Pages

Tuesday, April 3, 2012

Marwan Barghuti dihukum kerana surat

myMetro | Marwan Barghuti dihukum kerana surat: "BAITULMAQDIS: Pemimpin Palestin yang dipenjara, Marwan Barghuti dihukum pihak berkuasa penjara Israel kerana menulis surat yang menggesa kerjasama dengan negara Yahudi itu ditamatkan.

Marwan dikurung seorang diri dan dilarang daripada mendekati kafeteria penjara, lapor sebuah radio awam selam. Ia bagaimanapun tidak menyebut berapa lama hukuman itu dikenakan.


Pemimpin itu mencetuskan kemarahan Israel apabila menulis surat bertarikh 26 Mac yang berbunyi: “Saya menyeru pihak berkuasa Palestin supaya menamatkan semua bentuk kerjasama - keselamatan dan ekonomi - dengan penjajah. Marwan yang menyokong perjanjian damai Oslo pada 1990-an dipercayai menjadi sumber intifada kedua rakyat Palestin pada 2000. Dia ditahan pada April 2002 dan dua tahun kemudian dihukum lima hukuman penjara seumur hidup kerana peranannya dalam beberapa serangan anti-Israel. - AFP"

'via Blog this'

Presiden letak jawatan selepas dituduh menciplak

myMetro | Presiden letak jawatan selepas dituduh menciplak: "BUDAPEST: Presiden Hungary, Pal Schmitt semalam meletakkan jawatan selepas gelaran doktor falsafah diperolehnya dilucutkan minggu lalu ekoran dakwaan dia menciplak tesis 200 halaman yang ditulisnya.

“Menurut perlembagaan, presiden perlu menyatukan rakyat. Malangnya, saya menjadi simbol perpecahan dan menjadi tugas saya untuk meletakkan jawatan,” katanya di Parlimen. Schmitt, sekutu rapat Perdana Menteri, Viktor Orban meletakkan jawatan kurang dua tahun selepas menjadi presiden. - AFP"

'via Blog this'

Isteri, anak Osama dijel

myMetro | Isteri, anak Osama dijel: "ISLAMABAD: Mahkamah Pakistan semalam menjatuhkan hukuman penjara 45 hari kepada tiga balu Osama bin Laden dan dua anak perempuannya kerana tinggal di negara itu secara haram.

Mahkamah juga mengarakan mereka dihantar pulang secepat mungkin selepas menjalani hukuman itu. Peguam mereka, Muhammad Aamir berkata, tempoh hukuman bermula 3 Mac lalu ketika mereka ditahan secara rasmi atas dakwaan memasuki dan menetap di Pakistan secara haram. Mereka akan terus ditahan di vila mereka di Islamabad. “Setiausaha Kementerian Dalam Negeri sudah diarah untuk mengatur penghantaran pulang,” kata Muhammad kepada wartawan di luar kediaman mereka, tempat balu ketua al-Qaeda itu tinggal dan diisytiharkan pihak berkuasa sebagai sebahagian dari penjara. “Saya rasa ia akan selesai mungkin dalam masa dua minggu,” katanya.


Zakarya Ahmad al-Fattah, adik balu ketiga Osama, Amal dari Yaman mengesahkan mengenai hukuman itu dan berkata, hakim turut mengenakan denda 10,000 rupee (RM330) setiap seorang untuk urusan penghantaran pulang.

“Mahkamah juga mengarahkan kerajaan mengatur dokumen perlu untuk urusan penghantaran pulang,” kata Zakarya kepada wartawan. Dua balu Osama yang lain ialah warga Saudi. - AFP"

'via Blog this'

Bakar diri kerana keluarga tak mampu beli pakaian seragam baru

myMetro | Bakar diri kerana keluarga tak mampu beli pakaian seragam baru: "ISLAMABAD: Seorang pelajar mati selepas membakar dirinya apabila keluarganya gagal untuk membelikan pakaian seragam sekolah kerana tidak mampu.

Pelajar pintar, Kamran Khan, 13, belajar di sebuah sekolah swasta atas pembiayaan biasiswa, malu apabila ibu bapanya tidak mampu menggantikan pakaian seragam sekolah yang sudah lusuh.


Apabila ibu bapanya enggan membelikan pakaian seragam baru, dia mengancam membunuh diri sebelum menyiram tubuhnya dengan petrol dan kemudian membakar dirinya. Dia melecur teruk dan meninggal dunia di hospital.

