabat baik kepada Arafat. Foto: AP
TEL AVIV - Israel, kelmarin membuat pengakuan menjadi dalang pembunuhan Khalil al-Wazir @ Abu Jihad, timbalan kepada bekas Presiden Yasser Arafat dalam satu operasi dirancang agensi perisikan Mossad pada 1988 di Tunisia.

Pendedahan termasuk wawancara bersama komando yang bertanggungjawab menembak mati pengasas gerakan Fatah itu disiarkan oleh akhbar Yediot Aharonot selepas maklumat tersebut dirahsiakan selama 12 tahun.

Menurut akhbar itu, operasi rahsia dilancarkan di kediaman Abu Jihad yang terletak di negara Afrika Utara tersebut disertai oleh 26 anggota unit komando elit Sayeret Matkal.

Difahamkan, tindakan itu diambil kononnya selepas beliau didakwa terlibat dengan beberapa siri serangan menyasarkan golongan Yahudi termasuk mengetuai intifada pada 1987-1993 yang menentang pendudukan Israel.

Ketika insiden tersebut, pengawal peribadi dan pekebun beliau turut dilaporkan terbunuh.

Beberapa sumber menyebut Menteri Pertahanan Ehud Barak dan Timbalan Perdana Menteri Moshe Yaalon juga antara pemimpin tertinggi yang terlibat dalam operasi itu.

Maklumat yang didedahkan menjelang proses penggalian semula kubur Arafat pada akhir bulan ini dilihat akan mencetuskan semula kontroversi kerana sebelum ini Palestin pernah menuduh Israel menyebabkan kematian bekas pemimpin Pertubuhan Pembebasan Palestin(PLO) tersebut. - AP

Bayi bantu ibu bersih lantai

PENGELUAR menggunakan gentian mikro sebagai bahan mop pada pakaian bayi ini.
PENGELUAR menggunakan gentian mikro sebagai bahan mop pada pakaian bayi ini.
PADA harga RM120, Baby Mop ini boleh membantu ibu.
PADA harga RM120, Baby Mop ini boleh membantu ibu.
LONDON: Sebuah syarikat memperkenalkan pakaian unik yang membolehkan bayi ‘membantu’ ibu bapa mereka membersihkan rumah ketika mereka merangkak.
Syarikat itu menggabungkan baju bayi dengan pembersih lantai (mop) yang dilekatkan pada bahagian tangan dan kaki.

Dikenali sebagai Baby Mop, pakaian itu membolehkan lantai rumah digilap ketika bayi terbabit belajar merangkak. Baby Mop dijual pada harga kira-kira RM120 sepasang.

Ia adalah projek laman sesawang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), BetterThanPants.com yang diinspirasi daripada satu iklan di Jepun.

Dalam kenyataan di laman sesawang itu, syarikat terbabit secara bergurau berkata, Baby Mop akan “mendidik bayi anda mengamal etika kerja yang baik sejak kecil” ketika mereka dididik supaya tidak menyepahkan makanan di lantai.
Menurut laman sesawang BetterThanPants.com, bayi yang menggunakan Baby Mop juga “akan mendapat riadah berfaedah, membakar tenaga dan membentuk otot.” “Amalan itu akan membantu bayi mendapat tidur yang lebih baik,” kata syarikat itu.
Sementara itu, jurucakap BetterThanPants.com, Mike Parker, berkata kira-kira 100 pasang Baby Mop berjaya dijual dalam tempoh hanya sebulan sejak ia diperkenalkan di laman sesawang berkenaan.

“Setakat ini, maklum balas daripada pelanggan sangat positif walaupun ada sedikit e-mel negatif mengenai idea produk itu,” katanya. Bahagian pembersih pada tangan dan kaki Baby Mop diperbuat daripada bahan gentian mikro yang dilekatkan secara langsung. - DM

Datuk Bandar New York undang kontroversi



SEBUAH bot dan serpihan lain terdampar di atas landasan kereta api New Jersey Utara di New Jersey selepas taufan Sandy kelmarin.


