Pages

Wednesday, August 3, 2011

Jurujual cedera parah disimbah cecair dipercayai asid

KOTA BHARU 3 Ogos – Seorang jurujual kereta cedera parah di beberapa bahagian badan selepas disimbah cecair dipercayai asid oleh individu tidak dikenali dalam kejadian di Taman Uda Murni, Pengkalan Chepa di sini, malam tadi.
Mangsa Faizal Halim Rustam, 37, disimbah cecair itu ketika sedang membaca akhbar di sebuah kedai dalam kejadian pada pukul 8.30 malam.
Akibat kejadian itu, Faizal kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan keadaannya bagaimanapun dilaporkan stabil.
Beliau mengalami kelecuran pada bahagian belakang badan, mata, leher serta lengan.
Ketika ditemui pemberita di hospital itu, Faizal berkata, ketika kejadian, beliau membeli minuman dan sempat membaca akhbar di luar kedai berkenaan sebelum disimbah cecair berkenaan. – Bernama
utusan

Cuba seludup syabu bentuk kepala harimau

SHAH ALAM – Polis menggagalkan cubaan menyeludup masuk dadah jenis syabu yang dibentuk menjadi replika kepala harimau dan diletakkan di dalam kotak sebagai cendera hati dalam rampasan di balai ketibaan KLIA semalam.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, dalam rampasan pada 11 pagi itu, polis menahan seorang lelaki warganegara Iran berusia 26 tahun yang membawa replika berkenaan.

Bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini, beliau berkata, dalam rampasan berasingan, helah seorang lelaki warganegara Nigeria yang cuba menyeludup masuk dadah jenis syabu menggunakan ikan kering berjaya dikesan oleh pihak polis yang melakukan pemeriksaan di KLIA.

Beliau berkata, dalam rampasan yang dilakukan pada Isnin lepas, polis menahan suspek berusia 31 tahun dan menemui 15 potong ikan kering.

"Selepas diperiksa kita menemui kira-kira satu kilogram dadah jenis syabu yang disembunyikan pada bahagian dalam ikan kering berkenaan,” katanya.

Hisan berkata, nilai kedua-dua rampasan itu dianggarkan mencecah RM1.8 juta. – Bernama
kosmo

Penjara akibat buat laporan palsu diragut

KANGAR – Gara-gara ingin mengelak denda Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan MyKad, seorang suri rumah menghadapi kemungkinan dihukum penjara enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Semuanya kerana dia membuat laporan palsu kononnya diragut oleh dua lelaki di sini pada pagi Ahad lepas menyebabkan dia kehilangan buku bank, surat pajak gadai, wang tunai RM5 dan MyKad.
Ketua Polis Daerah Kangar, Supt Abdul Rahman Noordin berkata, kerana membuat laporan palsu wanita berusia 55 tahun itu boleh didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun keseksaan yang sabit kesalahan boleh membawa hukuman tersebut.
Abdul Rahman berkata, polis telah menyiasat kes itu mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan mendapati kejadian itu tidak berlaku pada masa dan tarikh yang dinyatakan.
Wanita itu akhirnya mengaku dokumen itu tercicir.
"Kami memandang serius perkara ini (laporan palsu). Ini bukan kes pertama laporan palsu berkaitan kehilangan MyKad. Sejak awal tahun ini sudah ada tiga kes termasuk kes terbaru Ahad lalu,” kata Abdul Rahman di pejabatnya hari ini. – Bernama
kosmo

Guru terbunuh selepas balik mengajar

BESUT – Seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Langkap, Setiu terbunuh setelah kereta yang dipandunya berlanggar dengan sebuah lori tangki minyak di Kilometer 54 Jalan Kuala Terengganu-Jerteh dekat Kampung Sungai Tong petang ini.
Mangsa Ahmad Yusrizal Yusof, 30, mati di tempat kejadian setelah cedera parah di bahagian muka dan badan akibat perlanggaran tersebut yang berlaku kira-kira pukul 1.35 petang.
Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Rohaizat Mohd Ani berkata, ketika kejadian mangsa sedang memandu kereta jenis Perodua Viva dalam perjalanan untuk mengambil isterinya Azlina Mohd Razali yang mengajar di SMK Sungai Tong setelah habis mengajar.
Katanya, kejadian berlaku apabila mangsa dikatakan terbabas di satu selekoh tajam sebelum berlanggar secara berhadapan dengan lori tangki minyak kelapa sawit yang dalam perjalanan ke Kota Bharu.
Rohaizat bagaimanapun memberitahu maklumat pemandu lori tangki itu belum diperoleh, tetapi difahamkan hanya mengalami cedera ringan.
“Ahmad Yusrizal sering berulang ke sekolahnya dari rumahnya di Kuala Terengganu itu meninggal dunia di tempat kejadian,” kata Rohaizat ketika dihubungi di sini hari ini. – Bernama
http://www.kosmo.com.my

Eropah lancar semula resolusi PBB kutuk Damsyik


AMMAN: Serangan dua hari berturut-turut tentera Syria ke atas para pembantah antipemerintah di bandar Hama mendapat kutukan Barat dan mendorong kuasakuasa Eropah melancarkan semula resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengutuk Damsyik, yang dipendam sekian lama.
Kereta-kereta kebal membedil kejiranan di seluruh bandar itu selepas solat tarawih pertama Ramadan tahun ini malam kelmarin.Sekurang-kurangnya 24 orang awam, termasuk 10 orang selepas solat tarawih itu, terbunuh dalam serangan pasukan keselamatan Syria di seluruh negara itu, kata seorang aktivis hak asasi kepada agensi berita AFP semalam.Seramai 10 orang mati syahid dan beberapa lagi cedera akibat tembakan oleh pasukan keselamatan semasa bantahan di beberapa bandar Syria selepas solat tarawih pada Isnin, hari pertama Ramadan,' kata ketua kumpulan Pemerhatian Hak Asasi Manusia Syria, Encik Rami Abdel Rahman.Beliau menambah bahawa 24 orang mati hari itu.Beliau memberitahu AFP di Nicosia bahawa enam orang terbunuh apabila ribuan pembantah berhimpun di Irbin, di timur laut Damsyik, seorang dekat ibu kota Syria itu, dua di Latakia dan seorang lagi di pusat bandar Homs.Lebih 150 orang ditahan untuk disoal siasat malam kelmarin, tambah Encik Abdel Rahman.'Bedilan peluru dilancar setiap 10 saat,' kata seorang saksi kepada agensi berita Reuters menerusi telefon, dengan bunyi bedilan dan letupan kedengaran di latar belakang.Sekurang-kurangnya 122 orang awam yang menyertai perhimpunan bagi menggesa Presiden Bashar al-Assad meletak jawatan terbunuh di Syria sejak Ahad lalu, menurut para saksi, penduduk dan aktivis hak asasi.Sebagai reaksi tehadap pertumpahan darah terbaru itu, empat negara Eropah telah mengedarkan satu draf resolusi baru PBB untuk mengutuk tindakan Presiden Assad, dalam usaha terbaru masyarakat antarabangsa untuk memaksa rejim beliau berhenti menggunakan keganasan terhadap para pembantah, lapor agensi berita Bloomberg News semalam.Majlis Keselamatan memulakan sidangnya bagi membicarakan teks semakan yang diserah oleh Britain, Perancis, Jerman dan Portugal itu pada 10 malam tadi di ibu pejabat PBB untuk membincangkan isu tersebut. -- Agensi.
sumber

