Pages

Thursday, July 4, 2013

Ketam terbesar di Belanda dapat 'rumah' baharu

ALEXANDER berada di dalam akuarium baharunya di Muzium Hidupan Laut di Scheveningen, Belanda kelmarin.


SCHEVENINGEN - Seekor ketam labah-labah bernama Alexander mendapat rumah baharu di sebuah akuarium di sini, Belanda.
Ketam tersebut merupakan ketam terbesar di negara itu.
Berasal dari Jepun, Alexander mempunyai diameter lebih 3.5 meter termasuk kakinya.
Pihak Muzium Hidupan Laut di sini membina sebuah akuarium khas bagi menempatkan hidupan marin itu.
Akuarium berkenaan yang dilengkapi kaca tebal diisi dengan 12,750 liter air sejuk untuk memastikan ketam tersebut dapat menyesuaikan diri di tempat baharunya.
Ketam labah-labah boleh mencapai berat hingga 19 kilogram.
Haiwan laut itu memakan hidupan dan tumbuhan marin di dasar laut. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0704&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2Y1VcyXRU 
Hakcipta terpelihara 

Buaya pupus kerana makan kodok beracun

SEEKOR kodok tebu berada di tapak tangan seorang pekerja Zoo Taronga di Sydney.


SYDNEY - Spesies kodok tebu kini mengancam populasi buaya pigmi di Australia, kata sepasukan penyelidik semalam.
Kehadiran haiwan beracun itu dibimbangi boleh menyebabkan spesies buaya unik itu pupus pada masa akan datang.
Pasukan penyelidik Universiti Charles Darwin memberitahu, keadaan itu berlaku ekoran buaya pigmi memakan kodok tebu kerana kekurangan sumber makanan lain.
Ketua penyelidik berkenaan, Adam Britton berkata, terdapat 28 ekor buaya pigmi di kawasan kajian berkenaan di Victoria dan Bullo, dalam Wilayah Utara, sebelum kedatangan kodok tebu.
Namun, angka itu menurun kepada 10 ekor selepas pencerobohan habitat berlaku.
"Sejumlah bangkai buaya mati dan penemuan kodok tebu di dalam perut haiwan itu membuktikan reptilia itu pupus disebabkan kehadiran kodok tebu," menurut keputusan kajian.
Buaya pigmi boleh membesar sepanjang 1.7 meter atau 0.7 meter untuk buaya betina iaitu separuh saiz buaya air tawar lain.
Kodok tebu mempunyai kantung racun di kepalanya yang boleh membunuh buaya dan ular. Spesies amfibia itu dibawa ke Australia dari Hawaii untuk mengawal populasi kumbang perosak pada 1930.
Namun, kodok tebu membiak dengan cepat dengan ia pula dianggap sebagai makhluk perosak.
Dijalankan dari 2007 hingga 2008, kajian tersebut disiarkan dalam edisi terbaharu jurnal saintifik, Wildlife Research. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0704&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2Y1VVqYUG 
Hakcipta terpelihara 

Senjata api dipamer di Instagram


ANTARA senjata yang dirampas pihak berkuasa lapangan terbang AS termasuk pisau dan bom tangan.


NEW YORK - Semakin ramai penumpang cuba melepasi kawalan keselamatan lapangan terbang di Amerika Syarikat (AS) dengan membawa senjata termasuk senjata api dan bom tangan.
Perkara tersebut didedahkan oleh Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) di laman sosial Instagramnya.
TSA mencatat rekod senjata api terbanyak dirampas dalam tempoh seminggu pada Mei lalu apabila anggotanya menemui 65 pucuk pelbagai jenis senjata api dengan 45 daripadanya berisi peluru.
Gambar-gambar senjata berbahaya itu dimuat naik di laman Instagram TSA pada Jun lalu.
Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, pihak TSA menemui 894 pucuk senjata api yang dibawa oleh penumpang dalam bagasi mereka.
Angka tersebut mencatat peningkatan 30 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lalu.
Pada tahun lepas, TSA menemui 1,549 pucuk senjata api yang cuba dibawa masuk oleh penumpang pelbagai penerbangan di AS.
Mengulas perkembangan membimbangkan itu, seorang pakar budaya pemilikan senjata api AS, Jimmy Taylor berkata, situasi tersebut antara lain berlaku kerana warga AS sudah biasa membawa senjata api bersama mereka.
"Bagi sebahagian warga AS membawa senjata api adalah seperti membawa dompet atau kunci semasa keluar rumah," katanya. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0704&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2Y1VKJ3X3 
Hakcipta terpelihara 

