Pages

Sunday, November 6, 2011

Belum ada tanda dapat anak dengan isteri keempat

KUALA LUMPUR: “Buat masa ini, belum ada tanda saya dan isteri, Emi, akan menimang cahaya mata. Bagaimanapun, semuanya rezeki tuhan. Jika ada rezeki buat kami, Insya-Allah tidak ke mana,” kata pelawak dan penyampai radio, Salih Yaacob, 48.

Selepas hampir tujuh bulan mendirikan rumah tangga dengan isteri keempat, Samihah Sheikh Ali atau Emi, 25, Salih menjelaskan belum ada tanda dikurniakan cahaya mata.


Menurut Salih, walaupun anak anugerah tuhan, lebih penting baginya untuk membawa isteri mengenali tuhan terlebih dulu sebelum dia benar-benar bersedia mempunyai cahaya mata.

“Anak adalah hadiah daripada tuhan. Saya dan Emi juga tidak merancang dalam perkara ini. Semuanya terserah kepada rezeki.


“Begitupun, buat masa ini biarlah saya mendidiknya dan menjadikan Emi isteri yang benar-benar tahu dan faham tanggungjawab dan amanah dipikulnya.


“Saya tidak mahu masalah sosial seperti yang terjadi di luar sana berlaku kepada keluarga saya. Sebab itu, biarlah Emi benar-benar bersedia dan tahu tanggungjawabnya sebelum kami mempunyai cahaya mata.

“Lagipun, anak tiri juga adalah tanggungjawabnya. Jadi, biar dia mahir dan benar-benar tahu amanah yang dipikul.


“Begitupun, kalau ada rezeki, kami tidak menolaknya dan ia diterima dengan hati terbuka dan gembira,” katanya.

Salih yang bergelar pelawak, pengacara dan penyampai radio juga menjadi usahawan apabila syarikatnya akan memasarkan 14 produk halal tidak lama lagi.


Buat masa ini, produk yang berada di pasaran adalah serbuk kari SY, kicap manis SY, sos cili dan tomato SY serta air mineral.


“Perniagaan ini adalah perniagaan saya bersama keempat-empat isteri. Selepas pulang daripada bercuti di Beijing tidak lama dulu, kami sepakat membuka perniagaan dan Alhamdulillah, inilah hasilnya,” katanya.

myMetroBelum ada tanda dapat anak dengan isteri keempat:

'via Blog this'

5 jam telaah pelajaran

KUALA LUMPUR: Memperuntukkan lima jam sehari untuk mengulang kaji pelajaran, terutama Matematik dan Sains, membuahkan kejayaan bagi Khalesa Mohd Shariff, 11, apabila meraih dua pingat emas bagi Pertandingan dan Penilaian Antarabangsa Untuk Sekolah (ICAS) 2011.

Pelajar Sekolah Kebangsaan Convent (1) Bukit Nanas itu antara 104 penerima pingat emas ICAS, satu program penilaian bertaraf dunia daripada University of New South Wales (UNSW), Australia yang dianjurkan Educational Assessment & Testing Services Sdn Bhd (EATS) di Pusat Sains Negara, semalam.


Anak sulung daripada tiga beradik ini mengakui terlalu seronok apabila kerja kerasnya mengulang kaji pelajaran gara-gara menyertai pertandingan berkenaan kali kedua membuahkan hasil membanggakan.

Dalam penyertaan pertama pada 2010, Khalesa menerima dua pingat emas bagi subjek Bahasa Inggeris dan Sains. Meskipun menetapkan sasaran memenangi tiga pingat emas tahun ini, dia reda dengan kejayaan itu.


“Biarpun sasaran tiga pingat emas gagal dicapai, saya tidak berputus asa dan akan mencuba dengan lebih gigih, tahun depan.


“Saya memperuntukkan lima jam setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran sama ada selepas sesi persekolahan mahupun sebelum masuk tidur.

“Hasilnya, saya bersyukur dan berterima kasih pada ibu bapa serta guru yang banyak memberi dorongan,” katanya selepas menerima pingat daripada Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Wee Ka Siong.


Selain ingin mendapatkan kepuasan diri dengan menyertai ICAS, Khalesa berhasrat menaikkan nama sekolah dan ia turut dipersetujui gurunya.

myMetro5 jam telaah pelajaran:

'via Blog this'

Pemandu panjat kereta


ANGKAT...anggota  bomba berusaha mengeluarkan kereta  terjatuh ke dalam Sungai Pandan.
ANGKAT...anggota bomba berusaha mengeluarkan kereta terjatuh ke dalam Sungai Pandan.

JOHOR BAHRU: Seorang wanita maut manakala suaminya cedera apabila kereta Toyota Vios dipandu lelaki berkenaan merempuh penghadang jalan sebelum terjunam ke Sungai Pandan di Kilometer 9.5 Jalan Johor Bahru — Kota Tinggi, di sini, semalam.
Dalam kejadian jam 7 pagi, kereta itu dipercayai dipandu laju sebelum pemandunya disyaki gagal mengawal kenderaan apabila tiba di lokasi sebelum terjunam ke sungai.

Seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail berkata, kereta berkenaan dipandu laju sebelum cuba mengelak sebuah motosikal ketika tiba di lokasi.
Katanya, ketika itu pemandu berkenaan dipercayai hilang kawalan dan merempuh penghadang jalan sebelum terbabas ke sungai.

“Pemandu terbabit berjaya memanjat kereta dan menjerit meminta bantuan, menyebabkan beberapa pemancing di kawasan berhampiran cuba menyelamatkan isterinya.

“Bagaimanapun, orang ramai gagal menyelamatkan isterinya yang tenggelam bersama kereta sebelum menghubungi polis bagi mendapatkan bantuan,” katanya.
Difahamkan, pemandu berkenaan, Tan Lay Choon, 49, warga Singapura terselamat dan kini mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala isterinya, Pan Sua Yean, 45, berasal dari Seremban, Negeri Sembilan, meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, kereta berkenaan dari Kota Tinggi dan dalam perjalanan ke Singapura.
Katanya, apabila tiba di lokasi, pemandu berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kanan jalan lalu merempuh penghadang jalan, sebelum terbabas ke Sungai Pandan.

“Isteri mangsa meninggal dunia di tempat kejadian, manakala suaminya terselamat dan mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

“Kereta Toyota Vios milik mangsa dikeluarkan dari sungai dua jam kemudian dan kami menyiasat kes ini mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Berikutan itu, sesiapa yang melihat kejadian diminta tampil memberi kenyataan bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Bomba dan Penyelamat berkata, unit menyelam pasukan berkenaan mengambil masa sejam bagi mengeluarkan mayat Sua Yean yang terperangkap di dalam kereta sebelum dihantar ke HSI untuk bedah siasat.
myMetroPemandu panjat kereta:

'via Blog this'

Patah kaki hampir 50 kali

BENGKOK... Hashim menunjukkan kaki anaknya yang turut membengkok selepas patah lebih 20 kali.
BENGKOK... Hashim menunjukkan kaki anaknya yang turut membengkok selepas patah lebih 20 kali.
SOKONGAN... Fatihah perlu diawasi jika ingin keluar rumah.
SOKONGAN... Fatihah perlu diawasi jika ingin keluar rumah

KUALA TERENGGANU: Dia gadis pandai tetapi diuji Tuhan dengan sepasang kaki istimewa yang terlalu rapuh hingga patah hampir 50 kali, menyebabkannya tidak lagi boleh berjalan.
Akibat kekurangan itu, Nurul Fatihah Hashim, 16, kini menjadi pemalu dan kurang keyakinan diri, sedangkan dulu dia murid cerdik dengan pencapaian 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mengekalkan keputusan baik dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.

Untuk bergerak, Fatihah terpaksa menggunakan kerusi roda sambil kebiasaannya menyembunyikan kedua-dua kakinya kerana malu dan tidak sanggup diejek rakan sebaya.
Selain Fatihah, dugaan ini sebenarnya turut dikongsi bapanya, Hashim Omar, 53, abangnya, Asrul, 23, dan pasangan kembarnya, Mohd Syafiq, 16, cuma masalah Fatihah paling kronik.

Menurut Mohd Syafiq, kehadiran Aidilfitri atau Aidiladha dalam sejarah hidupnya tidak pernah seceria orang lain kerana mereka tidak boleh bergerak jauh seperti remaja lain, selain hidup serba kekurangan dengan keadaan kakinya yang rapuh.

“Sebenarnya saya sudah biasa begini, dulu ada pelajar sekolah mengejek memanggil kami penyu kerana keadaan kaki dan pergerakan saya seperti reptilia itu.
“Mulanya malu juga namun lama-kelamaan saya tidak peduli, cuma kakak yang masih malu mungkin kerana keadaan kakinya semakin teruk sejak kami membesar.

“Pernah satu ketika, kerusi roda kakak ditarik atau dihentak pelajar nakal menyebabkan kakinya patah, namun selepas insiden itu, kami tidak lagi diganggu kerana mereka takut melihat kesan yang kami tanggung akibat perbuatan mereka,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di Perkampungan Orang Kurang Upaya (OKU), Pulau Kerengga, Marang, dekat sini.
Syafiq mewarisi penyakit tulang rapuh daripada Ha- shim, menyebabkan organ kakinya patah tidak kurang 20 kali hanya kerana tersepak tunggul, tersepak kaki sendiri, terhentak, jatuh kerusi roda atau tersilap duduk dan akibatnya betisnya membengkok. Lebih memburukkan keadaan, kulitnya turut sensitif dan luka jika terkena seluar dipakai.