Cara Mudah Nak tahu Kedai Guna Pelaris Jin



" Sesungguhnya tidak ada kekuasaan bagimu (Syaitan) terhadap hamba-hambaKu, kecuali  ke atas mereka yang mengikut kamu, iaitu orang-orang yang sesat" 
( Al-Hijr: 42)


"Sesungguhnya Syaitan itu tidak ada kekuasaannya atas orang-orang yang beriman dan bertawakkal kepada Tuhannya" ( An-Nahl : 99) 


"Sesiapa yang mendatangi tukang tilik dan tukang tenung ( bagi mendapatkan bantuan berkaitan ghaib), kemudian mempercayai ramalan si tukang/dukun tadi, maka ia (yang pergi berjumpa itu) telah pun kufur dengan agama Nabi Muhammad SAW " ( Riwayat Al-Bazar & Abu Ya'la, Albani : Sohih, Ghayatul Maram, no 285)
Assalamualaikum,salam blogger
di zaman moden hari ini masih ramai lagi yang berani menempah tempat di Neraka dengan mengamalkan sihir untuk pelbagai tujuan dan maksud.Walaupun sudah jelas larangan Rasulullah s.a.w tentang bahaya sihir ternyata masih ada lagi yang mendapatkan khidmat bomoh.


Mereka ini terdiri dari berbagai lapisan masyarakat dan tujuan,bahkan ada juga dari kalangan artis dan ahli pilotik yang mendapatkan khidmat tukang-tukang sihir ini.Ada juga yang ingin membalas dendam kepada seseorang yang tidak disukainya dengan cara ini.
Apa yang saya nak sentuh pada kali ini ialah berkenaan dengan penggunaan pelaris kedai.Di sangkakan dengan bercambahnya ilmu dan pusat-pusat pengajian Islam di masjid-masjid ,surau-surau dan forom-forum amalan khurafat ini sudah berkurangan tapi nampaknya masih rancak di negara kita malaysia.


Jika dulu amalan pelaris yang menggunakan khidmat jin khadam atau tangkal ini hanypopular  di Indonesia dan Sabah sarawak sahaja tapi sekarang sudah merebak sampai ke semenanjung.Jadi kita sebagai pengguna harus berhati-hati dalam memilih kedai makan.Persoalannya bagaimana nak tahu kedai makan yang di syaki itu benar2 mengamalkan pelaris atau tidak.
Ini satu petua yang di ajarkan oleh seorang pengamal perubatan Islam.


Cara mudahnya nak tahu kedai itu ada pelaris (Khadam jin), baca Ayat Qursi 3kali di luar dari kedai. Sebaiknya semasa dalam kereta. Kemudian buka tingkap dan tiup 7x ke arah kedai. Tak perlulah tiup macam bomoh pooh kiri pooh kanan.he he
Tiup perlahan-lahan sampai habis nafas(mcm ustaz Ismail Kamus ajar)
Sekiranya ada pelaris di kedai tersebut, "khadam" tu akan marah dan kita akan rasa seperti satu angin menerpa ke muka kita. Kalau dah macam tu, eloklah kita jangan makan dikedai tersebut.
Beberapa cara di bawah bolehlah di amalkan untuk mengelak sihir :-
1) Al-Fatihah.
2) Membaca tiga surah terakhir atau 3 Qul setiap hari.
Ia berdasarkan hadith :
قال لي رسول الله صلى الله عليه وسلم : إقراء قل هو الله أحد , والمعوذتين , حين تمسي و حين تصبح , ثلاث مرات تكفيك من كل شيء ( رواه أبو داود والترمذي )
Ertinya : Baginda S.A.W telah berkata kepadaku : "Bacalah Qul Huwa Allahu Ahad" (al-ikhlas) dan (surah an-Nas) dan (surah al-falaq) sebanyak 3 kali ketika pagi dan petang, ia mampu mencukupkan kamu dari segala sesuatu.( At-Tirmidzi, Bab Doa yang disebut Ketika Ingin Tidur, no 3570 ; Sunan Abu Daud, Bab Apa Yang Dibaca Ketika Subuh, no 5072 ( Nuzhatul Muttaqin, no 1457 , 2/229 ) At-Tirmidzi : Hasan Sohih, An-Nawawi : Sohih

Liku-liku hidup punca tuntut harta

KUALA LUMPUR 2 Ogos - Isteri ahli perniagaan Allahyarham Tan Sri Syed Kechik Syed Mohamed Al-Bukhary menjelaskan bahawa kehidupan melayari bahtera rumah tangga selama 44 tahun bersama suaminya itu adalah alasan beliau mengemukakan tuntutan harta sepencarian yang berjumlah hampir RM4 juta.Ujar Puan Sri Sofiah Moo Abdullah, 68, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini, pelbagai perit-getir kehidupan telah dihadapi beliau sebagai isteri Allahyarham Syed Kechik, lebih-lebih lagi ketika suaminya menghidap pelbagai jenis penyakit sejak tahun 1990-an.
Jelas wanita itu, lebih merumitkan, ketika Syed Kechik diserang penyakit angin ahmar di bahagian kiri badannya, namun beliau bersyukur apabila suaminya kembali sembuh daripada penyakit tersebut dalam tempoh enam bulan.
Katanya lagi, Syed Kechik kembali pulih dalam tempoh yang singkat disebabkan oleh senaman harian yang dilakukannya sendiri tanpa mengupah pakar khas walaupun beliau mampu dari segi kewangan untuk berbuat demikian.
"Memanglah mampu dari segi kewangan, tetapi saya ingin melihat pertolongan tersebut hasil daripada tangan seorang isteri.
"Kawan-kawan Syed Kechik terkejut bagaimana Allahyarham boleh pulih daripada penyakit angin ahmar dengan cepat walaupun pada mulanya beliau tidak boleh bercakap dan bergerak,'' jelas Sofiah ketika pemeriksaan utama oleh peguam syarie yang mewakilinya, Sulaiman Abdullah.
Beliau kemudian mengesahkan bahawa 12 aset yang terdiri daripada lapan bidang tanah, dua akaun kewangan dan tiga akaun saham merupakan milik suaminya ketika beliau telah bergelar isteri kepada Syed Kechik.
Sofiah selaku plaintif memberi keterangan pada perbicaraan permohonannya untuk mendapatkan perintah agar harta pusaka peninggalan Syed Kechik yang bernilai hampir RM4 juta diisytiharkan sebagai harta sepencarian.
Dalam tuntutan yang difailkan pada 26 Julai lalu, Sofiah menyatakan, beliau berhak mendapat separuh daripada kesemua harta tersebut atau sekiranya ia dijual, nilainya diserahkan kepadanya sebagai harta sepencarian.
Sofiah menamakan anak lelaki sulung Syed Kechik menerusi perkahwinan pertama Allahyarham, Syed Gamal, 45, serta dua anak perempuan kandungnya Puan Sri Sharifah Zarah, 42, dan Sharifah Munira, 44, masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga.
Pada prosiding hari ini, Syed Gamal diwakili peguam syarie, Kamar Ainiah Kamaruzaman manakala kedua-dua adik perempuan tirinya diwakili peguam syarie, Norhusniah Husin.
Perbicaraan di hadapan Hakim Syarie, Mohamad Abdullah bersambung pada 26 September ini.
http://www.utusan.com.my

