Pages

Friday, October 11, 2013

Kisah hamba Allah beribadah 500 tahun

Detik Islam,11 Okt 2013

Dari Jabir RA berkata bahawa Rasulullah SAW. telah memberitahu kami bahawa Malaikat Jibrail telah memberitahu Rasulullah SAW katanya; “Wahai Muhammad, demi Allah yang mengutusmu sebagai nabi yang besar, sesungguhnya ada seorang hamba Allah yang beribadat selama 500 tahun di atas sebuah bukit yang lebar, panjangnya bukit itu 30 puluh hasta kali 30 hasta dan disekelilingnya ialah air laut yang seluas 4,000 farsakh dari tiap penjuru.”

Dan di situ Allah SWT mengeluarkan air selebar satu jari dan dari bawah bukit dan Allah SWT juga telah menghidupkan sebuah pohon delima yang setiap hari mengeluarkan sebiji buah delima. Apabila tiba waktu petang hamba Allah itu pun memetik buah delima itu dan memakannya, setelah itu ia pun sembahyang. Dalam sembahyang ia telah meminta kepada Allah SWT supaya mematikannya ketika ia dalam sujud, supaya badannya tidak disentuh oleh Bumi atau apa-apa saja sehingga tibanya hari kebangkitan. Maka Allah SWT pun menerima permintaanya.

Berkatalah malaikat lagi; “Oleh itu setiap kali kami naik turun dari langit kami melihatnya sedang sujud, kami mendapat dalam ilmu bahawa ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dan dihadapkan kepada Allah SWT lalu Allah SWT menyuruh Malaikat - masukkanlah hambaku itu ke dalam syurga dengan limpah rahmatku.” Maka berkata orang itu; “Dengan disebabkan amalku?” Maka Allah SWT menyuruh malaikat menghitung semua amalnya dengan nikmat yang Allah SWT berikan. Apabila penghitungan dibuat maka amal yang dibuat oleh orang itu selama 500 tahun itu telah habis apabila dikira dengan sebelah mata, yakni nikmat penglihatan yang Allah SWT berikan padanya, sedangkan nikmat-nikmat lain belum dikira.

Maka Allah SWT berfirman: “Masukkan ia ke dalam neraka”. Apabila ia ditarik ke neraka maka ia pun berkata: “Ya Allah, masukkanlah aku ke dalam syurga dengan rahmatmu.” Lalu Allah SWT berfirman kepada malaikat: “Bawakan ia ke mari”.

Kemudian Allah SWT bertanya orang itu; “Siapakah yang menjadikan kamu daripada tidak ada.” Lalu orang itu menjawab; “Engkau ya Allah.” Kemudian Allah SWT bertanya lagi; “Apakah itu kerana amalmu atau rahmatku?” Jawab orang itu; “Ya Allah, dengan rahmatmu.”

Allah SWT bertanya lagi; “Siaapakah yang memberikan kekuatan sehingga 500 tahun kamu beribadat?” Jawab orang itu; “Engkau ya Allah.”

Allah SWT bertanya lagi; “Siapakah yang menempatkan kamu diatas bukit yang di tengah-tengah lautan, dan siapakah yang mengeluarkan air tawar yang bersih dari tengah-tengah lautan yang airnya sangat masin dan siapakah yang menumbuhkan sebuah pohon delima yang mengeluarkan sebiji delima setiap hari, padahal buah itu hanya berbuah setahun sekali lalu kamu meminta supaya aku matikan kamu dalam sujud, jadi siapakah yang membuat semua itu?”

Lalu orang itu berkata; “Ya Allah, ya Tuhanku engkaulah yang melakukanya.”

Allah SWT berfirman; “Maka semua itu adalah dengan rahmatku dan kini aku masukkan kamu ke dalam syurga juga adalah dengan rahmatku.” Malaikat Jibrail berkata; “Segala sesuatu itu terjadi hanya dengan rahmat Allah SWT.”

