Pages

Friday, March 25, 2011

Syria terus tegang





2011/03/25

37 lagi maut ditembak anggota keselamatan

DERAA: Polis Syria melancarkan serangan tanpa henti ke atas sebuah kawasan yang melindungi penunjuk perasaan antikerajaan, menembak mati sekurang-kurangnya 37 orang dalam satu operasi sebelum fajar. 

Anggota keselamatan melepaskan tembakan ke arah beratus-ratus belia di utara pintu masuk ke Deraa menjadikan 43 orang awam terbunuh sejak Jumaat lalu.
“Kami menerima semua mayat itu pada 5 petang semalam. Semuanya ada kesan ditembak,” kata seorang pegawai hospital. Kelmarin, enam terkorban dalam serangan di masjid al-Omari selepas penunjuk perasaan berarak di jalanan menggesa pembaharuan dan kebebasan berpolitik, kata saksi.
Seorang aktivis yang berhubung dengan penduduk di sini berkata, polis menembak tiga lagi yang membantah di pusat bandar era Roman itu selepas matahari terbenam. Enam lagi mayat ditemui kemudian, kata aktivis. 

Protes dipercayai daripada gelombang bantahan prodemokrasi di seluruh rantau Arab ketika ini. Anggota keselamatan bertindak melepaskan meriam air, gas pemedih mata, peluru getah dan peluru hidup terhadap penunjuk perasaan. 

Ketika mangsa yang maut meningkat, penduduk dari perkampungan berhampiran iaitu Inkhil, Jasim, Khirbet Gazaleh dan al-Harrah cuba berarak ke sini malam kelmarin, namun ditembak anggota keselamatan. 
Aktivis demokrasi menggunakan laman web sosial menggesa demonstrasi besar-besaran di seluruh negara hari ini, hari yang mereka gelar ‘Jumaat Bermaruah.’ 

Jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Mark Toner, berkata Washington terkejut dengan keganasan dan ‘amat bimbang penggunaan kekerasan oleh kerajaan Syria, penindasan dan penahanan tanpa undang-undang bagi menghalang keupayaan rakyat melahirkan harapan mereka.’ 

Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Syria berpusat di London melaporkan dalam laman webnya memetik sumber di sini bahawa pihak berkuasa Syria menembak dan membunuh anggota tentera Khaled al-Masri kerana enggan mematuhi arahan mengambil bahagian dalam serbuan di masjid al-Omari. 

Televisyen tempatan menuduh sekumpulan ‘samseng bersenjata’ menyerang ambulans di bandar ini dan pasukan keselamatan membunuh empat penyerang dan mencederakan penduduk lain serta mengejar mereka yang melarikan diri. 

Ia menafikan bahawa pasukan keselamatan menyerbu masjid, namun turut menunjukkan rakaman senjata, AK-47, bom tangan, peluru dan wang yang didakwanya dirampas dari dalam. – AP 

Angka korban gempa bumi Myanmar meningkat


GEMPA bumi berukuran 6.8 magnitud menyebabkan kerosakan jalan raya di Tarlay, Myanmar, hari ini. Sekurang-kurangnya 74 orang terkorban manakala siri gegaran mencetuskan keadaan cemas tetapi tiada kerosakan teruk di beberapa negara sekitar Asia Tenggara. - Foto Reuters
bharian



2011/03/25

YANGON: Gempa bumi kuat yang merobohkan kediaman di timur laut Myanmar mengakibatkan kematian lebih 60 orang dan dibimbangi jumlah itu akan meningkat memandangkan keadaan di kawasan pedalaman tidak diketahui.

Kejadian gempa bumi malam semalam, berukuran 6.8 magnitud berlaku di utara bandar Tachileik iaitu kawasan pergunungan di sepanjang sempadan Thailand tetapi gegaran dapat dirasai beratus-ratus kilometer di Bangkok, Thailand dan Hanoi, Vietnam.
Radio kebangsaan Myanmar mengumumkan hari ini bahawa 65 orang terkorban dan 111 mengalami kecederaan akibat gempa itu tetapi angka berkenaan dikemas kini setiap masa.
Katanya, 244 rumah, 14 biara Buddha dan sembilan bangunan kerajaan mengalami kerosakan. - AP 

Kesan radiasi loji nuklear Jepun sehingga jarak 30 kilometer


25/03/2011 12:09pm


TOKYO 24 Mac - Kesan radiasi daripada loji nuklear Jepun di Fukushima kini dikesan sehingga jarak 30 kilometer daripada lokasi loji berkenaan, lapor agensi berita Kyodo. - Reuters

Israel balas serangan roket Hamas



BAITULMAKDIS: Pesawat-pesawat perang Israel menyerang sasaran- sasaran Hamas di Gaza awal semalam, sebagai membalas serangan roket ke atas bandar-bandar Israel, dalam ketegangan yang memuncak ekoran satu letupan bom pertama yang telah menjadikan warga Israel sasaran di Baitulmakdis sejak beberapa tahun kebelakangan.
Satu letupan yang dikatakan angkara militan Palestin di sebuah perhentian bas di Baitulmakdis kelmarin membunuh seorang wanita dan mencederakan 24 orang.Kejadian itu meningkatkan kebimbangan bahawa satu tempoh tenang akan berakhir dengan pudarnya harapan rundingan damai.Keganasan meningkat baru-baru ini sejak insiden sekeluarga penduduk Yahudi ditikam mati ketika mereka tidur pada awal bulan ini dan kelmarin pula, tindakan Israel membalas serangan roket ke kawasan Hamas yang turut mengorbankan beberapa orang awam di Gaza.Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, telah memberi amaran kepada militan supaya jangan mencabar 'azam kukuh' Israel, dan berikrar melancarkan serangan hebat bagi membalas pengeboman itu.'Sejak pemerintah ini dibentuk, kami ada dasar keselamatan yang jelas iaitu balasan yang segera dan agresif terhadap apa sahaja langkah membunuh warga Israel,' katanya.Sebagai balasan, pesawat perang Israel telah menyerang beberapa kemudahan Hamas dan terowong penyeludupan di Gaza, kata Hamas. -- AP.