Bagaimanapun, Fatihah mengalami kesan paling teruk apabila kakinya patah hampir 50 kali, menyebabkan kedua-dua kakinya semakin melidi dan membengkok. Dia terpaksa mengengsot untuk bergerak atau berkerusi roda ketika di sekolah.

“Setiap kali patah, kami memerlukan dua hingga tiga bulan untuk kembali pulih dan keadaan itu menyebabkan pembelajaran kami terjejas, biasanya kakak yang sering mengulang kaji pelajaran di rumah, jadi tidak hairan dia mampu menjadi pelajar cemerlang,” katanya.

Syafiq dan Fatihah biasanya menjalani aktiviti bersama, menyebabkan mereka seakan-akan tidak dapat dipisahkan dan ia mungkin kerana perkongsian rahim kira-kira 15 tahun dulu, namun yang membezakan mereka ialah Fatihah kini menjadi semakin pemalu dan kurang keyakinan diri akibat kekurangan dialaminya.

Sebaliknya, Syafiq yang hanya mengalami sindrom itu pada kaki kanan dilihat tetap aktif walaupun pergerakan terbatas kerana masih mampu menggunakan sebelah lagi kakinya untuk bergerak.

Hashim pula berkata, sindrom itu dialami ketika dia berusia belasan tahun dan ia berjangkit pula kepada tiga daripada lapan anaknya.

“Saya bernasib baik kerana kerapuhan tulang saya hanya berlaku dari paras paha ke bawah, menyebabkan organ lain tidak terjejas dan akibatnya doktor menasihatkan kami sekeluarga minum susu khas untuk mengekalkan kekuatan tulang dan bukan untuk menguatkan tulang.

“Dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya tidak mampu membelanjakan setin susu RM50 seminggu tetapi bersyukur dengan apa yang diterima kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya sekeluarga,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga anaknya mengalami sindrom tulang rapuh sejak berusia 18 bulan iaitu ketika mula belajar berjalan, sekali gus menjejaskan pembesaran mereka kerana tidak dapat bergerak aktif berikutan risau cedera terlanggar tunggul kayu atau anak tangga.

“Jika tersilap langkah, mereka terpaksa menanggung akibatnya antara dua hingga tiga bulan sementara menunggu kecederaan pulih semula. Fatihah kini menanggung rasa sakit dan malu yang teramat sangat kerana melalui kesan patah sehingga 50 kali, menyebabkan struktur kakinya semakin pipih seolah-olah akar kayu.

“Akibatnya, dia yang semakin meningkat remaja kini menjadi pemalu dengan kekurangan dirinya dan hanya tuhan dapat memahami perasaan kami sekeluarga kerana penyakit dialami tiada penawar,” katanya.

Akibatnya, empat beranak itu terpaksa menyusun langkah berhati-hati setiap hari supaya tulang tidak patah lagi akibat terlanggar objek, manakala Fatihah menggunakan sebiji bantal bagi memudahkannya mengengsot untuk bergerak dalam rumah.

Ketika di luar rumah, hanya kerusi roda menjadi teman dan Fatihah mula kurang bergaul dengan rakan, mungkin disebabkan kekurangan diri.

Hashim berkata, keluarganya menempuhi kesukaran hidup dengan penuh kesabaran dan saling menjaga antara satu sama lain bagi mengelak ditimpa kemalangan.

“Sebenarnya saya bersyukur dengan keadaan ini kerana ada hikmah di sebaliknya. Ia serba sedikit membuktikan kesetiaan isteri, Nurzaimah Husin, 46, yang tetap bersama-sama menghadapi dugaan ini.

“Pengorbanan isteri dan anak sangat bernilai bagi saya, cukup dengan apa yang mereka tanggung, setiap kali Aidiladha, saya memanjat kesyukuran dengan kesanggupan mereka berkorban keinginan untuk hidup senang seperti orang lain.

“Kadangkala saya hampir putus harapan kerana tidak mampu memberikan kelengkapan atau keperluan mewah kepada mereka.

“Namun apakan daya, dengan kudrat yang tidak seberapa, kami sekeluarga masih dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan bantuan bulanan RM300 daripada JKM,” katanyamyMetroPatah kaki hampir 50 kali:
'via Blog this'

Maut terjatuh longkang

MELAKA: “Sebelum keluar rumah pagi tadi (semalam), arwah sempat menjamah mi goreng yang menjadi makanan kegemarannya ketika bersarapan.

“Saya tidak menyangka itu sarapan terakhir sebelum dia pergi buat selama-lamanya,” kata ibu kepada Mohd Hafiziee Abd Kadir, 23, yang ditemui mati dalam sebuah longkang berhampiran Klinik Kesihatan Ayer Molek, dekat sini, pagi semalam.


Menurut Siti Zulaikha Mohd Yunos, 55, dia mengetahui tragedi menimpa anaknya selepas dimaklumkan anak saudaranya yang pergi ke tempat kejadian, dua kilometer dari rumah mereka.