70 maut di Filipina akibat ribut Nock-ten, hadapi ancaman ribut Muifa



MANILA 2 Ogos - Jumlah korban akibat ribut tropika Nock-ten di Filipina meningkat kepada 70 orang dengan Filipina berhadapan pula dengan ancaman ribut Muifa pula, kata kerajaan, hari ini.
Angka kematian itu meningkat daripada 54 orang selepas dua kanak-kanak dilaporkan terbunuh dalam tanah runtuh di sebuah kuari di Bohol, kelmarin dan 14 mangsa lagi akibat ribut Nock-ten.
Majlis Pengurusan Pengurangan Risiko Bencana Alam Kebangsaan berkata, sejumlah 178 penumpang dan anak kapal berjaya diselamatkan di Iloilo kelmarin.
Muifa yang dinamakan sempena sejenis bunga di China kekal di Laut Filipina berdekatan pulau Luzon pada Khamis lalu, menyebabkan hujan lebat dan ombak kuat.
Menurut majlis tersebut, Nock-ten melanda Luzon pada minggu lepas menyebabkan 66 orang terbunuh dan 17 lagi hilang.
Kebanyakan sekolah di Manila ditutup hari ini ketika cuaca buruk dikesan di kawasan pantai di barat Luzon dengan kemungkinan berlakunya ribut.
Perkhidmatan kaji cuaca meramalkan hujan lebat dan banjir mungkin berlaku akibat ribut berkenaan.
ock-ten yang dinamakan sempena nama seekor burung merupakan bencana alam kesepuluh manakala Muifa pula yang ke-11. - AFP-utusan

Diludah kekasih gelap suami


SHAH ALAM: Ramadan kali ini tidak bermakna bagi seorang ibu beranak empat berusia 39 tahun apabila dia bukan saja diceraikan suami sebaliknya dia cedera selepas dibelasah lelaki itu di rumah sewa kekasih lelaki itu di Banting, dekat sini, kelmarin.
Difahamkan mangsa dibelasah suaminya berusia 40-an itu disebabkan wanita terbabit melarang suspek bersekedudukan dengan kekasihnya yang juga warga Indonesia di rumah sewa berkenaan.

Lebih mengaibkan apabila warga Indonesia itu bertindak keji dengan meludah muka mangsa di hadapan suaminya itu ketika pasangan terbabit bertengkar.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, mangsa cedera di leher dan badan selepas ditampar dan ditumbuk suaminya.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Banting, di sini, menuntut tindakan tegas terhadap suaminya itu.

Menceritakan semula kejadian itu, mangsa yang mahu dikenali sebagai Intan, berkata dia dan anak lelakinya berusia 16 tahun pergi ke rumah sewa wanita terbabit bagi merayu suaminya pulang.

“Sebaik tiba di rumah berkenaan, saya meminta suami pulang ke rumah, namun tindakan saya itu menyebabkan dia berang sebelum memarahi saya.Malah, suami saya yang bagaikan dirasuk syaitan memukul saya di hadapan wanita terbabit,” katanya.Menurut Intan, penderitaannya tidak berakhir di situ apabila suaminya menceraikannya dengan talak satu manakala wanita terbabit meludah mukanya.Suami mengarahkan saya dan anak meninggalkan kawasan berkenaan,” katanya, semalam.Intan berkata, dia syak suaminya disihir wanita itu kerana lelaki terbabit tidak boleh berada di rumah mereka terutama sebelah malam sejak lima bulan lalu.Intan berkata, dia sanggup memaafkan suaminya itu dan kembali bersamanya semula demi masa depan mereka sekeluarga.Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Nordin Manan mengesahkan menerima laporan kejadian itu.http://www.hmetro.com.my

Isteri curiga SMS dedah rahsia pasangan


PETALING JAYA: Perbuatan seorang isteri memeriksa telefon bimbit suaminya sebelum menghubungi teman wanita lelaki terbabit membawa padah apabila dia cedera ditumbuk suaminya itu di rumah mereka di Lembah Subang, di sini, Ahad lalu.
Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa memeriksa telefon bimbit suaminya yang berusia awal 30-an sebelum berasa curiga satu kiriman SMS yang dihantar atas nama seorang lelaki.

Bagi memastikannya, mangsa yang juga kerani sebuah syarikat swasta dan berusia 30 tahun cuba bertanyakan suaminya mengenai SMS itu, namun suaminya mendakwa ia rakan sepejabatnya.

Tidak berpuas hati dengan penjelasan itu, mangsa menghubungi nombor berkenaan sebelum ia dijawab seorang wanita.

Menurut sumber, mangsa memarahi suaminya kerana berbohong menyebabkan berlaku pertengkaran. “Suami mangsa yang gagal mengawal kemarahan memukul mangsa sebelum keluar dari rumah,” katanya.

Mangsa yang cedera di muka dan badan membuat laporan di Balai Polis Kelana Jaya di sini.
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/IstericurigaSMSdedahrahsiapasangan/Article/index_html

Cubaan kelentong pemilik kedai runcit gagal

KUALA LUMPUR: Tindakan dua lelaki warga tempatan cuba menyamar sebagai anggota polis dan memeras ugut seorang pemilik kedai runcit warga Bangladesh sebanyak RM4,000 gagal apabila mereka ditahan di kedai mangsa di Segambut Dalam, di sini, Sabtu lalu.
Difahamkan, kedua-dua lelaki itu yang berusia lingkungan 30-an berjaya diberkas kira-kira jam 7 malam di kedai mangsa ketika datang untuk menuntut jumlah wang yang diminta.

Polis kemudian membawa suspek ke balai untuk disoal siasat dan hasil daripada pemeriksaan terhadap kediaman suspek, polis berjaya menemui gari dipercayai digunakan untuk menyamar sebagai polis.