Korban gempa bumi Aceh meningkat kepada 24 orang


BEBERAPA penduduk mengawasi jenazah saudara-mara mereka yang terkorban dalam gempa bumi di Blang Mancung, Aceh kelmarin.


BLANG MANCUNG - Angka korban akibat gempa bumi di wilayah Aceh meningkat kepada kira-kira 24 orang, termasuk beberapa orang kanak-kanak yang maut apabila sebuah masjid runtuh.
Pasukan penyelamat masih berusaha mencari mangsa yang masih hidup di lokasi terjejas semalam.
Hampir 250 orang turut cedera apabila gempa bumi kuat berukuran 6.1 pada skala Richter menggegarkan kawasan pedalaman di Aceh.
Bencana tersebut meruntuhkan sejumlah bangunan dan menyebabkan tanah runtuh.
Gempa yang berlaku pada kedalaman sepuluh kilometer itu mencetuskan situasi panik di Aceh, selepas meragut lebih 170,000 orang ketika tsunami melanda pada tahun 2004.
Sementara itu, sekurang-kurangnya enam kanak-kanak maut dan 14 yang lain terperangkap selepas sebuah masjid di kampung Blang Mancung, daerah tengah Aceh runtuh semasa sesi membaca al-Quran.
"Saya harap mereka boleh ditemui dengan selamat. Tetapi, peluang amat tipis," kata ketua agensi pengurusan bencana tempatan, Subhan Sahara kepada agensi berita AFP kelmarin.
Menurut agensi itu, pasukan keselamatan seperti tentera, polis dan beberapa pegawai pemerintah tempatan berusaha memasuki kawasan terjejas semalam dengan menggunakan laluan darat dan udara.
Namun, sejumlah laluan masuk ke lokasi tersebut terhalang oleh tanah runtuh.

PENDUDUK kampung melintas sebuah rumah yang ranap di daerah Blang Mancung, dalam wilayah Aceh semalam.


Agensi berkenaan telah menghantar sebuah helikopter dari wilayah Riau bagi membantu usaha menyelamat. Sebuah pesawat tentera turut digunakan.
"Setakat ini seramai 22 orang terkorban, 210 orang cedera dan beribu-ribu bangunan dan rumah rosak akibat gempa," kata jurucakap Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan, Sutopo Purwo Nugroho.
Katanya, mangsa-mangsa yang terjejas teruk melibatkan daerah tengah Aceh dan Bener Meriah. Sejumlah orang menerima rawatan di hospital-hospital di Aceh.
Seorang pegawai agensi bencana tempatan, Fauzi berkata, sekitar 300 orang berkhemah di padang bola sepak di Bener Meriah selepas gempa menggegarkan kawasan itu.
Menurut Fauzi, orang ramai kini mengharapkan bantuan makanan.
"Terdapat gempa bumi kuat semalam (kelmarin) dan orang ramai enggan pulang ke rumah. Jadi, mereka bermalam di kawasan terbuka. Malangnya kami kekurangan khemah," katanya.
Di ibu negeri wilayah Aceh, Banda Aceh, orang ramai berlari keluar dari rumah mereka apabila gempa melanda dengan situasi sama berlaku di Medan, selatan Aceh.
Aceh yang terletak di utara Pulau Sumatera kerap dilanda gempa. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0704&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz2Y1UxFlLD 
Hakcipta terpelihara