Pages

Friday, January 30, 2015

Cukur rambut suami guna kaki


Ma Wanwa mengucup kaki isterinya. (gambar kecil) Bai Aixiang mencukur kepala Ma Wanwa.
Ma Wanwa mengucup kaki isterinya. (gambar kecil) Bai Aixiang mencukur kepala Ma Wanwa.
NINGXIA HUI - CHINA. Bai Aixiang, 49, merupakan penghidap polio sejak kecil.

Wanita ini tidak mampu menggunakan kedua-dua belah tangannya dengan sempurna kerana kecacatan yang dialaminya namun, beliau tetap boleh menyempurnakan semua kerja dengan hanya menggunakan kaki.

Aixiang mampu memasak, membasuh, menjahit dan juga mencukur rambut suaminya dengan kaki!

Suaminya, Ma Wanwa, 70, berkata, Aixiang mampu mencukur kepalanya menggunakan pencukur tanpa rasa takut.

Selain itu, Aixiang juga amat terkenal di kampungnya kerana kebolehan unik beliau.

Menurut laporan China Daily, wanita hebat itu masih berupaya membantu fakir miskin dan penduduk lain yang cacat dengan menjahitkan baju dan mengemas rumah.

Semua 239 mangsa diisytihar terkorban


Intan Maizura Othman, isteri kru pesawat MH370, Mohd. Hazrin Hasnan membawa anaknya, Mohamed bagi mengikut sidang media yang kemudian dibatalkan di Putrajaya semalam.


KUALA LUMPUR – Suasana muram menyelubungi seluruh negara semalam apabila pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS) yang hilang sejak 8 Mac 2014 secara rasminya diisytiharkan terlibat dalam satu kemalangan dan kesemua 239 penumpang serta anak kapalnya dianggap terkorban.
Pengumuman itu dibuat oleh Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman menerusi siaran langsung televisyen di saluran TV1 tepat pukul 6 petang semalam.
“Dengan hati yang amat berat dan kesedihan yang mendalam, bagi pihak kerajaan Malaysia, kami secara rasmi mengisytiharkan kehilangan pesawat MH370 sebagai satu kemalangan dan bahawa semua 239 penumpang dan anak kapal dalam pesawat MH370 dianggap telah terkorban.
“Kami telah berusaha dan menjalankan pencarian daripada setiap sudut dan meneliti semua data yang sedia ada. Walaupun semua usaha ini dijalankan sejak 327 hari lepas (sehingga semalam), namun usaha pencarian itu malangnya masih belum me­nemui lokasi pesawat yang hilang itu,” katanya.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3QFsPdiEl 
Hakcipta terpelihara 

Hasilkan lukisan di atas buah pisang



LUKISAN sebuah kapal selam berwarna kuning yang dihasilkan Roche. - Agensi


LONDON – Seorang pelukis di sini menghasilkan pelbagai lukisan unik dan menarik pada buah pisang.
Pelukis tersebut, Elisa Roche, 39, berkata, dia mendapat idea untuk menjadikan buah pisang sebagai kanvas lukisannya ketika bekerja sebagai seorang tukang masak.
“Saya berasa bosan kerana terlalu lama bekerja sebelum mengambil sebiji buah pisang dan terus melukis di atas kulit buah tersebut.
“Saya kemudian memuat naik lukisan pada buah pisang itu di laman sosial Instagram dan terkejut selepas mendapati gambar tersebut menerima pujian daripada rakan-rakan saya,” katanya.
Menurutnya, sejak itu dia mula melukis pada buah pisang dan memuat naik pelbagai hasil karyanya di Instagram.
“Beberapa buah majalah terkenal pernah meminta kebenaran untuk menerbitkan hasil karya saya dan sejak itu saya mengambil keputusan untuk meneruskan minat saya ini,” katanya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz3QFs6BlP7 
Hakcipta terpelihara 

Lelaki rakam gambar letusan lava gunung berapi



KRISTJANSSON berdiri hampir dengan satu letusan lava di gunung berapi Holuhraun di Iceland semata-mata untuk mengambil gambar yang menarik.- Agensi


HOLUHRAUN, Iceland – Seorang jurugambar sanggup menggadaikan nyawanya dengan mengambil gambar letusan lava di bahagian sebuah gunung berapi di sini pada jarak yang terlalu dekat.
Jurugambar tersebut, Tomas Freyr Kristjansson merakamkan gambar menakjubkan itu bagi menunjukkan keajaiban gunung berapi Holuhraun yang mula aktif sejak beberapa hari lalu.
Kristjansson berkata, keadaan di gunung berapi berkenaan sangat bahaya sehingga pihak berkuasa terpaksa menutup kawasan tersebut kepada para pelancong.
“Walaupun keadaan ketika itu sangat bahaya tetapi saya tetap teruja untuk merakamkan letusan lava yang menjulang sehingga beberapa puluh meter.
“Saya cuba merapati letusan lava itu sehampir yang boleh untuk mengambil gambar yang menarik sehingga terasa bahang yang sangat panas dan turut merasai gegaran yang kuat setiap kali letusan berlaku.
“Gambar-gambar yang saya rakamkan ini menggambarkan kejadian alam yang paling menakjubkan dan cantik yang pernah saya saksikan,” katanya. – Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0130&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3QFreusTH 
Hakcipta terpelihara 

Bandar kecil Dudinka beku


BEBERAPA buah kenderaan melekat di dalam air banjir yang membeku
BEBERAPA buah kenderaan melekat di dalam air banjir yang membeku di sebatang jalan di bandar Dudinka selepas berlaku ribut salji, kelmarin. – Agensi
DUDINKA 29 Jan. - Kira-kira 22,000 penduduk di bandar ini berhadapan detik cemas selepas bandar kecil di wilayah Krasnoyarsk Krai di tengah Siberia menjadi beku berikutan saluran paip utama pecah ketika ribut salji melanda bandar ini, semalam.
Menurut Mail Online, penduduk Dudinka terkejut selepas ribut salji melanda kawasan ini menyebabkan salji di jalan-jalan utama di bandar ini menjadi beku sehingga ke paras pinggang.
Beberapa saluran paip utama di bandar ini pecah berikutan ribut salji dengan suhu mencecah -40 celsius pada waktu malam, menyebabkan air menjadi beku dan membanjiri jalan-jalan utama di sini.
Dudinka adalah sebuah bandar kecil yang terletak bersempadan dengan Lautan Artik.
Kebanyakan kawasan perumahan di Siberia, air panas disediakan ke blok-blok pangsapuri dari loji di mana ia dipanaskan secara berpusat sebelum disalurkan ke rumah-rumah di bandar ini.
Kebanyakan rumah terputus bekalan air dan elektrik, namun perkhidmatan Internet masih beroperasi walaupun jalan-jalan raya diselaputi salji tebal.
Penduduk mengambil kesempatan memuat naik gambar-gambar keadaan di bandar itu ke laman sosial.
Jurucakap kerajaan tempatan, Eugene Gerasimov berkata, orang ramai boleh melihat sendiri bagaimana keadaan bandar ini yang sejuk dan jalan-jalan utama di bandar ini diselaputi salji beku.
“Paip air panas juga turut beku menyebabkan air banjir membentuk ketulan ais dan memenuhi bandar ini,” ujarnya
Beliau turut mengisytiharkan darurat di bandar Dudinka.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bandar-kecil-dudinka-beku-1.54104#sthash.NcJNgTv0.dpuf