Menurut sumber, suspek yang datang ke kedai mangsa pada kira-kira jam 2 petang mendakwa mereka adalah anggota polis dari Bukit Aman dan meminta wang perlindungan daripada mangsa sebelum menunjukkan gari sebagai bukti.

“Mangsa kemudian merayu agar memberikan sedikit masa kepadanya untuk menyediakan wang diminta dan berjanji akan memberinya kepada mereka pada sebelah malam.

“Sebaik kedua-dua suspek beredar, mangsa kemudian menghubungi polis dan selepas dinasihati, mangsa membuat laporan di Balai Polis Travers,” katanya.


Selain itu, mangsa turut mengadu kedua-dua suspek sudah beberapa kali datang ke kedainya bagi tujuan meminta wang perlindungan dan kali terakhir adalah empat bulan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengesahkan ada menerima laporan mengenai kes terbabit dan siasatan sedang dijalankan.
http://www.hmetro.com.my

‘Tahan anak saya’

KUALA LUMPUR: Tidak tahan perangai anak lelakinya berusia 13 tahun yang gemar mencuri, melawan cakap dan memukul adik, seorang ibu nekad membuat laporan polis dan mendesak pihak berkuasa menempatkan anaknya itu di pusat pemulihan akhlak.Kesabaran ibu berusia 31 tahun itu hilang selepas remaja terbabit mencuri RM200 milik datuknya sebelum memecahkan cermin kereta dan menyerang ibunya dengan kayu di rumah mereka di Batu Caves di sini, Ahad lalu.Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, remaja terbabit bertindak demikian apabila mendapat tahu ibunya mengambil RM200 yang disoroknya di dalam beg dan menyerahkan semula kepada datuknya.Sumber polis berkata, sebelum itu sebaik saja pulang ke rumah dan mendapati wang berkenaan tiada di dalam begnya, remaja terbabit bertindak ganas dengan menumbuk muka adik perempuannya 10 kali kerana menyangka adiknya mengambil wang itu.“Akibatnya, adik perempuan remaja itu yang berusia 11 tahun cedera di muka dan badan, malah dia juga dijadikan tebusan oleh abangnya ketika meminta ibunya memulangkan semula wang RM200 yang dicurinya,” katanya.
http://www.hmetro.com.my

2 lelaki ditikam dua polis palsu


SERDANG: Seorang lelaki hampir maut selepas lehernya ditikam dengan sebilah pisau manakala rakannya cedera di badan akibat bergelut dengan dua penyamun yang menyamar sebagai anggota polis dalam kejadian di rumah mereka di Pusat Bandar Puchong, di sini, kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 10 malam itu menyebabkan mangsa kerugian kira-kira RM3,000 selepas wang tunai dan barangan berharga termasuk telefon bimbit di rampas dua lelaki itu.

Mangsa dikenali sebagai Rajoh Sundang, 23, berkata, dua lelaki terbabit berusia lingkungan 20-an menunggang sebuah motosikal mengekorinya yang dalam perjalanan ke sebuah bank di kawasan berkenaan.

Katanya, dia berasa curiga dengan tindakan dua lelaki itu namun tidak mengendahkannya sebelum dia ditahan lelaki terbabit yang menunjukkan kad kuasa polis sebelum meminta kad pengenalannya untuk diperiksa sebaik tiba di rumah.

“Mereka meminta saya menunjukkan kad pengenalan dan tanpa berfikir panjang, saya terus menyerahkannya kepada mereka yang mungkin mahu membuat siasatan identiti saya sebagai penduduk berasal dari Sabah.

“Mereka kemudian masuk ke dalam rumah sebelum merampas dompet dan telefon bimbit. Saya kemudian meminta bantuan rakan yang kebetulan ada di rumah membuatkan kedua-dua mereka menggelabah,” katanya di sini, semalam.


Berikutan itu, dia dan rakannya bergelut dengan lelaki terbabit selama lima minit sebelum seorang daripada mereka berlari mendapatkan pisau di dapur.Akibat pergelutan berkenaan, saya mengalami cedera di badan, manakala rakan saya parah selepas terkena tikaman di leher dan badan,” katanya.Katanya, lelaki itu yang ketakutan selepas melihat rakannya mengalami cedera parah terus melarikan diri.Saya kemudian membawa rakan saya itu ke hospital berhampiran untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei mengesahkan menerima laporan dan siasatan sedang dijalankan.
-mymetro

Kesan DNA babi


TAK HALAL...sosej pulut dan kepingan ayam yang diimport dari Thailand.
TAK HALAL...sosej pulut dan kepingan ayam yang diimport dari Thailand.

KANGAR: Sosej pulut dan kepingan ayam (chicken cake) yang dijual di beberapa bazar Ramadan di sini dan digemari ramai penduduk tempatan, disahkan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi.
Perkara itu disahkan Jabatan Kesihatan Perlis semalam selepas memperoleh keputusan analisis ke atas tujuh sampel awal yang dikumpulkan pihaknya di sekitar Sungai Bahru di sini dan daripada jumlah itu, dua disahkan mengandungi DNA babi.
Timbalan Pengarah (Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan) jabatan itu, Mahamad Sukor Senapi ketika dihubungi berkata, dua produk yang dijual tanpa jenama itu mengandungi DNA babi.

“Sejak tempoh dua minggu lalu, sekurang-kurangnya 16 sampel dikumpulkan di sekitar kawasan berkenaan susulan aduan orang ramai yang khuatir dengan status halal produk berkenaan yang dikatakan dibawa masuk secara haram dari Thailand.


“Buat masa sekarang, hanya dua daripada tujuh sampel awal disahkan mengandungi DNA babi dan kita masih menunggu hasil analisis baki sembilan lagi sampel yang dihantar bagi tujuan berkenaan,” katanya.
http://www.hmetro.com.my/articles/KesanDNAbabi/Article

Mayat lima sekeluarga ditemui di bilik air

MOSCOW: Pegawai penyiasat Russia menemui mayat lima sekeluarga, termasuk tiga kanak-kanak, yang dibunuh di apartmen mereka di Tula, di selatan bandar raya ini, kata pihak berkuasa, semalam.
Kematian lima sekeluarga itu - tiga kanak-kanak lelaki berusia empat, lima dan sembilan tahun, ibu dan nenek mereka - tidak disedari sejak lebih seminggu.

Menurut laporan agensi berita ITAR-TASS, semua mangsa dibelasah hingga mati sembilan hari lalu dan apartmen itu juga berkunci. Semua mayat ditemui di bilik air.

Jiran lima sekeluarga berkenaan menghubungi polis selepas mengesan bau busuk dari kediaman itu. Tiada kesan pecah masuk dilaporkan di apartmen terbabit. - AFP
http://www.hmetro.com.

