Warga Nigeria dihukum gantung
Tertuduh dibawa masuk ke dalam kereta.
ALOR SETAR - Seorang warga asing dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi, di sini, semalam kerana didapati mengedar dadah jenis kanabis seberat 8,730 gram, di Sungai Petani, kira-kira setahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu ke atas Motsamai Goitsemodimo Peter, 27, yang bekerja sebagai setiausaha gereja di Bangkok, selepas mendapati pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

“Mahkamah mendapati keterangan tertuduh semasa pembelaan adalah rekaan semata-mata, dan pihak pendakwa berjaya membuktikan secara langsung bahawa tertuduh memiliki dadah yang sedang dibawanya.

“Tertuduh didapati bersalah dengan kesalahan yang ditunjukkan, dan mahkamah tidak ada budi bicara melainkan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati, mengikut hukuman yang diperuntukkan undang-undang,” katanya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan tertuduh, yang berbangsa Nigeria di ruang lapang, Perhentian Stesen Bas Ekspres Pekan Lama, Sungai Petani, kira-kira jam 10.25 malam, pada 13 Oktober 2011.

Dia didapati bersalah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Nur Shuhada Moh Yatim, manakala tertuduh diwakili peguambela B Murthy.