Pages

Thursday, June 18, 2015

Pengemis ada tujuh isteri

Sidoarjo (Indonesia): Seorang lelaki tua yang meraih simpati pengguna media sosial negara ini apabila gambarnya memakai kostum watak kartun Winnie the Pooh ketika meminta sedekah tersebar di Internet sebenarnya mempunyai tujuh isteri dan tinggal di rumah mewah.
Lelaki itu, Suaedi, 75, mendapat simpati pengguna media sosial selepas dia mendakwa hidup sebatang kara dan menderita penyakit strok.
Kisah lelaki itu menyebabkan ramai pengguna media sosial turut mengkritik pihak berkuasa kerana tidak membantu lelaki malang berkenaan.
Selepas kisah itu tersebar, Pengarah Kebajikan Sosial dan Tenaga Kerja Sidoarjo, Husni Tamrin mengarahkan pegawainya membawa Suaedi ke hospital untuk dirawat.
Bagaimanapun, pemeriksaan doktor di hospital mendapati lelaki itu tidak sakit, sebaliknya sangat sihat.
Seorang pegawai kebajikan sosial, Dayat berkata, selepas didesak Suaedi akhirnya mengaku dia sengaja mereka cerita untuk meraih simpati.
Katanya, lelaki itu mengaku dia memperoleh pendapatan Rp500,000 (RM141) sehari dengan mengemis.
“Ketika menghantar lelaki itu pulang, kami terkejut apabila mendapati dia tinggal di rumah besar dan disambut seorang wanita muda.
“Pada mulanya Suaedi memberitahu wanita itu anaknya, tetapi selepas didesak dia akhirnya mengaku wanita itu isteri mudanya.
“Lebih mengejutkan lagi, Suaedi mendedahkan dia mempunyai tujuh isteri,” katanya.
Menurutnya, jabatan itu merancang untuk membuat laporan polis terhadap Suaedi kerana menipu.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2015 @ 7:57 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/58472#sthash.D4EyFRWw.dpuf

Tertidur 40 kali sehari

Bedford (Britain): Seorang remaja menderita masalah otak yang menyebabkan dia tiba-tiba tertidur hampir 40 kali sehari dan sering kelihatan mengantuk.
Lucy Tonge, 18, mengidap penyakit otak yang dikenali sebagai narkolepsi itu selepas dia mengambil suntikan vaksin selesema babi kira-kira lima tahun lalu.
Penyakit itu boleh menyerang bila-bila masa walaupun ketika dia berjalan, berbual, memandu atau membaca buku.
Lucy berkata, dia juga jarang keluar rumah atau melakukan aktiviti seperti remaja lain kerana bimbang keadaan itu boleh membahayakan dirinya.
“Ketika berbual dengan rakan-rakan saya boleh menjadi terlalu mengantuk dan kelihatan seperti seorang yang mabuk.
“Saya juga boleh tertidur ketika melakukan sebarang aktiviti seperti bermain piano dan bersiar-siar di taman,” katanya.
Ujarnya, keadaan itu menyebabkan dia tidak boleh memandu kenderaan kerana bimbang dia mungkin tertidur ketika memandu.
Menurutnya, doktor mengesahkan vaksin selesema babi yang dikenali sebagai Pandemrix diambilnya ketika berusia 13 tahun adalah punca penyakit berkenaan.
“Keluarga saya menyaman kerajaan kerana menyebabkan penyakit ini tetapi mahkamah baru-baru ini menolak saman berkenaan dengan alasan keadaan tidak membahayakan saya.
“Bagaimanapun, kami akan merayu keputusan itu kerana penyakit ini menyebabkan peluang saya menyambung pelajaran ke universiti terjejas,” jelasnya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2015 @ 1:25 PM


LUCY boleh tertidur walaupun ketika bermain piano.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/58328#sthash.qpROuk4b.dpuf