Katanya, anak keduanya yang menghidap sawan selalu keluar rumah selepas sarapan dan pulang tidak lama kemudian.


“Arwah biasanya keluar rumah jam 8 pagi dan pulang selepas setengah jam sebelum sekali lagi keluar jam 9 pagi. Saya tidak bimbang dia keluar rumah kerana arwah kerap berbuat begitu,” katanya semalam.


Siti Zulaikha berkata, melihat kecederaan di kepala anaknya, dia percaya arwah diserang sawan sebelum terjatuh dan terhentak pada longkang.

“Walaupun arwah tidak mampu bercakap, kehadirannya membuatkan rumah lebih ceria. Pemergiannya menjelang Aidiladha memberi kesan kepada kami,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Salehuddin Abd Rahman ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

myMetroMaut terjatuh longkang:

'via Blog this'

Polis maut dalam nahas

LEDANG: Seorang anggota polis maut apabila kereta Proton Wira dipandunya bertembung dengan lori membawa muatan tar di Kilometer 15, Jalan Sungai Mati-Tangkak, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.40 pagi, Koperal Peter Benedict Francis, 43, yang bertugas di Cawangan Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.


Difahamkan, ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tangkak, namun sejurus tiba di lokasi kejadian, Wira dipandu hilang kawalan lalu terbabas sebelum merempuh lori yang datang dari arah bertentangan.

Peter yang berasal dari Tampin, Negeri Sembilan, meninggal di tempat kejadian kerana cedera parah di badan, manakala pemandu lori tidak cedera.


Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Muhammad Salleh Abd Razak berkata, pertembungan itu menyebabkan kereta mangsa remuk.


“Lori terbabit turut terbalik manakala muatan tar dibawa berselerak, menyebabkan kesesakan di sana,” katanya.

myMetroPolis maut dalam nahas:

'via Blog this'

Jumpa bayi dalam parit

LEDANG: “Saya sangka saya berkhayal atau ia hanya suara kucing apabila terdengar sayup suara menangis, namun terkejut apabila menemui seorang bayi di dalam parit,” kata penoreh getah, Mohd Shuib Md Dasin, 53, ketika ditemui di Kampung Melayu Raya, Sagil, di sini, semalam.

Shuib mengimbau kembali penemuan bayi perempuan berkenaan ketika dia menoreh getah di kebunnya yang terletak bersebelahan ladang kelapa sawit, jam 9 pagi semalam.


Menurut Shuib, dia terdengar suara seakan-akan bunyi menangis tanpa henti lantas mendorongnya untuk menyiasat.

“Saya mencari dari mana suara itu datang dan selepas beberapa minit, bayi perempuan itu ditemui dalam keadaan bogel di dalam parit yang tidak berair dan kelihatan letih kerana menangis tanpa henti.


“Saya bergegas memanggil isteri dan kemudian membalut bayi itu dengan kain untuk mengelakkannya kesejukan sebelum memaklumkan penemuan kepada penduduk kampung supaya menghubungi polis,” katanya.


Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ledang, Deputi Superintendan Muhammad Salleh Abd Razak ketika dihubungi berkata, anggota di Balai Polis Sagil menerima panggilan telefon daripada penduduk memaklumkan penemuan bayi itu.

“Kami bergegas ke sana sejurus kemudian dan mendapati bayi berkenaan dalam keadaan sihat. Bayi itu dipercayai dilahirkan dalam tempoh kurang 24 jam sebelum ditinggalkan di kebun getah.


“Bayi itu dihantar ke Hospital Tangkak untuk pemeriksaan sebelum ditempatkan di wad bagi pemerhatian lanjut,”katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi, dan sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Menurut Salleh, pihaknya akan menjalankan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap mana-mana suspek bagi mengenal pasti ibu bapa bayi berkenaan.


“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan perkara ini diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPPD) Ledang di talian 06-9781222 bagi membantu siasatan.

myMetroJumpa bayi dalam parit:

'via Blog this'

6 sekeluarga ditemui rentung dalam kereta

TOKYO: Polis menemui enam mayat, termasuk tiga kanak-kanak, dalam sebuah kereta terbakar di Yokosuka, selatan Tokyo, semalam.

Akhbar tempatan melaporkan, insiden itu dipercayai akibat perbuatan membunuh diri.


Mayat seorang lelaki, seorang wanita dan seorang individu dewasa belum diketahui jantina itu ditemui bersama tiga mayat kanak-kanak berkenaan.

Pemilik kereta itu, lelaki berusia 45 tahun, membuat aduan kepada polis kelmarin apabila dia gagal mengesan isteri, tiga anak dan mentuanya.


Setakat ini polis yakin kereta berkenaan dibakar isteri lelaki terbabit yang menghadapi masalah hutang dari syarikat tempatnya bekerja.