NEW YORK - Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg mencetuskan kontroversi apabila mahu meneruskan acara marathon terbesar di dunia yang akan diadakan di kota metropolitan ini esok.
Ramai penduduk kota raya ini berpendapat bahawa keputusan Bloomberg tidak kena pada masanya.
Ia ekoran keputusan itu dibuat ketika pasukan penyelamat memasuki sejumlah kediaman yang ditenggelami air bah untuk mencari mangsa-mangsa terselamat selepas taufan Sandy membadai Pantai Timur Amerika Syarikat (AS).
Angka kematian akibat bencana tersebut itu di sini dan negeri New Jersey kini meningkat kepada lebih 95 orang.
"Jika mereka meneruskan marathon ini saya akan menjerit," kata seorang ahli majlis bandar raya ini, James Oddo dalam akaun Twitternya.
"Kita ada ramai orang yang hilang kediaman dan hilang harapan," tambahnya.
Bagaimanapun, dalam mempertahankan keputusannya, Bloomberg berjanji marathon itu tidak akan menggunakan sebarang sumber atau bantuan yang diperuntukkan kepada mangsa taufan Sandy.
Beliau juga menjangkakan bekalan elektrik di kawasan Manhattan di sini akan dipulihkan esok.
"(Tambahan pula), terdapat banyak perniagaan kecil yang bergantung kepada acara itu. Kita perlukan aktiviti bagi menjana ekonomi," kata Bloomberg dalam satu sidang akhbar Rabu lalu.
Penganjur marathon berkenaan, kelab New York Road Runners memberitahu, acara tersebut akan menjana pendapatan berjumlah AS$340 juta (RM1.03 bilion) kepada kota raya ini.
Kelab itu mengumumkan kelmarin bahawa ia akan mendermakan sekurang-kurangnya AS$1 juta (RM3 juta) bagi membantu mangsa-mangsa taufan Sandy di sini.
Seramai 40,000 pelari dijangka mengambil bahagian dalam acara tersebut.
Sementara itu, kemarahan orang ramai semakin memuncak ekoran angka kematian yang terus meningkat di samping bantuan yang lambat tiba di beberapa kawasan yang paling teruk terjejas.
"Mereka (pihak berkuasa) lupakan kita," kata seorang wanita berusia 42 tahun, Theresa Connor.
Menurutnya, kawasan kejiranannya di Staten Island di sini musnah sama sekali akibat taufan Sandy.
"Bloomberg pula menyatakan kota raya New York berada dalam keadaan baik. Marathon akan diteruskan!" katanya.
Selain kelambatan bantuan, orang ramai juga berasak-asak untuk membeli petrol dengan menyebabkan harga bahan itu melambung tinggi.
Pendakwa Raya Daerah Richard Brown berkata, berlaku beberapa kejadian tidak diingini ekoran situasi tersebut dengan seorang lelaki di sini didakwa kerana mengacukan pistol terhadap seorang pemandu lain selepas lelaki itu cuba memotong barisan untuk membeli petrol.
Sebuah firma pengukur bencana, Eqecat menganggarkan Sandy menyebabkan kerugian yang diinsurans berjumlah AS$20 bilion (RM61 bilion) manakala kerugian ekonomi pula mencecah AS$50 bilion (RM152 bilion).
Taufan Sandy merupakan bencana keempat terburuk di AS di belakang Taufan Katrina pada 2005, serangan 11 September pada 2001 dan Taufan Andrew pada 1992.
- Agensi

Model dikecam bergambar di lokasi kemusnahan Sandy




GAMBAR pertindihan imej menunjukkan Gouvea menyaksikan peristiwa seorang sami Buddha membakar dirinya di Vietnam pada 1963.


NEW YORK - Seorang model terkenal Brazil diselar oleh pengguna internet kerana bergambar di beberapa lokasi yang musnah akibat taufan Sandy di sini.
Nana Gouvea, 30, yang dilaporkan pernah menghiasi majalah Playboy memuat naik beberapa keping gambar tersebut di laman Facebook.
Beberapa gambar itu menunjukkan dia bersandar pada sebatang pokok tumbang dan berdiri di atas kereta-kereta yang musnah di sini.
Gambar-gambarnya mencetuskan bantahan pengguna internet malah portal hiburan Gawker.com.mempersendakan model tersebut.
"Bencana alam memberikan peluang baik untuk keluar dan bergambar dengan menampilkan pelbagai aksi dan gaya," kata seorang pengguna internet secara sinis.
Sebuah laman Facebook yang dinamakan Nana Gouvea in Disasters turut mempersendakan model berambut hitam itu.
Laman web itu memaparkan beberapa gambar pertindihan imej yang menunjukkan imej Gouvea dalam beberapa peristiwa tragis seperti kapal Titanic karam dan perbuatan seorang sami Buddha, Thich Quang Duc yang membakar dirinya di Vietnam pada 1963. - Agensi

Polis halang 500 ekor kucing dijadikan lauk




SEBAHAGIAN daripada 500 ekor kucing yang dipintas pihak polis di bandar Xuzhou, dalam wilayah Jiangsu di China baru-baru ini.


XUZHOU - Polis di bandar ini, dalam wilayah Jiangsu, di timur China menghalang sebuah lori yang membawa 500 ekor kucing untuk dijadikan hidangan eksotik di restoran-restoran tempatan, lapor akhbar Telegraph semalam.
Polis mengarahkan lori terlibat supaya berhenti apabila menyedari kenderaan tersebut memiliki nombor plat luar wilayah.
Mereka kemudian menyoal pemandu lori tentang haiwan yang dibawa selepas terdengar bunyi mengiau dari bawah plastik penutup kargo tersebut.
"Arnab," jawab pemandu tersebut.
Namun, kenderaan itu sebenarnya membawa beratus-ratus ekor kucing yang diletakkan di dalam puluhan sangkar besi.
Sejak beberapa tahun lalu, permintaan daging kucing di selatan China meningkat dengan bekalan haiwan itu diperoleh dari seluruh China.
Daging kucing akan dicampurkan bersama daging ular untuk dimasak sejenis hidangan tempatan istimewa yang digemari penduduk tempatan.
Undang-undang China tidak melarang rakyatnya menjual kucing kerana haiwan itu tidak dianggap sebagai harta benda milik keluarga.
Pencuri kucing biasanya memperoleh bayaran 10 yuan (RM4.90) untuk seekor kucing yang dijual kepada orang tengah.
Berikutan pemandu lori berkenaan tidak melakukan sebarang kesalahan, pihak polis membeli kargo tersebut pada harga 3,500 yuan (RM1,723) selepas berunding selama tiga jam dengan pemandu terlibat. - Agensi