Amal yang dibuat oleh seseorang itu tidak akan dapat menyamai walaupun setitik debu sekalipun dengan nikmat yang Allah SWT berikan pada hambanya. Oleh itu janganlah mengharapkan amal kita itu akan dapat memasukkan kita ke dalam syurga Allah SWT sebaliknya memohonlah dengan rahmatnya.

Hanya dengan rahmat Allah SWT sajalah seseorang itu dapat memasuki syurganya. Apabila kita memohon kepada Allah SWT supaya dimasukkan ke dalam syurga dengan rahmatnya maka mintalah supaya Allah SWT memasukkan kita dengan rahmatnya ke dalam syurga Firdaus.

http://detikislam.blogspot.com

Padah nak cantik

Foto
WAJAH Xiao yang bengkak (kanan).
Beijing: Seorang wanita yang cuba mendapatkan suntikan untuk menggebukan pipinya di pusat rawatan haram selepas diberitahu majikannya yang mukanya cengkung kini mengalami kecacatan.
Xiao Lian dari Gansu, China hanya berusia 17 tahun apabila dia mendapatkan suntikan menggebukan pipinya.

Pada mulanya Xiao gembira dengan keputusan suntikan itu tetapi lima tahun kemudian, dia mula menghadapi masalah. Kini mukanya yang bengkak menyebabkan dia kelihatan lebih tua berbanding usia sebenarnya iaitu 28 tahun.
Xiao sentiasa bencikan mukanya yang cengkung dan komen majikannya di kedai tempat dia bekerja sambilan menjadi pendorong untuk dia mengubah penampilannya.

“Muka kamu sangat cengkung dan kamu nampak macam orang miskin. Wajah kamu ini menyebabkan golongan kaya tidak mahu ke kedai ini,” kata majikannya sebagaimana dipetik daripada Guilin Life News.

Xiao kemudian memutuskan untuk mendapatkan prosedur untuk menggebukan pipinya.

Namun ketika dia bertanya di klinik pembedahan plastik, kos prosedur itu terlalu mahal dan dia tidak mampu untuk melakukannya.

Ekoran kekecewaannya, rakan Xiao membawanya ke sebuah klinik lain yang berjanji akan menawarkan prosedur sama dengan harga lebih murah.
Kali ini dia mampu untuk melakukan prosedur itu. Doktor yang menjalankan rawatan itu kelihatan mahir walaupun klinik terbabit tidak mempunyai lesen beroperasi yang sah.

Doktor terbabit menyuntik muka Xiao sebanyak 10 kali dalam tempoh sebulan. Pada awalnya, suntikan itu benar-benar menggebukan pipinya dan dia amat gembira dengan keputusan yang diperoleh itu. Bagaimanapun, pada 2009 ketika dia berusia 24 tahun, mukanya mulai bengkak. Hidung, mata dan bentuk wajahnya juga mula berubah. Pada awal tahun ini, muka Xiao betul-betul bengkak, matanya melendut dan rambutnya juga mulai gugur.

Dia pergi mendapatkan nasihat doktor di hospital dan turut menjalani ujian yang menunjukkan selama ini dia diberi suntikan gel hydrophilic polyacrylamide. Bahan itu sebelum ini digunakan untuk membesarkan payudara, tetapi kini diharamkan di China untuk penggunaan pembedahan kosmetik selepas didapati bertoksik.

Xiao benar-benar trauma dengan apa yang berlaku hingga dia pernah terfikir untuk membunuh diri.

Kini, dia menjalani pembedahan memperbaiki wajahnya di pusat pembedahan kosmetik di Guangzhou.