Sementara itu, saksi berkata, mereka menyedari kebakaran apabila terdengar letupan kira-kira jam 11 malam kelmarin. - AFP

myMetro6 sekeluarga ditemui rentung dalam kereta:

'via Blog this'

Dua polis, anggota Taliban dituduh bunuh Benazir

ISLAMABAD: Dua polis dan lima individu didakwa anggota Taliban didakwa di mahkamah, semalam, kerana terbabit dalam pembunuhan bekas Perdana Menteri Benazir Bhutto.

Pegawai pendakwa, Chaudhry Azhar, berkata seorang daripada polis itu ialah Ketua Polis Rawalpindi ketika kejadian berlaku, Saud Aziz, manakala seorang lagi ialah anggota kanan keselamatan, Khurram Shahzad.


Benazir terbunuh dalam serangan berani mati pada 27 Disember 2007, hanya beberapa minggu selepas pulang ke Pakistan.

Setakat ni tiada sesiapa dihukum atas pembunuhan berkenaan.


Lima individu didakwa anggota Taliban itu menghadapi tuduhan “bersekongkol” melakukan serangan berkenaan, manakala Saud dan Khurram didapati cuai dan gagal memberi perlindungan terhadap Benazir.


Semua tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. - AFP

myMetroDua polis, anggota Taliban dituduh bunuh Benazir:

'via Blog this'

Dipecat hina Hamid Karzai

KABUL: Seorang jeneral tentera AS dipecat selepas menuduh beberapa pemimpin, termasuk Presiden Afghanistan, Hamid Karzai, tidak berterima kasih atas sokongan Washington, kata pegawai kerajaan semalam.

Mejar Jeneral Peter Fuller yang sebelum ini menjadi Timbalan Komander Nato untuk melatih tentera Afghanistan dilepaskan daripada jawatannya kerana membuat komen tidak wajar dalam temuramah disiar laman sesawang Politico pada Khamis lalu.


Dalam temubual itu, Fuller mendakwa beberapa pemimpin Afghanistan tidak menghargai sepenuhnya kos kemanusiaan dan kewangan ditanggung AS di negara itu.

Mereka juga, kata Fuller, didapati terpisah daripada realiti.


Fuller turut mengecam Hamid kerana akan menyokong Pakistan jika Islamabad berperang dengan AS satu hari nanti.


“Kamu pasti bergurau. Kami baru saja memberi kamu AS$11.6 bilion (RM36 bilion) dan kini kamu berkata kepada saya bahawa kamu langsung tak peduli? “Apabila mereka akan mengadakan pilihan raya presiden, kamu wajar berharap Afghanistan akan mendapat lelaki yang lebih waras,” katanya.

Menurut komander Nato, Jeneral John Allen, kenyataan Fuller itu tidak menggambarkan pendirian pertubuhan ketenteraan berkenaan terhadap Hamid.


“Komen tidak wajar itu tidak membayangkan hubungan erat kami dengan kerajaan Afghanistan atau kegagalan misi Nato di negara ini,” katanya.

Sementara itu, jurucakap tentera Nato berkata, Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta, menyokong penuh keputusan memecat Fuller. - AFP

myMetroDipecat hina Hamid Karzai:

'via Blog this'

Justin Bieber jadi mangsa penipuan




2011/11/06

BIEBER (kanan)  mengulas isu terbaru dirinya kepada tiga pengacara NBC, kelmarin.
BIEBER (kanan) mengulas isu terbaru dirinya kepada tiga pengacara NBC, kelmarin.
Bekas teman lelaki wanita tuduh bayi anak penyanyi dedah pembohongan

LOS ANGELES: Wanita berusia 20 tahun yang mendakwa idola remaja dunia, Justin Bieber adalah bapa kepada anaknya memberitahu bekas teman lelakinya bahawa dia dan bukan Bieber adalah bapa kepada bayi itu.
“Dia pulang ke sini dari California memberitahu dirinya hamil anak saya dan saya berkata ia mustahil, anda berada di California selama dua bulan dan hanya pulang ke sini selama seminggu,” kata penduduk John Terranova, 19, mengenai Mariah Yeater, bekas teman wanitanya.
Kasihan. Bieber bekerja keras untuk kerjayanya dan untuk menangani perkara ini. Dia (Yeater) hanya mahukan publisiti di luar sana. - Lacy Jensen, Teman John Terranova
Yeater menuduh penyanyi Kanada itu adalah bapa anaknya dan menyaman Bieber untuk mendapatkan wang saraan bayi itu. Bieber, 17, menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Yeater dan menyifatkannya sesuatu yang karut.

Terranova mengecam dakwaan Yeater bahawa Bieber yang ketika itu berusia 16 tahun menyebabkannya hamil pada Oktober 2010 ketika sesi seks 30 saat selepas penyanyi itu membuat persembahan di sini.

“Saya tahu ia bukan Justin Bieber,” kata Terranova. “Dia hanya mahukan wang. Ia satu penipuan.”