Menara Jeddah tertinggi dunia

DUBAI: Sebuah menara tertinggi di dunia akan dibina di Jeddah. Menara yang berharga SR4.6 bilion (RM3.63 bilion) itu akan dibina oleh Kingdom Holding milik jutawan Saudi, Putera Alwaleed bin Talal.
Satu perjanjian antara Kingdom Holding dengan Kumpulan Bin Laden juga telah ditandatangani.
Menara setinggi lebih satu kilometer itu mengandungi unit hotel, pangsapuri, kondominium mewah dan ruang pejabat.

Apabila siap, menara itu akan menggantikan bangunan Burj Khalifa yang setinggi 828 meter, sebagai menara tertinggi di dunia.


Bangunan Burj Khalifah dibina oleh Emaar Properties dengan kos pembinaan sejumlah AS1.5 billion (RM4.4 bilion).
http://www.hmetro.com.my

Kokain RM540j ditemui dari kapal selam

MIAMI: Pihak berkuasa Amerika Syarikat menemui kira-kira 6,803 kilogram kokain dari kapal selam yang tenggelam yang digunakan sindiket penyeludupan di Honduras.
Penemuan itu dianggarkan bernilai AS$180 juta (RM540 juta).

Kapal selam buatan sendiri itu ditahan anggota pasukan pengawal pantai pada 13 Julai lalu.

Anggota kumpulan penyeludup turut ditahan dan sejumlah besar dadah dirampas sebelum kapal itu tenggelam ke dasar lautan.

Operasi besar-besaran membabitkan beberapa bot pengawal pantai, tentera laut Honduras dan pasukan penyelam Biro Siasatan Persekutuan (FBI) melakukan operasi mencari kapal dan dadah berkenaan dan akhirnya menemuinya pada 26 Julai lalu.
http://www.hmetro.com.m

Budak maut mayat nenek meletup ketika dibakar


PHNOM PENH: Seorang budak perempuan berusia lapan tahun terbunuh dalam letupan ketika mayat neneknya dibakar di pusat pembakaran, semalam.
Polis berkata, letupan berlaku selepas ahli keluarga mangsa mencurah minyak tanah ke atas mayat berkenaan bagi mempercepat pembakaran.

Insiden itu mencederakan 12 yang lain, termasuk seorang kritikal. - AFP
http://www.hmetro.com.my

Kediaman Mukesh disiasat

MUMBAI: Lelaki terkaya di India, Mukesh Ambani berkemungkinan disiasat badan persekutuan mengenai pembinaan kediaman mewah 27 tingkat miliknya - salah satu kediaman persendirian paling mahal di dunia.
Kerajaan negeri Maharashtra menimbangkan sama ada penyiasat persekutuan perlu memeriksa fakta yang mengelirukan mengenai penjualan tanah di mana kediaman itu dibina, lapor media India, semalam. Pengerusi syarikat Reliance Industries itu, yang menurut majalah Forbes adalah lelaki kesembilan terkaya di dunia dengan kekayaan bernilai AS$27 bilion (RM71 bilion), berpindah ke menara setinggi 174 meter itu tahun lalu. Menara Antilia, yang terletak di kawasan kediaman mewah, di Jalan Altamount dilaporkan mempunyai ruangan parkir enam tingkat, beberapa kolam renang, dewan tari-menari, panggung wayang dan tiga landasan helikopter. Menteri Hal Ehwal dan Wakaf Maharashtra, Mohammed Arif Naseem Khan memberitahu Dewan Undangan Negeri, semalam bahawa kawasan seluas 4,532 meter persegi itu asalnya adalah tanah rizab untuk tujuan pendidikan kanak-kanak Islam.

Mengikut undang-undang Islam, wakaf bermakna hartanah atau tanah yang disimpan untuk tujuan keagamaan atau kebajikan.

Menurut Mohammed Arif, tanah itu dijual kepada Ambani oleh Yayasan Amanah Anak Yatim Currimbhoy Ebrahim Khoja dengan harga $4.77 juta (RM14.3 juta) pada 2002. Perjanjian jual beli itu diluluskan Suruhanjaya Kebajikan Mumbai tetapi Mohammed Arif berkata, keizinan tidak diperoleh Lembaga Wakaf Negeri Maharashtra, yang menguruskan penyelenggaraan dan pentadbiran hartanah wakaf.

- AFP
http://www.hmetro.com.my

Tentera redah api untuk selamatkan isteri, anak

RAS KHAIMAH (UAE): Seorang askar yang juga bapa kepada empat orang anak, telah dikejarkan ke hospital akibat cedera ketika cuba menyelamatkan isteri dan anaknya yang berusia lapan bulan daripada rumah mereka yang terbakar.
Khamis Mohammad Al Qusaidi, 33 tahun, meredah masuk ke rumahnya ketika api sedang marak untuk menyelamatkan isteri dan anaknya yang sedang berlindung di bilik air.
Dia cedera terbakar tahap kedua dan ketiga di seluruh badannya dan kini sedang dirawat di Hospital Saqr.

Khamis telah meninggalkan isteri dan anak kecilnya dan membawa anaknya yang lain untuk makan tenga hari di rumah ibunya.
Katanya kebakaran berlaku sebaik saja dia tiba di rumah ibunya.Isterinya sempat menelefon Khamis memberitahu tentang kebakaran itu, tetapi isteri dan anaknya terperangkap di dalam rumah.Saya bergegas pulang. Saya tidak sangka api marak dengan cepat. Saya tidak tahu hendak masuk dari mana kerana api sangat marak,” katanyaIbu mentua Khamis, Ayashia berkata dia berlari dengan kaki ayam apabila diberitahu tentang kebakaran itu.Khamis berkata, diabertindak memecahkan gril besi di tingkap bilik tidur dengan tangannya.Saya rasa tangan saya terbakar tetapi lega apabila besi itu tercabut. Saya terus menuju ke bilik air dan membawa mereka keluar dengan cepat. Waktu itu saya rasa seluruh badan saya sakit kerana dijilat api. Isteri saya terus memanggil abang saya dan membawa saya ke hospital,” katanya.Menurut Jabatan Pertahanan Awam Ras Al-Khaimah, kebakaran itu disebabkan oleh litar pintas di alat penyaman udara di ruang tamu. Api kemudian merebak ke seluruh rumah. - GNhttp://www.hmetro.com.my

Golden Churn ada DNA babi

JAKIM, JAIS sah mentega dari New Zealand tidak halal 
KUCHING: Kekeliruan mengenai status mentega ‘Golden Churn Creamy Butter’ terjawab semalam, apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) turut mengesahkan ia tidak halal kerana mengandungi DNA babi.
Sebelum ini orang ramai keliru apabila JAKIM dalam surat bertarikh 30 Jun lalu kepada pembuat mentega itu mengesahkan mentega jenis itu tidak mengandungi DNA babi, sedangkan Majlis Islam Sarawak dalam kenyataan pada 28 Julai lalu, mengesahkan ia haram kerana mengandungi DNA babi.
Mesyuarat bagi membincangkan status mentega ‘Golden Churn Creamy Butter’ itu berlangsung di sini petang semalam dan disertai beberapa agensi berkaitan mengesahkan ia haram kerana mengandungi DNA babi. 
http://www.bharian.com.my

Kepala terlekat di pelepah sawit


KEPALA yang ditemui terlekat pada pelepah kelapa sawit di Ladang Kelapa Sawit Air Merah,semalam.
KEPALA yang ditemui terlekat pada pelepah kelapa sawit di Ladang Kelapa Sawit Air Merah,semalam.