Mubarak didakwa bunuh penunjuk perasaan

Panel siasat insiden ganas juga dakwa mantan menteri dalam negeri dengan tuduhan sama
KAHIRAH: Satu jawatankuasa Mesir yang dibentuk untuk menyiasat kejadian ganas semasa tunjuk-tunjuk perasaan yang menggulingkan Encik Hosni Mubarak telah mengenakan tuduhan membunuh ke atasnya.
Mantan presiden itu didakwa membunuh penentang-penentangnya, menurut satu akhbar negara itu.Jawatankuasa itu juga telah mengemukakan dakwaan ke atas mantan menteri dalam negeri atas kesalahan mengarahkan polis supaya melepaskan tembakan ke arah para penunjuk perasaan, kata akhbar Al Ahram kelmarin.Pendakwa raya merujuk mantan menteri dalam negeri, Encik Habib al-Adli, dan empat lagi pegawai kanan berpangkat tinggi untuk dibicarakan atas tuduhan membunuh penunjuk perasaan, mengganggu kestabilan dan menyebabkan 'kacau-bilau dalam negara' hingga menjejas ekonomi Mesir, kata satu kenyataan.Lebih 360 orang terbunuh dalam pemberontakan itu dan beribu-ribu yang lain cedera apabila polis melepaskan tembakan peluru getah, peluru hidup, meriam air dan gas pemedih mata untuk menyuraikan para penunjuk perasaan yang membantah secara aman itu.Jawatankuasa pencarian fakta telah menyerahkan hasil penyiasatan mereka kepada pejabat pendakwa raya sambil menyatakan bahawa Encik Mubarak, sebagai ketua pemerintah ketika itu, bertanggungjawab atas jenayah yang telah menyebabkan kematian para penunjuk perasaan tersebut.Mantan menteri dalam negeri itu pula didakwa bertanggungjawab mengundurkan anggota-anggota polis dari jalanjalan raya selepas 28 Januari apabila perusuh bertempur secara ganas dengan pasukan keselamatan dan pasukan tentera dikerahkan supaya campur tangan.Ramai warga Mesir mempersoalkan mengapa polis, malah polis trafik, tidak kelihatan ketika itu.Ada yang menuduh Encik Adli sengaja mengundurkan pasukan keselamatan kerana mahu mencetuskan huru-hara dan keadaan tanpa kawalan keselamatan.Berpuluh-puluh bangunan penjara di sekitar negara itu pula telah dipecah masuk.Media bebas Mesir berkata Encik Adli telah mengarahkan para pegawai agar tidak mengawal penjara-penjara seperti biasa.Malah, ada yang menuduh mantan menteri dalam negeri itu sengaja membiarkan para penjenayah melarikan diri.Rakyat Mesir mengadu tiada seorang pun anggota pasukan keselamatan mengawal keadaan selama sebulan.Akibatnya mereka 'diancam' penjenayah-penjenayah yang melakukan pencurian, serangan bersenjata ke atas rakyat dan harta benda, malah memecah masuk beberapa sekolah.Encik Adli sudah pun menghadapi perbicaraan atas tuduhan membazirkan wang rakyat dan melaburkan wang secara haram. -- Reuters.

Penduduk Mexico 'temui' bulatan tanaman aneh

BEBERAPA orang penduduk setempat meninjau salah satu daripada lima 'bulatan tanaman' aneh yang dikesan di sebuah ladang bijirin di bandar Tlapanoloya, berdekatan Mexico City, kelmarin.Lima bulatan yang serupa turut dikesan di sebuah ladang berdekatan.Bulatan-bulatan itu mula dikesan hujung minggu lalu. -- Foto REUTERS

NATO kuatkuasa zon larangan terbang di Libya


2011/03/25

BRUSSELS: Setiausaha Agung NATO, Anders Fogh Rasmussen hari ini berkata, tentera Bersekutu sudah mempersetujui untuk menguatkuasakan zon larangan terbang di Libya sebagai sebahagian usaha "melindungi orang awam". 

Selepas diheret ke meja perundingan yang berlanjutan beberapa hari, anggota NATO terutama Turki menolak tindakan seranagn udara terhadap rejim Muammar Gaddafi namun 28 anggota badan itu akhirnya bersetuju untuk bertindaka bersama menguatkuasakan zon larangan terbang itu.
“Kami kini sudah mencapai keputusan untuk menguatkuasakan zon larang terbang di Libya.
“Kami mengambil keputusan ini sebagai sebahagian langkah badan antarabangsa untuk melindungi keselamatan orang awam," kata Rasmussen. 

AS minta tentera Libya usah patuhi arahan Gaddafi


2011/03/25

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) hari ini meminta tentera Libya jangan tunduk dengan arahan Presiden Muammar Gaddafi selepas masuk hari keenam serangan udara dilancarkan tentera Bersekutu ke atas Tripoli dan bandar lain. 

“Mesej kami adalah mudah, letakkan senjata, berhenti daripada berbunuh sesama sendiri dan jangan patuhi lagi arahan Kolonel Gaddafi," kata Naib Panglima Tentera AS, William Gortney kepada pemberita selepas mengadakan taklimat di Pentagon.


-Bharian

Syria bebaskan tahanan politik, mansuh Undang-Undang Darurat


2011/03/25

DAMSYIK: Kerajaan Syria pimpinan Presiden Bashar al-Assad hari ini berjanji akan memansuhkan Undang-Undang Darurat yang digunakan sejak 1963 dengan mengumumkan semua aktivis yang ditahan bulan ini dibebaskan. 

“Mengikut arahan Presiden Bashar al-Assad, semua tahanan dalam kejadian baru-baru ini (tunjuk perasaan) akan dibebaskan," menurut satu pengumuman yang disiarkan di televisyen.
Sementara itu, satu badan bukan kerajaan yang berpusat di London yang dikenali Badan Pemantau Hak Kemanusiaan Syria mengesahkan pembebasan semua tahanan ketika tunjuk perasaan di Daraa sebelum ini.
Beberapa jam seleas itu, Penasihat Presiden, Buthaina Shaaban berkata parti pemerintah, Parti Baath sudah bersetuju untuk menarik penguatkuasaan Undang-Undang Darurat, selain menjalankan pembaharuan, menaikkan kadar upah pekerja dan membenarkan penubuhan parti politik. - AFP 

Lebih 350 pesawat untuk operasi serangan Libya:AS


2011/03/25

WASHINGTON: Lebih 350 pesawat kini digunakan dalam operasi serangan udara bersama tentera Bersekutu ke atas Libya, dengan separuh daripadanya membabitkan angkatan tentera Amerika Syarikat (AS). 