Abangnya Saleem Khan memberitahu, Karman tidak pernah meminta apa-apa sebelum ini, tetapi sejak beberapa hari lalu, merayu ibu bapanya membelikan pakaian seragam baru. Saleem berkata, Karman berkelahi dengan ibunya, yang bekerja sebagai pembantu rumah. Ibunya hilang sabar dan menampar anaknya itu sambil memberitahu dia tidak mampu untuk membelikannya pakaian seragam baru. - DM"

'via Blog this'

Penumpang pesawat diberi makanan berulat

myMetro | Penumpang pesawat diberi makanan berulat: "MELBOURNE: Seorang wanita Australia semalam memberitahu bagaimana dia ketakutan apabila menemui ulat yang masih hidup dalam makanan ringan dimakannya ketika berada dalam penerbangan Qantas dari Los Angeles ke Melbourne.

Victoria Cleven, 42, mula membuka makanan ringan terdiri daripada kacang dan buah-buahan kering untuk dimakan ketika dalam penerbangan pulang Khamis lalu. Ketika itu, dia tidak membuka lampu dalam kabin pesawat yang gelap.


“Ia rasa pelik dan apabila saya membuka lampu kabin serta melihat isi peket itu, saya mula nampak ulat keluar dari bungkusan itu,” katanya kepada akhbar Herald-Sun. “Saya terkedu dan hampir muntah,” katanya.

Anak lelakinya yang berusia 15 tahun kemudian memeriksa dua lagi bungkusan makanan ringan itu dan turut menemui ulat di dalamnya. Sementara itu, Qantas meminta maaf kepada Victoria dan berjanji akan menyiasat bagaimana kejadian itu boleh berlaku. - AFP"

'via Blog this'

Gempa bumi 6.3 magnitud gegar Mexico, tiada kematian

MEXICO CITY: Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud menggegarkan barat daya Mexico awal pagi tadi menyebabkan beribu-ribu penduduk lari bertempiaran akibat ketakutan. 

Tiada laporan mengenai kemalangan atau kerosakan harta benda. Kajian Geologi Amerika Syarikat, berkata gempa bumi itu berpusat pada 158 kilometer dari Huajuapan de Leon, wilayah Oaxaca dan kedalaman 12.3 kilometer.
Penduduk berkata, gempa bumi itu menggegarkan Mexico City mengakibatkan orang ramai panik meninggalkan rumah dan bangunan di kawasan ibu negara berkenaan. 

Beribu-ribu orang membanjiri tempat tumpuan umum di bandar itu, Paseo de La Reforma. - AFP 

Russia anggap mesyuarat Syria gagal atasi konflik


PENYOKONG Bashar memberi tabik hormat tentera ketika mengadakan demonstrasi di depan Kongres Istanbul, semalam.
PENYOKONG Bashar memberi tabik hormat tentera ketika mengadakan demonstrasi di depan Kongres Istanbul, semalam.
MOSCOW: Russia semalam menyifatkan mesyuarat ‘Sahabat Rakyat Syria’ di Istanbul hujung minggu lalu bercanggah dengan objektif mendapatkan penyelesaian perdamaian yang boleh mengakhiri pertumpahan darah lebih setahun. 

“Janji dan niat untuk menghantar bantuan tentera serta logistik secara terus kepada pembangkang bersenjata yang disuarakan di Istanbul memang tidak disangkal lagi bercanggah dengan sasaran untuk penyelesaian perdamaian kepada konflik awam di Syria,” kata kementerian luar Russia dalam satu kenyataan. Negara Barat dan Arab kelmarin meminta Presiden Syria Bashar al Assad menetapkan tarikh tamat untuk memenuhi syarat pelan damai yang dikemukakan perantara antarabangsa, Kofi Annan.
Mesyuarat itu turut mengiktiraf pembangkang, Majlis Kebangsaan Syria (SNC) sebagai wakil sah untuk rakyat Syria dan mengetuai teman bicara bagi pembangkang dengan komuniti antarabangsa. 

SNC kemudian mengumumkan rancangan untuk membayar gaji pejuang Tentera Pembebasan Syria (FSA) sementara negara seperti Arab Saudi dan Qatar bersetuju membayar beberapa juta dolar ke dalam dana FSA. Russia berkecuali daripada menyertai persidangan dan berkata ia bertukar menjadi berat sebelah seperti yang dibimbangkan Moscow. 

“Malangnya, mesyuarat di Istanbul adalah berat sebelah seperti perjumpaan sebelum ini. Senarai peserta tidak memasukkan kerajaan Syria atau banyak lagi kumpulan pembangkang berpengaruh Syria,” kata kenyataan itu lagi. 