Bau meloyakan disangka bangkai haiwan 

KULIM: Seorang pekerja ladang terkejut menemui kepala manusia terlekat pada pelepah kelapa sawit ketika dia sedang mengait buahnya di Ladang Air Merah berhampiran Taman Melur di sini, semalam.
S Nandakumaran, 31, berkata dia terhidu bau busuk yang meloyakan sebaik memasuki ladang itu, pagi semalam, namun menyangkakan bau itu daripada bangkai haiwan.
Bagaimanapun, katanya, ketika sampai di sebatang pokok sawit setinggi kira-kira dua meter dan cuba mengait buahnya dia ternampak objek berwarna hitam dan berbau busuk. 

“Saya kemudian menghampiri objek itu dan terkejut apabila mendapati ia adalah kepala manusia yang hampir reput. 

“Di kawasan berhampiran, saya terserempak mayat manusia yang sudah reput tanpa kepala. Saya kemudian menghubungi Balai Polis Kulim untuk membuat laporan,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian. 

Nandakumaran berkata, kali terakhir dia menjalankan kerja mengutip buah kelapa sawit di situ adalah pada 13 Julai lalu dan ketika itu tiada apa-apa berlaku di kawasan berkenaan. 
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh, berkata berdasarkan maklumat pada kad pengenalan yang ditemui berhampiran mayat mangsa, polis mengenal pastinya sebagai lelaki bernama, A Benny Roy, 31, dari Klang, Selangor. 

“Polis turut menemui seutas tali pada kepala mangsa, manakala bahagian badannya yang lain terasing mungkin dibawa oleh binatang. Keadaan mayat itu hampir reput dan hanya tinggal kaki saja manakala kedua-dua belah tangannya dijumpai beberapa meter dari situ. 

“Mayat lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Kulim untuk bedah siasat dan buat masa ini kita mengklasifikasikan kes berkenaan sebagai mati mengejut (SDR),” katanya. 

Ghuzlan meminta bantuan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi balai berdekatan atau Balai Polis Kulim di talian 04-4906222. 
http://www.bharian.com.my

Israel gagal bunuh Nasrallah


pix_gal0
Letupan gegar mesyuarat Hizbullah

BEIRUT: Israel cuba membunuh pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah dengan satu letupan bom di kawasan mewah Beirut, Jumaat lalu, tetapi usahanya menemui kegagalan, lapor akhbar Kuwait, Al Jareeda yang memetik sumber tidak dinamakan, semalam.
Sumber memberitahu akhbar berkenaan bahawa Israel bertindak selepas mendapat maklumat bahawa Nasrallah dijangka mengadakan mesyuarat dengan pegawai kanan pergerakan Syiah itu, termasuk dengan bekas tahanan negara Yahudi itu, Samir Kuntar.
“Tiada berita mengatakan Nasrallah cedera, tetapi beberapa anggota Hizbullah dilaporkan cedera dalam serangan itu,” kata sumber itu. 

Antara yang cedera termasuk ketua tentera Hizbullah, Mustafa Badr al-Din, yang dikehendaki oleh Tribunal Khas bagi Lubnan kerana terbabit dalam pembunuhan bekas Perdana Menteri Lubnan, Rafik Hariri. 

Banyak khabar angin bertiup mengenai letupan itu, tetapi beberapa jam selepas kejadian Hizbullah mengeluarkan kenyataan memaklumkan kejadian disebabkan kebocoran gas dan tiada siapa yang cedera. 

Kenyataan itu diragui pemerhati kerana anggota Hizbullah kemudian mengadakan sekatan di sekitar kawasan terbabit. 
Selain itu, Nasrallah semalam memberi amaran kepada Israel supaya tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh dianggap sebagai ‘mencuri’ sumber air wilayah Lubnan. 

Pemimpin Syiah itu juga mengumumkan bahawa sesiapa yang mengancam projek maritim masa depan Lubnan akan menghadapi padah. 

Dalam ucapan secara langsung di televisyen sebagai menyambut kemenangan ke-5 Perang Lubnan ke-2, Nasrallah juga berjanji membalas dendam selepas Israel cuba menggali sumber asli di kawasan yang didakwanya perairan Lubnan. 

Samir Kuntar adalah antara tahanan terkenal di penjara Israel. Dia dibebaskan oleh Israel sebagai tukaran kepada mayat askar Yahudi, Ehud Goldwasser dan Eldad Regev pada 2008. 

Kuntar terbabit dalam serangan di Nahariya yang menyebabkan kematian seorang anggota polis dan tiga anggota keluarga Nahariya pada 1979. – Agensi 
http://www.bharian.com.my

Muhammad Ali tolak alasan Breivik


Muhammed Ali
Muhammed Ali

OSLO: Legenda tinju dunia, Muhammed Ali, menolak alasan penyerang Norway bahawa perbuatannya mengganas sebagai tindakan menentang ‘pencerobohan Islam’ di Eropah.

Dalam surat terbuka disiarkan semalam, ketika menyuarakan kecewa dengan tindakan Anders Behring Breivik, 32, Ali menolak kebimbangan pelampau Kristian itu yang mendakwa kewujudan pelbagai budaya adalah punca tragedi.
“Saya kecewa, bukan hanya kerana kematian sia-sia ramai mangsa tidak bersalah, termasuk orang muda, tetapi juga disebabkan dakwaan mengenai punca tindakan kejam ini dilakukan.
“Kebimbangan terhadap pelbagai budaya menunjukkan kurangnya persefahaman yang wujud dalam masyarakat pelbagai etnik, keturunan dan agama,” katanya dalam surat yang disiarkan oleh akhbar VG. – AFP 
http://www.bharian.com.my

Pekerja culas puasa dipecat

Datuk Bandar Bengkulu beri amaran 

BENGKULU: Kakitangan awam yang tidak berpuasa ketika Ramadan akan dipecat, kata Datuk Bandar Bengkulu, Ahmad Kanedi pada hari pertama bulan suci itu, kelmarin.

Beliau juga menawarkan 1 juta rupiah (RM348.97) kepada penduduk yang membantu menangkap pekerja makan di khalayak ramai.
“Kakitangan awam yang didapati makan tengah hari di tempat awam seperti restoran ketika bulan puasa tahun ini akan berdepan tindakan termasuk dipecat serta merta daripada tugas,” kata Ahmed Kanedi yang dipetik Antara. 