“Kekuatan tentera Bersekutu semakin meningkat dari segi saiz dan kemampuan," kata Naib Laksamana Angkatan Tentera AS, William Gortney.
Beliau berkata, lebih 350 pesawat terbabit dalam operasi di Libya dengan hampir separuh daripadanya milik AS.

Angka terbaru korban bencana di Jepun cecah 10,000 orang


2011/03/25

TOKYO: Polis Jepun hari ini mengeluarkan angka terbaru angka korban akibat gempa bumi dan tsunami dua minggu lalu kini mencecah 10,000 orang.
Jabatan Polis Jepun berkata, lebih 17,440 orang lagi mangsa masih dilaporkan hilang akibat bencana itu. - AP

Eksentrik seorang Muammar Gaddafi






BEKAS Presiden Amerika Syarikat (AS), Ronald Reagan pernah menggelar lelaki itu, anjing gila dari Timur Tengah, manakala Presiden Sudan, Gaafar Nimeiry pula menggelarkannya sebagai lelaki dengan dua personaliti, tetapi kedua-duanya adalah jahat.
Dengan riak wajah yang bengis diiringi renungan tajam yang menggerunkan, gelaran-gelaran tersebut hakikatnya bukanlah asing untuk Pemimpin Libya, Muammar Gaddafi. Namun, gelaran bersifat antagonis itu sebenarnya banyak disumbangkan oleh ideologi, gaya kepimpinan, kelantangan bersuara, kekejaman dan seterusnya kerakusan hati seorang pemimpin dunia.
Memimpin sebuah negara yang kaya dengan sumber minyak di utara Afrika selama 42 tahun, tempoh tersebut mungkin terlalu lama untuk Gaddafi.
Atas sebab itulah, apabila negara-negara Arab bergolak dengan kebangkitan rakyat bermula di Tunisia, Jordan dan Mesir, tempias kemarahan rakyat kepada pemerintahan yang terus memewahkan Gaddafi turut melanda pemimpin itu sejak 15 Februari lalu.
Jika rakyat Mesir hanya memerlukan 14 hari untuk menumbangkan Presiden Hosni Mubarak, ternyata dengan kekuatan tentera dan sokongan padu penyokong kuatnya, pemimpin berusia 69 tahun itu tidak mudah mengangkat bendera putih.
Penggunaan kuasa tentera oleh Gaddafi menyaksikan empat hari lalu, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diketuai AS dan sekutunya Britain dan Perancis membenarkan serangan dari laut dan udara atas alasan untuk melindungi penduduk awam Libya.
Lampu hijau PBB itu sejak Sabtu lalu menyebabkan peluru berpandu canggih Tomahawk mula menerjah bumi Libya. Terbaru, bedilan demi bedilan peluru berpandu AS dan sekutunya turut meranapkan kediaman tiga tingkat yang dihuni Gaddafi.

KEPALA seekor kambing digantungkan pada hujung muncung sebuah kereta kebal milik tentera Gaddafi yang dimusnahkan pemberontak dalam satu serangan di sebuah lokasi di Benghazi dan Ajdabiyah.


“Ia pengeboman yang kejam,” ujar jurucakap kerajaan Libya, Mussa Ibrahim yang mengutuk serangan itu sambil menegaskan ia bertentangan dengan kenyataan AS dan Barat yang menyatakan tidak akan menjadikan lokasi itu sebagai sasaran. Enggan mendedahkan lanjut lokasi persembunyian Gaddafi, Mussa turut tidak menyatakan sama ada pemimpin tersebut berada di kediaman itu semasa pengeboman tersebut.
Apa yang pasti, kebangkitan rakyat sendiri diketuai pemimpin pembangkang, kemarahan dunia dan serangan demi serangan AS dan sekutunya meletakkan nasib Gaddafi kini bagaikan telur di hujung tanduk.
Meraih sokongan
Ia sama sekali bertentangan dengan zaman kegemilangan yang pernah dikecapi oleh Gaddafi. Menurut Ketua Jabatan Sains Politik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Tunku Mohar Tunku Mohd. Mokhtar, pada tahun 1970-an semasa kebangkitan dunia Islam di Asia Barat, Gaddafi pernah disanjung sebagai seorang hero.
Dengan kelantangannya memberi sokongan terhadap perjuangan menentang Israel dalam membela penindasan terhadap penduduk Palestin, Gaddafi meraih bukan sedikit sokongan masyarakat Islam.
Dilahirkan di dalam khemah puak Badwi berdekatan Sirt pada tahun 1942, dia mendapat pendidikan seperti kanak-kanak lain di sekolah Islam.
Memasuki Akademi Tentera Libya pada tahun 1961, kekecewaan dengan kepimpinan dunia Arab yang dimalukan oleh Israel menyebabkan Gaddafi mempunyai ideologi tersendiri.
Impian pegawai tentera muda itu ketika itu mahu menyatukan dunia Arab dalam satu perikatan dan menyingkirkan sistem pemerintahan monarki Libya di bawah Raja Idris.
Mengetuai sekumpulan pegawai tentera muda yang sarat dengan semangat juang ketika itu, Gaddafi berjaya merampas kuasa membentuk Republik Arab Libya.

KONVOI terdiri daripada 18 trak yang membawa bantuan kemanusiaan ke Benghazi melepasi sebuah kereta kebal tentera Libya.