Russia turut mengesahkan sokongannya kepada inisiatif Annan dan berkata ia akan terus cuba mencapai gencatan senjata dan mengakhiri keganasan kedua pihak. 
Sementara itu, akhbar Syria semalam berkata pertemuan di Istanbul yang digelar ‘Musuh Syria’ adalah kegagalan bagi pihak yang mahu menggulingkan Assad. 

“Walaupun digembur-gemburkan, persidangan ‘Musuh Syria’ itu hasilnya tidak seberapa, sebaliknya menunjukkan ia tidak mampu menggugat keengganan Syria menerima campur tangan asing,” kata akhbar al Baath, lidah rasmi parti pemerintah Assad. 

Di bawah tajuk ‘Satu lagi kegagalan’ ia menyatakan peserta akhirnya mengiktiraf ketahanan rakyat Syria, pembaharuan (ikrar kerajaan) dan menggandakan veto oleh Russia dan China..membolehkan Syria mengatasi krisis dan memenangi peperangan. – AFP

Iran bersumpah tidak henti program nuklear


Ali Akbar Salehi
Ali Akbar Salehi
Nyata pendirian seminggu sebelum ‘peluang terakhir’ 

TEHRAN: Iran semalam berikrar tidak akan menghentikan program nuklearnya walaupun diancam dengan pelbagai sekatan, seminggu sebelum rundingan dengan kuasa Barat yang dilihat sebagai peluang terakhir bagi negara itu untuk mencari penyelesaian secara diplomasi. “Sekatan itu mungkin menyebabkan masalah kecil kepada kami tetapi kami akan meneruskan jalan kami,” kata Menteri Luar, Ali Akbar Salehi dalam satu temu bual dengan agensi berita rasmi Islamic Republic News Agency (IRNA).
“Kami tidak memandang rendah mana-mana musuh, tidak kira betapa kecil atau rendah mereka. Pegawai rejim, pemimpin tertinggi, presiden, tentera, Pengawal (Revolusi) dan Basij (militia) amat berhati-hati. Negara ini bersedia untuk mempertahankan pencapaian Islam Iran,” katanya. 

Kata-kata itu dibuat selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton, Sabtu lalu, berkata bahawa rundingan antara Iran dan kuasa dunia itu akan berlangsung pada 13 dan 14 April di Istanbul. 

Beliau dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama secara terbuka berkata, bahawa pintu diplomasi dalam pertikaian membabitkan program nuklear Iran sudah ditutup. 

“Dasar kita adalah satu halangan bukan batasan,” kata Clinton di Arab Saudi selepas perbincangan dengan rakan sejawatnya di Teluk Arab. 
“Adalah tanggungjawab Iran untuk menunjukkan kesediaannya dan ingin menyertai rundingan ini dengan satu usaha untuk memiliki keputusan konkrit,” kata Clinton. 

Israel dan Amerika Syarikat mengancam serangan tentera terhadap kemudahan nuklear Iran sekiranya diplomasi dan sekatan gagal untuk menghalang cita-cita nuklear republik Islam itu. 

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenakan empat set sekatan terhadap Iran kerana program nuklearnya yang disyaki Barat dan Israel termasuk keupayaan membangunkan senjata atom. 

Iran menafikan sebarang dimensi ketenteraan dalam aktiviti nuklearnya. 

Pemimpin, Ayatollah Ali Khamenei juga menyifatkan senjata nuklear sebagai satu ‘dosa’. Tetapi beliau enggan untuk mematuhi sekatan itu dan memberi amaran Iran akan membalas sekiranya diserang. 

Jurucakap kementerian luar, Ramin Mehmanparast dalam satu temu bual dengan agensi berita Fars berkata, bahawa Iran menyifatkan perbincangan perang itu sebagai satu ‘permulaan’ psikologi memberi kesan kepada negara Iran, mengurangkan sokongan penduduk terhadap sistemnya. 

Tetapi beliau berkata, kesediaan (menghadapi sebarang ancaman) kami adalah di kemuncaknya. Kami menerima sebarang ancaman secara serius. – AFP

Dua jurutera cipta dron sebagai hobi



oesterer (kanan) yang berdiri di sebelah Harrison mengggunakan alat kawalan jauh bagi mengawal pergerakan dron di sebuah taman di Berkeley pada Rabu lalu.