Ahmad juga menggesa penduduk aktif membantu pentadbiran Bengkulu menguatkuasakan disiplin ketika bulan puasa. 

“Saya hadiahkan 1 juta rupiah kepada sesiapa yang dapat menangkap penjawat awam kerana makan di khalayak ramai seperti restoran, pasar dan terminal bas,” katanya. 

Sementara itu, di Jakarta, pentadbir bandar ini akan cuba mengosongkan laluan pada petang bagi menyediakan persekitaran lebih aman ketika solat Tarawih. 
Bersama Jabatan Sosial dan Agensi Arahan Umum (Satpol PP), pentadbiran merancang untuk meningkatkan kawalan dengan menghapuskan kehadiran pengemis dan budak tidak berumah daripada mengganggu jemaah yang keluar selepas menunaikan solat asar sepanjang bulan puasa. 

“Kami akan bekerja dan mengambil tindakan, daripada kumpulan paling kecil sehingga yang besar,” kata jurucakap pentadbiran Cucu Ahmad Kurniawan. “Tiada seorang pun akan terlepas.” 

Jurucakap Satpol PP, Darwis berkata operasi itu bagi memudahkan penduduk Jakarta bersolat. 

“Kita tahu setiap tahun, ramai pengemis mengganggu ketika solat. Operasi pada tahun sebelumnya mengurangkan jumlah mereka. 

“Kita mahu mengurangkan lebih banyak lagi,” kata Darwis. – Agensi
http://www.bharian.com.my

Ramadan berdarah di Syria, Afghanistan


KOMBINASI gambar menunjukkan beberapa aksi yang dituduh sebagai pensabotaj atau anggota kumpulan bersenjata menentang kerajaan Syria.
KOMBINASI gambar menunjukkan beberapa aksi yang dituduh sebagai pensabotaj atau anggota kumpulan bersenjata menentang kerajaan Syria.

Hama diserang, serangan bunuh diri di Kunduz 

BEIRUT: Hari pertama Ramadan menyaksikan pertumpahan darah berlarutan di Syria dengan askar terus menyerang kota Hama selepas tunjuk perasaan antikerajaan berterusan manakala tiga penyerang bunuh diri menyerang sebuah rumah tetamu yang biasa didiami warga asing pada hari kedua berpuasa di Kunduz, Afghanistan.
Di Hama, penunjuk perasaan anti-kerajaan mengadakan sekatan dan mengumpul kayu dan batu untuk mempertahankan diri kelmarin ketika rejim pemerintah cuba menghapuskan pemberontakan yang berlangsung lima bulan.
Penunjuk perasaan berazam tidak menjadi mangsa pemerintah seperti pada 1982 apabila ribuan penduduk dibunuh di Hama selepas bapa Presiden Bashar Assad mengarahkan kekerasan dilancarkan. 

Menjelang malam, penduduk berkata kereta kebal tentera terus melepaskan bedilan manakala tentera melepaskan tembakan mesingan ke arah penduduk yang menghala ke masjid untuk solat Tarawih. 

Penduduk baru saja berbuka puasa dan serangan itu jelas menyasarkan untuk menghalang mereka daripada berkumpul dalam masjid, bimbang mereka akan mencetuskan bantahan anti-kerajaan besar-besaran. 

Ia adalah hari kedua serangan ke atas Hama dan bandar lain. Dalam serbuan terdahulu, empat orang terbunuh di Hama dan tiga lagi dibunuh di bahagian lain negara itu, kata penduduk dan kumpulan hak asasi. 
Tindakan keras terbaru jelas menyasarkan penunjuk perasaan agar tidak bertambah ketika Ramadan. 

Keganasan Ahad lalu menyebabkan 74 maut di seluruh negara, 55 daripadanya di Hama dan kejiranan berhampiran manakala dalam kekerasan terbaru dipercayai 24 lagi terbunuh. 

Serangan itu menyebabkan Amerika Syarikat mengutuk pentadbiran Bashar manakala kerajaan Eropah melanjutkan sekatannya ke atas Syria dengan membekukan aset dan mengehadkan pergerakan lima lagi pegawai kerajaan dan tentera. 

Dalam serangan di Kunduz, seorang penyerang meletupkan bom kereta di pintu masuk rumah tetamu itu manakala dua lagi penyerang menyerbu sebuah lagi bangunan dan terbabit dalam tembak menembak dengan askar kerajaan. 

Pertempuran meletus beberapa jam sebelum pemberontak meletupkan beberapa butir lagi bom ketika bertempur dengan anggota kerajaan menyebabkan empat pengawal keselamatan yang bekerja dengan sebuah syarikat Jerman maut, kata penyiasat polis, Abdul Rahman. – Agensi 
http://www.bharian.com.my

Banyak barang daripada pembeli di Gaza

BUDAK ini menjaga gerai yang menawarkan pelbagai lampu untuk sambutan Ramadan di Gaza.
BUDAK ini menjaga gerai yang menawarkan pelbagai lampu untuk sambutan Ramadan di Gaza.



SEMENANJUNG GAZA: Kebanyakan pasar di Semenanjung Gaza dipenuhi makanan berikutan sambutan Ramadan yang bermula Isnin, tetapi ramai penduduk tidak mampu mendapatkan bekalan itu berikutan kakitangan kerajaan belum menerima gaji.

Barangan seperti rempah ratus, lampu, manisan dan keperluan lain dipamerkan di kebanyakan kedai.
Antaranya kedai Abu Mohammad Al Shourafa yang dipenuhi pelbagai jeruk, minyak, keju, buah-buahan kering, kurma dan manisan.
“Biasanya, saya sudah jual kebanyakan barangan dan meminta pembekal menghantarnya lagi, tetapi buat masa ini, saya belum jual apa-apa,” katanya.

Ahmad Abu Ramadan, kakitangan dengan pihak berkuasa Palestin berkata: “Saya hanya menerima separuh gaji Jun hampir menyebabkan saya kini hampir tidak mempunyai apa-apa. – Agensi
http://www.bharian.com.my

Kebuluran tak halang ibadah


PENDUDUK Somalia mengalami kebuluran paling teruk dalam sejarah ketika ini.
PENDUDUK Somalia mengalami kebuluran paling teruk dalam sejarah ketika ini.


DADAAB (Kenya): Ketika umat Islam seluruh dunia meraikan kedatangan Ramadan, Faduma Aden, terpaksa menahan lapar sepanjang hari kerana tidak cukup makanan untuk ber-buka. 

Ibu kepada tiga anak dari Somalia yang berhadapan dengan masalah kebuluran itu berkata, beliau tetap berpuasa.
Hidangan mewah untuk buka puasa tidak pernah difikirkan kebanyakan penduduk Somalia yang berhadapan dengan kebuluran paling teruk dalam sejarah. Biarpun Islam mengecualikan puasa kepada mereka yang sakit, kebanyakan penduduk Somalia tetap melakukannya.