“Penghasilan sebuah buku bertajuk The Green Book pada tahun 1975 oleh Gaddafi yang menyatakan inspirasi beliau mengenai demokrasi, ekonomi dan sosial sebuah negara Islam membolehkan Gaddafi mendapat pujian ramai,” ujar Tunku Mohar ketika dihubungi.
Sementara itu, Pakar Sains Politik Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Jayum A. Jawan menyatakan, Gaddafi menjadi hero di mata penduduknya dan dunia apabila menjadikan AS sebagai musuh ketat pada awal pemerintahannya.
“Gaddafi seorang pemimpin yang bijaksana. Selepas menyingkirkan pemerintahan diraja melalui satu revolusi ketenteraan dan berjaya membentuk Republik Arab Libya, Gaddafi menjadikan AS sebagai musuh ketat. Ia menjadi satu ideologi yang sangat berjaya menyatukan penduduk Libya yang berpuak-puak,” ujar beliau.
Bagaimanapun, katanya mungkin selepas empat dekad, Gaddafi yang dikenali rakyatnya dan dunia merupakan individu yang berbeza.
Salah guna kuasa
Ujar Tunku Mohar, Gaddafi ialah seorang pemimpin yang eksentrik dan mempunyai keyakinan yang sangat tinggi selain sentiasa mengekalkan semangat Badwi.
Namun, selepas tekanan dunia apabila dikaitkan dengan pengeboman pesawat Pan Am Flight 103 yang membunuh 270 orang pada tahun 1988 di Lockerbie, Scotland, ia menjadi titik tolak kepada perubahan pendekatan dasar luar lelaki itu yang juga dipanggil Kolonel Gaddafi.
Nada keras Gaddafi tidaklah sekuat dahulu, walaupun adakalanya tetap sinis terhadap dunia Barat.
Bahkan, Gaddafi juga mula menunjukkan belangnya mengenai pemerintahannya yang lebih kepada sekularisme dan tidak pro Islamik.
“Walaupun The Green Book memperlihatkan perjuangan Gaddafi sebagai seorang pemimpin Islam, tetapi retorik keagamaan yang dibawa Gaddafi sukar dibendung kerana sifat penyalahgunaan kuasa, kekejaman, mengumpul kemewahan dan kaki perempuan semakin terserlah.
“Malah, dalam setiap programnya di luar negara, Gaddafi tanpa segan silu meminta sekurang-kurangnya seorang wanita untuk berdamping dengannya,” ungkap Tunku Mohar yang menjelaskan lagi gaya eksentrik Gaddafi.

SERANGAN bertalu-talu tentera AS dan sekutunya ke atas kubu tentera Gaddafi di sebuah lokasi antara Benghazi dan Ajdabiyah di Libya.


Pemimpin itu sendiri menubuhkan satu batalion yang terdiri daripada pengawal peribadi wanita yang digelar media Barat sebagai Amazonian Guard untuk menjaga keselamatannya.
Menambahkan keanehan sikap Gaddafi, selain dipilih sendiri oleh dirinya, anggota pasukan pengawal itu juga haruslah masih dara.
Kemuncak kepada kemarahan rakyat, apabila pada saat rakyatnya hidup dalam kemiskinan, kadar pengangguran yang tinggi, Gaddafi didapati memiliki harta berjumlah AS$60 bilion (RM182.64 bilion).
“Walaupun ini mungkin satu alasan kepada AS dan sekutunya membalas dendam kepada kelantangan dan kekejaman Gaddafi, bagaimanapun kebangkitan rakyat menentang pemerintahan pemimpin itu memang tidak boleh disangkal lagi.
“Selama empat dekad pemerintahannya, rakyat Libya telah dididik dengan ideologi Gaddafi termasuk silibus khas The Green Book dan bahasa Inggeris dikeluarkan daripada mata pelajaran di sekolah.
“Bagaimanapun, apabila dunia semakin moden, pendedahan rakyat Libya terhadap media seperti Al-Jazeera serta Internet akhirnya membuka mata mereka untuk melawan Gaddafi,” kata seorang penganalisis politik tempatan.
-kosmo

Ambil kesempatan di bumi bergolak




HAMPIR setiap siri peperangan di negara asing akan diketuai AS menguatkan lagi keangkuhannya dengan gelaran Polis Dunia.


TATKALA kesengsaraan dihadapi rakyat Jepun yang dilanda ombak besar tsunami dan gempa bumi masih segar dalam ingatan masyarakat dunia, masyarakat antarabangsa dikejutkan pula dengan petaka baru iaitu peperangan di Libya.
Amerika Syarikat (AS) dengan gelaran 'Polis Dunia' bersama sekutunya melancarkan serangan bertali arus ke atas Libya dalam usaha menjatuhkan Presidennya, Muammar Gaddafi.
Senario tersebut bukanlah kali pertama menyaksikan Polis Dunia itu bertindak sebagai 'pengaman' dalam usaha memastikan keamanan dunia dan negara diserang hidup bebas daripada pemerintah kuku besi.
Antara beberapa negara lain yang pernah menyaksikan AS dan sekutunya bertindak sebagai Polis Dunia termasuklah Jepun, Vietnam, Afghanistan, Iraq dan banyak lagi.
Serangan ke atas Libya mula dilakukan pada 18 Mac lalu, selepas Polis Dunia mendapat tiket daripada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dengan sokongan Liga Arab yang meluluskan resolusi tindakan ketenteraan bagi menghalang Gaddafi membunuh rakyatnya yang memberontak.
Resolusi yang diluluskan dengan sokongan AS, Perancis dan Britain itu turut membabitkan penguatkuasaan zon larangan terbang ke atas Libya dan membenarkan penggunaan tentera darat bagi melindungi orang awam daripada tentera Gaddafi.

AS dan sekutunya berjaya menjatuhkan dan membunuh Presiden Saddam dalam serangan pada tahun 2003.


Perbelanjaan perang AS
Campur tangan Barat terbesar di dunia Arab sejak serangan AS dan sekutunya ke atas Iraq pada 2003 itu telah mengakibatkan Libya dibedil secara besar-besaran melalui laut dan udara untuk melumpuhkan pentadbiran Gaddafi.
Bagaimanapun, kerakusan tentera bersekutu dalam menyerang Libya terutama AS bakal menyaksikan operasi serangan mencecah sehingga berbilion ringgit dan memerlukan Pentagon memohon dana kecemasan daripada Kongres.
Pada hari pertama Operasi Odyssey Dawn, AS membelanjakan lebih AS$100 juta (RM303 juta) hanya untuk peluru berpandu yang dilancarkan di Libya.
Tentera AS yang mengetuai serangan tersebut turut mengepam jutaan ringgit lagi untuk melumpuhkan tapak pertahanan udara dan darat di pesisir pantai Libya.
Jurucakap Pentagon bagaimanapun menjelaskan, mereka tidak boleh menganggarkan kos secara rasmi sehingga kini. Pentadbiran Barack Obama mengatakan operasi yang dilancarkan di Libya menggunakan peruntukan sedia ada iaitu peruntukan perbelanjaan peperangan AS$150 juta (RM454 juta).
"Kami tidak bercadang memohon peruntukan tambahan buat masa ini," kata jurucakap Pejabat Pengurusan dan Belanjawan, Kenneth Baer.
Bagaimanapun, Pentagon mungkin terpaksa meminta Kongres untuk menambah peruntukan kewangan mereka satu masa nanti. Beberapa penggubal undang-undang juga berpendapat, AS tidak mampu untuk campur tangan di Libya.
"Bukan sahaja serangan ketenteraan di Libya tidak mendapat kelulusan Kongres seperti mana termaktub dalam perlembagaan AS tetapi, melibatkan kos yang tinggi," kata ahli Kongres Parti Republikan yang mewakili negeri Michigan, Justin Amash.