China larang penduduk Islam Xinjiang berpuasa


Penduduk Islam Uighur bakal menempuh pelbagai kesukaran sepanjang
Penduduk Islam Uighur bakal menempuh pelbagai kesukaran sepanjang bulan Ramadan ini selepas kerajaan tempatan di Xinjiang mengeluarkan banyak notis larangan termasuk larangan berpuasa . AGENSI
BEIJING 17 Jun – Umat Islam di wilayah Xinjiang, barat China bakal menyambut Ramadan pada tahun ini dengan perasaan dukacita, selepas beberapa buah kerajaan tempatan mengeluarkan notis larangan meraikan bulan penuh keberkatan itu termasuk memaksa penjawat awam berjanji untuk tidak berpuasa.
Laman web Hindustan Times melaporkan, sejak beberapa hari lalu laman web kerajaan tempatan di Xinjiang telah menerbitkan berita dan mengeluarkan notis yang menggesa anggota parti, penjawat awam, pelajar dan guru-guru supaya tidak menyambut bulan Ramadan, sama seperti tahun lalu.
Tindakan tersebut diambil susulan daripada kejadian serangan ganas di wilayah berkenaan sejak tiga tahun lalu sehingga mengakibatkan beratus-ratus orang terkorban, dengan Beijing mendakwa serangan dilancarkan oleh militan Islam.
Kerajaan dalam laman webnya berkata, pegawai keselamatan makanan minggu lalu sebulat suara bersetuju untuk ‘membimbing dan menggalakkan’ restoran halal beroperasi pada bulan Ramadan di daerah Jinghe berhampiran sempadan Kazakhstan.
Mana-mana restoran yang mendengar arahan tersebut tidak akan diperiksa secara kerap oleh pegawai keselamatan makanan.
Media tempatan melaporkan, penjawat awam di daerah Maralbexi berjanji secara lisan dan bertulis untuk tidak menyambut bulan Ramadan, tidak menyertai sebarang aktiviti keagamaan serta tidak berpuasa.
Kongres Uighur Sedunia dan aktivis hak asasi manusia berkata, polisi berbentuk penindasan yang dilaksanakan oleh kerajaan di wilayah Xinjiang, termasuk sekatan ke atas amalan agama menjadi punca utama kekacauan berlaku, dakwaan yang dinafikan oleh Beijing.
“China meningkatkan larangan dan pemantauan menjelang bulan Ramandan. Nasib bangsa Uighur sering dipolitikkan dan peningkatan kawalan akan menyebabkan berlaku banyak penentangan,” kata jurucakap Kongres Uighur Sedunia, Dilxat Raxit dalam satu kenyataan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/china-larang-penduduk-islam-xinjiang-berpuasa-1.104198#sthash.tEsO35Pu.dpuf

4 juta isi rumah China, bertaraf jutawan


China mempunyai empat juta isi rumah jutawan pada tahun lalu,
China mempunyai empat juta isi rumah jutawan pada tahun lalu, iaitu kedua tertinggi di dunia, selepas Amerika Syarikat.
BEIJING 17 Jun - China mempunyai empat juta isi rumah bertaraf jutawan pada tahun lalu, negara kedua tertinggi di dunia, selepas Amerika Syarikat (AS), dengan kenaikan pasaran saham negara ini menyumbang kepada kekayaan perseorangan, demikian menurut satu kajian bebas.
Menurut kaji selidik yang dijalankan sebuah firma berpangkalan di AS, Kumpulan Perunding Boston (BCG) itu, sumber utama kekayaan jutawan-jutawan terbabit adalah didorong pelaburan dalam ekuiti tempatan.
Amerika mempunyai tujuh juta isi rumah bertaraf jutawan pada tahun lalu dan tempat ketiga Jepun dengan satu juta isi rumah bertaraf jutawan, menurut kajian itu.
BGC berkata, China juga membuat kejutan apabila menjadi negara tertinggi melahirkan jutawan sebanyak sejuta jutawan pada tahun lalu.
China yang merupakan negara sedang membangun dinobat tempat pertama di Asia selepas penanda aras Indeks Komposit Shanghai menutup tirai 2014 dengan kenaikan melebihi 50 peratus.
“Pasaran yang kukuh di seluruh rantau (Asia Pasifik kecuali Jepun), terima kasih kepada permintaan domestik yang tinggi - sekali gus meningkatkan nilai aset-aset sedia ada, berbanding peningkatan yang berpunca daripada kekayaan baru,” kata BGC, yang dilaporkan AFP, baru-baru ini.
Peningkatan nilai aset-aset sedia ada yang mencecah 76 peratus merupakan jumlah pertumbuhan kekayaan individu di rantau ini, tambah kajian itu.
China mempunyai 1,037 isi rumah yang memiliki nilai kekayaan bersih lebih $100 juta, iaitu kira-kira satu perlima daripada 5,201 isi rumah bertaraf jutawan di AS.
Forbes pada April lepas juga melaporkan, tanah besar China mempunyai kira-kira 400 bilionaire dan isi rumah bertaraf jutawan berikutan kenaikan pasaran saham di negara ini. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/4-juta-isi-rumah-china-bertaraf-jutawan-1.104200#sthash.t70acw6m.dpuf