Terranova berkata, dia berkasih dengan Yeater selama hampir empat tahun selepas bertemunya di sebuah sekolah tinggi di Las Vegas yang menempatkan pelajar yang dibuang dari sekolah lain.
Katanya, dia memutuskan hubungan dengan Yeater selepas mendapat tahu bekas teman wanitanya itu menipunya.

“Selepas saya memberitahunya ia bukan anak saya kerana dia hanya berada di sini selama seminggu, dia memberitahu saya, bahawa dia hamil sebelum kami berpisah,” kata Terranova dari Las Vegas kepada akhbar The New York Post.

“Namun, ia tidak masuk akal kerana dia memiliki satu nota doktor mengatakan kehamilannya tidak mencukupi untuk mendakwa saya bapa kepada bayi itu.”

Teman wanita Terranova ketika ini, Lacy Jensen, yang juga hamil, bersetuju.

“Kasihan. Bieber bekerja keras untuk kerjayanya dan untuk menangani perkara ini. Dia (Yeater) hanya mahukan publisiti di luar sana,” kata Jensen.

“Dia seorang kaki kikis dan hanya mahukan seseorang menjaganya. Dia seorang yang gemar berparti di merata tempat.”

Yeater ditahan atas tuduhan memukul Disember lalu kerana didakwa menampar Terranova dalam kejadian berpunca daripada cemburu selepas kembali dari California dan mendapat tahu bekas teman lelakinya sudah ada teman wanita baru.

Yeater dijangka muncul di mahkamah Las Vegas atas tuduhan pelanggaran undang-undang pada 12 Disember, tiga hari sebelum Bieber membalas tuntutan untuk menjalani ujian sama ada beliau bapa anak wanita itu di sebuah mahkamah di San Diego selain isu wang saraan kepada bayi lelaki empat bulan itu, Tristyn. – Agensi
Berita Harian Online | Justin Bieber jadi mangsa penipuan:

'via Blog this'

Gadis putus cinta mati terjun flet




2011/11/06

KUALA LUMPUR: Gara-gara hubungan cintanya tidak direstui keluarga, seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat nekad terjun dari tingkat sembilan sebelum ditemui mati di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Wahyu, Kepong, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 9.30 pagi itu, mangsa, V Thevagi dikatakan menghempap sebuah motosikal sebelum terjatuh di atas jalan dan mayatnya ditemui terlentang dan berlumuran darah.
Kejadian berlaku apabila mangsa yang tinggal di PPR Beringin, berkunjung ke rumah saudaranya di PPR Taman Wahyu di tingkat lapan, sebelum menemui teman lelakinya di sebuah rumah kosong di blok yang sama.
Bagaimanapun, tindakan mangsa dikesan ibu saudaranya sebelum diugut akan memaklumkan perkara itu kepada ibu bapanya yang dianggap memalukan keluarga.

Mangsa yang merayu supaya tidak menceritakan hubungannya itu, namun tidak dipedulikan ibu saudaranya sebelum dia nekad berlari ke tingkat sembilan lalu terjun dari aras terbabit.
Berita Harian Online | Gadis putus cinta mati terjun flet:

'via Blog this'

Orphan CARE terima 5 bayi


Oleh Sani Kamarudzaman
sani@bharian.com.my
2011/11/06

PENGASUH pusat Orphan CARE menerima bayi pertama ketika pusat itu baru dibuka beberapa bulan lalu.
PENGASUH pusat Orphan CARE menerima bayi pertama ketika pusat itu baru dibuka beberapa bulan lalu.
Ibu hamil luar nikah sedia serah anak selepas bersalin untuk dijaga

PETALING JAYA: Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak Yatim (Orphan CARE) menerima permohonan lima wanita hamil yang secara sukarela akan menyerahkan bayi mereka kepada organisasi itu selepas bersalin pada bulan ini dan Januari depan.
Kesemua wanita itu mengambil keputusan untuk menyerahkan bayi itu atas alasan hamil di luar ikatan perkahwinan, masalah kewangan serta kerana takut berdepan stigma negatif masyarakat serta keluarga.
Ketika ditemui Berita Minggu semalam, Setiausaha Kerja Orphan CARE, Azra Banu, berkata sehingga kini, hanya tiga kes bayi diletakkan dalam kotak disediakan Pusat Perlindungan Bayi (Baby Hatch) di sini.

“Kami menerima 41 bayi atau purata tiga bayi sebulan sejak penubuhan pusat ini pada 29 Mei tahun lalu. Semua 41 bayi sudah selamat diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing.

“Malah kami turut menerima banyak permohonan pengambilan anak angkat. Sambutannya amat menggalakkan sehinggakan ada satu kes yang mana seorang bayi yang dilahirkan tidak sempurna, namun tetap menjadi rebutan tiga pasangan belum memiliki zuriat yang mahu menjadikannya anak angkat mereka,” katanya.