Doktor memberitahunya disebabkan bahan bertoksik itu masih ada dalam tubuhnya untuk tempoh lama, maka sukar untuk memulihkan prosedur asal itu. - Agensi

Planet di luar sistem solar


Saintis menemui sebuah planet di luar sistem solar yang diberi nama PSO J318.5-22. - AGENSI
WASHINGTON 10 Okt. - Saintis menemui sebuah planet di luar sistem solar yang berada terpencil di angkasa dan tidak mempunyai orbit pada mana-mana bintang.
Planet yang diberi nama PSO J318.5-22 itu berada pada kedudukan 80 tahun cahaya dari bumi dan enam kali lebih besar daripada planet Jupiter.
Ia dipercayai terbentuk kira-kira 12 juta tahun lalu dan dianggap sebagai planet baharu.
Ketua saintis dari Institut Astronomi di Universiti Hawaii, Micheal Liu berkata, beliau tidak pernah melihat sebuah planet terapung di angkasa tanpa orbit.
"Planet terbabit mempunyai ciri-ciri seperti planet baharu dalam kalangan bintang lain, tetapi ia bergerak tanpa arah di angkasa.
"Selama ini saya percaya wujudnya planet sedemikian dan penemuan terbaharu ini membuktikan ia benar-benar wujud," katanya.
Saintis mengesan planet berkenaan menggunakan teleskop peninjau, Pan-STARRS 1 yang ditempatkan di gunung berapi Haleakala di pulau Maui, Hawaii.
Menurut saintis, planet PSO J318.5-22 menunjukkan wujud planet berjisim rendah yang menyebabkan ia terapung dan bergerak bebas.
Sejak 10 tahun lalu, saintis menemui kira-kira 1,000 planet di luar sistem solar termasuk sejumlah planet yang tidak mempunyai orbit. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131011/lu_04/Planet-di-luar-sistem-solar#ixzz2hMVnD5sw
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pistol tembusi mulut peserta perarakan



BEBERAPA pucuk pistol menembusi pipi seorang peserta perarakan Festival Sayur-Sayuran di Phuket, Thailand semalam.- AFP


PHUKET - Seorang peserta perarakan Festival Sayur-Sayuran di sini mempamerkan pipinya yang ditembusi beberapa pucuk pistol semalam.
Festival itu diadakan selama sembilan hari sejak 5 Oktober lalu.
Ia merupakan antara program yang menjadi daya tarikan pelancong asing dan tempatan di sini.
Terdapat juga pedang dan batang besi yang ditusuk menembusi pipi para peserta perarakan itu.
"Ia bukannya suatu muslihat. Aksi itu adalah betul," kata Pengarah Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand di Phuket, Chanchai Doungjit.
Ribuan orang berbaris di sepanjang laluan perarakan itu bagi menyaksikan aksi-aksi tersebut.
Perarakan itu diadakan bagi membebaskan roh jahat selain membawa kekayaan kepada komuniti tempatan.
Festival itu bermula pada tahun 1825 di sini bagi memberikan perghormatan ke atas dewa Cina. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1011&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm#ixzz2hMU3ABTQ 
Hakcipta terpelihara 

Telefon bimbit melengkung pertama di dunia dijual



SEORANG model memegang dua telefon melengkung keluaran Samsung, Galaxy Round di Pameran Elektronik dan Industri IT di Goyang, utara Seoul semalam.- afp


SEOUL - Telefon pintar pertama Samsung yang menampilkan skrin melengkung memasuki pasaran Korea Selatan semalam.
Pembekal perkhidmatan wayarles Korea Selatan, SK Telecom memberitahu, gajet Galaxy Round yang mempunyai skrin 14.4 sentimeter dan berbentuk sedikit bulat itu mula dijual pada waktu tengah hari.
Ia merupakan telefon bimbit pertama di dunia mempunyai skrin melengkung.
Menurut Samsung kelmarin, telefon pintar baharu itu dijual pada harga sekitar AS$1,000 (RM3,191).
Ia tidak menyatakan tarikh gajet yang dilengkapi sistem pemprosesan empat teras berkapasiti 2.3 GHz itu berada di pasaran global.
Telefon itu dilengkapi dengan sistem Android milik Google.
"Paparan Galaxy Round melengkung supaya ia mudah dipegang dan selesa apabila diletakkan di telinga dan pipi ketika bercakap," menurut syarikat SK Telecom dalam satu kenyataan. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=1011&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz2hMTgbr3M 
Hakcipta terpelihara