Pages

Friday, November 15, 2013

Sambung semula kemaluan


Taif: Seorang doktor Arab Saudi di sini terpotong bahagian atas kemaluan seorang bayi lelaki berusia 18 bulan secara tidak sengaja ketika mengkhatankannya.

Kejadian itu menyebabkan pihak hospital terpaksa menghubungi pakar kanak-kanak terkemuka untuk melakukan pembedahan kecemasan, menyambung semula kemaluan bayi itu.
Doktor terbabit cuba membetulkan kesalahannya dengan menjahit bahagian yang terputus itu tetapi gagal menghentikan pendarahan dan bayi berkenaan juga tidak henti-henti menangis.

“Hospital kemudian menghubungi pakar bedah kanak-kanak dari Hospital Raja Abdul Aziz untuk melakukan pembedahan.


Usaha pakar berkenaan berjaya menghentikan pendarahan dan bahagian kemaluan yang terputus berjaya disambung semula,” lapor akhbar itu. - Agensi

Beri RM4.6 juta hadiah kepada bakal isteri

Shanghai: Seorang lelaki yang memberikan bakal pengantin perempuannya wang tunai 8.88 juta yuan (RM4.6 juta) semalam mencetuskan kemarahan kerana mempamerkan kekayaannya di negara membangun itu.
Sebanyak 18 pelayan menghantar beberapa bakul dan kotak berisi wang itu, yang semuanya seberat lebih 102 kilogram, lapor akhbar Shanghai Daily. 
Foto turut menunjukkan beberapa bakul buluh diisi dengani not kertas 100 yuan (RM52.60) berwarna merah dengan gambar Mao Zedong, bapa pengasas komunis di China.

Anggota rombongan pengantin lelaki muncul di kediaman pengantin perempuan dengan deretan kenderaan mewah yang diketuai kereta sport Maserati.
Foto
HADIAH perkahwinan berupa wang tunai yang diisi dalam bakul buluh.

Lonjakan ekonomi sepanjang satu dekad menyuntik kekayaan di China, tetapi kebanyakan penduduk luar bandar dan penduduk bandar yang miskin masih ketinggalan. - Agensi

The Pink Star catat jualan RM266 juta

Geneva: Berlian besar yang dikenali sebagai ‘The Pink Star’ dijual melebihi AS$83 juta (RM266 juta) dalam satu lelongan malam semalam, jauh menjangkaui harga yang diramal.
Sotheby’s berkata, penjualan berlian merah jambu yang sempurna 59.60 karat itu pada harga tertinggi pernah dibayar dalam acara lelongan batu permata. 
Sebelum penjualan kepada pembida berjaya yang mewakili pembeli rahsia itu, berlian terbabit dianggarkan dapat menarik lebih AS$60 juta (RM192 juta). Bidaan dibuka pada harga melebihi AS$52 juta (RM166 juta) dan ditutup dengan alunan muzik tema filem ‘Pink Panther’.

Harga jualan sebenar ‘The Pink Star’ ialah 76.325 juta Swiss francs atau AS$83.4 juta (RM267.4 juta). Ia diperkenalkan sebelum bidaan sebagai satu daripada permata paling hebat pernah muncul dalam lelongan.
Foto
BERLIAN ‘The Pink Star’ dijual pada harga tertinggi.

Berlian berkenaan digred sebagai Jenis Ila, berlian merah jambu jarang ditemui dan mengambil dua tahun untuk dipotong berlian kasar 132.5 karat oleh Steinmetz Diamonds.

Ia pertama kali dipamerkan kepada umum pada Mei lalu sebagai ‘Steinmetz Pink’ sebelum dijual secara peribadi untuk kali pertama pada 2007 apabila ia dinamakan semula sebagai ‘The Pink Star’.

Jualan di Geneva itu dibuat sehari selepas berlian jingga terbesar pernah dijual mencatat harga AS$35.5 juta (RM113.79 juta) pada lelongan Christie’s. - AP

Kondominium sewa kambing bersih rumpai


Tokyo: Sebuah kompleks kondominium di Jepun memutuskan untuk tidak menggunakan mesin potong rumput yang bising sebaliknya memilih kambing.

Kompleks kondominium di pinggir Tokyo terbabit menyewa empat ekor haiwan terbabit bagi membantu mencantikkan hartanah yang di kelilingi tembok itu, selain menghapuskan rumpai di kawasan berkenaan.
Jurucakap pemaju hartanah milik kerajaan berkenaan mendakwa kambing yang disewa terbabit lebih murah dan tidak memerlukan banyak arahan, manakala najisnya kurang memberi risiko terhadap kesihatan penduduk.