Orphan CARE bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memudahkan proses pengambilan anak angkat kepada ibu bapa angkat yang sesuai.
Azra berkata, ramai pasangan yang sudah lama berkahwin menghantar permohonan pengambilan anak angkat ke pusat itu dan kini menunggu giliran. Selepas sesi temu duga oleh ahli panel Orphan CARE, pihaknya mengambil kira faktor ekonomi serta kesihatan pasangan dan usia perkahwinan.

“Selepas memadankan bayi dengan keluarga sesuai, khidmat kaunseling dan pemantauan akan dijalankan kepada keluarga angkat selepas proses pengambilan anak angkat yang mengambil masa minimum dua tahun,” katanya.

Orphan CARE berhasrat menambah tiga Baby Hatch dalam dua tahun akan datang di Johor, Kelantan dan Pulau Pinang sebelum ke setiap negeri.

“Baby Hatch adalah laluan alternatif kepada ibu muda yang terdesak dan daripada bayi itu dibuang, Orphan CARE menyediakan satu kediaman transit,” katanya.

Orphan CARE juga dalam perancangan untuk mengadakan ceramah serta program pendidikan secara holistik kepada ibu muda serta seluruh anggota masyarakat.

“Orang ramai boleh melayari www.orphancare.org.my untuk berkongsi idea dan cadangan bagi memperkasakan penubuhan Baby Hatch di seluruh negara,” katanya.
Berita Harian Online | Orphan CARE terima 5 bayi:

'via Blog this'

Kaabah pasang kiswah sutera




2011/11/06

JEMAAH berada di Jabal Rahmah memulakan ibadah haji beramai-ramai di Padang Arafah.
JEMAAH berada di Jabal Rahmah memulakan ibadah haji beramai-ramai di Padang Arafah.
Gabenor Makkah nasihat jemaah elak berpolitik, tumpu tunai ibadah

MINA: Seperti tradisi setiap tahun, kain penutup Kaabah disebut kiswah diganti semalam menandakan permulaan haji dan pada tahun ini kain diperbuat daripada sutera hitam itu bercampur warna emas dan perak.
Selesai solat Subuh, berpuluh-puluh petugas menanggalkan kiswah yang selama setahun menutupi Kaabah. Para petugas kemudian menggantinya dengan kiswah baru hasil tangan 240 petugas khas.
Pada masa sama, Gabenor Makkah, Putera Khaled Al-Faisal bin Abdulaziz yang bertanggungjawab atas jemaah haji, mengingatkan jemaah supaya mengelak berpolitik dan menumpukan sepenuhnya kepada ibadat Rukun Islam kelima itu.

Bercakap dalam sidang akhbar di sini, beliau berkata: “Tindakan tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba menggunakan haji untuk tujuan lain.”

Setakat ini, tiada cubaan dibuat dalam hal berkenaan. Sementara itu, jumlah jemaah luar negara tahun ini di Tanah Suci memecah rekod dengan peningkatan 1.5 peratus berbanding tahun lalu menjadikan jumlah keseluruhan jemaah berdaftar seramai 1,828,195 orang.

Timbalan Perdana Menteri yang merangkap Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Haji, Putera Mahkota Naif Abdul Aziz berkata jumlah ini meningkat seramai 27,274 berbanding tahun lalu.
“Ini adalah kali pertama dalam sejarah haji, jumlah jemaah luar negara mencecah rekod melebihi 1.8 juta orang,” katanya kepada agensi berita Arab Saudi.
Daripada jumlah itu, jemaah lelaki mewakili 54 peratus iaitu seramai 989,776 orang sementara jemaah perempuan seramai 838,419.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, seramai 1,684,876 jemaah tiba menggunakan penerbangan, 128,350 menerusi darat dan 14,969 melalui laut, mewakili 183 negara.

Putera itu melahirkan rasa terima kasih dan tahniah kepada pemerintah Arab Saudi, Raja Abdullah berikutan kejayaan mengendalikan perhimpunan raksasa itu.

Sementara itu, jemaah memulakan Hari Tarwiah (Hari Memberi Air) kelmarin, hari yang diberi nama seumpama itu berikutan secara tradisi jemaah memberi air kepada tunggangan dan ternakan serta menyimpan air untuk perjalanan ke Arafah.

Ramai jemaah menggunakan Kereta Api Mashair untuk ke Arafah dan kawasan sekelilingnya yang kosong dipenuhi jemaah untuk menghadiri kemuncak ibadat haji, semalam.

Kereta Api Mashair memulakan operasi kali pertama tahun ini dengan kapasiti penuh membawa 72,000 jemaah sejam untuk mengurangkan kesesakan dan mengelakkan tolak menolak.