BERKELEY, Amerika Syarikat (AS) - Dua jurutera perisian komputer, Mark Harrison dan Andreas Oesterer mencipta beberapa buah dron yang merupakan pesawat tanpa juruterbang selebar 1.35 meter di sini.
Sebuah kamera kecil diletakkan pada dron itu untuk merakamkan gambar dari udara.
Bagaimanapun, masa mereka lebih banyak tertumpu untuk membetulkan wayar dan perisian dron tersebut.
Masalah itu berlaku kerana dron ciptaan mereka itu banyak menggunakan kuasa bateri.
Mereka kerap menguji dron tersebut yang bergerak dengan menggunakan alat kawalan jauh di sebuah taman di sini.
Kedua-dua jurutera itu merupakan sebahagian daripada pencipta dron untuk tujuan hobi.
Ketika ini, dron dikenali sebagai sebuah pesawat tanpa juruterbang yang membawa peluru berpandu dan melakukan kerja-kerja pengintipan. - Agensi

Pameran tubuh manusia



TUBUH manusia lelaki dilihat oleh dua wanita. - REUTERS


BUDAPEST - Satu pameran tentang tubuh badan manusia diadakan di Pusat Reka Vam di sini semalam.
Pameran itu menunjukkan spesimen tubuh manusia yang telah dipulihara melalui satu proses inovatif.
Para pengunjung akan dapat melihat sistem dan organ manusia yang telah dipulihara dengan baik. -reuters

Filem The Hunger Games kekal No.1



SALAH satu adegan yang terdapat dalam filem The Hunger Games.


LOS ANGELES - Filem aksi remaja, The Hunger Games kekal mendahului kutipan pecah panggung di Amerika Utara untuk minggu kedua berturut-turut.
Menurut agensi yang mengumpulkan anggaran kutipan tiket, Exhibitor Relations, filem itu yang memperoleh kutipan AS$152.5 juta (RM465.4 juta) dua minggu lalu melonjak kepada AS$250 juta (RM762.9 juta) hanya dalam tempoh 10 hari ditayangkan di pawagam.
Ia dianggarkan memperoleh AS$60 juta (RM183.1 juta) pada minggu lalu.
Filem The Hunger Games mengisahkan seorang gadis remaja yang terlibat dalam satu permainan sukan maut yang diadaptasi daripada sebuah novel karya Suzanne Collins.
Tempat kedua menjadi milik filem sekuel fantasi, Wrath of the Titans yang memperoleh kutipan sebanyak AS$36 juta (RM109.9 juta).
Filem Snow White berada di tempat ketiga dengan kutipan sebanyak AS$22 juta (RM67.1 juta). - AFP

Lebih 3,000 militan di Thailand


YINGLUCK (berbaju putih) berucap kepada penduduk selepas beliau melawat lokasi letupan bom di Hatyai semalam.



BANGKOK - Thailand berjuang menentang lebih 3,000 militan Islam yang melancarkan perang gerila di selatan negara berkenaan, kata Ketua Tentera, Jeneral Prayut Chan-O-Cha semalam.
Beliau membuat kenyataan itu selepas beberapa militan melancarkan serangan bom kereta yang menyebabkan 14 orang terbunuh dan ratusan lagi cedera pada Sabtu lepas.
"Terdapat sekitar 300 anggota berpangkat ketua, 3,000 anggota biasa dan sekitar 10,000 penyokong mereka," kata jeneral itu.
Namun, katanya, bilangan militan semakin berkurangan ekoran sejumlah tangkapan yang dilakukan oleh pihak berkuasa.
Prayut turut meminta orang ramai supaya bertenang ekoran serangan yang berlaku pada hujung minggu lalu yang disasarkan ke atas sebuah hotel pelancongan popular di bandar Hatyai sekali gus mencetuskan kebimbangan ketika rakyat bersiap sedia untuk menyambut perayaan tahun baru, Festival Songkram pada pertengahan bulan ini.
"Jangan panik kerana ia menjadi matlamat kumpulan-kumpulan militan," katanya.
Prayut menyatakan demikian kepada pemberita sebelum beliau mengiringi Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra melawat Hatyai yang merupakan bandar terbesar di selatan Thailand.
Serangan bom kereta di hotel berkenaan mencetuskan kebakaran yang menyebabkan tiga orang terbunuh manakala lebih 400 yang lain cedera.
Serangan itu berlaku sekitar sejam selepas beberapa bom kereta meragut nyawa 11 orang dan mencederakan 100 lagi di bandar Yala, tidak jauh dari sempadan Thai-Malaysia.
Serangan ke atas hotel berkenaan menandakan militan-militan di selatan Thai kini memperhebatkan serangan selepas melancarkan penentangan terhadap kerajaan Thailand pada 2004. - AFP