"Kita tidak perlu membazir wang yang sememangnya tiada untuk sesuatu peperangan tidak diperlukan," katanya.
Sementara itu, Penganalisis Kanan Pusat Strategik dan Taksiran Belanjawan, Zack Cooper, berkata, perbelanjaan penguatkuasaan zon larangan terbang sahaja boleh mencecah sehingga AS$800 juta dan AS$100 juta (RM302 juta) lagi untuk mengekalkannya.
"Kos semakin meningkat. Harga bagi menggantikan jet pejuang yang terhempas Selasa lalu dengan model terbaru lebih canggih boleh mencecah sehingga jutaan ringgit.
"Bahkan, harga bahan api setiap kali jet pejuang ke udara menelan kos sebanyak AS$10,000 (RM30,280) bagi setiap jam penerbangan," kata Cooper.
Askar AS di bumi asing
Menyingkap kembali sejarah negara kuasa besar yang bertindak sebagai Polis Dunia, dahulunya tugas tersebut lebih dahulu dipimpin Britain yang mengepalai Kuasa Berikat yang turut dianggotai Perancis, Rusia, China dan Amerika Syarikat.
Bahkan, semasa Perang Dunia Pertama pada tahun 1914, pada asalnya AS mahu kekal sebagai negara neutral. Hanya dalam Perang Dunia Kedua yang tercetus pada 1939, AS mula melibatkan diri secara aktif Kuasa Berikat untuk berperang dengan Kuasa Paksi yang terdiri daripada Jerman, Jepun dan Itali.
Perang Dunia Kedua menjadi antara peperangan yang paling memakan belanja paling tinggi kepada AS. Pada tahun 1942, AS menghantar jutaan anggota tentera dan ribuan pesawat perang dan kereta kebal ke Britain. Bagaimanapun, dua peristiwa yang tidak mungkin dilupakan sejarah, apabila tindakan Jepun membedil Pearl Harbor, membangkitkan kemarahan AS yang kemudian membalas dengan bom atom ke atas Hiroshima dan Nagasaki.
Taring AS sebagai Polis Dunia selepas itu semakin menjadi-jadi. Antara peperangan besar yang diketuai AS di bumi asing termasuklah dalam Perang Vietnam yang berlangsung di antara tahun 1957 hingga 1975.

MESKIPUN tidak mendapat sokongan sekutu rapatnya Britain, AS tetap melancarkan serangan ke bumi Vietnam pada tahun 1957.


Dalam peperangan itu, AS mengetuai negara lain seperti Australia, New Zealand, Thailand, Korea Selatan dan Filipina. Menariknya, sekutu AS, Britain dan Kanada menolak untuk bersama dalam perang tersebut.
Selepas lebih 57,000 orang terbunuh AS dan sekutunya keluar dari Vietnam pada tahun 1973 tanpa kemenangan yang jelas. Ia antara perang yang telah memalukan AS di mata antarabangsa.
Konflik Perang Teluk pada tahun 1990 menyaksikan penglibatan besar-besaran AS apabila mengepalai 34 buah negara untuk berperang dengan Iraq.
Ketika itu, dunia mahu menyelamatkan Kuwait yang diserang pasukan Iraq.
Beberapa tahun selepas itu, kemarahan AS nampaknya tidak surut ke atas Iraq atau lebih tepat lagi Presidennya, Saddam Hussein. Menggempur Iraq buat kali kedua pada tahun 2003, AS bukan sahaja berjaya menumbangkan Saddam bahkan, menamatkan riwayat presiden itu.
Yang pasti, dengan rekod 'cemerlang' AS sebagai Polis Dunia, nampaknya negara itu akan terus angkuh memikul tanggungjawab itu. Persoalannya, sejauh manakah ikhlasnya AS sebagai Polis Dunia?
-kosmo

Sekurang-kurang 25 terbunuh dalam kejadian gempa di Myanmar


25/03/2011 10:59am


YANGON 25 Mac - Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh apabila gempa kuat 6.8 skala richter menggoncang Myanmar di kawasan berhampiran sempadan Thailand.
Gegarannya itu dapat dirasakan sehingga ke Bangkok yang terletak hampir 800 kilometer.
Pihak berkuasa Myanmar menyatakan banyak mangsa terkorban di bandar Tarlay iaitu 10 lelaki, seorang kanak-kanak dan 13 orang wanita. - AFP

Mangsa banjir bertambah


Oleh ANI AWANG


IPOH 24 Mac - Jumlah mangsa banjir di daerah Kerian meningkat kepada 359 orang hari ini berbanding 340 orang semalam.
Ketua Polis Daerah Kerian, Supritendan Fauzi Mat Nayan berkata, kesemua mangsa masih berada di lima pusat pemindahan iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Pongsu, SK Bukit Merah dan Dewan Orang Ramai di Alor Pongsu, Dewan Batu 38 Parit Abu Hasan serta Dewan Batu 40 Bukit Merah.
Katanya, mangsa terlibat terdiri daripada 168 penduduk di Kampung Alor Setanggok, Batu 37/38 Jalan Keretapi (48 orang), Kampung Parit Ban Abu Hasan (46), Kampung Parit Abu Hasan (31).
Kampung lain ialah Batu 40 Bukit Merah dengan 44 orang, Parit Mat Keling (4), Kampung Perlis (2), Kampung Tebuk Pancur (8) dan Kampung Parit Ayer Hitam lapan orang.
"Kampung terlibat dinaiki air sedalam 0.5 meter hingga satu meter berikutan air dari empangan Bukit Merah yang dilepaskan akibat hujan lebat sejak empat hari lalu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Fauzi berkata, jalan raya di Batu 38 Jalan Alor Pongsu-Selama masih ditutup kepada kenderaan ringan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perak, Chong Phaik Kee berkata, semua cuti kakitangan JKM di daerah yang dilanda banjir telah dibekukan berkuat kuasa serta merta bagi membolehkan semua urusan berkaitan berjalan lancar.
"Kita telah memberikan bantuan awal seperti makanan dan selimut kepada mangsa yang dipindahkan di pusat-pusat pemindahan banjir," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, pihaknya akan menjalankan siasatan mengenai kerugian yang dialami mangsa akibat kejadian banjir itu.