Landasan berkembar itu menghubungkan tiga kawasan suci di Mina, Muzdalifah dan Arafah. Kereta api itu akan menggantikan penggunaan 30,000 kereta sebelum ini, kata pengarah projek Fahd Abu Tarbush. – Agensi/AP
Berita Harian Online | Kaabah pasang kiswah sutera:

'via Blog this'

Juri kes bunuh Jackson gagal buat keputusan


LOS ANGELES - Juri dalam perbicaraan kes pembunuhan Raja Pop. Michael Jackson gagal membuat sebarang keputusan, kata beberapa pegawai mahkamah kelmarin.

Tujuh lelaki dan lima wanita pulang ke rumah dan akan menyambung semula perbincangan pada Isnin ini bagi membuat keputusan sama ada Dr. Conrad Murray bersalah kerana melakukan pembunuhan tidak sengaja ke atas Jackson pada 25 Jun 2009.

Murray merupakan doktor peribadi Jackson. Dia akan dihukum penjara empat tahun jika disabitkan kesalahan. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Jalan raya di Seoul keluarkan radioaktif


SEOUL - Dua bahagian di sebatang jalan raya di Seoul, Korea Selatan didapati mengandungi radioaktif, kata beberapa pegawai semalam.

Menurut seorang pegawai di daerah Nowon, Kim Se-yul, seorang penduduk di Nowon di sini melaporkan kepada pihak berkuasa pada minggu ini bahawa dia menemui tahap radioaktif yang tinggi di sebatang jalan raya dekat sebuah apartmen.

Dia menemui tahap radioaktif yang tinggi itu semasa melakukan pemeriksaan dengan menggunakan peralatan Geiger yang boleh mengesan kehadiran radioaktif.

Pemeriksaan yang dilakukan oleh pihak berkuasa mendapati kadar radiasi di dua bahagian jalan raya itu 10 kali lebih tinggi daripada normal.

Menurut akhbar Joongang Daily, pakar-pakar percaya bahan radioaktif itu berpunca daripada kerja-kerja pembaikan jalan yang dibuat pada tahun 2000 kerana ia melibatkan sejenis bahan yang dicampur ke dalam penurap jalan. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'

Rumah hangus menjelang Aidiladha



MASLINA melihat sebahagian pakaiannya yang hangus selepas rumahnya terbakar di Taman Bersatu Kuala Kedah, Alor Setar semalam.


ALOR SETAR - Kegembiraan seorang ibu tunggal untuk menyambut Hari Raya Aidiladha bersama adiknya di Rawang, Selangor, kira-kira 400 kilometer dari sini, berakhir apabila rumahnya di Taman Bersatu, Kuala Kedah di sini hangus dijilat api petang kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira pukul 4.30 petang itu, Maslina Wong Abdullah, 55, sibuk menyiapkan ketupat dan lemang untuk juadah Hari Raya Aidiladha di rumah adiknya di Rawang.

Menurut Maslina, dia hampir pengsan apabila diberitahu oleh salah seorang anaknya tentang kejadian itu dan terpaksa bergegas pulang ke rumah sewanya itu walaupun baru sahaja tiba di Rawang.

"Saya sedih melihat semua barang di dalam rumah hangus termasuk wang simpanan sebanyak RM1,000 dan sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang diletakkan dalam rumah itu," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini semalam.

Ketika kejadian anaknya, Mohd. Mahadi Abdul Mutalib, 25, keluar membeli makanan di restoran berhampiran.

"Saya tidak tahu apa puncanya kerana sebelum saya bertolak ke Rawang pada malam Khanis lalu, saya telah tutup semua suis elektrik termasuk di peti ais selain tidak benarkan anak saya memasak," ujarnya lagi.

Menurut Maslina, dia kini tinggal sehelai sepinggang dan mungkin terpaksa menumpang sementara di rumah anaknya yang terletak tidak jauh dari rumah sewanya itu.

"Selain rumah saya, dua buah rumah yang terletak bersebelahan rumah saya turut terbakar. Bagaimanapun ia tidak teruk kerana api sempat dikawal oleh anggota bomba," jelasnya.

Dalam pada itu, jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Raja di sini memberitahu, pihaknya masih menyiasat kerugian dan punca kejadian kebakaran yang melibatkan tiga buah rumah itu.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

Liputan musim haji di YouTube


SEJUMLAH jemaah haji mengunjungi Jabal Rahmah di Padang Arafah dekat Mekah semalam.


WASHINGTON - Laman YouTube serta Kementerian Kebudayaan dan Penerangan Arab Saudi bekerjasama untuk menyediakan liputan musim haji secara siaran langsung di Mekah.

"Berjuta-juta orang dari seluruh dunia boleh memberikan komen mengenai musim itu menerusi video," kata laman yang dimiliki Google itu.

Siaran langsung dari Mekah itu boleh dilihat diyoutube.com/hajjlive.

Lebih 2.5 juta jemaah haji Islam mula meninggalkan Mekah untuk berhimpun di Padang Arafah kelmarin yang merupakan lokasi Nabi Muhammad menyampaikan khutbah haji terakhir. - AFP

Kosmo! Online - Dunia:

'via Blog this'