“Ia lebih jimat kos dan mesra alam berbanding membayar perkhidmatan pemotong rumput,” katanya dalam satu kenyataan. - AFP

Kahwin dengan pokok


Buenos Aires: Aktor dan aktivis alam sekitar Richard Torres melakukan perbuatan pelik apabila dia berkahwin dengan sebatang pokok di Buenos Aires, Argentina Ahad lalu.

Torres (yang kelihatan seperti Johnny Depp dalam rakaman video pada acara itu) menggelar upacara terbabit sebagai “perkahwinan hijau” apabila berkahwin dengan pokok bernama Aliehuen Nehuen, sebagaimana disiarkan agensi akhbar Peru Netjoven.

Dalam acara itu, Torres memakai sut putih, manakala Aliehuen Nehuen mengenakan tali leher. Selepas sesi membaca ikrar dan meletakkan simbol perkahwinan di depan ‘isterinya’, Torres mencium pokok itu sebagai pengesahan acara perkahwinan, menurut FOX59 WXIN-TV.

Perkahwinan itu disahkan artis Argentina José María Muscari.

Foto
TORRES ketika acara perkahwinannya.

Foto
TORRES memeluk dan mencium ‘pengantinnya’.

Acara berkenaan ialah sebahagian percubaan besar Torres untuk memupuk kesedaran memelihara alam sekitar di seluruh negara Amerika Latin itu.


Di negara asalnya, Peru, Torres sudah pun mendapat perhatian kerana ketaksubannya terhadap flora dan fauna. Dia ditahan tahun lalu kerana melancarkan bantahan secara berbogel sebagai membantah pemindahan pokok di sebuah taman di Peru.

Sementara acara perkahwinan Torres menarik perhatian antarabangsa, ia bukan pertama kali aktivis berkenaan berkahwin dengan pokok.

Pada Jun lalu, Torres mengahwini pokok pertamanya. Ketika itu, dia mengisytiharkan, “Perkahwinan saya adalah selama-lamanya dan saya akan berasmara dengan semua pokok. Dengan memeluk pokok, saya dapat merasakan tenaga tumbuhan itu.”

Bagaimanapun, Torres bukan aktivis pertama yang berkahwin dengan pokok. Pada 2009, pasangan seni konsep, The Art Guys berkahwin dengan anak pokok Oak dalam satu acara di muzium Texas. - Agensi

Warga Jepun cipta rekod berlari guna kaki dan tangan

ITO (kiri) berlari dengan menggunakan kaki dan tangannya.- REUTERS


TOKYO - Seorang lelaki Jepun, Kenichi Ito mencipta rekod dunia apabila dia berlari sejauh 100 meter dengan menggunakan kaki dan tangannya dalam tempoh 16.87 saat di sini semalam.
Ito, 31, yang dikenali sebagai lelaki terpantas berlari dengan menggunakan kaki dan tangannya itu memecahkan rekod lama yang dipegangnya sebelum ini iaitu 17.23 saat.
Dia mula berlari menggunakan kaki dan tangannya itu sejak 10 tahun lalu.
Larian seperti itu menyebabkan dia kelihatan bergerak seperti monyet Patas dari Afrika Selatan.
Pihak Guinness World Records mengiktiraf rekod baharu itu.
Ketika mencipta rekod itu, dia berlari bersama beberapa peserta lain dalam pertandingan yang dianjurkannya sendiri di sebuah stadium. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_05.htm#ixzz2kfA6ReNm 
Hakcipta terpelihara 

Artifak muzium dilihat menerusi teknologi 3-D

SEORANG pencipta alat teknologi tiga dimensi, Alan McCosh melakukan demonstrasi menggunakan cermin mata khas di Muzium Smithsonian, Washington, D.C kelmarin.- AP


WASHINGTON D.C - Pihak pengurusan Muzium Smithsonian di sini melancarkan laman dalam talian yang membolehkan orang ramai menyaksikan barangan pameran dalam bentuk imej tiga dimensi (3-D).
Antara koleksi barangan yang boleh dilihat menerusi imej 3-D itu ialah pesawat tahun 1903 yang dicipta oleh Wilbur dan Oliver Wright.
Turut dipamerkan dalam bentuk 3-D itu ialah fosil seekor ikan paus.
Artifak tersebut boleh dilihat menerusi alamat http://3d.si.edu.
"Muzium Smithsonian merupakan perintis penggunaan teknologi 3-D dengan tujuan menjadikan koleksi muzium dan spesimen saintifik mudah untuk orang ramai mengggunakannya bagi melakukan kajian," kata pengarah program digital muzium tersebut, Gunter Waibel. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1115&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2kf9OOHAI 
Hakcipta terpelihara