Tentera Amerika dipenjara 24 tahun



TACOMA Washington 24 Mac - Seorang daripada lima orang tentera Amerika Syarikat (AS) yang mula dibicarakan atas dakwaan membunuh lima orang awam Afghanistan yag tidak bersenjata pada tahun lalu dijatuhkan hukuman penjara 24 tahun selepas mengaku bersalah atas ketiga-tiga pembunuhan terancang itu.
Akuan bersalah dan hukuman yang dijatuhkan ke atas Jeremy Morlock, 23, dari Wasilla, Alaska itu menanda satu titik perubahan dalam satu tuduhan paling serius yang dilakukan oleh tentera AS dalam tempoh 10 tahun peperangan di Afghanistan.
Majalah German, Der Spiegel minggu ini menyiarkan beberapa gambar berkaitan pembunuhan itu dan salah satu gambar menunjukkan Morlock membongkok dan tersenyum lebar di sisi mayat yang berdarah sambil mengangkat kepala mangsa itu.
Hakim ketenteraan yang mengetuai kes itu, Leftenan Colonel Kwasi Hawk, menerima pengakuan bersalah Morlock di Kem Bersama Lewis-McChord berdekatan Tacoma dan menjatuhkan hukuman penjara selama 24 tahun ke atas Morlock.
Hakim turut mengarahkan tempoh hukuman penjara ke atasnya dikurangkan hampir setahun setelah mengambil kira tempoh dia ditahan sejak menghadapi tuduhan itu selain layak untuk parol dalam tempoh tujuh tahun.
Morlock yang turut dilucutkan jawatan dalam tentera dalam keadaan mengaibkan berdiri senyap ketika hakim mengumumkan hukuman ke atasnya dan tidak menunjukkan sebarang reaksi berhubung hukuman tersebut.
Di awal perbicaraan, dia telah membaca kenyataan meminta maaf kepada keluarga mangsa terbabit dan rakyat Afghanistan dengan menyatakan dia hilang pedoman.
Dalam akuan bersumpahnya ketika perbicaraan, Morlock mengaitkan empat orang lagi tentera daripada unit infantrinya yang digelar 'pasukan membunuh' dan bersetuju untuk memberi keterangan terhadap mereka jika dipanggil untuk menjadi saksi apabila kes mereka dibicarakan di mahkamah tentera nanti. - Reuters

Seoul lancar latihan menembak




Helikopter Korea Selatan jenis AH-1S Cobra melepaskan tembakan daripada mesingan dalam latihan menembak besar-besaran di Pocheon, 65 kilometer ke timur laut Seoul, semalam. - AFP


SEOUL 24 Mac - Korea Selatan hari ini melancarkan latihan tembakan peluru hidup secara besar-besaran berhampiran dengan sempadan Korea Utara, sempena ulang tahun pertama tenggelamnya kapal perang Cheonan miliknya bersama 46 krewnya.
Menurut Kementerian Pertahanan, kereta kebal, kenderaan pengangkut senjata, meriam, helikopter dan jet pejuang mengambil bahagian dalam latihan itu di Pocheon, 30 kilometer ke selatan sempadan.
Latihan itu diadakan sehari selepas tentera Korea Utara mengancam untuk bertindak balas kepada rancangan penyebaran risalah oleh aktivis antiPyongyang berhampiran pertikaian sempada, Laut Kuning.
Korea Selatan turut mengadakan latihan di laut selama seminggu yang bermula Isnin lalu sebagai mengingati peristiwa kapal perang Cheonan yang karam pada 26 Mac tahun lalu yang didakwa terkena peluru berpandu Korea Utara.
Latihan itu termasuk tiga hari latihan kapal perang dan jet pejuang bermula esok, simulasi serangan oleh kapal selam, kapal laut dan jet pejuang Pyongyang.
Latihan tembakan besar-besaran oleh tentera laut akan diadakan Sabtu ini di tiga lokasi di luar semenanjung Korea.
Seoul yang secara teknikalnya masih berperang dengan Korea Utara sejak konflik 60 tahun lalu memberitahu bahawa latihan itu diadakan sebagai tindakan mempertahankan diri.
Ketegangan antara kedua-dua negara berjiran ini meningkat sejak Pyongyang membedil pulau Yeonpyeong pada 23 November lalu menyebabkan empat rakyat Korea Selatan terbunuh.
Korea Selatan hari ini turut melancarkan kapal pemusnah ketiga yang dilengkapi radar berteknologi tinggi Aegis serta sistem kawalan senjata.
Menurut tentera laut, senjata pemusnah KDX-III dikenali sebagai Seoae Ryu Seong- ryong itu akan mula digunakan pada Mac tahun depan selepas operasi ujian selama setahun.
KDX III sepanjang 166 meter itu boleh membawa 120 peluru berpandu dan torpedo pada sistem pelancar tegaknya, lapor agensi berita Yonhap. - AFP

Abu Bakar Bashir nafi tahu komplot



JAKARTA 24 Mac - Guru agama radikal Indonesia, Abu Bakar Bashir menafikan beliau mengetahui mengenai rancangan untuk menggulingkan kerajaan, selepas beliau dinamakan sebagai majlis penasihat dalam barisan Kabinet alternatif yang didraf oleh Forum Masyarakat Islam (FUI).
Abu Bakar berkata, beliau tidak tahu-menahu mengenai pergerakan yang dikenali sebagai Majlis Revolusi Islam atau rancangan rampasan kuasa itu.
"Saya tidak menentang Presiden Susilo Bambang Yudhoyono. Beliau boleh memerintah negara ini selagi Indonesia berpegang kepada undang-undang Islam," kata Abu Bakar menjelang pendengaran kes beliau di Mahkamah hari ini kepada Jakarta Post. - AGENSI

Presiden Yemen sedia letak jawatan



SANAA 24 Mac - Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh semalam mengumumkan kesediaannya untuk meletak jawatan menjelang akhir tahun ini bagi meredakan pemberontakan, tetapi tawarannya itu tidak diendahkan oleh kumpulan pembangkang.
"Pada saat bersejarah ini, Yemen memerlukan kebijaksanaan untuk mengelak keganasan berterusan yang akan menyebabkan negara berhadapan keadaan berbahaya," kata Saleh dalam surat yang diserahkan kepada kumpulan pembangkang.
Kumpulan pembangkang yang awal semalam menyeru protes besar-besaran diadakan esok untuk memaksa Saleh berundur memberitahu, mereka sedang meneliti tawaran itu.
Protes berminggu-minggu menentang pemerintahan Saleh selama 32 tahun meningkatkan kebimbangan negara-negara Barat berhubung masa depan negara ini, tempat di mana al-Qaeda berkubu. - REUTERS