Seperti yang lain, Mohamed Mohamud Abdulle malu kerana tiada makanan ‘bagi memenuhi kepuasan’ ketika berbuka selepas berpuasa sepanjang hari. 

“Bagaimana saya boleh berpuasa jika tidak ada apa-apa untuk berbuka? Semua ahli keluarga kelaparan. Kelaparan memaksa saya ke sini,” kata Abdulle antara puluhan ribu yang berjalan ke kem pelarian di negara jiran, Kenya. 

Penduduk Somalia sudah biasa ‘berpuasa’ berminggu malah berbulan lamanya kerana kekurangan makanan. “Saya tidak boleh berpuasa kerana tidak mempunyai makanan untuk berbuka dan sahur,” kata Nur Ahmed, bapa kepada enam anak di kem yang menempatkan pelarian Somalia di Mogadishu. Isterinya meninggal tahun lalu ketika bersalin. 
Sheik Ali Sheik Hussein, ketua masjid di Mogadishu bimbang apabila ramai penduduk tidak dapat berpuasa kerana terlalu lemah akibat kelaparan dan tiada makanan untuk berbuka. 

“Kami meminta umat Islam seluruh dunia menderma bagi membantu mereka yang kebuluran,” katanya. – AP 
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Kebulurantakhalangibadah/Article

Kucing miliki tompok seperti misai Hitler



ANAK kucing yang memiliki tompok hitam di bawah hidung yang kelihatan seperti misai Adolf Hitler.


GODMANCHESTER, Britain - Seekor anak kucing diberi nama jolokan Kitler kerana haiwan itu mempunyai tompok hitam di bawah hidung yang menyebabkan ia kelihatan mirip misai bekas pemimpin Nazi dari Jerman, Adolf Hitler.
Anak kucing itu ditinggalkan di tepi sebatang jalan raya dan kini dijaga oleh sebuah pusat perlindungan haiwan di sini.
Ratusan pengunjung yang melawat pusat perlindungan haiwan itu enggan mengambil anak kucing tersebut untuk dipelihara kerana tompokan seperti misai tersebut.
Hitler memang terkenal kerana kekejamannya mengetuai pembunuhan kaum Yahudi semasa Perang Dunia Kedua. - Agensi

Nenek 82 tahun buat terjunan dari pesawat


JUDY WADE yang berusia 82 tahun terjun bersama seorang cucunya, Joe Kemp di New York pada Ahad lalu.


NEW YORK - Seorang nenek berusia 82 tahun, Judy Wade meraikan ulang tahun kelahirannya dengan terjun dari sebuah pesawat di sini, lapor sebuah akhbar kelmarin.
Dia terjun bersama seorang cucunya dari sebuah pesawat pada ketinggian 4,267 meter dengan kelajuan 193 kilometer sejam.
Nenek itu terjun bersama dengan cucunya, Joe Kemp yang merupakan wartawan akhbar New York Daily News pada Ahad lalu di sini.
Menurut Kemp, neneknya itu menyuarakan hasrat untuk membuat terjunan dari udara buat kali pertama bagi meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-82.
- Agensi

Remaja Orang Asli mengaku tertembak adik



TERTUDUH remaja Orang Asli bawah umur yang tertembak mati adik sendiri didakwa di Mahkamah Majistret Maran, Pahang semalam.


MARAN - Seorang remaja Orang Asli mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini semalam atas dua pertuduhan iaitu membunuh tanpa niat dan memiliki dua laras senapang buatan sendiri.
Bagi pertuduhan pertama, remaja berusia 15 tahun itu mengaku bersalah apabila tertembak adik kandungnya yang berusia 10 tahun ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali.
Kejadian berlaku di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Bagas, Kuala Sentul di sini pada 26 Julai lalu di antara pukul 7 petang hingga 8.15 malam.
Mengikut pertuduhan, mangsa dipercayai terkena tembakan secara tidak sengaja semasa tertuduh membersihkan senjata yang digunakan selepas memburu babi.
Senjata tersebut dipercayai meletup sendiri dan terkena pada tangan serta perut mangsa menyebabkan kanak-kanak perempuan itu maut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan iaitu membunuh tanpa niat dan jika sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara dua tahun, denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua, suspek didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata (Akta 206) kerana memiliki dua laras senapang buatan sendiri pada tarikh dan tempat sama.
Jikas sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara setahun, denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Majistret Noor Zaihan menetapkan 6 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes sebelum menjatuhkan hukuman sementara menunggu laporan akhlak remaja itu.
Tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua kesalahan tersebut. Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlin Mohamad Yusoff.
Kosmo! pada 28 Julai lalu melaporkan, seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli terbunuh apabila senjata buatan sendiri milik abangnya meletup.

Duit raya hangus terbakar


MUSTAFA memeriksa rumahnya yang hangus terbakar di Kampung Atas Tol di Kuala Terengganu semalam.



KUALA TERENGGANU – Hajat seorang bapa untuk memberikan wang saguhati persaraannya kepada anak-anaknya sempena kedatangan Aidilfitri tidak kesampaian apabila rumah yang dihuni hangus dijilat api dalam kejadian di Kampung Atas Tol dekat sini semalam.
Selain memusnahkan harta benda, kebakaran yang berlaku kira-kira pukul 11.30 pagi itu menyebabkan wang simpanan sebanyak RM2,000 milik mangsa, Mustafa Abu Bakar, 56, hangus menjadi debu.
Beliau yang merupakan bekas kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) berkata, wang itu sebelum ini telah diniatkan untuk diagihkan kepada enam anaknya yang berusia 20-an dan 30-an sempena persaraannya dan kedatangan Aidilfitri tidak lama lagi.
“Duit itu mungkin sedikit, tetapi itu adalah tanda terima kasih saya kepada anak-anak yang banyak memberi dorongan selama saya bekerja sebagai pemandu di MBKT.
“Selain itu, duit itu juga sebagai duit raya kepada mereka sempena Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Menurut Mustafa lagi, isterinya, Wan Mahani Wan Omar, 57, yang tidak berada di rumah ketika kejadian turut kehilangan sejumlah wang tunai yang disimpan di dalam bilik.
“Duit itu adalah duit simpanan peribadi isteri saya dan tidak sangka pula selepas menyimpan begitu lama, duit itu hangus begitu sahaja,” ujarnya.
Menceritakan mengenai kejadian, Mustafa berkata, dia ketika itu berada di beranda rumah sebelum terdengar bunyi meletup dan apabila diperiksa api sudah marak di bahagian dapur.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Kamerul Bieza Mohamad Kassim berkata, seramai 16 anggota bersama tiga jentera dikerahkan ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan kira-kira pukul 11.37 pagi.
Katanya, api dapat dikawal lima minit kemudian dan punca kebakaran masih disiasat.