Radiasi: Singapura haramkan produk makanan dari Jepun



25/03/2011 2:28am

SINGAPURA 25 Mac – Pihak berkuasa Makanan Pertanian dan Veterinar Singapura (AVA) telah menggantung pengimportan susu dan produk susu, buah-buahan dan sayuran, makanan laut serta daging dari wilayah Fukushima, Ibaraki, Tochigi dan Gunma di Jepun.
“Tindakan berkuat kuasa serta merta itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga berikutan perkembangan terbaru di Jepun,” kata AVA dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pihaknya telah menerima maklumat dari Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun bahawa mereka telah mengesan tahap radioaktif yang tinggi dalam produk susu mentah dan sayur-sayuran dari wilayah berkenaan. - Agensi

Stefani hulur AS$1j



Gwen Stefani


LOS ANGELES 24 Mac – Penyanyi Gwen Stefani menyumbang sebanyak AS$1 juta (RM3 juta) kepada Tabung Kecemasan untuk Kanak-kanak Gempa Bumi-Tsunami Jepun bagi membantu mengurangkan penderitaan dan memulihkan semangat mereka.
“Selama ini saya diilhamkan oleh Jepun, mencintai negara itu serta menghargai dan menghormati rakyat serta budaya negara matahari terbit itu. Bencana yang melanda Jepun menyedihkan saya dan saya mahu melakukan sedaya mungkin untuk membantu mereka,” katanya.
Menurut Stefani, dia tidak akan berjaya seperti sekarang tanpa sokongan peminat.
Sementara itu, edisi terhad baju-T Harajuku Lovers yang direka oleh Stefani boleh diperolehi bermula minggu depan melalui www.nodoubt.com dengan hasil penjualannya akan disalurkan bagi usaha bantuan di Jepun.
Lelongan amal akan turut diadakan dengan peminat boleh membida untuk menyertai penyanyi itu pada majlis khas di Los Angeles bagi meningkatkan bantuan untuk dana itu. – REUTERS

Tiga pekerja loji nuklear cedera


TOKYO 24 Mac - Tiga pekerja yang sedang menjalankan kerja-kerja pembaikan di reaktor Daiichi di loji jana kuasa Fukushima hari ini cedera selepas terdedah kepada radiasi tinggi.

Jurucakap Agensi Keselamatan Nuklear dan Industri Jepun (NISA), Fumio Matsuda berkata, dua daripada mereka telah dikejarkan ke hospital selepas cedera semasa memasang kabel elektrik di reaktor No. 3 di loji tersebut.
"Dua daripada mereka dimasukkan ke wad selepas didapati terdedah kepada radiasi setinggi 170 hingga 180 millisievert," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Australia, Kanada dan Singapura hari ini menghentikan import makanan dari Jepun, selepas wap panas radioaktif tersebar dari loji nuklear di Fukushima dan meningkatkan kebimbangan di Tokyo.
Australia mengarahkan import makanan dari empat daerah berhampiran loji jana kuasa di timur laut Tokyo itu dihentikan termasuk rumpai laut, makanan laut, susu, produk tenusu, buah-buahan segar dan sayur-sayuran.
Singapura turut menggantung import produk tenusu dan makanan lain dari daerah Fukushima, Gunma, Ibaraki dan Tochigi, sementara Kanada memperketat kawalan import produk makanan dari kawasan sama.
Di loji jana kuasa Fukushima, juruteknik berjaya memulihkan bekalan elektrik di bilik kawalan reaktor No. 1, walaupun wap panas berwarna putih dilihat keluar dari empat reaktor loji tersebut.
Perkembangan baru itu membolehkan pekerja menggunakan dua bilik kawalan utama di reaktor No.1 dan No. 3 yang terpaksa diabaikan sebelum ini selepas beberapa siri letupan selain masalah pembebasan radiasi yang berlaku. - AFP/AP

Angka korban tsunami di Jepun mencapai 9,800 orang



25/03/2011 2:48am

TOKYO 25 Mac - Sejumlah lebih 9,800 mangsa terkorban manakala 17,500 lagi masih hilang dalam bencana tsunami di Jepun, menurut laporan pihak polis yang dikeluarkan hari ini.
Seorang jurucakap polis dari daerah Miyagi yang terjejas teruk berkata, anggaran jumlah kematian akan meningkat sehingga 15,000 orang di kawasan itu sahaja. - Agensi

Tentera Bersekutu terus serang Libya



Seorang pemberontak bersenjata mengawal askar-askar upahan dan tentera yang setia kepada Gaddafi selepas mereka ditahan di sebuah penjara di Benghazi, semalam. – REUTERS


TRIPOLI 24 Mac – Letupan dan bedilan anti-pesawat menyelubungi ibu negara Libya hari ini ketika Tentera Bersekutu meneruskan serangan udara ke atas tentera Muammar Gaddafi, masuk hari keenam berturut-turut.
Pegawai Britain mendakwa tentera udara Libya kini hampir musnah.
Menurut wartawan AFP, bedilan anti-pesawat bermula pada kira-kira pukul 12.30 tengah hari waktu Malaysia diikuti bunyi letupan kuat.
Ketika armada kapal-kapal Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) meronda perairan Libya untuk melaksanakan embargo senjata ke atas Gaddafi, usaha baru untuk melancarkan operasi tentera gagal selepas beberapa hari berlangsung perdebatan sengit.
Seorang diplomat NATO berkata, 28 negara bersekutu akan mencuba sekali lagi hari ini untuk mencapai keputusan sama ada NATO perlu terlibat dalam operasi ketenteraan yang dilancarkan sejak Sabtu lalu oleh Britain, Perancis dan Amerika Syarikat (AS).
Namun, negara-negara terlibat telah mula mencatat kejayaan dalam operasi tersebut dengan Naib Marshal Udara Britain, Greg Bagwell mendakwa tentera udara Libya kini hampir dimusnahkan dan tidak lama lagi akan berkubur.
Pegawai AS secara terbuka turut membuat spekulasi bahawa tekanan berterusan akan memaksa Gaddafi berundur selepas empat dekad memerintah.
Saksi melaporkan, letupan kuat berlaku malam tadi di pangkalan tentera di Tajura, kira-kira 32 kilometer ke timur Tripoli, sementara bedilan anti-pesawat kedengaran ketika serangan udara dilancarkan ke atas ibu negara Libya ini.
Agensi berita rasmi JANA melaporkan, serangan udara di Tajura mengorbankan ‘sejumlah besar’ penduduk awam.
Menurut JANA, Tajura menjadi sasaran serangan sebanyak tiga kali dengan serangan ketiga terkena pasukan penyelamat yang cuba memindahkan mangsa yang terbunuh dan cedera dari sisa runtuhan bangunan yang musnah akibat serangan pertama dan kedua.
Dakwaan itu, bagaimanapun tidak disahkan oleh mana-mana kumpulan bebas.
Tajura adalah pangkalan tentera Libya yang penting dan telah menjadi sasaran tentera bersekutu sejak serangan pertama.
Walaupun kesudahan krisis di Libya ini masih tidak jelas, Setiausaha Pertahanan AS, Robert Gates yang kini dalam lawatan di Kaherah berkata, tekanan ke atas rejim Gaddafi dapat menggalakkan sekutu pemimpin itu atau anggota keluarganya meninggalkannya.
Tentera AS berkata, tentera Gaddafi yang mengancam bandar-bandar yang dikuasai pemberontak kini menjadi sasaran serangan udara mereka. – AFP

Jet pejuang Perancis tembak jatuh pesawat tentera Libya



25/03/2011 2:49am

PARIS 25 Mac - Sebuah jet pejuang Perancis telah menembak jatuh sebuah pesawat tentera Libya dengan peluru berpandu di pangkalan udara Misrata di barat Libya semalam, kata pasukan bersenjata Perancis.
“Pesawat Perancis itu melakukan serangan senjata udara-ke-darat (AASM) setelah pesawat tersebut mendarat di pangkalan udara Misrata,” kata jurucakap dalam satu kenyataannya. - Reuters

Gegaran gempa bumi di Myanmar turut dirasai di Thailand


25/03/2011 3:29am


BANGKOK 25 Mac - Thailand merasai sedikit gegaran berikutan kejadian gempa bumi dengan kekuatan 6.8 pada skala Richter melanda Myanmar malam tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Meteorologi Thailand, Somchai Baimuang berkata, penduduk di wilayah utara di Chiang Rai, Chiang Mai, Nam dan Bangkok turut merasai kesan daripada gempa bumi pada pukul 8.55 malam waktu tempatan.
“Jangan panik dan tiada gempa bumi di Thailand dan tiada amaran tsunami dikeluarkan,” katanya.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik melaporkan kejadian gempa bumi di Myanmar berlaku jauh di pendalaman dan tidak mencetuskan ombak tsunami. - Bernama
-utusan

Dua korban gempa bumi 6.8 skala Richter di Myanmar



25/03/2011 2:28am

YANGON 25 Mac - Gempa sekuat 6.8 skala Richter yang melanda Myanmar berhampiran sempadan Thailand lewat malam tadi meragut dua nyawa termasuk seorang kanak-kanak.
Gegaran tersebut dirasai sehingga ke Bangkok iaitu sejauh 800 kilometer di bahagian selatan pusat gempa Naypyidaw, di ibukota Hanoi.
Gempa tersebut pada awalnya diletakkan sekuat 7.0 skala Richter oleh Pertubuhan Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), sebelum disemak semula menjadi 6.8 skala Richter. - AFP
-utusan

Kumpulan mafia bantu mangsa gempa, tsunami


2011/03/25

TOKYO: Kumpulan mafia Jepun turut membantu ketika negara itu mengalami saat genting akibat gempa bumi dan tsunami 11 Mac lalu apabila turut melakukan tugas sivik yang memerlukan kekuatan mental dan fizikal. 

Sehari selepas gempa bumi, Inagawa-kai (kumpulan penjenayah terancang ketiga terbesar di Jepun yang diasaskan pada 1948) menghantar 25 trak empat tan dipenuhi lampin pakai buang, mee segera ramen, bateri, lampu picit, minuman dan keperluan harian ke kawasan Tohoku.
Seorang anggota Sumiyoshi-kai, kumpulan penjenayah kedua terbesar pula menawarkan perlindungan kepada warga asing.
Yamaguchi-gumi, kumpulan jenayah terbesar Jepun di bawah kepimpinan Tadashi Irie, juga membuka pejabatnya di seluruh negara kepada orang awam dan menghantar trak dipenuhi bekalan, namun secara senyap-senyap. 

Antara tengah malam 12 Mac dan awal pagi 13 Mac lalu, ahli Inagawa-kai di sini menghantar 50 tan bekalan ke Dewan Bandaraya Hitachinaka di daerah Ibaraki. 

Bekalan termasuk mee cawan ramen, tauge, lampin pakai buang, teh dan air minuman. Perjalanan dari bandar ini mengambil masa 12 jam. Anggota Inagawa-kai di Kanagawa pula menghantar 70 trak ke kawasan Ibaraki dan Fukushima untuk menghantar bekalan di kawasan paras tinggi radiasi. 

Secara keseluruhan, Inagawa-kai menggerakkan lebih 100 tan bekalan ke rantau Tohoku. Mereka ke kawasan terdedah radiasi tanpa sebarang perlindungan atau memakan pil potassium iodida. 
Anggota Yamaguchi-gumi yang mana penulis temui berkata: “Tolong jangan kata apa-apa lagi berkenaan apa yang kami lakukan.” 

Bagi mereka yang tidak begitu mengenali yakuza, ia mungkin mengejutkan untuk mendengar sifat dermawan mereka, namun ini bukan kali pertama mereka menunjukkan semangat kemanusiaan. 

Pada 1995 selepas gempa bumi Kobe, Yamaguchi-gumi paling aktif menyalurkan bekalan ke kawasan terjejas. 

Mereka mengakui bekalan itu dibayar dengan wang hasil memeras penduduk di kawasan itu namun tiada siapa mampu nafikan mereka pantas apabila penduduk memerlukan bantuan. 

Mungkin membingungkan bahawa yakuza, yang juga kumpulan penjenayah terancang, mendapatkan hasil daripada aktiviti haram seperti mengumpul wang perlindungan, mengugut, memeras dan penipuan, memiliki sifat sivik semula jadi. 

Bagaimanapun, di Jepun sejak selepas perang mereka sentiasa memainkan peranan penting dalam memastikan keamanan. – Agensi